September 14, 2015

Cumulonimbus Part 3 & 4

Bab 3

DIAM tak diam, setahun sudah berlalu semenjak Norlaila ditinggalkan oleh anak tunggalnya mencari ilmu jauh di rantauan. Nek Romlah duduk bersila di atas pangkin bawah pokok rambutan gading sambil memerhati anaknya Norlaila menyapu dedaun kering di laman rumah.
Riuh kedengaran suara burung murai menyanyi di hujung dahan. Teringat dia akan Siti Nasuha yang suka memerhati burung itu menyanyi.


“Burung tu bawa pesan,” kata Nek Romlah.
“Mana nenek tahu?”
“Cuba dengar betul-betul… ada berita yang disampaikan.”
“Manalah Siti faham dengan bahasa burung, nek.”
“Cuma orang lama-lama aje yang faham.”
“Cuba nenek alih bahasa burung tu?”
“Siti… Nasuha… nak… tinggalkan… nenek.” Nek Romlah cuba mengajuk berita yang disampaikan oleh burung murai di atas dahan itu.
Siti Nasuha tiba-tiba melambakkan ketawanya bila lagu yang diajuk oleh Nek Romlah itu bertepatan dengan lagu yang dinyanyikan oleh burung murai tadi.
“Rindu pulak dekat Siti.” Tiba-tiba Nek Romlah bersuara bila teringatkan hilai tawa cucu kesayangannya itu walau hidup di dalam kepayahan sedari kecil. Kasihan cucunya itu tidak pernah mendapat kasih sayang dari seorang bapa.
Norlaila yang sedang menyapu laman itu terhenti dan terus mendekati ibunya. “Apa mak cakap?” soalnya yang kurang mendengar gumam ibunya tadi.
“Rindu Siti."
“Diam tak diam… dah setahun dia di sana, mak,” ujar Norlaila meletakkan penyapu lidi di pangkal pokok rambutan dan dia sama melabuhkan punggung di atas pangkin itu.
Nek Romlah angguk            
“Tahun ini dia dah nak SPM… mungkin tak selalu balik, katanya.”            
Nek Romlah angguk lagi. “Kesian dia tidak pernah mengenal bapanya,” ucap Nek Romlah tiba-tiba.
“Kenapa mak cakap macam tu?”
“Yalah… sekarang ini dia sudah pandai hidup berdikari. Esok-esok bila dia sudah hendak bersuami… tentu dia perlukan bapanya sebagai wali.”
“Lela dah jumpa ayahnya mak.”
Nek Romlah berpaling sembilan puluh darjah memandang wajah anaknya. “Di mana?”
“Dia sekarang tinggal di daerah ini… menguruskan projek perumahan syarikat keluarganya.”
“Kenapa tak bawak kenalkan pada emak?” Nek Romlah rasa teruja mahu melihat bekas menantu yang hanya dikenali dengan namanya sahaja.
“Mak!” tegur Norlaila. “Lela dengan dia dah tak ada hubungan mak.”
Nek Romlah terdiam sambil angguk perlahan. “Dia tahu kamu tinggal di sini?”
Norlaila geleng.
“Habis tu… Siti Nasuha bagaimana?”
Norlaila geleng lagi. Kecut perutnya bila Nek Romlah mula menyoal gaya polis dari Bukit Aman. “Siti selalu jumpa dia bersarapan pagi di Warung Mak Minah tu… cuma Lela tak beritahu itu ayahnya.”
“Makan di warung? Isterinya tak masak ke?” cepat Nek Romlah meneka.
“Dia cakap… dia tidak pernah beristeri lagi selepas dengan Lela dulu.”
“Jadi… dia di sini sendirian?”
Norlaila angguk. “Tapi kadang-kadang anak lelakinya dengan isteri pertama dulu akan datang waktu cuti sekolah.”
“Bermakna… Siti tak tahulah dia ada abang?”
Norlaila geleng.
Nek Romlah mencerlungkan matanya ke arah Norlaila. “Kenapa?”
“Lela tak nak nanti Siti tahu dia anak orang kaya. Takut dia pilih untuk tinggal dengan ayahnya dan tinggalkan kita.”
Nek Romlah angguk mengiyakan kata-kata Norlaila. “Tapi kamu tu strict sangat… cuba tunjukkan sayang sikit dekat budak tu. Kamu nak marah siapa? Susah tu kamu yang cari. Kamu dok dera dia suruh itu suruh ini… sedangkan kamu tahu bapak dia orang berada.”
Norlaila mula rimas bila Nek Romlah buka cerita lama. Asyik-asyik salah dia… asyik-asyik kisah lama itu juga yang diungkit beribu kali. Bukannya dia sengaja berbuat demikian… hatinya yang sudah keras macam batu. Dia tidak mampu hendak berkasih sayang dan bergurau senda macam dulu.
“Taufiq ada bagi Lela duit untuk belanja Siti, mak. Urusan Siti ke asrama dulu tu, dia juga yang beri. Itu sebab Lela tolak bantuan dari mak. Itu hak mak dari hasil titik peluh emak mengurut orang.”
“Mak tak tahu pun?”
“Lela malas nak cerita pasal Taufiq tu… takut Siti dapat tahu.”
“Kamu kena kenalkan pada dia juga satu hari nanti Lela… itukan bapa kandung dia?”
“Lela tahu mak… tapi sekarang ini belum masanya lagi.”
“Kamu nak tunggu sampai bila?”
“Sampai dia benar-benar berjaya dan dapat menunjukkan pada kita hasil kejayaannya.”
“Gasak kamulah Lela,” ujar Nek Romlah yang kadang-kadang tidak begitu setuju dengan tindakan anak perempuannya itu. “Kamu ni tegas tak bertempat,” tambah Nek Romlah yang sudah mula menjulurkan kaki untuk turun dari pangkin. Kering tekaknya berdebat dengan anak yang berkepala batu itu.
“Maksud emak?” Norlaila bertanya tidak puas hati kerana nampak macam Nek Romlah tidak menyetujui tindakannya itu.
Nek Romlah berpusing memandang. “Hai! Tak ingat apa yang telah berlaku bila kamu berkeras mahu ke Kuala Lumpur dulu?”
“Emak ni… asyik-asyik itu sahaja yang disebut… itukan sudah ditakdirkan mak.”
“Nak salahkan takdir?” marah Nek Romlah. “Tak ingat apa kata Bilal Roslan? Kamu yang pilih nak hidup senang… nak kaya… tapi akhirnya?” Nek Romlah jongkit kening bertanya.
Norlaila hanya terdiam bisu. Kaki yang diayun tadi juga sama beku dengan hati dan perasaannya waktu itu.
Nek Romlah melangkah perlahan dengan tangan sebelah memegang pinggang. Kebas barangkali duduk berlama-lama di pangkin itu tanpa dapat barang secawan air pun. Mana dia tak rindukan cucunya? Siti Nasuha kalau mengajak dia santai di pangkin itu waktu petang, habis segala teko kopi dan cekodok di bawa sama. Tidaklah sampai kering tekak berborak tentang isu semasa.
“Kak Lela!” jerit Zalina anak Mak Enon nyaring waktu hampir menjenguk Maghrib itu.
Norlaila yang masih di pangkin merenung masa depannya itu cepat menegakkan badan. “Kenapa Lina?”
“Kak Lela! Mak Melah ada di rumah tak?”
“Ada… kenapa?”
“Mak!” tuturnya sambil tangan kanan menunjuk ke arah rumahnya. “Mak jatuh di bilik air.”
“Kenapa?” soal Norlaila lagi. Pelik pula… baru aje sekejap tadi Mak Enon menegur dia semasa sedang menyapu sampah.
Zalina angkat bahu. Airmatanya sudah bercucuran di pipi.
“Mak!!” jerit Norlaila pula sambil berlari memanjat anak tangga. “Mak Enon sakit… Lina cakap dia jatuh di bilik air.”
Nek Romlah cepat mencapai selendang dan bakul ubatnya. Dia menuruni anak tangga rumah dan diikuti Norlaila dari belakang. Automatik Norlaila mengambil bakul di tangan Nek Romlah dan memimpin tangan emaknya. “Hati-hati langkah tu mak.”
Nek Romlah mengerling tingkah anaknya petang itu yang nampak macam lembut dan ada menunjukkan perasaan sayang.

SEJAK dari malam itu,  Nek Romlah diminta untuk datang setiap hari menunggu Mak Enon. Khidmat Nek Romlah diperlukan untuk mengurut kakaknya itu sehingga pulih dan dapat berjalan seperti biasa. Maklumlah… warga emas ini tulangnya sudah mula rapuh jika tidak rajin minum susu yang dikatakan dapat membekalkan kalsium untuk mengelak kemerosotan jirim tulang. Dua gelas sehari mengikut sukatan yang disyorkan… kekuatan tulang dapat dikekalkan sepenuhnya.
“Tak kan akak tak tahu? Di iklan TV selalu keluar,” ucap Romlah, adiknya. Walau di rumahnya tidak ada peti televisyen… dia dapat peluang menonton semasa mengurut di rumah orang-orang kaya.
“Geli tekak aku nak minum susu ni Melah. Bayi tu lain… itu memang makanan dia.,” betah Mak Enon, si kakak tidak mahu kalah.
“Dua gelas aje sehari… pagi dan petang. Paksa je… main tutup-tutup hidung.”
“Tu la… mak ni degil Mak Melah… Lina dah belikan Anlene untuk dia. Haram dia nak jamah.”
“Lepas ni dia terpaksa minumlah kalau nak baik,” ucap Romlah lagi sambil menarik-narik jari jemari kaki kakaknya itu. Mujur semasa jatuh itu dia sempat memegang bibir kolah air… jika bedebap jatuh ke lantai lagi haru ceritanya.
“Lela kerja?” sempat Mak Enon bertanya.
“Kerja… warung tu mana boleh tutup. Nanti lari pelanggan Mak Minah tu.”
“Akak rindu Sitilah,” ucap Mak Enon.
“Baru petang semalam Melah dan Lela berborak pasal Siti,” cerita Romlah pula. “Rajin cucu aku tu kak… ada aje benda yang dibuat kalau petang-petang tu. Memang tak janji kebulur.”
“Akak tahu,” jawab Mak Enon. “Sambil tadah-tadah air tu pun dia sempat bantu aku kopek bilis, siangkan sayur. Mana aku tak rindu… ringan tulang budak tu."
“Tau takpe,” sahut Romlah bangga.
“Melah!” Mak Enon memanggil perlahan adiknya.
“Kenapa kak?”
“Akak nak mintak maaf banyak-banyak pasal pertelingkahan lama kita tu.”
“Adik beradik kak… air dicincang tak kan putus."           
“Yalah… akak tau. Tapi akak mintak kau maafkan akak. Manalah tahu tiba-tiba akak mati dulu?”
“Melah dah lama maafkan akak. Takde apa yang nak direbutkan kak. Mati esok semua harta dunia ni kita tinggalkan.”
“Itulah.. kita ni masa muda cakap ikut sedap mulut je,” ucap Mak Enon yang sudah di suruh duduk berlunjur untuk mengurut tengkuknya pula. “Akak bimbang betul bila Lokman sibuk hendak menikahi Lela. Tentu Lela jadi janda kaya bila Lokman mati dulu dan meninggalkan tanah miliknya untuk Lela. Sedangkan Siti itu bukan darah daging dia.”
Romlah diam. Dia terus mendengar imbasan pertelingkahan yang berlaku dengan  kakaknya Zainon semasa Lokman sibuk mahu mengambil Norlaila sebagai isteri setelah mendapat tahu Norlaila sudah kembali ke kampung.
“Akhirnya… itu yang Allah beri bila akak sibuk sangat risaukan tentang Lokman… seolah satu doa pula.”
“Tanah tapak rumah ni Kak Lela yang punya ke mak?” tiba-tiba Zalina sibuk mencelah.
“Burrrp!!” terdengar angin sendawa Mak Enon bila tengkuknya diurut. Mak Enon menggeleng. “Kak Lela dah tukar balik nama emak.”
Nampak Zalina melepaskan nafas lega. “Fuh! Kalau tidak tentu kita kena keluar dari sini kan, mak?”
“Kamu ingat Mak Melah dan Kak Lela kamu tu zalim sangat ke?” bentak Romlah yang memang sudah lama menahan geram dengan perangai anak angkat kakaknya itu. Cuma anak angkat aje… tetapi berlagak sungguh. Macamlah dia ada hak di atas harta pusaka itu nanti.
“Hoi! Aku tengah nak pakai air ni, boleh tunggu dulu tak?”
Teringat masa dia menyuruh cucunya itu ke rumah Mak Enon membuka pili untuk manadah air ke kolah mereka. Zalina dengan garangnya menengking Siti Nasuha. Sedangkan kalau ikut perjanjian memang sudah sampai waktu mereka untuk menadah air, dia yang melengah-lengahkan kerjanya, kenapa?
Mujur Siti Nasuha bukan cucu yang gembeng, mudah mengalirkan air mata. Jadi, ditunggunya jugalah sehingga Zalina habis mencuci rambutnya. Kalau ikutkan hati Nek Romlah, mahu sahaja rasanya dicelup Zalina itu ke dalam kolah, cepat sikit siap kerjanya.
Tetapi mereka yang perlu menggunakan air dari paip tunggal yang ada di rumah Mak Enon itu terpaksa bersabar hati dan perasaan.

ZALINA tidak puas hati dengan cerita emaknya dan Mak Melah yang didengar tadi. Dia mendekati dan mengurut-ngurut perlahan emaknya setelah Nek Romlah meninggalkan mereka untuk pulang ke rumah.
“Esok pagi Melah datang lagi kak,” ucap Nek Romlah tadi.
“Suruh Lela datang mandikan aku dulu esok.” Mak Enon ambil kesempatan.
“Insya-ALLAH,” sahut Nek Romlah. Dalam hati marah juga kerana menyusahkan anaknya sedangkan Zalina ada di rumah itu.
“Maaak!” panggil Zalina manja.
“Nak apa?”
“Abang Lokman dah takde ni… geran tanah tu nanti mak nak letak nama siapa?”
Mak Enon terus dapat menangkap maksud Zalina. Tetapi memang dia tak akan letak nama Zalina pun sebab Zalina nanti bakal tinggal dengan suaminya entah dari keturunan mana.
“Biar aje nama mak… kalau mak dah mati nanti, pandai-pandailah abah bawak ke Pejabat Tanah untuk ditentukan siapa miliknya nanti.”
“Mak ni…” marah Zalina. “…dengan Lina pun nak berkira. Lina pun anak mak jugak.”
“Mak tau tu… tapi kamu tu berbintikan Hashim. Tentu Ayah Hashim kamu ada harta yang akan ditinggalkan untuk kamu juga nanti.” Pujuk Mak Enon.
“Ye ke mak?” tanya Zalina kurang percaya. Ayah Hashimnya itu sekarang pun ditahan di Pusat Serenti kerana mengambil dadah. Masa bila dia dapat menyimpan duit untuk membeli harta?
“Tentulah ada,” ujar Mak Enon memujuk.
Zalina senyum kelat sambil menjongkitkan bibir.
“Kamu kena buat baik dengan Siti… dia dah jumpa ayah kandungnya.”
“Anak orang kaya tu?”
Siapa yang tak tahu cerita tentang Norlaila ke bandar berkahwin dengan anak orang kaya?
Mak Enon angguk. “Mak dengan abah nampak bapak dia tu pakai kereta besar.”
“Mak nampak kat mana?”
“Di pasar kelmarin… dia tengah berbual dengan Kak Lela.”
“Hai! Mana mak tau itu ayah Siti?”
“Abah yang cakap… Bilal Roslan beritahu.”
Zalina terangguk-angguk.
“Abah suruh buat baik aje dengan keluarga mereka tu sekarang, mana tau kita pun dapat tempias senang?”
“Wah! Tentu Siti berlagak bila dapat berjumpa dengan ayahnya nanti.”
Mak Enon sentap. Hatinya mula tak keruan. Berlagak yang bagaimana? Ligat otak Mak Enon mengatur jalan bagaimana mahu memulakan langkahnya. 

------------------------------------------------------------------------------------------------------

Bab 4

SHEIKH Muszaffar yang sedang bercuti musim panas itu datang menemui ayahnya. Dia suka daerah itu kerana suasana yang masih aman dan damai. Tidak seperti di Kuala Lumpur dan juga di luar negara tempat dia menimba ilmu sekarang ini.
Seperti biasa, ayahnya akan membawa dia bersarapan di Medan Selera di pekan itu. Sheikh Muzaffar sama gembira menikmati suasana di pekan kecil itu yang meriah sungguh di waktu pagi. Dia pun sudah lama rindu dengan makanan Malaysia.
Namun, dia perasan pada pagi itu, daerah yang dahulunya tenang, kini kelihatan seolah terlebih pula penghuninya bila banyak kereta tertumpu di Medan Selera itu sehingga untuk mendapatkan tempat parkir juga agak susah.
“Ada apa ni ayah… ramai betul orang,” tegur Sheikh Muszaffar.
“Sekolah Teknik tu dah dibuka… itu yang ramai cikgu-cikgu dari luar datang mengajar di sini,” ujar Sheikh Mohamed Taufiq. “Itu Mus belum tengok lagi kalau hujung minggu. Ibubapa yang datang dari daerah luar menghantar dan menjemput anak-anak mereka… macam kilang kereta pecah gayanya.”
“Kilang kereta pecah?” Sheikh Muszaffar pelik mendengar ayat dari ayahnya itu.
Sheikh Mohamed Taufiq angguk sambil melempar senyum. “Macam-macam kereta ada… yang besar yang kecik… kalau dari jenama buatan Malaysia ni jangan cakaplah,” cerita Sheikh Mohamed Taufiq.
“Bermakna… pekan ini sekarang sudah bertambah majulah ayah?” soal Sheikh Muszaffar tumpang bangga dengan daerah itu.
Sheikh Mohamed Taufiq angguk. “Jom! Kita sarapan tempat biasa,” ajaknya. “Nasi lemak berlauk di Warung Mak Minah tu sedap sungguh… ayah selalu bersarapan di situ aje.”
“Nasi lemak berlauk?” tanya Sheikh Muszaffar sambil mengekor langkah ayahnya.
“Nanti Mus pilihlah sendiri… macam-macam ada.”
“Hahaha…” Sheikh Muszaffar ketawa geli hati apabila ayahnya mengajuk iklan di Astro.
“Assalamualaikum… selamat pagi,” tegur Sheikh Mohamed Taufiq ramah. Kerusi plastik ditarik dan dia melabuhkan duduk. “Saya macam biasa Mak Minah,” pintanya.
Mak Minah datang menghampiri. Wajah Sheikh Muszaffar direnung. “Adik ke?” soal Mak Minah.
“Anak saya ni Mak Minah.”
“Oo… ye ke? Tak sangka dah ada anak bujang.”
“Saya ni kalau ada anak dara… dah nak mintak kahwin agaknya Mak Minah,” seloroh Sheikh Mohamed Taufiq dengan mata yang mengerling ke arah Norlaila.
“Nak makan apa nak?”
“Sama macam ayah ajelah.” Pinta Sheikh Muszaffar tidak biasa makan di warung itu. Biasanya dulu semasa dia datang waktu cuti sekolah, dia kirim karipap aje selain roti canai.
Norlaila yang sedang sibuk membuat persediaan memasak lauk-lauk untuk menu nasi campur itu sesekali mengerling pasangan dua beranak itu sambil memasang telinga.
“Makcik yang jual karipap tu dah tak berjualan lagi ke ayah?”
“Dia dah jadi tukang masak…” ujar Sheikh Mohamed Taufiq dengan suara yang sengaja dikuatkan volumenya. “Kuih buat sikit-sikit aje sebab anak perempuannya yang membantu tu dah ke sekolah asrama penuh.”
Sheikh Muszaffar terdiam. Dia mengikut ayahnya ke situ untuk mengetahui tentang Siti Nasuha. Semenjak berjumpa di warung sate dahulu… sampai sekarang tiada berita dari gadis itu. Padahal dia sudah memberitahu ada surat di dalam beg kertas berserta hadiah pen parker yang diberikan.
“Dalam Malaysia ni ke?” soal Sheikh Muszaffar, sengaja. Masakan dia mahu terus terang bertanya ke sekolah asrama di mana?
“Lepas PMR sekolah di Malaysia nilah. Kalau lepas SPM tu mungkin juga keluar dari Malaysia,” ucap Sheikh Mohamed Taufiq.
“Bijak juga budak perempuan tu, kan ayah? Sambil-sambil bantu berjualan pun dia boleh berjaya dalam peperiksaan.”
Norlaila yang mendengar perbualan orang dua beranak itu senyum di dalam hati… bangga kerana yang sedang menjadi topik perbualan mereka itu adalah anaknya, Siti Nasuha.
Sheikh Mohamed Taufiq angguk. Ayam goreng berempah itu digonggong sahaja dengan menggunakan tangan. Anaknya mengerling dengan sikap si ayah yang berselera makan seolah di rumah pula.

“AYAH! Surat untuk Mus takde ke?”
“Mus ada guna alamat rumah ni ke?”
“Ada beberapa urusan dan kawan yang Mus guna alamat sini,” ujar Sheikh Muzaffar yang membelek-belek laci meja konsol yang berisi surat dan segala bil.
Puas sudah diselongkar… surat yang diberi kepada Siti Nasuha dahulu itu seolah tidak mendapat balasan. Mengapa?
Sheikh Muszaffar mendekati ayahnya di ruang tamu lalu melabuhkan duduk. “Ayah! Kesian pulak Mus tengok Makcik Lela tu… sendirian aje berjualan. Dulu ada anak perempuan dia… ringan sikit kerja… kan?” soalnya sambil menarik akhbar di atas meja kopi.
Sheikh Mohamed Taufiq merenung wajah si anak dari cermin mata yang dilurutkan ke batang hidung. Dia sendiri sangat kasihan melihat anaknya itu yang membesar hanya dengan nenek dan ayah yang sentiasa sibuk dengan urusan perniagaan. Ibunya… Sharifah Salwa meninggal dunia semasa melahirkan Sheikh Muszaffar kerana komplikasi jantung. Sejak lahir memang dia tidak pernah merasakan belaian dan kasih sayang dari seorang ibu. Sebab itu Uminya Engku Maimunah begitu cerewet di dalam memilih menantu bimbang cucu tunggalnya itu diabaikan.
“Kenapa tiba-tiba Mus teringatkan Makcik Lela?”
“Mus hairan juga kenapa dalam ramai-ramai orang ayah boleh baik dengan Mak cik Lela tu?” soal Sheikh Muszaffar mengelak dari memberikan jawapan kepada soalan ayahnya tadi.
Sheikh Mohamed Taufiq sudah lama menyimpan jawapan kepada soalan anaknya itu. Memang dia percaya satu hari soalan seperti itu tentu akan ditanya oleh si anak. “Makcik Lela dengan Ucu Faredah yang ada bakery tu pernah datang bekerja di Kuala Lumpur. Masa itulah ayah pernah jumpa dan kenal dengan mereka.”
Sheikh Muszaffar berpaling memandang wajah ayahnya. “Oo… dah lamalah maknanya?”
Sheikh Mohamed Taufiq angguk. “Tak sangka bila ayah kena urus projek pembinaan di daerah ini, ayah jumpa mereka semula.”
“Tapi Ucu Faredah tu nampak macam lebih bernasib baik kerana ada bakery.”
“Nasib orang Mus… hanya Tuhan sahaja yang tahu apa yang dirancang untuk setiap umatnya.”
“Maknanya… Makcik Lela tak dapatlah selalu nak jenguk anaknya tu?” soal Sheikh Muszaffar yang dapat mengagak dalam kepayahan hidup, masakan Norlaila dapat menjenguk anak perempuannya di asrama itu setiap bulan?
“Dia balik masa cuti penggal ajelah,” ucap Sheikh Mohamed Taufiq sambil melipat akhbar dan meletaknya ke tepi. “Ayah ada juga pelawa Makcik Lela tu untuk bawa dia berjumpa anaknya kalau rindu… tapi dia tolak.”
“Jauh ke tempatnya?”
“MRSM  di Kulim.”
“Fuh! Kalau naik teksi puas juga nak membayar tambangnya, kan ayah?”
“Itulah… ayah pun kesian juga dengan nasib mereka. Nak dibantu dia tak sudi pulak.”
Sheikh Muszaffar sudah berkira-kira di dalam kepala mahu menjenguk Siti Nasuha bagi pihak emaknya sementara dia masih bercuti dan tidak ada apa yang mahu dibuatnya. Ayah pula sibuk sepanjang masa… adik beradik lain juga tak ada hendak diajak berjimba-jimba. Apa salahnya? 



-bersambung-

September 6, 2015

Cumulonimbus





Bab 1

PAGI itu Norlaila mengejut anaknya untuk bersolat Subuh. Oleh kerana sudah terbiasa bangun awal pagi untuk menolong menggoreng kuih, maka Siti Nasuha terus bangun dan bersila di atas katil. Tetapi mindanya teringat pula bahawa emaknya bercuti dari jualan kuih dan nasi lemaknya pada pagi itu.
            “Mak! Lima minit lagi boleh mak?” tanya Siti Nasuha yang masih lagi mau bermalas-malas.
            Sejuk kut pagi-pagi itu… jika memang tidak ada urusan, sedap sungguh menarik selimut dan menyambung tidur.
            “Kalau dah nak mati, boleh cakap tunggu lagi lima minit ke?” begitu Norlaila  mengingatkan.
            Siti Nasuha terus bangun bila Norlaila sebut tentang mati. Selimut, dilipat dan dia  mengemas katil sebelum turun ke bilik mandi. Adoi! Memang seksa hendak mandi pagi-pagi begini… sebab air di dalam kolah simpanan itu amat sejuk sekali. Di rumah mereka tiada saluran paip air yang dipasang terus ke dalam rumah. Air diambil dari rumah Pak Yahya yang disalurkan dengan getah yang panjang ke rumah mereka.
Rumah yang didiami oleh Siti Nasuha, Norlaila dan Nek Romlah itu merupakan rumah pusaka. Apabila Mak Enon mendapat bahagiannya, dia mula mendirikan rumah batu yang besar siap dengan bekalan letrik dan paip air. Jadi, apabila adiknya Romlah  memerlukan air, dia akan buka dari rumah kakaknya Zainon dan apabila penuh akan segera menutupnya pula.
            Bila bil air sampai setiap bulan, mereka akan bahagi dua. Tidak kiralah siapa yang pakai lebih, kerana sudah begitu perjanjiannya sejak mula sehingga Romlah mampu memasang saluran paip air terus ke rumahnya sendiri nanti. Walau bertelingkah bagaimana hebat pun perjanjian itu masih dipatuhi. Tetapi Pak Yahya memang baik orangnya. Cuma dia seolah dikuasai oleh Mak Enon sahaja.     
Usai solat Siti Nasuha turun ke dapur. Di mata tangga, dia terpandang emaknya baru masuk dari arah belakang dengan menjimbit beg kertas. Teringat pula, kotak berisi pen dan surat yang belum habis dibaca itu masih belum disimpan lagi.
            Siti Nasuha yang masih bermalas-malasan itu buntang mata. “Mak, mana kotak pen Siti dalam beg kertas tu?” cepat dia membuka pertanyaan. Mana dia berani hendak beritahu di dalam itu ada surat yang belum dibaca lagi?
            “Kotak pen tu ada mak letak atas tingkat buku tepi pintu. Tadi ingat nak buang aje beg ni, tapi nampak cantik pulak… itu yang mak ambil balik,” kata Norlaila sambil meletakan beg kertas itu di atas timbunan surat khabar lama yang dibekalkan oleh Pak Yahya untuk membungkus nasi lemak.
            “Mak! Hari ni Siti nak pergi jumpa Zeti untuk urusan ke asrama tu boleh tak?” Siti Nasuha minta izin Norlaila sambil menapak mendekati timbunan surat khabar lama itu untuk mengambil beg kertas yang berisi surat semalam.
Memang kebetulan Zeti terpilih untuk ke asrama penuh sama tempat dengannya. Zeti yang amat teruja itu memberi cadangan agar Siti Nasuha pergi menumpang kereta bapanya kerana dia tahu Siti Nasuha tidak punya sesiapa. Tetapi cadangan Zeti itu belum lagi disuarakan pada emaknya, bimbang jadi kemarahan pula.
            “Bila?” tanya Norlaila pula.
            “Pagi inilah.”
            Tengahari sikit nanti sudah waktu orang sibuk hendak memasak. Petang pula tentu dia tidak dibenarkan keluar sebab Zeti tinggal di kawasan perumahan seberang sana sungai.
            “Jangan lama-lama... pagi-pagi ni orang banyak kerja, kamu nak pergi bersembang pula.” Tegur Norlaila.
Memang dia tahu… kalau dengan emaknya, semua waktu pun tak kena. Cakap tengahari, dia kata itu waktu orang nak berkumpul makan dengan keluarga. Cakap lepas Zohor, dia kata waktu orang hendak berehat pula. Kalau petang sudah tentu dia tak benarkan tanpa ada teman kerana bila hendak balik ke sini nanti hari sudah mulai gelap.
Bahaya untuk melepasi pokok-pokok getah yang tingginya sudah mendongak ke langit itu. Di pangkalnya sudah ditumbuhi semak samun kerana pokok-pokok itu sudah lama ditinggalkan tidak bertoreh lagi.
            Atuk dan nenek dulu-dulu, mahukan bidang tanah yang luas untuk mereka bercucuk tanam kerana mereka dari golongan yang tiada pelajaran. Tetapi sekarang ini anak cucu mereka tidak pandang itu semua kerana di bandar kecil itu tidak ada prospek bagi mereka yang berpelajaran tinggi. Oleh itu mereka sudah beralih arah ke kota-kota besar untuk berlumba-lumba mencari kerja yang lebih bagus dengan gaji yang lebih lumayan setimpal dengan usaha mereka.
            Mana ada lagi anak-anak muda kampung itu yang hendak tinggal dan bekerja di situ? Orang muda mana yang masih mahu menoreh getah, menyangkul dan berkebun seperti yang dilakukan oleh atuk dan nenek mereka? Daripada mereka menoreh pangkal getah, lebih baik mereka menjadi guru sekolah.
            Oleh yang demikian, mereka yang berpelajaran, yang mempunyai kelulusan dan yang memegang ijazah, semuanya sudah berhijrah dan bekerja di bandar. Apatah lagi yang berkelulusan dalam bidang IT… mana ada tempat mereka di pekan kecil ini?
            Mereka-mereka itu pula sudah membawa sekali ibu dan bapa mereka ke bandar agar senang tinggal sebumbung, tidak payah bersusah-susah untuk mereka berulang alik menjengah orang tua mereka di kampung.
Untungnya mereka, bila ibu dan bapa dibawa sama, anak-anak tidak perlu dititipkan ke rumah jagaan kanak-kanak. Mereka sudah tentunya merasa senang hati untuk keluar bekerja setiap hari bila anak-anak itu diletakkan di bawah penyeliaan ibu bapa sendiri.
            Yang tuanya pula, teringin juga hendak merasa melihat pembangunan yang berlaku di bandar selama ini. Setiap kali pilihanraya umum mereka juga keluar mengundi sama, tentu mereka rasa berhak untuk menikmati hasilnya.
            Sebab itulah rumah-rumah mereka di kampung sekarang ini, semuanya sudah usang kerana ditinggalkan tanpa penjagaan. Pokok-pokok getah sekeliling rumah mereka juga ditinggalkan begitu sahaja tanpa ada orang yang menoreh susunya. Semak samun pula sudah mula sampai ke pinggang. Tetapi jika harga getah mula naik melambung, pandai pula mereka mengupah orang untuk mengerjakan. Masa itu nanti barulah keliling kawasan itu hendak dibersihkan.
            “Tak payahlah,” ucap Siti Nasuha apabila diraba di dalam beg kertas itu sudah tiada suratnya. Tentu emaknya sudah membuangnya sekali dengan sampah pagi tadi.
Hampa.
Alasan untuk ke rumah Zeti itu pun untuk ambil peluang membaca surat itu. Tapi kalau dah tak ada… apa perlu dia ke sana?
            “Kenapa?” tanya Norlaila sambil menjengulkan kepalanya dari pintu bilik air.
            “Malas pulak rasanya nak keluar ke rumah orang pagi-pagi ni, jauh pulak tu.” Siti Nasuha cuba beri alasan yang munasabah.
            “Lagipun Siti takut, teringatkan anak Pak Leman yang diserang anjing tu,” tambahnya lebih menguatkan alasan.
            “Kalau rasa perlu tu pergi ajelah… karang petang dah sibuk nak buat kuih pulak.” Sahut Norlaila dari dalam bilik air yang sedang mencangkung mencuci baju.
            “Tak apalah mak… tak penting pun,” ujar Siti Nasuha, kecewa kerana tidak tahu apa isi surat yang tidak sempat dibacanya itu.
            Penyapu dicapai dari belakang pintu. Siti Nasuha mula menyapu untuk mencari serata ruang dapur, manalah tahu kalau ada terselit di mana-mana? Serata lantai dan di bawah almari habis disapu namun kelibat surat itu tidak juga ditemui. Dia pasti emaknya  sudah terbuang sama dengan sampah-sampah yang lain-lainnya tadi.
            Dia menjengah dari tingkap dapur yang menghala ke lubang sampah sebelah sana rumah yang dikongsi dengan rumah Pak Yahya. Di kawasan mereka itu, perkhidmatan mengangkut sampah ini masih belum ada lagi. Penduduk di situ hanya membayar cukai tanah sahaja. Tiada cukai pintu atau cukai dari pihak Indah Water. Jadi, orang-orang kampung yang tinggal hanya beberapa keluarga sahaja di situ, terpaksa membuang sampah di dalam lubang besar yang digali oleh jentera back-hoe.
            Kelihatan asap sudah mula berkepul menandakan sampah sudah siap dibakar. Bermakna kalau surat itu ada di situ, sudah tinggal abu sajalah. Siti Nasuha menekur memerhati kepulan asap yang naik tinggi ke udara. Ini kalau tinggal di bandar sudah tentu kena saman.
            “Apa yang kamu pandang tu?” tanya Norlaila yang sudah siap membasuh kain.
            Siti Nasuha yang terkejut itu terus menuding telunjuk keluar tingkap. “Tu!” dia menunjuk ke arah lubang sampah sambil minda cepat mencari idea untuk menjawab soalan. “Pagi-pagi asap dah berkepul… siapa yang membakar sampah?” tanya Siti Nasuha pula yang tiba-tiba seakan sibuk mahu ambil tahu.
            “Emaklah tadi, masa buang sampah tu. Tak kan nak mengharapkan Mak Enon dan Pak Yahya tu aje? Lambat sikit karang dah bau busuk sisa-sisa makanan tu dan lalat pun cepat aje nak kerumun.”
            “Kalau di Kuala Lumpur tu dah tentu kena saman mak,” ujar Siti Nasuha seolah bekerja dengan Jabatan Alam Sekitar gayanya.
            “Kuala Lumpur tu hutan batu… di sini masih menghijau pokok-pokoknya. Ular sawa pun mampu jadi anaconda,” kata Norlaila macam orang kerja dengan National Geography pula.
            “Nak buat sarapan apa mak?” soal Siti Nasuha mengalih tajuk perbualan.
            “Masak nasi ajelah terus… tak payah nak banyak-banyak kerja,” arah Norlaila  yang sudah berada di laman menyidai kain basuhannya.
            Walau tangan sibuk mencuci beras, ingatan Siti Nasuha tetap tentang surat yang tidak sempat dibaca itu. Teringin sangat hendak tahu apa isi kandungannya. Masakan  dia hendak pergi berjumpa dengan Pakcik Taufiq bertanyakan padanya? Tentu sekarang ini pun dia sudah tidak akan datang lagi ke warung kerana anaknya yang meminati kuih karipap buatan emaknya itu sudah ke Kuala Lumpur untuk membuat program persediaan menyambung belajar keluar negera.
            Tak apalah… dah tak ada rezeki, nak buat macam mana?


--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------



Bab 2

NORLAILA ke Bakery Ucu Faredah tengahari itu semasa diberi peluang untuk berhenti rehat. Hatinya tidak sabar hendak menunjukkan surat yang ditemui di dalam beg kertas pemberian anak Sheikh Mohamed Taufiq. Menggigil tangannya meraba surat dari dalam poket tepi baju kurung.
“Kenapa Lela?” tanya Ucu Faredah yang juga sedang duduk merehatkan diri.
“Ucu… cuba tengok ni.”
Ucu Faredah segera menyambut surat yang diberi. Dia membuka perlahan kertas bersaiz A4  yang dilipat 4 itu.
Dear Siti,
 Saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf kerana mengirim surat ini. First and foremost, saya kenalkan diri saya… Sheikh Muszaffar bin Sheikh Mohamed Taufiq. Saya tinggal di Kuala Lumpur bersama nenek saya dan akan ke daerah ini bertemu dengan ayah saya semasa cuti sekolah sahaja.
Ayah saya seorang Consultant Pembinaan dengan syarikat Al-Habsyi Constructions… di mana syarikat kami sedang mendirikan rumah-rumah mampu milik di daerah ini. Ayah saya tinggal di Taman Paya Indah.
Pada September ini, saya akan ke UK untuk menyambung pengajian di dalam jurusan architecture bersesuaian dengan syarikat kami yang bakal saya ambil alih pada suatu hari nanti… insya-ALLAH.
Sampai di situ Ucu Faredah terdiam dan cepat melipat kembali surat itu. Dia melongo sekejap memikirkan apa yang dibaca tadi untuk mencerna cerita.
“Anak Taufiq… kan?” soal Norlaila bila Ucu Faredah kaku bagai disumpah oleh emak si Tanggang.
Ucu Faredah angguk perlahan. Dia kemudian merenung wajah Norlaila. “Dia tak  tahu ke mereka berdua tu adik beradik?”
Norlaila pula menggeleng. “Rasanya belum,” jawab Norlaila begitu yakin kerana anaknya tidak pula bertanya itu dan ini tentang isi kandungan surat yang diberi. Walaupun surat itu seperti sudah dibuka, Norlaila pasti Siti Nasuha belum sempat membacanya kerana malam itu dia sakit kepala dan Siti Nasuha datang memicit kepalanya sehingga tertidur sama.
“Engkau tak nak beritahu dia ke Lela?”
Norlaila geleng. “Biarlah Cu… aku malas nak story telling ni. Hati aku dah macam batu tau… nak bergelak ketawa pun aku dah tak mampu.”
“Engkau dah pernah jumpa dengan Taufiq tu?”
“Dah! Bersungguh-sungguh dia tanya… jika itu anak aku dengan dia dulu. Aku jawab ya ajelah.”
“Dia tanya engkau di Warung Mak Minah tu?”
Norlaila pandang wajah Ucu Faredah. “Gila engkau? Nak suruh semua orang tahu dia tu bekas suami aku ke?”
“Habis tu? Engkau pergi ke rumahnya?” Ucu Faredah teruja sangat mahu tahu pertemuan pertama Norlaila setelah lama terpisah dengan bekas suaminya itu.
“Di Restoran Puteri tu… dia ajak aku makan di situ. Dia nak tahu apa sebenarnya yang telah berlaku sehingga aku tinggalkan dia tanpa kata.”
“Apa dia cakap?”
“Dia tahu suami aku dah lama meninggal… dia ajak aku berbaik semula. Dia pun tak pernah berkahwin lagi selepas dengan aku dulu.”
“Engkau setuju?”
Norlaila geleng. “Aku masih takutkan Engku Maimunah tu… lagipun aku masih sayangkan Lokman.”
“Lokman dah takde Lela… engkau lupa ke?”
“Aku tahu Cu… tapi apa kata orang keliling nanti bila dah tua macam ini masih nak berlaki lagi.”
“Dulu… engkau tak fikirkan tentang orang keliling pun semasa engkau mengikut Taufiq menikah di Sempadan Siam tu?”
Norlaila memandang wajah Ucu Faredah dengan teguran itu. Terkedu juga di hati bila sahabat baiknya sekarang ini baru hendak menegur tindakan yang dilakukannya lama dahulu.
“Dulu aku muda lagi Cu… tengah ikut hati. Memang aku pernah cakap dengan emak… aku mahu cari suami dari kalangan orang kaya. Aku mahu hidup yang berbeza… aku mahu anak-anak aku nanti hidup senang. Bukan yang kais pagi makan pagi. Bila dah dapat aku rembat ajelah… mana aku tahu begitu akhirnya?”
Ucu Faredah terdiam mendengar.
“Aku mintak maaf banyak-banyak pada engkau Cu… pasal Lokman dengan engkau yang hendak bertunang tu memang aku tak tahu.”
“Abaikanlah Lela… memang bukan jodoh aku dengannya… nak buat macam mana?” ujar Ucu Faredah. “Kalau tidak pun tentu aku sudah jadi janda.”
Norlaila mengusap bahu teman baiknya itu.
“Tapi aku nak try Sheikh Mohamed Taufiq tu kalau engkau tak mahu…hehehe,” Ucu Faredah gelak mengusik.
Norlaila beri senyum cuak. “Engkau nak jadi emak tiri anak aku ke?”
“Apa salahnya? Aku dengan engkau pun bukan sesiapa.”
“Hahahaha…” Norlaila dan Ucu Faredah kemudian serentak gelak bagai nak gila.



- bersambung -




LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...