September 14, 2015

Cumulonimbus Part 3 & 4

Bab 3

DIAM tak diam, setahun sudah berlalu semenjak Norlaila ditinggalkan oleh anak tunggalnya mencari ilmu jauh di rantauan. Nek Romlah duduk bersila di atas pangkin bawah pokok rambutan gading sambil memerhati anaknya Norlaila menyapu dedaun kering di laman rumah.
Riuh kedengaran suara burung murai menyanyi di hujung dahan. Teringat dia akan Siti Nasuha yang suka memerhati burung itu menyanyi.


“Burung tu bawa pesan,” kata Nek Romlah.
“Mana nenek tahu?”
“Cuba dengar betul-betul… ada berita yang disampaikan.”
“Manalah Siti faham dengan bahasa burung, nek.”
“Cuma orang lama-lama aje yang faham.”
“Cuba nenek alih bahasa burung tu?”
“Siti… Nasuha… nak… tinggalkan… nenek.” Nek Romlah cuba mengajuk berita yang disampaikan oleh burung murai di atas dahan itu.
Siti Nasuha tiba-tiba melambakkan ketawanya bila lagu yang diajuk oleh Nek Romlah itu bertepatan dengan lagu yang dinyanyikan oleh burung murai tadi.
“Rindu pulak dekat Siti.” Tiba-tiba Nek Romlah bersuara bila teringatkan hilai tawa cucu kesayangannya itu walau hidup di dalam kepayahan sedari kecil. Kasihan cucunya itu tidak pernah mendapat kasih sayang dari seorang bapa.
Norlaila yang sedang menyapu laman itu terhenti dan terus mendekati ibunya. “Apa mak cakap?” soalnya yang kurang mendengar gumam ibunya tadi.
“Rindu Siti."
“Diam tak diam… dah setahun dia di sana, mak,” ujar Norlaila meletakkan penyapu lidi di pangkal pokok rambutan dan dia sama melabuhkan punggung di atas pangkin itu.
Nek Romlah angguk            
“Tahun ini dia dah nak SPM… mungkin tak selalu balik, katanya.”            
Nek Romlah angguk lagi. “Kesian dia tidak pernah mengenal bapanya,” ucap Nek Romlah tiba-tiba.
“Kenapa mak cakap macam tu?”
“Yalah… sekarang ini dia sudah pandai hidup berdikari. Esok-esok bila dia sudah hendak bersuami… tentu dia perlukan bapanya sebagai wali.”
“Lela dah jumpa ayahnya mak.”
Nek Romlah berpaling sembilan puluh darjah memandang wajah anaknya. “Di mana?”
“Dia sekarang tinggal di daerah ini… menguruskan projek perumahan syarikat keluarganya.”
“Kenapa tak bawak kenalkan pada emak?” Nek Romlah rasa teruja mahu melihat bekas menantu yang hanya dikenali dengan namanya sahaja.
“Mak!” tegur Norlaila. “Lela dengan dia dah tak ada hubungan mak.”
Nek Romlah terdiam sambil angguk perlahan. “Dia tahu kamu tinggal di sini?”
Norlaila geleng.
“Habis tu… Siti Nasuha bagaimana?”
Norlaila geleng lagi. Kecut perutnya bila Nek Romlah mula menyoal gaya polis dari Bukit Aman. “Siti selalu jumpa dia bersarapan pagi di Warung Mak Minah tu… cuma Lela tak beritahu itu ayahnya.”
“Makan di warung? Isterinya tak masak ke?” cepat Nek Romlah meneka.
“Dia cakap… dia tidak pernah beristeri lagi selepas dengan Lela dulu.”
“Jadi… dia di sini sendirian?”
Norlaila angguk. “Tapi kadang-kadang anak lelakinya dengan isteri pertama dulu akan datang waktu cuti sekolah.”
“Bermakna… Siti tak tahulah dia ada abang?”
Norlaila geleng.
Nek Romlah mencerlungkan matanya ke arah Norlaila. “Kenapa?”
“Lela tak nak nanti Siti tahu dia anak orang kaya. Takut dia pilih untuk tinggal dengan ayahnya dan tinggalkan kita.”
Nek Romlah angguk mengiyakan kata-kata Norlaila. “Tapi kamu tu strict sangat… cuba tunjukkan sayang sikit dekat budak tu. Kamu nak marah siapa? Susah tu kamu yang cari. Kamu dok dera dia suruh itu suruh ini… sedangkan kamu tahu bapak dia orang berada.”
Norlaila mula rimas bila Nek Romlah buka cerita lama. Asyik-asyik salah dia… asyik-asyik kisah lama itu juga yang diungkit beribu kali. Bukannya dia sengaja berbuat demikian… hatinya yang sudah keras macam batu. Dia tidak mampu hendak berkasih sayang dan bergurau senda macam dulu.
“Taufiq ada bagi Lela duit untuk belanja Siti, mak. Urusan Siti ke asrama dulu tu, dia juga yang beri. Itu sebab Lela tolak bantuan dari mak. Itu hak mak dari hasil titik peluh emak mengurut orang.”
“Mak tak tahu pun?”
“Lela malas nak cerita pasal Taufiq tu… takut Siti dapat tahu.”
“Kamu kena kenalkan pada dia juga satu hari nanti Lela… itukan bapa kandung dia?”
“Lela tahu mak… tapi sekarang ini belum masanya lagi.”
“Kamu nak tunggu sampai bila?”
“Sampai dia benar-benar berjaya dan dapat menunjukkan pada kita hasil kejayaannya.”
“Gasak kamulah Lela,” ujar Nek Romlah yang kadang-kadang tidak begitu setuju dengan tindakan anak perempuannya itu. “Kamu ni tegas tak bertempat,” tambah Nek Romlah yang sudah mula menjulurkan kaki untuk turun dari pangkin. Kering tekaknya berdebat dengan anak yang berkepala batu itu.
“Maksud emak?” Norlaila bertanya tidak puas hati kerana nampak macam Nek Romlah tidak menyetujui tindakannya itu.
Nek Romlah berpusing memandang. “Hai! Tak ingat apa yang telah berlaku bila kamu berkeras mahu ke Kuala Lumpur dulu?”
“Emak ni… asyik-asyik itu sahaja yang disebut… itukan sudah ditakdirkan mak.”
“Nak salahkan takdir?” marah Nek Romlah. “Tak ingat apa kata Bilal Roslan? Kamu yang pilih nak hidup senang… nak kaya… tapi akhirnya?” Nek Romlah jongkit kening bertanya.
Norlaila hanya terdiam bisu. Kaki yang diayun tadi juga sama beku dengan hati dan perasaannya waktu itu.
Nek Romlah melangkah perlahan dengan tangan sebelah memegang pinggang. Kebas barangkali duduk berlama-lama di pangkin itu tanpa dapat barang secawan air pun. Mana dia tak rindukan cucunya? Siti Nasuha kalau mengajak dia santai di pangkin itu waktu petang, habis segala teko kopi dan cekodok di bawa sama. Tidaklah sampai kering tekak berborak tentang isu semasa.
“Kak Lela!” jerit Zalina anak Mak Enon nyaring waktu hampir menjenguk Maghrib itu.
Norlaila yang masih di pangkin merenung masa depannya itu cepat menegakkan badan. “Kenapa Lina?”
“Kak Lela! Mak Melah ada di rumah tak?”
“Ada… kenapa?”
“Mak!” tuturnya sambil tangan kanan menunjuk ke arah rumahnya. “Mak jatuh di bilik air.”
“Kenapa?” soal Norlaila lagi. Pelik pula… baru aje sekejap tadi Mak Enon menegur dia semasa sedang menyapu sampah.
Zalina angkat bahu. Airmatanya sudah bercucuran di pipi.
“Mak!!” jerit Norlaila pula sambil berlari memanjat anak tangga. “Mak Enon sakit… Lina cakap dia jatuh di bilik air.”
Nek Romlah cepat mencapai selendang dan bakul ubatnya. Dia menuruni anak tangga rumah dan diikuti Norlaila dari belakang. Automatik Norlaila mengambil bakul di tangan Nek Romlah dan memimpin tangan emaknya. “Hati-hati langkah tu mak.”
Nek Romlah mengerling tingkah anaknya petang itu yang nampak macam lembut dan ada menunjukkan perasaan sayang.

SEJAK dari malam itu,  Nek Romlah diminta untuk datang setiap hari menunggu Mak Enon. Khidmat Nek Romlah diperlukan untuk mengurut kakaknya itu sehingga pulih dan dapat berjalan seperti biasa. Maklumlah… warga emas ini tulangnya sudah mula rapuh jika tidak rajin minum susu yang dikatakan dapat membekalkan kalsium untuk mengelak kemerosotan jirim tulang. Dua gelas sehari mengikut sukatan yang disyorkan… kekuatan tulang dapat dikekalkan sepenuhnya.
“Tak kan akak tak tahu? Di iklan TV selalu keluar,” ucap Romlah, adiknya. Walau di rumahnya tidak ada peti televisyen… dia dapat peluang menonton semasa mengurut di rumah orang-orang kaya.
“Geli tekak aku nak minum susu ni Melah. Bayi tu lain… itu memang makanan dia.,” betah Mak Enon, si kakak tidak mahu kalah.
“Dua gelas aje sehari… pagi dan petang. Paksa je… main tutup-tutup hidung.”
“Tu la… mak ni degil Mak Melah… Lina dah belikan Anlene untuk dia. Haram dia nak jamah.”
“Lepas ni dia terpaksa minumlah kalau nak baik,” ucap Romlah lagi sambil menarik-narik jari jemari kaki kakaknya itu. Mujur semasa jatuh itu dia sempat memegang bibir kolah air… jika bedebap jatuh ke lantai lagi haru ceritanya.
“Lela kerja?” sempat Mak Enon bertanya.
“Kerja… warung tu mana boleh tutup. Nanti lari pelanggan Mak Minah tu.”
“Akak rindu Sitilah,” ucap Mak Enon.
“Baru petang semalam Melah dan Lela berborak pasal Siti,” cerita Romlah pula. “Rajin cucu aku tu kak… ada aje benda yang dibuat kalau petang-petang tu. Memang tak janji kebulur.”
“Akak tahu,” jawab Mak Enon. “Sambil tadah-tadah air tu pun dia sempat bantu aku kopek bilis, siangkan sayur. Mana aku tak rindu… ringan tulang budak tu."
“Tau takpe,” sahut Romlah bangga.
“Melah!” Mak Enon memanggil perlahan adiknya.
“Kenapa kak?”
“Akak nak mintak maaf banyak-banyak pasal pertelingkahan lama kita tu.”
“Adik beradik kak… air dicincang tak kan putus."           
“Yalah… akak tau. Tapi akak mintak kau maafkan akak. Manalah tahu tiba-tiba akak mati dulu?”
“Melah dah lama maafkan akak. Takde apa yang nak direbutkan kak. Mati esok semua harta dunia ni kita tinggalkan.”
“Itulah.. kita ni masa muda cakap ikut sedap mulut je,” ucap Mak Enon yang sudah di suruh duduk berlunjur untuk mengurut tengkuknya pula. “Akak bimbang betul bila Lokman sibuk hendak menikahi Lela. Tentu Lela jadi janda kaya bila Lokman mati dulu dan meninggalkan tanah miliknya untuk Lela. Sedangkan Siti itu bukan darah daging dia.”
Romlah diam. Dia terus mendengar imbasan pertelingkahan yang berlaku dengan  kakaknya Zainon semasa Lokman sibuk mahu mengambil Norlaila sebagai isteri setelah mendapat tahu Norlaila sudah kembali ke kampung.
“Akhirnya… itu yang Allah beri bila akak sibuk sangat risaukan tentang Lokman… seolah satu doa pula.”
“Tanah tapak rumah ni Kak Lela yang punya ke mak?” tiba-tiba Zalina sibuk mencelah.
“Burrrp!!” terdengar angin sendawa Mak Enon bila tengkuknya diurut. Mak Enon menggeleng. “Kak Lela dah tukar balik nama emak.”
Nampak Zalina melepaskan nafas lega. “Fuh! Kalau tidak tentu kita kena keluar dari sini kan, mak?”
“Kamu ingat Mak Melah dan Kak Lela kamu tu zalim sangat ke?” bentak Romlah yang memang sudah lama menahan geram dengan perangai anak angkat kakaknya itu. Cuma anak angkat aje… tetapi berlagak sungguh. Macamlah dia ada hak di atas harta pusaka itu nanti.
“Hoi! Aku tengah nak pakai air ni, boleh tunggu dulu tak?”
Teringat masa dia menyuruh cucunya itu ke rumah Mak Enon membuka pili untuk manadah air ke kolah mereka. Zalina dengan garangnya menengking Siti Nasuha. Sedangkan kalau ikut perjanjian memang sudah sampai waktu mereka untuk menadah air, dia yang melengah-lengahkan kerjanya, kenapa?
Mujur Siti Nasuha bukan cucu yang gembeng, mudah mengalirkan air mata. Jadi, ditunggunya jugalah sehingga Zalina habis mencuci rambutnya. Kalau ikutkan hati Nek Romlah, mahu sahaja rasanya dicelup Zalina itu ke dalam kolah, cepat sikit siap kerjanya.
Tetapi mereka yang perlu menggunakan air dari paip tunggal yang ada di rumah Mak Enon itu terpaksa bersabar hati dan perasaan.

ZALINA tidak puas hati dengan cerita emaknya dan Mak Melah yang didengar tadi. Dia mendekati dan mengurut-ngurut perlahan emaknya setelah Nek Romlah meninggalkan mereka untuk pulang ke rumah.
“Esok pagi Melah datang lagi kak,” ucap Nek Romlah tadi.
“Suruh Lela datang mandikan aku dulu esok.” Mak Enon ambil kesempatan.
“Insya-ALLAH,” sahut Nek Romlah. Dalam hati marah juga kerana menyusahkan anaknya sedangkan Zalina ada di rumah itu.
“Maaak!” panggil Zalina manja.
“Nak apa?”
“Abang Lokman dah takde ni… geran tanah tu nanti mak nak letak nama siapa?”
Mak Enon terus dapat menangkap maksud Zalina. Tetapi memang dia tak akan letak nama Zalina pun sebab Zalina nanti bakal tinggal dengan suaminya entah dari keturunan mana.
“Biar aje nama mak… kalau mak dah mati nanti, pandai-pandailah abah bawak ke Pejabat Tanah untuk ditentukan siapa miliknya nanti.”
“Mak ni…” marah Zalina. “…dengan Lina pun nak berkira. Lina pun anak mak jugak.”
“Mak tau tu… tapi kamu tu berbintikan Hashim. Tentu Ayah Hashim kamu ada harta yang akan ditinggalkan untuk kamu juga nanti.” Pujuk Mak Enon.
“Ye ke mak?” tanya Zalina kurang percaya. Ayah Hashimnya itu sekarang pun ditahan di Pusat Serenti kerana mengambil dadah. Masa bila dia dapat menyimpan duit untuk membeli harta?
“Tentulah ada,” ujar Mak Enon memujuk.
Zalina senyum kelat sambil menjongkitkan bibir.
“Kamu kena buat baik dengan Siti… dia dah jumpa ayah kandungnya.”
“Anak orang kaya tu?”
Siapa yang tak tahu cerita tentang Norlaila ke bandar berkahwin dengan anak orang kaya?
Mak Enon angguk. “Mak dengan abah nampak bapak dia tu pakai kereta besar.”
“Mak nampak kat mana?”
“Di pasar kelmarin… dia tengah berbual dengan Kak Lela.”
“Hai! Mana mak tau itu ayah Siti?”
“Abah yang cakap… Bilal Roslan beritahu.”
Zalina terangguk-angguk.
“Abah suruh buat baik aje dengan keluarga mereka tu sekarang, mana tau kita pun dapat tempias senang?”
“Wah! Tentu Siti berlagak bila dapat berjumpa dengan ayahnya nanti.”
Mak Enon sentap. Hatinya mula tak keruan. Berlagak yang bagaimana? Ligat otak Mak Enon mengatur jalan bagaimana mahu memulakan langkahnya. 

------------------------------------------------------------------------------------------------------

Bab 4

SHEIKH Muszaffar yang sedang bercuti musim panas itu datang menemui ayahnya. Dia suka daerah itu kerana suasana yang masih aman dan damai. Tidak seperti di Kuala Lumpur dan juga di luar negara tempat dia menimba ilmu sekarang ini.
Seperti biasa, ayahnya akan membawa dia bersarapan di Medan Selera di pekan itu. Sheikh Muzaffar sama gembira menikmati suasana di pekan kecil itu yang meriah sungguh di waktu pagi. Dia pun sudah lama rindu dengan makanan Malaysia.
Namun, dia perasan pada pagi itu, daerah yang dahulunya tenang, kini kelihatan seolah terlebih pula penghuninya bila banyak kereta tertumpu di Medan Selera itu sehingga untuk mendapatkan tempat parkir juga agak susah.
“Ada apa ni ayah… ramai betul orang,” tegur Sheikh Muszaffar.
“Sekolah Teknik tu dah dibuka… itu yang ramai cikgu-cikgu dari luar datang mengajar di sini,” ujar Sheikh Mohamed Taufiq. “Itu Mus belum tengok lagi kalau hujung minggu. Ibubapa yang datang dari daerah luar menghantar dan menjemput anak-anak mereka… macam kilang kereta pecah gayanya.”
“Kilang kereta pecah?” Sheikh Muszaffar pelik mendengar ayat dari ayahnya itu.
Sheikh Mohamed Taufiq angguk sambil melempar senyum. “Macam-macam kereta ada… yang besar yang kecik… kalau dari jenama buatan Malaysia ni jangan cakaplah,” cerita Sheikh Mohamed Taufiq.
“Bermakna… pekan ini sekarang sudah bertambah majulah ayah?” soal Sheikh Muszaffar tumpang bangga dengan daerah itu.
Sheikh Mohamed Taufiq angguk. “Jom! Kita sarapan tempat biasa,” ajaknya. “Nasi lemak berlauk di Warung Mak Minah tu sedap sungguh… ayah selalu bersarapan di situ aje.”
“Nasi lemak berlauk?” tanya Sheikh Muszaffar sambil mengekor langkah ayahnya.
“Nanti Mus pilihlah sendiri… macam-macam ada.”
“Hahaha…” Sheikh Muszaffar ketawa geli hati apabila ayahnya mengajuk iklan di Astro.
“Assalamualaikum… selamat pagi,” tegur Sheikh Mohamed Taufiq ramah. Kerusi plastik ditarik dan dia melabuhkan duduk. “Saya macam biasa Mak Minah,” pintanya.
Mak Minah datang menghampiri. Wajah Sheikh Muszaffar direnung. “Adik ke?” soal Mak Minah.
“Anak saya ni Mak Minah.”
“Oo… ye ke? Tak sangka dah ada anak bujang.”
“Saya ni kalau ada anak dara… dah nak mintak kahwin agaknya Mak Minah,” seloroh Sheikh Mohamed Taufiq dengan mata yang mengerling ke arah Norlaila.
“Nak makan apa nak?”
“Sama macam ayah ajelah.” Pinta Sheikh Muszaffar tidak biasa makan di warung itu. Biasanya dulu semasa dia datang waktu cuti sekolah, dia kirim karipap aje selain roti canai.
Norlaila yang sedang sibuk membuat persediaan memasak lauk-lauk untuk menu nasi campur itu sesekali mengerling pasangan dua beranak itu sambil memasang telinga.
“Makcik yang jual karipap tu dah tak berjualan lagi ke ayah?”
“Dia dah jadi tukang masak…” ujar Sheikh Mohamed Taufiq dengan suara yang sengaja dikuatkan volumenya. “Kuih buat sikit-sikit aje sebab anak perempuannya yang membantu tu dah ke sekolah asrama penuh.”
Sheikh Muszaffar terdiam. Dia mengikut ayahnya ke situ untuk mengetahui tentang Siti Nasuha. Semenjak berjumpa di warung sate dahulu… sampai sekarang tiada berita dari gadis itu. Padahal dia sudah memberitahu ada surat di dalam beg kertas berserta hadiah pen parker yang diberikan.
“Dalam Malaysia ni ke?” soal Sheikh Muszaffar, sengaja. Masakan dia mahu terus terang bertanya ke sekolah asrama di mana?
“Lepas PMR sekolah di Malaysia nilah. Kalau lepas SPM tu mungkin juga keluar dari Malaysia,” ucap Sheikh Mohamed Taufiq.
“Bijak juga budak perempuan tu, kan ayah? Sambil-sambil bantu berjualan pun dia boleh berjaya dalam peperiksaan.”
Norlaila yang mendengar perbualan orang dua beranak itu senyum di dalam hati… bangga kerana yang sedang menjadi topik perbualan mereka itu adalah anaknya, Siti Nasuha.
Sheikh Mohamed Taufiq angguk. Ayam goreng berempah itu digonggong sahaja dengan menggunakan tangan. Anaknya mengerling dengan sikap si ayah yang berselera makan seolah di rumah pula.

“AYAH! Surat untuk Mus takde ke?”
“Mus ada guna alamat rumah ni ke?”
“Ada beberapa urusan dan kawan yang Mus guna alamat sini,” ujar Sheikh Muzaffar yang membelek-belek laci meja konsol yang berisi surat dan segala bil.
Puas sudah diselongkar… surat yang diberi kepada Siti Nasuha dahulu itu seolah tidak mendapat balasan. Mengapa?
Sheikh Muszaffar mendekati ayahnya di ruang tamu lalu melabuhkan duduk. “Ayah! Kesian pulak Mus tengok Makcik Lela tu… sendirian aje berjualan. Dulu ada anak perempuan dia… ringan sikit kerja… kan?” soalnya sambil menarik akhbar di atas meja kopi.
Sheikh Mohamed Taufiq merenung wajah si anak dari cermin mata yang dilurutkan ke batang hidung. Dia sendiri sangat kasihan melihat anaknya itu yang membesar hanya dengan nenek dan ayah yang sentiasa sibuk dengan urusan perniagaan. Ibunya… Sharifah Salwa meninggal dunia semasa melahirkan Sheikh Muszaffar kerana komplikasi jantung. Sejak lahir memang dia tidak pernah merasakan belaian dan kasih sayang dari seorang ibu. Sebab itu Uminya Engku Maimunah begitu cerewet di dalam memilih menantu bimbang cucu tunggalnya itu diabaikan.
“Kenapa tiba-tiba Mus teringatkan Makcik Lela?”
“Mus hairan juga kenapa dalam ramai-ramai orang ayah boleh baik dengan Mak cik Lela tu?” soal Sheikh Muszaffar mengelak dari memberikan jawapan kepada soalan ayahnya tadi.
Sheikh Mohamed Taufiq sudah lama menyimpan jawapan kepada soalan anaknya itu. Memang dia percaya satu hari soalan seperti itu tentu akan ditanya oleh si anak. “Makcik Lela dengan Ucu Faredah yang ada bakery tu pernah datang bekerja di Kuala Lumpur. Masa itulah ayah pernah jumpa dan kenal dengan mereka.”
Sheikh Muszaffar berpaling memandang wajah ayahnya. “Oo… dah lamalah maknanya?”
Sheikh Mohamed Taufiq angguk. “Tak sangka bila ayah kena urus projek pembinaan di daerah ini, ayah jumpa mereka semula.”
“Tapi Ucu Faredah tu nampak macam lebih bernasib baik kerana ada bakery.”
“Nasib orang Mus… hanya Tuhan sahaja yang tahu apa yang dirancang untuk setiap umatnya.”
“Maknanya… Makcik Lela tak dapatlah selalu nak jenguk anaknya tu?” soal Sheikh Muszaffar yang dapat mengagak dalam kepayahan hidup, masakan Norlaila dapat menjenguk anak perempuannya di asrama itu setiap bulan?
“Dia balik masa cuti penggal ajelah,” ucap Sheikh Mohamed Taufiq sambil melipat akhbar dan meletaknya ke tepi. “Ayah ada juga pelawa Makcik Lela tu untuk bawa dia berjumpa anaknya kalau rindu… tapi dia tolak.”
“Jauh ke tempatnya?”
“MRSM  di Kulim.”
“Fuh! Kalau naik teksi puas juga nak membayar tambangnya, kan ayah?”
“Itulah… ayah pun kesian juga dengan nasib mereka. Nak dibantu dia tak sudi pulak.”
Sheikh Muszaffar sudah berkira-kira di dalam kepala mahu menjenguk Siti Nasuha bagi pihak emaknya sementara dia masih bercuti dan tidak ada apa yang mahu dibuatnya. Ayah pula sibuk sepanjang masa… adik beradik lain juga tak ada hendak diajak berjimba-jimba. Apa salahnya? 



-bersambung-

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...