Showing posts with label Cerpen. Show all posts
Showing posts with label Cerpen. Show all posts

May 9, 2011

Murderer in d'House...(finale)

Eh? Aku terkejut pagi itu bila bangun dia ada tercongok di tangga arah ke dapur berkain pelikat dan memetik gitar. Bukan kata emak dia dah kahwin lari dengan tunangnya ke?

Zamani, anak sedara ayah menegur ku pagi itu. Aku nampak mukanya lebam dan bercalar balar. Apa hal dia ni? Kena belasah dengan bakal mertuanya ke? Aku sesekali mengerling memandang wajahnya sambil berfikir mencari cerita di sebalik kejadian kehilangannya dan Hasnah malam kelmarin.

Pagi itu pula, kami dikejutkan dengan berita tentang penemuan mayat yang rentung dalam sebuah kereta yang hangus terbakar di dalam sebuah ladang sawit. Berita itu menjadi tajuk utama setiap akhbar. Mayat yang rentung itu dipercayai mayat Hasnah, gadis yang dilapurkan hilang oleh keluarganya. Mayat itu dikenal pasti  menerusi bangkai kereta dan cincin yang ditemui. Memang brutal pembunuhnya...dahsyat!

Akibatnya...semua saksi menuding ke arah Zamani...kebetulan malam kejadian, Hasnah memberitahu ibu bapanya dia hendak keluar menonton bersama Zamani.

Zack juga mengiyakan cerita dengan mengatakan dia dan Wira nampak mereka berdua melepasi warung Mak Munah malam itu. Wira terpaksa mengangguk...bimbang akan diheret sama ke balai polis untuk memberi kenyataan. Bukan kes biasa pulak tu...mau dia tak takut? Takut tahap gaban. Lagipun dia bukan tahu apa-apa...sampai sudah dia tak berani munculkan diri untuk bercerita kisah dia sama mengikut Zack dengan motosikal ke ladang sawit itu. Siapa yang membunuh dan membakar kereta dengan Hasnah di dalamnya itu dia memang tidak tahu menahu.

Zamani, anak sedara ayah menjadi tertuduh kelas pertama dalam kes pembunuhan itu yang berlaku di awal tahun tujuh puluhan. Di ketika kaedah DNA belum ditemukan. Sebelah pihak Hasnah sudah tentu memandang serong kepada keluarga kami kerana Zamani yang mengaku anak sedara ayah dan tinggal bersama kami seketika sebelum dia menemui rumah sewa.

Sementelah, kejadian berlaku tidak lama selepas mereka ditunangkan dan keluarga kami iaitu emak dan ayah pula yang menjadi wakil meminang ke rumah keluarga orang kaya Tok Penghulu Bakar waktu itu. Kesnya dihadapkan ke mahkamah...sehingga akhir Zamani tidak mengaku melakukan pembunuhan itu. Dia juga tidak tahu siapa yang tidak berhati perut sehingga tergamak membunuh dan membakar gadis tunangnya itu.

Adakah Zack sanggup berbuat demikian? Adakah dendam Zack yang hanya ditolak peminangannya sanggup bertindak sekejam itu? Hanya Allah sahaja yang tahu....

Ayah hanya menerima takdir Allah, walau emak pot pat pot pet juga mulutnya hampir setiap pagi mengenangkan peristiwa yang berlaku.

Zamani, memang tidak kelihatan lagi sejak itu. Mengapa dia tidak ceritakan tentang pembiayaan majlis pertunangannya dengan Hasnah itu? Adakah kerana dia sudah termakan budi Zack? Ada ke sesiapa yang saja-saja nak tolong kalau tidak ada udang di sebalik batu? Atau adakah Zamani akhirnya belot bila dia sendiri sudah sangat menyayangi tunangnya itu?

Akhirnya...Zamani diputuskan bersalah dan dihantar ke penjara di Pulau Jerejak. Sejak itu kami tidak lagi mendapat khabar berita. Namun, satu pagi aku menerima sepucuk surat darinya yang sedang melalui hukuman di penjara tersebut. Dia minta dihalalkan makan dan minum selama dia menumpang hidup di rumah kami. Isi kandungan khabar yang dikirim itu ditapis dahulu oleh pihak penjara dan aku yang membalas juga tidak bertanya banyak. Cuma emak dan ayah minta disampaikan salam, semoga dia tabah melalui harinya yang sudah ditakdirkan.

Menurut ayah, di dalam surat yang ku tulis, jangan pernah merasa takut jika bukan dia yang melakukan kerana Allah sentiasa berada di pihak yang benar. Sesuatu yang kita suka itu, mungkin tidak baik untuk kita dan begitu juga sebaliknya kerana Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui apa yang DIA lakukan ke atas hambaNYA. Wallahualam.

Junie Octovian: Cuba membongkar rahsia semalam...

May 5, 2011

Murderer in d'House...(part 9)

Zack yang mendengar pernyataan temannya tadi menjadi sangat geram. Dia membuka pintu kereta dan mengekor Wira dari belakang sambil membuka helmetnya.

Wira yang masih berhelmet itu tidak mendengar derapan kaki Zack yang mengikut dia dari belakang.

Dengan sekuat tenaga bercampur perasaan yang sedang marah itu, Zack menghayun laju helmet tepat mengenai kepala Wira. Apalagi..........

Wira terjelepuk menyembah bumi dan tidak berkutik lagi.

Manakala si tunang yang disepak masuk ke longkang besar di tepi jalan tadi sedaya upaya cuba merangkak naik. Dengan terhuyung hayang dia mencari jalan pulang dengan hanya berseluar dalam.

'Celaka engkau Zack....nak belasah pun agak-agak la...' omel si tunang yang mengaku anak sedara ayah. 'Mana ada dalam skrip aku kena tinggal tepi jalan pakai seluar dalam aje?'

Dia sebenarnya diupah oleh Zack untuk meminang Hasnah yang tergila-gilakannya. Sedangkan Zack yang sangat meminati Hasnah dan telah cuba masuk meminang, ditolak pula. Dalam agendanya dia hendak membalas dendam terhadap perempuan itu dengan menggunakan mamat yang entah sapa-sapa dan dari mana aje yang diminati oleh Hasnah ini. Patut la...

Benar kata emak, kalau nak harap duit dia yang bekerja di kilang tu mana ada cukup baru kerja tak berapa bulan dah berani nak masuk meminang anak dara orang?

Kebetulan juga si mamat ni tak berapa nak suka dengan perangai Hasnah yang kegedikan dan dikatakan mempunyai ramai teman lelaki dan sering pula bertukar pasangan. Zack pun apalagi, dia menggunakan peluang yang ada itu untuk meneruskan hasrat hatinya. Dengan kuasanya sebagai Supervisor di kilang tempat mereka sama-sama bekerja itu, dia mendekati Zamani.

'Engkau tak minat ke dengan perempuan tu?' tanya Zack satu hari ketika dia duduk semeja dengan Zamani sewaktu rehat di kantin kilang.

'Mahal...anak Penghulu Kampung,' jawab Zamani spontan.

'Kalau kau minat, aku boleh tolong...no hal,' ujar Zack.

Zamani berpaling terkejut dengan pernyataan Zack. 'Tolong yang macam mana?'

'Aku beritahu engkau awal-awallah ye...perempuan ni memang ada class, anak orang kaya. Kebetulan dia pun minat dengan engkau nampak gayanya. Tapi, untuk pengetahuan engkau, dia ni memang tak puas dengan sorang lelaki tau...' Zack cuba mengapi.

Zamani mengangguk...dia yang baharu bekerja tak berapa bulan di situ pun dah nampak Hasnah menerima semua pelawaan lelaki yang mengajak dia keluar makan. Lepas tu dengar sungutan dari beberapa orang yang mengadu bila masuk meminang ditolaknya pula, sedangkan dia dah puas makan belanja mereka.

'Tapi kalau kau masih nak mencuba aku boleh tolong,' beritahu Zack lagi.

'Tak apa la..terima kasih aje,' ujar Zamani. '...aku tak nak terkena. Aku kalau boleh nak cari isteri yang setia. Kalau hanya kerja kilang macam ni, aku tak yakin rumahtangga kami akan kekal lama.'

'Apa masalah engkau sebenarnya?' tanya Zack.

'Aku manalah ada duit?' jawab Zamani pula. '...gaji cukup-cukup makan aje.'

'Kan aku cakap...kalau kau minat aku boleh tolong.'

'Nak tolong yang macam mana? Kenapa tidak engkau aje yang masuk meminang? Aku tengok engkau pun macam tak lepas pandang kalau nampak dia.'

'Dah!' jelas Zack. '...aku dah cuba. Dia tolak mentah-mentah. Kesian emak dan bapak aku. Bapak aku tu Ketua Pemuda Umno kat kawasan aku tau? Malu la dia...lepas tu, aku balik yang kena marah sebab tak cermin muka dulu.'

'Kalau engkau anak Ketua Pemuda Umno pun dia tak nak, inikan pulak aku?'

Zack berpaling memandang. 'Nak cuba tak?'

'Tak berani la..'

'Kau cuba la..kalau dia terima, aku tolong engkau untuk wang belanja majlis tunang nanti.'

'Engkau biar betul?'

Zack melemparkan senyuman penuh makna. Hanya dia dan Allah sahaja yang tahu apa agenda di sebalik rancangannya itu.

                                                                                                     ~ bersambung ~

May 4, 2011

Murderer in d'House...(part 8)

Jalan yang diarah oleh Zack sunyi sepi di waktu malam. Kiri kanan dipenuhi dengan kebun-kebun getah dan kebun kelapa sawit yang sudah tinggi menjulang menyerupai Hutan Hujan Tropika.

'Encik...' Hasnah yang memandu merasa nyawanya sudah di hujung tanduk.

Zack berpaling dengan wajah yang masih bertutup dengan full-faced helmetnya. Nampak dah kelabu-kelabu berkabus dalam cermin topi keledarnya itu, namun kerana desakan syaitan tadi dia tidak terasa rimas pulak.

'Hah! Masuk depan lorong situ!' bentak Zack mengarah dengan telunjuk tegak menuding ke arah kanan. Mujur tak tercucuk mata Hasnah yang sedang ketakutan itu.

'Nak ke mana ni? Kan jalan tu gelap...bukan ada rumah orang dalam sawit ni?' Hasnah sudah berani bertanya bila arah yang ditunjuk itu sangat pelik untuk dilalui di waktu malam hari.

Orang yang empunya kebun, yang sangat mengetahui akan keadaan dalam ladang sawitnya itu pun tak bekerja di malam hari. Ini dia tak pasal-pasal disuruh memandu masuk ke situ nak cari apa kalau bukan ada perkara tak baik yang menjadi agenda utama si pengarah yang tak bertauliah ini.

Akalnya cepat mengajar agar melawan. Apa-apa pun lebih baik melawan dari mengikut telunjuk manusia yang dah bertopengkan syaitan, bisik hatinya. Dengan kudrat yang ada dia memutar stereng kereta mengelak dari masuk ke haluan yang diarahkan.

Zack di sebelah terkejut bukan kepalang. Tak tersangka minah kurus keremping itu tidak mahu mengikut arahan. Pandai pulak dia melawan. Memang nak kena penangan...dah la dia lama menahan sabar dek tolakan peminangan, enak-enak lagi dia lalu lalang depan mata teman tu dengan tunangan. Huisy! Geram tahap gaban.

Sepantas kilat dia sama memaut stereng yang dah terbabas dari laluan arahannya.

Hasnah yang gamam memijak brek mengejut.

Zack yang dah menggelegak panas hatinya itu, menampar kuat pipi Hasnah. 'Paaaaaaaaaaang!' ambik engkau. Mau bertemu pipi kiri dan kanannya malam itu. Tak sempat merasakan kesakitan dia dah terkulai ke cermin pintu.

Zack membuka pintunya dan keluar ke pintu pemandu. Hasnah ditarik keluar dan dipikul masuk ke tempat duduk bahagian belakang. Dia pula mengambil alih pemanduan dan sesuka hati boleh ke mana sahaja yang dia mahu malam itu.

Wira yang patuh mengekori dengan motosikal dari belakang sedikit ketinggalan waktu itu. Ketika dia sama tiba di tempat kejadian, dia mendapati Zack pula yang memandu ke arah dalam kebun sawit itu. Dia yang merasa adegan semakin pelik menonggang motosikal melepasi kereta dan menahan Zack di laluan tanah merah itu.

Cermin  topi yang menutup bahagian muka diangkat. 'Hei! Kau nak buat apa ni?' dia bertanya sambil mengetuk cermin kereta bahagian pemandu.

Zack menurunkan cermin kereta. 'Jangan banyak songeh la...ikut aje.'

'Woh..ho...ho..' Wira sedikit menapak ke belakang. 'Mintak maaf ye...aku tak nak terlibat dengan perkara macam ni. Kalau kau nak buat, kau buat la sensorang.' Wira cepat menapak meninggalkan Zack yang sudah kerasukan itu tanpa memandang ke belakang lagi.

Tiba-tiba.........

                                                                                                         ~ bersambung ~

Murderer in d'House...(part 7)

Zack yang memakai full-faced helmet cepat memberhentikan motosikalnya di belakang kereta.

'Hei, Zack! Kau nak buat apa ni?' tanya Wira.

''Kau tunggu aje sini...aku ada hal dengan minah sombong ni,' ujar Zack pula sambil terus menapak deras ke kereta.

Cermin kereta yang bertutup rapat sebelah pemandu diketuk kuat.

'Ya encik...encik nak apa?' tanya si tunang setelah menurunkan cermin tingkap.

Tanpa menjawab pertanyaan, tangannya telah melolos masuk ke dalam kereta dan menarik punat yang mengunci kereta itu. Pintu kereta dibuka dan si tunang tadi ditarik keluar. Kepala tunang tadi dihentak dengan siku dan kemudian dia menyepaknya hingga hampir lembik.

Hasnah di tempat duduk pemandu hanya mampu menjerit. Namun pekikannya tiada siapa yang mendengar. Wira yang menunggu di motosikal tadi dah tak tau nak buat apa...nak ditolong, nanti dia juga akan dikerjakan oleh si Zack yang sedang mengganas itu. Maka dia dah terpaku di situ macam patung cendana.

'Tanggalkan baju dan seluar engkau sekarang,' arah Zack kepada si tunang yang dah lebam biram jadinya.
'Cepat! Topi keledarnya masih kekal berpakai. Mungkin dia tidak mahu dikenali oleh mereka berdua itu.

Si tunang dalam keadaan yang lemah menanggalkan kemeja dan jeans yang dipakai tanpa rasa malu dan segan lagi. Kini dia yang hanya berseluar dalam berdiri longlai menutup tubuh dengan dua tangannya.

Zack kemudian membelasahnya teruk.

Si tunang yang tidak tahan dibelasah itu pura-pura tidak lagi melawan dan memejamkan matanya.

Dalam gelap Zack merapati tubuh lelaki cekeding itu. Bila disangka lelaki itu hanya tinggal nyawa-nyawa ikan sahaja, maka dia menolak tubuh lelaki itu dengan kakinya sehingga tergolek masuk ke dalam longkang besar di tepi jalan.

Wira yang terpacak memandang kejadian malam itu yang tidak termasuk dalam agendanya langsung, menggigil kepala lutut menunggu. Kalau ada sesiapa yang lalu, mati aku. Bisik hatinya. Ni...kalau jadi apa-apa  dah tentu aku pun terlibat sama. Gila!

Zack yang bagai dirasuk itu cepat masuk ke dalam kereta dan menutup pintu. 'Jalan!' arahnya pada Hasnah dengan suara yang keras dan garang.

Hasnah yang sedang sangat ketakutan itu tidak sempat untuk berfikir dan mengesyaki suara yang mengarah.

'Ke..ke...mana encik?' suara menggigilnya bertanya.

'Buat U-turn...tiba simpang depan sana tu ambil kiri,' perintah Zack.

Hasnah mengikut arahan dengan air mata yang dah beranak sungai. Sesekali dia menjeling cermin pandang belakang memerhati tunangnya yang ditinggalkan di dalam longkang besar di tepi jalan itu jika dia ada bangun mengejarnya dari belakang.

Wira yang menunggu di motosikal tadi, menghidupkan enjinnya dan mengekori kereta dari belakang.

                                                                                                         ~ bersambung ~

May 3, 2011

Murderer in d'House...(part 6)

Manakala Hasnah dan tunangnya yang di dalam kereta tadi.....

'Apa yang susah sangat kalau nak diajak keluar?' tanya Hasnah.

'Tak adalah...kita kan baru bertunang aje, nanti apa kata family you pulak?' beritahu si tunang.

'Family I tak kisah la...dia orang semuanya sporting. Asal I pandai jaga diri, jangan buat yang tak baik sudah.' Jelas Hasnah pula.

'Kita nak ke mana ni?' tanya si tunang pula.

'Tengok wayang nak? Ada cerita best punya....Poseidon Adventure.'

'You belanja ke?'

'I've no issue.' jawab Hasnah pula.

'Okay then, I'm on.'

Setelah rancangannya dipersetujui, maka Hasnah pun meneruskan pemanduannya ke panggung yang menayangkan filem tersebut. Namun dia yang sekejap-sekejap memandang cermin pandang belakang itu, perasan keretanya diekori oleh sebuah motosikal Scrambler. Untuk mengelak dari perasaan wasangkanya itu, dia cuba mengambil jalan alternatif. Jalan yang dipilih itu memang agak jauh kerana terpaksa sedikit melencong dari jalan sebenar. Dia berani berbuat demikian kerana tunangnya ada bersama.

'Kata nak tengok wayang? Kenapa ikut jalan ni?' tegur si tunang.

Dia yang baru tinggal di daerah itu pun kenal jalan yang dipilih oleh Hasnah untuk ke panggung Metro itu agak jauh. Padahal kalau dia ikut jalan terus tadi, mungkin mereka dah lama sampai. Tadi dia diam aje kerana menyangka Hasnah mahu berdua-duaan dengannya. Bila dia melihat ada kelainan pada gelagat Hasnah yang agak mencurigakan itu baru dia bertanya.

'You kenal tak motosikal yang mengikut kita di belakang tu?'

Si tunang berpaling ke belakang menoleh. Lama dia merenung untuk mengenali. Ramai aje yang pakai motosikal macam tu. Mana boleh nak agak sesiapa pun? Dia kemudian kembali memandang Hasnah dan menggelengkan kepala. Kenapa Hasnah risau pulak? Dia ada bermusuh dengan sesiapa ke yang membuatkan dia resah dan bimbang apabila melihat sebuah motosikal yang mengikutnya itu?

Hasnah dah mula cemas. 'Damn...menyesal ikut jalan ni tadi,' rungut Hasnah.

'Kenapa?'

'Jalannya sunyi...jauh lagi nak sampai pulak tu. Jalannya tak berlampu...gelap,' omel Hasnah.

'Tak ada apa-apa la...I kan ada?' si tunang memberikan keyakinan.

'Ketepi! Ketepi!' suara lelaki penunggang motosikal mengarah gaya Usop Wilcha.

Hasnah yang ketakutan cepat membrek. 'Sreeeeeeeeeeet!'

                                                                                                         ~ bersambung ~

Murderer in d'House...(part 5)

'Celaka betul pompuan tu...' beritahu Zack pada Wira. 'Tuih!' Dia meludah gaya orang India yang makan sireh. Pergh! Dekat semeter jauhnya.

'Apa ni Zack...orang tengah makan main ludah-ludah pulak dia?' ujar Wira yang sedang menyuap Nasi Lemak Kukus di warung Mak Munah malam itu.

'Malu tau?' Jawab Zack geram. 'Aku suruh emak bapak aku pinang dia elok-elok, dia tolak mentah-mentah. Kesian emak bapak aku tau?'

'Biasa la tu...yang engkau pun tak beritahu dia yang engkau nak hantar emak bapak engkau datang meminang tu kenapa?' tegur Wira.

'Ai? Masa kerja tu elok aje dia layan aku?' jawab Zack pula. 'Aku siap belanja makan dekat kantin kilang tu dia terima aje, tak banyak songeh pun?'

'Dia tu memang baik dengan semua orang la aku tengok. Masa engkau cuti dulu, Atan Kuyu belanja dia makan pun dia layan aje?' cerita Wira lagi.

'Kurang ajar pompuan ni...memang nak kena dengan aku.' Zack masih bersungut. 'Emak aku siap nangis-nangis masa beritahu aku. Dia salahkan aku sebab tak confirmkan dulu dengan Hasnah, tu sebab Hasnah tu tak tau. Dia cakap dia dah ada pilihan sendiri. Rupanya dengan budak cekeding tu? Hisy! Memang cari nahas dia ni...'

'Dah la...makan. Yang kau sibuk sangat tu kenapa? Dia dah tak sudi...nak buat macam mana?' ujar Wira memujuk temannya.

'Kau cakap senang la...tak kena batang hidung engkau. Dia tolak aku tak apa tau? Tapi dia dah libatkan emak dan bapak aku. Malu orang tua aku tu, siapa nak tanggung?'

'Wei..wei..wei...' Wira angkat dua belah tangan. 'Aku bukan nak sebelahkan sesiapa...tapi aku rasa engkau pun tak betul juga.' Wira cuba berdiplomasi dengan Zack. 'Sepatutnya...engkau kena beritahu Hasnah yang engkau nak hantar emak dan bapak engkau ke rumahnya untuk meminang dia. Tapi engkau tidak....main terjah aje.'

'Tak ada...aku tak puas hati. Kalau dia pilih engkau pun aku masih boleh terima. Ni...budak dari Felda mana entah yang jadi pilihan dia. Aku marah betul la...' cerita Zack masih belum berpuas hati.

Lebih kepada cemburu sebenarnya. Dia yang menjadi Supervisor di kilang itu, telah lama menaruh hati dengan Hasnah. Puas dah dia umpan perempuan itu dengan belanja dia makan di kantin waktu rehat. Nampak gaya dia terima aje, tak sangka pulak bila masuk meminang, kena reject.

Wira dah tak tahu nak layan macam mana. Dia meneruskan suapannya. Dah order tak makan, rugi tau?

Tiba-tiba......
Sebuah kereta yang amat dikenali melintas lalu di depan warung Mak Munah. Kelibat pemandu dan orang sebelahnya pun sangat dikenali oleh Zack dan Wira.

'Jom!' ajak Zack geram.

'Ke mana?'

'Ikut je la...'

'Ni sapa nak bayar?' tanya Wira bila melihat Zack dah mula menyarung topi keledar.

'Mak Munah!' jerit Zack yang sudah mula menghidupkan enjin Scramblernya. '...masuk buku dulu!'

Mak Munah di belakang sedang mencuci piring hanya menjeling. Dia pun bukan suka sangat dengan perangai Zack tu....suka memerintah. Baru jadi Supervisor kilang dah berlagak.

Sekejap kemudian Wira pun sudah sama bertenggek di atas motor tersebut dan mereka berdua sudah berdesup meninggalkan warung Mak Munah.

                                                                                                         ~ bersambung ~

                                                                                                    

May 2, 2011

Murderer In d'House...(part 4)

Lepas waktu Maghrib, emak suruh baca Yaasin ramai-ramai. Bimbang anak sedara ayah yang keluar dengan tunangnya tak balik-balik. Entah ke mana perginya...macam-macam aje.

'Aku dah cakap...pipit dengan enggang, mana nak sama. Bila dah jadi macam ni...hah! tak pasal-pasal kita yang malu walaupun dia tu baru ni aje datang ke rumah kita. Kalau apa-apa jadi, mesti dia orang tuduh kita sama subahat.' Leter emak panjang lebar.

Ayah hanya mendiamkan diri.

'Kalau dah tak sabar sangat, tak payah mintak tunang-tunang....cakap aje mintak dinikahkan, kan ke senang?' Emak tak puas hati, dia menyambung lagi.

'Dah la tu....' ayah naik lemas dengan leteran emak. '...kita tau ke benda macam ni nak jadi?' ayah tanya emak.

'Ye la....kan dari mula dulu aku dah cakap. Mulut aku ni,' emak menunjukkan ke muncungnya. 'Allah Taala yang membelahnya.'

'Doakan...mudah-mudahan aje tak ada apa-apa,' ayah mengarah.

Lewat malam itu, emak masuk ke bilik mamat yang disyaki lari bersama tunangnya. Habis segala barangan beliau diperiksa.

'Tak padan...kalau ditengokkan, pijak semut pun tak mati. Belakang kita, boleh pulak dia nak bawak lari anak dara orang?' Emak membebel sendirian kerana aku yakin tadi ayah dah masuk tidur.

'Nak kahwin free ke hapa?'

Entah apa yang emak cari, aku pun tak tahu. Tapi tiada seorang antara kami yang mendengar bebelan emak itu berani nak turut campur. Kami semua sedia maklum, walaupun kami tak senang macam keluarga Tok Penghulu tu, tapi emak adalah Ketua Kumpulan Yaasin Wanita di kawasan situ. Tidak secara langsung, dia dikenali ramai. Jika sesuatu buruk berlaku dalam keluarga kami, sudah tentu mereka akan kaitkan penglibatan emak dengan tingkah laku kami semua. Malu besar tau?

'Dia kan ada kunci rumah mak?' aku beritahu emak yang tak senang duduk. Seolah dia mahu menunggu kepulangan anak sedara ayah tu pulak sedangkan ayah rileks je.

'Dia ada kunci tu yang buat aku lebih bimbang,' sahut emak yang mundar mandir.

Aku di meja belajar ruang tengah itu rimas dibuatnya.

'Patut hari tu masa dia beritahu dah dapat rumah sewa, emak mintak balik kunci rumah tu...lupa betul la,' emak menggaru kepala tak gatal.

'Dia ada cerita apa-apa dengan engkau tak?' tiba-tiba emak bertanya.

Aku berpaling terkejut.

'Cerita apa?'

'Apa-apa ajelah...'

Aku kerut muka.

'Bertegur sapa pun tak pernah...'

'Bagus!' Puji emak. 'Jadi orang perempuan ni, jangan mudah nak makan budi.'

Aku tambah pelik. Apahal pulak aku yang jadi sasaran? Serius sangat ke mamat ni punya hal yang aku tak tahu? Lepas tu aku dengar suara emak membaca Al-Quran di ruang depan. Memang kes serius ni...hati orang tua kan? Emak bagai dapat mengagak ada perkara yang tidak baik sedang atau telah berlaku.

                                                                                                          ~ bersambung ~

April 30, 2011

Murderer In d'House...(part 3)

Satu petang waktu aku pulang dari sekolah, hari sudah menjenguk maghrib. Lambat sikit sebab singgah kedai Apek Jajan yang menjual air batu kepal.

Dari kejauhan di waktu rembang petang itu aku nampak sebuah kereta polis yang lampunya berpusing lip lap lip lap. Macam dekat depan rumah aku aje? Aku berjalan pantas mendekati. Jantung dah masuk tempo lagu arwah Michael Jackson, Thriller. Memang thrilled betul la...depan rumah aku!

Ada dua orang lelaki berpakaian biasa aje...

'Siapa Cu?' aku bertanya Pak Ucu aku yang berasal dari Rembau.

'Polis mato-mato.'

Ada apa ni?

Aku memepercepatkan langkah ku masuk ikut pintu belakang. Emak di kerusi dapur sot sat sot set menangis.

Aku dekati dia perlahan. Sambil memegang bahu emak aku bertanya,

'Kenapa mak?'

Emak tak menjawab, dia hanya geleng kepala sahaja.

Tidak lama kemudian, kereta polis tadi berlalu pergi meninggalkan aku dalam seribu pertanyaan.

Ayah yang masuk dari pintu depan terus terduduk di kerusi kayu, dia memicit dahi. Kemudian entah apa yang ayah dan Pak Ucu bualkan tidak menarik perhatian ku lagi.

Namun aku yang terasa sangat ingin tahu, masih tidak berani bertanya mengapa, kenapa, ada apa semua itu.

Malam itu aku terdengar emak dan ayah berbual berdua di dapur.

'Baru petang semalam si Senah tu lalu depan rumah ni...' emak terdiam mengingat. '...dia tanya kalau-kalau nampak anak sedaranya bermain di kawasan sini.'

'Kata keluarga dia, dia keluar lepas maghrib ke rumah sewa tunangnya pakai kereta bapak dia....tunggu sampai pagi tak balik-balik,' ayah beritahu apa yang polis sampaikan tadi.

'Pergi mana pulak?' Emak menggosok pelipis.

Mereka berdua di meja dapur, mencantum cerita.

Aku yang duduk di muka tangga, mendengar dengan penuh minat. Aku juga cuba mencantum cerita mereka. Petang semalam emak nampak Hasnah anak Penghulu Bakar lalu depan rumah kami mencari anak saudaranya. Lepas waktu Maghrib malam itu, dia memandu kereta bapanya ke rumah sewa tunangnya iaitu anak sedara ayah dan terus tidak pulang.

Oooo...maknanya polis tadi datang ke rumah aku mencari anak sedara ayah yang di syaki berada di rumah kami. Adakah mereka menghilangkan diri? Atau mereka bercadang kahwin lari? Atau... Eee..nauzubillah.

Malam itu ayah nampak masih rileks, sebaliknya emak yang ke hulu ke hilir menggaru kepala tak gatal.

                                                                                                         ~ bersambung ~

Murderer In d'House...(part 2)

Aku yang di bawah umur masa tu hanya memandang sahaja ruang tengah rumah yang dipenuhi oleh kawan-kawan emak yang sedang membuat gubahan hantaran majlis pertunangan mamat tu dengan Hasnah anak penghulu Bakar.

Pandai mak cik-mak cik tu mengubah, kalau sekarang ni kita orang panggil DIY la... dari bahan mentah seperti tuala mandi tu dilipat-lipat , digumpal-gumpal jadi kodok. Kain telekung pulak boleh jadi kapal. Sireh junjungnya tiga tingkat... ambik engkau! Siapa yang nak bawak masa berarak ke rumah pengantin perempuan itu nanti? Isy! Aku memang kagum la.

Emak sibuk di dapur menyediakan juadah untuk para teman yang bergotong-royong membantu dalam kerja-kerja menyiapkan dulang hantaran. Dulu, bukan ada butik-butik andaman yang boleh diupah untuk membuat itu semua.

Aku mengikut rombongan membawa dulang hantaran untuk dibawa ke rumah perempuan menjelang hari pertunangnan itu. Mamat tu entah ke mana...

Di rumah sebelah perempuan aku mengikuti kakak iparku masuk ke dalam bilik si perempuan kerana kakak iparku merupakan diantara kawan rapat si perempuan. Maka aku berkesempatan melihat si perempuan dari dekat. Cantik...memang cantik. Pakaian dia di majlis hari pertunangannya pun lain dari gadis-gadis di kampung itu ketika majlis pertunangan.

Dulang hantaran balasan dari pihak perempuan memenuhi bilik beliau. Dia yang berpakaian gaun labuh rona biru bersulam itu senyum di kerusi. Pandai dia pilih warna biru...tema kami sebelah lelaki kebetulan warna biru.

'Eh! Kenapa dia pilih tema putih ye? Reben yang mengikat barang hantaran semua berlilit reben putih. Hingga songkok pun dililit dengan reben putih macam orang berkabung aje gayanya.' Suara seorang mak cik membelah kesunyian.

Kini semua mata memandang ke arah songkok di dalam dulang hantaran yang berlilit reben putih.

Mak cik ni kalau tengok aje tak boleh ke? Mesti nak tegur itu nak tegur ini...mulut tak berinsurans langsung, bisik hatiku. Biarlah! Dia nak lilit dengan reben hitam pun...itukan majlis dia?

Majlis berjalan lancar dan kami menapak pulang dengan dulang hantaran dari pihak perempuan pula.

Sejak itu, aku memang jarang melihat mamat itu di rumah aku lagi...

'Mana anak sedara ayah tu mak?' aku bertanya emak satu pagi.

'Dia dah dapat rumah sewa kot?'

Aku mengangguk, dalam hati mengucap syukur. Pelik kan? Mana pergi entah emak ayah dia...sampai majlis pertunangan dia pun suruh emak dan ayah aku yang uruskan.

                                                                                                         ~ bersambung ~

April 29, 2011

Murderer In d'House...

'Siapa tu Yah?' aku bertanya ayah satu pagi bila melihat ada seorang lelaki handsome di dalam rumah ku.

'Sedara,' jawab ayah pendek.

Aku kerut kening mengingat...sedara yang belah mana pulak tetiba dah berpuluh tahun aku hidup ada yang datang ke rumah mengaku sedara.

'Atok dia dengan atok ayah sepupu...bla...bla...bla..' ayah membuka sejarah.

Namun aku langsung tak dapat nak mengaitkan tang belah mana bunyi sedara tu. Belah Islamnya barangkali...sedara sesama Islam. Tapi handsome la pulak mamat tu...serius!

Petang balik sekolah aku lihat dia ada di tangga rumah petik gitar. Abang-abang aku mana ada yang sibuk nak petik-petik gitar segala...mereka semua jenis yang main lumba-lumba kereta. Sebut F1...sebut Japan GT...rela menyimpan duit untuk beli tiket.

Mamat ni ala-ala berjiwa romantik nampak gayanya.

Aku menoleh ke arahnya sambil lepas lalu untuk mengikut pintu belakang. Tak kan lah saja-saja nak ikut pintu depan tu dah tahu dia tercongok dekat tangga.

Dia senyum. Aku pun senyum sambil sedikit menganggukkan kepala.

'Berapa lama dia nak tinggal kat rumah kita mak?' aku tanya emak yang sedang menggelek karipap untuk minum petang.

'Katanya nak cari kerja dekat sini,' emak beritahu.

'Lama lagi la tu,' aku bersungut.

Yalah...kalau ada orang lain dalam rumah tu selain adik beradik sendiri kan susah? Lelaki pulak tu! Dah biasa balik sekolah nak melengkar macam ular sawa pun tak boleh. Apatah nak berskirt dan berseluar pendek?

Emak pun faham sebab tu dia diam aje. 'Sediakan kuali, dah boleh goreng ni.' emak mengarah.

Selama mamat tu tinggal di rumah kami, nampak emak dan ayah suka padanya. Berbudi bahasa dan sopan bila bercakap dengan orang tua. Tapi aku memang tak berani lagi nak bertegur sapa. Biarlah...dah ayah cakap sedara dia, tak kan nak dihalau pulak?

Satu hari entah apa emak bebel-bebel di dapur dengan ayah. Mamat tu tak kelihatan.

'Eee...segan la aku nak ke rumah orang kaya tu..' terdengar emak bersuara.

Aku menapak perlahan ke dapur ingin mengetahui apa yang mereka berdua itu bualkan. Saja-saja nak pasang  telinga? Siap...mau kena baling dengan rolling pin yang dekat rak pinggan tu. Naya!

'Tak ada hidung ke?' bunyi suara ayah pula.

Nampak emak menjeling tajam.

'Pergi aje la...lepaskan hajat dia. Kalau orang kaya tu terima, alhamdulillah....'

'Macam-macam aje la...tak cermin muka dulu ke? Ada hati hendakkan anak orang kaya,' bebel emak lagi.

'Dah...anak orang kaya tu pun sukakan dia, nak buat macam mana?' jawab ayah pula.

'Kerja tak berapa hari...kalau dia letak belanja yang bukan-bukan, ada duit ke?'

'Ada la tu...tu sebab dia berani suruh kita tanya.'

'Ye la...lepas maghrib nanti kita pergi,' jawab emak setuju.

Ooo...mamat tu nak suruh emak dan ayah pinang anak orang kaya. Hasnah anak Penghulu Bakar tu memang cun. Kurus tinggi...kalau tinggal di KL, tentu boleh jadi model. Mamat tu pun lebih kurang model la gaya dia cuma badannya tak jenis yang tegap ada six packs aje. Jadi model baju Melayu Tradisional untuk Butik Salikin Sidek rasanya sesuai.

Aku bayang-bayangkan wajah mereka berdua, memang macam pinang di belah dua. Sama cantik sama padan. Bila pulak mereka berdua berkenalan?

                                                                                                         ~ bersambung ~

November 23, 2010

Di persimpangan Dilema

"Pa, ampunkan Zana pa, " kata Fauzana sambil menggenggam erat tangan papanya, Datuk Farid. Dia menangisi apa yang berlaku. Dia menyesali perbuatannya petang tadi. Dia tidak bermaksud begitu tetapi kehendak Allah tiada siapa yang tahu. Dia tidak menyangka papanya akan diserang sakit jantung. Fauzana cuma ingin mencuri perhatian kerana kehausan kasih sayang.

Fara Fauzana Datuk Farid, anak hartawan yang hidup dalam kemewahan. Dia diasuh dan dijaga oleh Mak Su Timah, merangkap pembantu rumah agamnya. Datuk Farid serta isterinya, Datin Suraya sering ke luar negara kerana urusan perniagaan. Mak Su Timahlah yang diarah untuk menjaga segala kebajikan Fara Fauzana.

Semenjak usianya meningkat dewasa, Fauzana terasa dirinya tidak dipedulikan oleh kedua-dua orang tuanya. Dia teringin mencium tangan mama dan papanya sewaktu dihantar ke sekolah. Fauzana cemburu dengan rakan sekelasnya Nur Linda yang dihantar ke sekolah oleh bapanya, walaupun dengan hanya menunggang motosikal. Dia juga cemburu dengan Haryati yang sering ke sekolah dengan membawa bekal yang disediakan oleh ibunya.

Manakala, Fauzana pula ke sekolah dihantar oleh Pak Musa, suami Mak Su Timah yang menjadi pemandu Datuk Farid. Pak Musa dan Mak Su Timah mempunyai seorang anak lelaki yang bersekolah sama dengan Fauzana, cuma Mahathir berada di tingkatan lima, manakala Fauzana pula berada di tingkatan tiga.

Dari kecil mereka membesar dan bermain bersama-sama tetapi apabila meningkat dewasa, Datuk Farid melarang mereka daripada bergaul rapat. Kini, Fauzana membesar sendirian. Abangnya, Fazley, sedang melanjutkan pelajaran di luar negara. Fazley memang bijak dalam pelajaran. Dia menjadi kebanggaan mamanya, Datin Suraya. Apatah lagi dia merupakan anak lelaki tunggal mereka yang bakal mewarisi harta dan mengambil alih segala urusan perniagaan papanya. Seminggu sekali Datin Suraya akan membuat panggilan jauh, menelefon anaknya bertanya khabar. Perhatian lebih yang diberikan kepada Fazley membuatkan Fauzana tambah cemburu.

"Zana tak nak makan dulu? Nanti Mak Su Timah sediakan makanan,' beritahu Mak Su Timah sebaik melihat Fauzana melangkah masuk dari pintu dapur.

"Tak pe la Mak Su Timah, kalau Zana lapar nanti, Zana ambik sendiri," jawab Fauzana penuh sopan bernada lesu.

"Kenapa Zana tu bang? Sejak Datuk dan Datin keluar negara kali ni, berubah benar perangainya," mengadu Mak Su Timah pada Pak Musa, suaminya yang baru mengunci Mercedes 280 milik Datuk Farid.

"Manalah aku tau? Anak dara....datang bulan agaknya," sambut Pak Musa sedikit melawak.

"Eh orang tua ni?  Orang tanya betul-betul !" suara Mak Su Timah meninggi sambil menampar bahu suaminya. Bukan main lagi guraunya ye?

Seketika kemudian, skuter Mahathir sampai. Pak Musa mengarahkan isterinya menyiapkan makan tengahari mereka.

Sementara Fauzana pula, menghabiskan waktu tengahrinya itu di bilik merasa bosan. Dia terasa kesunyian dan kesepian. Sesekali dia bangun dari baringnya dan menjenguk keluar. Dari jendela biliknya jelas kelihatan laman belakang rumah, tempat abangnya, Fazley sering bermain bola keranjang bersama Mahathir, semasa dia masih belum menyambung pelajarannya keluar negara. Kadang-kadang tu Pak Musa pun turut sama. Tak padan orang tua tu...boleh tahan juga tenaganya. Fauzana tesenyum sendiri mengingatkan peristiwa itu.

Kini yang tinggal hanya kenangan. Hatinya merasa geram dan marah. Apa yang perlu dia lakukan untuk menarik perhatian mama dan papanya? Fauzana mundar mandir di biliknya mencari idea.

"Baik baik dik!" kedengaran panggilan manja Mak Su Timah untuk anak tunggalnya. Terdengar pula skuter Mahathir yang menderum pergi.

Fauzana tahu, di waktu petang begini, Mahathir akan ke kelas tambahan Fauzana, walaupun akan menduduki peperiksaan juga, telah dikecualikan kerana awal-awal lagi papanya telah mendaftarkan anak perempuannya itu ke kelas tiusyen. Ingatannya tiba-tiba beralih pada anak Pak Musa. Walaupun lelaki itu hanya anak seorang 'driver', Mahathir kemas berpakaian. Agak kacak juga orangnya. Dia mempunyai senyuman yang manis.

Nama Mahathir menjadi sebutan ramai pelajar perempuan di sekolahnya. Pernah juga dia dan Mahathir berbalas senyuman, namun larangan daripada Datuk Farid menyebabkan masing-masing hanya memendam perasaan.

Mahathir....Mahathir....Yes! Aku dah dapat. Fauzana memetik jari kesukaan. Mahathir akan menjayakan rncangannya, bisik hati Fauzana. Inilah satu-satunya cara untuk menarik perhatian mama dan papanya. Larangan papanya untuk tidak rapat dengan Mahathir akan menjayakan misinya.

"Apa hal dengan Fauzana tu?" tanya Datuk Farid kepada isterinya.

Semenjak dia dan isterinya pulang dari luar negeri kali ini, dia sering terpandang Fauzana di bawah pergola membuat kerja-kerja sekolah bersama Mahathir. Datuk Farid memang tidak hairan kalau si Mahathir yang mengulangkaji di situ, tapi mengapa anak daranya sama berada di situ juga? Macam tak ada meja belajar di biliknya untuk digunakan.

"Kenapa pulak?" tanya Datin Suraya hairan.

"Mesra semacam aje saya tengok dia dengan si Mahathir tu semenjak kita balik dari London?"

"Alah...biarlah bang, budak-budak. Lagipun Mahathir tu bukan orang lain, anak Pak Musa. Kan mereka tu membesar bersama? Mahathir tu saya lihat baik budaknya, bersopan santun, berbudi bahasa dan hormat orang tua," beritahu Datin Suraya panjang lebar.

"Saya tak suka. Beritahu Zana yang saya nak dia jauhkan dirinya dari anak lelaki Pak Musa tu.....kalau tidak saya akan ambil tindakan," keras arahan dari Datuk Farid yang bercakap tanpa mengangkat wajahnya dari suratkhabar di tangan.

Datin Suraya memang tidak rajin mahu berdebat dengan suaminya yang sudah dikenali dengan sifatnya yang tegas. Petang itu, Datin Suraya  mengajak Fauzana ke taman di halaman rumah mereka. Sambil minum-minum petang, Datin Suraya memberitahu apa yang disuarakan oleh papanya tengahari tadi.

Fauzana dengan perasaan marah bangun dan terus menjawab, "Mama dengan papa ni apa yang Zana buat semuanya salah! Itu tak boleh, ini tak boleh. Mama tau tak? Zana dah bosan duduk dalam rumah ni sorang-sorang. Mama dan papa  tak pernah ada masa untuk Zana. Pada siapa Zana nak mengadu?  Selama ini hanya keluarga Pak Musa aje yang ada dengan Zana yang boleh Zana jadikan tempat menumpang kasih, mencurah perasaan....."

Belum sempat Fauzana habis meluahkan kata-kata, Datuk Farid menjerkah dari belakang. "Dari dulu papa dah larang Zana jangan rapat dengan Mahatihir tu. Zana kena tahu taraf mereka dengan kita tidak sama,"

"Balik-balik taraf, balik-balik taraf. Itu sahaja yang papa tahu. Zana tak peduli....Zana dah buat keputusan. Whether you like it or not, Zana tetap sukakan Mahathir," bentak Fauzana. Lebih kepada mengugut mencuri perhatian.

Terbeliak mata Datuk Farid melihat tingkah anak gadisnya. Sakitnya hati mendengar jawapan yang diberikan. Tidak tersangka nak gadisnya kini sudah pandai menjawab dan melawan perintahnya. Selama lima belas tahun tidak pernah dia meninggikan suaranya terhadap anak gadisnya itu. Namun, petang itu dia hilang sabar, kumat kamit mulut gadis itu menaikkan darahnya. Ringan sahaja tangannya mahu diayun ke mulut celopar anak gadisnya itu. Belum sempat tangannya menyambar pipi Fauzana, tiba-tiba Datuk Farid terus kaku dan sebelah tangan lagi menekan dada kiri.

"Abang!," jerit Datin Suraya. "Pak Musa tolong! Mak Su Timah! Tolong saya!" semua nama yang terlintas diingatan ketika itu dipanggil untuk membantu Datuk Farid yang hampir rebah ke tanah. "Tolong panggilkan ambulans," arah Datin Suraya apabila nampak kelibat Mak Su Timah yang berlari keluar dari pintu dapur mendapatkan dia di laman.

Fauzana yang tadinya sangat petah menjawab, berdiri terkedu. Tidak disangka rancangan asalnya hanya untuk menarik perhatian mama dan papanya itu berakhir dengan kecelakaan. Dia terus terpaku di situ sehingga ambulans membawa pergi papanya.

Mak Su Timah memeluk Fauzana.

Pak Musa menemankan Datin Suraya mengikut ambulans ke hospital.

"Sabar Zana," pujuk Mak Su Timah. "...doakan papa Zana selamat," sambungnya lagi.

Usai solat maghrib itu, Fauzana mengangkat dua tangan berdoa, memohon ampun ke hadrat Ilahi akan dosanya kepada orang tua yang selama ini telah membesarkannya. Walaupun tanpa cukup perhatian, namun siapa boleh mengagak akan kasih sayang mereka sebenarnya?

"Ya Allah...KAU selamatkanlah papaku...aku tak berniat untuk menyakitkan hatinya," kata Fauzana dalam tangisan.

Malam itu Fauzana minta agar Pak Musa mambawanya ke hospital untuk melihat sendiri akan keadaan papanya. Dengan langkah yang longlai, Fauzana menapak ke bilik di mana Datuk Farid ditempatkan. Tadi, semasa dalam perjalanan ke hospital, Pak Musa telah memberitahunya bahawa Datuk Farid dalam keadaan koma.

"Zana cakap la apa aje...dia boleh mendengar, cuma dia tidak dapat bercakap," terang Pak Musa.

Fauzana menarik kerusi merapati katil papanya. Dia merenung wajah papanya. Dia menyesali diri kerana mungkin kali ini dia akan terus kehilangan kasih yang dicari. Dia benar-benar di persimpangan dilema. Surah Yaasin dibuka dan dia terus membaca mencari keadilan yang maha esa.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...