Showing posts with label Nostalgia. Show all posts
Showing posts with label Nostalgia. Show all posts

December 14, 2012

Chokropolitan...

Greetings to all......

N3 ku kali ini adalah luahan rasa rindu kepada saudara-saudara kandungku yang telah lama tidak berjumpa. Walau kami sering ber SMS, WhatsApp dan bertelefon bertanya khabar, namun suara-suara mereka masih belum dapat mengubat rindu.

Cer tengok gambar yang bergerak di tepi yang telah dikumpulkan sebahagiannya untuk dijadikan album pengubat rindu...*:D big grin



Masa berlalu dan tahun berganti, perubahan hidup mengikut peredaran masa. Anak-anak sudah bertebaran di bumi Allah ini yang payah hendak disatukan kembali. Yang tua sudah payah hendak memandu sendiri, harus memerlukan seseorang untuk membawa mereka pula.


Aku rindu untuk berkumpul, bercerita dan terkekeh-kekeh ketawa macam dunia ini kami yang punya. Aku rindu makan setalam, tarik sana tarik sini, berebut-rebut macam baru pulang dari misi bantuan kemanusiaan di Gaza aje gayanya.*:)) laughing

Aku rindu waktu anak-anak buat unggun api dan mereka ramai-ramai ber BBQ di laman membakar entah apa.

"Eh! Korang makan lidah lembu ke?" tanya Uteh yang melihat besen berisi perapan daging dan ayam telah habis dibakar. Manakala anak-anak dan anak saudara tadi sudah menyandar mengipas badan akibat kepanasan.

"Tak lah," menjawab salah seorang dari mereka.

"Ni dah habis semua yang dalam besen...mana perginya?" tanya Uteh senyum mengena.

"Ada lidah ke tadi?"

Uteh angguk. "Korang tak perasan sebab Uteh dah rebus dulu dan potong kecik-kecik," katanya lagi.

Masing-masing kemudian berpandangan sesama sendiri sambil meraba perut. Nak buat macam mana? Tak kan nak dimuntahkan balik? Redha ajelah!

Kebetulan masa tu lepas Hariraya Haji dan aku ada membuat korban seekor lembu. Adik-adik iparku yang membantu melapah dan mengerjakan dagingnya di surau berdekatan menerima habuan yang banyak. Anak-anak saudara yang kegembiraan minta dibuat BBQ untuk meraikannya malam itu. Memang bahagia sungguh!

Kini, kenangan hanya tinggal kenangan...entah bila kami dapat berkumpul kembali dengan suasana yang meriah begitu. Dalam aku kesepian, ku coretkan rasa hati dan ku titipkan buat kalian yang berkesempatan membaca luahan rinduku ini...........

Wajah-wajah indah itu menari di layar mata...
Suara-suaramu berbisik-bisik di cuping telinga...

Itu suara ayah yang berpesan, 'baik berpada-pada'...
Itu suara emak...'sembahyang jangan lupa...ia adalah tiang agama'.

Aku ingat setiap ketika...saban masa...
Lantang kedengaran bila sepi melanda...

Mereka tinggalkan aku bila sudah sampai masanya...
Tetapi...
Terasa baru semalam kami bersenda.


Junie Octovian: "Then, did you think that WE created you USELESSLY and that to US you would not be RETURNED?" (23:115) 




October 17, 2012

Rindu Itu Indah....


"Kau tulislah kisah masa jaman kita sekolah dulu," ujar si Mamat padaku.

Apa kisah zaman sekolah aku dengan dia? Aku bukan campur sangat dengan mereka pun. Kenal gitu-gitu aje kerana laluan ke sekolah kami tidak sama. Selalu yang bersaing dengan aku dari rumah, Che Em, R. Fauziah dan budak lelaki sorang tu yang memaksakan dirinya meninggalkan basikal di rumahku kerana hendak bersaing berjalan kaki ke sekolah.

Tapi waktu balik kekadang dia balik dulu sebab aku ada mesyuarat badan pengawas. Tapi Wong Hoi Sim, anak tokeh kedai tayar depan Balai Bomba tu memang setia menunggu menemani perjalanan pulangku. Entah di mana dia sekarang?

Dari sekolah untuk melepasi Setesen Keretapi itu agak sunyi sikit waktu tengahari. Ada sebuah gudang tempat penyimpanan barang di situ. Kadang-kadang aku berfikir yang bukan-bukan bila lalu di situ sendirian. 

Lama aku fikirkan, memang tak ada yang menarik. Pergi sekolah, balik sekolah, itu aje. Cuma aku aktif di sekolah, memegang segala pangkat dalam persatuan.


Kawan karib aku dari Tingkatan Satu, cuma Anne Kay sorang.... ke hulu hilir dengan dia. Bila naik Tingkatan Empat, entah macam mana aku baik dengan Amy pula. Entah bila bertukar kawan pun aku tak berapa nak ingat. Tapi Anne Kay tak kisah sebab dia masa tu ada teman baru yang baru masuk berpindah ke sekolah kami dan di tempatkan di kelas yang sama dan kebetulan pula dalam kelas itu duduk bersebelahan dia.


Aku masih ingat budak berspec mata gaya old skool itu. IQ dia tinggi sikit dari kami semua dalam kelas sebab setiap kali ujian, dia akan berada di tempat teratas.

Abd. Rahman Isa cakap, "...tulislah kisah aku kena bantai kerana sekodeng tandas perempuan."

Ada ke kisah tu? Kenapa aku macam tak pernah dengar pun? Padahal aku kan pengawas sekolah?

"Tuan Sheikh tu salah orang...bukan aku, ada budak lain yang namanya Rahman juga." Rahman gelak-gelak telefon aku beritahu.

Selepas kejadian itu Rahman telah bertukar ke sekolah lain, jadi aku memang tidak lagi berjumpa dengan dia sehingga tamat sekolah.


Kesian Rahman...jadi orang juga dia akhirnya. Walau sekarang kami sudah dapat berhubung semula, tapi masing-masing bertaburan di serata tempat. Rahman kini bertugas dengan Kastam DiRaja Malaysia yang bertempat di Tanjung Pelepas, Johor. Facebook inilah yang telah menyatukan kami kembali mengenang kisah lalu selepas sama-sama meninggalkan sekolah.

Entah mengapa, sepanjang hidup aku membina keluarga serata pelosok tanahair, aku tidak bertemu dengan salah seorang pun dari teman sama sekolah. Tidak seperti suamiku....sana sini ada kawan dia. Ooo...patut la... dia kan dulu ahli sukan mewakili Maktab Sultan Abu Bakar di JB tu hingga ke peringkat MSSM? Dia jaguh lompat jauh...entah ada lagi ke tidak rekodnya tidak pernah aku periksa.

"Rindu Itu Indah," kata Mamat memberi nama tajuk novel yang disuruh aku tulis selepas pertemuan kami yang pertama di kaki Gunung Lambak bertempat di daerah Kluang, tempat kami membesar dan belajar mengenali erti hidup sebenar.

"I'll see about that," aku jawab memberikan dia sedikit kepercayaan. Bukan senang sebenarnya hendak menulis cerita untuk dijadikan sebuah novel. Aku harus ada idea yang lancar mengikut syarat-syarat dan terma yang telah ditetapkan oleh penerbit. Kalau sehari aku pastikan aku dapat menulis satu muka surat, sudah tentu ia akan makan masa lebih setahun untuk menyudahkan sebuah cerita. Itu pun kalau lancar perjalanannya kerana mereka mahukan 500-600 muka surat untuk menghasilkan sebuah novel. Makanya aku ini menulis sambil-sambil buat kerja...bila cuti perayaan, aku cuti juga. Bila anak-anak ajak berjalan, aku ikut juga.



"Gilalah! Kita nak tulis 360 patah perkataan pun sampai nak luruh rambut," kata sorang dari anakku.

Aku banyak idea dan aku banyak aje cerita yang hendak disampaikan....cuma aku tidak tahu sama ada sempat atau tidak, masihkah ada lagi masa yang panjang untukku zahirkan ke dalam bentuk hitam putih sebagai bacaan anak cucu?

Apakah yang akan aku tulis untuk dijadikan permulaan cerita untuk mengingatkan aku kepada kisah zaman persekolahan kami di sebuah daerah yang bernama Kluang di dalam negeri Johor itu agar dapat ku kongsikan bersama teman-teman yang amat menyokong usaha aku di bidang penulisan ini?

Harapanku agar Allah permudahkan segala yang aku lakukan....semoga dilimpahi idea untuk ku bukukan sebagai sejarah di dalam era kami. Aamiin!

Junie Octovian: Life is like an ocean, it can be calm and still or rough and rigid. But in the end it's always beautiful ~ from Best Quotes.




August 27, 2011

Di bumi Kenyalang...

Salam Ramadhan al-Mubarak to all..........


Sejak sering berseorangan ini...aku ke galeri seniku (cewah!) memutar ingatan dengan setiap paparan 
gambar yang kini hanya tinggal kenangan. Ketika sibuk-sibuk membesarkan empat orang anak yang 
akhirnya menjadi orang bukan kutu tepi jalan (alhamdulillah).


Sebagaimana yang pernah aku ceritakan...kami ni ibarat orang Nomad yang sering berpindah randah...
entah berapa sekolah setiap seorang daripada mereka ini terpaksa hadiri...namun tiada siapa yang 
membantah....malah mengikut perintah...(siap rhyming pantun 2 kerat tu........)


Ada hikmah di sebaliknya yang ku nampak hingga kini....mereka kurang berkawan dan lebih fokus 
pada pelajaran. Teman mereka hanya di sekolah...dan sepupu sepapat sahaja jika pulang ke kampung 
waktu Hariraya dan kenduri-kendara. 


Antara tempat-tempat yang pernah menjadi persinggahan kami adalah di Kuching, Sarawak. Wah! 
Bestnya....kami tinggal betul-betul di tengah bandar Kuching....berdekatan dengan Sekolah Rendah dan 
Menengah Green Road....Wisma Saberkas....Satok yang terkenal dengan ikan masin terubuknya itu dan Sarawak Plaza. 


Aku terjumpa dengan gambar rumah lama kami....................




Tinggal kenangan.........


Jiran kami kaum Cina...depan belakang kiri dan kanan.....kaum Melayu Sarawak kebanyakannya 
tinggal di sebelah Petrajaya...(mind you ~ bukan Putrajaya tau).


Tiada masalah dengan jiran tetangga...makan minum dan sebagainya kerana kami 1 Malaysia......
masing-masing memahami akan budaya dan adat resam yang dibawa dan diikuti. Amin!


Junie Octovian: Become a possibilitarian...no matter how dark things seem to be....for they are 
                         always there.........Wallahualam.

June 30, 2011

How I wish...

Salam to all.......

Serious! Kalau ada friend request, aku main add aje tak hagak-hagak siapa orangnya. Berchatting pun
macam kenal sangat je. Lepas tu aku blur ...mengingatkan siapa mereka dan yang mana satu...
mengarah memori yang dah sedikit berkarat itu untuk menjejak paparan wajah si penama yang berborak
hebat dengan ku itu.

Lama kemudian baru aku bukak profile album dia orang untuk memastikan siapa mereka-mereka ini 
kerana ada yang terus memberikan nama penuh sedangkan semasa di bangku sekolah lebih tiga puluh 
tahun yang lalu aku hanya tahu nama-nama gelaran yang digunakan. Namun...untuk teman-teman 
seperjuangan atau yang pernah sama sekelas, mudah untuk aku mengenali mereka. Sesetengah pula 
menggunakan nama samaran...kalau dicari sampai tahun depan pun belum tentu ketemu. 

Semenjak dua menjak aku dijejaki oleh sahabat-sahabat lama di laman social ni...aku kembali
mencari album yang tersimpan lama di arkib Pondok Indah dan telah ku bawa ke Setia Impian
untuk rujukan ku. Ya ampun! Comelnya aku masa kekecik dulu ... ( kes masuk bakul naik lift ).

'Hafiz pelakun tu ke?' aku tanya Tuan ZAR ~ satu hari ketika chatting dengannya. Serious...dia ni 
rajin betul mencari kawan. Mungkin kerana tugasnya sebagai seorang tentera dan tak sangka pula 
peramah gila.

'Yup...thats him...Presiden PERBAMA masa you tingkatan 3 dulu.'

'O really? I was the one modelling on stage at that time la..' Dengan bangganya aku memberitahu 
sebab aku tengah membelek gambar aku sedang bergaya sakan memperagakan pakaian entah 
pesen apa.

'I tau..' said him.

Aiseymen! Malu la. 'How I wish I can turn back time...so that I pulak yang skodeng you all boys.'
Kalau masa tu Hafiz jadi Presiden, I think I know the Secretary of the Club very well but I totally 
lost track of him. And thanks to this so-called Tuan, he knew his whereabouts. 

But for Sharif...now an Assistant Director with MBKM...kita orang akan selalu berjumpa kalau
ada Pesta Buku...as he is in close-contact with the Grup Buku Karangkraf. And the ever famous
designer Salikin Sidek as well.

Even Sani Sahwi who recently added me...aku kena renung wajahnya lama-lama sebab masa 
zaman kami sekelas...aku ada berborak dengan dia ke? But proud to say la...dia sekarang ni seorang Pengetua di sebuah sekolah di Tawau, Sabah. Masa aku tinggal di Sandakan dulu...tak jumpa pulak. 
Kalau tidak boleh je hantar anak-anak ku bersekolah di situ. 

Well...cuma aku belum personally jumpa si Shebby Singh ni yang masa sekolah dulu suka menyakat
aku. Entah dia ingat lagi ke tidak...

Junie Octovian: A good life is when you realize how blessed you are for what you have.

June 4, 2011

School Reunion...

Assalamualaikum & morning to all........

Entry pagi ni nak cerita pasal geng sekolah yang baharu diketemukan di laman social ini dan berkobar-kobar untuk berjumpa. Aku tak layari laman fb ni dah lama juga la sejak melayan emak yang berada dengan ku
kali ini. Tapi aku aktif je di blog menulis segala bagai cerita yang berlaku.

Dia orang dah lama mengajak nak gather2 ni, tapi memasing tu payah nak dikumpulkan. Cuma masa
mula-mula tu sempat jumpa dua orang. Kami buat pertemuan di Giant seksyen 13 sebab Zaharah nak menghantar anaknya ke Rawang dan dia melalui Guthrie Expressway. Habsah pulak dari USJ je.

Class of 1977
Kali kedua...kami bertemu di The Mall selepas Pesta Buku Antarabangsa yang diadakan di PWTC
baru-baru ini.

Pergh....Zainah yang tomboy tu, sejak dah jadi emak orang ni lain sungguh. Mula-mula 
aku nak add dia di fb, siap belek dua tiga kali, betul ke Zainah yang ku kenal dulu.

Habsah yang bertugas di PPUM tu pun tak pernah pulak bersenggol bahu semasa aku ke sana.
Kalau tidak, tentu dia tak jadi kerja sebab nak meluahkan segala yang tersimpan sejak kami sama-
sama berpisah pada tahun 1977 dahulu.

Ex-school mate aku ajak buat reunion bulan Julai nanti dan tarikh akan diberitahu kemudian. Namun,
dengan rasa dukacitanya aku mengumumkan bahawa aku tidak dapat turut serta dengan rasminya 
kerana telah terbang ke Brisbane seperti mana yang telah dijadualkan.

Missing each & everyone of them...

History Society with
Mr Kua Ee Keok as the Teacher-in-charge

Anyways...walaupun aku tidak ada sama pada ketika reunion yang sangat diharapkan ini, aku doakan
agar cadangan dan harapan kalian untuk bergather2 tu berjalan lancar sebagaimana yang diharapkan. 
Jangan lupa pos gambar kat fb aku dan aku akan pos gambar aku dari Brisbane, InsyaAllah.

Junie Octovian: Sorry geng, aku tak mintak permission korang pun nak upload gambar kita masa
                        zaman Tok Adam ni. Tapi aku tak tag, so orang tak kenal pun siapa & siapa.

May 14, 2011

Dunia kanak-kanak & iklan...


Assalamualaikum...

Hari ini aku saja nak share iklan ni dengan tetamu blog. Sila layanz....

Semasa tahun berapa entah, masa iklan sabun serbuk berjenama DRIVE pertama kali diperkenalkan, setiap rumah diberi percuma sepeket untuk percubaan.
Aku cepat berlari masuk ke dapur dan membuka peket itu lalu ku taburkan ke atas lantai.
Aku kemudian meniarap sambil menjentik serbuk-serbuk berwarna biru diantara serbuk biasa yang berwarna putih. Puas aku menjentiknya, namun serbuk yang berwarna biru tadi tidak pula bergerak sebagaimana yang ditayangkan di dalam iklan di kaca TV.
Sebaliknya...
Aku terkejut bila ternampak kaki emak yang tegak berdiri memandangku yang sedang meniarap di lantai dapur. Emak baru pulang dari rumah Mak Mah Pak Yahya kerana mengambil upah menyucuk satay setiap hari.
'Buat apa tu?' 
Suara emak memang menaikkan bulu roma kerana emak memang terkenal dengan sifat garang dan tegasnya.
Aku cepat bersila dan meraup sabun serbuk di lantai dan memasukkannya semula ke dalam kotak kecil tadi.
'Kenapa ditaburkan ke atas lantai tu?' 
Emak masih memerlukan jawapan apabila pertanyaannya tadi tidak dijawab.
'Tak bergerak pun serbuk biru tu? Dalam TV tu tunjuk, kalau jentik dia bergerak...' aku menjawab sedikit gagap kerana takut.
'Laaa....' emak garu kepala tak gatal. '...tu kan iklan aje?' beritahu emak sambil terus naik ke atas untuk menunaikan solat Zohor.
Cis! Tak pasal-pasal aku kena mop dapur pulak.

Kisah kedua terjadi pada Angah semasa kartun Thundercats sibuk ditayangkan.
Kami pula terpaksa mencarikan pedang yang diingininya.
Maka, pada suatu petang apabila kedengaran enjin kereta bapanya yang pulang dari pejabat itu, dia telah menyorok di belakang pintu dengan pedang di tangan.
Apabila bapanya menolak pintu rumah, Angah cepat melompat dengan satu jeritan....
'Thunder! Thunder! Thundercats!'
Bapanya yang memang tidak menyangka sama sekali akan mendapat kejutan sebegitu mengurut dada terperanjat beruk. 
'Mujur anak...kalau tidak dah kena terajang tadi,' omelnya padaku sambil tangan sempat mengambil sebiji cekodok bilis di dalam tapis yang baru sahaja diangkat dari kuali.

Kembali ke masa kini....
Aku bayangkan kalau Hana Sofya mahukan sut Darth Vader tu macam mana? 
Mampukah kami melayan kehendaknya?

Junie Octovian: Nasib baik masa Angah, pedang tu murah harganya....

April 11, 2011

Bertindik...

Aku dan Uda berbincang satu hari, bertahun dahulu. Oleh kerana Uda dah mula berkerja dan dah mula pandai bergaya, maka dia sibuk nak memakai subang/anting-anting yang ketika itu sudah mula keluar pelbagai design.

'Pakai yang sepit-sepit ni sakit telingalah,' kata Uda suatu hari sambil dia menelek cuping telinganya di depan cermin.

Aku di tubir katil hanya memerhati gelagat Uda.

'Kita pergi kedai emas tu....tindik telinga nak?' Uda berpaling bertanya.

Aku tak menjawab malah mengerutkan muka. Takut. Dah selalu tengok masyarakat India yang cocok sana cocok sini masa Thaipusam tu sedikit mengerikan dan mengilukan.

'Tak sakit la...kawan Uda cakap macam rasa kena gigit semut je.' Uda melabuhkan duduk di sebelahku.

Maka pada satu hari tu, kami berdua berjalan kaki ke bandar Kluang. Kami ke kedai emas di Jalan Station.

'Andak dulu,' Uda mengarahkan.

'Apa pulak? Uda yang nak sangat, Uda la dulu,' jawabku sambil menapak dua tiga langkah ke belakang.

'Okey la...' Uda mengalah.

Ketika itu tokeh kedai emas sedang menyediakan peralatan yang akan digunakan untuk menindik telinga kami berdua. Kemudian dia menyapu minyak apa entah dekat cuping telinga Uda. Seketul halia diletakkan di belakang cuping telinga sambil sebelah tangan menyocok anting-anting yang kelihatan sudah ditajamkan hujungnya.

'Sakit tak Uda?,'. aku bertanya apabila terdengar bunyi 'berderap' ketika jarum tadi mencecah halia.

Uda menggeleng.

Kini di telinga yang sebelah lagi pula. Aku tekun memerhati.

Tiba-tiba...............

Belum siap telinga yang sebelah itu ditindik, Uda dah terbalik dari kerusi. Aku yang terperanjat terus lari dari tempat kejadian tanpa memandang belakang lagi. Tiba di satu selekoh barisan rumah kedai, aku bertembung dengan dua orang lelaki. Dia cepat memaut lenganku. Alhamdulillah....kalau tidak dengan dia sekali terbalik sama di kaki lima kedai itu.

'Eh? Ni adik Juwita kan?' Seorang dari yang berdua itu bertanya.

Aku angguk sambil sedikit membongkok menahan penat berlari tadi.

'Kenapa?' Salah seorang dari mereka bertanya.

Aku yang masih tercungap itu hanya menunjuk ke arah kedai emas.

'Jom!' Mereka berdua memegang lenganku kiri dan kanan mengajak ke tempat kejadian.

Aku mengikut kerana terasa berani bila ada yang meneman.

Elok kami berjalan tak berapa langkah, Uda muncul sambil berjalan lemah. Dia kelihatan marah.

'Tak guna punya Andak...'

Kawan lelakinya yang berdua tadi hanya memandang.

Kami berdua pun hanya mendiamkan diri tak memberitahu kerana malu. Ek eleh....tindik telinga pun sampai boleh pengsan?

'Jangan cakap dengan emak tau?' Uda berpesan.

Aku geleng aje....rasa bersalah kerana meninggalkan dia yang terpengsan tadi. Sambil meneruskan langkah aku kerling Uda yang senyumnya dah melebar ke telinga. Tangan asyik memegang telinga yang ketika itu sudah pun bertindik.

Aku pula bagaimana? Apa yang nak dijawab bila emak bertanya?

'Andak tu penakut...dia lari masa tokeh kedai tu nak tindik telinga dia,' ujar Uda dengan perasaan bangga.
Kurang asam! Aku pulak yang kena?

Junie Octovian: Aku tindik masa dah ada alat tembak...itu pun sebab dah nak kahwin.

April 4, 2011

Memancing...

Aku lihat aje gelagat suamiku petang itu yang pulang dengan sebatang joran dengan segala alat kelengkapan mengalahkan seorang kaki pancing...padahal dia mana pernah sempat nak memancing?

Aku yang sedang menyiapkan Kakak baru lepas dimandikan itu berkata sendiri di dalam hati...buang tebiat ke laki aku ni? Yang tiba-tiba sibuk nak memancing pulak ni kenapa?

Siap memasang jorannya, dia mendaki tangga ke tingkat atas.... dari atas dia melemparkan jorannya ke bawah gaya orang memancing di sungai. Lepas tu dia gulung seolah-olah dah dapat menangkap ikan. Aku di tingkat bawah sesekali mengerling buat tak tahu. Dalam hati dah bagai digeletek geli hati. Nasib baik si Angah tertidur depan TV petang itu, jika tidak dengan Angah sekali sama sibuk. Bujang sorang tu bukan boleh nampak aktiviti yang pelik sikit ni.

Keesokan paginya... 'Dapur arang kita tu ada lagi tak?' Suamiku bertanya dari arah belakang ketika aku sibuk menyiapkan sarapan pagi, pada hari minggu itu.

'Adaa..' aku jawab panjang. '...siapa aje yang nak curi. Orang sekarang dah pakai dapur gas.' Dapur arang itu sengaja dibeli untuk kegunaan membakar ikan dan segala bagai yang seangkatan dengannya.

'Lepas breakfast ni I nak pergi memancing. You siapkan dapur tu...nanti dapat ikan tinggal bakar je.' Pergh! Gila confident suami aku mengarahkan. Dia ingat senang agaknya memancing tu kan?

Nak dijadikan cerita, seminggu sebelum itu, sungai yang mengalir deras airnya di depan rumah kami itu dipenuhi orang ramai yang sibuk mengutip udang galah yang dikatakan mabuk kerana air laut yang pasang bercampur dengan air sungai itu.

Aku yang tinggal hampir dengan sungai itu, haram tak tahu menahu. Gila ramai...macam ada pesta. Suamiku yang pulang untuk makan paginya itu ku tanya. Dia sendiri pun menggeleng kepala tidak tahu. Tidak lama selepas dia meninggalkan rumah selepas berehat pagi itu, dia kembali lagi dengan seplastik udang galah yang masih tercungap-cungap.

'Beli kat mana ni? Banyaknya?' aku bertanya pelik.

'Orang sibuk kutip depan rumah kita, I kutip dekat belakang opis je. Udang mabuk air masin.' Katanya memberitahu.

'Ada la pulak...' sahut ku sambil senyum sumbing. Rezeki.

'Jangan lupa tau?' Sergahan suamiku mengejutkan aku dari lamunan. '....siapkan dapur arang tu.' Arah suamiku yang kini sudah berpakaian lengkap dengan topi.

Aku yang sedang mendukung Kakak mengikut langkah suamiku ke muka pintu. Ai? Nak ke mana pulak dia ni? Suamiku hanya menapak ke arah sungai di depan rumah. Ingat tadi nak memancing ke mana aje la... kalau dilihat dari cara dia bersiap tadi gaya orang nak pergi mengikuti pertandingan.

Abang dan Angah sama terpacak di muka pintu memerhati bapanya yang sedang menghayun langkah ke arah sungai itu.

'Papa nak gi mana tu?' Angah yang kepoh bertanya.

'Tangkap buaya..' aku beritahu menakutkan dia. Kalau tak berbohong begitu, sudah pasti dia bekejar sama ke tepi sungai mengikut bapanya.

'Ooo...' tercopong mulut berdua beradik memandang kelibat bapanya. Mungkin ketika itu dia menganggap bapanya seorang Hero ala-ala Steve Irwin gitu.

Anak lelaki ku dua orang tadi sekejap bangun menjenguk, sekejap lagi memanjangkan leher menjenguk bapanya yang masih tekun menunggu di pangkal pokok rendang di tepi sungai itu yang jaraknya lebih kurang 100 meter dari rumah kami.

Aku memang tak ada masa nak menunggu kerana kerja rumah masih banyak yang hendak dibuat. Kalau hujung-hujung minggu itu biasanya aku akan menyiapkan kerja-kerja menggosok pakaian kerja dan anak-anak sekolah. Mana nak melayan si kecil Kakak lagi.

Akhirnya........

'Ek..eleh...' suamiku menutup kembali pintu bilik stor setelah menyimpan jorannya.

Angah dah mengikut bapanya ke depan ke belakang ingin bertanyakan kisah menangkap buaya tadi.

'Dapat pa?' dia mendongak bertanya.

'Takkk!' suamiku menjawap panjang tanpa memahami soalan si anak.

Angah kecewa dan kembali menghadap siaran TV petang itu.

'Kalau beli dekat pasar tadi, dah kenyang dapat makan. Buang masa je..' sungut suamiku yang pulang dengan perasaan hampa.

Aku ke singki dapur, manalah tau dia dapat sekor dua dan terus letakkan di situ? Hampeh betul. Seekor pun tak dapat selama berjam-jam dia menunggu? Kesiannya.....

Junie Octovian:  Mujur aku tak hidupkan api yang dipesan...kalau tidak mesti aku jadi macam peribahasa yang mengatakan ~ burung terbang dipipiskan lada ~

Rebah bangun?

Aku ke Pasar Malam bersama Kakak. Dah lama tak beli sayur kampung, teringin nak makan pucuk ubi masak tempoyak. Tak ada tempoyak pun, celur aje colek dengan sambal kacang ala-ala pecal. Hmm... makan tak hengat dunia. Tapi mungkin aku lewat keluar malam itu, apa yang dihajatkan itu tidak ada. Kacang panjang, kacang buncis, terung, kobis semua tu masih banyak. Mak ai! Bayam pun tak ada?

'Kalau ada bayam pun tak apa..' aku mengomel.

'Nak sayur bayam ke?' tanya si Kakak.

'Ha ah... boleh masak rebah bangun untuk Hana esok.'

Kakak menoleh merenung ku pelik. 'Masak rebah bangun tu macam mana?'

'Alaa... macam sup sayur tu la.' Suara ku sedikit marah. Rebah bangun pun tak tahu...nasib baik dapat emak macam aku ni yang tak pandai membebel. Kena Atuk Emak di Kluang tu...siap engkau!

'Dah! Emak nak pergi dah ni...' Emak memberitahu Jude dan Lela yang tak bersekolah pada suatu hari bertahun yang lalu.

Emak memang aktif masa mudanya. Hari itu dia sebagai Ketua Kumpulan Yaasin di kawasan itu akan dijemput untuk ke satu majlis. Jude di suruh memasak. Lela pula ambil bahagian mengemas.

Emak merupakan seorang ibu yang paling cerewet dalam segala hal. Dari menjemur pakaian, melipat dan menyusun ke dalam almari.

Tika itu aku dah berumahtangga dan tinggallah adik aku yang dua orang itu bersama Emak dan Ayah. Namun mereka pun bukan kecil lagi. Kalau sorang tingkatan 5, yang sorang pula dalam tingkatan 4. Kami adik beradik waktu dulu memang takut dengan Emak...jadi, kerjarumah ni memang tak payah bersuruhlah.

'Nak masak apa ni Mak?' tanya Jude yang sedang menyiang sayur bayam di meja dapur.

'Panas-panas ni masak rebah bangun je,' pesan Emak yang dah menunggu di pintu depan.

Semasa aku sampai di rumah Emak tengahari itu, Lela sedang sedap tidur di dalam timbunan kain baju yang tidak siap berlipat.

'Ya ampun! Ni kalau perompak Kassim Baba masuk, dengan dia orang sekali kena bawak lari.' Aku merungut sendirian kerana dah beri salam bagai nak berdarah tekak tak siapa yang menyahut.

Aku menapak ke dapur, nampak periuk yang sedang menggelegak. Apa yang dimasak ni sampai nak kering airnya? Hatiku berkata-kata sambil aku menapak menyelak kain langsir yang menutup pintu bilik belakang yang berdekatan dengan dapur masak.

'Jude...' aku menggoyangkan bahu adik ku yang tidur mengalahkan orang kena pukau dalam rumah tu. Kelibat Emak pula tak kelihatan. 'Jude!' kali ini suaraku sedikit tinggi.

Jude yang terkejut bangun terus keluar dari bilik. 'Makkkk!' dia menjerit menekap kepala dengan dua tangan.

Aku yang kehairanan tadi mengekornya dari belakang. Apabila aku mendengar dia menjerit, aku yang sama terkejut itu bertanya... 'kenapa?'

Lela yang tertidur di ruang tengah depan TV itu sama terjaga dan berlari ke dapur.

'Mati la kita Andak...' dia bersuara sambil tangan menutup api dapur. 'Kita lupa tutup api dapur.'

'Rebus apa tu sampai sempat tidur?' aku bertanya pelik.

'Emak suruh masak rebah bangun je...kita dah rebah, tak bangun-bangun.' Jude beritahu ketakutan.

'Laa...awak ikut sangat resepi dia tu kenapa?' aku dah gelak tergolek. Ada ke patut masak tu pun sempat merebahkan diri? Maksud Emak tadi, bila kuahnya menggelegak aje, masukkan bayam, tutup periuknya dan tutup juga api dapurnya. 'Tak apa la..ni Andak balik...kita goreng cakap dah habis dimakan. Tentu dia tak marah.'

Alhamdulillah! Emak balik lewat petang itu tak bertanya apa pun.

'Emak dah makan?' aku bertanya dulu nak tengok reaksi Emak.

'Dah! Tak larat pun...rumah DO, lauknya macam-macam.' Emak bercerita memberitahu. 'Awak dah makan?'
Emak bertanya ku balik sambil meriba anak sulungku.

'Dah!' Aku mengajuk cakap Emak tadi sambil mata mengerling Jude di depan TV. 'Tapi dah habis Mak lauk tu... Firdaous suka betul makan bayam masak rebah bangun.'

'Bagus la...tu Jude yang masak,' Emak memberitahu dengan bangganya.

Jude yang mendengar, senyum sampai ke telinga.

Ek eleh! Boleh senyum pulak dia? Mujur aku balik hari itu dengan cucunya. Bila dia ralit melayan cucu, yang lain dia tak peduli dah. Selamat Jude hari itu.

Junie Octovian: Kami dah tukar resepi tu dengan nama Rebah tak bangun-bangun.

April 1, 2011

April Fool...

Aisehmen...April already la...
Sejak kebelakangan ni aku asyik ketinggalan hari dan waktu aje...mungkin tak sekolah lagi agaknya. Dulu masa di sekolah, tugasku mencatit haribulan di papan hitam. Jadi aku sentiasa alert anytime, everyday.  Aku have all the time to prepare for any occassion.

Setakat April Fool ni, aku dah ready seminggu lebih awal. Mengumpul segala cicak kering yang mati tersepit di celah pintu atau tingkap. Aku bungkus elok-elok...macam orang bungkus ikan terubuk masin dari Sarawak tu la lebih kurang. Lepas tu masukkan dalam envelope bersama mesej 'APRIL FOOL' yang ku tulis sebesar alam di atas kertas yang bersaiz A4.

Selalunya, orang yang menjadi target aku tu akak aku sendiri la. Aku dah dapat mengagak berapa hari surat yang ku kirim padanya akan sampai. Jadi aku kirim la sehari dua lebih awal, agak-agak sampai pada tarikh 1 April tu.

Uda yang pulang hujung minggu masa tu dah mengejar aku pusing keliling rumah. 'Kurang asam engkau Andak..'

Emak yang tak tahu hujung pangkal beliak mata memerhati anak dara dia dua orang bekejar keliling rumah. 'Kenapa kamu berdua ni? Tak malu... dah boleh kawin, masih dok main kejar-kejar lagi.'

'Andak ni...' Uda berhenti di tingkap di mana Emak menjengolkan kepalanya menunggu dengan senduk kayu di tangan. '...ada ke dia kirim cicak kering?' Uda mengadu pada Emak sambil tercungap-cungap. Ada hati dia yang berbadan gempal tu nak mengejar aku yang comel loteh masa tu. Silap orang la...aku kan pelari jarak jauh masa zaman sekolah dulu? Cross-country? Road relay? Tiga ribu meter - yang berkeliling padang entah berapa round tu?

'Kirim cicak kering?' Emak berkerut dahi bertanya.

Aku yang mendengar dah berhenti jauh di pinggir jalan...agak-agak Emak keluar dari dapur tu nak kejar dengan senduk kayu, aku sempat la lari. Uda tu kan anak perempuan kesayangan dia?

Tiba-tiba...pecah ketawa Emak di tingkap dapur tu.

Uda dan aku berpandangan. Susah nak tengok Emak ketawa mengekek macam tu. Muka dia selalunya ketat aje. Uda jadi geram kerana aduannya tak laku petang Sabtu itu.

'Emak ni....ketawakan pulak dia.' Uda dah muncung sekaki.

Emak masih di tingkap menahan perut gelihati.

Ayah yang datang dari melawat reban ayamnya di belakang menegur Emak. 'Apa yang lawak sangat ni?'

Emak hanya menunjuk ke arah ku dengan senduk kayu. Tawanya masih bersisa.

'Andak tu Ayah...dia pos surat kat Ita, siap ada cop URGENT message inside, pulak tu. Ingatkan apa yang urgent sangat, rupanya cuma cicak kering. Habis satu Maybank tu budak gelakkan.' Uda mengadu pada Ayah pulak.

Dia ingat mementang dia anak Ayah...Ayah nak back-up dia...rupanya Ayah pun sama gelak sampai keluar air mata.

Aku yang masih menunggu reaksi Emak dan Ayah dari pinggir jalan tu dah senyum melebar. Ahh! Selamat tak kena marah. Apa la Uda ni...kan dah tulis April Fool?

Junie Octovian: Aku memang tau, Uda tu penakut dengan cicak. Mujur aku tak kirim cicak yang hidup kan? Cuba bayangkan kalau dia bukak envelope tu, cicak tu melompat keluar? Heheheh....

March 25, 2011

Ingin Jadi Halimunan?

Hari ini aku ingin berkongsi cerita yang aku ada sementara masih ingat. Manalah tau...esok-esok aku dah tak ada, sekurang-kurangnya cerita arwah Ayah akan diturunkan kepada anak cucu untuk dijadikan cerita dogengan pula. Arwah Ayah ku banyak cerita dan petua. Dia suka bercerita semasa aku membantu Emak memotong akhbar harian untuk dilapiskan dengan daun pisang sebagai pembungkus Nasi Lemak.

Waktu itu Emak selalu dapat tempahan Nasi Lemak dari Taukeh Cina pembuat taugeh. Bila dah cuba pertama kali, dia minta dibekalkan setiap hari. Emak suka aje kerana dia tidak perlu keluar rumah untuk berniaga. Cuma diantara kami kenalah pergi menghantar ke tempatnya. Mungkin Ayah hendak menghilangkan rasa bosan ku waktu itu, maka Ayah mula bercerita yang macam-macam. Kalau dia mula dengan cerita yang berciri seram, aku sampai tertidur dalam timbunan sisa daun pisang akibat takut untuk masuk ke bilik.

Satu malam tu aku bertanya Ayah pasal orang halimunan. 'Ada ke Yah orang halimunan?'

'Adaaa...'Ayah jawab panjang sambil menggulung rokok daunnya.

'Macam mana pulak orang boleh tak nampak dia?' Masa tu aku masih dalam Darjah Lima, kalau tak silap la.

'Dia ada ilmu la tu.' Ayah beritahu sambil menghembus asap rokoknya.

'Macam mana Yah nak dapatkan ilmu tu?' Aku yang sedang mengelap daun pisang jadi seronok nak tau.

Ayah berpaling sembilan puluh darjah memandang wajahku. 'Ingat senang ke?' Ayah menjongkitkan bibir atas seakan mengejek aku. 'Apasal tanya?'

'Saja....Ayah tau tak macam mana caranya?'

'Mula-mula...pergi cari sarang burung tukang.' Ayah mematikan api rokoknya. Dia bersila dan menarik dulang kopi dekat dengannya.

'Dalam sarang burung tukang tu ada arang. Ambil arang tu. Kemudian tunggu bila ada kematian, cukur bulu kening dan dilukiskan dengan arang dari sarang burung tadi.' Ayah meneguk kopi yang dah tak panas lagi.

Aku pula teringatkan Uda yang semenjak dua menjak waktu itu sudah pandai mencabut bulu kening. Masa tu aku baru balik dari sekolah petang, dia di bilik berair mata. Aku yang muda lima tahun dari Uda hanya memerhati, mana la tau kalau-kalau dia menangis kerana dimarahi Emak. Rupanya kerana sakit mencabut bulu keningnya itu.

'Lepas tu buat apa Yah?' Aku bertanya kerana Ayah lambat benar nak menyambung ceritanya. Asyik nak menggulung rokoknya aje. Tadi baru habis hisap satu...habis secawan kopi dah gulung lagi satu.

Sesudah menyedut asap rokoknya tadi, baru dia nak cerita lagi.........
'Tunggu masa orang mandikan mayat tu, ramai setan akan bersuka ria bermain dengan air mandian tu....dalam banyak-banyak tu ada seorang penghulunya yang datang berjubah putih.'

Aku renung wajah Ayah...'Kita boleh nampak ke?'

'Orang yang conteng keningnya tadi itu aje la yang nampak.'

Aku mengangguk. Bulu roma di tengkuk ku dah mula meremang. Aku mengengsot sila makin rapat dengan Emak yang sedang menggentel kuih bom.

'Perhatikan kat mana dia sangkut jubahnya itu. Bila dia sedang asyik bermain dengan air mandian mayat tadi, cepat-cepat curi jubahnya bawak lari.'

Aku beliak mata memandang Ayah. Mak ai! Payahnya. Sampai nak kena main curi-curi pulak. Kalau kena kejar macam mana? 'Kalau dia nampak dan kejar kita macam mana?'

'Kena lari arah ke kolam atau sungai dan terjun. Masa menyelam tu padam arang yang buat conteng kening tadi sampai hilang.' Ayah mengajuk siap dengan aksi sekali. Cerita Ayah jadi tambah hangat dengan Emak sekali tak jadi nak ke bilik air mencuci tangan. Dulu...mana ada singki di dapur. Baru aku ingat sekarang...Emak pun penakut juga rupanya.

'Bila arang tu dah dicuci bersih...kita tak nampak dia, dia pun tak akan nampak kita. Pakai la jubah dia tu...orang tak akan nampak kita pulak.'

Payah juga tu...mana nak cari sarang burung tukang? Woodpecker la dalam bahasa omputihnya. Orang sekarang mandikan mayat di hospital, sempat ke nak berlari cari kolam atau sungai yang berdekatan? Nak kena main kejar-kejar pulak dengan penghulu setan tu. Isy! Tak usah je la....

Junie Octovian: Ini cuma cerita arwah Ayah...bagi pengunjung blog yang nak mencuba silakan lah.....

December 3, 2010

Kedamaian yang membangkitkan nostalgia.

     Di pagi yang indah dengan cuaca yang redup dan menyegarkan, seawal jam 9.00 pagi aku sudah menyiapkan kerja rumah. Yang nak kerja dah pergi...Toby, Kaka dan Ogy dah keluar bermain. Adik entah apa dibuatnya dekat atas tu...mentang-mentang hari ni tak de kelas.
     Anak lelaki dua-dua dah ada keluarga sendiri tak payah nak diingatkan tentang solat Jumaat. Harap mereka patuh pada perintah agama yang wajib itu.
     Cerita tentang kedamaian ni...dulu masa anak kecil-kecil lagi nak dapatkan kedamaian tu, jauh panggang dari api. Sampai aku sendiri pun terlupa diri. Tak ingat langsung aku pernah melalui usia sehingga sekarang sudah masuk setengah abad. Sibuk semedang kata orang Perak. Tapi bila dah punya kedamaian yang tiada batasnya itu...aku dihantui nostalgia. Macam terdengar suara orang yang mengarah menyuruh 'bubuh nasi!' Tapi suara itu memang tak akan aku dengari lagi.
     Banyak perkara yang telah aku lalui sepanjang usia itu. Pahit manis semuanya tersimpan segar di kotak ingatan. Bermula dari 13 Jalan Anggerik tempat aku dibesarkan hingga rumahku yang dibina di dalam sebuah kebun di Simpang Renggam juga beralamatkan Jalan Anggerik. Pernah di Kota Kemuning aku tinggal di alamat 13 Jalan Anggerik juga dan akhirnya aku menetap di Bandar Anggerik. Wallahualam.
     Empat orang anakku memang dua tangan inilah yang membesarkan. Kalau urusan sekolah mereka juga memang aku yang lakukan dari tadika, sekolah rendah, sekolah menengah dan sehingga masing-masing menjejakkan kaki ke Institut Pengajian Tinggi. Alhamdullilah.
     Segala kenangan bersama teman-teman semasa di sekolah, bersama isteri-isteri Pengurus Ladang tak kira lah di ladang dalam daerah mana pun masa tu memang sangat happening. Padahal orang dah ke mana-mana dan bercerita tentang apa sahaja yang menarik, tapi kami yang menemani suami di ladang tu pun tak kurang seronok dengan cara kami sendiri. Kisah di Ladang Craigielea, Bukit Pasir, Muar banyak menyimpan kenangan indah. Setiap sudut memorinya ku simpan kemas sehingga kini. Hanya aku yang mengerti betapa sayangnya ikatan persahabatan ketika itu. Tali silaturahim itu pun masih kekal lagi walau kisah itu sudah tertinggal lebih dua puluh tahun dahulu.

 Berikut adalah luahan rasa yang mahu dikongsi bersama:
                          
                            Bersama teman aku gembira
                            Bersama anak-anak aku bahagia
                            Bersama suami, ada derita yang  
                            menghimpit jiwa.............
                            Entah apa hikmahnya tak dapat nak ku
                            baca..........
                          
                            Datang dan perginya BELIAU ikut suka
                            Terlupa akan cerita lama  
                            Namun aku masih menerima
                            Walau pernah dikeji dinista

                            Siapa yang bersalah sebenarnya?
                          
                             Aku? Masih begini dan di sini
                             Siang dan malam sahaja yang berlalu pergi
                             Bulan dan tahun pula silih berganti
                             Meninggalkan aku untuk mencipta namaku sendiri.......Amin!

Junie Octovian: May my life be blessed........


        
                                                  

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...