Showing posts with label Pengalaman.... Show all posts
Showing posts with label Pengalaman.... Show all posts

December 15, 2011

Harimau Jadian (ii)......

Hi peeps!

N3 ni sambungan daripada kisah yang tergendala kerana telah ku berikan laluan untuk segment
Wordless Wednesday dengan model tetap Cik Hana Sofya Firdaous.

Okeh...tanpa membuang banyak masa...kita sambung kisahnya.............

Selepas adik ayah dan keluarganya pulang malam itu, aku terpaksa menyambung kerja sekolah yang terbengkalai. Hari sudah agak lewat, masing-masing sudah masuk bilik mencari bantal. Namun aku
harus menyiapkan tugasan yang akan dihantar pada keesokan pagi di sekolah.

"Nanti nak tidur jangan lupa tutup lampu-lampu," pesan ayah sebelum dia masuk ke biliknya.

Aku yang masih tekun menghadap kerja sekolah itu hanya mengangguk. Seketika hanya kedengaran
bunyi kesak kesik kertas buku latihan yang ku selak. Penat menekur, aku menyandar merehatkan
tulang belakang. Kerusi tempat duduk ku rapatkan ke dinding untuk mengelak diri dari tabiat duduk
sambil menjongketkan kerusi.

Tiba-tiba aku terdengar seperti bunyi cakaran sepanjang papan dinding yang dibina melintang itu
rapat di telingaku.



Siapa pulak yang nak bergurau tak kena masa ni? Aku bermonolog sendiri kerana sangkaku si Zainal
anak Mak Mah tu yang empunya kerja kerana dia
memang rajin pulang jauh malam cuba menakutkan aku. Namun aku tak ambil peduli...biarkan!

Kemudian aku terfikir sendiri....kenapa si Zainal ni
beria-ia nak menakutkan aku dengan mencakar
dinding? Macam tak masuk akal aje sebab rumah
kampung yang bertiang itu sudah separas pinggang,
ditambah dengan ketinggian tempat dia mencakar itu separas bahu aku ketika sedang duduk. Kalau
benar pun tentu dia akan mencakar gaya menegak sahaja....mengapa harus bersusah-susah mengikut
gaya melintang? Lagipun mana dia tahu aku ada di
situ sedang membuat kerja sekolah?

Penat berfikir, aku menyambung kerjaku lagi tapi aku
sudah mengalihkan kerusi ke tengah pula. Kini,
bunyi cakaran itu di lantai pula. Bermakna si pelaku merangkak masuk ke bawah rumah sambil
berbaring terlentang dan mencakar papan lantai rumah. Kenapa dia harus bersusah payah melakukan
kerja yang tidak berfaedah itu?

Hendak aje aku curahkan air panas menerusi lubang-lubang lantai itu, tapi bimbang kalau betul si Zainal
anak Mak Mah itu karang mau sopak badannya. Aku yang memang tidak menyangka yang bukan-
bukan itu masih tidak mempedulikan keadaan. Daripada bersila di atas kerusi tadi, aku bersila terus
di atas meja. Hah...ambik kau!

Setelah tidak dipedulikan....kini ia beralih ke pintu besar depan rumah. Ia langsung tidak mengetuk
malah terus menggegar pintu besar itu. Aku hanya duduk memerhati. Pintu yang digegar kuat itu seakan
mahu rebah dibuatnya.



Yang menghairankan itu, mengapa emak dan ayah tidak langsung tersedar akan kejadian yang berlaku?

Mengapa hanya aku seorang sahaja yang mengalami kejadian itu. Aku mula merasa takut kerana pada hemahku kali ini memang bukan si Zainal anak Mak Mah. Tidak takutkah dia pada emak dan ayahku jika mereka tersedar dari tidurnya?

Dari cara pintu itu digegar juga menolak sangkaan aku bahawa si pelakunya anak Mak Mah. Aku membayangkan sesorang yang bertubuh sasa dan gagah. Siapakah? Tanpa membuang masa, aku cepat mematikan lampu dan menapak lekas masuk ke bilik. Kerja-kerja sekolah, ku biarkan setelah merasa ketakutan. Aku menarik selimut menutupi seluruh badan. Mataku terus terpejam dalam kegelapan malam.

Pengalaman malam itu aku simpan sendiri kerana tiada seorang pun yang membuka cerita tentang
kejadian itu pada keesokan harinya di meja sarapan. Emak pun nampak relaks aje tidak bertanya
apa-apa.

Namun...sewaktu minum petang, emak dan ayah rancak bercerita tentang seorang nenek
yang hilang dari rumah anaknya. Anaknya memberitahu bahawa emaknya ada memakai ilmu dan dia
sedang berusaha untuk mencari orang yang pandai untuk membuangnya kerana bimbang emaknya
akan mengalami keadaan yang susah apabila hendak menghembuskan nafas terakhirnya.

Cerita ayah, anaknya tidak mahu menerima ilmu yang mahu diturunkan oleh si ibu. Itu sebab ibunya
tidak betah dikurung di rumah.

Aku di ruang tengah rumah hanya memasang telinga sambil membuat kerja sekolah sementara hari
cerah. Aku sudah serik menangguhkan kerja dan terpaksa membuat kerja sendirian di waktu tengah
malam setelah mengalami kejadian yang pelik benar pada pendapatku. Namun aku masih belum mahu
bercerita dengan sesiapa.

Kalau dari cerita ayah mengenai orang yang dimaksudkan itu, bukanlah besar sangat. Nenek yang
dimaksudkan itu bertubuh kecil sahaja tetapi sedikit bongkok bila berjalan.

Kisah nenek itu terkubur begitu sahaja setelah berpuluh tahun lamanya. Tiada siapa yang tahu...tidak juga ayah sehingga dia menutup mata. Kisah ini hanya ku bangkitkan setelah menonton filem 'Waris Jari Hantu'. Aku terasa kisah itu bertepatan dengan apa yang ku alami ketika itu.

Ah! Aku mengurut dada mengucap syukur kerana terselamat dari menjadi mangsa. Dia ada cadangan nak 'pass'  pada aku ke? Isy! Nauzubillah.




Junie Octovian: "Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadat kepada Ku.
Aku tidak menghendaki rezeki sedikit pun dari mereka dan Aku tidak menghendaki agar memberi 
makan kepada Ku." (Surah az-Zarriyat ~ ayat 56-57)

December 13, 2011

Harimau Jadiankah?

Morning peeps!

Thousand apologies! Sengaja aku tak berblogwalking dalam Disember ini kerana sedang mencekalkan
hati untuk menyiapkan karya yang sedang dikemaskini dan dibaikpulih ini. Kalau berblogwalking nanti
aku terkhayal dan sedikit membuang masa.

Tapi entah macam mana semalam tu selepas seorang teman menelefon bercerita...terungkitlah kisah
anak-anak yang sedang bercuti dan tahun 2012 nanti anak-anak akan memulakan kelas yang baru...
naik darjah dan naik tingkatan. Seorang anak lelakinya bakal menduduki peperiksaan UPSR dan
beliau minta tips bagaimana hendak menjadikan anaknya berminat untuk membaca selain dari komik
dan majalah kerana karangan Bahasa Malaysianya agak lemah.

Selepas berborak panjang dengan beliau, aku duduk menyandar mengenang kisah aku sendiri semasa
bakal menduduki peperiksaan tersebut. Kisah ini telah lama tersimpan tanpa ku beritahu pada ayah dan
emak sekalipun kerana aku tahu mereka tidak akan percaya dan akan menyangka aku membuat cerita
pula.

Begini kisahnya........

Aku yang terpilih diantara tiga orang yang dijangka bakal mendapat 5A itu telah diberi tugasan untuk
membuat ulangkaji. Guru yang terlibat telah memaklumkan bahawa kami harus menyiapkannya dan
menghantar kembali kerja-kerja yang diarah itu keesokkan paginya di sekolah.

...gambar hiasan....

Petang itu kami didatangi tetamu di rumah. Adik ayah dalam perjalanannya dari Bukit Kepong telah
singgah ke rumah untuk menemui ayahku kerana ada urusan proses penjualan tanah pusaka yang
memerlukan tandatangan ayah.

Emak mengarah aku menanak nasi. Oleh kerana di ketika itu memang belum terjumpa lagi dengan
rice-cooker, rata-rata orang menanak nasi menggunakan dapur minyak tanah atau dapur kayu arang
atau dapur yang menggunakan kayu api. Ayah ku yang telah terbiasa makan nasi yang ditanak
menggunakan kayu api itu sedikit cerewet. Maka, untuk menanak nasi harus menggunakan dapur kayu
api yang sengaja didirikan sebuah pondok khas untuk menyimpan kayu di sebelah dapur asal namun,
ianya berasingan dari rumah yang bermakna aku harus keluar ke belakang.

Kebetulan, selepas peristiwa banjir besar....gosip masing-masing berkisar tentang lembaga yang merayap
pada waktu malam mencari kedamaian kerana dikatakan mati mengejut. Terngiang-ngiang di telingaku
kisah yang baru ku dengar petang tadi semasa geng-geng emak datang bergosip di anjung rumah semasa
aku sedang sibuk hendak menyiapkan tugasan sekolah. Maka ketika itu memang lari fokus...malah aku
sama memasang telinga dari dalam.

Mak Mah Pak Yahaya tu pulak kalau bercerita siap dengan aksinya sekali macam dia ada sama di waktu
kejadian. Emak dan beberapa temannya yang lain terangguk-angguk macam burung belatuk mengiyakan
cerita Mak Mah. *ampun Mak Mah ~ kerana menyebut nama Mak Mah pada hari ini*

Jadi, ketika aku sendirian sedang menunggu nasi yang ditanak itu kering, aku terbayang-bayang akan
kelibat lembaga yang diceritakan olah Mak Mah siang tadi. Ya ampun! meremang-remang bulu roma
di tengkukku...hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa takutnya aku di ketika itu. Hendak ku panggil
minta pertolongan memang tiada sesiapa di dapur kerana emak dan ayah sudah sibuk bersembang
nun........jauh di ruang tamu di hadapan sana. Manakala aku nun..........jauh di sebelah belakang.

Tak sabar hendak menunggu nasi kering, aku mengacau perlahan. Sambil membuat tap-dancing....
cepatlah kering! cepatlah kering! mulutku berzikir. Aku cepat memadamkan api dan meleraikan bara apabila nasi masak. Aku mengacau meratakan nasi di dalam periuk sebelum menutupnya.

Tiba-tiba.........

Tanpa menjerit dan tanpa banyak cerita, aku mengetuk sekuat hati dengan senduk kayu apabila satu
tangan yang masuk mahu mencapai bahuku dari celah-celah papan pondok kayu yang dibina ala kadar
itu. Tiada pekikan tiada lolongan....tangan tadi hilang begitu sahaja, entah siapa yang empunya!

                                                                                                           ~ bersambung ~

May 10, 2011

Cakap siang pandang-pandang...

Aku teringatkan kisah kami yang rajin beriadah ketika mula-mula tinggal di Setia Impian. Seronok kerana tempat yang disediakan oleh pihak pemaju itu sangat cantik.

Petang itu anak-anak bercadang bermain bola keranjang, sementara aku membawa Oprah berjalan-jalan mengambil angin. Oprah tak macam Toby...dia seronok dibawa ambil angin petang. Dengan gaya cat-walknya itu, orang yang berjogging akan berhenti bertanya dan Oprah pula semakin suka dikelilingi oleh kanak-kanak yang mahu mencuba mengusap bulu gebunya.

Angah, Kakak dan Adik dah terjerit pekik berebut bola yang sebiji tadi untuk dijaringkan. Gelanggang bola keranjang itu mereka guna sebelah sahaja. Manakala yang sebelah lagi digunakan oleh anak-anak kaum Cina yang entah jam berapa sudah datang ke situ. Tapi okey la...dia orang tak bolot satu gelanggang pun kerana mereka tahu itu tempat awam yang patut dikongsi bersama.

Lepas separuh pusingan, aku patah balik ke tempat anak-anak bermain. Kami duduk di kerusi batu di hujung gelanggang. Dari kejauhan aku terpandang sebuah keluarga Melayu yang baru keluar dari Wira Aeroback. Suami isteri jalan berpegangan tangan berpakaian merah sedondon, sementara tiga orang anak mereka telah mendahului ibu bapa dengan sebiji bola di tangan.

Pasangan itu mengambil tempat di sebuah kerusi batu tidak jauh dariku. Anak-anaknya berdiri terpacak di tepi gelanggang sambil melantun-lantunkan bola yang dibawa oleh mereka tadi.

'Ajak budak-budak tu main sekali Ngah,' aku beritahu Angah yang mengejar mengutip bola yang meleret ke arahku.

Angah menoleh ke arah tiga beradik tadi dan mengajak, '...meh la sini.' Dia kemudian menarik adik-adiknya sedikit ketepi memberi laluan tiga beradik tadi.Namun mereka bertiga tadi hanya memandang.

Ibu dan bapanya aku lihat romantik betul...duduk berdua-duaan macam orang sedang bercinta, macam dah bertahun tak jumpa. Mereka tidak langsung menghormati aku sebagai orang tua di situ. Mungkin mereka berlagak ala-ala di negeri barat sana barangkali.

Tiba-tiba...........

'Ni tempat awam...janganlah nak guna sendiri aje,' si bapa bersuara menyindir apabila melihat anak mereka yang masih belum diberikan laluan untuk menggunakan gol jaringan.

Aku menoleh merenung wajah lelaki Melayu yang mulutnya busuk macam tempayan budu itu ~ curi ayat Maya Karin dalam filem CUN. Kurang ajar kan? Bukan ke Angah dah ajak bermain bersama tadi...kenapa anaknya tidak mahu turut serta kalau dia tahu itu tempat awam? Kalau dia nak guna sendiri pun tunggu la kami dah habis bermain? Atau kenapa dia tak pergi gelanggang sebelah yang digunakan oleh anak-anak Cina tu? Mungkin kalau dia nak sindir nak perli ke hapa...anak-anak Cina tu tak faham pula. Maka dia bersuara ke arah anak-anak ku yang memang sangat mengerti akan Bahasa yang menunjukkan siapa Bangsa kita sebenarnya.

Aku selaku orang tua yang mendengar cepat memanggil anak-anakku untuk pulang.

'Jom! Tempat awam ni...ada orang nak guna pulak,' beritahu ku bersahaja sambil mengheret Oprah pulang.

Anak-anak yang mengerti, mengikut dari belakang.

Terdengar riuh rendah suara mereka anak beranak kemudian itu. Aku menoleh. Mereka sedang rancak bermain.

'Dia yang tak pandai nak share tu jerit-jerit pulak. Ingat mama ni budak-budak ke dia nak sindir-sindir?' Aku sedikit membebel semasa memandu pulang. 'Mulut tak ada insurans...kurang ajar, nama aje dah jadi bapak orang. Patut pun anak-anak rupa Chipmunks.'

Memang kebetulan, seorang dari anak mereka bercermin mata besar macam Simon, seorang dah macam Alvin dan seorang lagi pulak sebiji macam Theodore. Sejak itu kami gelar keluarga itu sebagai keluarga Chipmunks. Lepas dua tiga kejadian terserempak dengan mereka di waktu yang sama, kami ambil keputusan untuk tidak ke Central Park lagi.

Anak sulongku yang tinggal di Sri Hijauan mengajak adik-adiknya menggunakan kemudahan yang disediakan ditempatnya pula. Kami beralih arah, kami bermain tennis dan berenang pula. Kami juga ada gelanggang bola keranjang sendiri di depan rumah. Tak payah nak berebut bermain...tak payah nak pedih telinga mendengar sindiran orang.

Angah pula cuba jadikan rumah kami macam gym...tak payah keluar berjogging, di rumah kami dah ada threadmill. Lepas ni kami nak beli punch-bag...exercise ala Muhammad Ali, peninju terkenal dulu tu. Kalau tengah stress atau sedang sangat marah, boleh dilepaskan kemarahan itu dengan menumbuk-numbuk beg tersebut.Tapi adik-adik perempuannya tak pandai kurus pun?

Kakak dan Adik tak pernah ambil kisah apa orang nak cakap tentang fizikal mereka. Asalkan Hana Sofya suka dan kenal dengan mereka, dah cukup. Bak kata Bujang Sepah.... '...gajah tu tak pernah makan nasi, tapi tak kurus-kurus pun?'

Wallahualam.

Junie Octovian: 'Sting like a bee'

April 19, 2011

The Young Travellers...(part 2)

'Mama pergi aje la bawak adik-adik ni...Abang Long dengan Angah tinggal dengan Atok. Kita orang sekolah kat sini aje,' Abang Long mencadangkan pada satu hari apabila dilihat adiknya masih tidak pulih dari demam.

Hari tu becuti di Sandakan elok aje...melenting sana melenting sini. Lagi la duduk dalam hutan sawit tu. Ni dah balik buat hal lagi. Macam orang merana aje gayanya.

'Dia demam rindu ni...' Emak memberitahu. '...bawak la klinik mana pun memang menghabiskan duit aje.'

Aku di persimpangan dilema dibuat si anak. Tapi tak ada cara lain...tak kan bapanya asyik nak berulang alik menjenguk dia? Bukan dekat-dekat. Nak pos dia sorang-sorang kang, siapa pulak nak menjaga dia di sana? Akhirnya keputusan dibuat, aku terpaksa meninggalkan Abang Long dan Angah dengan Atoknya. Mudah-mudahan aje tak lama, hatiku memanjat doa.

Sejak itu setiap musim cuti sekolah, kami akan kirimkan tiket untuk mereka berdua beradik. Hatiku Tuhan sahaja yang tahu betapa kembang kempisnya nak melepaskan mereka sendirian menaiki pesawat merentas Laut Cina Selatan itu.

'Masa transit kat KK tu, jangan pergi mana-mana...dalam flight dari Senai tu dia orang akan beri makan kan?' Aku mengingatkan berdua beradik yang akan terbang sendirian masa cuti sekolah itu. Mereka dah tahu cara-cara check-in semasa di Lapangan Terbang semasa cuti lepas. 'Nanti terlepas flight ke Sandakan susah pulak.'

Aku dan adik-adik mereka memerhati pesawat yang mencecah landasan itu dengan hati yang girang. Bila nampak kelibat Abang Long dan Angah yang muncul dari perut pesawat itu segera kami turun ke tingkat bawah untuk menyambut mereka.

Tidak dapat nak digambarkan betapa bahagia dan gembiranya kami sekeluarga apabila dapat berkumpul semula.

Betapa pengalaman yang dilalui oleh mereka ketika ditinggalkan dan dipertemukan semula itu amat berharga dalam hidup ini. Begitulah seterusnya sehingga suamiku ditukarkan ke Kalimantan Barat dan akhirnya aku dapat membawa anak-anak tinggal bersama kerana kali ini aku tinggal menyewa di bandar Kuching demi menjaga kebajikan anak-anak yang sedang melalui alam persekolahan.

Pengalaman itu menjadikan mereka lebih dewasa. Apabila mereka harus meninggalkan keluarga untuk melanjutkan pelajaran, mereka sudah bersedia. Apabila mereka harus meneruskan hidup sendiri setelah pemergian bapanya kerana dijemput Ilahi, mereka sudah merasa cekal hati.

Walau tidak ku tahu apa yang melanda di dalam hati, namun aku pasti pengalaman tadi adalah hidayah Allah yang disampaikan sebagai persediaan di kemudian hari.

Junie Octovian: Mendoakan dari jauh.

April 15, 2011

The Young Travellers...

Semasa suamiku berpindah ke Sabah, anak sulongku di Tahun Enam, persekolahannya. Maka, aku dan anak-anak tinggal untuk melepaskan dia yang akan menduduki peperiksaan UPSR.

Kami di Jasin, Melaka waktu itu dan aku bercadang untuk pulang ke Johor sahaja selepas Abang Long habis periksa. Kalau di daerah aku sendiri memang dah senang sangat. Aku tahu aje selok belok, selekoh semua tu...jadi aku tak perlu menyusahkan dan meminta pertolongan orang.

Namun si Adik, selepas beberapa lama tidak melihat bapanya itu sering pula demam.

'Adik nak papa....adik nak papa...' rengeknya yang ketika itu beusia dua tahun.

Aku tak tahu nak dipujuk yang macam mana, jadi aku main tunjuk aje la semua lelaki yang melintas lalu di depan rumah kami itu.

'Hah! Tu papa dah balik...' aku kira dia kecil lagi...tak berapa nak mengenali bapanya.

Rupanya...bukan merengek lagi, dia semakin menangis menjerit kerana menyangka dia diperbodohkan.

Abang Long yang memandang merasa terharu.

'Adik ni kenapa ma?'

'Dia nak papa...dah lama tak jumpa agaknya,' aku beritahu.

'Lepas Abang Long habis UPSR, kita pergi sana kan?'

'Ha ah...tapi papa cakap sekolahnya jauh la..' aku terdiam memikir. Kesian anak-anak nak kena keluar awal pagi. Balik pula tak tahu nak sampai rumah pukul berapa.

'Kita balik Kluang aje la...sekolah dekat sana,' aku beritahu rancanganku.

'Habis Adik?'

'Tak apa kot? Kalau dia berkawan dengan anak-anak Mak Ucu kat sana nanti, tentu dia lupa.'

Abang Long merenung jauh...pertama kali tidak tinggal serumah dengan bapanya. Selalu tu out-station juga, tapi lepas seminggu balik lagi. Kali ini dah masuk tiga bulan sejak Julai....

                                                                                                                    ~ bersambung ~

April 13, 2011

Experiment...

Anak keduaku memang dah menunjukkan bakatnya dalam bidang elektrik ni sejak kecil. Dia dah buat bermacam-macam experiment yang menyebabkan beberapa kemalangan kecil cuma mujur aje rumah yang kami diami itu tidak terbakar.

Satu daripada experiment Angah ...................

'Ma...ada kotak tak?' Angah bertanya suatu hari selepas pulang dari sekolah.

'Nak buat apa?' aku tanya balik.

'Ada la.........' Angah jawab sambil melintas depan bilikku.

'Dalam stor belakang....' aku beritahu kerana sedang sibuk menggosok baju. '.......jangan buat serak tau?'

'Yes mem...' dia jawab sambil beri tabik hormat.

Lepas tu aku dah tak ambil peduli kerana suasana senyap itu tidak menganggu kerja rumahku. Yang kecil dah tidur, Kakak dengan Abang Longnya tak tau buat apa dekat depan. Menonton barangkali. Biasanya macam tu la.....

'Angah!' suara Abang Long menjerit memanggil. '.....Rude Dog dah start!'

Rude Dog tu siri kartun kegemaran Abang Long dan Angah dalam tahun awal sembilan puluhan dahulu. Angah akan rakam dan mainkannya semula bila-bila dia suka.

Angah yang tadi entah apa dibuatnya di bilik berlari keluar bila dipanggil.

Aku ketika itu di dapur menyediakan makan malam sebelum menjelang azan Maghrib. Setelah siap menghidang aku tutup dulu dengan tudung saji sementara mengerjakan solat dan menunggu suamiku pulang dari bermain golf.

Melintas di ruang tamu rumah yang berbentuk 'L' itu, aku nampak anak-anak yang bertiga tekun menonton dengan suara dari TV yang diperlahankan menghormati waktu Solat Maghrib. Adik yang baru beberapa bulan sahaja usianya ketika itu dan sedang nyenyak tidurnya, aku letak di tengah-tengah mereka.

'Mama nak solat...jangan bising tau? Tolong tengokkan Adik.'

Abang Long dan Angah sama mengangguk.

Aku menapak ke bilik melalui bilik tamu sebelum sampai ke bilik Angah yang dikongsi bersama Abang Long.
Di situ aku dah menghidu bau asap. Hidungku makin kembang kempis mencari punca kerana tadi aku yakin aku dah menutup api dapur. Ni bau asap dari mana pula?

Rupanya..........

Kepulan asap putih keluar dari bawah pintu bilik Abang Long/Angah. Aku berkejar ke situ dan memulas tombol pintu.

Astaghfirullahalazim! Api merah dah mula memakan permaidani hijau di lantai. Kotak besar yang digunakan untuk experiment Angah dah mula roboh.

'Angahhh!....apa yang terbakar ni!?'

Cepat aku membuka pintu bilik air di biliknya itu dan menjirus api yang sudah mula mahu menjulang.

Angah sama berkejar ke bilik. Mukanya pucat lesi bila melihat api dan keadaan biliknya.

Mulutku mula mengicau, '....Angah bakar apa ni? Papa balik nanti kena marah tau?' sambil tangan cepat menyimbah lantai bilik untuk memadamkan api.

Dia dah terdiam kaku.

Aku berkemas menghilangkan bahan-bahan bukti sebelum papanya pulang. Pintu tingkap ku buka untuk mengeluarkan bau asap yang pekat tadi.

Tidak lama kemudian, nampak lampu Volvo menyorot masuk ke porch bahagian depan. Abang Long yang sama terkejut dengan kejadian tadi berbaring semula dengan menyilangkan kaki gaya senang hati. Angah, ku suruh duduk di biliknya sementara menunggu reaksi papanya yang baru pulang itu.

Sebaik pintu depan ditolak buka, hidung suamiku kembang kempis terhidu bau asap.

'Apa yang terbakar ni?'

Aku yang sudah berwudhuk tadi pura-pura menjengolkan kepala dari pintu bilik memberitahu, 'Angah tengah buat experiment kat bilik dia!'

Suamiku cepat menanggalkan kasut dan pantas menapak ke bilik Angah.

'Sampai terbakar? Mana Angah?' dia melilau mencari Angah yang memang dah terkenal dengan 'firestarter'. Pantang jumpa mancis...

'Dah la tu...Maghrib ni,' aku bercakap dengan suara yang lembut agar reda kemarahannya di waktu Maghrib itu. '.......I dah marah, tak kan you pun balik nak marah juga? Tak sengaja....nama pun experiment kan?'

Mungkin kerana tempat kejadian tadi sempat dibersihkan, maka tak adalah nampak teruk sangat. Cuma permaidani kesayangannya sejak dari bujang itu sudah melopong di bahagian hujung.

Semenjak itu suamiku sentiasa mengadakan aktiviti 'barbeque' di hujung minggu untuk melepaskan rasa ghairah Angah yang suka bermain api.

Junie Octovian: Mudah-mudahan dia berjaya membawa pulang gelaran Doktor Fairouz dalam bidang Power Electrical empat tahun lagi, insyaAllah.

April 12, 2011

Gohed, gostan...

Selain Pak Tam, Jude memang jadi pengunjung tetap aku dan anak-anak yang tinggal di dalam estate. Bila cuti semester aje, dia akan beritahu dan kami akan menjemputnya.

Uteh membuat kunjungan lagi waktu cuti semester entah tahun berapa semasa kami tinggal di Pagoh Estate, Alor Gajah...kawasan yang sekarang ini telah menjadi A'Famosa. Masa tu Pak Tam dah join navy yang dikatakan kena post ke Labuan.

Aku yang masih belum mempunyai lesen memandu waktu itu mengajak Uteh ke pekan Tampin. Tampin adalah yang paling hampir dengan tempat tinggal kami berbanding Alor Gajah itu sendiri.

'Jude, petang ni kita bawak budak-budak ni ke Tampin nak?' aku ajak Uteh yang dah punya lesen memandu ketika itu.

'Kita tak pandai jalan dekat sini la....' dia beritahu ku pula.

'Tak apa...awak jadi driver, andak tunjukkan jalannya.'

'Kalau macam tu okey la,' jawab Uteh.

Maka selepas Solat Zohor, aku pun menyiapkan anak-anak untuk ke pekan Tampin. Anak-anak dah kegembiraan dan sekali gus merasa bangga mungkin, kerana kali ini Uteh yang akan memandu.

Aku serahkan kunci Volvo 244 kepunyaan suamiku kepada Uteh sambil sebelah tangan menarik tali pinggang keledar.

Uteh yang dah siap menarik tempat duduk sedikit ke depan ~ Uteh ni rendang je macam pokok bonsai ~ dia membetulkan cermin pandang belakang dan cermin sisi. Dengan lafaz bismillah, Uteh menghidupkan enjin kereta.

'Ahhh!' kedengaran suara anak-anak di belakang yang lega kerana Uteh telah berjaya menghidupkan enjin kereta tersebut.

Kami menunggu untuk bergerak keluar dari porch rumah. Lama. Anak-anak di belakang dah mula berdiri melihat Uteh yang masih terkial-kial mencari gear. Jangan tanya akulah...aku memang tak pernah pegang Volvo tu. Kalau di suruh tolak tu adalah...(ini kisah yang berlainan yang akan ku isi kemudian).

'Kenapa Jude?' aku bertanya.

'Dah masuk gearnya, tapi dia gostan pulak...'

'Masa belajar hari tu macam mana?'

'Macam ni la...tolak ke tepi sikit, masuk gear satu, baru lepaskan handbrake,' jelas Uteh.

'Tak masuk kot? Cuba tekan kuat sikit....Volvo ni berat,' aku cuba terangkan.

Uteh cuba beberapa kali...Volvo dah bergerak keluar dari porch tapi bergerak ke belakang. Tukang kebunku yang sedang memberi makan satu-satunya kuda yang kami ada waktu itu hanya mengerling dengan ekor mata. (Kuda tu dibeli selepas kejadian di Kemunting dulu).

Anak-anak yang menunggu dah berpeluh rejat. 'Kenapa gerak ke belakang ma?' tanya Abang Long.

'Entah la...rosak agaknya,' aku beritahu anak-anak yang dah mengharap. '...tunggu keluar dengan papa aje la, eh?' aku cuba pujuk.

Mereka tak banyak cakap bila aku membuka pintu kereta belakang, semuanya turun.

'Tak apa la Jude...' aku beritahu Uteh. Kesian dia dah puas memulas gear tu, tapi masih tak mahu bergerak ke depan.

Aku serahkan kunci kepada si tukang kebun. 'Bala...itu kereta tak boleh jalan la. Awak tolong tolak masuk, lepas tu kasi kunci, eh?'

Bala mengikat Poly si kuda padi dan mendekati aku mengambil kunci kereta. Tiba-tiba.....

Vroooooom!

Kami  berlima semua berkejar ke belakang. Ketika itu elok je si Bala memandu kereta masuk ke dalam porch. Setelah mematikan enjin, dia keluar dan menguncinya. Sambil menyerahkan kunci kepada ku dia memberikan senyuman bangga.

Poly sama tergelak masa tu....malu siot!

Junie Octovian: Malu tahap gaban.

March 24, 2011

Tsunami?

Semenjak dua menjak ni asyik nak menonton berita aje. Suka betul nak tengok video yang ditunjukkan bagaimana tsunami melanda Jepun tu. Memang hebat! Kuat betul kuasa air...aku kagum gila.

Padahal tsunami ni dah pernah berlaku sejak dulu pun tapi tak ambil perhatian sangat dan tak glamour la barangkali masa tu kan? Liputannya pun kurang. Sejak dia melanda Banda Acheh tu baru AKU celik mata dan menghadap TV siang malam menunggu berita terkini jika ada gegaran susulan yang boleh membawa tsunami lagi. Eee...tak baiknya. Macam suka pulak melihat negara orang tu ditimpa musibah.

Tsunami tu bahasa Jepun yang bermaksud ombak besar, kan? Kalau tak tahu punca kejadian dan tak ada yang merakam dari jarak jauh atau dari tempat yang tinggi, mungkin kita rasa macam banjir besar la. Kisah banjir besar ni, aku pernah alami semasa aku tinggal di 13 Jalan Anggerik pada tahun 1969, lama dulu............

Aku masih ingat, masa tu hari terakhir Ramadhan. Ayah, Abang dan Ngah sedang memasak ketupat di luar belakang rumah. Cuaca yang terang hari tu tiba-tiba bertukar menjadi hujan panas dan berterusan. Dalam hujan yang renyai-renyai berterusan itu kami tidak menyangka air akan naik dengan cepat. Ayah, Abang dan Ngah dah mula mengalih tempat merebus ketupat masuk ke dalam rumah.

Air yang naik dengan cepat itu sudah mula masuk ke dalam dapur kami juga. Hairan? Cuma hujan renyai sahaja...dari mana datangnya air ni? Riuh rendah suara jiran tetangga di luar yang menjerit meminta tolong anak-anak agar menyelamatkan barang-barang rumah dari ditenggelami air yang deras masuknya itu. Kemudian itu baru hujan lebat turun tanpa henti. Aku di tangga dapur hanya mampu melihat sahaja. Dua orang adik ku Jude dan Lela yang bermain di rumah atas makin seronok kerana bila dia melompat, air akan memancut masuk dari celah-celah lantai papan rumah atas itu.

Kakak ku Uda...sibuk menyelamatkan balang biskut raya yang dibuatnya bersama kakak ipar ku di rumah sebelah sahaja itu. Ada tujuh belas macam biskut yang dibuat Uda pada tahun itu. Maklum la...dia kan baru meningkat remaja semua yang ada dalam majalah Wanita itu habis dicuba.

Ayah cepat mendukung Jude dan Lela untuk dibawa ke tempat lebih tinggi dalam rumah itu sahaja. Nak ke mana lagi waktu itu kerana tiada amaran banjir langsung. Macam tsunami yang tiba-tiba melanda tak beri salam. Aku menghadap tingkap rumah kampung yang luas terbuka itu. Air sudah separas pinggang ku walau di bahagian atas rumah. Dapur kami memang dah tenggelam yang paling dalam....dalam sejarah banjir yang pernah aku alami.

Sedang aku leka memandang air yang deras itu, sebuah besen besar berwarna merah seakan tegak hanyut ke arah ku. Bila dia tersangkut di tepi tingkap itu aku cepat memegangnya. Uda tolong tarik masuk ke dalam. Isi besen itu dipenuhi dengan barang-barang dalam tin. Tapi yang aku paling ingat, ada setin besar Milo. Aku dan Uda keseronokan dapat barang dapur percuma kami hari itu.

Ayah dah menjerit suruh kami berdua naik ke atas para yang dibuat untuk tempat kami bertenggek sementara menunggu air surut, kerana ada sebuah reban ayam yang dipenuhi ayam sedang hanyut menghala ke rumah kami. Alhamdulillah. Mujur dia hanya melalu bahagian depan rumah sahaja. Namun, air yang deras itu membawa reban yang dipenuhi ayam yang sedang mengelupur di dalamnya itu ke bahagian dapur rumah jiran kami nombor 15. Bahagian dapurnya yang kukuh dan teguh itu habis dirempuh oleh reban ayam tadi dan membawanya hanyut bersama.

Ketika melihat kejadian itu, kami dah mula merasa takut. Terdengar sayup suara Pak Lah jiran sebelah melaungkan azan setelah rumah dapurnya dihanyutkan air. Aku lihat Ayah menitiskan airmata. Apa tidaknya di hari akhir Ramadhan yang sepatutnya disambut dengan meriah itu, kami didatangkan mala petaka. Bagaimana kami hendak berbuka dan berhariraya esoknya? Habis semua barang dah ditenggelami air, tak sempat nak diselamatkan.

Lewat waktu maghrib, air mulai surut. Kami hanya mampu duduk bertenggek macam ayam di dalam gelap. Kedengaran bunyi enjin bot yang datang untuk membantu dan memberi bantuan. Tapi kami sekeluarga tidak mengikut pindah kerana air sudah pun mulai surut menjelang malam. Ayah, Emak, Abang dan Ngah dah mulai sibuk mengemas dan mencuci rumah bahagian atas dengan menggunakan air banjir itu sahaja.

Pengalaman itu membawa aku memahami perasaan mereka yang melalui saat berlakunya tsunami. Walaupun kehilangan harta benda itu boleh dicari ganti, bagaimana pula dengan mereka yang kehilangan ahli keluarga? Terbayang di ruang mata ketika melihat tangan yang terkapai-kapai itu cuba memegang dahan pokok durian di depan rumah Pak Mat yang bernombor 14. Air yang berarus deras itu terus menolak dan menghanyutkan mangsa entah siapa. Sadisnya!

Di pagi Syawal...tanpa berbaju raya, terdengar suara sorakan gembira dari kawan-kawan dan jiran tetangga yang memperoleh habuan mereka. Ada yang terjumpa dengan kotak-kotak kasut yang berjenama BATA yang elok diikat, barangkali untuk diselamatkan, namun kedainya juga hanyut dibawa air. Ada yang terjumpa dengan kain baju dari kedai jahitan. Ada pula yang terjumpa dengan barang dapur dari kedai runcit. Aku yang memerhati gelagat mereka, bersyukur kerana rumah kampung kami itu masih utuh dan kukuh.

Junie Octovian: Ini kisah benar yang diceritakan dari versi pengalaman ku ketika itu.                                                                                                          

March 23, 2011

Aku dan Doktor Gigi... ( Finale )

Aku mengetuk pintu bilik nombor 2 dan menolaknya perlahan. Ada dua orang perempuan di situ yang memakai kot putih dan bertutup mukanya. Hanya nampak dua biji mata sahaja.

'Assalamualaikum.'

'Waalaikumsalam.' Dua mereka menjawab serentak.

'Puan baring di sini.' Yang seorang memberi arahan.

Aku mengikut sambil mata tegak memandang lampu putih di atas yang menyuluh terang ke muka.

'Ada masalah apa puan?' Tanya seorang yang sedang mengenakan sarung tangan getahnya.

'Biasa la orang tua ni...gigi dah mula nak tanggal. Ni geraham bungsu bawah kanan..' Aku memberitahu sambil memegang ppi kanan. '...saya dah cuba nak cabut sendiri, tapi sakit gila. Macam ada jarum yang mencucuk dalam kepala.' Aku yang memang ramah tu tak tanya pun siap beri penerangan lagi. Kalau kena orang yang tak suka tentu dah dijelingnya aku 180 darjah.

'Mana boleh cabut sendiri puan...gigi tu akarnya panjang dan ada tisu-tisu yang mencengkam kuat.' Doktor Gigi memberi penjelasan. Ada hati mak cik ni nak cabut sendiri...mungkin begitu dalam hatinya berkata. 'Bagi saya periksa semua dulu ye? Puan nganga besar-besar.' Dia mengarahkan. Di tangannya terdapat dua peralatan kiri dan kanan. Sebelah tangan dengan peralatan yang berupa kanta pembesar dan sebelah lagi berupa jarum yang digunakan untuk memeriksa jikalau terdapat gigi yang sudah berlubang. Ternyata gigi  aku semuanya baik-baik belaka tapi ada dua batang lagi yang disebut sebagai 'mobile' ketika dia memeriksa dan yang seorang lagi mencatat apa yang dikata.

'Okey...puan nak cabut yang mana ni?'

Isy! Yang mana? Ada lagi la tu yang bakal kena cabut, bisik hatiku. Itulah akibatnya suka memakan bebenda yang keras. Aku memang minat makan jenis yang keras...kalau tidak pun minta makanan tu digoreng garing. Hah! Padan muka. Geraham tu masih cantik tak rosak dan berlubang pun tapi gusi tu yang dah tak kuat nak menahannya.

'Yang kanan bawah ni la...dah rasa goyang sangat. Gosok gigi pun payah.' Aku beritahu Doktor yang baik dan mesra tu.

'Saya injek ubat kebas dulu ye?'

Aku menganga aje la...dalam hati Bismillah ku baca tanpa henti. Tiga kali aku rasa jarum tu dicucuk sebelah menyebelah untuk memberi kesan kebas ketika gigi itu ditarik keluar nanti.

'Okey..Puan tunggu di luar dulu, nanti kami panggil lagi.'

'Terima kasih.' Aku meninggalkan bilik itu dan menunggu di kerusi sebelah luar. Ketika itu Adik sudah siap dengan rawatannya. Dia cuma minta buat scaling aje.

Seketika aku rasa pipi kanan ku bengkak macam lepas disengat lebah. Bibir pun dah rasa macam bibir Angelina Jolie. Lidah dah rasa kebas macam orang kena stroke. Aku mengadu pada Adik di sebelah. Tapi Adik cakap macam biasa aje. Perasaan aku la tu.

'Puan Junaidah!' Nama ku dipanggil lagi.

Aku masuk dengan perasaan sedikit berdebar. Mana la tau? Kalau-kalau sakitnya sampai ke otak macam yang aku cuba buat di rumah?

'Nganga.' Pinta Doktor Gigi yang masih muda itu.

Aku menganga kali ini dengan bacaan Ayat Kursi di dalam hati siap dengan mengucap dua kalimah syahadah. Aku nampak Doktor Gigi mencapai alat yang berupa plier kecil.

'Okey...gigit kapas ni kuat-kuat.' Kata Doktor Gigi yang dah siap dengan tugasnya.

'Sudah?' Aku bertanya sebab aku tak rasa apa-apa pun. Dalam beberapa saat sahaja Doktor Gigi menjalankan tugasnya.

'Dah! ...Ni puan bawa kad ke kaunter depan dan bayar seringgit.'

Aku ucapkan terima kasih sambil mata memandang geraham bungsu di atas tray. Panjangnya!
Alhamdulillah. Memang tak berasa langsung. Cuma semasa dia suntik ubat kebas tu aje meleleh juga air mata aku akibat kesakitan. Lain kali boleh datang lagi, dalam hatiku berkata.

Kami pulang dengan hati yang senang. Adik tak perlu ke klinik pergigian untuk tiga ke empat tahun lagi. Cuma kena jaga giginya dengan baik sahaja. Mungkin waktu itu nanti depan rumah kami di Setia Impian dah ada klinik sendiri agaknya kerana tapaknya sudah ada. Walaupun ke seksyen 7 tu tidak la jauh mana pun. Kami cuma dikenakan bayaran seringgit untuk rawatan, manakala di klinik swasta waktu terakhir kami buat pemeriksaan gigi...untuk scaling seorang lapan puluh hengget. Kalau cabut?

 Junie Octovian: Tentu yang menjadi doktor gigi dan membuka klinik sendiri tu kaya orangnya.

March 19, 2011

I'm home!

Alhamdulillah...

Sampai kami ke Setia Impian ketika jam mencecah angka lima petang. MasyaAllah....bas express yang mengaku  dan memakai nama CEPAT itu langsung tak cepat pun. Kami yang bertolak dari rumah mengikut Angah pada jam 7.00 pagi itu terlepas bas 8.30 pagi. Maklumlah pertama kali menggunakan perkhidmatan bas, setesen bas di BP tu dekat mana pun kami tak tahu. Menurut khidmat GPS, setesen bas yang paling dekat di Larkin. Gila! Tak kan nak pusing balik?

Tak apalah...pengalaman namanya tu...

Setelah kami temui terminal bas BP di Jalan Rogayah itu, kami pun cepat mencari kaunter yang menjual tiket bas ekspress. Selain jam 8.30 pagi...yang lelainnya pada jam 12.30 tengahari nanti. Cuma CEPAT express sahaja yang ada menawarkan waktu pada 11.30 pagi iaitu sejam lebih awal.

Oleh kerana Angah dan Huda terpaksa mengambil masa bekerjanya untuk menghantar kami ke situ, maka aku putuskan untuk menerima tawaran jam 11.30 pagi.

Bas yang sepatutnya bergerak jam 11.30 pagi itu, masih belum bergerak lagi pada waktunya dan kami yang berada di dalam dah macam kena kukus kepanasan.

Rupanya...air-cond bas tersebut mengalami kerosakan dan kami terpaksa menunggu sementara kerosakan itu dibaiki. Bas akhirnya meneruskan perjalanan pada jam 12.15 tengahari. Kami lega sekejap. Namun....

CEPAT express tu tak express rupanya...dia melalukan bandar Muar mengambil penumpang dan berhenti di Tangkak juga mengambil penumpang. Kalau nak singgah beli kain di bandar Tangkak tu pun masih sempat. Selepas dari situ baru CEPAT express menggunakan laluan lebuhraya.

Lepas dari berhenti di Tangkak tadi, kami sudah mula merasakan bahang kepanasan lagi. Pemandu sama merasa barangkali dan terus membuka laluan angin di bumbung bas.

CEPAT express kemudian masuk ke Terminal Bas di Seremban dan menurunkan ramai penumpang di situ. Perhentian berikutnya di Seksyen 18 di Shah Alam dan terakhir di Klang Sentral. Sampai juga kami akhirnya.
Amin.

Pengalaman hari itu menjadi tajuk perbualan kami anak beranak untuk beberapa hari. Aku tak kisah la kalau dia nak bawak pusing satu Malaysia pun....masalahnya CEPAT express pada hari tu penghawa dinginnya tak berfungsi dan tingkap pun tak dapat nak dibuka. Kami rasa macam terkurus setengah kilo. kot?

Junie Octovian: Pengalaman itu menjadikan kita lebih dewasa.

March 13, 2011

The Incredible Kakak ~ sambungan ~

'Awak tak nak bawak pergi hospital ke?' Tanya Puan Hajah Noriah. Isteri kepada bos suamiku yang memang sukakan budak.

'Tak payah la...tak ada apa-apa pun.'

'Pukul berapa tadi masa dia makan benda tu?'

'Pagi...pasal benda tu dah jadi putih.'

'Dia tak alah kot?'

'Harap-harap jadi ubat la kan?'

Puan Hajah Noriah senyum. 'Apa la awak ni.' Dia memukul perlahan bahuku.

Alhamdulillah! Sebab itu la agaknya dia boleh jadi Incredible Kakak. Kisahnya bermula begini..........

Anak sulung sudah ke sekolah, suamiku sudah ke pejabat...tinggal Angah lagi bersiap untuk ke Tadika Belia Bell Tamil, di Ladang Gedung, Bagan Serai, Perak semasa kami tinggal di sana sekitar akhir lapan puluhan dahulu. Aku sepertibiasa ketika si kecil masih nyenyak tidur, akan bersilat sendirian di dapur menyediakan 'brunch' untuk suamiku yang memang dah pesen suka makan nasi terus waktu minum paginya jam 10.30 nanti.

Nasib baik aku banyak pembantu. Sementara mesin basuh menjalankan tugasnya, aku menanak nasi. Ikan, sayur yang terpilih untuk menjadi hidangan hari itu sudah ku keluarkan dari peti ais. Aku ke ruang tamu untuk bahagian mengemas pula sebelum si kecil bangun. Kusyen-kusyen kecil yang terperuk sana sini habis ku kutip dan ku tepuk-tepuk untuk mengembalikan ke bentuk sedia asalnya. Kemudian aku menarik vacuum dari dalam almari bawah tangga. Segala selit sepit bahagian ruang tamu itu akan ku pastikan bersih kerana si kecil akan ku tempatkan di situ waktu aku memasak nanti.

Oleh kerana ambal yang ku gunakan di bahagian ruang tamu itu berwarna cerah tanpa corak, maka, aku dapat pastikan memang bahagian itu sudah bersih dan selamat untuk meletakkan si kecil di situ.

Sambil sibuk memasak, sesekali aku menjengah ke ruang tamu memerhati keadaan si kecil. Tekun benar dia menonton cerita Pak Pandir Moden yang papanya rakamkan untuk dia itu. Entah dah berapa kali ulang pun dia tak akan pernah jemu dan tak beralih dari situ. Aku kembali meneruskan tugasku.

Siap masak aku bancuhkan sebotol susu. Kali ini aku dapatlah sama menonton sementara menunggu suamiku pulang untuk makan paginya. Aku suakan botol susu itu pada si kecil, dia hanya pandang tapi tak nampak berahi padanya. Aku angkat dan ku riba...aku suakan botol ke muncungnya. Dia masih mengetapkan gigi tidak mahu membuka mulutnya.

'Eh budak ni! Apasal tak nak menyusu pulak?'

Puas ku pujuk dan diagah supaya dia membuka mulut, namun dia seakan mengelak dengan berpaling kiri dan kanan.

'Ada apa dalam mulut ni? Cuba nganga bagi mama tengok.' aku pujuk dia. Namun dia masih enggan membuka mulutnya. Lalu aku picit hidungnya dan bila dia payah nak bernafas...dia pun membuka mulutnya. Aku masukkan jari telunjuk untuk meraba apa yang ada di situ yang menyebabkan dia tidak mahu menyusu tadi. Dapat! Aku cungkil dia keluar dengan telunjukku tadi.

'Lembik aje...apa ni?' Aku letak atas meja kopi nak mengenal pasti benda apakah yang dimakan oleh si kecil tadi. Aku kan nak jadi CSI? Bila di letakkan di situ, benda alah itu kelihatan bergerak. 'Apa ni?' Aku tanya diri sendiri sambil menguis-nguis benda alah tadi dengan hujung jari.

Serta merta aku teringatkan ulat bulu yang sering sesat masuk ke rumah ku itu. Tapi ulat bulu yang selalu masuk tu kan warnanya hitam dan ada sedikit kuning? Yang ini putih aje macam ulat sagu? Agaknya dah lama si kecil kemam dalam mulut sampai hilang warnanya barangkali, aku memikir sendiri.

Sepatutnya suamiku dah pulang untuk makan pagi, tapi hari itu pulak dia rupanya ada meeting. Aku ingat nak adukan pada dia. Kebetulan Puan Hajah Noriah yang call tadi beritahu tentang meeting yang diadakan, aku pun cerita pada dia. Tanpa berlengah, dia datang ke rumah. Kami sama saling berpandangan selepas itu.....

Junie Octovian: Untuk tetamu blog yang membuat lintas langsung tu...kalau teringin nak mencuba tu...BAIK JANGAN!

March 12, 2011

The Incredible Kakak

'Ma! Tolong bukakkan pintu!' Suara Kakak menjerit dalam Nokia 73.

Aik? Aku belek skrin. 'Bukan tadi mama dah bukakkan pintu ke?' Memang kerja aku menunggu dia balik kerja selalunya. Hari ini tadi dia habis kerja pukul satu pagi dan aku yang bukakkan pintunya tadi. Ni apasal terjerit memanggil suruh bukak pintu balik?

'Akak dalam bilik air ni...terkunci, tak boleh bukak!' Suara dia menjerit terdengar nyaring dari Nokia N73 itu.

'Jap!' Aku pun sama menjerit sambil cepat turun dari katil. Jam di meja sisi katil aku kerling. Hah? Pukul 3.15 pagi? Ini macam kena rasuk dengan EMILY ROSE aje? Aku ke bilik air bahagian tengah itu lalu ku pulas tombol pintunya. Mak ai! Apa yang ketat sangat ni?

'Kak! Tak boleh la...' Aku sama terjerit kerana aku di luar dia pulak di dalam.

'Cepat la ma! Akak dah panas ni!'

Ai? Duduk dalam bilik air pun panas ke? 'Nanti mama cari screwdriver!' Aku berlari menuruni tangga. Laci kabinet bahagian bawah sekali aku tarik untuk mencari benda yang dimaksudkan. Kemudian berlari kembali ke atas setelah benda yang dikehendaki ku temui. Pagi itu aku jadi Mc Gyver kejap. Pulas punya pulas, cocok punya cocok masih tak boleh juga nak di buka. Aku toleh kiri kanan mencari idea.

'Kak cuba call Abang!' Aku jerit beritahu sebab dia ada henset bersamanya dalam bilik air itu. Dia memang jenis yang mandi sambil mendengar lagu.

'Tak cukup kredit! Mama la tolong call!'

Aku capai Nokia N73 dan menekan nombor anak sulungku.

'Kenapa ma?' Anak sulungku terus bertanya.

'Kakak terkurung dalam bilik air, dah try macam-macam tapi tak boleh nak dibukak.'

'Ma! Pecahkan aje pintu tu..' Bunyi suara menantu pula. 'Saya dah pernah terkurung macam tu...memang kena pecahkan aje pintunya.' Beritahu Natrah menantu sulungku.

Pecahkan? Gila! Pukul berapa ni?

'Abang cakap apa?' Tanya Kakak yang dah tak sabar menanti.

'Dia suruh pecahkan aje!'  Belum sempat aku nak ajak berbincang untuk mengatasi masalah itu, aku terdengar.

DUM!

Bunyi apa tu? Macam dari dalam bilik air ni aje?

DUM! Berbunyi lagi...memang jelas dan nyata, apatah lagi di dinihari begitu.

'Kak! Kau buat apa tu?' Aku bertanya sambil melekapkan telinga ke daun pintu.

DUM! Tapi kali ini bunyi itu serentak dengan sebuah penumbuk kanan. Mujur aku dah beralih dari situ. Kalau tidak mau penumbuk tadi tembus terus ke pipi aku. Huisy!

Selepas dapat mengeluarkan penumbuknya itu, dia mula mengopakkan papan pintu itu untuk mendapatkan ruang lebih lebar bagi meloloskan badannya keluar dari bilik air itu.

'Bolos saja dinding itu!' Aku teringat kata-kata Zizan Raja Lawak. Ketika itu aku lihat jam dah mencecah ke  angka 5 pagi.

Yang lain-lain pulang hujung minggu lihat pintu itu dengan menggelengkan kepala.

'Ini bukan kerja Incredible Hulk tapi Incredible Kakak.' Beritahu Angah.

March 10, 2011

Berdiam diri itu lebih baik dari banyak berkata-kata ~ sambungan ~

Jam Sony digital di meja sisi katil menjerit mengejutkan aku waktu subuh dengan nyaringnya. Macam tu punya kuat pun kalau tak terjaga, memang jenis yang pekak badak la.

Tapi kejadian semalam membuatkan aku tak pasal-pasal memikir sepanjang malam dan entah jam berapa pula yang aku baru terlelap. Maka bunyi jam itu telah menganggu lenaku. Aku yang masih menguap beberapa kali memaksa diri untuk bangun sambil membuat sedikit senaman ringan dari atas katil itu sahaja. 

Siap solat subuh, aku terus ke depan menutup segala lampu yang di pasang di bahagian luar rumah. Pintu utama ku buka dengan harapan dapat mencari bukti-bukti peninggalan semalam yang bersisa. Manalah tau kalau ada kasut atau selipar dia yang tertinggal ke? Nampak gaya harapan itu hanya sia-sia. Kalau aku tahu semalam baik pintu itu ku buka sahaja nak tengok siapa yang suka-suka memanggil di malam buta? Hati ku kuat ingin tahu siapakah gerangan orangnya?

Di meja makan waktu bersarapan.......
'Siapa yang datang semalam tu?' Kakak bertanya.

'Entah! Cina mana pulak tengah malam buta panggil mama? Sini kan semua orang melayu?' Memang aku belum pernah nampak ada perempuan cina yang lalu lalang waktu siang hari pun. Inikan pula di waktu tengah malam di kawasan perkampungan yang rumahnya sebatu satu.

Angah diam aje...rasanya dia dah tahu sebab malam tadi masa aku tunjuk arah ke pintu, aku nampak dia kerling jam besar atas piano tu. Dia pun tak banyak cakap terus aje tutup TV dan masuk bilik. Kami faham faham sendiri la...dah tu duduk pun dalam hutan kan? Ada la yang sesat-sesat agaknya.

Lima tahun kemudian.......
Di Setia Impian................

'Ma! Ni Syah...kawan Abang Long satu opis. Dia pun asal Simpang Renggam.' Anak sulungku memperkenalkan kawan sepejabatnya pada suatu hari semasa kami mengadakan jamuan Hariraya.

'Oh ye ke? Simpang Renggam sebelah mana?' Aku dengan ramahnya bertanya.

'Taman Samudera.'

'Yang belakang Station Minyak Petronas tu ye?' Tanyaku lagi untuk meyakinkan.

'Ha ah' dia menjawab pendek.

Lepas tanya punya tanya dan cerita punya cerita, masuk la ke bab 'Nya' yang datang memanggil di waktu malam itu. Dia yang buka cerita dulu dan kami pun terkejut kerana dia kan tinggal di kawasan 
taman perumahan yang rumahnya berangkai? Manakala depan dan belakang juga dipenuhi dengan rumah orang. Lain la aku yang tinggal di dalam kawasan tanah kebun tu?

'Siapa?'

'Tak ada siapa yang pernah buka pintu kerana dia datang waktu tengah malam.' Katanya.

Aku anggukkan kepala tanda faham. Untuk menyenangkan hati sendiri aku melakar cerita dalam hati. Agaknya dia mati kena langgar lari dan meminta bantuan untuk mencari tempat persemadian yang abadi. Sebab itu dia datang ke rumah ku kerana HANYA di sebelah bukit di tepi rumah ku itu adalah JIRAT CINA. Mintak tunjuk jalan ke sana agaknya. Wallahualam.

Junie Octovian: Maksud tajuk cerita ku di sini tadi...biarlah kita yang tidak tahu ni -TIDAK TAHU. Akibat dari banyak berkata-kata tadi kita jadi banyak tahu dan itu menyebabkan kita akan selalu memikirkan tentang perkara yang kita baru tahu itu kerana kita sangat hendak tahu. Aku pun 'ferning' daa....

March 9, 2011

Berdiam diri itu lebih baik dari banyak berkata-kata...

Teringat arwah ayah selalu mengingatkan...'baik ni biar berpada-pada, jangan sampai naik kepala'. Tapi tak tau nak cakap macam mana...serba salah juga. Kalau tak ditegur nanti, dikatakan sombong pula. Kalau dilayan pulak memang mengada-ngada.

'Dah nasib engkau...nak buat macam mana?' Itu kata-kata ibu mertuaku suatu ketika dulu dan aku simpan hingga ke hujung nyawa. Buat peringatan pada diriku sendiri sebenarnya. Bermaksud kalau dah ditakdirkan nasib kita begitu, walau lari ke lubang cacing pun akan terkena juga. Lebih kurang la...menyengat juga tu kalau kena yang panas baran orangnya. Siapa yang nak selalu terkena kan?

Mungkin aku ni dulu peramah gila...jumpa orang semua nak ditegur. 'Muka atak sunyum' dialog dari filem Ali Baba Bujang Lapok. Bukan ke senyum itu sedekah? Itu yang jadi serba salah. Kebetulan tinggal di kawasan perumahan yang orang kiri kanan ni buat hal sendiri dan bertegur pun kebetulan la masa nak tutup gate atau terserempak sama nak tutup pintu rumah. Maka memang aku tak sempat nak beramah mesra dan tak sempat nak melemparkan senyuman, Alhamdulillah...selamat!

Dalam pada itu pula dugaan itu datang dari pelbagai cara...
Semasa kami di Pondok Indah....

'Nya! Nya!' Aku, Kakak dan Adik yang sedang tekun menonton di ruang depan itu cepat memperlahankan suara dari peti TV. Aku tidak terus menjawab. Aku meletakkan telunjuk di muncung mengarahkan dua beradik itu diam.

'Nya! Nya!' Suara itu memanggil lagi.

Aku kerling jam besar di dinding atas piano yang menunjukkan beberapa saat lagi ke angka dua belas tengah malam. Aku membesarkan mata memandang muka dua beradik itu dan mula mengingat. MALAM JUMAAT! TV terus dimatikan dan dua beradik tadi terus menarik kain selimut yang memang standby kalau-kalau terlelap di situ.

Namun aku masih tak puas hati ingin tahu gerangan cina manakah yang memanggil aku di waktu begitu. Sedangkan di situ memang perkampungan orang melayu sahaja. Aku intai dari bawah pintu. Lampu porch yang terang itu membolehkan aku melihat sekurang-kurangnya kaki si pemanggil.

'Suara dia depan pintu...tapi mana kakinya?' Aku siap meniarap.

Si Toby pulak sama sibuk di situ. Dia memandang tepat ke arah pintu seakan boleh tembus keluar. Dari renungannya yang tak berkelip itu membuatkan aku sedikit cuak.

'Nya! Nya!' Suara itu kedengaran lagi. Sah memang bunyinya di depan pintu dan aku berada dalam jarak cuma lebih kurang lima kaki dari situ sambil meniarap, namun aku tidak nampak kaki si pemanggil yang sepatutnya sedang lalu lalang. Aku dah jadi macam patung cendana. Kaku di situ.

'Ma! Apa bau busuk ni?' Si Angah yang sedang tekun dan khusuk bermain game di TV ruang sebelah tengah rumah bersuara sambil hidungnya kembang kempis menghidu.

Aku menoleh sambil meletakkan jari ke muncung.

Dia pula mengangkat kening bertanya.

Aku tunjuk di pintu. Dia sama diam memerhati tidak faham. Aku main wayang Charlie Chaplin pakai bahasa isyarat. Kemudian dia menutup TV dan terus masuk ke biliknya....

                                                                                                         ~ bersambung ~

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...