Showing posts with label Kenangan.... Show all posts
Showing posts with label Kenangan.... Show all posts

October 17, 2012

Tok Esah...

Kami gelak guling-guling setiap kali bertemu. Kisah kami hanya berkisar dengan Tok Esah yang disegani ramai di kampung itu, pada masa itu. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Aamiin!

"Ingat tak masa kita tengah tangkap ikan dekat parit depan rumah?" Din yang seronok bercerita sambil bersila di atas lantai itu menanya aku.

Masakan aku boleh lupa? Dia yang suruh aku berdiri menahan dengan pongkis di hujung sana dan dia menggodak parit itu dari hujung sini untuk menangkap ikan pelaga. Hisy!

Kami buka kisah semasa tinggal berjiran di Jalan Anggerik dulu. Seronok tahap tak hengat! Tapi Din telah berhijrah ke Selangor entah belah mana masa tu aku tak ambil peduli selepas kami sama-sama habis mendudukki perperiksaan PMR.

Aku jumpa Din lagi secara kebetulan sahaja waktu aku mengikut suamiku membuat check-up tahunannya di Tung Shin Hospital. Dia masih belum berkahwin waktu itu dan bekerja di Public Bank Berhad.

Suasana di Jalan Anggerik itu juga sudah berubah rupa. Tiada lagi pekik anak-anak nakal macam dulu. Rumah-rumah kampung lama juga sudah dirobohkan oleh anak cucu dan diganti dengan rumah batu yang baru. Kebanyakan pasangan tua dahulu semuanya sudah tiada lagi.

"Hadoi!" Din berhenti gelak. "Tengah sedap-sedap, boleh dia balik, mau tak lari lintang pukang dibuatnya." 

"Aku sampai hilang cincin tau, terjun pokok jambu batu yang isinya berwarna merah tu," aku tambah garam dengan cerita yang Din mulakan.



Itu kes mencuri jambu batu yang betul-betul tumbuh di sempadan rumah aku dan rumah dia. Din tu cucu Tok Esah, seorang bidan yang terkenal di daerah itu. Tok Esah itu pula gemar mengunyah sireh dan ada segumpal tembakau yang digentel sebesar guli diselitkan di celah bibir kiri sebelah atas. Nampak bibirnya macam bengkak kalau tembakau itu diselitkan ke situ. Muahaha....lawaknya!

Aku pun macam budak jantan memanjat pokok sampai ke hujung dahan. Mujur badan ku kecil sahaja masa tu, kalau sekarang tentu sudah berguling jatuh ke tanah macam nangka busuk dihempap pula dengan batang pokok jambu yang terbelah dua dek tidak mampu menampung berat aku sekarang ini.

"Tapi part dia dera aku pukul telur satu pasu untuk buat kuih bahulu tu memang zalim la..." ujar Din sambil mengajukkan pasu besar pemeluk dengan dua tangannya.

"Kenapa budak-budak semua takut dengan Tok Esah waktu tu ek?" aku tanya dia. 

"Sebab masa tu kita kecik lagi kut? Kita nampak dia sangat besar," jawab Din kepada soalan ku tadi.

Rupanya isteri Din itu adik kepada Fuzi, isteri kepada teman suamiku. Kami pernah tinggal di Perak sama-sama. Aku di Bagan Serai manakala dia pula di Parit Buntar. Jadi tidak secara langsung anak-anak kami juga menjadi kawan baik dan terus berkawan walau ke mana sahaja kami berpindah selepas itu.
.
Banyak sejarah aku dengan Din untuk dikongsikan. Mungkin sebab kami seusia agaknya. Masa tu kami berkawan macam tak kenal antara lelaki dan perempuan....main redah semacam aje. Din pun kalau sebat bola masa main ala-ala permainan kriket tu tak hengat orang langsung. Aku pun sama, tak padan perempuan......

Sekarang ini bila ingat balik jadi kelakar pula.

Aku jumpa Din lagi semasa dia mengundang aku ke majlis perkahwinan anak perempuannya yang dilangsungkan di Kelab Golf Perkhidmatan Awam, Mont Kiara. Gila betul si Din tu....anak dia yang kahwin, dia yang enjoy bagai nak rak. Aku tengok dia naik ke atas pentas sama menyanyi dan menari dengan kumpulan penghibur entah apekenama yang dijemputnya itu. Loghat bapak budak ni sorang......

"Itulah Pak Din, cucu Tok Esah yang mama selalu cerita," 
aku beritahu anak sulongku yang sama ikut menemankan 
aku ke majlis itu.


Mujur jumpa teman lamanya Ariff Mukhlis, anak Fuzi sama di situ...jika tidak dia tentu bosan juga bila aku sudah berjumpa dengan teman lama dan bercerita entah apa-apa tanpa henti. Sampai terlupa belum makan lagi. Yalah....sibuk bercerita, makanan sedap yang dihidang pun tidak hairan jadinya.

"Kalau zaman sekarang ni, tentu Tok Esah tu kaya dengan kerjanya sebagai bidan sahaja," ceritaku lagi mengingatkan zaman itu semasa di dalam perjalanan pulang.

Cerita itu ku ungkit bila teringat anakku tadi harus membayar ribuan ringgit untuk kos isterinya yang melahirkan anak di poliklinik SALAM. Walaupun hanya tumpang melahirkan sahaja tanpa melalui apa-apa komplikasi.

Rasanya kalau Tok Esah itu dibayar sebegitu untuk menyambut kelahiran seorang bayi masa dulu, harus dia sudah berjaya membeli sebuah Mercedes dan menjadi seorang bidan yang kaya. Tidak perlu nak bayar income-tax, tak perlu bayar pekerja dan pembantu segala bagai. Biasanya sesiapa yang memerlukan perkhidmatannya akan datang menjemput dia di rumah dan akan menghantar dia pulang selesai tugasnya.

Bayangkan Tok Esah itu macam Betty White dalam Hot In Cleveland. Bayangkan dia bersunglasses hitam jenama Chanel dan bawak Mercedes 200C dengan sport rim 17 inci, pasang skirting jejak ke bumi. Tukar enjin rempit yang bunyinya membelah bumi....fuyoh! Ganasnya. Kini kisah itu hanya tinggal kenangan sahaja.

Kami sama-sama sudah jadi yatim piatu, tidak berayah dan beribu. Hanya kenangan itu sahaja yang ada untuk dijadikan tajuk perbualan setiap kali pertemuan. Cuma ikatan persaudaraan kami tambah erat kerana abang sulongku berkahwin dengan kakak sulongnya. Pasangan Abang Long dan Kak Long yang abadi sehingga saat ini yang membolehkan kami bertemu lagi sepanjang usia kami. Insya-Allah!


Junie Octovian: Death ends a life, not a relationship.




October 15, 2012

Ku Telan Kerinduan Itu....

Aku belek satu-satu gambar yang ku gantung di dinding. Sengaja laluan itu ku jadikan macam galeri pameran lukisan ala-ala Leonardo Da Vinci. Tetapi gambar orang-orang tersayang yang aku framekan.....hehehe


Bila aku kerinduan, di situlah aku pergi menghadap orang yang dulunya baby sekarang dah jadi bapak orang semuanya. Yang dulu ada sekarang dah pergi buat selama-lamanya.

Ku toleh kiri dan ku toleh kanan, tiada lagi wajah itu hendak melawan aku bercakap. Tapi aku terasa dia ada merenung aku dengan senyumnya. Uwarghhhh!! Aku sedih....


Dulu semasa hayatnya aku ambil mudah. Nak bertelefon bertanya khabar pun payah. Selalu aku top-up lima puluh hengget, sempat hi-hi aje....dia yang banyak bercakap bercerita ini dan itu....entah siapa-siapa jiran dan temannya di sana yang aku tidak tahu, habis hendak dikongsi cerita denganku. Akhirnya talian putus begitu sahaja tak sempat nak ucap bye-bye pun.


Semenjak itu aku call sebulan sekali, lebihnya aku tanya khabar melalui sms dengan adik aku. Dia ok ke? Sihat ke? Kirim salam dia tau? Tiap kali macam tu aje...sehingga aku dapat kumpul kredit untuk berbual panjang lagi dengannya.

Kemudian Allah permudahkan bila anak aku dapat kerja di daerah tempat tinggalnya. Jadi setiap kali anakku balik mengunjungi aku, dia akan dibawa sama. Tidak secara langsung aku dapat bertemu dia lebih kerap. Ajak tinggal bersama dia tidak mahu. Tinggal lama sikit dia dah gelisah. Macam ada bela ayam, kambing dan lembu pula. Bila anak aku balik hari minggu, dia pun ikut balik juga. Tapi aku cuba memahami keinginan dan keengganannya. Dia suka aje mengikut jika dipelawa tetapi dia tidak suka lama-lama. Mungkin dia pun pandai nak ambil hati kami juga.

Aku bawa dia balik ke Shah Alam satu ketika, kami convoy dua kereta. Anak lelaki aku dua beradik naik Nissan Skyline....mereka janji bawak slow-slow dengan mengikut aku dari belakang. Sambil memandu aku perhati juga jika mereka ada di belakangku seperti yang dijanjikan.

"Mana budak dua beradik tu?" sesekejap dia bertanya. Mungkin anak lelakiku dua beradik itu semasa sekolah dulu aku tinggalkan dengan dia.





Aku kerling cermin pandang belakang, lampu kereta tu aku kenal sangat, jadi aku pun jawab, "...ada dekat belakang tu!"

Nampak dia senang hati dan dia menyandar lagi. Sampai sahaja di depan bangunan Campus MSU, aku terdengar enjin kereta yang menderum bunyinya di lorong kanan yang pecut macam nak terbang. Dia yang terdengar memanjangkan sedikit leher, tetapi kereta itu sudah berdesup hilang dari pandangan.

"Anak sapalah tu...merempit aje kerjanya. Nasib baik budak berdua tu tak macam tu...hisy!" Dia merengus sambil menyandar kembali. Mungkin tadi dia sudah terlelap tetapi diganggu dengan bunyi yang bagai nak pecah jalan raya itu dibuat dek kereta yang melepasi kami tadi.

Mulanya aku tak perasan itu kereta dia orang kerana warna pun hitam....tapi aku lihat lampu belakangnya menyerupai lampu kereta mereka. Maka aku kerling lagi cermin pandang belakang, ternyata tiada lagi kelibat mereka. Ooo...baru aku tahu mereka tunggu untuk melepasi kamera speedtrap terakhir yang dipasang di kawasan itu rupanya. Anak sapa la tu! Bila dapat tahu, aku pun jadi sama subahat tidak memberitahu. Isy!

"Kenapa?" aku tanya yang memandu bila sampai depan pintu rumah.

"Saja gian...nak test power." Boleh macam tu dijawabnya?

Tapi aku bangga anak-anak aku pandai melayan kerenah dia. Bertanya mahu makan apa, hendak ke mana...beria mereka mengangkut dia sama. Kami sering bawa dia menjelajah ke shopping center kerana dia tidak berpeluang ke tempat-tempat tersebut sebelum ini. Tetapi ternyata di usianya itu, dia sudah tidak larat lagi. Maka ku bawa dia keluar pusing-pusing melihat lampu neon di kotaraya pada waktu malam...dia suka.


"SubhanAllah....cantiknya," kata dia yang sudah lama tidak dibawa keluar waktu malam.

Setelah dia pergi, dengan semangat aku sekali dia bawa. Aku kini hanya melepak di rumah sahaja menulis dan menulis untuk meninggalkan cerita kepada anak cucu tentang kisah pengalaman hidupku untuk mereka baca. Senyuman dia di sofa yang menjengah mencari kelibatku di meja makan sedang menulis masih jelas terbayang di ruang mata. Kekekan geli hati dia menonton filem-filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, masih terngiang di lubang telinga. Dia sudah hilang di dunia nyata, namun kenangan bersamanya ada di mana-mana. Terpaksa ku telan kerinduan itu sebagai ubat penghapus duka kerana aku sudah tidak punya teman untuk berbicara yang memahami jiwa dan sebagai orang yang melahirkan aku ke dunia.

Junie Octovian: Aku rindu dia.......




October 14, 2012

Ku Petik Kenangan...

Aku menjengah tingkap bercermin naco yang ku buka bahagian atas sahaja. Barisan kereta di depan rumah itu ku tenung satu-satu. Waktu itu jam menunjukkan pukul 3.00 pagi. Mata tidak dapat ku lelapkan langsung semenjak berita kematian itu sampai ke lubang telinga.



"Nak buat apa entah kereta banyak-banyak?" Suara marah mertuaku entah dibebelkan dengan siapa. Yang pasti bukan berdepan denganku.

Dalam hati ku berkata, "Kalau nak ambil jelah mana satu." Tapi tak kuasa hendak menyatakannya di kala hati dipagut sayu.

Dia tinggalkan aku dengan sebuah kereta baru dan sepasang kain untuk dibuat baju raya tahun itu. Meleleh-leleh air mataku mengenangkan dia yang masih tahu kaler kegemaranku. Sepasang kain lace kaler hijau!



"dan boleh jadi kamu benci pada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semua itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." Al-Baqarah, ayat 216

Ku tanam dalam-dalam ayat itu di lubuk hati,  ku perah mindaku agar ia mengerti. Degil betul! Aku bentak diriku sendiri. Aku hafal ayat itu berkali-kali untuk memahami maksudnya. Kenapa yang aku benci itu baik untuk aku dan yang aku suka itu jadi buruk bagiku? Kenapa dia harus pergi dahulu meninggalkan aku dengan urusan duniawinya yang belum bertitik noktah? Sampai hati dia!

Peliknya, aku tidak menitiskan air mata langsung mendengar berita itu semalam. Harapan untuk bertemu dia lagi itu masih ada. Segar di ruang mata susuk tubuhnya yang bertolak pulang petang itu...tak nampak macam orang sakit pun?

Hembusan angin sejuk tiba-tiba menyapa cuping telinga. Teringat dia suka lagu nyanyian Broery Marantika, Berhembus Angin Malam. Muak aku dengar setiap kali ada majlis, dia akan menyanyikan lagu itu. Berlainan sungguh dengan selera aku yang gemarkan lagu-lagu rancak yang dapat membuatkan hatiku sentiasa gembira dan ceria.



Kalau dalam kereta bersamanya juga, kami kerap bertelagah pasal memilih lagu. Dia nak CD lagu yang mendayu, manakala aku mahukan lagu yang dapat menggerak-gerakan kaki dan tanganku. Hisy! Akhirnya kami dengar lagu dari radio aje. Jadi dua-dua pun diam.

Kalau menonton TV di rumah pun macam tu juga, dia asyik nak buka AXN channel sukan. Golflah, tennislah...
Kalau tidak pun asyik tengok berita Al-Jazeera, BBC...entah apa-apa lagilah. Bosan!



Aku sukakan CSI, Criminal Minds, Without A Trace dan yang seangkatan dengannya. Tapi dia tahu aku suka watak Horatio Caine dalam siri CSI Miami tu. Wall paper lap-top aku pun aku letak gambar Horatio.
Eleh!

Selera makan kami pun berlainan sungguh, bak langit dengan bumi. Ada ke breakfast dia minta nasi? Dah macam orang Korea pula. Macam nak pergi kerja menyangkul pun ada. Lepas tu lauk dia kena pedas-pedas yang boleh berasap telinga. Tapi aku layan jelah...



Aku pula bukan jenis yang suka merayap bershopping bila tak ada kerja. Jadi dia tak bimbang bila meninggalkan aku. Hendak ke mana harus beritahu, nanti dia yang bawa. Hendak beli apa senaraikan aje dan lekatkan di pintu peti sejuk. Kalau tak cakap kuantiti yang diperlukan....amekaw! berkarung-karung dia bawa balik....boleh buka kedai runcit. Tapi aku suka sebab rumah kami ada stor tempat menyimpan barang makanan. Macam Chef At Home pula rasanya. Mau masak apa sahaja, redah dalam stor tu...



Bila dia keluar main golf hujung minggu, aku yang ditinggalkan di rumah itu bertukar hobi menjahit pula. Semua benda nak ku jahit sendiri. Sarung kusyen, sulam, mengait segala bagai aku nak buat. Jadi dia belikan aku mesin jahit keluaran terkini yang aku pun tak tahu hendak menggunakannya sehingga terpaksa memanggil penjual itu datang ke rumah mengajar aku bagaimana hendak mengendalikannya. Ye lah...mesin jahit rumah emak aku yang jenama Singer tu senang aje...godak-godak dengan kaki. Yang dibelikan aku ni pakai letrik...




Aku nampak dia bangga kerana apa yang dibelikan nampak berhasil bila langsir rumah kami, aku jahit sendiri. Sejak itu aku sering ajak dia ke kedai kain. Dia pula naik muak melayan aku. Pantang dengar dia ada pertandingan golf di sebelah Melaka atau Muar, harus aku mengekor kerana nak singgah Tangkak...hehehe

Aku kena buat macam tu sebab dia tidak suka diganggu waktu dia bercuti...penat kerja barangkali. Bila aku ada hobi sendiri, aku dah tak ganggu dia. Berhari-hari aku tekun menjahit dan menyulam. Rancangan TV yang ditonton pun tak sama selera...nak buat macam mana? Duduklah dia sorang-sorang menghadapnya. Tapi aku akan pastikan ada seteko kopi dan cekodok bilis kegemarannya. Aku tak duduk di situ sama-sama sebab dia tak suka berbicara waktu menonton. Dia jenis yang tekun habisan. Kalau kodok lalu pakai skirt pun dia tak perasan. Cis!



"Banyak lagi ke?" tanya dia yang lalu lalang keluar ke dalam melihat aku masih tercongok menerap kuih sejak pagi.

"Banyak jugalah...oven tu kecik," aku mengadu. Aku suka sebenarnya kerja-kerja begitu, jadi aku tak perasan masa yang berlalu. 



Tengahari itu dia pulang dengan oven yang besar jenama Zanussi. "Nah! Ni paling besar," dia meletakkan oven di atas kaunter dapur.

"Wah! Bestnya..." aku terkinja kegirangan sambil peluk dia tanpa sedar dan ucap "Thank you!" 



Aku cadang raya nanti nak sedondon kaler purple, jadi aku dah belikan sepasang kain untuk dijadikan baju Melayu dia. Tunggu dia balik nanti baru nak ajak dia ke kedai buat ukuran baru. Dia macam dah susut sikit sejak pindah kerja tempat baru.

"Tak makan ke?" aku usik dia.

"Diet...kerja banyak, tak sempat nak ke padang golf lagi," ujarnya.



"Tukar main badminton pulaklah," aku beri cadangan.

"Badan dah berat ni, lompat-lompat cepat penatlah." Satu lagi alasan dari dia.

Tetapi....

Hujung minggu itu hajat aku tak sampai bila dapat berita itu....Innalillahiwainnailaihirojiun! Dia tinggalkan aku buat selama-lamanya. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman....Aamiin!


Junie Octovian: "Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya." Al-Baqarah, ayat 286








September 2, 2012

Zaman muda...

Hi peeps!

Lama betul tidak bersiaran. Aku sebenarnya ada aje berita untuk dikongsi, tapi tak berkesempatan untuk meng'update'nya. Semasa berada di Kluang dulu, payah pula nak dapat line internetnya. Mungkin disuruh bercuti sakan, barangkali.

Tetapi malam ini tiba-tiba aku teingatkan kisah aku dan Uda semasa sama-sama remaja dahulu. Walau usia aku dan Uda berjarak 4 tahun lamanya, namun kami sempat membesar bersama, berkongsi cerita remaja dan mengadu apa sahaja.

Kisah ini terungkit bila ku baca blog Liesa Azemi, anak saudaraku, anak kepada adik perempuanku yang usianya berjarak 8 tahun denganku. Gilalah...hampir aku menjadi anak bongsu masa tu. LOL!

Menurut Liesa, keluarga kami ada genetik suka bergurau, ketawa tahap gaban sampai boleh menggegarkan bangunan mengalahkan gerak gempa yang berukuran 8.0 di skala Richter. Lepas itu berlakulah tsunami bila kisah yang terungkit itu kisah orang yang sudah tiada. Masing-masing merembeskan air mata, jika ditadah mau bertempayan banyaknya.

Emak marah betul satu malam itu...dia yang terpisah hanya di bilik sebelah terdengar gelak sakan aku dan Uda yang tidak dapat hendak disimpan di dada. Tersembur gelak itu keluar memecah keheningan malam yang membuatkan tidur lena Emak terganggu. Hati bagai dicolek-colek entah mengapa. Padahal hanya cerita biasa-biasa sahaja asalnya...terus jadi merepek meraban bermula dari KALAU.

Petang itu....


versi gelak guling-guling


Aku yang pulang dari sekolah sesi petang terkejut melihat Uda berbaring di bilik dengan shower cap dibungkus di mukanya. Sepatutnya shower cap itu diguna untuk membungkus rambut ketika mandi.

"Kenapa Uda?" tanyaku ingin tahu.

"Nak kecikkan muka," jawab Uda sambil menyelak sedikit shower cap yang menutup di bahagian mulutnya.

Masa itu belum terasa gelihati lagi malah terasa sangat pelik pula. Ada ke nak kecikkan muka? Bukan badan ke yang harus dikecikkan?

Uda yang mula meningkat usia remaja ketika itu mencuba pelbagai cara untuk mengecilkan badannya yang berisi. Muka pula tembam macam ada buah tomato di kiri dan kanan pipi. Kalau masa baby memang akan dipandang comel, tetapi di usia meningkat remaja ni, habis jadi usikan pula.

"Betul ke shower cap tu boleh mengecilkan muka?" 

"Ni kan macam dalam sauna....tentulah berkesan."

Lepas itu Uda asyik bertanya kalau-kalau pipinya sudah nampak slim sikit. Aku hanya mengiakan sahaja. Jika cara yang digunakan Uda itu berkesan, bermakna boleh juga digunakan di bahagian-bahagian mana badan, kan?

Malam itu sebelum tidur, tajuk utama perbualan masih berkisar tentang cara Uda mengecilkan muka.

Kalau nak kecikkan paha harus dibungkus kedua-dua paha, jika tidak nanti besar sebelah. Begitu juga bahagian badan yang berpasangan, harus dilakukan kedua-duanya sekali. Bermula dari situlah hati kami bagai dicolek-colek untuk ketawa terus. Membayangkan bahagian-bahagian yang tidak sepatutnya dibungkus. Isy!!

Sedar-sedar esok paginya sewaktu Emak mengejut Uda untuk bangun ke sekolah, katil kami telah runtuh di bahagian hujung kepala. Bermakna sepanjang malam itu kami tidur menonggeng ke bawah tanpa sedar dek penat ketawa sepanjang malam.

Patutlah Emak marah sangat....ada sahaja yang hendak dijadikan cerita.

Selepas Uda mendirikan rumahtangga, aku tinggal sendirian di bilik itu. Tidak ada lagi gelak sakan, tiada kawan untuk berbual sehingga larut malam.

Sehingga hari ini, masa bahagia itu sudah tidak terjumpa lagi. Uda pula jika pulang hanya cecah-cecah punggung sahaja bak kata Emak, macam sibu-sibu basuh berak.

Kenangan itu aku abadikan di blog ini untuk tatapan. Semoga kalian yang membaca dapat mengambil inisiatif untuk mengeratkan silaturahim diantara keluarga selagi hayat masih ada. Wallahualam.

Junie Octovian: Setiap kali kita berbuat baik pada saudara mara, roh ayah dan mak kita dirahmati. Bersyukur apabila dapat menyambung silaturrahim. ~ pesan Prof Dr. Muhaya ~





April 18, 2012

Memories Remained....

Hi peeps!

Kita rehat sehari untuk mengimbau kembali kenangan lama. Jom! ku bawa kalian ke waktu aku dikelilingi anak-anak yang sedang membesar dan tercampak untuk hidup di daerah yang asing.

Ladang Gedong, Bagan Serai Perak.

Makanan di sini masih murah dan mewah. Hari-hari kita boleh jumpa udang galah dan yang paling bestnya tu, udang galah yang ditangkap sendiri oleh Inche Somi kita...hihihi...bangganya.

Teman dan kenalan sangat baik dan peramah. Sempat bertukar-tukar lauk dengan jiran tetangga yang tinggal paling hampir dengan kita....(eh! tertukar ganti nama pulak)


Abang & Angah yg membesar di situ bersama Polly, kuda padi belaan mereka....

Abang Long sempat bersekolah di Semanggol, sementara Angah pula bertadika di Kelab Bell Belia Tamil. Hehehe...sorry Ngah, itu aje yang ada dan yang paling dekat. Alaa....Azlan Shah dan Ahmad Shah pun sekolah di situ juga. Dapat juga masing-masing jadi doktor dan engineer, kan? Cuma sekarang ini Angah sudah tidak pandai lagi menulis dan bertutur dalam bahasa Tamil.

Berikut adalah gambar kakak (anak ketiga dari 4 adik beradik) semasa kami tinggal di Ladang Devon, Jasin Melaka.


di batas jagung....

Xtvt kami waktu ptg...bercucuk tanam...

Kebelakangan ini kami asyik berbual mengungkit kisah lama. Anak-anak ni kalau tak kita ingatkan waktu kecil-kecil mereka dulu, mereka ingat mereka dilahirkan terus sebesar itu agaknya. Maka itu, album lama yang disimpan itu dibongkar semula untuk memulakan al-kisah.

Nak ditunjukkan gambar masa baby karang malu pulak sebab badannya memang macam Incredible Hulk. Apa yang boleh ditunjukkan di sini, hanyalah gambar yang nampak sedikit 'slim' ~ muahaha.....

Kemudian kami berpindah ke Ladang Mengaris di Sandakan Sabah........

Dua beradik perempuan yg dibawa tinggal di Sabah ketika itu....

Abang Long dan Angah ditinggalkan bersekolah di Kluang, Johor di bawah jagaan nenek mereka. Masalahnya.... perjalanan ke sekolah itu mengambil masa yang panjang kerana tempat tinggal kami di Ladang Mengaris itu lebih kurang 42 batu jauhnya untuk sampai ke bandar Sandakan. Agak-agaklah...nak bangun pukul berapa untuk ke sekolah tu? Huisy! Pengalaman betul.....

Berkat sabar tadi, kami berpindah pula ke Kuching, Sarawak dan anak-anak berjaya dikumpulkan kembali kerana tinggal di kawasan paling hampir dengan sekolah. Sekolahnya depan batang hidung je tau? (bidaah je...mana ada)



di Green Road, Kuching Sarawak....


di Ladang Tennamaram, Bestari Jaya...

Dari Kuching, kami ke Batang Berjuntai ...(Ooo! sudah tukar ka?)  Semenjak ada ura-ura untuk menubuhkan Universiti Industri Selangor di daerah yang tak berapa nak femes pada suatu ketika dulu, nama pun sudah ditukar ke Bestari Jaya ~ cer klik sini. Kita siap tengok peta tau masa dengar kena tukar ke sana tu. Macam pelik aje namanya,kan? Tapi memang wujud....

Peratusan penduduknya dikuasai oleh kaum India. Sorry to say la...toleh sana gelap...toleh sini malap. Tapi  mereka tak kacau kita kalau kita tak kacau mereka, betul tak?

Untuk itu pemaju-pemaju perumahan mengambil inisiatif menamakan Taman-taman Perumahan mereka dengan nama-nama yang yang berkait rapat dengan majoriti bangsa yang terdapat di situ seperti Taman Kilauan, Taman Sinaran to name a few. Selebihnya kena ronda ke sana...tengok sendiri....hehehe


Pondok Indah, di Chokropolitan, Simpang Renggam....

and the list goes on and on....sehingga kita minta pulang ke tempat sendiri kerana anak-anak sudah mula membesar dan ada yang mahu menghadap peperiksaan yang tidak memungkinkan kita mengikut Inche Somi berpindah randah lagi.

Bahagianya pulang ke rumah sendiri yang telah ditinggalkan....*jap nak kira*. Lamalah....mujur je batu, kalau rumah kayu ke...pondok buruk ke...dah lama tinggal bekas je.

Habis tu...pindah lagi ke?

Masih ko!

Anak-anak yang tak berapa kerat tu semuanya pulak nak blajo kat Kay Hell (KL), maka dengan emak-emaknya sekali berangkat sama. Kang nak ulang-alik ke Johor tu bukannya dekat.

Makanya tercampaklah kita di sini....sekarang ini....buat masa ini. Sekian dimaklumkan.


Setia Impian, Setia Alam.....

N3 khas ini adalah untuk tatapan anak-anak yang berada di luar mahupun di dalam negeri. Semoga anak-anak semua berada di dalam lindungan Allah.

Alhamdulillah....di sini bermula kerjaya ku sebagai penulis. Semoga hidup dirahmati Allah selalu. Amin!




Junie Octovian ~ Di mana bumi dipijak.....di situ langit dijunjung.





Oooops! Ketepi! Ketepi!..........ada PENGUMUMAN penting.



My dear pengunjung....tolong vote untuk adik sorang ni yang masuk bertanding pilihanraya DIGIWWWOW Awards  2012 ni......


Untuk keterangan lebih lanjut, kalian boleh ke blog beliau seperti yang tertera dalam gambar. Peramah dan baik budi bahasanya...(akak tolong jualkan saham sekali) hehehe.

Mohon jasa baik kalian untuk vote dia setiap hari mulai 23 April nanti sehingga 13 May, 2012. Kalau dia menang nanti, kita yang tolong promote dia ni dapat kain sarung batik dari Terengganu, boleh pakai buat mandi manda kat sungai...hehehe.

*Sambil pegang loud speaker chekgu beso sekolah Seri Kencana* "Liesa! Ajak kawan-kawan vote abang Eqbalzack ni! Nanti balik SAMEPUNK mama andak belanja 'ngodi' kedai cik Nab."








December 22, 2011

Opera China...

Greetings to all........

N3 hari ini ku bawa kalian mengimbau era zaman kanak-kanakku se waktu kemajuan belum
pesat berkembang. Waktu itu tiada kemudahan yang diberikan seperti membeli peti televisyen
secara ansuran...komputer dan internet ni jauh sekali kedengaran.

Di sekitar tempat tinggal kami pada ketika itu pula majoriti penduduknya adalah kaum China...
maka kami terbawa-bawa dengan tayangan percuma operanya yang akan diadakan setiap kali
menyambut 'sembahyang hantu' ~ kata kawan-kawan China aku la.


Bertahun kami berjiran bersama...sampai abang sulongku sudah fasih berbahasa China...tidak
kira apa dialek mereka sekali pun...semua Abang boleh ikut. Cuma Abang tidak pandai membaca
dan menulis gaya mereka sahaja. Abang Ngah ku cuma tahu cakap sikit-sikit aje tapi dia faham
apa yang mereka cakapkan. Akak ku....faham sikit-sikit....cakap langsung tak tahu...manakala aku
pula...yang tahu sikit-sikit itu ku campur adukkan. Membuatkan mereka yang arif dalam bahasa
itu gelak tergolek jadinya. Macam loghat Terengganu yang dicampur dengan loghat Kelantan
la lebih kurang. Hanya orang Terengganu jati sahaja yang tahu bahawa loghat itu loghat mereka.
Jika mereka mendengar kita yang kurang arif ini bercakap...sudah tentu mereka akan gelak
tergolek kan?

Tapi kawan-kawan bangsa China ku ini memang baik-baik belaka. Mereka lepak di anjung rumah
ku waktu petang...sama-sama berborak dalam bahasa itik dan ayam. Yang hairan itu, kami boleh
faham pula. Ketika itu yang aku ingat...cuma aku seorang sahaja perempuan. Bila Abang dan Ngah
sibuk bermain layang-layang, aku pun sama sibuk juga.



Ada sekali tu...Abang dan Ngah berlari pulang. Aku sama mengikut dari belakang. Aku lihat
Abang menumbuk kaca menggunakan batu lesung emak.* lupa pulak....ke mana emak dan uda
waktu itu * Kemudian Abang mengambil sedikit tepung ubi dari bekas simpanan emak dan
dengan bantuan Ngah mereka membancuh kanji. Kanji itu dicampurkan pula dengan serbuk kaca
tadi dan dilurutkan pada tali layang-layang yang direntangkan pada tiang ampaian emak.


Sementara menunggu tali tadi kering....Abang masuk ke dapur mencari nasi di periuk. Kuali diambil
dari gantungan dan ditenggekkan di atas dapur. Abang menghidupkan api dapur minyak tanah
dan meletakkan sedikit minyak lebihan minyak goreng ikan semalam ke dalam kuali. Nasi
semangkuk tadi diramas-ramas dan dicurah ke dalam kuali apabila kelihatan minyaknya sudah cukup
panas. Entah apa yang Abang masukkan lagi sebagai perencahnya...aku tak ambil tahu sangat...yang
pasti selepas itu kami bertiga beradik tersandar kekenyangan.

Kemudian Abang dan Ngah menyambung aktiviti mereka dengan memasang tali pada layang-layang
satu yang dikongsi berdua itu. Aku mengikut sahaja apabila mereka berdua mula berjalan menuju
ke sebuah kawasan lapang yang sudah dipenuhi dengan kanak-kanak yang masing-masing sudah
mendahului kami menaikkan layang-layang mereka. Ngah cepat memegang layang-layang itu dan
berlari membawanya ke tengah padang sementara Abang pula melepaskan tali perlahan-lahan dari
gelungan bekas tin susu yang telah dibuang kertas pembalutnya. Pergh! Hebat....dengan sekali
percubaan sahaja layang-layang Abang dan Ngah telah terbang tinggi.


Kelihatan bersepah-sepah layang-layang di dada langit...bermacam bentuk dan rupa serta berbagai
warna. Memang cantik. Aku sama menunggu di situ memerhati sesekali membaca gerak Abang
menarik dan melepaskan tali. Abang dan Ngah kelihatan sangat gembira dengan percubaan mereka.

Namun apa yang masih ku musykilkan....apa kena mengena melurutkan bancuhan kaca dan kanji ke
tali layang-layang itu masih belum ku tanyakan. Sebentar kemudian ku lihat...layang-layang yang
mendekati layang-layang Abang telah terputus talinya dan melayang ringan tanpa arah. Seorang anak
China kenalan Abang telah menjerit dengan memaki hamun dalam bahasanya. Abang dan Ngah hanya
senyum memandang. Kawan China Abang yang terputus tali layang-layang tadi datang lagi
dengan membawa beberapa bungkusan yang macam amat ku kenali dan menyerahkan kepada Abang.

Malam itu kami berdedai meraikan kemenangan ke pentas kayu yang berupa panggung terletak dalam
100 meter jauhnya di seberang sungai berhadapan dengan Tokong Besar untuk menonton Opera
China dengan bekalan kuaci hitam cap helang.

Apa yang hendak ku sampaikan di sini adalah mengenai perbezaan aktiviti yang dijalankan oleh kami
dengan anak-anak zaman sekarang. Kebebasan kami tidak terbatas. Tidak ada kes penculikan dan
lain kes jenayah melampau kerana pemikiran orang dahulu yang boleh diibaratkan masih kuno itu
tidak pula melampaui batas berbanding sekarang yang telah tersangat maju sehingga jenayah yang
dirancang itu tidak terlintas di fikiran kita boleh berlaku.

Kisah ini ku bangkitkan apabila melihat anak-anak jiran yang hanya dapat bermain di dalam kawasan
perkarangan rumah seluas sekangkang kera yang harus dikongsi bersama tiga beradik di musim cuti
sekolah ini. Kasihannya mereka...sekurang-kurangnya anak-anak aku dahulu dapat bergerak bebas
di kawasan kediaman kami semasa bapa mereka masih bertugas dengan syarikat perladangan...
walaupun tinggal jauh terpinggir dari masyarakat.

Tidak banyak beza dengan masyarakat di kawasan taman perumahan ini kerana rata-rata ibu dan
bapa mereka bekerja dan mereka tinggal dengan pembantu rumah yang sudah pasti tidak akan
membenarkan anak majikan mereka merayau sesuka hati. Mereka juga tidak ramai kenalan
selain di sekolah dan saudara mara terdekat sahaja.

Anak-anak lelaki ku banyak berpesan ketika meninggalkan aku sendirian di rumah di sini setelah
pemergian bapanya.............

"Kalau ada orang tekan loceng tu....mama tengok dulu siapa...jangan terus nak bukak aje."

Mereka tahu aku ramah orangnya...tak kira bangsa...habis semua ku tegur. Tapi di sini orang
ambil kesempatan pula.

Aku tahu kalian semua faham apa yang cuba hendak ku sampaikan di sini. Jika ku teruskan akan
memakan masa dan ruang. Maka dengan yang demikian....'lu fikir la sendiri'!

Junie Octovian: We make our FORTUNES and we call them FATE.....by Earl of Beaconsfield.



December 20, 2011

Sebuah Perjanjian...

Greetings to all.......

N3 ini adalah lanjutan dari kisah semalam. Aku teruskan sahaja kisahnya sebagaimana yang
pernah diceritakan oleh ayah padaku suatu ketika dulu semasa ayah baru pulang dari melawat
temannya yang telah kembali ke rahmatullah itu.

Menurut ayah....suatu malam temannya yang baru habis kerja mengikut shift itu pulang dalam
keadaan yang mengantuk. Entah macam mana dia telah terlanggar jirat cina yang berada di tepi
jalan menghala masuk ke perkampungan tempat tinggalnya.



Setelah terlanggar dan tergolek di situ...si polan serta merta terasa segar dan bangun mendapatkan
motosikalnya yang telah melanggar dan menghempap batu yang bertulis nama si mati. Maka
apabila dia mengangkat motosikalnya itu...ternyata batu itu patah akibat perlanggaran tadi.
Si polan cuba mendirikan semula....tetapi tidak berjaya. Maka si polan berjanji pada empunya
batu tersebut...seandainya dia membeli nombor yang tertera di batu itu dan nombor itu
menjanjikan tempat pertama...si polan akan datang menggantikan dengan batu yang baru.

Entah macam mana...nombor yang dibeli telah mengena tempat pertama. Si polan serta merta
menjadi kaya....beliau telah menggunakan duit itu dengan membeli kebun dan membina sebuah
rumah yang besar untuk keluarganya....namun telah terlupa akan perjanjian yang dibuatnya.

Menurut isterinya...setelah hidup mereka berubah menjadi senang....tidur suaminya tidak tenang.
Dia sering meracau bercakap dalam bahasa yang tidak difahami oleh si isteri. Tapi menurut ayah..
si polan ada memberitahunya bahawa dia didatangi oleh seorang perempuan cina yang mahu
si polan mengahwininya. Si polan yang terlupa akan kejadian dia terlanggar jirat cina itu tidak
memahami kehendak perempuan cina yang datang dalam mimpinya.



Sejak itu...si polan terus jatuh sakit dan menjadi sangat takut apabila hari menjenguk malam.
Menurut cerita mereka yang tinggal berjiran...ada bunyi-bunyi yang menyeramkan dan kelibat
lembaga berjubah putih merayau-rayau di keliling rumahnya pada waktu malam.

Walaupun telah diusahakan berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan...namun tiada ubat
yang dapat membantu sakit si polan. Apabila dirujuk kepada bomoh pula...dia dikatakan terkena
buatan orang. Maka kaum keluarganya mengagak ada orang yang berhasad dengki dengan suami
nya kerana kemewahan yang diperolehi dalam sekelip mata itu.

Ayah tidak berani bersuara walau sudah tahu cerita dari si polan itu sendiri. Kata ayah...ayah ada
mengingatkan padanya tentang perjanjian yang dibuat tapi ketika itu si polan sudah begitu nazak
keadaannya....dan ayah tidak berani hendak menceritakan akan perjanjian si polan pada anak dan
isterinya bimbang akan mengaibkan si polan yang sudah sedia sakit itu.

Setelah melalui saat-saat kematian yang azab untuk beberapa minggu hanya selepas beberapa
bulan sahaja si polan mendapat laba....si polan pun menghembuskan nafas terakhirnya dalam
usia yang masih muda. Namun...isteri dan anak-anaknya dapat meneruskan hidup hasil dari
kebun getah yang dibeli dengan wang yang diperolehi dari perjanjian yang dibuat dengan batu
jirat cina tanpa pengetahuan mereka sehingga kini. Wallahualam.

Junie Octovian: Jangan suka berjanji...jikalau tidak ditepati. Janji membawa akibat kerana 
                        banyak yang silap ~ petikan dari sebuah lagu lama.



December 19, 2011

Bunga Bakawali....

Hi peeps!

Hari ini aku nak kongsi cerita lama yang pernah ku alami tapi kebenarannya hanya Allah sahaja
yang Maha Mengetahui.

Aku sedang menanam pokok bunga bakawali ke tanah di laman depan rumah...yang terpecah
pasunya akibat ribut kencang pada satu hari. Mungkin juga kerana pasu itu sudah tidak dapat
menahan berat pokok dengan kuntuman bunga-bunga yang memenuhi dahan. Sayang pula kalau
nanti ia mati kekeringan sementara hendak digantikan dengan pasu yang baru.

Bunganya yg kembang di waktu tengah malam.....

Seorang Polis Bantuan masuk ke pekarangan rumahku dengan menaiki motosikal telah berhenti
memandang aku yang sedang terbongkok-bongkok...tertonggeng-tonggeng membuat kerja. Bila
aku mengangkat wajah...dia lalu bertanya.

"Tuan ada?"

"Dalam," jawabku pendek. "...ada apa?" aku bertanya bila aku lihat dia masih bertenggek di atas
motosikalnya memerhati kerjaku.

"Saya tunggu...ini hari driver tak ada mari...saya juga ganti," beritahunya dalam pelat India sambil
kepalanya digoyang-goyangkan mengikut rentak cerita.

Aku pun jadi sama terikut pula.

"Ini pokok banyak baik, mem.." dia mula membuka cerita.

Aku angguk....aku suka sebab ia rajin berbunga dan mengeluarkan satu bau yang sangat wangi.
Cuba klik sini untuk mengetahui kisah benar pokok ini.

"Malam...itu bunga kembang...mem tunggu...ada asap keluar...nanti apa mau semua boleh mintak,"
sambung Polis Bantuan yang berbangsa India tersebut. "...saya tak ada tipu cakap...tengok!" dia menunjukkan dahinya yang bercalit tiga garis putih macam pangkat sarjan.

Kuntuman semasa hari siang..........

Tapi suami aku cakap dia tu cuma berpangkat koperal aje.

"Saya semayang punya orang...cakap tak bleh tipu. Dulu saya pun ada mintak...mau jadi kaya..."
Dia kemudian terdiam....lama.

Aku memandang merenungnya kerana cerita separuh jalan itu.

"Saya sudah jadi kaya...saya angkat nombor sudah menang first prize....tapi anak laki-laki sudah
mati jatuh lombong."

Matanya memerah menahan sedih mengingat kenangan lalunya. "Bini sudah jadi gila...hari-hari
mau pergi sana lombong cari itu anak. Saya anak itu juga satu orang...." dia diam lagi.

Oo...kira 'give and take' la ni...hatiku berbisik sendiri.

"Apa guna kaya? Anak...bini...semua tak ada?"

Aku dengar dia hidup sebatang kara di kuarters ladang dan bekerja sebagai Ketua Polis Bantuan.
Kesiannya......

Aku angguk-angguk kepala mengiyakan ceritanya. Mungkin sebab itu sekarang ini dia menjadi
orang alim dalam agama Hindu yang dianutinya. Kepercayaan dia begitu...kita tiada hak untuk
melarangnya.

"Nanti malam cuba mem...pukul 12..." pesannya lagi setelah dia nampak kelibat suamiku yang
sudah duduk menyarung kasut.

Aku hanya melemparkan senyuman. Ye la tu.....macam aku ni berani sangat.

Selepas mereka bergerak pergi meninggalkan aku di situ....memandang ke arah kuntuman bunga
yang banyak itu....mahukah aku menunggu pada waktu tengahmalam nanti untuk mengetahui akan
kebenaran cerita tadi?

Arwah ayah pernah menceritakan kisah yang sama padaku....kisah puteri bunga bakawali ini dan
ada filem yang menayangkan kisah ini juga lama dahulu. Aku berfikir kembali selepas itu...
memang lelaki India tadi sangat berani orangnya kerana mahu mencuba.

Kemuadian aku terbawa dek cerita tentang seorang kenalan ayah yang pulang malam dan telah
terlanggar jirat China........


                                                                                    ~ bersambung ~

December 3, 2011

SESK.....

Hi peeps!

I was out and about...managed to capture a few pictures of my dear old school while on the way
back home. Happy to share with friends of my batch...see how the school had transformed to a new
look.

The new name....

From different entrance.........


Where's my classroom?

the new building.....

more classroom added.....

...stairs to success..........

Junie Octovian: On and Onwards..................

November 12, 2011

Di Sebalik Nama Abang Kus.......

Salam & Greetings to all.........


N3 pagi ni membawa anda kalian mengimbau kisah yang sudah bertahun lamanya. Diungkit kembali
kenangan ini kerana terpandang kucingku Didi membawa pulang seekor cencorot. Aku cepat-cepat
menutup pintu sliding. Didi terberhenti di depan memandang ku pelik. Barangkali dia nak menunjuk
padaku akan kepandaiannya menangkap tikus...tapi aku pula tidak memberi dia masuk ke rumah.

Aku memerhati dari dalam. Cencorot yang digonggong itu diletakkan ke bawah...namun si cencorot
cepat pula mahu melarikan diri. Nampak Didi sedikit marah dan cepat menerkam. Kemudian datang
pula adik beradiknya Sandy dan Sojin sama join berebut cencorot yang sekor itu.

Cencorot yg dibawa pulang oleh si Didi dgn bangganya.........

Teringat kisah anak kedua ku dengan tikus lamaaaaa dulu.............

Kisah ini berlaku semasa kami tinggal di South Devon Estate di Merlimau Melaka yang kemudiannya
ditukar nama kepada Ladang Selatan Baru yang bertempat di Jalan Besar Merlimau/Jasin dan akhirnya
kediaman tempat aku membesarkan anak kedua ini telah pun dirobohkan.

Adik/Angah/Fairouz dilahirkan di Hospital Daerah Kluang tapi telah dibawa balik ke kediaman kami 
apabila aku telah habis berpantang. Dia membesar dengan abang sulongnya yang pendiam dan hanya 
gemar membaca dan melukis. Manakala beliau ini pula ibarat ulat nangka, kata emak. Tak tahu diam langsung. Pot pat pot pet mulutnya berkicau bertanya itu dan ini dan kekadang tu sama sibuk di dapur 
mahu membantu ku yang sedang memasak.

Tapi satu hari...aku risau bila tidak melihatnya keluar masuk ke dapur. Suaranya juga tak kedengaran
seperti biasa. Kalau tak sibuk bercakap dia akan terjerit terlolong menyanyi lagu entah apa sahaja yang
melintas di mindanya.

Maka...ketika sedang memasak itu aku melangkah perlahan mengintai di ruang tamu yang TVnya dibuka
perlahan oleh si Abang yang sedang meniarap sambil melukis.

"Adik mana?" tanyaku perlahan sambil mencuit bahu si Abang.

Dia berpaling sambil mata melilau mencari adiknya kalau-kalau ada di sofa. Mataku sama mengikut
pandangan mata si Abang. Abang yang memang tak kuasa nak ambil tahu cuma angkat bahu.

Tak ada. Kat mana pulak budak sorang ni? Dia orang memang belum pandai membuka pintu besar
depan yang ku selak di bahagian atas. Tidur di bilik ke? Hatiku berkata sendiri dan terus menapak
ke bilik mencari.

Tak ada juga. Ai? Ke mana perginya?
"Abang duduk situ aje...mama nak cari Adik ni." Bimbang betul dengan anak sorang ni...dia pulak
rajin nak membantu si tukang kebun dan suka dengan kerja-kerja menyangkul. Mungkin tak dapat
keluar ikut pintu depan dia keluar ikut pintu dapur dan aku yang sibuk memasak tadi mungkin
sudah terlepas pandang.

"Saroja!" Aku memanggil si Tukang Kebun perempuan berbangsa India.

Saroja yang sedang terbongkok-bongkok mengaut daun kering di bawah pokok buah mentega itu
menoleh.

"Nampak anak saya yang kecik tak?" aku menanya dengan tangan masih memegang senduk kerana
tadi aku sedang menumis untuk masak asam pedas.

Saroja berdiri dan berpaling sambil menggelengkan kepala. Anak baru dua ketul pun tak boleh nak
jaga, mungkin begitu hatinya berkata. Sebab Saroja dah punya anak empat ketika itu, untuk tambah
pendapatan suaminya yang bekerja sebagai mandor di ladang itu, dia sama bekerja. Mujur dapat
jadi Tukang Kebun dengan aku yang tak banyak songeh. Asalkan engkau buat kerja engkau sudah.

Aku memusing keliling rumah mencari juga kecewa. "Ke mana pulak budak ni...kang papanya balik
banyak pulak soalan yang aku nak kena jawab." Aku membebel sendiri. Akhirnya aku menapak
kembali masuk ke rumah.

Rupanya dia di tepi pintu yang menala ke ruang makan...sedang meniarap menghadap ke arah lubang
kecil di penjuru almari. Alhamdulillah...aku menggosok dada. Tapi apa yang dipandang si Adik ni...
tekun betul.

Maka aku merapatinya dan bertanya. "Buat apa tu?"

Dia melekapkan telunjuk ke muncung sambil menunjuk ke arah lubang kecil itu.

Aku yang kurang mengerti sama duduk memandang lubang kecil itu tapi masih belum mengetahui apa
apa.

"Tikus tu cakap dengan Adik." katanya perlahan.

Aku sama meniarap nak memahami cerita. Mak ai! Terkejut beruk aku dibuatnya. Memang ada
muncung tikus yang misainya bergerak-gerak di lubang itu seolah sedang berkata sesuatu. Sebab itu
anakku menyangkakan tikus itu sedang bercakap dengannya. Padahal aku rasa tikus itu nak keluar
tapi dek kerana dia menunggu di luar lubang tu, maka si tikus tadi terpaksa bertahan di situ.

"Dia cakap apa?" aku pura-pura bertanya ingin tahu jawapan yang akan diberikan olehnya.

"Emak dia tak ada...dia lapar...dia nak makan.." jawab si Adik seolah memahami kehendak si tikus.

Aku pun memberitahu. "Mama dengar dia cakap suruh tepi...dia nak keluar la dik...dia nak cari emak
dia."

Si Adik memandangku pelik. Dia dah meniarap lama di situ tapi tak faham apa yang cuba diberitahu oleh
tikus. Manakala aku yang baru sahaja datang sudah memahaminya. Lalu dia pun bangun dan bergerak
ke tepi memberikan laluan kepada sang tikus untuk beredar dari situ. Mungkin dia dah tersesat masuk
tapi tak sangka ada manusia yang berminat nak berborak dengannya pula. Adoyai!

Kisah si Adik aku ceritakan pada papanya yang pulang untuk makan tengahari. Suamiku yang wajahnya
serius 24/7 tu macam tak ada perasaan mendengar ceritaku. Atau mungkin dia tak kuasa nak melayan
sebab sedang asyik dengan asam pedas ikan parang. Ye la...ikan tu kan banyak tulangnya...kang sibuk
nak bercerita...sibuk nak gelak guling-guling...tercekik kang terguling betul...siapa yang susah?

Habis aku ni kalau tak bercakap berborak dengan dia...siapa lagi? Bukan ada jiran tetangga yang boleh
aku dok menebeng bersembang sampai petang. Si Abang pulak menurun 99 peratus perangai bapaknya.
Si Adik ni pulak tak terlayan akan perangainya yang macam dah terlebih cas bateri. Tapi ada la sesekali
aku bersembang dengan Saroja...sebab itu aku tahu cerita mengapa dia bekerja menjadi Tukang Kebun
di situ.

Petang itu suamiku pulang ke rumah dengan panggilan baru untuk si Adik. "Abang Kus!"

Si Abang dan si Adik yang ku minta membantu aku mendirikan tiang untuk pokok-pokok orkid
serentak berpaling.

Dia menghulurkan 2 biji durian yang diminta oleh si Adik semasa ke Pasar Tani hari minggu lepas
sedangkan ketika itu dia pergi berdua dengan si Adik hanya dengan menunggang motosikal.

"Ada ke dia mintak beli durian?" komplen suamiku semasa pulang dari Pasar Tani hari minggu lepas.
"....mana nak diletakkan? Dah dia duduk depan kakinya dalam bakul. Tak kan I nak letak kat
belakang pulak? Berduri la punggung I nak sampai ke rumah."

Selepas kes nak makan durian itu...suamiku sering pulang ke Segamat hujung minggu membawa 
Abang dan Adik melihat sendiri pokok-pokok durian di kebun Tok Besarnya. (Bapa mertuaku 
itu besar dan tinggi orangnya, maka Abang...selaku cucu sulong menggelarnya Tok Besar).

Wakakaka...aku gelak guling-guling bila mengenang kembali cerita suamiku itu. Walau dia serius
bercerita namun aku memang tak dapat nak menahan tawa membayangkan durian yang diikat
di belakang motosikal.

Junie Octovian: Sampai hari ini Abang Long dan Angah tak kecoh pun nak makan durian selepas
                        dibawa dan dihadapkan dengan durian yang pelbagai nama oleh Tok Besarnya.

May 28, 2011

Malaysian-made cars...

Salam to all.....

Pagi ni kita borak pasal kereta buatan Malaysia pulak la.....
Seingat aku la...aku ada je masuk contest untuk menamakan kereta pertama Malaysia pada tahun 1983
dulu kalau tak silap. Excited gila nak tengok kereta pertama buatan Malaysia, sekali gus berbangga
kerana Malaysia mampu menjadi pengeluar kereta setanding negara-negara pengeluar kereta yang lelainnya.

Entah kenapa ye...aku tak teringin langsung untuk mengambil lesen macam kengkawan yang lain, bila
lepas sekolah tu sibuk nak ambil lesen. Kalau ambil masa tu, mungkin masih murah lagi la...

Tapi aku terpaksa mengambil lesen bila aku ditinggalkan dengan anak-anak. Kereta yang suamiku tinggal
kan itu jadi 'tokong' depan rumah, kata emak aku la.....

Aku memasukki kelas memandu ketika berusia tiga puluh enam tahun....batch aku yang belajar sama tu
semua pangkat anak-anak aje. Aku siap bahasakan diri aku mak cik dengan tenaga pengajar tu.

Hari aku nak menghadiri driving test tu... suami aku siap cabar lagi. 'Kalau mama lulus, memang papa
belikan kereta baru la...' dia bercakap sambil gelak-gelak dengan anak perempuannya yang dua
orang itu.

Ek eleh! Bukan payah sangat pun? Dia yang selama ni tak confident nak beri aku guna keretanya tu.
Bila aku dah tau apa yang nak ditekan dan dipulas, beri la lori atau bas pun....

Akhirnya....janji kena ditepati, kata kena kota...
tak pasal-pasal dia kena belikan aku kereta baru.
Isy!

Kereta pertama aku, dia belikan semasa kami tinggal di Kuching. Aku masih ingat kami ke Jalan Nanas
lot kedai yang mempamerkan kereta-kereta Proton.

'Untuk I ni bagi yang murah-murah je la...kalau kena senggol atau I yang menyenggol kereta orang,
tak lah ralat sangat kan?'

Suamiku mengerling sambil cebek bibir. 'Nak kereta yang mana ni?' suamiku bertanya.

Ketika itu aku sedang membelek Proton Tiara. 'Yang ni cantik la...comel je.'

'Kalau yang itu sekarang ni pun boleh dapat, kalau Wira nak kena tunggu enam bulan untuk shipment
sampai.' kata si jurujual Abangku apekenama dia. Lupa pulak...maklum la dah lama cerita ni.

'Boleh la yang ini aje...' aku menjawab pantas. Kalau dah boleh dapat lepas siap registeration semua,
aku dah boleh ke hulu dan ke hilir dengan kereta baru, fikirku. Biarlah kereta buatan Malaysia pun...

Suami ku pulak cepat aje nak menyain, mintak yang murahlah katakan. Takut aku ubah fikiran karang,
rabak poket dia.

'Warna apa kak?' tanya si jurujual yang dah senyum melebar ke telinga.

'Yang ni la...Nadia Green.' Aku tunjuk pada catalog.

'Hijau?' suamiku bertanya sambil mengerutkan kening. Pelik. Selalunya, kalau pilih barang asyik nak
kaler merah je.

Aku angguk. 'Mana ada kaler merah? Lagipun duduk tengah bandar ni biarlah kalernya yang sejuk
mata memandang. Dah la hutan batu, biar ada kaler-kaler hijau sikit.'

Suamiku hanya mengikut. Suka hati la....

'Tu...untuk hadiah birthday sekali la...' katanya selepas siap berurusan.

Pernyataan darinya mengejutkan aku...aisehmen! Patut la beria ajak keluar hari ni...birthday aku rupanya.
'Thanks...I lap U la..'

Sepuluh tahun kemudian................

Aku terima call satu pagi dari suami ku. 'Nak kaler apa ni?'

Senyum ku jejak ke telinga. Aku faham, dia ada bagi hint nak tukar kereta ku kepada yang besar sikit
sebab anak-anaknya semua bersaiz besar.

'Kalau merah? Boleh tak?'

'Mana ada kaler merah?'


'Ada la...I tengok dekat catalog hari tu.'


'Itu 1.3 la...'


'Oh ye ke?...tak apa la, bukan untuk merempit pun.' Ceh! Saja nak bagi dia percaya kat aku. Kalau aku rempit pun bukan dia nampak. Dia kat utara sana, aku pulak dekat selatan.

'Merah pulak?' aku dengar suaranya bersungut di telefon.

'Ala...duduk dalam hutan ni, kena ada kaler sikit la. Asyik menghadap kaler hijauuuu je.' Jawab ku
panjang sambil menekan pada ayat hijau tu.

'Ni hadiah 25th anniversary...' suamiku menghulurkan kunci kereta yang dah siap diikat pada keychain
yang tertulis namaku.

'Thanks...I lap U..' aku beri segaris senyuman.

Junie Octovian: Bersyukur atas rezeki pemberian Allah.
                        Biarlah Malaysian-made cars pun.



April 24, 2011

Puteri Syakira...

Ini kisah cucu Uda.

Aku beraya di rumah Uda di Taman Daya, Johor Baharu entah tahun bila. Cucunya yang sering dibawa menjenguk ku, memang terus mesra kerana telah saling mengenali.

Di meja makan, Uda menjamu mee goreng selain biskut-biskut tunjuk.

'Orang sekarang ni magic,' kata Uda. 'Pergi kedai, main tunjuk-tunjuk aje dah dapat apa saja biskut yang dikehendaki.'

Ya la...zaman kami dulu sampai naik berlendir biji mata menunggu oven membakar biskut raya ni. Tengah waktu berpuasa pulak tu. Lagi-lagi kalau emak sibuk nak buat rempeyek atau biskut gulung atau surat cinta tu. Pergh! Mau juling bila nak menunggu sampai waktu berbuka tu.

Pagi raya...masing-masing lengan semua bertanda kena oven, loyang panas atau percikan minyak panas.

Sekarang ini dah senang tambah senang. Bukan saja oven, malah ketuhar gelombang mikro lagi.



Ala...gambar Syakira tak ada dlm simpanan la...
tapi ni adik dia Syazwani...rupa lebih kurang je...kan adik beradik?

Aku hanya melemparkan senyuman kerana aku faham akan maksud Uda.

Syakira sama sibuk di meja makan macam dia juga tetamu. Tapi aku tak kisah kerana aku ni bukan sesiapa yang harus mendapat layanan VIP. Itu pun cucu aku juga. Irwan bapanya tu, semasa kecil dulu memang banyak aku yang bela.

Dia sibuk bercerita pada ku akan cerita Congkak yang baru ditonton melalui CD. Aku masuk mode kanak-kanak dan sama melayan ceritanya sebagaimana gaya dia bercerita.

Tapi versi aku siap dengan bulat mata dan aksi sekali. Suara pun berubah bila bab jadi nenek tu. Aku lihat Syakira tekun mendengar. Matanya juga tegak tepat merenung wajah ku. Dia menarik kakinya naik ke atas kerusi dan terus bersila.

Bila Uda siap menghidang minuman, dia mengarahkan cucunya agar turun untuk memberi tempat kepada anak-anak ku yang sama datang tadi.

Namun dia dah tak bergerak dari tempat duduknya dan masih merenungku.

'Syakira?' aku memanggil.

Dia masih tak bersuara dan keras di kerusinya.

'Kenapa tu?' aku bertanya hairan.

'Atok Andak pun...bercerita siap dengan mata, siap dengan gaya. Manalah cucu aku tak takut?' jelas Uda.

Ai? Bukan tadi dia yang mulakan ke? Mana la aku nak tau?

Apa yang Syakira tidak tahu waktu itu, Atok Andak dia ni memang pandai mengarang cerita. Kisah Congkak tu sikit aje aku yang tokok tambah bagi suspens lagi. Mana si cucu tak keras-kekun? Cerita yang ditonton dengan cerita yang aku sampaikan berbeza sekali, barangkali begitu hatinya berkata.

Junie Octovian: Nak bercerita dengan cucu ku Hana pulak.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...