July 9, 2012

Emak (ii)

Emak terbaring lesu di katil bilik nombor 17. Abang, Ngah, Uda, Jude dan Lela semua sudah mengelilingi Emak dan membacakan surah Yasin.

Kata Ngah, Emak kena stroke bahagian kiri badannya, maka dia berbaring menyenget ke arah kanan. Aku rapati Emak...ku capai tangan kanannya dan ku kucup sayang. Terasa baru sahaja ku peluk erat tubuh tua itu yang ketika itu masih segar dan boleh berkata-kata.

"Emak jaga diri tau...nanti raya tahun ni, kita orang semua balik sini raya dengan Emak," bisikku pada Emak ketika memeluknya erat sebelum meninggalkan dia di bawah jagaan Lela petang Ahad 3 haribulan Jun yang lalu.

Aku beria menangis untuk melepaskan Emak tanpa segan dan silu petang itu walau jiran tetangga sama memerhati sebelum aku berangkat pergi setelah dapat membantu memasak untuk majlis kenduri malam itu. Namun hidup ini sudah mmerupakan seperti putaran roda...suatu ketika kita akan pergi meninggalkan Emak dan begitu juga aku nanti bila sampai satu saat, anak-anak akan mula pergi meninggalkan aku.

Aku mulai faham akan keengganan Emak tidak mahu tinggal lama di rumah anak-anak. Bukan dia pilih kasih tetapi dia lebih senang di rumahnya sendiri biarpun tidak sebesar mana. Jika dia lebih kasihkan anak-anak Lela, yang lain harus mengerti kerana mereka tinggal di bawah satu bumbung, jadi kemesraan itu automatik terjalin lebih erat.

Cuma yang tinggal dengan Emak itu haruslah pekakkan telinga dari mendengar ceramahnya yang tiada bernoktah apabila dia sudah mula membuka mulut. Emak jenis yang perfectionist walaupun hidup tidak semewah mana. Semua kerja harus mengikut cara dia....lain sikit aje habis dilemparnya. Jadi, jika kita tidak mahu membuat dua kali kerja, buatlah sebagaimana kehendak dan kemahuannya.

Tapi bila dia jadi baik hati, dia adalah seorang yang pemurah. Masak sikit pun habis nak berbahagi jiran kiri kanan depan dan belakang. 'Tak baik kalau jiran itu sudah terbau dengan apa yang kita masak, katanya.' Lela kadang-kadang tu rasa nak marah juga kerana sifat Emak yang sangat ingatkan jirannya sedangkan Lela punya anak sebelas yang terpaksa beralah dapat sikit sama sikit.

Sebab itu barangkali, ketika Emak sebagai orang yang tertua di kawasan penempatannya itu diwartakan jatuh sakit, penuh Wad Bunga Raya itu diserbu oleh kenalananya sehingga Pak Guard terpaksa diletakkan di bahagian depan pintu lif untuk menahan pelawat agar tidak terlalu ramai datang sekali gus.

Tidak secara langsung, kami anak-anak juga menjadi susah untuk masuk menjaga Emak dan terpaksa pula mengambil bahagian menjaga Emak secara bergilir-gilir.



Sehingga pagi Jumaat yang tenang, tiba giliranku untuk menjaga Emak. Ku lurut jari jemari tangan kirinya yang sudah dikatakan kebas itu sebagaimana arahan dari Dr Aqilah, bahagian physiotherapy. 'Kalau pesakit itu hilang rasa bahagian kiri, kita duduk di bahagian kirinya, agar dia berusaha untuk mencari bahagian kirinya yang hilang. Jika kita sama menghadap wajahnya yang menghala ke kanan sahaja itu, pesakit akan mula terlupa bahagian kiri tubuhnya.' Begitu kata Dr Aqilah yang ku gelar sebagai doktor Chantek. Memang comel doktor itu dan manis pula budi bahasanya. Cakapnya berhalus walau dengan orang setua Emak. Aku percaya bukan semua orang boleh bersabar dengan pesakit sebegitu, apatah lagi dia merupakan seorang yang muda dan cantik. Tentu bahagia ibunya mempunyai seorang anak yang bersifat demikian.

"Cantik tudung kau hari ini," puji Emak.

"Warna apa mak?" tanyaku lembut kerana aku tahu Emak tidak buka mata pun sejak dia jatuh sakit itu.

"Warna merah," tekanya rambang.

Kebetulan aku memakai tudung berwarna merah. "Betul...pandai mak," kataku memuji.

"Semalam mak tak dapat tidur, habis kebas badan ni sampai ke pinggang," Emak mengadu.

"Tak apa....hari ni kita urut pinggang Emak ye? Lepas tu kena senam tangan kiri ni...Emak cakapkan dah rasa kebas?"

Emak angguk.

"Nina! Urut pinggang mak...." sengaja aku bersuara begitu memberi keselesaan kepada Emak seolah kami sedang berada di rumah.

"Angah mana?"  tanya Emak tiba-tiba teringat akan anak saudaranya yang satu itu yang dikatakan sering menjenguk beliau. Mungkin wajah itu kini terpapar di layar matanya.



"Angah yang mana satu mak?" tanya Nina yang sedang mengurut pinggang Emak. Keluarga kami ni ramai yang menggunakan panggilan Angah kepada anak nombor dua mereka.

"Angah Faredah," katanya.

"Oo...Angah Faredah kan kerja mak...nanti petang dia datang ye mak?" pujukku. Emak ingat sangat akan anak saudarnya yang pernah dijaga semasa kecil-kecil mereka dahulu dan kami memang rapat dengan anak-anak Mak Ucu, adik bungsu Emak itu.

Emak angguk lagi.

"Siapa jaga Emak malam tadi?" tanyaku pula cuba membuka perbualan agar Emak tidak merasa dia berada di wad hosapital.

"Jude," jawab Emak pendek.

Hamboi! Untung Jude namanya naik tetiba, walhal yang menjaga Emak malam itu Eira dan Eija. Manakala Jude pula sedap membuta di rumahnya. Tapi tak apa....tiada siapa yang berkecil hati malah menjadi bahan perbualan kami petang itu pula bila Jude datang selepas habis mengajar.

Jude disayangi Emak kerana mengikut kemahuannya menjadi seorang tenaga pengajar. Emak suka jika anak perempuannya menjadi guru. Tapi ini semuakan rezeki...

"Emak! Ni Teacher Juhara dah datang...." seloroh Jude setiap kali dia sampai bila menziarah Emak di hospital. Walaupun hanya untuk beberapa petang itu, suasana seolah anak Emak semuanya masih single dan tinggal di bawah ketiaknya. Emak suka macam tu....bermanja-manja dan mengadu apa sahaja dengannya. Maka kami pun melakunkan suasana itu.

"Ita! Nak air..." pinta Emak pula.

Uda kelam kabut mencari gelas mengisi air mineral dari botol di sisi katil.

"Mintak air pun susah..." Emak sudah mula merungut bila Uda lambat sikit menyuakan air ke mulutnya.

"Gula mahal ke?" Emak tanya Lela yang asyik membasahkan bibirnya dengan air mineral.

"Kenapa mak?" tanya Lela lembut.

"Asyik air masak aje...." leter Emak yang tetiba teringinkan air mata kucing.

Jude dan Jijah yang mendengar cepat mengundur diri keluar dari bilik itu untuk mencari air mata kucing yang dimaksudkan.

 ~bersambung~




July 8, 2012

Emak...

"Andak..." 


Aku dikejutkan dengan sedu sedan Uda melalui panggilan telefon pagi itu tanggal 10 haribulan Jun 2012 jam lebih kurang 7.30 pagi waktu aku sama bersiap untuk menghantar kakak ke pejabat.

"...emak kita dah tak boleh bangun...." sambung Uda yang bukan jenis Ning Yatimah orangnya. Biasa tu kalau ada berita yang menyedihkan atau apa-apa sahaja musibah berlaku di kalangan keluarga terdekat, aku merupakan orang yang pertama tersekat kerongkong. Beria-ia aku menangis sebelum dapat memberitahu apa sebenarnya yang telah berlaku.

"Uda dekat mana?" 


"Dekat rumah lagi...ni dah nak gerak ke sana.." jawab Uda yang tinggal di Taman Daya, Johor Bahru.

"Ada apa ma?" tanya si Kakak yang melihat ku cemas sekali pagi itu.

Aku abaikan pertanyaan si Kakak langsung mencari nombor Ngah. Seperti yang aku cakap tadi, aku jenis yang buruk perangainya. Bila terdengar suara Ngah sahaja, aku sudah mula melalak...jadi apa yang ku ucapkan di telefon itu tidak jelas pada pendengaran Ngah. Tapi aku dengar Ngah menyahut, "Okey.." dan kemudian mematikan talian.

Setiap kali menerima berita sedih...di fikiran ku membayangkan akan kematian kerana kami adik beradik berenam ini adalah di kalangan yang sudah menuju ke usia senja...apatah lagi Emak yang sudah tentunya sedang menunggu panggilan Ilahi.

Mujur pula sekarang ini Ngah senang dihubungi kerana telah kembali tinggal di rumahnya di Nilai Impian. Selama ini Ngah sering keluar dengan kumpulan tablighnya jauh ke luar negeri. Nampak gaya Ngah pula yang lebih dekat sikit jika hendak pulang ke rumah Emak.




Tanpa bersuara...aku terus mengemas beberapa pasang baju kurung dan dimasukkan ke dalam beg baju yang masih belum bersimpan sejak pulang dari kenduri yang baru sahaja berlangsung di rumah Emak minggu lepas. Hatiku terasa sudah sampai di Kluang ketika itu sedangkan jasadku masih berlegar di dalam rumah ke hulu dan ke hilir meninggalkan pesan pada Adik yang bakal lama ku tinggalkan.

Jauh di lubuk hati, aku seakan tahu....kali ini Emak akan pergi meninggalkan kami adik beradik berenam ini untuk selama-lamanya.

Aku tidak banyak berkata-kata bila Iwan, anak Ngah datang menjemput pagi itu malah bertambah kuat gegaran jantungku melihat Iwan datang dengan berkemeja hitam siap bersongkok. Iwan yang melihat keruh wajahku juga tidak berkata apa-apa. Kami seolah tahu sama tahu akan perasaan masing-masing dan selepas meninggalkan pesan kepada si Adik yang akan ke kelas pagi itu, kami terus bergerak menuju ke Selatan tanahair.

Jalanraya pagi itu seolah membuka laluan untuk kami kerana ku lihat Iwan hanya menggunakan lorong kanan sepanjang pemanduannya pagi itu.  Ida, isterinya dan Zayd, anaknya juga tidak banyak berkata-kata. Aku di belakang melemparkan pandangan jauh mengenang kembali saat akhir aku memeluk Emak membisikkan janji akan berhariraya bersamanya tahun ini.

"Okey..." teringat Emak suka menjawab begitu.

Kringgggg!!

Telefon bimbit ku capai di dalam beg tangan di sisi.

"Dah sampai mana?" tanya anak sulongku Firdaous di talian.

Aku lihat di luar, kebetulan kami baru melepasi Kolej Islam Sains di Nilai. "Nilai..." jawabku memberitahu.

"Mak ai...cepatnya?" tanya Firdaous tanpa aku mengiakan. "...nanti ada apa-apa perkembangan, mama miss call aje...abang Long call balik," tambahnya lagi yang mengerti akan kesedihan yang sedang aku lalui.

Telefon bimbitku berbunyi lagi, cepat ku capai dan ku lekap ke telinga.

"Dah sampai mana?" suara Ngah di talian bertanya.

Aku kerling keluar cermin, nampak bangunan berceratuk di sebelah kiri jalan. "Ayer Keroh," jawabku memberitahu kerana ketika itu kami sedang melepasi A'Famosa di Ayer Keroh, Melaka.

"Nanti kalau sampai terus ke hospital tau?" Ngah mengarah.

"Okey," jawabku pendek.

Kami sampai di Kluang lebih awal dari perjalanan di hari-hari biasa kerana kali ini perjalanan kami terus sahaja tanpa menyinggah ke R & R. Kami merupakan orang terakhir yang sampai waktu itu, manakala yang lelainnya dikatakan sudahpun berada bersama Emak di Wad Bunga Raya 10A.


~ bersambung ~

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...