October 15, 2012

Ku Telan Kerinduan Itu....

Aku belek satu-satu gambar yang ku gantung di dinding. Sengaja laluan itu ku jadikan macam galeri pameran lukisan ala-ala Leonardo Da Vinci. Tetapi gambar orang-orang tersayang yang aku framekan.....hehehe


Bila aku kerinduan, di situlah aku pergi menghadap orang yang dulunya baby sekarang dah jadi bapak orang semuanya. Yang dulu ada sekarang dah pergi buat selama-lamanya.

Ku toleh kiri dan ku toleh kanan, tiada lagi wajah itu hendak melawan aku bercakap. Tapi aku terasa dia ada merenung aku dengan senyumnya. Uwarghhhh!! Aku sedih....


Dulu semasa hayatnya aku ambil mudah. Nak bertelefon bertanya khabar pun payah. Selalu aku top-up lima puluh hengget, sempat hi-hi aje....dia yang banyak bercakap bercerita ini dan itu....entah siapa-siapa jiran dan temannya di sana yang aku tidak tahu, habis hendak dikongsi cerita denganku. Akhirnya talian putus begitu sahaja tak sempat nak ucap bye-bye pun.


Semenjak itu aku call sebulan sekali, lebihnya aku tanya khabar melalui sms dengan adik aku. Dia ok ke? Sihat ke? Kirim salam dia tau? Tiap kali macam tu aje...sehingga aku dapat kumpul kredit untuk berbual panjang lagi dengannya.

Kemudian Allah permudahkan bila anak aku dapat kerja di daerah tempat tinggalnya. Jadi setiap kali anakku balik mengunjungi aku, dia akan dibawa sama. Tidak secara langsung aku dapat bertemu dia lebih kerap. Ajak tinggal bersama dia tidak mahu. Tinggal lama sikit dia dah gelisah. Macam ada bela ayam, kambing dan lembu pula. Bila anak aku balik hari minggu, dia pun ikut balik juga. Tapi aku cuba memahami keinginan dan keengganannya. Dia suka aje mengikut jika dipelawa tetapi dia tidak suka lama-lama. Mungkin dia pun pandai nak ambil hati kami juga.

Aku bawa dia balik ke Shah Alam satu ketika, kami convoy dua kereta. Anak lelaki aku dua beradik naik Nissan Skyline....mereka janji bawak slow-slow dengan mengikut aku dari belakang. Sambil memandu aku perhati juga jika mereka ada di belakangku seperti yang dijanjikan.

"Mana budak dua beradik tu?" sesekejap dia bertanya. Mungkin anak lelakiku dua beradik itu semasa sekolah dulu aku tinggalkan dengan dia.





Aku kerling cermin pandang belakang, lampu kereta tu aku kenal sangat, jadi aku pun jawab, "...ada dekat belakang tu!"

Nampak dia senang hati dan dia menyandar lagi. Sampai sahaja di depan bangunan Campus MSU, aku terdengar enjin kereta yang menderum bunyinya di lorong kanan yang pecut macam nak terbang. Dia yang terdengar memanjangkan sedikit leher, tetapi kereta itu sudah berdesup hilang dari pandangan.

"Anak sapalah tu...merempit aje kerjanya. Nasib baik budak berdua tu tak macam tu...hisy!" Dia merengus sambil menyandar kembali. Mungkin tadi dia sudah terlelap tetapi diganggu dengan bunyi yang bagai nak pecah jalan raya itu dibuat dek kereta yang melepasi kami tadi.

Mulanya aku tak perasan itu kereta dia orang kerana warna pun hitam....tapi aku lihat lampu belakangnya menyerupai lampu kereta mereka. Maka aku kerling lagi cermin pandang belakang, ternyata tiada lagi kelibat mereka. Ooo...baru aku tahu mereka tunggu untuk melepasi kamera speedtrap terakhir yang dipasang di kawasan itu rupanya. Anak sapa la tu! Bila dapat tahu, aku pun jadi sama subahat tidak memberitahu. Isy!

"Kenapa?" aku tanya yang memandu bila sampai depan pintu rumah.

"Saja gian...nak test power." Boleh macam tu dijawabnya?

Tapi aku bangga anak-anak aku pandai melayan kerenah dia. Bertanya mahu makan apa, hendak ke mana...beria mereka mengangkut dia sama. Kami sering bawa dia menjelajah ke shopping center kerana dia tidak berpeluang ke tempat-tempat tersebut sebelum ini. Tetapi ternyata di usianya itu, dia sudah tidak larat lagi. Maka ku bawa dia keluar pusing-pusing melihat lampu neon di kotaraya pada waktu malam...dia suka.


"SubhanAllah....cantiknya," kata dia yang sudah lama tidak dibawa keluar waktu malam.

Setelah dia pergi, dengan semangat aku sekali dia bawa. Aku kini hanya melepak di rumah sahaja menulis dan menulis untuk meninggalkan cerita kepada anak cucu tentang kisah pengalaman hidupku untuk mereka baca. Senyuman dia di sofa yang menjengah mencari kelibatku di meja makan sedang menulis masih jelas terbayang di ruang mata. Kekekan geli hati dia menonton filem-filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, masih terngiang di lubang telinga. Dia sudah hilang di dunia nyata, namun kenangan bersamanya ada di mana-mana. Terpaksa ku telan kerinduan itu sebagai ubat penghapus duka kerana aku sudah tidak punya teman untuk berbicara yang memahami jiwa dan sebagai orang yang melahirkan aku ke dunia.

Junie Octovian: Aku rindu dia.......




October 14, 2012

Ku Petik Kenangan...

Aku menjengah tingkap bercermin naco yang ku buka bahagian atas sahaja. Barisan kereta di depan rumah itu ku tenung satu-satu. Waktu itu jam menunjukkan pukul 3.00 pagi. Mata tidak dapat ku lelapkan langsung semenjak berita kematian itu sampai ke lubang telinga.



"Nak buat apa entah kereta banyak-banyak?" Suara marah mertuaku entah dibebelkan dengan siapa. Yang pasti bukan berdepan denganku.

Dalam hati ku berkata, "Kalau nak ambil jelah mana satu." Tapi tak kuasa hendak menyatakannya di kala hati dipagut sayu.

Dia tinggalkan aku dengan sebuah kereta baru dan sepasang kain untuk dibuat baju raya tahun itu. Meleleh-leleh air mataku mengenangkan dia yang masih tahu kaler kegemaranku. Sepasang kain lace kaler hijau!



"dan boleh jadi kamu benci pada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semua itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." Al-Baqarah, ayat 216

Ku tanam dalam-dalam ayat itu di lubuk hati,  ku perah mindaku agar ia mengerti. Degil betul! Aku bentak diriku sendiri. Aku hafal ayat itu berkali-kali untuk memahami maksudnya. Kenapa yang aku benci itu baik untuk aku dan yang aku suka itu jadi buruk bagiku? Kenapa dia harus pergi dahulu meninggalkan aku dengan urusan duniawinya yang belum bertitik noktah? Sampai hati dia!

Peliknya, aku tidak menitiskan air mata langsung mendengar berita itu semalam. Harapan untuk bertemu dia lagi itu masih ada. Segar di ruang mata susuk tubuhnya yang bertolak pulang petang itu...tak nampak macam orang sakit pun?

Hembusan angin sejuk tiba-tiba menyapa cuping telinga. Teringat dia suka lagu nyanyian Broery Marantika, Berhembus Angin Malam. Muak aku dengar setiap kali ada majlis, dia akan menyanyikan lagu itu. Berlainan sungguh dengan selera aku yang gemarkan lagu-lagu rancak yang dapat membuatkan hatiku sentiasa gembira dan ceria.



Kalau dalam kereta bersamanya juga, kami kerap bertelagah pasal memilih lagu. Dia nak CD lagu yang mendayu, manakala aku mahukan lagu yang dapat menggerak-gerakan kaki dan tanganku. Hisy! Akhirnya kami dengar lagu dari radio aje. Jadi dua-dua pun diam.

Kalau menonton TV di rumah pun macam tu juga, dia asyik nak buka AXN channel sukan. Golflah, tennislah...
Kalau tidak pun asyik tengok berita Al-Jazeera, BBC...entah apa-apa lagilah. Bosan!



Aku sukakan CSI, Criminal Minds, Without A Trace dan yang seangkatan dengannya. Tapi dia tahu aku suka watak Horatio Caine dalam siri CSI Miami tu. Wall paper lap-top aku pun aku letak gambar Horatio.
Eleh!

Selera makan kami pun berlainan sungguh, bak langit dengan bumi. Ada ke breakfast dia minta nasi? Dah macam orang Korea pula. Macam nak pergi kerja menyangkul pun ada. Lepas tu lauk dia kena pedas-pedas yang boleh berasap telinga. Tapi aku layan jelah...



Aku pula bukan jenis yang suka merayap bershopping bila tak ada kerja. Jadi dia tak bimbang bila meninggalkan aku. Hendak ke mana harus beritahu, nanti dia yang bawa. Hendak beli apa senaraikan aje dan lekatkan di pintu peti sejuk. Kalau tak cakap kuantiti yang diperlukan....amekaw! berkarung-karung dia bawa balik....boleh buka kedai runcit. Tapi aku suka sebab rumah kami ada stor tempat menyimpan barang makanan. Macam Chef At Home pula rasanya. Mau masak apa sahaja, redah dalam stor tu...



Bila dia keluar main golf hujung minggu, aku yang ditinggalkan di rumah itu bertukar hobi menjahit pula. Semua benda nak ku jahit sendiri. Sarung kusyen, sulam, mengait segala bagai aku nak buat. Jadi dia belikan aku mesin jahit keluaran terkini yang aku pun tak tahu hendak menggunakannya sehingga terpaksa memanggil penjual itu datang ke rumah mengajar aku bagaimana hendak mengendalikannya. Ye lah...mesin jahit rumah emak aku yang jenama Singer tu senang aje...godak-godak dengan kaki. Yang dibelikan aku ni pakai letrik...




Aku nampak dia bangga kerana apa yang dibelikan nampak berhasil bila langsir rumah kami, aku jahit sendiri. Sejak itu aku sering ajak dia ke kedai kain. Dia pula naik muak melayan aku. Pantang dengar dia ada pertandingan golf di sebelah Melaka atau Muar, harus aku mengekor kerana nak singgah Tangkak...hehehe

Aku kena buat macam tu sebab dia tidak suka diganggu waktu dia bercuti...penat kerja barangkali. Bila aku ada hobi sendiri, aku dah tak ganggu dia. Berhari-hari aku tekun menjahit dan menyulam. Rancangan TV yang ditonton pun tak sama selera...nak buat macam mana? Duduklah dia sorang-sorang menghadapnya. Tapi aku akan pastikan ada seteko kopi dan cekodok bilis kegemarannya. Aku tak duduk di situ sama-sama sebab dia tak suka berbicara waktu menonton. Dia jenis yang tekun habisan. Kalau kodok lalu pakai skirt pun dia tak perasan. Cis!



"Banyak lagi ke?" tanya dia yang lalu lalang keluar ke dalam melihat aku masih tercongok menerap kuih sejak pagi.

"Banyak jugalah...oven tu kecik," aku mengadu. Aku suka sebenarnya kerja-kerja begitu, jadi aku tak perasan masa yang berlalu. 



Tengahari itu dia pulang dengan oven yang besar jenama Zanussi. "Nah! Ni paling besar," dia meletakkan oven di atas kaunter dapur.

"Wah! Bestnya..." aku terkinja kegirangan sambil peluk dia tanpa sedar dan ucap "Thank you!" 



Aku cadang raya nanti nak sedondon kaler purple, jadi aku dah belikan sepasang kain untuk dijadikan baju Melayu dia. Tunggu dia balik nanti baru nak ajak dia ke kedai buat ukuran baru. Dia macam dah susut sikit sejak pindah kerja tempat baru.

"Tak makan ke?" aku usik dia.

"Diet...kerja banyak, tak sempat nak ke padang golf lagi," ujarnya.



"Tukar main badminton pulaklah," aku beri cadangan.

"Badan dah berat ni, lompat-lompat cepat penatlah." Satu lagi alasan dari dia.

Tetapi....

Hujung minggu itu hajat aku tak sampai bila dapat berita itu....Innalillahiwainnailaihirojiun! Dia tinggalkan aku buat selama-lamanya. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman....Aamiin!


Junie Octovian: "Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya." Al-Baqarah, ayat 286








LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...