April 1, 2012

Sentuhan Kasih 11

~ sambungan ~

"DAH call Wawa suruh balik?" Tanya Pak Din yang baru pulang dari warung Pak Ya petang itu.

          Dia dicari oleh Pak Hussin yang bertanyakan tentang Nur Najwa. Kali ini Najmi yang minta dia tanyakan kerana setiap kali anaknya celik mata, dia akan mencari Nur Najwa. Hilang rasa sabarnya bila si anak asyik minta benda yang payah hendak dicari. Kalau dia minta permainan, dengan senang hati dia mencarinya biarlah berapa pun harga yang perlu dibayar. Ini....ada dia minta orang yang punya kehendak dan keinginan sendiri? Bagaimana hendak dipaksa?

          "Saya call beritahu Nazri aje...pandai-pandailah dia nak menyampaikan berita tu pada adik dia," jawab Mak Zah yang sedang menguli donut, pesanan sekolah tadika KEMAS taman perumahan di situ.

          "Kesian saya dengar Pak Hussin tu cerita. Najmi dah hilang sabar melayan kerenah anaknya...bila celik mata aje tanyakan Wawa," beritahu Pak Din lagi akan cerita yang didengar dari mulut Pak Hussin. "Kata Pak Hussin, Tan Sri beritahu dia. kalau cucunya sampai sakit rindukan Wawa, dia nak jodohkan aje anaknya dengan Wawa, senang cerita," sambung Pak Din lagi.




           "Hendak ke si Najmi tu dengan anak kita?"

           "Laaaa...awak kan tengok sendiri, bila anak dia dengar nama Wawa aje terus sihat?" Terang Pak Din mengingatkan peristiwa di hospital semasa dia dan isterinya melawat si kecil yang dikatakan sedang tenat.
         
           "Itu anak dia....habis bapaknya yang nak disuruh menikah dengan anak kita tu? Sebab apa? Sebab anaknya aje?" Tanya Mak Zah sedikit marah kerana anak bongsunya itu macam hendak dipaksa berkahwin dengan Najmi hanya kerana si kecil anaknya itu sukakan Nur Najwa.

           "Lama-lama nanti sayanglah Zah....apa yang awak nak risaukan? Wawa tu kan pandai serba serbi, cuma di rumah ni dia ada emaknya. Tambah lagi dia perempuan sorang. Anak bongsu pulak tu. Itu yang manja semacam."

           Mak Zah memang tahu Nur Najwa anak bongsunya itu pandai dalam mengurus rumahtangga. Cuma bila rumahtangga yang baru mahu dibinanya itu dulu gagal, dia terus menerus tinggal di bawah ketiak emak dan ayahnya. Makanya Mak Zah pula bila terasa sangat kasihan dengan nasib yang menimpa anaknya itu, dia tidak pernah menyuruh atau mengarah Nur Najwa membuat kerja itu dan ini di dalam rumah itu.
           Tapi kalau malam, waktu sama-sama menonton TV, disuruhnya juga mengurut kaki atau mencari uban sambil dia sendiri berbaring menegakkan tulang belakang. Nur Najwa pun bukan buat dengan rela hati, mulutnya aje pot pat pot pet membebel.

            "Ini tak lain, emak terlebih makan ikan kering?" Tembak Nur Najwa bila Mak Zah minta diurutkan kakinya sambil dia duduk berlunjur. Mak Zah pun perasan juga, bila dia terlebih makan ikan kering, mulalah kakinya rasa sengal-sengal bila malam. Masa sibuk ke hulu ke hilir siang hari tu tak pulak rasa sakitnya?

            "Emak ni...asyik suruh cari uban aje...orang lain pun beruban juga..." leter Nur Najwa bila Mak Zah minta dia mencari uban sambil dia berbaring melengkar. Mungkin seharian bertudung, kulit kepalanya berpeluh dan bila tudungnya di buka waktu berehat malam, mulalah rasa macam ada kutu merayap atas kepala.

            Teringatkan itu, Mak Zah jadi rindu dengan Nur Najwa. Kalau dia ada boleh juga disuruh...nak suruh Pak Din? Kirim salam aje....

             "Saya bukan apa....bimbang dia mahukan Wawa untuk anaknya aje. Habis tanggungjawab yang lain-lain tu macam mana?"

             "Eh! Sampai ke situ pulak dia." Pak Din membetulkan silanya. Dia memang suka duduk di bawah kalau menonton TV. Kalau di sofa tu karang, cerita entah ke mana, dia pula entah ke mana. "Kita dulu pun bukan ada dating-dating macam budak zaman sekarang? Elok aje sampai tua?"

             "Dia orang berpangkat bang...tak sama macam awak," tegur Mak Zah.

             Eh? Pak Din merenung isterinya. Apa maksudnya tu? Elok aje aku beri dia tiga orang anak...apa yang tak samanya?

             "Maksud saya, dia ada duit...boleh pasang tiga empat orang."

             Oo...Pak din lega. Ingatkan apa maksud isterinya tadi. Kemudian Pak din teringat akan anaknya Nur Najwa yang pernah ditinggal pergi semasa hari pernikahannya. "Dia orang tu dah tau ke pasal anak kita tu?"

              "Pasal apa?" Tanya Mak Zah cuak.

              "Statusnya?"

              "Entah! Tan Sri dah tau kot?" Agak Mak Zah. Dia bangun membawa besen berisi adunan donut yang baru diuli untuk di bawa ke dapur.






March 29, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 11

~ sambungan ~

TAN SRI menolak daun pintu bilik wad itu bersama Pak Din yang tadi keluar untuk pekena secawan kopi, katanya.

           "Tok ayah!" Jerit si kecil.

           Tan Sri tambah tercengang. "Ei? Cucu tok dah sihat ke?" Dia mendekati cucunya dan mengucup sayang pipi comel itu.

            "Ayah! Ni emak Nur Najwa..." Najmi memperkenalkan.

            Mak Zah hanya melebarkan senyumnya.

            "Najwa mana?" Tanya Tan Sri.

            "Dia ke KK rumah abang Ngahnya. Kami ni Pak Hussin yang beritahu, tu sebab kami datang," cerita Mak Zah ramah.

             "Ooo...ingat dia ada sama tadi. Tengok cucu saya dah mula duduk bercakap ni?"

             "Dia kenal dengan emak Najwa ayah. Itulah dia ingat Najwa pun ada," jawab Najmi pula.

             Lama mereka berbual dan melayan si kecil petang itu yang sudah mahu makan dan bercakap. Tan Sri dapat melihat wajah Najmi yang sudah kembali ceria walaupun ditutupi dengan jambang yang menghitam di pipi.
             Suara Mak Zah mungkin ada iras suara Najwa, maka itu terus sahaja terubat kerinduan cucunya yang lebih seminggu berkampung di wad hospital kanak-kanak itu. Patutlah menurut kata doktor, cucunya itu tidak ada sakit apa-apa...cuma sehari dua ini dikatakan mendapat asthma kerana sering menangis.

             "See...I told you, she wants her mother," terang Tan Sri sebaik Mak Zah dan Pak Din bergerak pulang. Itu pun tunggu cucunya tertidur dahulu...jika tidak mahu meraung hendak mengikut balik.

             "I'd promised to take her to see her mummy."

             "You better do so."

             "But how?"

             Tan Sri sama memikir caranya. Christine yang dipanggil untuk datang melihat anaknya pun tidak nampak bayangnya hingga sekarang ini. "Nanti ayah usahakan untuk memanggil Najwa ke mari," pujuk Tan Sri.

            Najmi berpaling bila nama Najwa disebut. Bermakna ayahnya memahami. Puas sudah dia memujuk Christine untuk datang menjenguk anaknya yang sedang sakit itu, namun perempuan itu memang keras kepalanya.
            Najmi teringat kembali bagaimana dia berusaha untuk menjadikan Christine sebagai seorang isteri sebagaimana yang dimahukan. Mungkin kerana dia telah dibesarkan di dalam suasana mewah dan bebas selama hidupnya, maka payah untuk Najmi membentuknya.
            Anak itu juga hasil dari perjanjian yang dibuat bersama Christine. Najmi mahukan anak untuk memujuk hati ibunya Puan Sri Normah agar dapat menerima kembali dia dan Christine. Tetapi Christine pula tidak mahu terikat memelihara anak di rumah.
            Namun apakan daya, belum sempat dia membawa anak itu pulang berjumpa neneknya, Puan Sri Normah telah menghembuskan nafas terakhirnya. Maka dengan berat hati, Najmi terpaksa menyerahkan anaknya kepada Kak Lina yang sudah berkahwin selama hampir lima tahun tapi belum dikurniakan dengan seorang anak pun itu untuk menjaganya. Apabila suami Kak Lina yang menyambung pelajaran itu pulang ke Malaysia, kerana telah tamat belajar, Najmi tidak ada cara lagi melainkan menyerahkan kepada isterinya Christine untuk menjaga anak mereka.
            Dalam keterpaksaan, anak yang sedang nakal itu dipelihara dengan tengking herdik. Satu penampar sulong hinggap di pipi Christine satu malam bila anaknya telah memecahkan sebiji pasu yang dibeli oleh Christine semasa percutiannya ke Beijing.
            Mujur Najmi sudah pulang ke rumah ketika itu apabila dia mendengar Christine memaki hamun dan memukul teruk anaknya.

            "How dare you!" Jerit Christine yang sedang menahan perit kesakitan. Dia meluru untuk memukul lagi si anak.

            Najmi cepat merangkul anaknya dan membawanya keluar dari rumah itu untuk mendapatkan rawatan. Christine kemudian disabit kesalahan kerana mendera anaknya dan mereka akhirnya mengambil keputusan untuk berpisah. Apabila Tan Sri mula campur tangan, Najmi diarah pulang sahaja memandangkan anak itu perlukan jagaan dan bimbingan untuk membesarkannya.

            "Sabar itu separuh daripada iman Jimi. Ingat! Kita ni orang Islam?"


            Najmi mengangguk.

            "Brace yourself and pray hard."

            Najmi mengangguk lagi.

            "You want her or you just needed her?"

            Najmi memandang pelik ayahnya. apa punya soalan pulak ni? Bukan want dengan need tu sama ke? Najmi berkerut dahi memilih.

            Tan Sri Azizan mengangkat kening bertanya.

            "Both?" Tanya Najmi balik.

            Tan Sri menarik senyum. Bahu anaknya ditepuk sayang. Semoga kesilapan semalam tidak akan lagi berulang, begitu harapan Tan Sri untuk anak sulongnya itu. Memang kita merancang, namun Allah jua yang menentukan...walaupun kita tahu semuanya sudah tertulis sejak azali. Terpulanglah kepada individu itu untuk menerima qada dan qadar Allah dengan cara yang bagaimana.
             Jika seseorang itu percaya apa yang berlaku itu atas kehendak Allah, maka dia akan menerimanya  dengan redha. Sudah tentu ada hikmah di sebalik kejadian kerana hanya Allah sahaja yang tahu apa yang DIA turunkan kepada makhlukNYA yang menjadi pilihan.












       

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...