August 28, 2012

Salam Lebaran 1433 Hijrah...

Hi peeps!

Ku pasti kalian semua juga beraya sakan tahun ini kan?

Tahun ini sebagaimana yang telah ku janjikan dengan Emak semasa hayatnya, aku dan adik-beradik yang lain akan beraya bersamanya. Kami akan pulang sehari lebih awal untuk masak-memasak menyediakan juadah untuk pagi Hariraya dan berbuka puasa di hari terakhir Ramadhan bersama-sama.

Walau Emak telah tiada, ku tunaikan juga janji yang telah dilafazkan itu kerana tidak mahu tergolong di dalam kumpulan orang yang munafik kerana tidak menepati janji.

Kami ke Tanah Perkuburan di pagi raya pertama, menziarah pusara Emak dan Ayah....

Pusara arwah Ayah....


Pertama kali cucu turut serta...


Keluarga Jude bertemakan merah, keluarga Lela pula bertemakan kelabu dan bertudung merah jambu. Manakala keluargaku pakai semberono sahaja...suka hati masing-masing cuma masih mengekalkan tema rimau kami.


Kami yg sudah kehilangan Emak dan ayah....*sob sob*


Kami beraya sakan selepas itu....kunjung mengunjung ke rumah rakan dan taulan.


Wajah-wajah kegembiraan...

Tiada yg komplen kepenatan walau kepanasan.....

Bersama cucu kesayangan.....


Di rumah Ayah Long....

"Andak, bila nak datang rumah?" panggilan dari Enal memecah kesunyian di pagi raya kedua semasa aku masih di bilik hotel menyiapkan cucu yang dipaksa bangun awal kerana sesi kunjung mengunjung itu.

"Lepas beraya rumah Jude. Dari sana nanti boleh terus ikut jalan ke Mardi tu...dekat sikit," balasku lagak faham benar dengan liku-liku jalan di daerah Kluang itu....hehehe

"Berapa orang nak datang?" tanya Enal lagi.

Isy! Apahal pulak nak kena tanya berapa orang? Bukankah Hariraya ini tidak menghadkan tetamu yang datang? "Tiga kereta...Andak, Ngah dan Jude," jawabku memberitahu sambil memikir apa yang mahu dijamu oleh si Enal sehingga harus menanya begitu.

"Pukul berapa nak datang tu?"

"Tiga ke ataslah..." 

Memanglah kalau dah sampai ke rumah adikku itu bukan sibuk nak makan sangat, kami akan bercerita, berborak mengimbau kenangan lama semasa kami tinggal di daerah yang sama membesarkan anak-anak tanpa suami di sisi. Meronggeng ke hulu ke hilir dua kereta untuk menghiburkan hati. Kenduri kendara tanpa henti, makan minum hingga ke pagi. Mana anak masing-masing tak besar badannya? 

"Okey," jawab Enal puas hati.

Oleh kerana rombongan Ngah hendak ke Tangkak, maka aku dan keluarga Jude sahaja yang akan singgah ke bandar T6 di mana Enal bermastautin. Menurut Jude dia tahu daerah itu, maka aku hanya membontoti STREAMnya.


Di Yakin 3....

Terima kasih untuk keluarga Zainal Yahya dan isterinya Normadiah kerana sudi menerima kunjungan kami yang menjadikan rumahnya seakan rumah sendiri. Riuh rendah tidak terperi....dah bunyi macam di Pasar Tani..hehehe


Di Indah Jaya 2....

Kami kemudian ke Indah Jaya 2. Sepertimana yang telah dirancangkan....kami berBBQ bagi memeriahkan lagi malam raya. Anak cucu kelihatan sangat gembira kerana dapat bermain bunga api sementara jiran tetangga melepaskan satu persatu bunga api ke angkasa yang memuntahkan percikan api yang berbagai warna.


BBQ ~ farewell sebelum masing2 berangkat pulang.....

                                                                                                                                ~ bersambung ~



July 23, 2012

Indahnya alam...

As-salam to all......

Di bulan Ramadhan ini tidaklah bermakna kita tidak boleh keluar beriadah. Jika tidak dapat dilakukan di waktu awal pagi, kita buat di sebelah petang semasa kerja-kerja memasak telah siap sementara menunggu waktu untuk berbuka puasa.

Ya la tu!

Tetapi, semenjak dua menjak ini...aku seperti sangat menghargai keindahan alam. Suka hendak melihat matahari yang memancar di waktu pagi, melihat rintik hujan yang turun di atas bumbung yang boleh dilihat dari tingkap bilikku itu dan melihat pokok-pokok yang segar selepas disimbahi hujan.

Kekadang aku gelak sendiri melihat kucingku yang tinggal dua ekor itu berlari menyorokkan diri apabila petir  menyambar sabung menyabung. Kesian Atan & Uteh. Uncle Kaka dah mati entah akibat apa...uncle Toby juga sudah lama pergi kerana sakit tuanya. Baru-baru ini si Mok juga mati entah termakan racun barangkali dan Seonu aka Kassim Selamat juga telah selamat pergi kerana di gonggong oleh anjing-anjing liar yang berkeliaran pada waktu malam.

Aku yang terdengar salakan anjing di depan pintu pagar pada jam 2.00 pagi itu tidak berjaya menyelamatkannya, walaupun aku keluar menghambat anjing-anjing liar itu, namun mereka lebih pantas. Makanya si Seonu aka Kasim Selamat itu merupakan seekor kucing yang buta matanya. Masih jelas terbayang bagaimana Seonu longlai dibawa pergi oleh salah seekor anjing yang kelihatan lebih besar dari yang lelainnya. Hisy!


Atan & Uteh....


The late Seonu aka Kassim Selamat....

Ku bawa diri ke Western Park...tasik di depan rumah hari itu untuk melawan kesedihan. Ku lihat keindahan alam yang tidak lagi dapat dilihat oleh mereka-mereka yang telah pergi. Teringat Emak yang lama tinggal denganku di sini dulu tetapi dia lebih suka duduk di dalam rumah sahaja kerana sudah tidak lagi kuat berjalan katanya.



Western Park....


Tetapi Emak sangat suka jika dibawa ke Tesco...entah kenapa. Mungkin di zaman mudanya dulu, tidak ada pasaraya sebegitu. Adik bongsuku Lela juga berkata begitu...Emak akan khayal kalau dibawa ke pasaraya, sehingga terlupa diri jika berbelanja. Semua yang ada di situ perlu baginya...seolah dia hendak membuka kedai runcit di rumah pula. Emak! Emak!


Di Tesco Setia Alam...


< First time in my life, sahur tanpa Emak > 


Lela hantar mesej waktu aku bangun sahur pada Ramadhan pertama. Berjurai airmataku tanpa sedar. Walaupun aku tidak tinggal sebumbung dengan Emak, namun sesekali waktu sahur itu akan ku buat panggilan sengaja mengejut dia bangun, konon.

"Emak dah sahur dah!" sahut Emak dari sebelah sana talian.

Hehehe...aku gelak. "Saja....manalah tahu tersedap tidurnya?" usikku.

Emak gembira dengan anak cucunya yang ramai itu...penuh semeja. "Ala...bebudak ni payah betul kalau dikejut bangun sahur, esok siang macam kain buruk," leter Emak.

Sekarang ini leterannya itu menjadi lagu di telinga kami....terngiang-ngiang sepanjang masa...yang tidak mungkin dapat dilupakan...setiap masa di mana juga kami berada.

Junie Octovian: Bersahurlah kamu sekelian kerana sesungguhnya di dalam sahur itu terdapat 
                        barakah." ( HR Bukhari & Muslim )







LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...