November 27, 2010

Semalam bersama Hana.

     Semalam free...adik tak ada kelas. Aku dapatlah berkepak sikit. Konon nak menyambung cerita yang ketiga ala-ala CSI tu, tapi rupanya ada kerja yang belum beres. Ke Actmar Honda ambil road-tax, kemudian terus ke MBSA Kota Kemuning. Laa....rupanya pejabat dia dah berpindah di depan Mc Donalds. Apa tak cakap? Aku ni pusing la bagai nak rak mencari.
     Akhirnya jumpa juga la... pulak dah! Hari Jumaat dia bukak belah petang pukul 2.45. Ada kucing 2 ekor menunggu depan pintu besar tu macam dia juga ada urusan dengan pihak MBSA. Silapnya aku tak ambil gambar. Lawak la. aku siap cakap dengan pekerja Bangla kat situ, 'Ini kucing pun sudah banyak lama tunggu la.'
     Mat Bangla tu dengan muka kelam memandang ku pelik.
     'Saya ingat dia pun ada bill mau bayar,' aku saja melawak. Tak ada kerja. Mulut tu gatal nak bercakap.
     Rupanya Bangla tu faham juga. Dia ketawa besar menampakkan gigi putihnya yang tersusun rapi.
     Selesai urusan aku call Firdaous. Dia pulak suruh ke opis dia ambil kunci rumah. Aku fikir nak buat apa pergi rumah dia? Baik aku kidnap aje Hana bawak balik rumah aku. Kalau dia nak nanti kena datang rumah. Nak tunggu dia bawak Hana ke rumah aku tu....liat sikit kot? Sebab hujung-hujung minggu tu dia orang dah punya rancangan dan agenda tersendiri. Kalau tidak pun saja nak lepak di rumah bermalas-malas.
     Lepas dapat permission, baru aku ke nursery di mana Hana di tempatkan kalau papa dan mommynya bekerja. Haa...puas hati dapat bersama Hana sepetang itu. Si kecil ni pulak tengah gatal kaki nak belajar berjalan. Habis si Kaka dan Ogy dikejarnya. Tapi aku dan adik la yang pegang dia bertatih satu rumah mengejar kucing-kucing tu. Kalau Toby, memang awal-awal dia dah surrender. Bab dengan orang lebih sikit dalam rumah tu dia dah tak nak masuk. Baik dia lepak dekat luar aje. Tapi kesian si Toby, semalam hari hujan. Dia tak dapat nak melepak di luar, rupanya dia tidur menyorok dalam kuali tempat Angah membakar bekas telur yang masih terlupa untuk dibuang.
     Semasa terdengar bunyi dentuman kuat petir, Toby berlari masuk dari belakang. Ambik engkau! Macam lepas terjun dalam longkang rupa si Toby. Bulu badannya dah bertukar warna, dah macam si Kaka pulak. Kata adik, barangkali si Toby tu jealous dengan Kaka sebab orang semua puji Kaka kerana bulunya yang berkilat dan berbelang harimau. Kalau manusia tu kategori handsome la.
     Lepas Hana balik dijemput oleh papa dan mommynya, aku dan adik mengadu sakit pinggang. Apa tidaknya kami terpaksa membongkok menatih si kecil Hana yang tengah seronok nak berjalan? Babai Hana! Cepat jalan tau? Nanti Tok mommy bawak pergi shopping pulak.

Junie Octovian: Bersyukur kerana masih sempat melihat cucu........

November 26, 2010

Talkshow dengan TVS

     Semalam aku ke Seksyen 22 yang dimaksudkan. Nasib baik la pandai memandu dan pandai mencari tempatnya. Tu la untungnya masa dulu pegi sekolah. Kebetulan kawasan tu memang tempat mainan ku sekarang ini, dekat aje dengan MSU. Elok lepas hantar adik yang kelasnya start pukul 2 petang tu, aku pun bergerak perlahan ke tempat yang dimaksudkan. Trafiknya, kus semangat!
     Sampai situ elok la awal sikit, tapi tengok macam tak ada ramai orang pun? Kata semalam ada Majlis Perjumpaan dengan Penulis-penulis Selangor? Tapi aku redah juga...dah sampai kan? Tanya pada pak guard tu nak jumpa dengan the so-called Puan Siti yang menelefon aku semalam. Pergh! Layanan baik punyer! Aku di 'escort' ke Studio rakaman. Eh? Mana yang lelain ni? Tak kan aku sorang aje?
     "Saya ni awal sangat ke?" tanyaku.
     "Ni Puan Junaidah kan?' budak yang escort tu tanya balik.
     "Ye saya," jawab ku sopan.
     "Kami memang jemput puan sorang hari ni."
     Mak ai! Apa hal? Aku pelik gila...dah la tempat tu memang tak pernah diredah. Setting dalam cantik, lampu sana sini, TV kiri kanan. Ada apa ni? Aku memutar ingatan. Semalam dia call cakap apa ek? Laa...aku memang tak dapat mengagak langsung. Ada la dia cakap pasal rakaman tu tapi tak la pulak tahu rakaman antara TV Selangor dengan hanya aku seorang? Cakap pasal TV Selangor, wujud rupanya.
     "Puan sila isi borang ni," kata co-producer rancangan tu yang mengenalkan diri sebagai Khairuddin. Penuh ramah dan sopan.
     Selesai aje.........
     "Puan sila ambil tempat di sini," dia mengarahkan aku duduk di bahagian tengah sofa.
     Puan Siti pula muncul. Comel dan manis orangnya dan muda lagi. "Maaf saya lambat....solat dulu tadi."
     Aku hanya melemparkan senyuman. Nak cakap apa?
     "Okey puan, mintak maaf...kita touch-up sikit ye?"
     Aku menurut. Kemudian dia memasangkan microphone yang diklipkan ke baju.
     "Kalau rasa gabra masa siaran berlangsung nanti, jangan pandang camera...tengok aje muka Encik Zubli tu," pesan Puan Siti.
     Aku senyum lagi.
     "Semua dah ready? Camera One! Camera Two!"
     Lampu dah terang benderang macam dekat Stadium Malawati. Nasib baik aku tak pandai gabra. Frankly speaking. Sebab dah berumur agaknya....ayat Kursi tu dah jadi lagu harian. Memang aku amalkan sejak aku mula mengetahui tentangnya. Seperti dalam hadis, antara hikmat ayat Kursi jika diamalkan: Barangsiapa membaca ayat al-Kursi sebelum keluar dari rumahnya, maka Allah SWT mengutuskan 70,000 malaikat kepadanya: mereka semua memohon keampunan dan mendoakan baginya.
     Bukan sikit-sikit tu! Bayangkan kalau kita nampak 70,000 malaikat yang mengiring kita itu? Grand gila la!
Lagipun benda free kan? Bukan susah sangat pun. Alhamdulillah....aku dah lama amalkan dan aku dah dapat hikmat-hikmat ayat itu selain dari ini. Cuba la untuk mengetahui kebenarannya....tapi untuk sehari dua ni mungkin tak nampak lagi kot? Tak tau juga la....mungkin lain orang lain cara mereka memperolehinya. Wallahualam.
     Segmen Ilmuwan dalam Apa Khabar Selangor berakhir dengan baik sekali. Kini silaturahimku semakin meluas. Wargakerja TVS ramah dan mesra semuanya. Aku siap dipelawa untuk ke sana bila-bila masa sahaja. Segmen tersebut keluar menerusi internet jam 5.30 petang itu dan akan disalurkan ke Youtube untuk tuntunan, insyaAllah.

Junie Octovian: I Love YOU ALLAH. Sesungguhnya hambaMU ini merasa sangat bangga dengan segala pemberian dari MU di usia sebegini. Semuga matiku akan meninggalkan nama untuk dikenang oleh anak dan cucu, Amin!

November 24, 2010

Today's journal.

     Sejak adik dah masuk belajar balik ni, bermulalah aktiviti harianku dengan kerja-kerja menjadi supir menghantar dan menjemput dia ke MSU. Boleh aje nak suruh dia drive sendiri, dah ada lesen pun. Tapi belum berapa nak percaya dengan keadaan trafik di Bukit Jelutong tu di waktu rush hour. Orang yang dah memandu bertahun-tahun pun asyik berempuh aje, inikan pulak dia yang baru nak belajar pegang stereng tu.
     Lepas hantar adik tadi aku terus ke UNISEL pulak kerana kakak kena pulangkan jubah konvonya. Oleh kerana kerja tu dibuat dengan penuh tulus dan ikhlas dari hati memandangkan mereka masih menjadi tanggunjawab ku lagi, maka segala penat itu tidak timbul langsung. Sempat juga ke Actmar Honda untuk renew roadtax tadi. Nasib baik ingat, kalau tidak tak ke kelas la adik nampak gayanya Jumaat ini nanti.
     Berita baik muncul sebelah petang bila aku mendapat panggilan untuk rakaman talkshow esok jam 3.00 petang di seksyen 22. Katanya ada perjumpaan dengan Penulis-penulis Selangor. Macam seronok pulak, baru satu buku mereka dah recognised aku dengan nama Junie Octovian tu. Mak ai! Kalau tau, dari jaman sekolah dulu hasil tulisan ku dah ku hantar untuk dijadikan novel.
     Uteh dan Liesa di Simpang Renggam sana sms beritahu dia masih belum dapat lagi novel tu. Jauh agaknya kan? Lambat sikit kot? Harap-harap mereka dapat dalam masa cuti sekolah ni...kalau dah naik sekolah nanti dah sibuk nak baca buku sekolah pulak. Yang untungnya Ngah, kerana kebetulan waktu dia datang beraya masa Hariraya Qurban baru-baru ni, buku tu aku baru dapat. Maka dapatlah diberikan senaskah untuknya untuk dibawa balik ke Kundasang nanti. Terima kasih pada anakanda Nadia dan Natasha yang menyokong hasil tulisan ku itu. You'll get my signature, don't worry.
     Cewah! Gaya artis aje. Siap orang nak mintak tandatangan pada buku tu. Alhamdulillah! Aku amat bersyukur atas segala pemberian darinya. Amin! Jadi la kan? Bukan artis sahaja orang mintak tandatangan, jadi penulis pun macam artis juga. Thanks to all yang dah membaca hasil tulisan ku itu.

Junie Octovian: Semoga masih ada lagi hari esok untukku, insyaAllah!

November 23, 2010

Di persimpangan Dilema

"Pa, ampunkan Zana pa, " kata Fauzana sambil menggenggam erat tangan papanya, Datuk Farid. Dia menangisi apa yang berlaku. Dia menyesali perbuatannya petang tadi. Dia tidak bermaksud begitu tetapi kehendak Allah tiada siapa yang tahu. Dia tidak menyangka papanya akan diserang sakit jantung. Fauzana cuma ingin mencuri perhatian kerana kehausan kasih sayang.

Fara Fauzana Datuk Farid, anak hartawan yang hidup dalam kemewahan. Dia diasuh dan dijaga oleh Mak Su Timah, merangkap pembantu rumah agamnya. Datuk Farid serta isterinya, Datin Suraya sering ke luar negara kerana urusan perniagaan. Mak Su Timahlah yang diarah untuk menjaga segala kebajikan Fara Fauzana.

Semenjak usianya meningkat dewasa, Fauzana terasa dirinya tidak dipedulikan oleh kedua-dua orang tuanya. Dia teringin mencium tangan mama dan papanya sewaktu dihantar ke sekolah. Fauzana cemburu dengan rakan sekelasnya Nur Linda yang dihantar ke sekolah oleh bapanya, walaupun dengan hanya menunggang motosikal. Dia juga cemburu dengan Haryati yang sering ke sekolah dengan membawa bekal yang disediakan oleh ibunya.

Manakala, Fauzana pula ke sekolah dihantar oleh Pak Musa, suami Mak Su Timah yang menjadi pemandu Datuk Farid. Pak Musa dan Mak Su Timah mempunyai seorang anak lelaki yang bersekolah sama dengan Fauzana, cuma Mahathir berada di tingkatan lima, manakala Fauzana pula berada di tingkatan tiga.

Dari kecil mereka membesar dan bermain bersama-sama tetapi apabila meningkat dewasa, Datuk Farid melarang mereka daripada bergaul rapat. Kini, Fauzana membesar sendirian. Abangnya, Fazley, sedang melanjutkan pelajaran di luar negara. Fazley memang bijak dalam pelajaran. Dia menjadi kebanggaan mamanya, Datin Suraya. Apatah lagi dia merupakan anak lelaki tunggal mereka yang bakal mewarisi harta dan mengambil alih segala urusan perniagaan papanya. Seminggu sekali Datin Suraya akan membuat panggilan jauh, menelefon anaknya bertanya khabar. Perhatian lebih yang diberikan kepada Fazley membuatkan Fauzana tambah cemburu.

"Zana tak nak makan dulu? Nanti Mak Su Timah sediakan makanan,' beritahu Mak Su Timah sebaik melihat Fauzana melangkah masuk dari pintu dapur.

"Tak pe la Mak Su Timah, kalau Zana lapar nanti, Zana ambik sendiri," jawab Fauzana penuh sopan bernada lesu.

"Kenapa Zana tu bang? Sejak Datuk dan Datin keluar negara kali ni, berubah benar perangainya," mengadu Mak Su Timah pada Pak Musa, suaminya yang baru mengunci Mercedes 280 milik Datuk Farid.

"Manalah aku tau? Anak dara....datang bulan agaknya," sambut Pak Musa sedikit melawak.

"Eh orang tua ni?  Orang tanya betul-betul !" suara Mak Su Timah meninggi sambil menampar bahu suaminya. Bukan main lagi guraunya ye?

Seketika kemudian, skuter Mahathir sampai. Pak Musa mengarahkan isterinya menyiapkan makan tengahari mereka.

Sementara Fauzana pula, menghabiskan waktu tengahrinya itu di bilik merasa bosan. Dia terasa kesunyian dan kesepian. Sesekali dia bangun dari baringnya dan menjenguk keluar. Dari jendela biliknya jelas kelihatan laman belakang rumah, tempat abangnya, Fazley sering bermain bola keranjang bersama Mahathir, semasa dia masih belum menyambung pelajarannya keluar negara. Kadang-kadang tu Pak Musa pun turut sama. Tak padan orang tua tu...boleh tahan juga tenaganya. Fauzana tesenyum sendiri mengingatkan peristiwa itu.

Kini yang tinggal hanya kenangan. Hatinya merasa geram dan marah. Apa yang perlu dia lakukan untuk menarik perhatian mama dan papanya? Fauzana mundar mandir di biliknya mencari idea.

"Baik baik dik!" kedengaran panggilan manja Mak Su Timah untuk anak tunggalnya. Terdengar pula skuter Mahathir yang menderum pergi.

Fauzana tahu, di waktu petang begini, Mahathir akan ke kelas tambahan Fauzana, walaupun akan menduduki peperiksaan juga, telah dikecualikan kerana awal-awal lagi papanya telah mendaftarkan anak perempuannya itu ke kelas tiusyen. Ingatannya tiba-tiba beralih pada anak Pak Musa. Walaupun lelaki itu hanya anak seorang 'driver', Mahathir kemas berpakaian. Agak kacak juga orangnya. Dia mempunyai senyuman yang manis.

Nama Mahathir menjadi sebutan ramai pelajar perempuan di sekolahnya. Pernah juga dia dan Mahathir berbalas senyuman, namun larangan daripada Datuk Farid menyebabkan masing-masing hanya memendam perasaan.

Mahathir....Mahathir....Yes! Aku dah dapat. Fauzana memetik jari kesukaan. Mahathir akan menjayakan rncangannya, bisik hati Fauzana. Inilah satu-satunya cara untuk menarik perhatian mama dan papanya. Larangan papanya untuk tidak rapat dengan Mahathir akan menjayakan misinya.

"Apa hal dengan Fauzana tu?" tanya Datuk Farid kepada isterinya.

Semenjak dia dan isterinya pulang dari luar negeri kali ini, dia sering terpandang Fauzana di bawah pergola membuat kerja-kerja sekolah bersama Mahathir. Datuk Farid memang tidak hairan kalau si Mahathir yang mengulangkaji di situ, tapi mengapa anak daranya sama berada di situ juga? Macam tak ada meja belajar di biliknya untuk digunakan.

"Kenapa pulak?" tanya Datin Suraya hairan.

"Mesra semacam aje saya tengok dia dengan si Mahathir tu semenjak kita balik dari London?"

"Alah...biarlah bang, budak-budak. Lagipun Mahathir tu bukan orang lain, anak Pak Musa. Kan mereka tu membesar bersama? Mahathir tu saya lihat baik budaknya, bersopan santun, berbudi bahasa dan hormat orang tua," beritahu Datin Suraya panjang lebar.

"Saya tak suka. Beritahu Zana yang saya nak dia jauhkan dirinya dari anak lelaki Pak Musa tu.....kalau tidak saya akan ambil tindakan," keras arahan dari Datuk Farid yang bercakap tanpa mengangkat wajahnya dari suratkhabar di tangan.

Datin Suraya memang tidak rajin mahu berdebat dengan suaminya yang sudah dikenali dengan sifatnya yang tegas. Petang itu, Datin Suraya  mengajak Fauzana ke taman di halaman rumah mereka. Sambil minum-minum petang, Datin Suraya memberitahu apa yang disuarakan oleh papanya tengahari tadi.

Fauzana dengan perasaan marah bangun dan terus menjawab, "Mama dengan papa ni apa yang Zana buat semuanya salah! Itu tak boleh, ini tak boleh. Mama tau tak? Zana dah bosan duduk dalam rumah ni sorang-sorang. Mama dan papa  tak pernah ada masa untuk Zana. Pada siapa Zana nak mengadu?  Selama ini hanya keluarga Pak Musa aje yang ada dengan Zana yang boleh Zana jadikan tempat menumpang kasih, mencurah perasaan....."

Belum sempat Fauzana habis meluahkan kata-kata, Datuk Farid menjerkah dari belakang. "Dari dulu papa dah larang Zana jangan rapat dengan Mahatihir tu. Zana kena tahu taraf mereka dengan kita tidak sama,"

"Balik-balik taraf, balik-balik taraf. Itu sahaja yang papa tahu. Zana tak peduli....Zana dah buat keputusan. Whether you like it or not, Zana tetap sukakan Mahathir," bentak Fauzana. Lebih kepada mengugut mencuri perhatian.

Terbeliak mata Datuk Farid melihat tingkah anak gadisnya. Sakitnya hati mendengar jawapan yang diberikan. Tidak tersangka nak gadisnya kini sudah pandai menjawab dan melawan perintahnya. Selama lima belas tahun tidak pernah dia meninggikan suaranya terhadap anak gadisnya itu. Namun, petang itu dia hilang sabar, kumat kamit mulut gadis itu menaikkan darahnya. Ringan sahaja tangannya mahu diayun ke mulut celopar anak gadisnya itu. Belum sempat tangannya menyambar pipi Fauzana, tiba-tiba Datuk Farid terus kaku dan sebelah tangan lagi menekan dada kiri.

"Abang!," jerit Datin Suraya. "Pak Musa tolong! Mak Su Timah! Tolong saya!" semua nama yang terlintas diingatan ketika itu dipanggil untuk membantu Datuk Farid yang hampir rebah ke tanah. "Tolong panggilkan ambulans," arah Datin Suraya apabila nampak kelibat Mak Su Timah yang berlari keluar dari pintu dapur mendapatkan dia di laman.

Fauzana yang tadinya sangat petah menjawab, berdiri terkedu. Tidak disangka rancangan asalnya hanya untuk menarik perhatian mama dan papanya itu berakhir dengan kecelakaan. Dia terus terpaku di situ sehingga ambulans membawa pergi papanya.

Mak Su Timah memeluk Fauzana.

Pak Musa menemankan Datin Suraya mengikut ambulans ke hospital.

"Sabar Zana," pujuk Mak Su Timah. "...doakan papa Zana selamat," sambungnya lagi.

Usai solat maghrib itu, Fauzana mengangkat dua tangan berdoa, memohon ampun ke hadrat Ilahi akan dosanya kepada orang tua yang selama ini telah membesarkannya. Walaupun tanpa cukup perhatian, namun siapa boleh mengagak akan kasih sayang mereka sebenarnya?

"Ya Allah...KAU selamatkanlah papaku...aku tak berniat untuk menyakitkan hatinya," kata Fauzana dalam tangisan.

Malam itu Fauzana minta agar Pak Musa mambawanya ke hospital untuk melihat sendiri akan keadaan papanya. Dengan langkah yang longlai, Fauzana menapak ke bilik di mana Datuk Farid ditempatkan. Tadi, semasa dalam perjalanan ke hospital, Pak Musa telah memberitahunya bahawa Datuk Farid dalam keadaan koma.

"Zana cakap la apa aje...dia boleh mendengar, cuma dia tidak dapat bercakap," terang Pak Musa.

Fauzana menarik kerusi merapati katil papanya. Dia merenung wajah papanya. Dia menyesali diri kerana mungkin kali ini dia akan terus kehilangan kasih yang dicari. Dia benar-benar di persimpangan dilema. Surah Yaasin dibuka dan dia terus membaca mencari keadilan yang maha esa.

November 5, 2010

My first book.



   At the age of 51, baru aku berjaya menghasilkan sebuah novel. Bangga tak terkira sebab tak tersangka dapat berbuat demikian. Suatu ketika dulu tulisanku pernah juga terbit dalam majalah sekolah, masa tu pun dah seronok gila. Ini kan pula bila dapat menghasilkan sebuah novel yang nak menyiapkan makan masa hampir dua tahun. Dari awal tahun 2008 sejak tinggal di Setia Alam, sempat la sampai anak sulong aku berkahwin, lepas tu menguruskan anak kedua pulak.

   Tapi aku rasa berpuas hati la dengan segala yang aku usahakan itu. Memang aku suka melakukan kerja-kerja terus dari rumah sahaja. In between house chores la kata orang putih pun. Sambil menyelam minum air, kata bidalan melayu pulak. Sambil-sambil mengurus rumahtangga tu sempat juga melakukan kerja-kerja yang kita suka.

   Masa zaman sibuk-sibuk mengurus anak sekolah, asyik baca novel orang aje. Bila aku mula cuba untuk menghasilkan sendiri, baru aku rasa jerihnya untuk menyiapkan sebuah novel. Bila idea tu datang memang rasa tak nak berhenti. Tapi bila ketika blank...diperah macam mana pun dia tak datang. Cubaan yang pertama ini pun penat juga nak memikirkan untuk diubah dari cerita asal yang berakhir dengan kematian kepada happy ending.

   Nasib baik ramai yang memberi galakan untuk meneruskan usaha.
Terima kasih diucapkan pada Encik Ali dari Buku Prima yang sudi menerima cerita ku itu. Walau dia juga yang mencadangkan agar dibuat perubahan menjadikan cerita itu ala-ala Hindustan. Kena banyak konflik dan berakhir dengan happy ending, katanya.

   Sekarang ini aku cuma mahu menanti komentar dari para pembaca peminat novel. Sejauh ini yang aku tahu, dari pemerhatian ku yang rajin ke MPH dan popular mencari novel keluaran terbaru, hampir sembilan puluh peratus bilangan remaja yang meminati novel. Barangkali sebab itu la Encik Ali menyarankan aku membuat perubahan kepada hasil karya pertama tadi.

   Mereka akan lebih berminat kepada buku-buku yang mempunyai kulit yang menarik. Jalan cerita tentulah berkisar tentang cinta dan nama-nama yang digunakan dalam cerita tersebut juga perlulah yang sedap didengar dan bahasa yang mudah difahami.

   Dari pemantauan tersebut, maka akan ku hidangkan beberapa lagi cerita yang masih dalam proses untuk mencari jalan penutup. Semoga, pembaca sekalian dapat memberikan komen yang bernas untuk Diintai Rindu. Insya Allah...akan ada lagi yang bakal menyusul. Jika diizinkan Allah, Amin!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...