November 23, 2010

Di persimpangan Dilema

"Pa, ampunkan Zana pa, " kata Fauzana sambil menggenggam erat tangan papanya, Datuk Farid. Dia menangisi apa yang berlaku. Dia menyesali perbuatannya petang tadi. Dia tidak bermaksud begitu tetapi kehendak Allah tiada siapa yang tahu. Dia tidak menyangka papanya akan diserang sakit jantung. Fauzana cuma ingin mencuri perhatian kerana kehausan kasih sayang.

Fara Fauzana Datuk Farid, anak hartawan yang hidup dalam kemewahan. Dia diasuh dan dijaga oleh Mak Su Timah, merangkap pembantu rumah agamnya. Datuk Farid serta isterinya, Datin Suraya sering ke luar negara kerana urusan perniagaan. Mak Su Timahlah yang diarah untuk menjaga segala kebajikan Fara Fauzana.

Semenjak usianya meningkat dewasa, Fauzana terasa dirinya tidak dipedulikan oleh kedua-dua orang tuanya. Dia teringin mencium tangan mama dan papanya sewaktu dihantar ke sekolah. Fauzana cemburu dengan rakan sekelasnya Nur Linda yang dihantar ke sekolah oleh bapanya, walaupun dengan hanya menunggang motosikal. Dia juga cemburu dengan Haryati yang sering ke sekolah dengan membawa bekal yang disediakan oleh ibunya.

Manakala, Fauzana pula ke sekolah dihantar oleh Pak Musa, suami Mak Su Timah yang menjadi pemandu Datuk Farid. Pak Musa dan Mak Su Timah mempunyai seorang anak lelaki yang bersekolah sama dengan Fauzana, cuma Mahathir berada di tingkatan lima, manakala Fauzana pula berada di tingkatan tiga.

Dari kecil mereka membesar dan bermain bersama-sama tetapi apabila meningkat dewasa, Datuk Farid melarang mereka daripada bergaul rapat. Kini, Fauzana membesar sendirian. Abangnya, Fazley, sedang melanjutkan pelajaran di luar negara. Fazley memang bijak dalam pelajaran. Dia menjadi kebanggaan mamanya, Datin Suraya. Apatah lagi dia merupakan anak lelaki tunggal mereka yang bakal mewarisi harta dan mengambil alih segala urusan perniagaan papanya. Seminggu sekali Datin Suraya akan membuat panggilan jauh, menelefon anaknya bertanya khabar. Perhatian lebih yang diberikan kepada Fazley membuatkan Fauzana tambah cemburu.

"Zana tak nak makan dulu? Nanti Mak Su Timah sediakan makanan,' beritahu Mak Su Timah sebaik melihat Fauzana melangkah masuk dari pintu dapur.

"Tak pe la Mak Su Timah, kalau Zana lapar nanti, Zana ambik sendiri," jawab Fauzana penuh sopan bernada lesu.

"Kenapa Zana tu bang? Sejak Datuk dan Datin keluar negara kali ni, berubah benar perangainya," mengadu Mak Su Timah pada Pak Musa, suaminya yang baru mengunci Mercedes 280 milik Datuk Farid.

"Manalah aku tau? Anak dara....datang bulan agaknya," sambut Pak Musa sedikit melawak.

"Eh orang tua ni?  Orang tanya betul-betul !" suara Mak Su Timah meninggi sambil menampar bahu suaminya. Bukan main lagi guraunya ye?

Seketika kemudian, skuter Mahathir sampai. Pak Musa mengarahkan isterinya menyiapkan makan tengahari mereka.

Sementara Fauzana pula, menghabiskan waktu tengahrinya itu di bilik merasa bosan. Dia terasa kesunyian dan kesepian. Sesekali dia bangun dari baringnya dan menjenguk keluar. Dari jendela biliknya jelas kelihatan laman belakang rumah, tempat abangnya, Fazley sering bermain bola keranjang bersama Mahathir, semasa dia masih belum menyambung pelajarannya keluar negara. Kadang-kadang tu Pak Musa pun turut sama. Tak padan orang tua tu...boleh tahan juga tenaganya. Fauzana tesenyum sendiri mengingatkan peristiwa itu.

Kini yang tinggal hanya kenangan. Hatinya merasa geram dan marah. Apa yang perlu dia lakukan untuk menarik perhatian mama dan papanya? Fauzana mundar mandir di biliknya mencari idea.

"Baik baik dik!" kedengaran panggilan manja Mak Su Timah untuk anak tunggalnya. Terdengar pula skuter Mahathir yang menderum pergi.

Fauzana tahu, di waktu petang begini, Mahathir akan ke kelas tambahan Fauzana, walaupun akan menduduki peperiksaan juga, telah dikecualikan kerana awal-awal lagi papanya telah mendaftarkan anak perempuannya itu ke kelas tiusyen. Ingatannya tiba-tiba beralih pada anak Pak Musa. Walaupun lelaki itu hanya anak seorang 'driver', Mahathir kemas berpakaian. Agak kacak juga orangnya. Dia mempunyai senyuman yang manis.

Nama Mahathir menjadi sebutan ramai pelajar perempuan di sekolahnya. Pernah juga dia dan Mahathir berbalas senyuman, namun larangan daripada Datuk Farid menyebabkan masing-masing hanya memendam perasaan.

Mahathir....Mahathir....Yes! Aku dah dapat. Fauzana memetik jari kesukaan. Mahathir akan menjayakan rncangannya, bisik hati Fauzana. Inilah satu-satunya cara untuk menarik perhatian mama dan papanya. Larangan papanya untuk tidak rapat dengan Mahathir akan menjayakan misinya.

"Apa hal dengan Fauzana tu?" tanya Datuk Farid kepada isterinya.

Semenjak dia dan isterinya pulang dari luar negeri kali ini, dia sering terpandang Fauzana di bawah pergola membuat kerja-kerja sekolah bersama Mahathir. Datuk Farid memang tidak hairan kalau si Mahathir yang mengulangkaji di situ, tapi mengapa anak daranya sama berada di situ juga? Macam tak ada meja belajar di biliknya untuk digunakan.

"Kenapa pulak?" tanya Datin Suraya hairan.

"Mesra semacam aje saya tengok dia dengan si Mahathir tu semenjak kita balik dari London?"

"Alah...biarlah bang, budak-budak. Lagipun Mahathir tu bukan orang lain, anak Pak Musa. Kan mereka tu membesar bersama? Mahathir tu saya lihat baik budaknya, bersopan santun, berbudi bahasa dan hormat orang tua," beritahu Datin Suraya panjang lebar.

"Saya tak suka. Beritahu Zana yang saya nak dia jauhkan dirinya dari anak lelaki Pak Musa tu.....kalau tidak saya akan ambil tindakan," keras arahan dari Datuk Farid yang bercakap tanpa mengangkat wajahnya dari suratkhabar di tangan.

Datin Suraya memang tidak rajin mahu berdebat dengan suaminya yang sudah dikenali dengan sifatnya yang tegas. Petang itu, Datin Suraya  mengajak Fauzana ke taman di halaman rumah mereka. Sambil minum-minum petang, Datin Suraya memberitahu apa yang disuarakan oleh papanya tengahari tadi.

Fauzana dengan perasaan marah bangun dan terus menjawab, "Mama dengan papa ni apa yang Zana buat semuanya salah! Itu tak boleh, ini tak boleh. Mama tau tak? Zana dah bosan duduk dalam rumah ni sorang-sorang. Mama dan papa  tak pernah ada masa untuk Zana. Pada siapa Zana nak mengadu?  Selama ini hanya keluarga Pak Musa aje yang ada dengan Zana yang boleh Zana jadikan tempat menumpang kasih, mencurah perasaan....."

Belum sempat Fauzana habis meluahkan kata-kata, Datuk Farid menjerkah dari belakang. "Dari dulu papa dah larang Zana jangan rapat dengan Mahatihir tu. Zana kena tahu taraf mereka dengan kita tidak sama,"

"Balik-balik taraf, balik-balik taraf. Itu sahaja yang papa tahu. Zana tak peduli....Zana dah buat keputusan. Whether you like it or not, Zana tetap sukakan Mahathir," bentak Fauzana. Lebih kepada mengugut mencuri perhatian.

Terbeliak mata Datuk Farid melihat tingkah anak gadisnya. Sakitnya hati mendengar jawapan yang diberikan. Tidak tersangka nak gadisnya kini sudah pandai menjawab dan melawan perintahnya. Selama lima belas tahun tidak pernah dia meninggikan suaranya terhadap anak gadisnya itu. Namun, petang itu dia hilang sabar, kumat kamit mulut gadis itu menaikkan darahnya. Ringan sahaja tangannya mahu diayun ke mulut celopar anak gadisnya itu. Belum sempat tangannya menyambar pipi Fauzana, tiba-tiba Datuk Farid terus kaku dan sebelah tangan lagi menekan dada kiri.

"Abang!," jerit Datin Suraya. "Pak Musa tolong! Mak Su Timah! Tolong saya!" semua nama yang terlintas diingatan ketika itu dipanggil untuk membantu Datuk Farid yang hampir rebah ke tanah. "Tolong panggilkan ambulans," arah Datin Suraya apabila nampak kelibat Mak Su Timah yang berlari keluar dari pintu dapur mendapatkan dia di laman.

Fauzana yang tadinya sangat petah menjawab, berdiri terkedu. Tidak disangka rancangan asalnya hanya untuk menarik perhatian mama dan papanya itu berakhir dengan kecelakaan. Dia terus terpaku di situ sehingga ambulans membawa pergi papanya.

Mak Su Timah memeluk Fauzana.

Pak Musa menemankan Datin Suraya mengikut ambulans ke hospital.

"Sabar Zana," pujuk Mak Su Timah. "...doakan papa Zana selamat," sambungnya lagi.

Usai solat maghrib itu, Fauzana mengangkat dua tangan berdoa, memohon ampun ke hadrat Ilahi akan dosanya kepada orang tua yang selama ini telah membesarkannya. Walaupun tanpa cukup perhatian, namun siapa boleh mengagak akan kasih sayang mereka sebenarnya?

"Ya Allah...KAU selamatkanlah papaku...aku tak berniat untuk menyakitkan hatinya," kata Fauzana dalam tangisan.

Malam itu Fauzana minta agar Pak Musa mambawanya ke hospital untuk melihat sendiri akan keadaan papanya. Dengan langkah yang longlai, Fauzana menapak ke bilik di mana Datuk Farid ditempatkan. Tadi, semasa dalam perjalanan ke hospital, Pak Musa telah memberitahunya bahawa Datuk Farid dalam keadaan koma.

"Zana cakap la apa aje...dia boleh mendengar, cuma dia tidak dapat bercakap," terang Pak Musa.

Fauzana menarik kerusi merapati katil papanya. Dia merenung wajah papanya. Dia menyesali diri kerana mungkin kali ini dia akan terus kehilangan kasih yang dicari. Dia benar-benar di persimpangan dilema. Surah Yaasin dibuka dan dia terus membaca mencari keadilan yang maha esa.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...