February 29, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 6

~ sambungan ~


"ADIK!" Najmi memanggil anaknya. Kena guna nama panggilan...sekarang di rumahnya sudah ada dua orang yang bernama Najwa.

            "Dia dengan mummynya di laman belakang, tuan," beritahu Cik Tipah dari dapur.

            "Dah sihat ke?" Suara Najmi sudah di ruang dapur.

            Cik Tipah yang sedang menunggu mee goreng yang dipanaskan di dalam ketuhar gelombang mikro itu  mengurut dada, terkejut.

            Najmi menyelak sedikit langsir dapur mencari anaknya yang dikatakan berada di laman. Kelihatan dia bersama Nur Najwa sedang menyanyi gembira sambil menyiram pokok. Tak nampak rupa orang sakit pun? Alhamdulillah...hati mengucap syukur. Kini dia tahu anaknya sedang merindukan kasih seorang ibu. Najmi ke pintu belakang, menyarung selipar untuk mendapatkan anaknya.

            "Adik dah okey?"

         
           Si kecil berpaling dan mengangguk-anggukkan kepala apabila terdengar suara yang bertanya. Dia kemudian berlari memeluk daddynya.

            "Kenapa hari ini tak datang cari daddy?"

            "Mummy cakap, jangan kacau daddy. Daddy nak rehat," katanya sepatah-sepatah siap dengan lenggok kepala dan tangan.

            "Really?" Ujar Najmi sambil mata mengerling mak cik yang sedang menyiram bunga yang langsung tidak berpaling memandangnya. "Adik dah breakfast?"

            Anaknya mengangguk lagi.

            "Makan apa? Mee goreng?" Najmi bertanya dengan sedikit menekan ayat 'mee goreng' untuk mencuri perhatian.

            Anaknya menggeleng. "Sausage with scrambled eggs."

            "Oo...how special," tegur Najmi.

            "You want some daddy?"

            "No, thank you. I had mee goreng specially fried for me," perlinya.

            Nur Najwa yang mendengar perbualan anak bapak itu dah rasa nak siram aje pak cik sorang ni...banyak cerita betul. Sekarang ni dah pandai main perli-perli pulak dia. Pergilah makan di sana tu diam-diam...sama sibuk dekat sini apa pasal? Hati Najwa berperang sendiri.

            "Let's go inside," ajak Najmi.

            "Adik tunggu mummy."

         

Sentuhan Kasih ~ Bab 6

            SEMASA Najmi turun bersarapan pagi itu, dia terdengar suara perempuan yang sedang bergelak ketawa dari arah dapur. Sekejap kemudian terdengar suara kekekan anaknya. Najmi yang mendengar juga tumpang sekaki. Entah apa yang lawak sangat agaknya. Ini mesti kerja si Nur Najwa. Dulu masa Cik Tipah buat kerja sendirian, tidak pula terdengar dia mengekek ketawa?

            Isy! Tak kanlah dia hendak ketawa sorang-sorang? Kang dikata orang sewel pulak.

            Najmi mencapai akhbar dari atas meja. Kalau hujung minggu begitu akhbarnya yang berbagai-bagai. Mujur ajelah Nan Yang Siang Pau dan Tamil Nesan tu tak pandai nak dibaca. Najmi menarik senaskhah dan terus melangkah ke meja makan. Penutup teko dibuka untuk memastikan air apa yang dibancuh oleh Cik Tipah pagi itu. Milo lagi? Cik Tipah ni ingat aku budak kecik agaknya, pagi-pagi minum milo. Kalau masih tengah panas tu sedaplah juga.

            Najmi menarik kerusi dan melabuhkan duduk. "Cik Tipah!" panggilnya.

            Gelak ketawa di dapur tadi serta merta terhenti. Nur Najwa melekapkan tangan menutup mulut. Rasa hendak tergelak lagi itu masih lagi bersisa. Bergegar-gegar badannya menahan geli di hati.

            Cik Tipah memuncungkan mulut dan meletakkan jari telunjuk ke bibir. "Shhh!"

            Nur Najwa angguk faham.

            Cik Tipah membetulkan kain sarungnya dan melangkah ke ruang makan. "Ya tuan?"

            "Apa yang lawak sangat tu?"

         
 "Tu! Puan tu bukak cerita saya tak tahan mendengar." Kembang kuncup hidung Cik Tipah menahan rasa geli hati yang mahu terburai bila diingat kembali.

            Najmi yang memandang pun rasa hendak tergelak sama, namun dia cuba maintain. "Cerita apa tu?"

            "Alaaa...puan tak pernah cerita dengan tuan ke? Hah! Itulah tuan ni serius sangat. Untung tuan dapat isteri yang pandai melawak, seronok sikit saya hendak bekerja," adu Cik Tipah.

            Niat asal nak suruh Cik Tipah buatkan kopi tadi terbantut sekejap. Najmi masih ingin tahu cerita apa yang mereka bualkan tadi sampai anaknya pun sama tergelak. "Saya tanya...cerita pasal apa?"

            "Oo..." Cik Tipah menggaru kepala. "...pasal kucing dia. Kalau kencing dan berak merata, dia sapu punggung kucing tu dengan Minyak Cap Kapak..." Cik Tipah sudah tidak tertahan...pecah ketawanya mengingatkan aksi Najwa mengajuk cara kucingnya yang didenda itu.

            Najmi yang tekun mendengar tadi sama tersenyum lebar...dapat membayangkan gaya yang cuba diceritakan oleh Cik Tipah.

            "Penat pagi ni saya ketawa tuan," kata Cik Tipah sambil mengelap matanya dengan hujung baju. "Oh! Tuan nak apa tadi panggil saya?"

            "Buatkan saya kopi."

            "Nescafe? Kopi O? Yang mana satu?"

            "Kopi O ajelah...saya tak nak yang bersusu pagi-pagi ni."

            "Baik tuan," jawab Cik Tipah. Dia terus berdiri di situ menunggu arahan.

            Najmi merenungnya sambil mengangkat kening bertanya.

            "Nak apa-apa lagi?" Cik Tipah bertanya minta kepastian. Manalah tau kot dah lama-lama duduk US ni nak makan scramble egg ke...telur setengah masak ke?

            "Cik Tipah buat sarapan apa pagi ni?"

            "Pagi ni Puan Wawa goreng mee. Dia cakap petang semalam dia teringat tuan ada mintak digorengkan mee. Best!" Cik Tipah menegakkan ibu jari tangannya.

            Bila masa pulak aku mintak digorengkan mee? Najmi berkerut dahi mengingat. Oo...petang semalam masa dia kena sound trouble tu. "Bolehlah...bawak ke sini," arah Najmi.

            Cik Tipah cepat melangkah ke dapur.

            Najmi yang duduk menunggu itu menyelak akhbar. Tiba-tiba teringatkan anaknya tidak langsung datang mencarinya pagi ini. Kenapa? Dah lupa daddy dia?

February 28, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 5

~ sambungan ~


MAK ZAH datang dengan kopi dan goreng pisang. Dia meletakkan dulang di atas meja. Kopi kemudiannya dituang ke dalam cawan satu untuk Najmi dan satu untuk suaminya.

           "Jemputlah encik...orang kampung ni biasalah...minum petang kami ni dengan goreng pisang aje. Kalau orang besar-besar ni...entah apa Wawa selalu cakap tu..." Mak Zah menggaru kepala mengingatkan. "..apa bang yang Wawa selalu cakap tu? Kambing sula?"

           Pecah ketawa Najmi tiba-tiba. Pelik betul. Belum pernah dia mendengar orang menyebut barbeque itu dengan nama kambing sula. Mungkin kerana seekor kambing itu dicucuk dari bahagian belakang tembus ke mulutnya untuk dipanggang, barangkali.

           Nur Najwa di tengah tangga pertama kali melihat lelaki itu ketawa besar. Manisnya muka dia. Biasanya ketat dan cemberut saja. Apa yang ayah dan emak cakap sampai dia boleh ketawa besar begitu?

           Mak Zah sedikit malu bila melihat Najmi ketawa sambil menekan perut. Kebetulan pula dia nampak Najwa sudah turun dengan sebuah beg di tangan, lalu cepat dia melemparkan pertanyaan.

           "Apa nama Wa? Yang selalu kamu cakap tu...."

           Najwa angkat kening bertanya kerana kurang mengerti cerita apa yang sedang diketawakan oleh Najmi itu.

           "....alaaaa...kalau di restoran besar-besar dan hotel tu...orang suka makan apa?" tanya Mak Zah minta bantuan anaknya.

           "Chicken chop? Steak? Barbeque?" Najwa menyebut satu-satu untuk mengingatkan emaknya.

           "Bukan bulan puasa lepas kamu cakap keluar berbuka dengan abang ngah pergi makan kambing sula ke?" soal Mak Zah sedikit marah. Sudahlah dia ditertawakan oleh bos anaknya...malu tau?

            "Barbequelah tu mak. Kambing tu dicucuk dari belakang tembus sampai ke depan dan dipanggang sekor-sekor. Takut emak tak faham, tu yang Wawa cakap kambing sula," terang Najwa. "Tapi apa yang lawak sangat?" Najwa bertanya balik kerana terlepas bahagian yang lawak sangat itu sampai Najmi terpaksa ketawa menahan perutnya.

            Najmi angkat sebelah tangan sambil menggelengkan kepalanya. "Maaf mak cik...tak pernah saya ketawa macam ni. Lucu betul bunyinya bila mak cik sebut kambing sula tadi."

            "Wawa yang cakap, mak cik ikut aje," jelas Mak Zah menutup malu.

            "Mak! Wawa bawak bekal sikitlah goreng pisang ni," pinta Najwa bila dia nampak ada goreng pisang di atas meja.

            "Nanti emak masukkan ke dalam bekas." Mak Zah bangun dan terus ke dapur.

            Najwa mengekori emaknya sambil mendukung si kecil Najwa. "Adik nak makan tak?"

            "Apa tu mummy?" tanya si kecil Najwa pula bila dia didudukkan di kerusi dapur.

            "Ini nama dia goreng pisang...rasa sikit. Mummy buatkan adik milo nak?"

            "Macam mana dia boleh jadi rapat dengan kamu Wa?" tanya Mak Zah yang hairan dengan panggilan mummy itu.

            "Entahlah mak...muka Wawa ni ada rupa emak orang ke?" Najwa balik bertanya sambil tangan cepat menarik sebiji mug dari rak pengering untuk membancuh milo. Sebiji lagi mug kemudian dicapai dan dibawa ke singki. Milo yang panas itu ditarik agar cepat sejuk

            Si kecil yang sedang mengunyah goreng pisang itu hanya memerhatikan sahaja apa yang dibuat oleh mummynya.

            Apabila Najwa menoleh membawa milo tarik ke meja, dia kagum melihat si kecil yang tidak berselera makannya seharian tadi sedang elok mengunyah goreng pisang. "E...eh..pandainya dia makan...sedap tak?"

            Si kecil hanya mengangguk.

            "Nanti balik makan ubat ye?" Pujuk Najwa.

            Si kecil mengangguk lagi.

            "Siapa nama dia Wa?" Tanya Mak Zah yang sudah menyiapkan bekal yang diminta oleh anaknya.

            "Najwa."

            "Ai? Dia pun Najwa juga?"

            "Ha ah. Itulah Wawa pun keliru mulanya," cerita Najwa sambil menunggu si kecil menghabiskan minumannya.

            "Lama ke kamu dekat rumah dia tu?"

            "Tunggu sampai adik ni sihat kut?"

            "Habis tu...kamu tak kerja?"

            "Dia ni kan anak bos Wawa..jaga dia pun kira kerjalah mak."

            "Ya lah...baik-baik jaga diri dekat rumah orang. Tolong apa yang patut...jangan sampai emak dengar cerita yang bukan-bukan pulak."

            "InsyaAllah mak...Wawa ingat pesan emak tu." Najwa kemudian ke singki membasuh mug. "Adik! Kita nak balik dah....salam nenek."

            Si kecil menghulurkan tangannya.

         

            Mak Zah pula terus mengangkat dan mencium pipi comel itu kiri dan kanan. "Hurm...cepat sembuh ye? Jangan takut makan ubat. Kalau tak nak makan ubat, nanti nenek babab mummy dia," ucap Mak Zah sambil menampar punggung anaknya Najwa.

            Si kecil memandang pelik muka Mak Zah. Entah apa yang dibebelkan oleh orang tua itu bukan dia faham pun.

            "Dah boleh geraklah..." ajak Najwa. "..nanti dah nak masuk maghrib pulak."

            Najmi bangun. Dia menghulurkan tangan bersalam. "Saya mintak diri dulu pak cik, mak cik. Terima kasih kerana benarkan Najwa ikut saya balik."

            "Tolong menolong....apa salahnya?" Jawab Pak Din pula.





       

February 27, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 5

~ sambungan ~


            Nur Najwa masih di muka pintu kereta seakan menunggu seseorang.

            Najmi mematikan enjin kereta apabila dia pasti dia boleh meletakan kenderaan di situ sekejap sementara Nur Najwa mengambil kain bajunya. Dia kemudian mendukung anaknya yang kelihatan tidak bermaya dan kurang aktifnya pada hari itu.

            "Masuklah dulu encik, inilah rumah saya...kecik aje." Nur Najwa membukakan pagar rumah lebih lebar untuk lelaki yang mendukung anak itu dapat masuk dengan mudah. Maklumlah dia sudah biasa tinggal di rumah yang besar...kena yang sempit macam rumahnya ini...mesti dia lemas agaknya, fikir Najwa.

            "Wawa?" Mak Zah terpacak di muka pintu.

            "Emak, ni bos Wawa." Najwa memperkenalkan Najmi kepada emaknya.

            "Silakan masuk bos," ajak Mak Zah yang melatah orangnya itu sama mengikut Najwa menggunakan panggilan bos.

            "Ayah ada mak?"

            "Dekat belakang sana..." jawab Mak Zah pendek. Mana mungkin depan tetamu yang tidak pernah datang bertandang ke rumahnya itu mahu diberitahu terus terang bahawa suaminya sedang membuat pelaburan?

            "Baringkan adik tu dekat sini encik," Najwa mengarahkan agar si kecil dibaringkan di kerusi kembar tiga. "Encik duduklah dulu sementara saya ambil barang saya."

            "Mummy!" Panggil si kecil terus menghulurkan dua tangannya minta dibawa sama.

            Mummy? Mak Zah muka pelik. Budak kecil itu memanggil Najwa mummy? Atau anak yang kelihatan tidak sihat itu sedang meracau memanggil ibunya?

            "Ada apa ni Wawa? Kereta kamu mana?"

            Najwa memandang Najmi minta diberikan penjelasan.

            Najmi mengerlipkan matanya tanda setuju. "Macam ni mak cik..." Najmi membuka kata.

            Najwa cepat membuka langkah memanjat tangga untuk ke biliknya bersama si kecil di dukungan.

            "...saya nak minta tolong Najwa jagakan anak saya untuk dua tiga hari ni sebab dia demam. Dia tak nak dengan orang lain mak cik, risau saya. Bila sedar aje...dia akan cari Najwa."

            "Emak dia mana?" soal Mak Zah hairan.

            "Dia tak nak ikut saya balik sini mak cik...saya dah tinggalkan dia di US sana." Najmi sedikit berbohong. Biarlah...masakan dia hendak bercerita terus dari A ke Z?

            "MasyaAllah....dah lupa daratanlah tu....memang orang kita ni kalau dapat pergi Amerika ke...London ke...memang semuanya tak nak balik lagi. Entah apa yang sedap sangat agaknya tinggal di sana tu?" Mak Zah dah mula buka kitab. Dia memang macam tu...jangan aje diberikan topik baru, memang akan berjela ceramahnya untuk hari itu. Habis keluar semua hikayat dari hujung jalan sana, sampai hujung jalan sini. Peramah gila Mak Zah tu.

            "Siapa yang pergi London?" Sampuk Pak Din yang datang dari arah dapur.

            "Isy! Orang tua ni...tak tahu hujung pangkal, datang-datang menyampuk pulak dia," tegur Mak Zah. "..awak berbuallah pulak...saya ke dapur sekejap." Mak Zah angkat punggung dan berlalu ke dapur.

            "Encik cari siapa?" Pak Din bertanya. Tadi isterinya lupa hendak memeperkenalkan lelaki itu kepada suaminya. Dah nak berakar punggung masih belum keluar secawan air pun. Mau berdarah tekak tetamu itu dibuatnya.

            "Saya Najmi pak cik," ujar Najmi memperkenalkan diri sambil menghulur salam. "...hantar Najwa balik untuk mengambil bajunya.

         

             Pak Din menoleh kiri dan kanan mencerna mindanya yang tadi tepu menunggu di dalam bilik termenung. Najwa ada balik? Mana pulak perginya...senyap aje dari tadi? Hati Pak Din bertanya sendiri.

            "Ambil baju? Nak ke mana?" soal Pak Din kelam.

            "Saya nak mintak dia jagakan anak saya untuk dua tiga hari ini kerana anak saya itu tidak berapa sihat badannya," terang Najmi.

            "Orang gaji kamu lari ke?" Agak Pak Din kerana sekarang ini kalau pasangan suami isteri yang berkerja akan mengupah pembantu rumah. Memang susah nak dapat yang betul-betul komited dalam menguruskan rumahtangga ini. Sering pula didengar tentang anak majikan yang didera oleh pembantu rumah mereka dan ada pula yang dibawa lari.

            "Begitulah lebih kurang pak cik." Najmi mengiakan aje. Malas hendak berpanjang cerita.

            "Tak apalah...Wawa pun memang pandai jaga budak. Anak-anak abangnya semua sukakan Wawa. Encik jangan risau," terang Pak Din seakan menaikkan saham anak perempuannya.

            Najmi mengangguk. Rancangan asalnya mengikut menghantar Najwa pulang tadi hendak melamar Najwa habis terlupa bila ayah dan emak Najwa ini nampak gayanya suka sangat bercakap atau dalam erti kata lain peramah sangat orangnya.

            Kita baru buka tajuk, dia orang sudah melarat sampai ke Amerika dan London. Berbeza dengan keluarganya yang bercakap bila perlu sahaja. Jika si kecil Najwa tidak demam, barangkali dia seorang sahaja yang boleh melayan emak dan ayah Najwa ini.





      

February 26, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 5

            MERCEDES C200 itu menjalar depan gate rumah teres Mak Zah. Cermin gelapnya tidak membenarkan orang luar melihat yang di dalam. Mak Zah tertinjau-tinjau dari tingkap rumah. Rasanya tak ada pulak kenalan atau saudara mara yang diketahuinya sudah memakai Mercedes seperti itu.

            "Bang!" Mak Zah menjerit memanggil suaminya Pak Din. "Kawan awak ke yang datang depan rumah tu?"


            "Tengokkanlah....saya baru nak ke tandas ni..." sahut Pak Din dari arah dapur.

            Isy! Tak sudah lagi rupanya orang tua ni. Dari tadi suruh ke kedai, dia kata nak ke tandas. Kalau pergi dulu tadi dah balik agaknya. Mak Zah bersungut. Geram! Kalau balik kerja tu mengalahkan budak kecik, asyik menghadap TV aje. Cerita entah apa-apa semua habis ditonton.

           Mak Zah terus memerhati dari dalam rumah.

           Pak Ya ke? Eee...tak kanlah Pak Ya yang setakat menjual nasi lemak dan sedikit kuih muih di warung kopinya itu dapat pakai Mercedes? Atau si Ali Rojak? Siapa lagi kawan karib Pak Din yang selalu lepak dengannya main dam haji bila lepas balik dari surau tu? Mustahil Ali yang cuma jual rojak pakai motosikal itu sudah dapat memakai kereta pula....Mak Zah merangka cerita.

           Tapi kalau dia orang tu menang loteri ke....kena ekor ke...tentu tidak mustahil. Hisy! Mak Zah menggeleng laju kepalanya membuang prasangka buruk terhadap kawan-kawan Pak Din.

           Abaikan ajelah....kalau dia betul hendak mencari seseorang, mesti dia akan keluar bertanya, hati Mak Zah berkata.

           Aik? Najwa? Mak Zah sedikit cemas bila anaknya Nur Najwa pulang agak awal petang itu dengan menaiki kereta mewah entah siapa. Kenapa? Dia kemalangan ke? Di mana kereta Kelisanya?

February 25, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 4

~ sambungan ~

         
            "Nur Najwa!" Najmi memanggil sambil tangan memicit remote Astro mencari siaran entah apa untuk mengalih debar di dada.

            Nur Najwa yang sedang tekun menonton drama Spectra tadi terganggu tontonannya. Tetapi masakan dia boleh marah? "Ya encik," sahutnya perlahan.

            "Marry me," ujarnya dengan mata yang tegak memandang ke skrin besar TV Sony Bravia itu.

            "Seganlah saya," jawab Najwa yang menyangka minta digorengkan mee. "...nanti cik Tipah ingat saya nak ambil alih tugas dia pulak."

            Najmi spontan menoleh. Aku cakap lain, dia jawab lain. Pekak badaklah pulak...atau dia ada sound trouble? Najmi yang berdebar ketika mengutarakan lamarannya tadi rasa nak gelak tergolek pula.

            "Pergi makan dekat luar ajelah encik. Saya boleh jaga adik ni...no problem."

            Najmi menggaru kepala tak gatal. Nak kena rewind ke? Adoi! Ni yang aku tak berapa nak pandai. Kemudian Najmi mendapat idea untuk memulakan perbualan. "Malam ni awak kena tidur sinilah."

            Najwa memandang si kecil di ribaan. Bila dia pasti anak itu tidak melihatnya, cepat dia menggelengkan kepala.

            "Kalau tengah malam nanti dia terjaga?"

            Nur Najwa terperangkap. Kini dia cuba memberanikan diri merenung lelaki itu. "I need to change," katanya perlahan.

            "Alright...saya hantar awak balik, pack some clothes dan tinggal sini dua tiga hari,"

            "Dua tiga hari? This weekend?" Bulat mata Najwa bertanya minta kepastian. Ini memang kes kerja gila.

            "Why? Awak dah buat appointment nak jumpa dengan Dato' Kay tu ke?" Sengaja Najmi menyebut nama tersebut.

            "Oo.....please...." jawab Najwa sedikit mencebik.

            "Habis tu kenapa?"

            "Awkward la encik..."

            "Itu sebab saya tanya tadi....will you marry me?"

            Nur Najwa menelan liur. Ini lagi betul punya direct.

            "Untuk kebaikan awak...untuk kebaikan saya juga, supaya saya tak susah-susah nak kena cari mummy untuk anak saya." Najmi tunjuk berani membicarakan soal kahwin siap dengan alasannya sekali.

            "Untuk kebaikan saya?" soal Najwa ingin tahu.

            "Yalah...kalau mak datin tu dah tau awak dah ada suami, mesti dia tak berani nak datang cari awak bertanyakan pasal suaminya yang gatal itu," ujar Najmi panjang lebar lebih kepada menakutkan sebenarnya.

            "Encik jangan nak buat lawak pasal nikah kahwin dengan saya encik. Encik bukan sayang saya pun. Cuma hendak selamatkan keadaan aje kan?" Nur Najwa juga sama berani memberi pendapat.

            "Habis tu awak nak jadi nanny anak saya? Saya tak rasa anak saya akan lepaskan awak," jelas Najmi penuh yakin. Haru betul anaknya kalau bangun tidur mencari Nur Najwa. Masakan dia hendak ke rumah Nur Najwa pagi-pagi buta?

Sentuhan Kasih ~ Bab 4

~ sambungan ~

            "I need to talk to you in private," jelas Najmi.

            Najwa bulat mata memandang. In private? Ada apa? Anak dia pun tak boleh dengar ke?

            "But first tell me...siapa Dato' Kay?"


            "Dato' Kay?" Najwa merenung wajah bosnya. Oo...dia tinggal lama di US..tu sebab tak tahu siapa Dato' Kay. "Yang misai macam Rajinikanth tu ke?"

            "Rajinikanth mana pulak ni?" Najmi bingung. Ada sahaja nama yang baru yang disebut setiap kali.

            "Hero filem Tamil tu...encik tak kenal ke?" Nur Najwa pelik...semua orang kenal, boleh dia sorang yang ketinggalan zaman. Tinggal dalam gua ke?

            "Filem Tamil pun awak tonton ke?"

            "Kalau kena hari tak kerja tu...layan aje encik...seronok jugak," jawab Najwa selamba.

            Najmi menggeleng kepala. Dia baru teringat bukan Dato' Kay, patutlah Najwa sampai masuk cerita hero filem Tamil. "Dato' Khairy kenal?"



             "Oo...Dato' Khairy...ingatkan suami Dato' Siti Nurhaliza." Hurm? Dato' Khairy pergi jumpa dia di pejabat ke? Nur Najwa cepat mencari idea untuk menjawab pertanyaan agar bosnya tidak tersalah faham. "Owh! Lupa saya nak beritahu...dia ada booking lot tepi rumah kedai Bina Cerialah encik...dia nak sederet tiga pintu untuk dijadikan pejabat, katanya."

             "Apa hubungan awak dengan dia?"

             "Mana ada? Saya hanya uruskan permintaannya itu aje...kenapa? Isteri mak datinnya itu cari saya ke?" Nur Najwa terasa cuak sungguh. Rasa nak menangis pun ada. Kalau betul Datin tu datang cari dia sampai ke pejabat, alangkah malunya. Bukan dia melayan pun Dato' tu...tapi Dato' tu yang tak sudah-sudah ajak keluar dating. Tak berhenti menghantar bunga. Naik muak Najwa dibuatnya. Kalau dah ada isteri tu sedar-sedarlah sikit. Tak boleh nampak perempuan dahi licin, semuanya hendak dijadikan isteri dia mentang-mentang lelaki boleh kahwin sampai empat.

            "No worries...dia belum datang cari awak lagi."

February 24, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 4

            PAK HUSSIN, pemandu Tan Sri sesekali mengerling cermin pandang belakang. Anak sulong Tan Sri Azizan ini tidak berapa ramah orangnya. Semenjak dia pulang ke tanahair dan memulakan kerjanya di sini,dia hanya memberi arahan sahaja. Macam hari pertama itu semasa Pak Hussin diarahkan oleh Tan Sri untuk ke hotel tempat dia menginap..........

            "Tolong hantarkan dua kotak ini ke pejabat. Suruhlah setiausaha ke, kerani ke atau sesiapa ajelah yang bertugas mengemas bilik pengurus tu....suruh dia kemaskan barang-barang saya ni."

            "Tuan tak ikut sekali?" tanya Pak Hussin cuba beramah.

            "Tak! Anak saya masih tidur lagi. Nanti saya datang sendiri dengan teksi."

            Keesokannya pula Pak Hussin masih ingat lagi dia dipanggil waktu sedang bersarapan minta dihantar ke pejabat kerana anaknya menangis mencari Puan Najwa. Puas berpujuk, sehingga Tan Sri sendiri pun sama jadi tidak tentu arah.

           Sampai sahaja di rumah, Najmi terus bergegas masuk mencari anaknya. Si kecil Najwa sedang elok berbaring di ribaan Nur Najwa si setiausaha merangkap 'the nanny' sekarang ini. Najmi mengurut dada. Lega melihat anaknya yang sudah kebah dari demamnya.

            "Hai sayang!" Najmi menegur sambil melabuhkan duduk di hujung sofa. "Feeling better?"

            Anaknya mengangguk.

            "Dah makan ubat?" tanyanya kepada Nur Najwa yang sama melangut menonton Tv sambil tangan membelai mengelus rambut si kecil.

            Nur Najwa membelek jam di lengan, "...tengahari tadi sudah, tunggu pukul lapan pulak nanti." Nur Najwa menerangkan memberitahu jadual pengambilan ubat untuk anak majikannya itu.

            Najmi angguk puas hati. "Mana ayah saya dan Mak Cu?" Tanya Najmi lagi kerana tadi dia tidak nampak kereta ayahnya dan juga kereta Mak Cu.

            "Tan Sri ke Kelab Golf. Mak Cu ada kelas sampai pukul sembilan nanti," terang Nur Najwa yang kini  bukan sahaja menjadi setiausaha di pejabat malah sudah melarat ke rumah pula.

         
 Najmi menyandarkan badannya. Tali lehernya dirungkai perlahan. Anak di sebelah langsung tidak peduli akan kehadiran bapanya. Amboi! Emak dia sangatlah tu konon, bisik hati Najmi cemburu. Alangkah bagusnya kalau dulu Christine juga pandai melayan anak sebagaimana Nur Najwa ini?
            Sepanjang perjalanan pulang tadi Najmi asyik memikir dan mempertimbangkan cadangan ayahnya agar dia mengambil sahaja Nur Najwa itu menjadi isterinya. Cakap memang mudah, cuma gerakan bibir atas dan bibir bawah sahaja. Tetapi fobia mengharungi hidup berumahtangga itu masih bersisa dalam dirinya. Mengapa dia tidak mendapat kebahagiaan sebagaimana pasangan yang lelainnya.
            Betapa dia merasa sangat susah melalui hidup berumahtangga bersama Christine. Hidupnya asyik mahu bersosial sahaja. Bila ditegur akan berlakulah perang mulut yang tidak berkesudahan. Ke mana dia mahu mengadu kalau itu memang pilihan dia sendiri?
            Untuk mengambil Nur Najwa ini sebagai isteri? Dia cuba menyelami perasaannya sendiri. Rasanya dia  masih belum bersedia untuk beristeri lagi....tetapi masalah anaknya Najwa yang sudah tidak boleh melepaskan Nur Najwa ini pergi, bagaimana hendak diatasi? Ayahnya pula sudah seakan merestui, bagaimana kalau dia memberanikan diri bertanya kepada tuan punya diri?

         
                     

February 23, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 3

~ sambungan

NAJMI yang datang ke pejabat sendiri tadi terus melabuhkan punggungnya sambil membetulkan sandar. Kedua tangan dibawa ke belakang kepala mendongak memandang siling putih yang sudah siang hari pun masih berpasang lampunya.

            Dia cuba membuat kerja, namun dia tidak dapat hendak menumpukan fikirannya. Hendak dibuat macam mana dengan anak yang seorang itu? Masakan si Nur Najwa itu hendak menerima kalau ditawarkan untuk menjadi 'nanny' Najwa anaknya? Sudah seminggu ini Nur Najwa terpaksa menunggu anaknya hingga tertidur. Di pelawa tinggal di rumah itu, Nur Najwa pula tidak mahu.

            Sekarang ini anaknya sudah demam pula. Bertambahlah payah urusannya. Tentu malam nanti merengek tidurnya. Buatnya tengah-tengah malam dia sedar minta mummynya...mana hendak dicari? Makanya Mak Cu pula sudah balik dari lawatan bersama pelajarnya ke Bandung. Tentu dia hairan kalau dia nampak Nur Najwa balik waktu tengah malam. Mau disalahsangkakan mereka bergaduh dan Nur Najwa melarikan diri pula. Adoi! Najwa....Najwa....

            Tiba-tiba pintu biliknya diketuk....

            "Masuk!" arah Najmi.

            "Bos! Najwa tak masuk kerja ke?" tanya Tina si penyambut tetamu sebab pagi tadi dia nampak Najwa ada datang ke pejabat dan keluar breakfast sama-sama dengan bosnya.

            "Hari ni dia cuti," jawab Najmi pendek. Tapi kemudian dia terfikir untuk bertanya. "Kenapa?"

            "Ada orang cari dia...dah dekat sepuluh kali call."

            "Siapa?"

            "Dato' Khairy."

            "Dato' Khairy?" Najmi cuba mengingat nama itu kalau-kalau ada berurusan dengan projek yang dikendalikan olehnya sekarang. "Ada apa dia cari Najwa?"

            "Pasal Projek Bina Ceria tu agaknya...Dato' Khairy ada beli sederet tiga pintu rumah kedai untuk dijadikan pejabat barunya. Hal ini cuma Najwa aje yang tahu sebab dia yang handle sebelum bos datang hari tu," jelas Tina. Memang Tina tahu sedikit sebanyak pasal projek itu sebab banyak panggilan masuk yang diuruskan olehnya semasa Najwa mengambil alih tugas.

            Dato' Khairy yang berminat dengan kawasan perumahan yang baharu itu terus datang bertemu dengan Najwa untuk memilih lokasi. Mungkin juga sama berminat dengan Najwanya barangkali...itu yang asyik datang walaupun urusan jual beli itu sudah selesai.

            Sehingga Najwa sendiri perasan dengan keadaan itu dan mengadu dengan Tina betapa dia tidak sabar menunggu kedatangan bos barunya untuk mengambil alih tugas.

            "Betul ke Najwa cuti?"

            Najmi mengangkat wajah memandang Tina di muka pintu. "Kenapa awak sibuk bertanya pasal dia?"

            "Tak adalah...takut dia berhenti kerja pulak pasal takutkan Dato' tu." Tina yang sedikit menggumam itu merapatkan daun pintu dan berlalu pergi.

            Takutkan Dato'? Apa yang Dato' itu sudah lakukan sampai Najwa takut dan hendak berhenti kerja? Najmi merasa tidak puas hati dengan penjelasan Tina tadi lalu keluar mendapatkan Tina di meja depan.

            "Tina! Beritahu saya...kenapa Najwa takutkan Dato' tu?"

            Tina mengulum senyum. Betullah dia ada affair dengan Najwa. Kak Masitah yang hendak ke pantry pagi itu memberitahu dia nampak Najwa dan Najmi di dalam bilik itu di dalam keadaan yang mencurigakan. Najwa pula macam lari dari mulut buaya, masuk pula ke mulut harimau. Najwa cakap dia tidak suka dengan Dato' itu kerana dia sudah beristeri. Habis Encik Najmi ini pula....sah-sah sudah ada anak dan siap dibawa ke pejabat lagi....kenapa dilayannya pula?

            "Dato' tu sukakan dia bos..."

            Belum habis cerita Tina, Najmi bertanya lagi...

            "Dato' bujang ke Dato' yang dah beristeri?"

            "Lebih kurang macam boslah...dah kahwin." jawabnya perli.

            "Tapi bukan Najwa tu pun dah kahwin?" Najmi cuba perangkap, padahal dia sudah tahu cerita bahawa suami Najwa itu sudah meninggal dunia.

            "Najwa tu janda berhiaslah bos...suaminya meninggal kemalangan semasa pulang dari lepas majlis ijabkabulnya."

            Najmi berkerut dahi mendengar penjelasan dari Tina. Kesiannya!

            "Bos pun sukakan dia ke?" Tembak mulut yang tidak berinsurans itu.

            Amboi! Tak sayang mulut perempuan sorang ni. "Mana ada?" Jawab Najmi sambil cepat melangkah pergi.

            Tina sempat mencebikkan bibir bila Najmi membelakangkannya. Ya lah tu!

            Najmi masuk balik ke biliknya. Kini di kepala sudah bertambah lagi satu fail baru. Kisah Najwa si janda berhias yang dicari dan diminati oleh Dato' Khairy. Siapa pula Dato' yang dimaksudkan ini? Kisah Najwa anaknya masih belum selesai sudah timbul kisah baru. Tidak secara langsung kisah baru itu mengganggu kerjanya. Adoyai!

February 21, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 3

~ sambungan ~

TANPA disangka, di luar pantry ada yang telah tersalah sangka. Apatah lagi bos mereka keluar dari situ dengan kemeja yang tidak berbutang. Mak ai! Berani sungguh anak Tan Sri ni...

            Berita itu sudah menjadi topik perbualan. Nampak gayanya is lebih cepat dari internet. Najmi dan Najwa pula kelihatan lebih mesra sekarang ini bila mereka keluar bersarapan bertiga dengan anak Najmi.

            Najmi masuk ke pejabat agak lewat kemudiannya tanpa Najwa dan si kecil.

            Najwa yang ingin pulang ke pejabat setelah menghantar Nami bertukar baju itu dihalang oleh si kecil. Dia sedikit merengek tengahari itu. Mungkin kerana pagi tadi dia menangis mencari mummynya dan akhirnya Najmi terpaksa membawanya ke pejabat pada awal pagi menunggu si mummy yang dimaksudkan. Kini, badannya panas....

             "Saya rasa dia tak sihatlah encik," agak Najwa. "Bawak ke kliniklah dulu."

             Najmi mengangguk bersetuju.

             Setelah pulang dari klinik dan diberikan ubat, si kecil asyik memeluk mummynya tidak mahu ditinggalkan.

             "Macam mana ni?" tanya Najwa memandang wajah Najmi yang sudah berserabut kepala otaknya memikirkan si anak yang memerlukan seorang ibu di saat itu.

             "Awak tinggal sini, jaga dia dulu boleh?"

             "Saya tinggal sini jaga dia? Habis tu kerja saya macam mana?" Najwa bertanya berbisik kerana si kecil di ribaannya kini sudah terlelap.

             "Tak apalah...saya boleh handle. Dulu pun masa saya belum balik sini, awak boleh aje handle kerja saya?" jawab Najmi ego.

            "Sampai bila?"

            "Sampai dia sembuhlah."

            Mak ai! Mau makan dua tiga hari ni....gilalah. "Encik jangan nak buat lawak bodoh dengan saya pulak," marah Najwa.

            "Habis tu kalau dia bangun lagi cari awak, saya nak buat apa?"

            "Saya bawak dia balik ke rumah saya ajelah."

            "Mana boleh!"

            Tan Sri Azizan yang baru naik hendak ke biliknya itu terdengar perbualan antara Najwa dan Najmi mengenai cucunya yang sekarang sedang tidak enak badan. Dia pun sedar pagi tadi Najmi naik panik bila anaknya bangun berlari-lari mencari Najwa. Maka disuruhnya Najmi membawa si kecil ke pejabat, mana tau kalau-kalau si Najwa sudah sampai di sana?

            "I'd told you, your daughter needs a mother," celah Tan Sri yang terpacak di muka pintu bilik.

            Dua kepala yang bunyi macam orang sedang bertelagah tadi berpaling mencari suara yang menegur tanpa salam. Najwa terus terdiam.

            "Biasalah ayah...dia tak sihat tu..." jawab Najmi.

            "Why don't you two get married? It'll solved the problem."

            Empat biji mata itu berpandangan.

            Najwa sudah rasa hendak pitam mendengarnya. Ei! Tan Sri ni...sangat direct pulak dia.

            Mata Najmi yang asalnya sedikit sepet tadi sudah terbeliak jadinya.
            Serentak dengan itu, Noor Azizah yang baru pulang dari kelas itu sama menjengolkan kepala ingin tahu apa yang sedang berlaku di dalam bilik si kecil anak saudarnya itu. "Kenapa ayah?" soalnya.

            Kini tiga kepala pula mencari suara yang bertanya.

            Sudah! Mak Cu dah balik, bisik hati Najmi. Mak Cu ni kepoh sikit.

            "Adik demam...mummy dia tak dapat nak ke pejabat." Tan Sri menjawab bagi pihak semua.

            "Ala...itu pun nak jadi masalah ke?" sampuknya. "Abang Jimi kan bos? Apa ada hal? Bagilah Kak Long cuti jaga anak kat rumah?"

            "Okeylah...you tak payah masuk office, jaga adik dekat rumah aje," beritahu Najmi cari peluang. Dia pun pandai juga menjaga bahasa di hadapan adiknya itu. Berlakun aje!

            Tan Sri senyum sendiri.

            Nur Najwa sentap, tidak tahu apa mahu dijawabnya.

            Memang Mak Cu belum tahu cerita mereka yang sedang berlakun di dalam rumah itu sampai sekarang.  Nasib baik Mak Cu itu kerjanya sibuk memanjang. Kalau tidak memang dia boleh jadi pengganti Puan sri Normah yang kalau meleter tidak kira orang. Habis tua muda dipukul sama rata sebab kadang-kadang dengan Tan Sri Azizan juga kena sekali. Mak Cu....Mak Cu.....

Sentuhan Kasih ~ Bab 3

           

~ Bahagian 2 ~


           NUR NAJWA melangkah masuk ke pejabat sambil menyanyi perlahan. Dia sangat pasti bahawa dia datang seperti biasa. Namun ketika dia melintas di depan bilik pengurus, kelihatan Najmi sudah berada di biliknya. Najwa menelek jam di lengan. Aik? Cepatnya dia? Baru 8.45 minit pagi.

           Najmi yang terpandang Najwa cepat melambaikan tangan memanggil.

           Najwa menekan brek kakinya dan mengundur beberapa tapak ke belakang. Pintu bilik itu dikuak perlahan dan dia menjengolkan kepala ke dalam. "Ya encik?" Matanya tertancap ke arah sekujur tubuh kecil yang berada di atas ribaan Najmi. Sebelah tangan Najmi menepuk bahu si kecil yang nampaknya sedang tidur.

           Najmi memuncungkan mulutnya dan meletakkan jari telunjuk ke bibir.

           Najwa mengangguk faham.

           "Buatkan saya kopi, " pinta Najmi.

           "Encik nak kopi apa? Sin Seng two in one, Nescafe three in one?" Najwa bertanya berbisik. "...atau kopi Tongkat Ali?"

           Najmi sedikit menjeling. Banyak ceritalah mak cik sorang ni. "Apa-apa ajelah asal ada rasa kopi," ujar Najmi.

           "Yes boss," jawab Najwa pula sambil menutup perlahan pintu bilik. Apasal la bos aku ni..datang kerja bawak anak. Dia kena halau dengan Tan Sri ke? Dia dah nak balik ke US ke? Najwa berteka teki sendiri dalam hati.

           Sampai di pantry, Najwa mencari kopi Sin Seng two in one. Ni bagus kalau pagi-pagi, bagi mood dia baik sikit. Mug yang bertulis BOSS dicapai dari rak pengering dan satu uncang kopi tadi dimasukkan ke dalam. Air panas dituang dan dia mencapai sebatang sudu kecil sebelum berpusing untuk kembali ke bilik pengurusnya bila dia melanggar seseorang yang entah bila berada sama di dalam pantry tersebut.

       
 "Oo..emak engkau!" Najwa terjerit melatah bila mug yang berisi kopi panas tadi menyimbah pak cik yang masuk ke situ tak beri salam.

            "Ouch!" Najmi terkitai-kitai kepanasan, Habis kemejanya yang pagi itu berwarna putih bertukar ke warna hitam.

            Terkejut badak Najwa jadinya. Masakan tidak? Yang disimbahnya dengan kopi panas itu bos tadi yang mengarah dia untuk membuatnya. Yang dia pun satu...dah suruh orang buat tu tak payahlah nak datang buat spot-check pulak. Macam kita ni nak letak serbuk apa-apa agaknya. Najwa cepat meletakkan mug ke atas kaunter. Dia menarik kitchen roll dan mengelap mana-mana yang patut.

            "Itulah encik, dah suruh orang buat tu, tak payahlah nak datang sini buat spot-check pulak. Dah lah tak beri salam? Mana saya tahu ada orang di belakang saya?" Leter Najwa panjang lebar. Takut pun ada sebenarnya tu. "Nak dibuat macam mana ni?" soalnya lagi bila melihat Najmi kaku macam budak kecil yang sedang dibersihkan oleh emaknya.

            "Tak apalah...saya pun memang nak kena balik hantar anak saya tu," jawab Najmi sambil sama membelek bajunya.

            "Kenapa pagi-pagi encik bawak dia ke sini?"

            "Sebab dia cari awaklah..."

            "Cari saya?" Najwa memandang Najmi dengan muka yang berkerut. "Encik ingat saya tidur dekat pejabat ke?"

            "Tak adalah...habis tu awak ingat saya tau ke kat mana rumah awak?"

            Najwa mencapai minyak gamat yang memang tersimpan di dalam emergency kit yang tergantung di dalam bilik pantry itu. Lengan baju Najmi diselak hingga ke siku. Minyak itu dituang sedikit ke tapak tangan  dan kemudian disapukan ke tangan lelaki itu.

            "Ei? Minyak apa ni?" Najmi bertanya terkejut.

            "Minyak gamat...minyak ni memang bagus kalau kena-kena air panas ni encik. Dekat US tak ada jual ye?" soal Najwa macam mak nenek. Habis kedua-dua lengan lelaki itu disapunya. "Yang diperut tu encik sapu sendiri," katanya lagi sambil menghulurkan minyak tersebut.

            "Tangan awak yang dah berminyak tu, sapulah sekali," arah Najmi yang sedang membuka butang baju kemejanya.

            "Eh! Mana boleh?" Najwa baru perasan. "Bukan muhrim....dosa..." ujarnya perlahan.

            "Bantu orang yang tercedera pun nak kira ke?"

            Najwa berpaling ke singki membasuh mug tadi dan membuatkan yang lain pula.

February 20, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 3

            PAGI itu Nur Najwa di meja makan sedang bersarapan Nasi Goreng. Emaknya yang datang dari dapur membawa seteko kopi dah pot pat pot pet dari awal pagi membebel kerana tidak faham dengan jadual kerja anaknya itu.
            Masuk kerja elok macam biasa jam 9.00 pagi...semenjak dua menjak ni dah pandai balik lewat malam. Semasa Najwa sibuk mengambil alih tanggungjawab pengurus yang telah meletakkan jawatan itu pun pukul 6.00 petang atau sebelum Maghrib dah sampai rumah. Ini dah ada pengurus baru kena balik lewat-lewat malam pulak?
            Hampir seminggu berlalu, macam sudah jadi rutin harian Nur Najwa pula selain di pejabat, dia akan ke rumah Tan Sri setiap pulang dari kerja untuk meneman si kecil Najwa sehingga dia tertiddur sebelah malamnya. Sabtu dan Ahad nanti bagaimana? Adakah dia masih akan ke rumah Tan Sri untuk mengasuh anak majikannya itu?
            Mak Zah tu bukan apa....orang sekeliling dah sibuk bercakap bertanya tentang anaknya yang sekarang dilihat sering pulang lewat malam. Sudahlah dia tu ada title 'J'. Naik kematu lubang telinga Mak Zah mendengar. Dah naik jemu jelak hendak menjawab segala soalan yang diajukan semasa dia menunggu van sayur Pak Mail yang memang lalu di jalan depan rumahnya itu.
            Kalau dia pandai bawak motosikal atau pandu kereta, tentu sudah lama dia ke pasar untuk membeli ikan dan sayur. Ini hendak diharapkan siapa lagi? Kalau hari siang tu bukan ada sesiapa di rumah. Terpaksalah dia sama menunggu van Pak Mail yang diibaratkan bagai pasar bergerak oleh penduduk taman perumahan di situ.
            Pak Mail pun sudah lama berkhidmat dengan orang kampung berdekatan dan penduduk taman perumahan yang macam cendawan tumbuh itu. Dari basikal yang bercarrier besar di belakang, kemotosikal yang ada bakul besar sehingga sekarang sudah mampu membeli sebuah van Nissan Vanette. Kaya orang tua tu hanya dengan menjual sayur dan ikan sahaja.

           "Banyak lagi ke kerja yang tak siap tu Wa?" Tanya Mak Zah sambil menuangkan kopi ke dalam cawan di depan anaknya.

           "Tak taulah mak...bos baru ni teliti sangat. Dia nak tengok fail-fail yang tak siap tu dari awal. Tanya itu, tanya ini...naik kering air liur Wawa menjawab."

           "Muda ke orangnya?" Mak Zah menarik kerusi setentang dengan Najwa dan melabuhkan duduk.

           Najwa hampir tersedak bila emaknya bertanyakan soalan itu. Kenapa? "Baru anak sorang.." jawab Najwa. "Kenapa?"

           Mak Zah hanya menggeleng. Agaknya kalau Najwa panjang jodohnya dulu, tentu dia sekarang ini sudah bakal menjadi seorang nenek. Mungkin kalau ada cucu menemankan dia sekarang ini, tidaklah rasa bosan sangat bila ditinggalkan sendirian sepanjang hari.

           "Dah! Makan cepat," arah Mak Zah yang sempat melamun membayangkan dia sedang menimang cucu. "...kalau boleh cakaplah dengan bos kamu tu...tak payah balik lambat-lambat sangat. Tak elok...orang keliling semua dah bercerita."

           "InsyaAllah mak. Wawa pergi dulu," katanya sambil tunduk mengucup tangan tua itu.

           "Hati-hati bawak kereta Wa," pesan Mak Zah.

           "Ya mak," sahut Najwa pula.

February 19, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 2

~ sambungan ~


LAMPU tidur dinyalakan. Lampu yang lain-lain semua sudah dimatikan suisnya. Nur Najwa menapak keluar dari bilik sambil menutup perlahan daun pintu. Dia terjengkit-jengkit menuruni tangga. Tangan membetulkan lengan baju yng tadinya dilipat hingga ke paras siku. Jam tangan dibelek....mak Ai! Dah dekat pukul 12.00 tengahmalam.

            Beg tangan ditarik dari atas sofa. Dia membuka begnya untuk mencari kunci kereta. Kemudian dia melangkah keluar ke pintu utama. Tan Sri dan anak sulongnya Najmi sedang duduk berbual entah apa di bawah pergola yang menempatkan bunga seri pagi dari pelbagai warna yang bergantungan di situ. Mengimbau kenangan  selama dia meninggalkan rumah agam itu barangkali atau mungkin Tan Sri sedang memberi penerangan tentang apa yang harus dia lakukan tentang projek-projek yang tertangguh semasa menunggu kepulangan Najmi untuk mengambil alih tugas mengurus syarikat.

            "Saya balik dululah Tan Sri," ucap Najwa minta kebenaran.

            "Eh? Dah tengah malam ni...tak tidur sini ke?" Tanya Tan Sri pula sambil mengerling Najmi di sebelah.

            "Isy! Taklah....tapi adik dah tidur."

            "Kalau dia terbangun cari mummy dia macam mana?"

            "Encik Najmi kan ada?"

            Najmi yang duduk bersandar itu tidak bersuara langsung. Cakaplah terima kasih kerana menghantar dia balik tadi ke? Kerana tolong jadi baby-sitter anaknya ke?

            "Ha...okeylah...terima kasih," ujar Tan Sri. Lama betul hendak menunggu anak lelakinya itu bersuara. Macam tak ada bahasa pulak.

            "Assalamualaikum."

            "Waalaikumsalam." Hanya suara Tan Sri sahaja yang kedengaran. Najmi menjawab dalam hati.

            Dua kepala tadi hanya memandang kereta Kelisa itu bergerak keluar dari perkarangan rumah agam itu.

            "Ayah rasa, ayah ada idea untuk kamu dan Najwa." Tan Sri bersuara tiba-tiba.

            Najmi beralih pandang dari jalan besar ke wajah ayahnya yang sedang menggosok-gosok dagu.

            "Why don't you marry her?"

            "Ayah!" Najmi rasa hendak tersungkur mendengar idea yang dianggap mengarut dari ayahnya itu.

            "What?"

            "It's not that easylah...."

            "Apa yang susahnya? Kamu duda dan dia pun janda. Tengok Najwa pun sayang padanya. Macam dah tertulis bila kamu balik ke sini ada orang yang menanti. Tak payah susah-susah nak mencari. Dia perempuan bangsa kita Jimi....senang nak bentuk sebab dia tahu akan hukum hakam agama. Cuma kamu ajelah yang kena didik dia dengan betul."

            "Biar dululah ayah...Jimi belum bersedia lagi."

            "You can take as much time as you can Jimi....tapi Najwa tu macam mana? Dia perlukan belaian dan kasih sayang seeorang ibu. Kamu mampu nak beri dia itu semua?"

            "Mak Cu kan ada? Tu!...cik Tipah pun boleh jaga kalau Mak Cu keluar ke kelas."

            "Habis tu...kenapa siang tadi dia menjerit mahukan mummy dia?"

            "Tadi tu first day ayah...dia baru kenal dengan Mak Cu dan Cik Tipah tu..."

            "Kalau pasal first day...kenapa dengan Najwa tu dia boleh terus terima jadi mummy dia?"

            Najmi sudah hilang idea hendak menjawab. Betul juga....baru pagi tadi jumpa dengan Najwa tu, dia dah sibuk lantik orang tu jadi mummy dia. Kenapa dengan Mak Cu dia tak mahu? Kenapa dengan Cik Tipah juga dia tidak mahu?

            "Tak apa kot? Esok pagi dia bangun, dia lupalah tu..." jawab Najmi penuh yakin.

            "Bagaimana dengan kamu sendiri?"

           "Kenapa dengan Jimi?" Dia bertanya balik.

           "Tak teringin nak cari pengganti?"

           "Ayah ni..." Najmi memberikan senyum segaris. "....ayah tu pun masih solo samapai sekarang, tak kisah pun?"

           "I am an old man Jimi...awak tu yang masih muda, yang masih memerlukan seorang isteri. Nasib baik anak dara Datin Rogayah tu dah kahwin....kalau tidak mungkin Datin Rogayah tu akan datang sini cari kamu lagi."

           "Ayah, that's not funny okay?" Najmi mengangkat kedua-dua tangan. "....just stop it." Najmi memang alergi dengan anak gadis Datin Rogayah tu. Kalau bercakap siap tangan semua menjalar naik ke muka. Habis semua misai dan janggut sejemput Najmi hendak dirabanya. Hisy!

           Tan Sri Azizan dah nak pecah perut mengingatkan peristiwa Najmi yang memang mengelak untuk dijodohkan dengan anak gadis Datin Rogayah itu. Tiap-tiap pagi dia akan mengikut ayahnya ke pejabat. Merengek meminta pertolongan agar memberitahu mamanya Puan Sri Normah untuk membatalkan niatnya itu. Dia rasa dirinya masih belum bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang suami.
           Tapi akhirnya apabila Tan Sri memberi peluang dia untuk melarikan diri buat seketika ke California, cepat pula dia mengambil keputusan untuk berkahwin. Ibu manalah yang tidak makan hati? Menikah entah di mana-mana. Sedangkan Najmi itu merupakan anak lelaki tunggalnya. Kalau boleh Puan Sri Normah mahu mengadakan majlis perkahwinan yang gilang gemilang sebagaimana majlis rakan taulan yang pernah dihadirinya. Tan Sri Azizan itu sendiri pun teringin melihat anak lelakinya itu bersanding di atas pelamin. Tapi apakan daya....

          "Forget it....pergilah tidur. Esok nak kerja," arah Tan Sri bila melihat wajah anaknya yang sudah berubah rupa.

          Najmi angkat punggong. "Sorry yah...maybe later, who knows," katanya sambil menapak meninggalkan ayahnya yang masih senyum melebar ke telinga.

          Tan Sri yang masih bersisa tawanya itu hanya menanggukkan kepala.

          "Goodnight and assalamualaikum."

         "Waalaikumsalam."

         Najmi menapak perlahan ke biliknya. Dia senyum sendiri mengingatkan kisah pagi tadi bila dia menyergah Najwa untuk membawa anaknya ke tandas. Tidak disangka pula, wanita itulah yang terus menjadi pilihan anaknya. Teringat Najwa, Najmi berundur beberapa tapak ke belakang. Pintu bilik anaknya itu dikuak perlahan. Dia masuk memerhati wajah tenang itu dalam kelam suram cahaya lampu tidur. Mudah-mudahan nyenyak tidurnya hingga ke siang esok, bisik hati Najmi sambil membongkok mengucup pipi anaknya.

February 18, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 2

~ sambungan ~


            Cik Tipah muncul dari dapur dengan dulang berisi teko dan cawan. Dia kemudian meletakan dulang ke atas meja makan. Tidak sabar-sabar dia hendak berkenalan dengan isteri Najmi yang menjadi topik hangat perbualan suatu ketika dulu hingga menyebabkan punca kematian Puan Sri Normah.

            "Eh? Kata arwah mak encik, Jimi kahwin dengan orang putih? Ni...cik Tipah tengok, rupa orang Melayu aje?" Tanya cik Tipah sambil menghulur salam. Matanya memerhati Najwa dari hujung kepala hingga ke hujung kaki.

            "Dahlah Tipah....pergi bawak ke mari apa yang kamu masak tadi...saya dah lapar ni," arah Tan Sri mengelak resah hati Najwa. Bukan masanya dia hendak bercerita dari A ke Z pasal Najmi. Esok-esok dia akan tahu sendiri, bisik hati Tan Sri.

            "Baik tuan." Cik Tipah segera berlalu kembali ke dapur.

            "Adik...ajak mummy duduk. Dah lama Tok ayah tak makan semeja dengan daddy tau?"

            Si kecil mengangguk sambil menarik Najwa sama ke meja makan. Dia menarikkan kerusi untuk Najwa dan duduk di tengah antara daddy dan mummynya.

            Najwa rasa dah nak roboh jantung dibuat si kecil sejak pagi. Pintanya yang bukan-bukan. Sekejap minta mummy suapkan, sekejap pulak suruh daddy suapkan mummy. Daddy suapkan mummy? Isy! Budak kecik ni...memanglah....

           Najmi pulak buat 'derk' aje.....ikut aje cakap si anak. Terpaksalah Najwa sama menganga bila disuapkan oleh Najmi. Mujur tak tercekik dibuatnya.

           Tan Sri Azizan yang memandang macam sama berpakat.

           Mak Cu lagilah...haram tak tahu kisah benar di sebaliknya.

           "Adik, dah sudah pergi naik mandi," arah Najmi.

           "Let's go mummy," ajak si kecil sama menarik tangan Najwa.

           "Mummy..." Najwa terdiam. Dia juga sudah sedap terikut si kecil yang asyik memanggilnya mummy itu. Matanya cepat memandang Najmi.

           Najmi pula menganggukkan kepala agar mengikut kehendak anaknya.

           "Maaf Tan Sri, saya...." baru Najwa hendak bersuara meinta kebenaran dari Tan Sri yang empunya rumah agam itu, Noor Azizah menegur.

           "Laaa....tak kan Kak Long panggil ayah Tan Sri, kot? Apalah abang Jimi ni..." Noor Azizah menampar bahu abangnya.

           "Come mummy," ajak si kecil lagi.

           Najwa kemudian sama menapak menaiki tangga.

           "Macam mana tu?" Tanya Tan Sri setelah kelibat Najwa hilang dari pandangan.

           Najmi memandang ayahnya. "No idea."

           Noor Azizah lagi tidak faham dengan maksud pertanyaan.

February 17, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 2

Bahagian 2 ~

            SEJAK sampai tadi tidak menang tangan Najwa melayan anak majikannya itu. Mulut macam bertih digoreng, pot pat pot pet bercakap bertanya itu dan ini tanpa henti. Seronok dengan kehadiran 'mummy'nya petang itu. Macam tidak cukup tanah dia mengejar mendapatkan Najwa ketika kereta Kelisa itu berhenti di hadapan rumah agam itu.

             Najmi pula yang macam patung cendana melihat anak sendiri yang buat macam tidak mengenali. Orang lain yang tidak ada kena mengena yang disambutnya pula.

            Najwa dipimpin masuk ke rumah tanpa sempat wanita itu berkata bertanya sepatah pun.

            Tan Sri Azizan di muka pintu tersenyum memandang. "Kamu dah kenapa?" Tanya Tan Sri kepada anak sulongnya itu. "....dah tak reti nak masuk rumah?"

            Najmi yang sudah lama tidak balik ke situ, terasa malu. Arwah ibunya dulu mahu dia menikahi anak perempuan kenalannya. Mereka sudah lama merancang akan hubungan itu tetapi Najmi tidak bersetuju dengan pilihan ibunya. Maka apabila ayahnya bercadang menghantar dia atas urusniaga dengan rakan kongsinya di California, Najmi tidak berfikir dua kali untuk menerimanya.
            Puan Sri Normah tambah sakit hati bila mengetahui kemudiannya, Najmi menikahi gadis Inggeris di sana tanpa meminta izin dan restu darinya. Lalu ibunya jatuh sakit sehingga membawa kepada kematian tidak lama selepas itu.

            Tan Sri Azizan pula menyalahkan dirinya atas apa yang berlaku. Lama dia memikirkan hikmah di sebalik apa yang terjadi. Kalau itu dan kalau ini. Tapi bahagiakah jika Najmi dipaksa oleh isterinya untuk menikahi anak kenalannya itu? Tapi sekarang setelah berkahwin dengan gadis pilihannya, dia masih juga tidak bahagia.
            Sebab itu setelah mendapat tahu Najmi sudah berpisah dengan isterinya itu, Tan Sri Azizan dengan segera mengarahkan anaknya itu agar pulang ke tanahair untuk menguruskan cawangan yang memang sedang amat memerlukan tenaganya.

            "Jimi! You are not going to stand there all night, are you?" Tegur Tan Sri Azizan cuba memujuk anak sulongnya untuk masuk ke rumah yang sudah lama dia tinggalkan.
            Dia mengagak anaknya itu mungkin malu dan sedang menyalahkan dirinya sendiri kerana tidak mengikut kehendak ibunya dahulu. Mungkin dia juga merasa bersalah kerana tidak sempat menatap wajah ibunya buat kali terakhir. Hanya pusara yang masih merah itu sahaja yang sempat diziarah seminggu selepas itu.

            Najmi menapak ke muka pintu.

            Tan Sri Azizan cepat merangkul bahu Najmi dan mereka seiring melangkah masuk. "Cu! Abang Jimi dah balik!" Jerit Tan Sri memanggil anak bongsunya.

            "Bang!" Noor Azizah di tengah tangga melaung memanggil. Rindu pada abang sulong bukan kepalang. Abang Jiminya sahaja yang mungkin sudah lupakan adiknya ketika sedang berbahagia hidup di sana. Dia menerpa mendapatkan abangnya tanpa segan silu. Abangnya itu dipeluk erat. "Cu rindu abang," ucap Noor Azizah memberitahu.

            "Abang rindu Cu juga," jawab Najmi sama memeluk adiknya.

            "Bohong!" Noor Azizah memukul lengan abangnya.

            "Eh? Tak kan abang nak jerit-jerit cakap abang rindu pada Cu dan ayah semua?"

            "Ayah cakap kali ini abang balik for good."

            Najmi memandang ayahnya yang sudah menarik kerusi di meja makan. "If there's still a room for me," tanya Najmi.

            "There's more than enoughlah bang," jawab si adik pula. Matanya tertancap pada sesusuk tubuh yang sedang berpimpin tangan dengan anak saudaranya. "Laaa....kenapa tak kenalkan dengan Cu? Ini wife abang Jimi ye?"
            Noor Azizah terus mendapatkan Nur Najwa dan meraih tangan wanita itu. Tangan itu dikucup mesra dan dia terus menarik Nur Najwa ke dakapan. Tiba-tiba dia teringat, dulu mama cakap, abang Jimi kahwin dengan orang putih. Itu sebab mama marah sangat dan terus bersungut dan membebel sehingga menyebabkan dia yang memang ada penyakit darah tinggi itu terus jatuh sakit.
            Kesian mama....tak usul periksa dah tuduh melulu.

            "Abang ajaklah kak Long ke bilik atas. Tadi Cu dah suruh Cik Tipah kemaskan bilik lama abang tu. Najwa bilik yang Mak Cu tunjukkan siang tadi tau?" Noor Azizah mengarah memberitahu.

            "Adik nak tidur dengan mummylah Mak Cu," pinta si kecil.

            "Eh! Mana boleh....dah besar kena tidur sendiri," tegur Noor Azizah.

            "Mummy!" si kecil menarik tangan Najwa yang kini sudah keras kaku di situ. "....adik tidur dengan mummy, boleh kan?"

            Najwa hanya menganggukkan kepala.

February 15, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 2

~ sambungan ~

         
            Najwa terpaksa menghantar bosnya pulang petang itu kerana Najmi mahu dia berjumpa dengan anaknya   dahulu.
            "Kereta saya kecik aje encik," beritahu Najwa untuk mengelak diri.

           "Kenapa? Kalau saya sorang pun tak muat?"

           "Bukan masalah tak muat," jawab Najwa perlahan.

           "Cepatlah...anak saya dah tunggu lama tu." Najmi pula cepat memangkah cakapnya.
       
           Najwa tiada pilihan, dia terpaksa menghantar bosnya pulang petang itu. Sudah diberikan berbagai alasan, tetapi lelaki itu sibuk mahu menumpang keretanya untuk pulang. Makanya, di pejabat tu tau-tau ajelah...berpuluh mata memandang bagai dah nak tersembul keluar. Esok pagi tadah ajelah telinga kalau tahan mendengar. Kalau tidak, mahu kena bungkus barang dan angkat kaki keluar dari situ. Lelaki ni bukan dia nak fikir pasal benda itu semua? Itu belum bab sampai ke telinga Mak Zah lagi...Adoi! Najwa tepuk dahi memikirkannya.

           "Tadi saya suruh call husband awak kan?" Tanya Najmi apabila kereta mula bergerak.

           Dia dengar Pak Hussin membahasakan dengan panggilan Puan Najwa. Puan bermakna sudah berkahwin...jadi tadi dia minta untuk bercakap dengan suami Najwa sendiri memberitahu bahawa dia memerlukan pertolongan dari Najwa. Malah Najwa si setiausahanya itu menelefon emaknya pula.

           "Husband saya mana ada encik," jawab Najwa lurus.

           "Out-station?" Agak Najmi. Kalau out-station senang sikit. Tidaklah dia rasa bersalah sangat kerana mencuri masa Najwa.

           "Out of this world," jawab Najwa lagi.

           Najmi pelik dengan pernyataan Najwa, dia berpaling memandang.

           Najwa angguk. "Dia dah ke dunia lain," sambungnya.

           Najwa memang rasa fobialah kalau nak menyebut suaminya itu telah meninggal dunia...kerana dia akan mula terbayang saat-saat kejadian yang sangat menyayat hati itu. Kalau disebut sebagai kembali ke dunia lain, dia terasa semacam suaminya itu ada menunggunya. Lebih kurang macam dia menunggu Jalal yang menyambung pengajiannya di Sydney dululah.

           "Oh!" Najmi mengurut dada. Suaminya sudah meninggal dunia, rupanya. Kesiannya...muda-muda lagi sudah pegang title 'MJ'. "I'm sorry," ujar Najmi.

           "Tak ada jodoh encik, Allah lebih sayangkan dia."

           "Kalau macam tu tak salahlah kalau saya nak mintak tolong selalu kan?"

           "Takkk!!" jawab Najwa panjang. "....kalau encik boleh gerenti saya tak kena kejar dengan isteri encik?"

           "Kenapa isteri saya nak kejar awak pulak?" Tanya Najmi kelam. "Itukan perkara biasa? Seorang setiausaha akan sentiasa mengikut pengurusnya untuk membincangkan tentang urusan kerja," terang Najmi.

           "Tapi bos yang dulu tu tak pernah pun suruh saya ikut dia ke sana ke mari?" Cerita Najwa terus terang.

          Kalau bos yang dulu tu memanjang aje tak ada di pejabat. Jadi, kerja-kerja di pejabat memang banyak Najwa yang mengurusnya. Pagi dia datang, arah itu dan ini dan kemudian dia keluar. Lepas tengahari, dia masuk lagi arah itu dan ini, belum pukul 4.00 petang dah keluar lagi. Kadang-kadang dia masuk pejabat sampai pukul 6.00 petang. Kalau tidak, terus tak masuk lagi.

         Tapi yang ini pelik pula gayanya...siap bawa anaknya ke pejabat. Kalau tidak kerana Tan Sri datang menjemput cucunya itu untuk di bawa pulang, sudah pasti dia pun sama akan berumahtangga di dalam bilik pejabat itu.

         "Itu sebab dia kedekut," jawab Najmi perlahan.

         "Isy! Tak baik encik ni...mentang-mentang orang tu dah tak ada dekat sini."


         

February 13, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 2

            "EH? Bukan hari tu Najwa kata nak tema warna pink ke?" Tanya Mak Zah kepada wedding planner yang datang menghantar tujuh dulang berisi barang hantaran yang siap digubah bertema putih dan silver.

            "Dia dah mintak tukarlah mak cik...dia tak cerita pada mak cik ye?" jawab Salman sambil mengeluarkan barang-barang itu dengan berhati-hati sekali dari Kia Carnivalnya.

            "Kenapa putih?"

            "Entahlah...saya kan cuma diupah untuk membuatnya aje. Kenapa? Tak cantik ke mak cik?"

            "Cantik," jawab Mak Zah perlahan. "Tapi bukan pasal tu..." Mak Zah diam memikir apa yang telah berlaku dua tiga hari ini. Hatinya terasa tidak begitu enak. Macam ada yang tak kena aje dengan tema yang dipilih oleh anaknya Najwa.

            Salman terpaksa keluar masuk rumah Mak Zah, mengurus sendiri barang-barang tadi kerana Mak Zah sudah tidak bergerak dari sofa.

            "Warna orang berkabung ni...." ujar Mak Zah yang melihat dulang berisi songkok yang berlilit dengan reben putih dan silver itu. "...tak baik, macam ada orang mati pulak," rungutnya sendirian.

           "Ala...tak ada apa-apalah mak cik. Sekarang ni memang trend orang nak bertema kan? Hitam dengan putih, hitam dengan emas pun saya pernah buat. Doakan yang baik aje sudahlah," kata Salman yang kini sama duduk di sofa menghadap Mak Zah menunggu wang upahnya.

           "Mudah-mudahan..." jawab Mak Zah sambil meraup wajahnya.

           Jam 10.00 pagi esok akan diadakan majlis pernikahan anaknya, Nur Najwa binti Sallehuddin dengan pasangan yang dikenali sejak zaman persekolahan, Abdul Jalal bin Ibrahim. Pada mulanya hendak diadakan waktu selepas solat Zohor tetapi Tok Kadi yang telah dilantik untuk menikahkan pasangan itu, telah ditempah lebih awal oleh dua pasangan lain.
          Apabila Pak Din, bapa Najwa mencadangkan agar di buat sebelah malam selepas Isyak pula, Tok Kadi berkenaan ada ceramah agama yang harus dihadirinya. Mak Zah mula tidak sedap hati. Banyak pula percanggahan yang berlaku di saat-saat akhir.
          Petang itu pula, barang hantarannya telah bertukar warna tema.

          Majlis persandingan yang sepatutnya menjadi majlis gilang gemilang untuk anak bongsu dan pasangannya telah bertukar menjadi majlis tahlil. Pengantin lelakinya ditimpa kemalangan sekali gus membawa maut di tempat kejadian selepas majlis ijabkabul pagi itu. Kereta yang membawa mempelai itu telah dirempuh dari belakang dan keretanya kemudian merempuh pula lori yang berada di hadapan.
         Mercedes 200C yang siap dihiasi dengan reben, remuk sama sekali dengan empat orang penumpang di dalamnya termasuk pengantin lelaki.
         Nur Najwa yang dikhabarkan dengan berita itu, rebah tidak sedarkan diri.
         Mak Zah yang mendengar sama terduduk. Dia mengucap sambil mengurut dadanya. Semacam sudah ada petanda akan berlaku perkara yang tidak diingini itu sejak semalam semasa Salman menghantar barang hantaran yang telah ditukar warna temanya. 'Aku dah agak dah,' bisik hati Mak Zah dengan lelehan air mata mengenangkan anak gadisnya kini automatik bergelar 'janda berhias'.

         Sehingga kini, keluarga sebelah arwah suami Najwa masih tidak dapat menerima kenyataan. Maklumlah ...arwah merupakan anak sulong mereka lepasan ijazah luar negara. Sebelum kejadian keluarga tersebut sangat menyayangi Najwa, tapi selepas kejadian, Najwa dianggap sebagai gadis membawa malang pula.

         Lapan bulan telah berlalu...baru dua tiga minggu ini, Nur Najwa kelihatan kembali ceria. Itupun kata Mak Zah puas dia berubat sana sini minta dipuluhkan semangat anaknya itu yang dahulunya merupakan seorang yang rajin menyakat dan membuat lawak. Selepas kejadian, masanya banyak dihabiskan di pejabat, seolah tiada eosk baginya.
         Kebetulan pengurus cawangan tempat dia bekerja itu meletakkan jawatan dan Tan Sri pula telah memberikan kepercayaan kepadanya untuk menguruskan syarikat itu sementara dia melantik seorang pengurus baru.

         Memang Mak Zah naik risau melihat Nur Najwa yang tidak mengenal akan erti penat itu. Namun Pak Din, suaminya menasihatkan agar dibiarkan sahaja kerana mungkin dengan menyibukkan diri begitu, Nur Najwa dapat melupakan kejadian yang telah menimpa di hari bersejarah dalam hidupnya itu.

          Panggilan telefon dari Nur Najwa yang memberitahu dia akan lewat pulang ke rumah lagi membuatkan hati Mak Zah tidak senang.
         
          "Bang!" Jerit Mak Zah memanggil suaminya yang tekun menonton Cinetron petang itu.

          Pak Din berpaling. "Ada apa?" Tanyanya sedikit marah kerana telah mengganggu konsentrasinya.

          "Cuba awak ke pejabat Wawa tu...intip dia buat apa? Dia kerja apa? Sampai anak bos pun dia nak kena jaga?"

          "Eh! Pandailah dia...nanti dia balik nanti awak tanya sendiri. Tak ada kerja saya nak disuruh intip pulak." Marah Pak Din lagi. Macam tak percaya dengan anak sendiri pulak.

          "Awak tu kalau dah menonton drama Indon tu...memang tak boleh disuruh. Tekun betul," marah Mak Zah pula. Dia bangun mengangkat besen yang berisi ubi parutnya tadi ke dapur. Tadi dia pun sama juga menonton drama Putri Yang Ditukar itu, entah siri yang keberapa. Sudah berbulan lamanya masih belum ada rupa nak tamat lagi ceritanya.

February 12, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 1

~ sambungan ~


"KAMU memang dah kenal dengan Najmi tu ke?" tanya Tan Sri yang memandu sendiri ke pejabat pagi itu. Kasihan dia melihat Pak Hussin yang sudah ke hulu dan ke hilir beberapa kali pagi itu untuk mengurus anaknya Najmi dan membawa pulang cucunya. Namun, menurut Pak Hussin, cucu Tan Sri itu tidak mahu berenggang dari bapanya.



            Najwa berkerut muka mendengar pertanyaan Tan Sri. Najmi mana? Tan Sri ni tanya aku ke? Tapi manalah ada orang lain lagi dalam kereta ni selain si kecil cucunya itu?

            "Najmi mana Tan Sri?" Najwa bertanya perlahan.

            Tan Sri Azizan mengerling cermin pandang belakang. "Hai? Dah keluar sama-sama tak tahu Najmi mana pulak?" Perli Tan Sri.

            Najwa di belakang hanya kaku. Nak mengangkat muka pun rasanya dah tak mampu.

            "Najmi tu anak sulong saya, dia pengganti pengurus kita yang
 berhenti hari tu..." jelas Tan Sri. "...cucu saya ni..." Tan Sri memuncungkan bibirnya ke sebelah. "....nama dia Najwa juga."

           Ooo...baru aku tahu itu bos baru rupanya. Najwa terangguk-angguk. "Tapi kenapa di ke pejabat bawak anaknya Tan Sri?" Najwa terus bertanya hairan.

           "Dia berdua ni baru sampai sini dari US, hari minggu semalam. Isy! Kalau nak cerita panajang sangat ni...abaikanlah kisah dia orang tu," ujar Tan Sri bila keretanya sudah membelok masuk ke perkarangan rumah agamnya.

           "Nak dikejut ke Tan Sri?" Tanya Najwa si setiausaha apabila dia melihat si kecil Najwa sudah terlentuk tidur di tempat duduk bahagian depan.

           "Kamu pergi ke belakang sana cari Pak Hussin, mintak dia hantar kamu balik ke pejabat. Najwa ni biar saya yang angkat masuk ke rumah. Penat lagilah tu...tak cukup rehatnya," bebel Tan Sri sambil mengangkat perlahan cucunya.

           "Baik Tan Sri."

NAJWA sedikit berlari anak masuk ke pejabat. Dia sudah tahu kini siapa lelaki yang berada di dalam bilik pengurus itu sekarang ini. Nampak tadi macam sombong benar orangnya...mentang-mentang dia anak Tan Sri yang empunya syarikat ini. Sehinggakan anaknya hendak ke tandas pun, main paksa orang lain yang membawanya.

            "Nur Najwa!" Cepat Najmi memanggil bila dia nampak kelibat Najwa yang melintas lalu di hadapan biliknya.

           "Ya encik?" Najwa menjawab sambil menjengokkan kepalanya di muka pintu.

          "Masuk sini sekejap."

          Najwa menolak daun pintu lebih lebar dan meloloskan dirinya ke dalam. Dia berdiri tegak dengan tangan disilangkan ke belakang macam gaya askar kena court-martial.

          "Mana contract latest yang tak siap dibuat oleh bos lama awak tu?" Tangan Najmi sibuk menarik laci kiri dan kanan mencari surat contract mengenai pinjaman dengan pihak bank. "Tadi pihak bank dah call saya pasal pinjaman untuk projek Bina Ceria tu."

          "Laaa...kalau fail tu pada Tan Sri, encik," jelas Najwa.

          "Tan Sri bawak balik rumah ke?" Tanya Najmi pula. Dia memang tidak tahu apa-apa pasal projek Bina Ceria tu. Dia belum lagi sempat duduk berbincang dengan ayahnya bertanyakan tentang perkembangan tugas yang diambilalihnya itu.
          Ayahnya, Tan Sri Azizan mengarahnya agar pulang ke tanahair untuk menguruskan syarikat mereka sendiri dan juga untuk mengelak bekas menantunya dari merebut hak penjagaan anak. Tan Sri tidak mahu cucunya yang satu itu jatuh ke tangan wanita Inggeris, bimbang akan kedudukan agamanya. Siapa yang akan membimbing cucunya itu ke arah agama Islam?
          Entah salah siapa agaknya? Irfan Najmi dihantar ke California atas urusniaga dengan rakan kongsi Tan Sri Azizan untuk menguruskan satu projek di sana. Namun, anak lelakinya itu cepat terperangkap dengan keindahan dan terus menikahi gadis Inggeris anak rakan kongsinya itu walau tanpa persetujuan dari Tan Sri Azizan apatah lagi isterinya, Puan Sri Normah.

         "Manalah saya tau...cuba encik call dia tanya," arah Najwa. Terlupa dia ketika itu dia sedang mengarah bos barunya.

         Najmi mengangkat wajah memandang Najwa. Siapa setiausaha sekarang ni?

         Najwa terkebil-kebil memandang lelaki itu tidak memahami maksud renungannya.

         "Awak tak boleh tolong call?"

         "Saya?" Najwa menunjuk ke mukanya sambil membeliakkan mata.

         "Kenapa?"

         "Tan Sri tu kan bapak encik? Lebih senang kalau encik sendiri bertanya pada dia," jawab Najwa memberi alasan. Namun apabila dia baru mahu mencapai gagang itu terkejut bila telefon itu terlebih dahulu sudah berdering. Dia mengurut dada.

         Najmi yang memandang gelagat setiausahanya itu rasa nak gelak tergolek dibuatnya, namun dia hanya menahan dalam hati sahaja.

         "Encik tak nak jawab ke?"

         "Awak yang berdiri dekat situ, jawab ajelah."
       
         "Yess  boss." Lalu dia menjawab panggilan. "Hello, Mega Bina Holdings, may I help you."

         "Najwa...saya i. Najmi mana?" Suara Tan Sri di seberang talian. Najwa cepat menghulurkan gagang kepada Najmi.

          Najmi menyambut sambil mengangkat kening bertanya.

          "Tan Sri," bisik Najwa.

          "Ayah, what's up?" Tanya Najmi tanpa salam.

         "Daddy! I want my mummy..." terdengar tangisan di sebelah sana talian. Kata tadi Tan Sri, tapi suara anaknya yang sedang menangis mencari ibunya.
         Pelik? Mana dia rapat dengan ibunya? Semasa di California dulu lagi anaknya sering ditinggalkan dengan kak Lina yang mengikut suaminya menyambung pelajaran di sana. Kebetulan kak Lina masih belum dikurniakan dengan cahaya mata, maka Najwa itu dibela seakan anak sendiri.

         "Adik! Behave okay? Daddy will be home soon. Mak Cu kan ada?"

         "I want mummy, daddy. Please?" Suara anak itu mendayu minta dikasihani.

         "Mana ada mummy...adik kan ada daddy aje?" Pujuknya mengingatkan.

         "Dekat ofis tu tadi kan ada mummy?" Rayunya lagi.

         "Okey...adik jangan nangis lagi. Nanti daddy balik bawak mummy, ye?"

         "Promise?" Si kecil Najwa seberang talian kesukaan.

         "Promise...if you promise me to behave until daddy gets home."

         "Yes daddy...I love you," jerit si kecil Najwa.

         "Love you too, sayang. Give the phone to Tok ayah, please. Daddy wants to speak to him."

         "Tok ayah! Daddy wants to speak with you!" Terdengar jeritan si kecil Najwa memanggil Tan Sri.

February 11, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 1

~ sambungan ~

DI DALAM Restoran Sinaran Pagi...........

            Lelaki itu menarikkan kerusi untuk anaknya. Namun si anak memilih untuk duduk sebelah Najwa pula.

            "Adik nak duduk dengan mummy," terangnya.

            "Suka hatilah," jawab si ayah kecewa.

            Pelayan datang menghulurkan menu.

            "Beri saya Nescafe tarik," pinta si ayah. Dia kemudian merenung wajah si anak yang kononnya sama membuka menu yang diberi. "Adik nak makan apa?" Tanya si ayah.

            Dia yang belum pun pandai membaca itu tidak tahu apa yang hendak dicarinya. "I want scrambled eggs and fries daddy."

            Bulat mata Najwa merenung menu. Dia yang sudah biasa makan di restoran itu belum pernah pulak tuan punya kedai menyediakan makanan barat untuk sarapan pagi. Dia membelek menu yang sekeping itu depan dan belakang. Matanya kemudian merenung ayah si anak sambil menggelengkan kepala.

            Si ayah cepat mencari idea. "Oo...dekat sini, nenek tu tak pandai buat scrambled eggs and fries lah sayang," katanya sambil menunjuk kepada seorang pelayan yang sudah berumur sedang menyenduk Nasi Lemak masuk ke pinggan. "Adik nak Nasi Lemak? Dia ada boiled egg?" pujuknya.

             Anak yang sama tekun memandang ke arah nenek yang ditunjukkan oleh si ayah tadi cepat mengangguk. Takut barangkali.

             "Okey...beri dia Nasi Lemak, tapi jangan letak sambal. Letak telur rebus sebiji dengan Milo panas ye?" Pesan si ayah.

             Pelayan mengangguk.

             "Saya nak Nasi Lemak Special.." pinta si ayah yang mungkin sudah rindu dengan makanan Melayu.

            "Nak ayam apa encik? Goreng? Sambal atau rendang?" Tanya pelayan ramah.

            "Beri yang rendanglah."

            "Baik." Pelayan mencatit pesanan.

            "Awak tak nak makan ke?" Tanya si ayah.

            "Tak apa...saya dah breakfast dekat rumah tadi," jawab Najwa. "Beri Nescafe tarik ajelah."

            Lelaki itu mengulum senyum. Sama taste.

            "Tok ayah!" Tiba-tiba si kecil memanggil.

            Si ayah berpaling memandang. Dia melemparkan senyuman lalu berdiri menyambut kedatangan Tok ayah. Salam dihulur dan tangan Tok ayah dikucup mesra. Mereka kemudian berpelukan.

            Lama.

            "Join us?" Tanya si ayah.

            Najwa di sebelah si kecil terbeku. Namun dia bersuara juga. "Assalamualaikum Tan Sri."

            "Waalaikumsalam."

            "Tan Sri! Saya....."

            "It's okay...saya cuma nak jumpa cucu saya aje." Pangkah Tan Sri sebelum sempat Najwa menerangkan keadaan. Tan Sri membongkok mencium cucunya. "How are you?" Tanyanya kepada si kecil.

            "I'm good," jawabnya petah sambil memeluk tengkuk Tok ayah.

            "Ikut Tok ayah balik, daddy nak kerja," terang Tok ayah kepada cucunya.

            "Adik ikut mummy," cepat si kecil menjawab.

            Mummy? Berkerut dahi Tan Sri mendengar ayat itu. Dia merenung anak lelakinya bertanya tanpa suara. Baru sampai semalam dah dapat pengganti?

            "Rindu mummy dia agaknya," jawab anak Tan Sri.

            "Tapi mummy ni nak kena kerja," terang Tok ayah yang faham maksud cucunya tadi. "Ikut Tok ayah  balik, dekat rumah Tok ayah ada Mak Cu."

            Si kecil memandang muka Najwa....kemudian memandang daddynya pula. Dia memuncungkan bibirnya sambil menggelengkan kepala.

            "Sudah!" Si ayah menggaru kepala tak gatal. "Payahlah daddy nak kerja kalau adik tak nak ikut Tok ayah balik?" Rungut si ayah.

            "Adik mana ada kacau daddy? Adik kan ikut mummy aje?"

            Si ayah memandang Najwa meminta bantuan menyelamatkan keadaan. Kalau-kalau dia ada idea yang bernas boleh digunapakai di dalam waktu kecemasan begitu. Entah aura apa yang ada pada Najwa itu sehingga si anak terus jatuh cinta padanya.

            "Macam nilah...Najwa ikut Tok ayah balik, bawak mummy sekali," cadang Tan Sri pula.

            Najwa? Apa maksud arahan Tan Sri sekarang ini Najwa tidak faham. Najwa - ikut - Tok ayah - balik- bawak - mummy - sekali. Najwa mengajuk arahan Tan Sri sebiji sebiji dalam hati untuk memahami erti arahan.

            "Najwa...awak ikut saya sekali, karang saya suruh Pak Hussin hantak balik ke ofis," arah Tan Sri.

            Najwa. Kini giliran anak lelaki Tan Sri pula keliru dengan panggilan Najwa dari ayahnya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...