April 25, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 16

MERCEDES C200 itu di parkir di tepi jalan di kawasan taman permainan. Nur Najwa yang mengikut itu tadi berpaling memandang Najmi.

           "Kata tadi nak ajak teman beli barang?"

           "Tak kan nak berbincang pasal urusan peribadi di shopping complex?" Jawab Najmi mematikan enjin kereta. "Jom adik!" Ajak Najmi yang sudah keluar membukakan pintu belakang untuk anaknya.

           "Adik nak naik swing daddy," ujarnya gembira dapat lepas bebas hari itu.

           "Okey," jawab Najmi gembira bila melihat anaknya bernyawa. Kesian anaknya itu yang banyak menangis dari bergembira selama dia membesar.

           Nur Najwa hanya mengekor dari belakang. Najmi mengejar anaknya yang berlari untuk merebut buaian. Nur Najwa membayangkan jika ibu kandung si kecil yang turut sama pada petang itu tentu nampak bahagia sungguh dengan hilai ketawa si kecil yang seakan gayat bila bapanya menghayun buaian sedikit laju.
           Dia kemudian membayangkan dirinya pula...jika Jalal masih hidup, tentu mereka juga sudah punya anak yang dapat menghiburkan hatinya.
           Nur Najwa melabuhkan duduknya di kerusi batu yang tersedia jauh di sudut taman. Dia hanya memerhati orang dua beranak itu. Dia sudah berfikir lebih sepuluh kali untuk tidak terlalu rapat dengan si kecil lagi kerana ibu kandungnya kini telah pulang untuk tinggal bersama.
            Pelik juga melihat anak yang tidak rapat dengan ibu kandung sendiri. Kenapa?

            Najmi yang menghayun anaknya itu memerhati Nur Najwa yang cuba memencilkan diri duduk di kerusi batu bersendirian. Terasa bersalah di dalam hatinya kerana semenjak kehadiran dia dan anaknya, hidup wanita itu berubah corak.
            Kini setelah ayahnya mencadangkan untuk dia menikahi wanita itu, bekas isterinya pula muncul. Apa yang harus dia katakan untuk memujuk hati wanita itu sekarang ini?



            "Adik main sendiri boleh?"

            "Where are you going daddy?"

            "Daddy nak ajak mummy datang sini."

            "Okey," jawab si kecil senang hati. Memang belum pernah dia dibawa ke taman permainan di waktu petang begitu.

            "Be careful, okay?" Najmi mengingatkan sambil melepaskan tali buaian.

            Anak yang keseronokan itu sudah tidak menjawab. Dia hanya menganggukkan kepalanya sahaja.

            Najmi mendekati Nur Najwa dan sama melabuhkan duduknya di kerusi batu itu. "Anak saya tak pernah dibawa ke taman permainan....seronok dia bila dapat ke sini," cerita Najmi sambil mata tegak memerhati anaknya.

            Nur Najwa tumpang gembira melihat si kecil itu gembira berayun di buaian petang itu. Dia juga tidak bersuara.

            "Saya nak minta maaf atas apa yang terjadi selama saya dan anak saya sampai ke mari..." Najmi memulakan mukadimahnya.

            Nur Najwa berpaling memandang wajah Najmi yang matanya masih tegak memerhati si kecil yang ditinggal sendirian di buaian.

            "Kami telah banyak menyusahkan hidup awak," tambahnya lagi. "Frankly speaking, saya bersedia menerima awak menjadi isteri saya...." ucap Najmi berpaling memandang Nur Najwa. "...jika Christine tidak datang pada malam itu."

            Nur Najwa faham. Dia kemudian menundukkan wajah memandang rumput di kaki.

            "Saya tak berani hendak menikahi dua orang sekali gus...saya tak mampu untuk berbuat demikian, walaupun Christine rela hidup bermadu. Saya tidak yakin saya dapat membahagiakan kedua-dua isteri saya dan saya tidak sanggup menjawabnya di akhirat nanti."

           Nur Najwa masih membisu. Dia memang tidak mahu berkata apa-apa berhubung hal itu. Mujur mereka belum terlajak melakukannya. Jika mereka sudah menikah dan kemudian Christine muncul, sudah tentu dia tidak boleh menarik diri dan terpaksa menerima keadaan. Hati mengucap alhamdulillah. Apa yang berlaku itu adalah ketentuan Allah.
           Nur Najwa redha walau hati tercuit juga rasa pilu dan sayu mengenang nasib diri. Tetapi dia percaya apa yang berlaku itu ada hikmah di sebaliknya. 'Allah will not burden you more than you can bear' Nur Najwa teringat petikan dari surah Al-Baqarah ayat 286 yang dibaca ketika di rumah abang Ngahnya dulu. Ayat itu memang dapat memujuk hatinya. Ayat itu penyembuh laranya
            Kata-kata seorang teman selepas dia ditinggalkan pergi oleh Jalal buat selama-lamanya kini muncul di kotak memori. 'Past is experience, present is experiment and future is expectation. Use your experience in your experiments to achieve your expectations'.

            "Mummy!" Jeritan si kecil mengejutkan Nur Najwa dan Najmi yang terkhayal dibawa masalah hidup.

            Empat biji mata itu terus memandang ke arah suara yang menjerit.





         

April 18, 2012

Memories Remained....

Hi peeps!

Kita rehat sehari untuk mengimbau kembali kenangan lama. Jom! ku bawa kalian ke waktu aku dikelilingi anak-anak yang sedang membesar dan tercampak untuk hidup di daerah yang asing.

Ladang Gedong, Bagan Serai Perak.

Makanan di sini masih murah dan mewah. Hari-hari kita boleh jumpa udang galah dan yang paling bestnya tu, udang galah yang ditangkap sendiri oleh Inche Somi kita...hihihi...bangganya.

Teman dan kenalan sangat baik dan peramah. Sempat bertukar-tukar lauk dengan jiran tetangga yang tinggal paling hampir dengan kita....(eh! tertukar ganti nama pulak)


Abang & Angah yg membesar di situ bersama Polly, kuda padi belaan mereka....

Abang Long sempat bersekolah di Semanggol, sementara Angah pula bertadika di Kelab Bell Belia Tamil. Hehehe...sorry Ngah, itu aje yang ada dan yang paling dekat. Alaa....Azlan Shah dan Ahmad Shah pun sekolah di situ juga. Dapat juga masing-masing jadi doktor dan engineer, kan? Cuma sekarang ini Angah sudah tidak pandai lagi menulis dan bertutur dalam bahasa Tamil.

Berikut adalah gambar kakak (anak ketiga dari 4 adik beradik) semasa kami tinggal di Ladang Devon, Jasin Melaka.


di batas jagung....

Xtvt kami waktu ptg...bercucuk tanam...

Kebelakangan ini kami asyik berbual mengungkit kisah lama. Anak-anak ni kalau tak kita ingatkan waktu kecil-kecil mereka dulu, mereka ingat mereka dilahirkan terus sebesar itu agaknya. Maka itu, album lama yang disimpan itu dibongkar semula untuk memulakan al-kisah.

Nak ditunjukkan gambar masa baby karang malu pulak sebab badannya memang macam Incredible Hulk. Apa yang boleh ditunjukkan di sini, hanyalah gambar yang nampak sedikit 'slim' ~ muahaha.....

Kemudian kami berpindah ke Ladang Mengaris di Sandakan Sabah........

Dua beradik perempuan yg dibawa tinggal di Sabah ketika itu....

Abang Long dan Angah ditinggalkan bersekolah di Kluang, Johor di bawah jagaan nenek mereka. Masalahnya.... perjalanan ke sekolah itu mengambil masa yang panjang kerana tempat tinggal kami di Ladang Mengaris itu lebih kurang 42 batu jauhnya untuk sampai ke bandar Sandakan. Agak-agaklah...nak bangun pukul berapa untuk ke sekolah tu? Huisy! Pengalaman betul.....

Berkat sabar tadi, kami berpindah pula ke Kuching, Sarawak dan anak-anak berjaya dikumpulkan kembali kerana tinggal di kawasan paling hampir dengan sekolah. Sekolahnya depan batang hidung je tau? (bidaah je...mana ada)



di Green Road, Kuching Sarawak....


di Ladang Tennamaram, Bestari Jaya...

Dari Kuching, kami ke Batang Berjuntai ...(Ooo! sudah tukar ka?)  Semenjak ada ura-ura untuk menubuhkan Universiti Industri Selangor di daerah yang tak berapa nak femes pada suatu ketika dulu, nama pun sudah ditukar ke Bestari Jaya ~ cer klik sini. Kita siap tengok peta tau masa dengar kena tukar ke sana tu. Macam pelik aje namanya,kan? Tapi memang wujud....

Peratusan penduduknya dikuasai oleh kaum India. Sorry to say la...toleh sana gelap...toleh sini malap. Tapi  mereka tak kacau kita kalau kita tak kacau mereka, betul tak?

Untuk itu pemaju-pemaju perumahan mengambil inisiatif menamakan Taman-taman Perumahan mereka dengan nama-nama yang yang berkait rapat dengan majoriti bangsa yang terdapat di situ seperti Taman Kilauan, Taman Sinaran to name a few. Selebihnya kena ronda ke sana...tengok sendiri....hehehe


Pondok Indah, di Chokropolitan, Simpang Renggam....

and the list goes on and on....sehingga kita minta pulang ke tempat sendiri kerana anak-anak sudah mula membesar dan ada yang mahu menghadap peperiksaan yang tidak memungkinkan kita mengikut Inche Somi berpindah randah lagi.

Bahagianya pulang ke rumah sendiri yang telah ditinggalkan....*jap nak kira*. Lamalah....mujur je batu, kalau rumah kayu ke...pondok buruk ke...dah lama tinggal bekas je.

Habis tu...pindah lagi ke?

Masih ko!

Anak-anak yang tak berapa kerat tu semuanya pulak nak blajo kat Kay Hell (KL), maka dengan emak-emaknya sekali berangkat sama. Kang nak ulang-alik ke Johor tu bukannya dekat.

Makanya tercampaklah kita di sini....sekarang ini....buat masa ini. Sekian dimaklumkan.


Setia Impian, Setia Alam.....

N3 khas ini adalah untuk tatapan anak-anak yang berada di luar mahupun di dalam negeri. Semoga anak-anak semua berada di dalam lindungan Allah.

Alhamdulillah....di sini bermula kerjaya ku sebagai penulis. Semoga hidup dirahmati Allah selalu. Amin!




Junie Octovian ~ Di mana bumi dipijak.....di situ langit dijunjung.





Oooops! Ketepi! Ketepi!..........ada PENGUMUMAN penting.



My dear pengunjung....tolong vote untuk adik sorang ni yang masuk bertanding pilihanraya DIGIWWWOW Awards  2012 ni......


Untuk keterangan lebih lanjut, kalian boleh ke blog beliau seperti yang tertera dalam gambar. Peramah dan baik budi bahasanya...(akak tolong jualkan saham sekali) hehehe.

Mohon jasa baik kalian untuk vote dia setiap hari mulai 23 April nanti sehingga 13 May, 2012. Kalau dia menang nanti, kita yang tolong promote dia ni dapat kain sarung batik dari Terengganu, boleh pakai buat mandi manda kat sungai...hehehe.

*Sambil pegang loud speaker chekgu beso sekolah Seri Kencana* "Liesa! Ajak kawan-kawan vote abang Eqbalzack ni! Nanti balik SAMEPUNK mama andak belanja 'ngodi' kedai cik Nab."








April 17, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 15

~ sambungan ~

"SAYA dah hantar dia ke PERKIM untuk mempelajari dan mendalami agama Islam. Kalau niatnya betul, insyaAllah dia akan dapat bertahan lama dan baru saya akan menikahi dia," terang Najmi.

           "Alhamdulillah...baguslah macam tu," ujar Mak Zah setuju dengan tindakan Najmi. "...macam mana dengan penyakitnya?" Mak Zah baru teringat Nur Najwa ada memberitahunya bahawa wanita itu sedang bertarung dengan barah payudara.

           "Itu hanya Allah sahaja yang mengetahui mak cik, buat masa ni memang dia terpaksa terus menerus akan mendapatkan rawatan."

           Mak Zah angguk faham. "Kesiannya..." sempat dia menuturkan.

           Pak Din tidak menyampuk kerana bahagian kisah bekas isteri Najmi yang baru sampai dari Amerika itu, dia memang tidak tahu.

           "Saya nak mintak izin bawa Najwa keluar kejap boleh tak? Ada barang rumah yang hendak dibeli, tapi saya tidak berapa pandai memilih," ujar Najmi minta izin untuk membawa Nur Najwa keluar.



           "Cuba tanya dia sendiri?" Suruh Pak Din. "Najwa!" Anaknya dipanggil. Masakan Najmi hendak ke dapur mencari Nur Najwa pula? Entah mahu entah tidak Najmi memijak dapur rumahnya yang hanya berlantaikan simen biasa sahaja itu dan dialas dengan tikar getah untuk mencorakannya.

           Nur Najwa datang dengan si kecil. "Ada apa ayah?"

           Pak Din berpaling memandang wajah Najmi minta dia sendiri mempelawa Nur Najwa untuk dibawa keluar. Pak Din mengangkat keningnya mengarah.

           "Can we go out for a while...I'd something to discuss," ujar Najmi.

           Nur Najwa memandang ayahnya.

           Pak Din angguk walaupun dia tidak faham biji butir yang dituturkan oleh Najmi tadi.

           Mak Zah juga menganggukkan kepala memberi kebenaran. Setakat 'go out' dan 'discuss' yang dituturkan Najmi itu Mak Zah sudah mengerti. Ada benda yang hendak dibincangkan oleh Najmi dengan Nur Najwa.

           Tanpa bersuara, Nur Najwa memimpin si kecil menaiki tangga ke biliknya untuk menyalin pakaian. 

           "Are you coming home with me, mummy?"

           "Adik kan dah ada Christine?"

           "She's leaving us again."

           "Don't worry...she'll be back. Dia akan jadi mummy adik yang sangat baik," pujuk Nur Najwa.

           "How do you know?"

           "Your daddy's sending her away to learn to be a good mummy."

           "But I want you."

           Nafas Nur Najwa sesak kembali. Payah betul si kecil ini hendak mengerti. Bagaimana hendak difahamkan  kepadanya tentang erti hidup berkeluarga? Tentang kasih dan sayang yang perlu ada.... tentang ikatan yang harus dipatri untuk membolehkan mereka hidup bersama?
           Sekarang ini, Nur Najwa dan Najmi percaya diantara mereka sudah terasa ada kasih dan sayang hasil dari sentuhan kasih anaknya. Namun kehadiran Christine seolah menyekat perjalanan mereka untuk membina keluarga yang bahagia.
           Nur Najwa tidak mahu hidup bermadu sebagaimana yang disarankan oleh Tan Sri. Najmi pula belum  memberi kata putus dalam hal ini dan Nur Najwa juga tidak mahu membebankan Najmi dengan tanggungjawab yang tidak akan terpikul olehnya. Melainkan mereka bertiga bekerjasama untuk mencari kebahagiaan itu. Mampukah dia? Mahukah Christine? Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui.











           

April 16, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 15

~ sambungan ~


NUR NAJWA sengaja menyibukkan diri untuk menghilangkan rasa tekanan yang melanda dirinya sejak kebelakangan ini. Semasa di rumah abang Ngahnya pun dia macam itu juga. Tetapi di rumah abang Ngah memasak kerana mendapat tempahan. Di rumah emaknya pula, kalau asyik masak, siapa yang hendak menghabiskannya?
           Nur Najwa siap membancuh seteko kopi dan dibawa ke depan. Puding Karamel tadi diletakkan di hadapan Pak Din minta dikomen akan rasanya. Melihat ayahnya yang macam acuh tak acuh itu Nur Najwa bertanya, "...ayah tak suka ke?"

           "Kenyang lagi...." jawab Pak Din sambil menggosok perutnya. "...sedap pulak makan nasi kenduri kahwin ni sesekali di rumah," katanya mengelak dari dipaksa oleh Nur Najwa merasa Puding Karamelnya itu.

           "Mummy!"

           Jeritan di luar pagar rumah membuatkan Mak Zah bertiga beranak yang sedang menonton petang itu berpandangan diantara satu dengan yang lain. Suara yang melaung itu macam sudah sinonim dengan cuping telinga masing-masing terutama Nur Najwa.

           "Macam suara cucu Tan Sri aje tu?" Mak Zah mendahului bersuara kerana dia tahu suaminya memang kelam sikit dan Nur Najwa mungkin rasa terkedu tidak menyangka anak itu akan datang mencarinya di rumah. Tapi dengan siapa? Mak Zah bangun menuju ke tingkap. Langsir yang menutupi jendela itu diselak ke tepi. "Wa..." Mak Zah memanggil perlahan dengan mulut masih terlopong tidak percaya. "...si Sepet tu datang dengan anaknya," beritahu Mak Zah sambil melambai-lambaikan tangan ke arah Nur Najwa untuk sama mendekatinya di  jendela itu.

           "Eh! Bukaklah pintu," arah Pak Din.

           "Mummy!" Suara anak kecil itu memanggil lagi.

           Pak Din bangun dan menapak ke muka pintu. Daun pintu dibuka lebar dan sebuah kereta putih dilihat menjalar menutupi jalan masuk ke rumahnya. Seorang kanak-kanak terkial-kial cuba membuka pagar rumah yang hanya diselak itu. Lelaki sepet yang dikatakan oleh isterinya tadi menyandar di kereta sambil berpeluk tubuh menunggu.



           Pak Din yang sudah sangat mengenali lelaki dan anak itu cepat menyarung selipar dan menapak ke pintu pagar untuk membukanya.

           "Atok! Is my mummy home?" Tanya anak kecil itu.

           Pak Din mengangkat wajah memandang lelaki bermata sepet itu minta pertolongan.

           "Maaf pak cik....anak saya nak jumpa Najwa," kata lelaki bermata sepet itu.

           "Jom masuk!" Ajak Pak Din ramah. "Jom tuan!" Panggilnya lagi. Pak Din memang payah hendak mengingat nama yang pelik pada pendengarannya.

           Nur Najwa melarikan dirinya ke dapur. Mak Zah terpacak menunggu di pintu rumah.

           "Nenek!" Tegur si kecil yang terkedek-kedek datang mendekatinya. "I want to see mummy," kata si kecil.

           "In the kitchen, go!" Jawab Mak Zah dalam bahasa Inggeris yang dipelajari menerusi menonton TV dan belajar dari anak cucunya.

           "Mummy...gotcha!" Si kecil keseronokan dapat berjumpa dengan Nur Najwa. Mereka terus berpelukan.

           Nur Najwa tidak bersuara. Malu dengan lelaki itu tidak dapat hendak dihuraikan yang bagaimana. Ke mana lagi dia hendak melarikan diri? Berbuat begitu bermakna dia menyusahkan diri sendiri. Mulai sekarang dia harus cekal dan keras hati. Dia harus hadapi ujian ini.

           "Sepanjang hari dia mencari Najwa mak cik," ujar Najmi setelah melabuhkan duduk. "Cik Tipah dah tak tahu nak cakap apa. Saya di pejabat pun tak senang nak bekerja."

           "Eh! Kata Wawa, emak omputihnya dah balik sini," ucap Mak Zah lurus bendul sambil menuangkan kopi yang siap ada di atas meja tadi.

           "Kalau dia hendak dengan emak dia dari dulu, tentu saya pun tak balik ke Malaysia ni mak cik," terang Najmi. Mudah-mudahan Nur Najwa sama mendengar penerangannya itu.

           "Habis tu...emaknya sekarang ni di mana?" Tanya Mak Zah yang sedikit musykil dengan kedudukan cerita.

         


April 15, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 15

           "YA LAH...kalau Wawa buat keputusan untuk tarik diri, emak ikut ajelah," kata Mak Zah yang sekerat hari mendengar cerita anaknya. "Habis tu, jadi ke nak kerja balik kat situ?" Mak Zah yang sudah mula menapak untuk keluar dari bilik itu berpaling menanya.

           "Kerja ajelah mak....nak cari kerja lain susah sekarang ni. Pandailah Wawa nanti nak buat macam mana," jelas Nur Najwa yang bercadang untuk meneruskan kerjanya di Mega Bina Holdings itu seperti yang telah ditawarkan oleh Tan Sri.
           Rugi pula rasanya kalau hanya kerana Najmi dia terus berhenti. Kalau masih bekerja, sekurang-kurangnya dapat juga dia membantu membayar bil-bil di rumah emaknya itu.

           Mak Zah angguk dan terus menapak keluar bilik.

           "Mak!"

           Mak Zah berpaling bertanya.

           "Hari ni Wawa nak masak...emak pulak rehat ya?"

           Mak Zah berkerut muka pelik. Ya sangatlah tu...karang Pak Din mulalah komplen...kuah cairlah...tak ada rasa garamlah...nasi keraslah...
           Tapi dah anaknya offer diri untuk memasak hari itu, tak kan Mak Zah nak tolak pulak? Esok-esok dia langsung tak ingin nak ke dapur.

           "Boleh mak?"

           "Ya boleh....tapi cepat turun. Dah pukul berapa ni...perut mak dah nyanyi lagu Micheal Jackson," jawab Mak Zah sayup di mata tangga.

           Pecah ketawa Nur Najwa di bilik mendengar kata-kata emaknya. Biasanya kalau lapar, perut akan mengalunkan irama keroncong, tapi perut emaknya mendendangkan lagu Micheal Jackson pula. Ini tentu kes sudah lapar benar.

         
BURP! Kedengaran sendawa Pak Din petang itu. Dia menolak kerusi ke belakang dan bangun meninggalkan meja dapur.
          "Alhamdulillah," ujar Pak Din sambil melabuhkan duduknya di sofa menghadap TV pula.

          "Ayah tak makan dessert ni?" Tanya Nur Najwa dari dapur. Tadi dia sempat membuat Puding Karamel untuk minum petang.




          "Bawak ajelah ke mari," kata Pak Din yang tidak biasa dijamu dengan makanan gaya barat itu. Kalau kuih ketayap ke...kuih keria ke, dia memang sudah biasa.

          "Nanti Wawa buatkan kopi sekali,"  sahut Nur Najwa yang mengambil alih kerja di dapur hari itu.

          Mak Zah yang sedang melipat kain baju hanya memerhati dan mendengar perbualan anak dan bapak itu. Dia sendiri pun pelik dengan perubahan yang berlaku pada diri anak perempuan tunggalnya itu. Kalau dari dulu dia sudah menunjukkan kerajinannya itu, sudah tentu Mak Zah beruntung kerana dapat banyak berehat.

          "Ada tamu ke tadi?" Pak Din menanya Mak Zah kerana hari ini dia dijamu dengan Nasi Tomato dan Ayam Masak Merah, macam pergi makan kenduri pula gayanya.

          "Tamu mana pulak?"

          "Tu yang masak gaya makan kenduri rumah orang kahwin?" Sangka Pak Din tentu Tan Sri atau anaknya ada datang menghantar Nur Najwa pulang. Sebab itu isterinya beria-ia memasak agak istimewa berbanding dengan hari-hari biasa.

          "Wawa yang masak hari ni...saya dah beli ikan selar nak masak pindang aje tadi, tiba-tiba dia sibuk nak memasak," adu Mak Zah.

          Pak Din angguk. Hati berbunga bangga kerana anak perempuan tunggalnya itu sesekali ke dapur, tapi memasak masakan istimewa pula.

          "Awak ada cerita dengan sesiapa ke pasal cadangan Tan Sri dulu yang saya cakap?"

          "Belum sempat lagi...kalau nak cepat, nanti masa solat Maghrib saya tanyakan Tok Imam di surau tu."

          "Tak payah bang....cancel aje," arah Mak Zah.

          "Apasal pulak?"

          "Wawa tak nak."

          Pak Din cepat berpaling mencari kelibat Nur Najwa. Patutlah dia dah balik, dia tak setuju rupanya. "Kenapa?" Sempat Pak Din bertanya.

          "Wawa cakap dia tak nak bermadu dengan isteri orang putih Najmi tu."

          Pak Din berkerut muka tidak memahami cerita. Kalau anak Tan Sri itu sudah ada isteri, kenapa masih hendak meminang Nur Najwa? "Habis tu...kenapa selama ini budak kecik tu macam tak ada emaknya aje?"

          "Panjang ceritanya bang, tanyalah anak awak tu kalau nak tahu kisah sebenar dia," ucap Mak Zah sambil mengangkat kain baju yang berlipat diletakkan di mata tangga. Nanti sesiapa yang hendak naik ke bilik masing-masing, bawa sekali bahagian mereka.
          Mak Zah memang sudah tidak kuasa hendak turun naik, turun naik. Kepala lututnya sudah rasa hendak tertanggal mengurus rumah dua tingkat itu selama ini. Sekarang pun masa siangnya banyak dihabiskan di tingkat bawah sahaja.



April 14, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 14

~ sambungan ~

NUR NAJWA membawa si kecil sama ke laman kerana si kecil tadi tidak mahu berenggang dengannya. Najmi hanya mengekor dari belakang.

           Nur Najwa melabuhkan duduknya menghadap Tan Sri yang duduk bersilang kaki menunggu sejak dari tadi lagi.



           "Eh? Cucu Tok Ayah tak tidur lagi?"

           Si kecil menggeleng.

           "Pergi naik tidur dengan daddy ye?" Pujuk Tan Sri yang mahu berbincang empat mata dengan Nur Najwa. Kalau ada Najmi sama karang bimbang Nur Najwa malu hendak bercakap.

           "Dia tak nak ayah....Jimi dah ajak tadi," beritahu Najmi yang sama duduk memangku anaknya. Tetapi tangan si kecil masih memaut lengan Nur Najwa di sebelah.

           "Huh...tak apalah. Bagus juga dia dengar, biar dia faham apa sebenarnya yang berlaku sekarang ini." Tan Sri memandang wajah cucunya. Kemudian beralih kepada Nur Najwa dan anaknya Najmi. "Semua masalah ada jalan penyelesaiannya. Atas kita manusia hendak dibuat bagaimana," Tan Sri memulakan mukadimahnya.
           Dia sendiri pun tidak menyangka setelah dia mengambil keputusan untuk menikahkan Nur Najwa dengan Najmi, Christine yang ditunggu lama sejak si kecil sakit di hospital lagi muncul pula dengan berita yang membuat orang semua berada di dalam dilema.
           "Saya nak tanya pendapat kamu sendiri Najwa, mahukah kamu hidup bermadu dengan Christine?"

           Nur Najwa mengangkat wajahnya memandang Tan Sri dengan pernyataan yang menjerut leher sendiri itu. Perempuan manakah yang mahu hidup bermadu? Biasanya pada mula tu memang sanggup apa saja. Tetapi lama kelamaan sifat cemburu itu akan menguasai diri. Siapa yang beralah pula akan makan hati.
         
            "Christine menghidap kanser payudara...dia berjanji untuk menghabiskan sisa hidupnya ini untuk mendalami agama Islam bersama Najmi dan anaknya. Kalau kamu juga ada sama untuk membimbingnya ke arah menjadi seorang Islam yang mulia, tentu besar pahalanya," terang Tan Sri memujuk.

            Bunyi macam senang, hendak melakukannya itu yang berat. Sudah pasti banyak tumpuan diberikan untuk Christine dan mampukah dia menghadapi keadaan itu? Baik sangatkah hatinya untuk melalui saat itu?

            "Saya tarik dirilah Tan Sri, saya rasa saya bukan malaikat yang sanggup melihat suami saya membelai wanita lain di depan saya nanti..." ujar Nur Najwa.

            "Bagaimana dengan adik ni? Sekarang ini pun saya lihat dia tidak mahu dipisahkan dengan awak," kata Tan Sri sambil menunjukkan tangan comel itu yang masih memaut lengan Nur Najwa.

            "Tak apa...sedangkan ibunya yang sudah menjadi buluh itu pun mahu merubah diri, inikan si kecil yang masih rebung," jawab Nur Najwa yang membawa maksud yang sangat dalam itu.

            "Baiklah...." Tan Sri pun faham maksud yang tersirat itu. "...saya offer kamu kerja balik di pejabat itu," tukas Tan Sri sebagai tanda terima kasihnya kepada Nur Najwa kerana sejak kehadiran anak dan cucunya itu, wanita itu sama diheret dengan masalah keluarganya.

            Nur Najwa sedikit mengerling Najmi di sebelah. Sanggupkah dia memandang wajah lelaki itu lagi? Mampukah dirinya berhadapan setiap hari dengan Najmi? Ya Allah, Kau tunjukkanlah aku ke jalan yang Engkau redhai. Ya Allah peliharalah aku dan bimbinglah aku.....








April 13, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 14

~ sambungan ~

NAJMI masuk ke dapur ketika Nur Najwa masih sedang melayan anaknya makan. Tadi dia nampak juga Nur Najwa melintas memimpin anaknya ke dapur. Tetapi si kecil langsung tidak datang menerpa mencari ibu kandungnya.

           "I want to see my baby," ujar Christine setelah puas menangis meminta simpati dari isi rumah.

           Tadi yang melintas depan matanya dia tak kenal?

           Najmi menarik kerusi sebelah anaknya yang malam itu makannya bersuap. "Adik," panggilnya perlahan sambil tangan mengelus rambut halus si kecil yang sudah ditocangkan menyerupai ekor kuda. "...adik ingat mummy adik lagi tak?"

           Si kecil cepat mengangkat wajah memandang Nur Najwa.

           "I mean Christine," beritahu Najmi mengingatkan tentang ibu kandungnya yang dari dahulu memang tidak mahu dipanggil mummy oleh si anak.

           Si kecil memandang wajah ayahnya pula. Dia terus menunjuk ke arah depan tanpa suara kerana mulutnya penuh dengan nasi yang disuap oleh Nur Najwa.

           "She's your mummy, remember?" Tanya Najmi lagi kerana bila disebut dengan nama Christine dia cepat menunjuk ke depan bermakna dia masih kenal lagi dengan wanita itu.

           Si kecil menggeleng. Tangan kanannya menepuk-nepuk dada yang bermakna dia takut. Hanya Najmi yang mengerti maksud si kecil kerana dia dibesarkan oleh Kak Lina, cuma bila Kak Lina terpaksa pulang ke tanahair mengikut suaminya yang habis tempoh pembelajarannya, Najmi tiada pilihan dan terpaksa membawa anaknya balik dan mengarahkan Christine untuk menjaganya.
           Kemudian si kecil membesar dengan ibu kandungnya yang garang mengalahkan singa betina. Najmi sedar itu semua silap dan salahnya. Perjanjian dengan Christine untuk memperoleh seorang anak itu hanya untuk menyejukkan hati Puan Sri Normah agar dapat menerimanya kembali, malah mamanya telah pergi sebelum sempat ditemukan dengan cucu pertamanya pula.

           "Najwa, I'm sorry. Saya memang tak sangka dia akan ke mari..."

           Nur Najwa mengangkat tangannya. "It's okay boss, I understand," jawabnya yang sudah mulai memahami cerita.

           "You don't hear a thing, do you?"



           Nur Najwa menggeleng. Memang tak kuasa dia hendak memasang telinga mendengar perbualan antara Najmi, Tan Sri, Christine dan Noor Azizah di ruang tamu itu. Tetapi telinga yang tajam pendengarannya itu sesekali terdengar juga esak tangis dari arah sana.

           "My dad told me everything about his plan for me and you...." ujar Najmi berani merenung wajah wanita yang sedang tekun melayan anaknya.

           Nur Najwa tidak mengangkat muka langsung. Dia melayan si kecil seolah Najmi yang ada sama di situ seakan patung bernyawa.

           "What say you Najwa?"
         
           "I'll leave," jawabnya selamba. Yalah...apa yang hendak diharapkan? Yang datang itu sudah tentu bekas isteri dan ibu kandung kepada anaknya.

           "Najwa, nanti jumpa saya di kerusi laman sana, saya nak bincang dengan kamu," suara Tan Sri tiba-tiba datang dari arah belakangnya.

           Nur Najwa mengerling Najmi yang masih merenung wajahnya.

           "Daddy bawak adik masuk tidur ya?"

           Si kecil pula cepat memegang lengan Nur Najwa yang sudah mula bangun. "No daddy...I want my mummy," katanya yang tidak mahu ditinggalkan lagi oleh Nur Najwa.

           Nur Najwa bangun mengangkat anak kecil itu dan dibawanya ke singki untuk mencuci mulut. Air matanya laju menuruni pipi. Apalagi yang Tan Sri hendak bincangkan dengannya? Dia rela menarik diri kalau itu sudah ketetapan Ilahi. Tetapi hati ini payah pula hendak dipujuk, ia sedih dengan sendirinya. Kenangan bersama Jalal mengintai ruang hati. Mengapakah kasihnya sering tidak kesampaian?

           Najmi hanya duduk memerhati. Alangkah bagusnya kalau Christine juga bersifat keibuan seperti Nur Najwa, bisik hati kecilnya. Kini, dia juga dalam dilema. Hati sebulat suara memilih Nur Najwa tetapi dia terpaksa mempertimbangkan rayuan Christine untuk menerimanya kembali. Kali ini Christine yang sedang menghidap kanser payu dara itu berjanji untuk menjadi isteri yang diingini oleh Najmi dan mahu mendalami ilmu agama Islam yang dianutinya itu sebelum dia menutup mata.










April 12, 2012

sentuhan Kasih ~ Bab 14

~ sambungan ~

NUR NAJWA memimpin si kecil menuruni tangga dan menapak perlahan ke dapur. Dia kemudian mencari Cik Tipah di bilik bahagian belakang.

           Cik Tipah yang sedang menggosok pakaian di bilik dobi itu mengangkat wajahnya apabila mendengar derapan tapak kaki menuju ke bilik tersebut. "Ada apa puan?" Tanya Cik Tipah yang hendak sangat rasanya sama mendengar dan melihat apa yang berlaku di ruang tamu rumah agam itu. Namun kedudukannya tidak membenarkan dia berbuat demikian.

            "Adik ni mengadu lapar, ada benda yang boleh saya sediakan untuk dia?"



            "Ada...tadi Cik Tipah masak Kurma Ayam...orang semua macam tak suka aje nak makan dekat rumah? Kalau tak masak karang, ada pulak yang minta dihidangkan nasi?" Leter Cik Tipah sambil menutup suis seterika. Dia pun memang cari peluang nak keluar dari situ. Kalau di ruang dapur tu dapat juga memanjangkan leher mengintai siapa yang datang atau memasang telinga mendengar apa yang berlaku di dalam rumah itu.
            Sejak kebelakangan ini banyak berita terkini yang diketahui oleh Cik Tipah. Macam petang tadi semasa dia sedang menyediakan minum petang untuk Najmi dan kebetulan Noor Azizah pula baru pulang dari kelasnya. Dia terdengar dua beradik itu berbincang di meja makan....

             "Siapa bang?" Tanya Noor Azizah setelah Najmi mematikan hensetnya dengan wajah pucat lesi.

             "Christine."

             Noor Azizah yang sudah mengetahui kisah sebenar abangnya itu angguk faham. "Dia nak apa?" Soalnya lagi kerana melihat wajah abangnya yang berubah benar.

             "She's at the airport right now dan suruh abang jemput dia di sana," jawab Najmi menyinga.

             "What seems the problem?"

             "Masalahnya....dia nak datang tak bercakap...tiba-tiba dah sampai sini aje," marah Najmi.

             "Cu tak nampak salahnya?"

             Najmi merenung adiknya dan kemudian menjeling tajam. "Dia dah tak ada hubungan apa-apa lagi dengan abang...datang sini nak buat apa?"

              "Bukan sebab nak tengok anaknya yang dikatakan sakit dulu ke?" Noor Azizah masih mahu menyebelahi bekas isteri abangnya. Yalah...apa salahnya seorang ibu mahu menjengok anaknya sendiri, kan?

              Najmi terdiam. Mungkin benar kata-kata adiknya itu. "So, what should I do now?"

              "Just go...pick her up!"

              "Abang suruh dia ambil cab ajelah..."

              "You are so impossible la bang...dia kan baru first time jejak kaki kat sini? Kang entah ke mana-mana aje dibawa lari orang, lagi haru," Noor Azizah sedikit menakutkan abangnya.

              "Lecehlah!" Marah Najmi sambil meneguk rakus nescafenya.

              "Eh? Nak ke mana Jimi tu?" Tanya Cik Tipah yang tiba-tiba muncul.

              "Jemput bekas bini dia," jawab Noor Azizah lurus.

              "Huh?" Beliak mata Cik Tipah mendengar pernyataan itu.

              "Bekas bini dia tu orang putih Cik Tipah...yang Najwa tu bakal isteri dia," Noor Azizah menerangkan. Kalau Cik Tipah masih belum faham juga...tak taulah.

              Cik Tipah termangu-mangu merangka cerita yang baru didengarnya sambil berkerut kening. Dia kemudian menarik kerusi sama duduk di situ. Bubur kacang durian yang minta dibuat oleh Tan Sri tengahari tadi yang tidak dijamah oleh Najmi ditarik ke depannya. Kalau dengan anak-anak Tan Sri, Cik Tipah memang berani duduk dan makan semeja. Mereka berdua beradik itupun tidak kisah.

              Noor Azizah sesekali mengerling Cik Tipah yang kini sama menyudu bubur kacang durian bersamanya di situ.

              "Orang putih biasa makan apa?" Tanya Cik Tipah.

              "Ala...masak ajelah cara kita," ujar Noor Azizah. "...kalau kita ke tempat dia pun bukan dia sibuk nak hidangkan nasi dan sambal belacan, kan?"

              Cik Tipah angguk. Seolah dia juga pernah melawat negara barat. "Betul...betul...betul," jawab Cik Tipah meniru gaya Upin Ipin.

              Noor Azizah yang melihat wajah selamba Cik Tipah yang ada iras Didie Alias itu dah rasa nak gelak tergolek.

              "Cik Tipah! Tak kan nak panaskan sampai kering kot?" Tegur Nur Najwa yang sudah menunggu lama di meja makan dengan si kecil tadi.

              Cik Tipah terkejut dari lamunannya. "Ya ampun!" Cepat Cik Tipah mematikan api dapur.





April 11, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 14

           "MANA abang Jimi?" Tanya Tan Sri elok mereka sampai malam itu.

           Noor Azizah memandang wajah ayahnya silih berganti dengan Nur Najwa. "Kak Long bawaklah adik masuk tidur, Cu ada benda nak cakap sikit dengan ayah," beritahu Noor Azizah yang masih terus berbahasa memanggil Nur Najwa sebagai Kak Long.

           Nur Najwa sudah terasa tidak sedap hati, namun dia mengambil si kecil dari dukungan Tan Sri dan membawanya naik ke bilik.



           Tan Sri dan Noor Azizah hanya memerhati Nur Najwa dan si kecil sehingga hilang kelibat mereka.

           "Ada apa ni Cu?"

           "Abang Jimi pergi jemput bekas isterinya di airport," beritahu Noor Azizah perlahan.

           "Christine tu?"

           Noor Azizah angguk.

           "Ah! Sudah..." Tan Sri tepuk dahi. "Ayah baru buat rundingan dengan family Najwa tadi nak uruskan majlis nikah mereka secepat mungkin." Tan Sri menyandarkan badannya ke sofa. Tangan kanannya masih melekap di dahi. "Abang Jimi ada cakap apa-apa?"

           "Cu tak tau pasal rancangan ayah...jadi Cu suruh abang Jimi pergi jemput dia. Perempuan tu bukan pernah datang sini, karang sesat barat pulak. Tadi pun abang Jimi tak nak...Cu yang pujuk dia," jelas Noor Azizah.

           "Tak apalah...dia datang nak tengok anak dia sebab hari tu abang Jimi ada beritahu dia semasa Najwa dimasukkan ke hospital."

           Noor Azizah sama lega. "Bila ayah cadang nak buat majlis untuk abang Jimi ni?"

           "Tunggu jawapan dari emak dan ayah Najwa...ayah suruh mereka pilih tarikhnya."

           "Baguslah...Cu harap sangat lepas ni abang Jimi hidup bahagia."

           "Ayah pun macam tu juga...kalau dia senang, ayah pun tumpang senang," ujar Tan Sri lagi. "Cu tak nak buat sekali?" Sempat Tan Sri masuk jarum.

           "Isy! Ayah ni...sempat pulak dia." Noor Azizah menjeling marah. "Ayah dah Maghrib ke ni?"

           "Dah tadi...ajak Pak Hussin singgah solat di surau."

           Serentak itu lampu kereta menyorot masuk ke perkarangan rumah agam itu. Tan Sri dan Noor Azizah sama berpandangan.

           Si kecil yang sudah dimandikan itu terasa lapar perutnya. "Mummy...adik laparlah."

           "Jom turun...mummy suapkan makan," ajak Nur Najwa. Tangan si kecil dipimpin dan dibawa keluar bilik. Sampai di  mata tangga, Nur Najwa terpandang Najmi yang mengheret satu beg besar bersama seorang wanita berbangsa Inggeris di sebelahnya. Jantungnya bagai nak luruh walau dia dan Najmi belum sama duduk berbincang mengesahkan perasaan masing-masing. Nampak gaya apa yang dirundingkan oleh Tan Sri bersama emaknya tadi tidak akan menjadi kenyataan.

           "Who's she?" Nur Najwa bertanya kepada si kecil.

           "Christine."

           Nur Najwa merenung wajah si kecil dengan panggilan yang digunakan olehnya itu.





         

April 10, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 13

~ sambungan ~

SETELAH mendengar penerangan dari Pak Hussin tadi, Mak Zah ke dapur menutup pintu belakang dan menyimpan dulu ikan yang sedang disiangnya tadi. Hatinya sudah tak keruan mendengar cerita Pak Hussin. Kasihan sungguh dengan nasib Nur Najwa, puteri tunggalnya itu, dia memanjat tangga mencari Nur Najwa di biliknya untuk mengetahui sendiri cerita dari Nur Najwa pula.

           Tok! Tok! Tok! Mak Zah mengetuk pintu bilik yang dikunci dari dalam. "Wa! Bukak pintu ni...emak nak tanya sikit," panggil Mak Zah. Selalu tu dia memang tak campur tangan kisah putus cinta ke...kisah pejabat ke...tapi kali ini dia rasa kasihan sungguh dengan anaknya itu.

            "Wa tak nak jumpa sesiapa mak!"

            "Tak ada sapa pun...emak aje ni," jawab Mak Zah yang terpacak di luar pintu bilik menunggu pintu dibuka.

            Najwa yang menekur di meja tulis di dalam biliknya itu bangun membukakan pintu untuk emaknya. "Pak Hussin hendak apa tadi mak?"



            Mak Zah masuk dan melabuhkan duduk di tubir katil. "Ini yang mak nak tanya sendiri dengan Wawa. Selama ni emak malas nak masuk campur hal peribadi Wawa. Tapi kali ini emak kena tahu jugalah sebab kalau emak biarkan Wawa urus sendiri nanti orang ingat Wawa macam tak ada sedara mara pulak."

            Nur Najwa menarik kerusi dan duduk menghadap emaknya. "Wawa tak heran kalau Wawa tak ada jodoh mak...tapi Wawa memang tak mahu kalau kena hidup bermadu. Macam mana baik pun cara yang dibuat tentu orang anggap Wawa yang kacau rumahtangga orang mak," terang Nur Najwa yang sejak semalaman di rumah Tan Sri itu dia tidak dapat melelapkan mata mengenangkan apa yang berlaku malam itu selepas dia sampai ke sana.

            "Kenapa? Cuba cerita dengan emak terus terang," pujuk Mak Zah.

            "Isteri omputih Najmi tu sampai semalam mak...dia menangis-nangis minta maaf dengan Tan Sri atas apa yang telah dia lakukan pada Najmi dan anaknya itu. Dia minta rujuk balik...dia beritahu dia sedang menhidap kanser tahap tiga dan bimbang umurnya tak panjang dan dia mahu hidup berkeluarga dengan Najmi semula," cerita Nur Najwa merah mata menahan sebak.

             Mak Zah menarik tangan anaknya dan diusap perlahan. "Habis tu Tan Sri cakapa apa?"

             "Tan Sri beritahu, dia dah ada calon untuk Najmi....tapi bekas isteri Najmi tetap mahukan Najmi dan dia rela hidup bermadu asalkan dia dapat keluarganya semula dan berjanji akan mendalami agama Islam kalau Najmi mahu menerimanya kembali." Kini air mata Najwa sudah mula berlumba menuruni pipi. "Wawa sedih sangat dengan permintaannya mak...kalau emak di tempat Wawa, apa tindakan mak?" Tanya Nur Najwa meminta pendapat.

             Mak Zah sama terkedu. Betullah tadi cerita yang disampaikan oleh Pak Hussin tadi. Menurut Pak Hussin, Tan Sri tidak kisah kalau Najwa mahu meneruskan rancangan asal mereka kerana bekas isteri Najmi juga sama setuju. Tapi Najmi yang bakal bertanggungjawab atas kedua mereka itu bagaimana? "Najmi cakap apa?"

             Ingatan Nur Najwa menarik dia kembali kepada perbualan empat mata antara dia dan Najmi.....




April 9, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 13

~ sambungan ~

MAK ZAH sedang menyiang ikan di singki dapur bila dia terpandang kelibat Nur Najwa yang pulang mengikut pintu belakang.




           "Kenapa Wa?" Tanya Mak Zah merasa pelik. Kalau ikut apa yang diberitahu oleh Tan Sri padanya malam itu, Nur Najwa akan tinggal di rumah Tan Sri. Tetapi baru semalam pergi, tengahari ini sudah pulang sendirian.
           Kalau Nur Najwa mengikut pintu belakang dengan berjalan kaki sudah pasti dia pulang dengan menaiki bas. Tapi mengapa tidak dihantar oleh Pak Hussin?

           Nur Najwa tidak menjawab pertanyaan emaknya itu, dia terus masuk dan menarik kerusi di meja dapur. Tangannya meyelak tudung saji yang bertutup di tengah meja. Kemudian dia bangun mengambil pinggan, sudu dan sebiji mug.

           Mak Zah hanya memandang gelagat anaknya itu yang masih belum mahu bercakap. Matanya memerhati  segala gerak laku anaknya itu yang kelihatan lapar benar.

           Pon! Pon! Terdengar bunyi hon dari arah depan rumah mereka pula.

           "Siapa pulak tu?"

           "Mak! Kalau siapa-siapa tanya Wawa...cakap Wawa tak ada..." pesan Nur Najwa sambil menyuap lapar Nasi Goreng Kampung yang berbaki dari sarapan pagi Mak Zah dan Pak Din tadi.

           Mak Zah faham...ini mesti berkaitan dengan kisah semalam. Mungkin Nur Najwa tidak setuju hendak dinikahkan dengan anak Tan Sri yang matanya sepet itu atau si sepet itu yang tidak mahu dinikahkan dengan Nur Najwa, Mak Zah mengagak cerita sambil menapak ke depan.
            Kain langsir tingkap diselak untuk memastikan samada hon yang dibunyikan tadi memang di depan rumahnya atau mungkin rumah Mak Hendon di sebelah depan atau mungkin juga untuk orang sebelah kiri atau kanan.
         
            "Eh...Pak Hussin Wa.." beritahu Mak Zah perlahan.

            "Cakap Wawa tak ada mak," pesan Nur Najwa lagi.

            "Ada apa Sin?" Tanya Mak Zah yang membuka sedikit daun pintu cukup untuk meloloskan kepalanya sahaja.

            "Nak jumpa Puan Wawa," jawab Pak Hussin.

            "Eh? Bukan dia semalam ikut kamu dan Tan Sri ke?" Tanya Mak Zah pura-pura dengan suara yang diperlahankan bimbang karang jiran tetangga memasang telinga.

            "Kak...saya ada nak cakap sikit dengan akak ni," ujar Pak Hussin.

            "Pak Din tak ada kat rumah...akak tak dapat nak pelawa kamu masuk ke dalam," sahut Mak Zah pula.

            "Tak apa kak...depan pintu tu ajelah. Tak kan saya nak terjerit-jerit dari sini?"

            Nur Najwa yang mendengar cepat berlari naik ke biliknya, bimbang kelibatnya dilihat oleh Pak Hussin pula nanti.

            "Masuklah..." ajak Mak Zah membenarkan Pak Hussin sedikit hampir di depan pintu rumahnya.

            Pak Hussin menarik selak pagar dan mendekati Mak Zah di pintu rumah.

            "Ada apa Sin?" Tanya Mak Zah yang memang ingin sangat tahu apa yang telah berlaku diantara anaknya dengan keluarga Tan Sri itu. Kalau nak tunggu Nur Najwa menjawabnya, mungkin minggu depan pun belum tentu lagi dapat cerita.

            "Macam ni kak........







April 6, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 13

~ sambungan ~

MAK ZAH cepat menerkam ke muka pintu apabila terdengar bunyi hon Nissan Vanette Pak Mail yang gaya pasar bergerak itu. Setiap hari Pak Mail akan sampai ke kawasan rumahnya itu sekitar jam 10.00 pagi. Jiran-jiran yang lainnya juga akan sama menerpa van Pak Mail berebut ikan dan sayur yang masih berbaki.



           "Siapa yang datang ke rumah akak lepas Maghrib semalam?" Tanya Maimon tidak senang hatinya selagi tidak dapat cerita. Dia yang menjual burger pula di waktu malam di depan rumahnya itu dengan mudah dapat melihat siapa yang lalu lalang. Selama dia berjiran dengan Mak Zah, memang dia belum pernah nampak lagi ada kenderaan yang besar-besar datang ke rumah itu.

           Mak Zah memang sudah mengagak, Maimon akan bertanya tentang hal itu. "Alaa...Pak Hussin drebar bos Wawa tu..." jawab Mak Zah cuba mengelak dari terbuka cerita yang masih belum pasti itu. Mak Zah buat muka bersahaja tidak mahu jiran-jiran yang lain yang sama ada membeli ikan dan sayur di van Pak Mail itu menjadikan cerita yang ditanya oleh Maimon itu sebagai bahan gosip mereka di taman perumahan itu nanti.

           "Eh? Kalau Pak Hussin tu kan dia selalu datang dengan motosikalnya aje?" Soal Maimon lagi masih mahu tahu.

           Tengok? Maimon pula yang lebih-lebih tahu apa yang berlaku selama ini di rumah Mak Zah. Mak Zah terdiam sekejap memikir apa yang patut dijawabnya. "Oo...dia jemput Wawa. Rumah Tan Sri buat kenduri doa selamat cucunya dah sihat. Itu yang datang dengan kereta."

           "Amboi! Untung si Wawa siap datang berjemput dengan drebar Tan Sri," ujar Maimon lagi.

           Jiran-jiran yang sudah mula mahu menapak pulang itu, semua berpaling memandang Mak Zah dengan pernyataan dari Maimon tadi. Ya lah...di kawasan perumahan kos rendah macam mereka itu jangankan Tan Sri...yang berpangkat Dato' berbini empat pun belum terdengar lagi berminat dengan anak-anak dara mereka.

           "Orang kerja dengan Tan Sri...kenalah dijemput oleh drebarnya kalau diperlukan," sampuk Pak Mail sambil menutup pintu belakang vannya untuk bergerak ke destinasi seterusnya. Pak Mail berlalu dengan senyum yang melebar ke telinga. Kalau kisah di kawasan taman perumahan tempat dia selalu berjaja ikan dan sayur itu penuh di dalam sakunya.
           Anak si polan berdating dengan anak si polan...Pak Haji yang sukakan Mak Janda...suami si polan yang gilakan isteri si polan...semuanya dia tahu. Tapi hendak dibuat apa dengan skandal itu semua? Selalunya masuk telinga kanan, keluar telinga kiri sahaja. Dia ke situ untuk berniaga mencari rezeki untuk diberi makan anak dan isteri. Kalau dia hendak menyampaikan cerita-cerita itu kepada orang-orang yang tertentu, boleh sahaja. Tapi apa untungnya? Tidak pasal-pasal dapat dosa kering sahaja nanti. Kalau tidak pun tentu sudah lama dia dipelangkung oleh orang-orang yang tertentu itu.

           Mak Zah yang biasa berkicau mulutnya macam murai tercabut ekor itu, kali ini hanya mendiamkan diri sahaja. Kata-kata Maimon tadi dikaji entah jujur entah perli. Sejak kebelakangan ini Maimon kalau bercakap tidak sedap langsung bunyinya. Mak Zah dapat merasakan itu. Sebelum ini Maimon itulah diantara jiran yang paling rapat dengannya.
           Apa yang hendak dicemburukan oleh Maimon? Yang datang itu berurusan dengan anaknya Nur Najwa. Bukan Tan Sri itu datang hendak melamar Mak Zah?

           "Ala Mon...cucu Tan Sri tu yang sukakan Wawa, itu yang mereka mungkin perlukan Wawa di rumah itu untuk melayan cucunya," kata Mak Zah masih cuba menyembunyikan cerita selagi boleh.

          "Emak budak tu tak ada ke? Hari tu pun saya tengok bosnya datang sendiri aje?"

          "Emak budak tu ada kat obersi kata Wawa," pendek jawab Mak Zah.

          Kali ini Maimon mengangguk faham. Dia pernah juga dengar cerita isteri orang-orang kaya yang asyik makan angin keluar negeri. Untunglah! Bisik hati Maimon membandingkan dirinya yang hidup kais pagi makan pagi itu.
          Kini...angin-angin kemewahan itu sudah sampai ke rumah Mak Zah pula. Mana dia nak senang duduk? Kalau setakat kerabat Pak Din dan Mak Zah tu memang dia sudah kenal benar. Maklumlah... mereka kan sudah lama tinggal berjiran? Sejak diserahkan kunci semasa perumahan itu sudah boleh didiami kot?







April 5, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 13

           "MASIH dengan perintah berkurung ke anak awak tu?" Tanya Pak Din pagi itu semasa menghadap sarapan pagi.
           Dia bukan tahu apa-apa. Mak Zah pun malas hendak bercerita memberitahu tentang kedatangan Tan Sri ke rumahnya malam itu menjemput Nur Najwa. Entah apa dibuatnya bertunggu tangga di Warung Pak Ya tu? Pak Ya dah tentunya ada hasil masuk, yang dia tu menunggu situ buat apa? Tolong tutup kedai ke?
           Mak Zah mengucap panjang dalam hati. Sabar ajelah. Kalau tidak sudah tentu semasa Pak Din balik tengah malam, malam tadi dia dah buka kitab tak berbaris. Baru kematu cuping telinga Pak Din mendengar ceramah yang tidak bertitik dari mulut Mak Zah. Bukan Pak Din tak kenal isterinya itu, namun dia macam dah kebal dengan bebelan Mak Zah pula.

            Mak Zah yang sedang menyenduk Nasi Goreng Kampung itu berpaling memandang suaminya. "Mana dia ada di rumah?" Jawab Mak Zah marah.

            Pak Din beliak mata. Namun tangan kanan mencapai pinggan berisi nasi goreng yang dihulur oleh isterinya. "Ke mana pulak?" Nur Najwa dah melarikan diri ke? Patutlah bininya dilihat tension aje pagi ni.

            "Tu lah awak...asyik bertunggu tangga di Warung Pak Ya tu...anak dilarikan orang pun tak tahu." Gimik Mak Zah menakutkan suaminya.

            "Dato' tu larikan Wawa?" Pak Din terus menembak rambang. Siapa lagi yang suka sangat dengan Nur Najwa sehingga anaknya itu menyorok dan melarikan diri ke rumah abangnya di KK dulu?

            Mak Zah yang sedang mengunyah nasi goreng tersedak. Dia mengurut dada...air kopi di atas meja yang baru dituang itu masih berasap nipis...lalu dia cepat bangun mencari air kosong. "Dato' mana pulak?" Tanya Mak Zah sedikit confused kerana tiba-tiba suaminya menyebut Dato' sedangkan yang datang semalam berpangkat Tan Sri.

            "Bukan Dato' Kay yang Wawa cakap dah berbini dua tu?"

            "Ini Tan Sri lah Pak Din oi!"

            "Tan Sri mana pulak?" Pak Din pula confused. "Kalau yang berpangkat Dato' pun dah berbini dua, yang berpangkat Tan Sri tu tentu yang usianya sebaya saya atau lebih. Apa nak jadi dengan si Wawa ni..." Pak Din menumbuk permukaan meja makan. Sudu yang diletak di tubir pinggan terpelanting terkejut barangkali dengan tindakan Pak Din pagi itu.




            Mak Zah menarik kerusi dan melabuhkan duduknya. Bimbang dengan tindakan suaminya. Manalah tahu tiba-tiba mengamuk pula tengah sedap bersarapan itu. "Semalam Tan Sri Azizan, bos besar Wawa dulu tu datang dengan Pak Hussin...melamar Wawa untuk anaknya..." Mak Zah berkerut muka dan menggaru kepala yang tak gatal mengingat nama anak Tan Sri yang disebut penuh semalam. "...entah! Lupa pulak saya nama anak Tan Sri tu."

            "Kenapa tak call saya?" Cewah! Gaya businessman aje Pak Din menjawab. Dalam hati bangga juga kerana anaknya dipinang oleh anak Tan Sri.

            Mak Zah menjeling. Orang dekat rumah ni dah naik sejuk kepala lutut melayan tetamu yang datang, ada hati nak suruh call dia pulak. "Duduklah lagi kat warung tu...lain kali bawak aje tikar bantal," perli Mak Zah.

            "Nak dibuat apa ada telefon kat rumah ni kalau tak tahu nak digunakan?" Pak Din sama tak mahu kalah. Marah betul dia bila isterinya siap suruh bawak tikar bantal. "Habis tu awak cakap apa?"

            Mak Zah terdiam. Baru dia sedar, memang dia tidak menjawab sebutir haram pun. Kelu lidahnya dengan kepetahan Tan Sri berhujah malam semalam. Macam tak ada apa yang mahu dibantahnya. "Saya ikut ajelah...dia buat cara yang betul. Tan Sri kirim salam dengan awak aje...dia suruh pilih tarikh yang sesuai untuk buat majlis nikahnya di masjid kawasan perumahan kita ni."

             Pak Din merenung isterinya. "Cepatnya? Kita dah ada duit ke?"

             Kali ini Mak Zah menarik senyum. "Tan Sri cakap, semua urusan dia yang tanggung."

             Pak Din menghembus nafas perlahan. Lega rasanya. Ya lah...nak berbesan dengan Tan Sri ingat boleh nak buat kenduri biasa-biasa makan Nasi Ambeng tu ke? Paling tidak nak kena sediakan beras Basmathi Faiza yang panjang-panjang tu untuk jamu Nasi Beryani.

             "Tan Sri cakap nanti Pak Hussin akan selalu datang sini buat urusan...dia mahu secepat mungkin kerana cucunya dah tak mahu dipisahkan dari Wawa."

             "Ditanggung beres..." jawab Pak Din senang hati. Rezeki datang bergolek tu.







April 4, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 12

~ sambungan ~

SEMENTARA di ruang tamu tingkat bawah tadi.........

            "Begini kak..." Tan Sri Azizan terus straight to the point...malas nak corner sana corner sini. Tak kuasa dia hendak mengajak berbalas pantun bagai, banyak lagi benda lain yang harus dilakukannya. "....saya datang ni nak melamar anak akak, Nur Najwa binti Sallehuddin untuk anak lelaki saya Irfan Najmi bin Azizan." Hah! Ambik engkau....bunyi orang nak menikah gayanya.

            Pak Hussin sama terkejut dengan ayat Tan Sri itu.

            Mak Zah yang dari tadi masih tersipu-sipu segan dengan kesudian Tan Sri Azizan menjejakkan kaki ke pondok buruknya itu, dah rasa nak pitam. Manalah perginya laki aku ni, dalam hatinya berkata. Kalau Pak Din ada sama mendengar, bukankah senang?

             Tan Sri yang menunggu sudah rasa tidak sabar, "...urusan semua saya tanggung. Kita nikahkan mereka di masjid kawasan rumah akak ni. Majlisnya nanti saya tempah dekat dewan atau dekat hotel aje...senang. Akak dengan suami akak nanti pilih tarikh yang sesuai dan masjid mana pilihan akak. Nanti saya suruh Pak Hussin datang sini selalu tanyakan keputusan akak. Saya tak nak tunggu lama-lama...kesian cucu saya tu perlukan Nur Najwa sebagai emaknya."

             Mak Zah yang biasa becok mulut itu, kali ini kalah teruk dengan Tan Sri. Tak sempat langsung dia hendak memikir mencari jawapan...tak sempat juga dia hendak mencelah membangkang. Dia hanya mengangguk macam burung belatuk.

             "Buat masa ni...saya pinjam Nur Najwa dulu. Bila dah dekat-dekat harinya nanti, bolehlah dia berulang alik untuk persiapan majlisnya itu."

             Mak Zah masih belum dapat bersuara, dia masih terangguk-angguk.

             "Minta maaflah...budak tu tak boleh nak dipisahkan lagi dengan Nur Najwa. Kalau akak tak puas hati ke...perlukan apa-apa....beritahu aje. Saya akan suruh Pak Hussin uruskan."

             Mak Zah dah naik risau, anaknya Nur Najwa masih belum nampak bayangnya. Tetamu yang datang dari tadi ni dah nak berdarah tekak bercakap pot pat pot pet, masih belum dihidangkan air. "Saya kedapur dulu Tan Sri..." ujar Mak Zah setelah Tan Sri senyap seketika.

             "Tak payah susah-susah kak. Panggil aje Najwa turun...dia kena ikut saya balik."

             Ewah! Suka-suka hati Tan Sri mengarah. Macam anak ayam disambar helang aje gayanya dibuat anak aku tu, hati Mak Zah berkata. Namun dia sendiri pun tidak terkeluar kata mahu membantah malah bangun menapak ke arah mata tangga.

             Nur Najwa pula sudah berada di tengah tangga sambil mendukung si kecil dan menjimbit beg bajunya. Dia ibarat ditelah mati emak, diluah mati bapak. Segala biji butir bicara Tan Sri tadi singgah masuk ke cuping telinganya. Disangka emaknya dengan rela hati mengizinkan kerana tiada kata bantahan dari emaknya yang biasa tidak sempat orang lain bercakap, dia sahaja yang hendak menang.

             "Mari dengan nenek.." pujuk Mak Zah menghulurkan tangan ke arah si kecil.

             Si kecil sama menghulurkan tangannya minta didukung oleh Mak Zah pula.

             Tan Sri dan Pak Hussin sama menoleh ke mata tangga melihat bagaimana si kecil sangat mesra dengan keluarga Nur Najwa.

             "Mak..Wawa ikut Tan Sri dulu...esok lusa Wawa balik," ujarnya penuh yakin dapat pulang ke rumah menjengok emak dan ayahnya.

             "Pandai-pandai bawa diri Wa..."

             "Wawa ingat mak," jawab Nur Najwa sambil membongkok mencium tangan emaknya. "Emak kirim salam ayah. Nanti dah sampai, Wawa telefon mak."

             "Jangan lupa pulak," kata Mak Zah sedikit tinggi nada suaranya menghilangkan rasa sayu di hati. Masakan tidak...kasihan dengan nasib anak perempuan tunggal yang berat sungguh jodohnya.

             "InsyaAllah tak," sahutnya sambil mengambil si kecil dari dukungan emaknya tadi.

             Pak Hussin sudah mendahului keluar menghidupkan enjin kereta.

           
             Tan Sri yang sudah berdiri terpacak di muka pintu menunggu Nur Najwa dan cucunya itu bersuara meminta diri. "Saya minta diri dulu kak. Terima kasih kerana membenarkan Nur Najwa mengikut saya balik. Kirim salam saya pada suami akak dan jangan lupa dengan permintaan saya tadi," ujar Tan Sri lancar.

              "InsyaAllah Tan Sri..." ucap Mak Zah pula.







April 3, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 12

~ sambungan ~

"JEMPUTLAH masuk Sin, Tan Sri..." pelawa Mak Zah. "Silakan duduk."

            Si kecil Najwa yang melekapkan kepalanya di bahuu Tok Ayah itu cepat mengangkat muka memandang suara yang macam pernah menembusi cuping telinganya. "Nenek!" Jeritnya.

            "Saya cu..." sambut Mak Zah bangga kerana anak kecil itu bersemangat sungguh walau hanya dapat bertemu dengannya. "....pergi naik atas panggil mummy awak," suruhnya. Anak kecil itu kini dijadikan umpan. Kalau tidak mahu karang si Nur Najwa tu berkurung bertapa di dalam biliknya macam kes lepas kematian suaminya di hari pernikahan mereka dulu. Naik bengkak mata Nur Najwa menangis...nasib baik tak buta macam Kassim Selamat.

            Tan Sri Azizan dan Pak Hussin sama berpandangan. Anak kecil itu macam reti bahasa pula...dia terus memanjat tangga naik ke atas. Masing-masing yang duduk di tingkat bawah hanya memerhati dan mendengarkan.

            Terdengar pintu bilik diketuk. "Mummy!" Suara si kecil yang memanggil dah naik serak. "Mummy!" Dia terus memanggil sambil mengetuk pintu bilik.

            Terdengar pintu bilik itu kini dibuka. "Adik?" Nur Najwa terkejut kerana tidak menyangka anak kecil itu akan mencarinya sampai ke muka pintu bilik. Matanya melilau mencari kalau ada orang yang meneman si kecil memanjat tangga. "Datang dengan siapa ni?"




            Si kecil hanya menunjuk ke bawah.

            Mak Zah yang mendengar, mengurut dada senang hati. Dia dah naik rimas dan risau dengan perangai si anak yang tidak mahu bercakap dan terus menerus mengurungkan diri itu. Bagus juga si kecil itu datang, dapat dia dijadikan umpan. Jika tidak mahu sampai bersawang pintu biliknya kerana tidak mahu dibuka.

             Nur Najwa cepat mendukung si kecil dan menjengah ke bawah dari tengah tangga. "Tok Ayah?" Nur Najwa berbisik bertanya si kecil.

             Si kecil mengangguk.

             Nur Najwa merenung wajah si kecil yang sudah bengkak matanya menangis. Badannya juga nampak susut benar. Kesiannya dia, hatinya berkata sambil mengucup sayang pipi cengkung yang dulunya comel itu. "Daddy mana?" Tanya Nur Najwa perlahan bimbang didengar oleh Tan Sri pula nanti.

             "At home."

             "Adik nak tinggal dengan mummy dekat rumah nenek ni?" Soal Nur Najwa lagi kerana sangkanya anak itu dihantar ke situ untuk dijaga olehnya.

             "I want daddy too, mummy," suara serak si kecil bunyi tersekat-sekat.

             Kasihannya anak ini, bisik hati Nur Najwa lagi. Tetapi bila mengenangkan daddynya yang besar sangat egonya itu membuatkan dia geram. Kelmarin tu elok aje dah boleh bergelak besar dengan emak dan ayahnya?

             "So...adik nak mummy buat apa?"

             Si kecil merenung wajah Nur Najwa. Tangan kecil itu meraup wajah Nur Najwa lalu hidung kecilnya yang mancung itu ditemukan dengan hidung Nur Najwa yang hanya rupa jambu air itu. Nampak si kecil tak kisah...mungkin dia belum pandai memandang pada paras rupa. "I want you to come home with me mummy," ajaknya.

             Serta merta Nur Najwa menitiskan air mata. Sedih hatinya bukan kepalang. Pandai betul anak itu menunjukkan sayangnya. Mana pergi hati perut ibu kandungnya yang tidak kisahkan akan keadaan anak ini?

             "Mummy don't cry," kata anak itu sambil menyapu air mata yang meleleh laju di pipi Nur Najwa.

             Nur Najwa cepat menarik senyum melindungi sedih hatinya. "I am so happy to see you sayang," ujarnya menyenangkan hati anak kecil itu. Mahukah dia mengikut Tan Sri balik ke rumah agam itu untuk menjaga si kecil di sana? Mampukah dia memandang wajah Najmi lagi?
             Nur Najwa teringat SMS yang dikirim oleh Najmi kepadanya semasa dia berada di rumah abang Ngahnya dulu. Teks itu berbunyi begini.....

             < Najwa pls come home. I need U 4 my daughter...please! >

             Ada ke patut? Sudahlah kerana kehadiran lelaki itu dia kehilangan kerja. Kini dia diminta pulang untuk menjadi penjaga anaknya sahaja? Cakaplah minta maaf ke...pujuk-pujuk sikit ke? Tak romantik langsung.

             Si kecil pula cepat mendakap sayang Nur Najwa. Apa yang harus dia lakukan sekarang? Kalau Najmi yang datang menjemput, sudah tentu dia akan jual mahal. Nur Najwa mahu mendengar kata-kata maaf dari mulut Najmi sendiri. Pandai sungguh dia menghantar ayahnya bagi pihak dia, sangka Nur Najwa.





April 2, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 12

           NAJMI hanya memerhati Pak Hussin yang datang ke rumahnya petang itu dengan menaiki motosikal. Nampak dia sedang bercakap sesuatu dengan ayahnya. Ayahnya yang sedang mendukung cucu itu semacam menghulur sesuatu kepada Pak Hussin yang kemudiannya menapak ke arah Rexton dan menghidupkan enjin kenderaan tersebut.
            Tan Sri Azizan yang mendukung cucunya itu mengekor dari belakang. Pak Hussin menutup pintu Rexton setelah Tan Sri melabuhkan duduknya. Kenderaan itu kemudiannya bergerak keluar dari dalam garaj  dan terus ke pintu pagar perkarangan rumah agam itu.

            Najmi buat muka pelik. Nak ke mana tu? Kenapa ayahnya tidak memberitahu atau mengajak dia sama?

            "Dah naik bengkak mata cucu saya ni. Itulah tinggi sangat ego dia tu sampai anak yang jadi mangsa," leter Tan Sri elok kenderaan itu masuk ke jalan besar.

            "Nak dihantar suruh Puan Najwa jaga ke Tan Sri?"

            "Tak aih! Saya nak heret aje Puan Najwa tu balik ke rumah saya. Nak dinikahkan aje mereka berdua tu. Baru selesai kes ni. Kalau tak sama menyusahkan saya tak apa..." marah Tan Sri.

            Bunyi heret itu meremangkan bulu roma Pak Hussin. Biar betul Tan Sri ni....nak heret-heret aje anak orang. Kalau dia orang ti tak suka kenapa nak dipaksa?

            "Budak-budak sekarang ni Sin...nama aje belajar tinggi. Tentang mengatur hidup berumahtangga ni bodoh betul!" Tambah Tan Sri lagi yang macam faham aje apa yang ada di benak Pak Hussin tadi. "Bukan saya tak tahu mereka berdua tu memang dah suka sama suka....cuma ego masing-masing tu tinggi sangat. Malu nak mengaku. Patah agaknya batang hidung dia orang tu kalau mengaku perasaan sendiri?"

             Pak Hussin yang tekun mendengar itu rasa dah nak gelak tergolek bila Tan Sri keluar cakap 'patah agaknya batang hidung'. Bayangkanlah....kalau cakap 'I Love You' tu batang hidung boleh patah dengan sendirinya? Memang orang tak kan cakaplah...main signal macam Charlie Chaplin atau macam pasangan bisu.

             "Hendak ke Puan Najwa tu Tan Sri?" Tiba-tiba Pak Hussin bertanya kerana Nur Najwa yang dimaksudkan itu bukan budak kecil yang nak main heret-heret...dah boleh jadi emak orang.

             "Tu sebab saya bawak cucu saya ni....biar hatinya lembut sikit."

             Pak Hussin memandu perlahan memasukki jalan ke rumah Nur Najwa. Dia yang memberitahu Tan Sri Azizan bahawa Nur Najwa sudah pulang setelah mendapat berita dari Pak Din semasa dia singgah di Warung Pak Ya petang semalam. Namun Kelisa Nur Najwa yang diparkir di pinggir jalan memudahkan pencarian Pak Hussin.

             "Tan Sri tunggu kat dalam dululah...biar saya pergi panggilkan Puan Najwa," ujar Pak Hussin menghormati majikannya. 

             "Tak payah Sin...biar saya sama keluar baru dia ada rasa malu sikit. Kalau hanya kamu aje karang, banyak pulak dalihnya," bangkang Tan Sri.

             Pak Hussin cepat membukakan pintu Rexton di bahagian belakang untuk Tan Sri yang sedang memangku cucunya yang tidak bermaya itu.

              Mak Zah yang sedang bersila mengopek ikan bilis itu cepat bangun apabila mendengar bunyi kenderaan berhenti betul di depan rumahnya. Dia tambah teruja apabila bunyi pintu kenderaan itu ditutup dan suara derapan tapak kasut mendekati pagar mata punai separas pinggang yang menjadi pintu pagar rumahnya itu. "Siapa pulak ni?" Bebel Mak Zah yang agak payah hendak bangun kerana sakit lutut. "Semenjak dua menjak ni macam-macam rupa kereta yang datang ke rumah ni," bebelnya terus setelah menyelak sedikit kain langsir dan nampak sebuah pacuan empat roda yang agak besar menutup ruang masuk ke rumahnya itu.




              "Assalamualaikum!" Jerit Pak Hussin sedikit berlagu.

              "Eh! Hussin? Ada apa Sin?" Tanya Mak Zah yang memang sudah kenal benar dengan driver Tan Sri itu. Lelaki itu sudah tiga empat kali datang ke rumahnya kerana berurusan dengan Nur Najwa.

              "Tan Sri nak jumpa dengan Puan Najwa kak," beritahu Pak Hussin.

              "Tan Sri?" Tanya Mak Zah di sebalik daun pintu yang dibuka hanya lepas untuk menjengolkan kepalanya sahaja. 

              "Assalamualaikum," suara Tan Sri memberi salam.

              "Waalaikumsalam," jawab Mak Zah gagap. Bimbang pula ada hal apa sehingga Tan Sri sendiri datang ke rumah mencari Nur Najwa? "Wawa!" Mak Zah berteriak dari bawah kerana Nur Najwa sejak pulang bertapa terus di biliknya. Tanya satu pun dia tidak mahu manjawab. Geram! Rasa hendak dipelangkung pun ada. Ini mesti sudah melakukan kesalahan besar sampai Tan Sri menurut sampai ke rumah, bisik hati Mak Zah.

              Pak Din pula dari Asar tadi ke surau, belum lagi balik-balik ke rumah. Mesti melepak di Warung Pak Ya main dam haji dengan kawan-kawannya. Kalau main dam, dah beratus kali hajinya. Dia sendiri pun belum lagi samapai ke Tanah Suci itu. Bebel hati Mak Zah lagi tentang perangai suaminya. Tapi masih mampu bertahan di dalam hati sahaja.








             

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...