March 29, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 11

~ sambungan ~

TAN SRI menolak daun pintu bilik wad itu bersama Pak Din yang tadi keluar untuk pekena secawan kopi, katanya.

           "Tok ayah!" Jerit si kecil.

           Tan Sri tambah tercengang. "Ei? Cucu tok dah sihat ke?" Dia mendekati cucunya dan mengucup sayang pipi comel itu.

            "Ayah! Ni emak Nur Najwa..." Najmi memperkenalkan.

            Mak Zah hanya melebarkan senyumnya.

            "Najwa mana?" Tanya Tan Sri.

            "Dia ke KK rumah abang Ngahnya. Kami ni Pak Hussin yang beritahu, tu sebab kami datang," cerita Mak Zah ramah.

             "Ooo...ingat dia ada sama tadi. Tengok cucu saya dah mula duduk bercakap ni?"

             "Dia kenal dengan emak Najwa ayah. Itulah dia ingat Najwa pun ada," jawab Najmi pula.

             Lama mereka berbual dan melayan si kecil petang itu yang sudah mahu makan dan bercakap. Tan Sri dapat melihat wajah Najmi yang sudah kembali ceria walaupun ditutupi dengan jambang yang menghitam di pipi.
             Suara Mak Zah mungkin ada iras suara Najwa, maka itu terus sahaja terubat kerinduan cucunya yang lebih seminggu berkampung di wad hospital kanak-kanak itu. Patutlah menurut kata doktor, cucunya itu tidak ada sakit apa-apa...cuma sehari dua ini dikatakan mendapat asthma kerana sering menangis.

             "See...I told you, she wants her mother," terang Tan Sri sebaik Mak Zah dan Pak Din bergerak pulang. Itu pun tunggu cucunya tertidur dahulu...jika tidak mahu meraung hendak mengikut balik.

             "I'd promised to take her to see her mummy."

             "You better do so."

             "But how?"

             Tan Sri sama memikir caranya. Christine yang dipanggil untuk datang melihat anaknya pun tidak nampak bayangnya hingga sekarang ini. "Nanti ayah usahakan untuk memanggil Najwa ke mari," pujuk Tan Sri.

            Najmi berpaling bila nama Najwa disebut. Bermakna ayahnya memahami. Puas sudah dia memujuk Christine untuk datang menjenguk anaknya yang sedang sakit itu, namun perempuan itu memang keras kepalanya.
            Najmi teringat kembali bagaimana dia berusaha untuk menjadikan Christine sebagai seorang isteri sebagaimana yang dimahukan. Mungkin kerana dia telah dibesarkan di dalam suasana mewah dan bebas selama hidupnya, maka payah untuk Najmi membentuknya.
            Anak itu juga hasil dari perjanjian yang dibuat bersama Christine. Najmi mahukan anak untuk memujuk hati ibunya Puan Sri Normah agar dapat menerima kembali dia dan Christine. Tetapi Christine pula tidak mahu terikat memelihara anak di rumah.
            Namun apakan daya, belum sempat dia membawa anak itu pulang berjumpa neneknya, Puan Sri Normah telah menghembuskan nafas terakhirnya. Maka dengan berat hati, Najmi terpaksa menyerahkan anaknya kepada Kak Lina yang sudah berkahwin selama hampir lima tahun tapi belum dikurniakan dengan seorang anak pun itu untuk menjaganya. Apabila suami Kak Lina yang menyambung pelajaran itu pulang ke Malaysia, kerana telah tamat belajar, Najmi tidak ada cara lagi melainkan menyerahkan kepada isterinya Christine untuk menjaga anak mereka.
            Dalam keterpaksaan, anak yang sedang nakal itu dipelihara dengan tengking herdik. Satu penampar sulong hinggap di pipi Christine satu malam bila anaknya telah memecahkan sebiji pasu yang dibeli oleh Christine semasa percutiannya ke Beijing.
            Mujur Najmi sudah pulang ke rumah ketika itu apabila dia mendengar Christine memaki hamun dan memukul teruk anaknya.

            "How dare you!" Jerit Christine yang sedang menahan perit kesakitan. Dia meluru untuk memukul lagi si anak.

            Najmi cepat merangkul anaknya dan membawanya keluar dari rumah itu untuk mendapatkan rawatan. Christine kemudian disabit kesalahan kerana mendera anaknya dan mereka akhirnya mengambil keputusan untuk berpisah. Apabila Tan Sri mula campur tangan, Najmi diarah pulang sahaja memandangkan anak itu perlukan jagaan dan bimbingan untuk membesarkannya.

            "Sabar itu separuh daripada iman Jimi. Ingat! Kita ni orang Islam?"


            Najmi mengangguk.

            "Brace yourself and pray hard."

            Najmi mengangguk lagi.

            "You want her or you just needed her?"

            Najmi memandang pelik ayahnya. apa punya soalan pulak ni? Bukan want dengan need tu sama ke? Najmi berkerut dahi memilih.

            Tan Sri Azizan mengangkat kening bertanya.

            "Both?" Tanya Najmi balik.

            Tan Sri menarik senyum. Bahu anaknya ditepuk sayang. Semoga kesilapan semalam tidak akan lagi berulang, begitu harapan Tan Sri untuk anak sulongnya itu. Memang kita merancang, namun Allah jua yang menentukan...walaupun kita tahu semuanya sudah tertulis sejak azali. Terpulanglah kepada individu itu untuk menerima qada dan qadar Allah dengan cara yang bagaimana.
             Jika seseorang itu percaya apa yang berlaku itu atas kehendak Allah, maka dia akan menerimanya  dengan redha. Sudah tentu ada hikmah di sebalik kejadian kerana hanya Allah sahaja yang tahu apa yang DIA turunkan kepada makhlukNYA yang menjadi pilihan.












       

March 27, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 11

            KEDATANGAN Mak Zah dan Pak Din disambut baik oleh Najmi yang sedang menunggu anaknya di wad hospital.

            "Macam mana dia sekarang bos?" Tanya Mak Zah ramah.

            "Macam tulah mak cik, sekejap baik...sekejap lagi panas balik suhu badannya," jelas Najmi yang sudah tidak rupa orang gayanya. Misai janggut semua dah tak sempat nak bercukur. Jambangnya dah hitam di pipi. "Ni asyik menangis aje....dah kena asthma pulak."

            Menurut Pak Hussin, semenjak anaknya masuk hospital, dengan dia sekali tak pernah balik ke rumah. Pak Hussin itulah yang jadi tukang hantar barang-barang keperluannya.

            "Kesiannya...." ujar Mak Zah yang mengelus perlahan wajah comel yang sudah mulai cengkung dan kelihatan sangat pucat itu.

            "Najwa tak nak datang tengok ke mak cik?"

            "Dia mana tau hal ni..." kata Mak Zah yang rasa kecewa pula dengan keadaan yang berlaku. Sebagai orang tua, dia faham anak itu amat merindui Nur Najwa anaknya. Kalau demam biasa-biasa sahaja sudah tentu sudah lama pulihnya. Masakan Tan Sri hendak membiarkan sahaja cucunya terlantar di katil wad itu?

            "Ayah saya dah cuba hubungi dia, tapi tak berjawab mak cik. Dengar cerita dia dah ke Sabah? Dia dapat kerja di sana ke?" Najmi yang risau akan keadaan anaknya itu bertanya macam polis penyiasat pula.

            "Dia cakap nak pergi bercuti aje....tak pulak cakap sampai nak cari kerja dekat sana," terang Mak Zah sama risau.

            "Kalau dia ada call mak cik, tolong beritahu pasal anak saya ni. Kata ayah dia demam rindu, itu yang tak kebah-kebah demamnya. Kalau dapat jumpa Najwa mungkin dia boleh pulih agaknya," terang Najmi pula. "Nasib baik saya ni kerja dengan syarikat ayah...kalau kerja dengan Kerajaan dah lama kena berhenti." tambah Najmi minta simpati.




            "Nenek!" Si kecil tiba-tiba bersuara.

            "Hai sayang..." Mak Zah yang sedang mengurut perlahan badan si kecil tadi terkejut dengan suara itu. "Kesian cucu nenek demam ye?"

            "Nenek! Where's my mummy?"

            Mak Zah bingung bila disoal oleh si kecil dalam bahasa Inggeris. Bukan dia tidak faham, cuma dia tidak tahu hendak membalas balik. "Mummy....go...holiday..." kata Mak Zah sebutir-sebutir gaya ayam patuk beras.

            "I wanna go with mummy, daddy..." ujar si kecil yang menggagahkan diri berpaling mencari wajah ayahnya.

            "You can go...no problem," sahut Mak Zah bangga kerana si kecil memahami bahasa yang digunakannya tadi.

            "Sure sweetheart! We'll find mummy..." sambut Najmi dengan merah mata menahan sedih bercampur gembira melihat anak yang sudah mula membuka mata dan mahu bercakap itu. "Get well...daddy will take you to see mummy." Najmi mengucup dahi anaknya. Air mata sama merembes keluar tanpa tertahan dan tanpa rasa malu dan segan dengan Mak Zah yang sama berada di situ. Tidak tersangka si kecil seakan terubat dengan hanya mendengar suara Mak Zah.

            "Promise?" Si kecil mengunjukkan kelingkingnya.

            Najmi memandang Mak Zah. "Promise," jawab Najmi sama mengaitkan kelingkingnya.

            "Can I go home now, daddy?" Kata si kecil sambil berusaha untuk bangun.

            Najmi beliak mata memandang. "Not yet, sayang."

            "Tomorrow?"

            "I'm not sure...depend on you."

            "I'm okay now daddy...I wanna go home to see mummy."

            Najmi sudah tidak tahu hendak cakap apa. Dia menapak ke tingkap menggaru kepala yang tidak gatal. Berjanji bermakna harus ditepati. Hendak dibawa anaknya ke sebelah mana Sabah untuk mencari Nur Najwa? Ditelefon pun tidak berangkat, macam mana hendak pergi mencarinya di sana? Bukan kecil negeri Sabah itu? Makanya masih dipenuhi dengan hutan pula....haisy!

            "Adik rehat dulu ye sayang? Kalau tak sihat nanti mummy tak nak jumpa," pujuk Mak Zah pula. Bantai ajelah cakap Melayu pun.

            "Okay nenek...can I have something to eat?"

            "Opkos!" jawab Mak Zah dalam pelat Melayu/Inggeris. Biasa dia dengar Nur Najwa berborak dengan anak abang Longnya begitu, Mak Zah pun sudah pandai mengajuk. Mak Zah mengeluarkan Bubur
Ayam yang dibawanya dari rumah.
            Mak Zah sama keseronokan. How amazing! Kata orang putih. Mana tidaknya? Kebetulan dia datang petang itu, si kecil sudah mahu membuka mata dan kini minta makan pula.

            Najmi berpaling memandang anaknya yang duduk bersandar dan sedang mengangakan mulutnya minta disuap bubur yang dibawa oleh Mak Zah itu. Nampak berselera benar pula makannya. Memang selama berada di hospital itu dia tidak mahu menjamah makanan. Terpaksa pihak hospital menggunakan cara yang lain pula.

March 26, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 10

~ sambungan ~

"WAWA tak suka ke?"

            Nur Najwa terdiam. Seronok pun ada juga sebab dia memang mngharapkan begitu kalau betul Najmi sukakannya dan benar-benar perlukan dia untuk anaknya. "Abang Ngah rasa Wawa patut terima?"

            Bertuah! Ada dia tanya kita balik? "Dah tanya hati Wawa? Ada rasa rindu tak selama tinggalkan dia seminggu ni?"

            Eh! abang Ngah ni...tanya soalan apa ni?

            Nazri merenung wajah adiknya.

            "Tak ada," cepat Nur Najwa menjawa bila terpandang mata abang Ngah macam dah tembus terus ke hatinya.

            Yalah tu....kalau tengokkan memang ada....nak goreng aku pulak dia. Kalau tak diarah berehat tu yang tak diam-diam buat kerja macam robot tu kenapa? Sekarang ni pun menghadap TV, cuba tanya berita tentang apa tadi? Haram dia tahu. Badan aje dekat sini, hati tu masih tertinggal dengan siapa entah namanya lelaki bos dia tu.

             "Kalau tak ada nanti abang Ngah suruh emak confirmkan ajelah pinangan anak Mak Som tu." Saja Nazri menakutkan. Si Jefry anak Mak Som yang tinggal sederet dengan rumah Mak Zah itu sudah lama sukakan Nur Najwa...tapi Nur Najwa pula tak suka. Elok aje budak tu, engineer lagi. Tapi Nur Najwa cakap dia tak sukakan emaknya. Kalau kahwin dengan Jefry...terpaksa kena suka dengan Mak Som juga. Itu yang awal-awal dia dah reject si Jefry tu.

            "Ala...abang Ngah cakap tadi bos Wawa kan?"

            "Bos Wawa? Siapa tu?"

            "Bukan Najmi ke?"

            Yes! Nazri menang. Dapat juga dia tahu siapa nama lelaki yang dirindui oleh adiknya itu.

            "Jefry tu pun bos juga kan?"

            "Tak nak lah dengan dia tu."

            "Habis....kalau emak dan ayah dah setuju?"

            "Wawa tak nak balik."

            "Kalau dia datang sampai sini cari Wawa?"

            "Wawa tak nak...tak suka!" Abang Ngahnya dijeling tajam.

            "Eh? Najmi nak datang pun tak suka?"

            Nur Najwa yang tadi sudah memalingkan muka menjeling abang Ngahnya kini berpusing sembilan puluh darjah. "Najmi?"

            Nazri mengangguk.

            "Nak datang sini?"

         
            Nazri mengangguk lagi.

            "Dia nak datang jumpa Wawa?"

            Nazri masih mengangguk dan kali ini dia sudah menarik senyum.

            Nur Najwa yang perasan akan perubahan air muka abang Ngahnya terasa malu sendiri. "Alaa... bukan dia tau rumah abang Ngah pun," Nur Najwa pujuk diri, tidak mahu mengharap, konon.

            "Itu sebab dia hendak datang dengan emak dan ayah," jelas Nazri.

            Huh? Nur Najwa yang tadi menyandar, menegakkan duduknya. "Ada apa?"

            "Saja. Katanya best kalau berkumpul ramai-ramai."

            "Bila Ngah?"

            "Nanti ayah confirmkan tarikh dan waktunya."

            "Eleh! Emak kalau datang dengan ayah, tak payahlah...dua tiga hari aje dah nak balik. Itu yang Wawa tak pelawa dia orang ke sini hari tu."

            "Tak kanlah dua tiga hari aje?"

            "Abang Ngah macam tak kenal dengan ayah tu? Mana dia boleh lama berenggang dengan kawan-kawan di warung Pak Ya tu?"

            "Tapi kali ni dia datang dengan bakal menantu, tentu dia seronok. Lepas tu kita semua boleh beronok-ronok," usik Nazri mengajuk Johan Raja Lawak.

            Pecah ketawa mereka dua beradik petang itu.


            "Ada apa?" Tanya Kak Ngah di tengah tangga yang melihat dua beradik itu gelak bagai nak gila. Matanya merenung kaca TV. Tak lawak pun?

March 25, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 10

~ sambungan ~

"WAWA! Siapa Wa?" Nazri bertanya bila melihat adik perempuannya lama terdiam.

             "Bos Wawa," jawab Nur Najwa pendek.

             "Habis tu apa masalahnya?"

             "Dia duda ada anak sorang. Anak dia tu tiba-tiba rapat pulak dengan Wawa...sampai dia panggil Wawa ni mummy," cerita Nur Najwa lagi.

              "Okeylah tu...dah kira senang. Anak dia pun dah suka dengan Wawa," sokong Nazri pula.

              "Bukan pasal anak dia...pasal bapak dia, bos Wawa tu...."

              "Abang Ngah tak rasa itu jadi masalah. Ada aje bos kahwin dengan setiausaha dia?" Belum habis cerita, Nazri sudah menyampuk.

              "Bos Wawa tu berangin orangnya. Wawa sama berangin....mana nak sebulu?"

              "Isy! Itu pun nak dijadikan masalah ke? Bawaklah banyak beristighfar...kita kan orang Islam? Bos Wawa tu berangin mungkin sebab dia baru kehilangan isteri dan terpaksa menjaga anaknya sendiri. Orang lelaki ni lain sikit dik....dia orang tak biasa dengan urusan rumahtangga, menjaga anak semua ni. Bila keadaan mendesak, tension tau? Wawa yang perempuan sepatutnya, pandailah memujuk...baru dia kagum dan bertambah sayang dengan Wawa."

            Abang Ngah nilah....dia pergi backing si Najmi tu apahal? Nur Najwa diam. Ada betulnya kata-kata si Nazri tadi....orang sudah berpengalamanlah katakan.....




            "Betul tak cakap abang Ngah? Bukan abang Ngah nak salahkan Wawa. Kalau Wawa rasa ada perasaan kasih pada dia, tanya diri Wawa dulu...kasih yang bagaimana? Kasih kerana anaknya? Kasih kerana kasihan? Kasih kerana memang Wawa rasa dah jatuh kasih pada lelaki itu? Tak ada orang yang tiba-tiba boleh jatuh kasih Wawa...kasih itu lahir dari dalam." Nazri meletakkan telapak tangan kanannya ke dada kiri.
            "Hanya yang merasa sahaja yang tahu. Wawa bacalah sendiri perasaan Wawa. Kalau benar Wawa kasihkan dia...Wawa kena berubah dan menerima dia seadanya. Rupa wajah tak dapat nak diubah dik... ia pemberian Allah. Tapi perangai tu kan kita boleh ubah? Perangai itu melambangkan diri kita sebenarnya. Orang akan boleh menilai kita dengan melihat dan memerhati perangai kita."

            Ambik engkau! Hendak mengadu dengan abang Ngah? Salah oranglah....

            "Wawa rasa...Wawa kasihkan dia?" Tanya Nazri lagi bimbang adiknya itu merajuk hati pula.

            "Kasih tu cintalah ye Ngah?" Bertanya Nur Najwa macam budak baru masuk alam remaja.

            "Kasih itu perasaan sayang seorang insan kepada insan yang lain. Cinta itu akan wujud bila kita sudah mengetahui kita benar-benar sayang dan kasih pada the so-called person. Macam Wawa pernah kasihkan arwah Jalal, mana Wawa nak layan orang lain?"



            "Wawa memang dah kasihkan anak dia Ngah, baru sehari dua ni...Wawa rasa sukakan dia tu..." Nur Najwa berpaling memandang Nazri.

            "Kalau baru nak mengenali dan mendalami perasaan kasih tu, kenapa Wawa dah lari tinggalkan dia?"

            Nur Najwa angkat bahu. Dia sendiri pun tidak tahu mengapa dia mengambil keputusan meluru. Lelaki itupun tak padan sepet, ada rupa pula. Kalau dia berdebat dengan Tina pasal aktor Korea, dia memang sukakan Lee Dongwook, pelakun drama bersiri The Partner itu. Najmi tu lebih kurang macam itulah rupanya.
            Tina pula sukakan penyanyi Choi Minho dari kumpulan Shinee. Dia siap beritahu Najwa, kalau Choi Minho itu sukakan dia, nama Minho akan ditukar menjadi Abdullah Minho. Nur Najwa tersenyum mengingatkan.

            Nazri di sebelah juga sama tersenyum melihat adiknya yang mungkin sedang teringat akan lelaki yang dimaksudkan. "Hah! Kenapa tu senyum sorang-sorang?"

            "Mana ada?"

            "Ada. Abang Ngah nampak, okey?" Nazri mengusik. "Wawa nak abang Ngah call dia, cerita 'man to man'?"

            "Abaikan ajelah abang Ngah...buat malu aje. Kalau betul dia perlukan Wawa untuk anak dia, biar dia call Wawa dulu."

            "Ada pulak macam tu?"

            "Habis...macam mana lagi?"

            Nazri menggosok dagu dengan sebelah tangan mencari akal. "Ha ahlah...biar dia cari Wawa sampai sini. Dapat abang Ngah kenal," usik Nazri lagi.

            "Tak ada maknanya...dia bukan tahu Wawa ada di sini?"

            "Eleh! Kalau dia betul-betul kasihkan Wawa, lautan api pun dia sanggup renangi tau?" Nazri masih mau mengusik.

            "Stop it lah Ngah...geli aje."

            "Eh? Tak caya? Abang Ngah bagi tempoh sebulan aje...kalau tak dia yang sewel, adik abang Ngah ni yang senget."

            "Abang Ngah!" Nur Najwa memukul bahu Nazri yang masih belum habis dengan sakatnya.




         

March 23, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 10

~ sambungan ~


"WAWA nak cari kerja dekat sini ke?"

            "Emak tak kasi...dia cakap dua tiga bulan aje...lepas tu kena balik."

            "Laaa...kejapnya!"

            "Tulah...Wawa ingat hendak juga ubah angin...cari kerja sebelah sini dah kebetulan abang Ngah ada."

            "Abang Ngah tak kisah....no hal."

            "Tapi tak apalah....untuk dua tiga bulan ni Wawa tolong Kak Ngah dengan bisnes catering dia."

            "Itu lagi bagus...abang Ngah pun suka. Tapi nanti abang Ngah bawaklah Wawa jalan-jalan tengok tempat yang menarik di KK ni."

            "Seronok ke abang Ngah duduk kat KK ni?"

            "Biasalah Wa...macam kita dah biasa duduk di Semenanjung tu."

            "Patutnya isteri yang ikut suami kan? Tapi abang Ngah terbalik pulak..."

            "Habis tu Kak Ngah tu kan tak fasih Bahasa Melayunya? Dia dah biasa berbahasa Melayu Sabah. Kalau dengan family dia tu lagilah...kalau dia orang tengah mengutuk abang Ngah pun abang Ngah tak tahu. Tapi sekarang ni jangan main-main....abang Ngah belum keluar cakap Jawa ayah aje."

            "Eleh! Abang Ngah pandai ke cakap Jawa? Ayah di rumah pun tak pernah cakap Jawa dia...asyik kena kutuk dengan emak aje...sekarang ni dengan ayah sekali dah murtad."

            Berderai ketawa Nazri mendengar cerita adiknya.

            "Wa!" Tiba-tiba Nazri memanggil bila keadaan kembali senyap seketika. "Wawa belum ada calon ke?"

            Eh! Abang Ngah dah mula dah.... "Belum nak fikir lagilah abang Ngah...takut pisang berbuah dua kali."

            "Isy! Tak baik. Jodoh tu kan Tuhan punya rencana. Kita hanya merancang, Wawa lupa ke?"

            "Wawa tau..."

            "Dah tu?"

            "Let it be lah Ngah," jawab Nur Najwa santai. Dia menyandarkan kembali badannya ke sofa.

            "Eh? Sampai bila tu?"

            "Ngah!" Nur Najwa memanggil. Ada yang musykil di hati mahu dibicarakan dengan abang Ngahnya. "Kalau Wawa cerita, abang Ngah jangan nak gelakkan ke apa tau? Wawa nak abang Ngah beri pendapat yang jujur."

            Nazri angkat tangan sebelah tanda 'aku janji'. "Apa dia?"

            "Wawa lari ke mari pun pasal dialah ni Ngah."

            "Siapa?"


            Nur Najwa memandang wajah abang Ngahnya. Sudah lama sungguh mereka tidak berbual mesra begitu. Semenjak masing-masing sudah meningkat usia, semenjak masing-masing sudah berumahtangga, mereka tidak lagi rapat macam dulu.
            Dia yang sepatutnya sudah berumahtangga, putus separuh jalan. Belum pun sempat dia merasakan kasih sayang dan belai manja si suami, dia ditinggalkan sendiri lagi. Masa ber 'couple' dengan arwah Jalal dulu itu pun bukan sampai ke mana-mana. Nur Najwa bukan tak kenal mulut emaknya yang macam bertih digoreng. Kalau dah mula membebel ke, marah ke, memang payah hendak berhenti. Melarat-larat sampai esok lusa. Malu dibuatnya dengan jiran kiri kanan, depan dan belakang rumah teres mereka itu. Bertelefon pun sekali sekala aje...biasanya berSMS ajelah yang emak tak boleh nak dengar.
           Kebetulan pula arwah Jalal belajar di Melbourne....kalau asyik bertelefon karang rabak pulak poket hendak membayar bilnya. Selalunya berYM ajelah...itupun tengok macam mana. Kalau sini siang, dia pulak dah malam. Beza waktu dua jam aje...tapi kita dekat Malaysia pukul 5.00 petang, dia pulak dah masuk waktu Isyak. Lagipun arwah Jalal ke sana untuk belajar, nanti terganggu pula pembelajarannya kalau asyik berYM aje.
            Nur Najwa pun bukan zalim sangat...kalau Jalal tu berjaya, dia pun dapat tumpang sekaki juga. Tapi Allah jua yang Maha Mengetahui segalanya.
           Baru seminggu dua ini, dia macam sudah mula tersuka dengan bosnya, Najmi. Tetapi lelaki itu pula, anginnya tidak menentu. Sekejap okey...sekajap lagi tak okey. Macam mana tu? Makanya si Najwa pula sama berangin. Mau rumahtangga mereka nanti asyik dilanda ribut Tsunami pula.







March 22, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 10

            "LEMAK cili api ikan tenggiri ni dah dimasukkan asam keping ke?" Tanya Nur Najwa kepada Kak Ngahnya yang sibuk menggoreng karipap pula.

            "Wawa tolong rasakan asam garamnya, Kak Ngah lupalah," jawab kakak iparnya.

            Nur Najwa sedang sibuk membantu kakak iparnya menyiapkan lauk pauk untuk majlis jamuan perpisahan sebuah syarikat swasta. Ikan kering bulu ayam sudah siap digorengnya dan disusun ke dalam bekas. Timun dan kacang panjang mentah untuk dibuat ulam dengan sambal belacan juga sudah siap disusun. Ayam goreng berempah, daging masak kicap dan pajeri terung juga sudah siap. Cuma menunggu ikan tenggiri masak lemak cili api yang dicampur dengan kobis jeruk itu sahaja lagi.
            Nur Najwa kini memotong agar-agar santan pula sementara abang Ngahnya sibuk membancuh air sirap limau dan teh tarik. Lepas ini rehat dua tiga hari, kata Kak Ngahnya. Kebetulan Nur Najwa datang, dapat dia membantu. Kakak yang selalu diupah untuk datang membantu bila Kak Ngah mendapat pesanan makanan itu demam pulak minggu ni, masih belum kebah lagi sehingga terpaksa ditahan di wad hospital.

            Kak Ngah yang tidak bekerja itu mengambil upah memasak jika ada pesanan. Dia yang memang anak tempatan itu asalnya tidak pandai memasak juga, tapi setelah menjadi menantu Mak Zah, dia sama suka belajar dari mentuanya itu. Walaupun mulut orang tua itu pot pat pot pet riuh menegur, tapi dia ikhlas mengajar sehingga menantunya itu pulang ke Sabah boleh hidup dengan mengambil upah memasak.

            Seperti yang dijanjikan sebuah van datang untuk mengambil makanan yang telah siap itu. Fuh! Lega. Tapi lepas tu tengoklah dapur Kak Ngah, macam tongkang pecah. Tapi hatinya senang, duit masuk pun lebat juga. Siapa yang nak marah? Bersepah pun rumah sendiri, hilang penat karang, kemaslah. Untung Kak Ngah tak payah nak buka warung ke, kedai atau restoran. Orang datang ambil di rumah lagi.

         
            Sementara menunggu hilang lelah, Nazri dan Najwa menonton TV. Kak Ngah dah naik ke atas, nak melelapkan mata sekejap, katanya. Telefon rumah yang berdering mengejutkan Nazri dan Najwa yang tekun menonton rancangan Melodi tengahari, hari Minggu itu.

            Nur Najwa memang tak ambil pusing sebab dia tahu bukan ada sesiapa yang akan menghubungi dia menggunakan telefon rumah abang Ngahnya. Kalau nombor hensetnya tu memang lebat panggilan masuk mencarinya. Mujur nama pemanggil dan nombornya tertera di skrin, bolehlah ditapis yang mana perlu diangkat atau sebaliknya.

            "Waalaikumsalam, mak..."

            Nur Najwa berpaling memandang. Oh! Emak.

            "Baru aje nak berehat mak....hari ni tadi dia tolong masak untuk catering tu."

            Nur Najwa senyum mendengar pernyataan abang Ngahnya.

            "Hah?"

            Nur Najwa membeliakkan mata mendengar suara Nazri yang bunyi macam orang terkejut.

            "Emak ni risau sangatlah...Wawa okey aje duduk sini. Mak ingat Ayie buli dia ke?"

            Nur Najwa senyum lagi.

            "Ya lah...nanti Ayie confirmkan dengan dia."

            Apa yang nak diconfirmkan?

            "Okey mak....bye....assalamualaikum." Nazri meletakkan telefon ke gagang.

            "Kenapa dengan emak, Ngah?"

            "Dia beritahu, ada orang datang meminang Wawa," usik Nazri.

            "Siapa?" Nur Najwa menegakkan badannya. Biar betul!

            "Entah siapa emak sebut tadi...bos ke hapa?" Nazri kerut-kerut dahi konon terlupa nama.

            "Habis tu...emak terima ke?" Tanya Najwa cuak.

            "Itulah dia suruh confirmkan dulu dengan Wawa..." si Nazri masuk bab berlakun, bila si adik percaya seratus peratus.
            Nazri bukan tidak tahu adiknya itu melarikan diri ke rumahnya kerana kecewa. Apatah lagi sekarang ini siap berhenti kerja. Kesian adiknya sudah masuk usia dua puluh lapan tahun, tapi masih hidup bersendirian. Dia perempuan....kalau lambat kahwin nanti, macam mana dia hendak meneruskan zuriatnya?






         

March 21, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 9

~ sambungan ~

"LAAAA... bukan isteri abang Jimi ke? Patutlah rupa Melayu je....kata kahwin dengan minah salih? Cu malas nak tanya banyak takut ada yang kecil hati dan salah faham," ujar Noor Azizah malam itu bila akhirnya terbongkar rahsia tentang Nur Najwa. "Patutlah ayah cakap Najwa merindui Najwa...." dia menyandar untuk mencerna cerita di minda.


             "Tengok emak Nur Najwa aje, Najwa abang Jimi dah sihat."

             "Ke mana Nur Najwa tu pergi?"

             "Ayahnya cakap tadi, dia ke KK rumah abangnya."

             "Tak sangka Najwa boleh rindukan dia sampai macam tu sekali ye ayah?"

             "Memang ada kes macam tu, tapi jaranglah. Biasanya kalau anak-anak ni dia rindukan emak bapak sendiri aje," terang Tan Sri Azizan.

             "Sekarang ni Nur Najwa tu dah tahu ke Najwa kita ni rindukan dia?"

             "Mana dia tahu? Contact pun tak angkat. Tak kan tak ada line kot dekat tempat abangnya tu? Kata dekat Kota Kinabalu?"

             "Dia dapat offer kerja bagus di sana ke ayah? Lama dah dia kerja dengan Mega Bina, tiba-tiba berhenti pulak. Ada kena mengena dengan abang Jimi ke?"

             "Entahlah Cu...ayah dah serahkan atas kebijaksanaan Najmi untuk mengendalikan syarikat, tak tahulah kalau berkait dengan kes peribadi?" Tan Sri meneguk kopinya yang tak berapa nak panas itu. Tadi beria suruh Cik Tipah buat kopi panas.

            "Hah!" Noor Azizah sedikit terjerit sambil memetik jari.

            Tan Sri rasa nak tersembur air kopi yang baru diteguk. Mujur tak panas lagi. Cawan di tangan cepat diletakkan balik ke atas piring. Kalau terpelanting tadi macam mana? Daripada enam biji satu set dah tinggal lima. Mana nak cari lagi satu? Rasanya dulu set Corelle tu arwah Puan Sri beli di Langkawi semasa dia dan rombongan Kelab Datin charter satu penerbangan ke Langkawi untuk bershopping sempena hendak menyambut Hariraya.

            "Cu agak, abang Jimi ni yang tak pandai nak ambil hati isteri dia...." Noor Azizah mengetuk-ngetuk telunjuknya ke pelipis. "...dia ni jenis yang tak romantik, tu sebab rumahtangga dia tak tahan lama," agak Noor Azizah kerana dia sendiri pun nampak abang Jiminya itu tidak berapa pandai melayan perempuan.

            "Kamu ni Cu...pepandai aje," tegur Tan Sri. Diri sendiri pun tak lepas lagi, ada hati nak beri pendapat macam dah berpengalaman aje gayanya.

            "Ya lah ayah...selama ni cuba ayah ingat-ingat perangai abang Jimi tu macam mana?" Noor Azizah cuba mengingatkan ayahnya tentang perangai Najmi yang memang tidak romantik langsung. Macam robot...tak berperasaan. Patutlah isteri orang putihnya dulu buat perangai...dah tahu orang putih ni asyik nak berkasih sayang aje.

            "Dah kalau dia tu tak pandai nak ber 'romantik'.....si isteri kenalah tackle cara lain pulak," bela Tan Sri terhadap anak lelakinya itu. Isy! Orang perempuan ni pun satu....nak ber 'romantik' bagai.

            "Ayah rasa Nur Najwa tu sesuai ke untuk abang Jimi?"

            "Manalah ayah nak tau? Tapi dah kalau Najwa kita tu sangat sayangkan dia nak buat macam mana?" Tan Sri mengangkat kening bertanya.

            "Ya lah...yang penting si kecik tu kembali sihat dan ceria. Lama-lama nanti tentu abang Jimi jatuh sayang dengan Nur Najwa tu, kan ayah?" Kini Noor Azizah pula mengangkat kening bertanya pendapat ayahnya. Namun belum sempat Tan Sri membuka mulut, Noor Azizah menyambung lagi. "Ayah pujuk abang Jimi...nanti Cu ayat Nur Najwa tu biar sampai dia setuju." Kali ini Noor Azizah mengangkat kening dua kali sambil menarik senyum. Seolah-oleh ideanya itu hebat sangat.

            Tan Sri hanya menjeling. Ada hati nak ayat orang....

March 20, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 9

~ sambungan ~


"BILA si Wawa ni nak balik Zah?" Tanya Pak Din yang sedang menyuap nasi malam itu.

            Mak Zah sedang mengelap daun pisang untuk buat membungkus nasi lemak permintaan Soon Seng si tokeh kedai perabut. Untung juga baik dengan Soon Seng tu, masa hendak mengadakan majlis perkahwinan anaknya Nur Najwa kelmarin, set bilik pengantin siap dapat discount lagi. Lepas tu Soon Seng beri percuma bantal tidur empat biji dan sebiji bantal guling. Semenjak itu, Mak Zah tak berhenti dapat pesanan nasi lemak setiap kali Soon Seng buat jamuan.
            "Baliklah tu tak lama lagi....tak kan dia juga nak menetap di sana?" Jawab Mak Zah. "Kenapa bang?"

            "Pak Hussin tanya masa siang tadi jumpa dekat simpang tiga nak ke warung Pak Ya tu," ujar Pak Din sedap mengesip tulang ikan cencaru yang disumbat tengah belakangnya.

            "Eh? Dia tak tahu ke Wawa dah berhenti kerja?"

            "Mana dia tau aih! Dia yang mendengar pun terkejut," cerita Pak Din.

         
           "Oh ye..." Mak Zah baru teringat, kan anaknya Najwa berhenti kerana hendak sembunyikan diri dari Dato' apa ke namanya tu?  "Wawa cakap jangan beritahu sesiapa dia pergi ke Sabah. Awak ada beritahu Pak Hussin ke?"

            "Dahlah...habis awak tak cakap awal-awal itu rahsia...mana saya tahu?"

            "Laaa...kalau Dato' tu tahu tentu dia ke sana cari Wawa pulak..." suara Mak Zah risau.




            "Dato' mana pulak? Bukan Tan Sri ke yang cari dia pasal cucunya itu sakit teruk sampai masuk hospital nak kan Wawa?"

            "Ai? Tak sihat lagi ke budak tu? Kesiannya."

            "Meracau, kata Pak Hussin...Tan Sri pun dah naik bimbang. Dia cuba contact Wawa guna nombor hensetnya tak berangkat. Tak ada line ke dekat tempat Nazri tu?"

            "Duduk tengah bandar, tak ada line apa ke bendanya? Wawa call saya boleh aje?"

            "Cuba awak call Wawa, beritahu pasal cucu Tan Sri tu...manalah tau, ada belas kesian dia nanti dia balik?"

            "Budak tu rindukan Wawa ke?"

            "Tan Sri beritahu Pak Hussin macam tulah. Dah puas berubat kat hospital...macam tu juga. Dah naik cengkung, kata Pak Hussin."

            "Ya ke?" Tanya Mak Zah pelik. Macam mana budak kecil tu boleh sayang sangat dengan Nur Najwa anaknya? "Jom kita gi melawat budak tu bang?" Ajak Mak Zah yang sudah pernah melihat cucu Tan Sri itu.

            "Bila?" Soal Pak Din bunyi terkejut atas permintaan isterinya itu.

            "Eh? Esok-esoklah.." jeling Mak Zah melihat suaminya tekun menghadap cencaru sumbat itu dah habis dua ekor dia seorang sahaja. Ingatkan dah kenyang menebeng di warung Pak Ya tu....rupanya pandai pulak lapar. Nasib baik Mak Zah tu rajin melayan masak makannya. "....tak kan tengah malam ni pulak?"

            "Boleh juga," jawab Pak Din menolak pinggan ke tengah meja. Dia bangun ke singki mencuci tangan.

March 19, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 9

            SEMENJAK Kelisa Nur Najwa ada di rumah, dah makin jauh rayau Pak Din. Dulu masa pakai motosikal Honda cabuk tu, ada aje bersidai di warung Pak Ya.
            Mak Zah yang mencari dah naik geram. Kalau dia pandai bawak motosikal yang ditinggalkan oleh suaminya itu, tidaklah penat sangat dia menapak ke warung Pak Ya yang selang dua blok dari rumah teresnya. Ditelefon tak berjawab. Orang yang memandu ni telefonnya disambung dengan handsfree, macam Nur Najwa anaknya selalu buat kalau nak kepejabat pagi-pagi tu. Ini pakai henset tiga tiga sekupang tu nak handsfree ke bendanya?

            "Dari mana tu Kak Zah?" Jerit si Maimon yang sedang menggoreng keropok lekor depan rumahnya yang dipasang dengan payung besar. Maimon isteri Talib yang bawak bas awam tu memang rajin membantu suaminya mencari duit sampingan.

            "Cari Pak Din kamulah," jawab Mak Zah yang sama menghayun langkah masuk ke kawasan rumah Maimon.

            "Kat warung Pak Ya dah cari?" Maimon pula mengajar kerana di kawasan itu kalau nak cari laki yang hilang, carilah di warung Pak Ya. Memang mereka rajin ramai-ramai berlonggok di situ lepas Asar dan Isyak.

            "Aku ni dari sanalah. Dah call tak jawab. Penat aku menekan butang telefon rumah tu...sampai dah nak tenggelam punatnya....tak berangkat. Entah ke mana ajelah orang tua ni..." ujar Mak Zah yang menarik sila di atas pangkin depan rumah Maimon itu.

            "Ada mustahak ke Kak Zah?" Soal Maimon lagi yang merenik peluh di dahi menghadap kuali besar dengan minyak yang panas penuh menggoreng keropok setiap petang menunggu anak-anak yang pulang dari sekolah.

            "Nak ajak cari blender kat kedai letrik di bandar tu....blender akak, motornya dah terbakar agaknya. Esok Soon Seng tokeh kedai perabut tu mintak buatkan nasi lemak lima puluh bungkus. Ada jamuan apa entah dekat kedainya?"
            Mak Zah memang orang dah kenal lama akan nasi lemak buatannya di kawasan perumahan itu. Pagi-pagi Pak Din akan menghantar lima puluh bungkus ke warung Pak Ya. Mak Zah akan terima sahaja tempahan kalau ada yang mahukan nasi lemaknya. Dapat juga duit poket untuk dirinya sambil-sambil melakukan kerja-kerja rumah. Mereka semua sukakan sambal tumisnya. Kadang-kadang kalau ada yang minta buatkan kuih muih, Mak Zah terima juga. Alah! Dia bukan ada anak kecil yang nak menyibuk mengacau. Sekarang ni, nak ajak Pak din keluar beli barang, entah dah ke mana pulak? Hari dah semakin petang.

            "Ni kak...air sirap aje....minumlah dulu, basahkan tekak," pelawa Maimon.

            "Susah-suah aje kau Mon, akak ni saja singgah nak lepaskan tension, kata orang putih. Kalau tak lepaskan geram ni, nanti Pak Din kamu tu tak sempat masuk ke rumah aku kerjakan," marah Mak Zah sambil meneguk perlahan air sirap.

            "Tadi akak tak cakap dengan dia awal-awal..."

            "Mana sempat nak cakap? Masa akak solat Zohor dia dah keluar..." Cepat Mak Zah menjawab belum habis ayat Maimon. "Eh? Sambunglah kerja kau Mon, akak ni mengacau aje ye?"

            "Tak adalah kak, Mon gorengkan sikit untuk abang Zahar tu. Dia beritahu nanti dia ambil masa lalu jemput anaknya dari sekolah agama," jelas maimon yang sudah pun mematikan api dan sama melabuhkan duduk di pangkin bersama Mak Zah.

            "Seronok berniaga ni ye Mon? Kang bebudak balik semua singgah sini beli airlah, beli keropoklah. Berapa batang sehari ais krim Malaysia yang engkau buat Mon?" Tanya Mak Zah yang memang tahu Maimon buat ais krim sendiri yang dimasukkan ke dalam plastik panjang dan hanya dijual dua puluh sen sebatang. Ada perisa jagung, laici, asam boi, nenas dan cincau. Laku gila kalau musim panas ni...kadang-kadang tu sampai tak cukup.

            "Ada dekat seratus batang kak...tapi tulah...kalau dah diisi dengan menatang tu, ikan, ayam semua tak bertempatlah. Nasib baik ada Pak Mail tu, saya tak pernah beli simpan. Kalau beli hari-hari terus aje masak," cerita Maimon.

            "Ha ah...lagi fresh," Mak Zah mengiakan. "...simpan lama-lama pun, tak sedaplah Mon. Akak pun buat macam tu aje. Bukan kita tinggal dalam estet ke, dalam hutan ke yang nak kena beli simpan banyak-banyak."

            "Wawa ke mana kak? Mon tengok kereta dia ada aje depan rumah akak dah seminggu ni?"

            "Cuti...pergi rumah Nazri. Dah lama tak jumpa dengan abang Ngah dia, katanya."

            "Akak tak ikut sekali pulak?"

            "Kuasa akulah Mon. Dia nak pergi sampai dua tiga bulan, tak mana Pak Din tu hingin nak mengikutnya lama-lama."

            "Lamanya?" Tanya Maimon agak pelik. Bercuti sampai dua tiga bulan? Kena tukar kot? Mak Zah salah dengar ni.

            "Entah! Wawa cakap tiketnya mahal...tak kan nak pergi sehari dua?"

            "Betul juga kak. Tapi hari tu saya nampak ada kereta besar putih depan rumah akak tu sapa?"

            "Kereta putih?" Mak Zah berkerut kening mengingat.

         
           "Ala....ada lelaki Cina datang dukung anak tu?"

            Lelaki Cina datang dukung anak? siapa pulak si Maimon nampak ni?

            "Yang balik dengan Wawa tulah kak?"

            "Ooo...yang itu...tu bos baru Wawalah..."

            "Dia nak apa kak?" Nak kata datang beraya bukan bulan raya. Raya Cina pun tidak kalau kata datang nak hantar limau Mandarin.

            "Anak dia demam. Mintak Wawa tolong jagakan di rumahnya sana. Budak tu tak nak dengan orang lain," jelas Mak Zah.

            "Isy! Kak Zah ni....boleh dibiarkan aje si Wawa tu ikut orang Cina balik ke rumahnya?" Beliak mata Maimon menegur Mak Zah.

            "Melayulah Mon....bila pulak akak nak biarkan si Wawa tu ikut orang Cina...gila apa ke nama?"

            "Eh? Biar betul kak. Mon tengok sebiji macam orang Cina."

            "Entah! Akak pun tak perasan Mon, tapi baguslah tak sombong. Sudi datang ke rumah orang macam akak ni."

            "Hah! Tu dia!" Tegak telunjuk Maimon menunjuk ke arah Kelisa yang baru melintas lalu. Nampak terang dan jelas Pak Din yang memandu sebab Pak Din turunkan cermin tingkapnya.

            "Nak kena orang tua tu...siap dia," kata Mak Zah sambil turun menyarung seliparnya. Tadi cantik dia berayun kaki tanpa selipar masa sedang seronok bercerita. "Akak balik dulu Mon...nak ke bandar ni. Karang lambat nak menyiapkan sambal nasi lemak Soon Seng tu."

            "Kak! Mon kirim beli plastik ais krim dengan laici dua tin!" Jerit Maimon yang melihat Mak Zah dah berjalan pantas rupa itik pulang petang mengejar Pak Din.

            "No hal!" Mak Zah pun sama menjerit tanpa menoleh ke belakang lagi.

March 18, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 8

~ sambungan ~


SEMENTARA di rumah agam Tan Sri....

            "Mana perginya semua orang ni Cik Tipah?" Tanya Noor Azizah yang baru pulang dari Gunung Ledang malam itu. Nampak gaya macam dulu juga. Ingatkan abang Jimi dah balik sini bolehlah riuh sikit suasana di dalam rumah itu.

           Cik Tipah datang dari dapur dengan sos cili nasi ayam. "Nanti Tan Sri balik, Cu tanyalah sendiri. Cik Tipah tak pandai nak cerita sebab tak dengar sendiri."

            "Apa halnya ni? Abang Jimi gaduh lagi ke?" Noor Azizah masih mengorek cerita. Dulu tu dia tak berapa nak ambil kisah pasal abangnya Najmi kerana dia sedang sibuk belajar. Ada juga ayah bercerita sikit-sikit apa yang berlaku dengan abang Jiminya di California kerana ayah yang sering ke sana melawat anak lelakinya itu. Terasa rugi bila satu-satu abang yang dia ada berumahtangga dengan orang barat. Apatah lagi perkahwinannya pula tidak direstu oleh mama, maka mereka memang tidak rapat dan tidak mengenali diantara satu dengan yang lain.

            Cik Tipah hanya geleng kepala.

            "Ayah ada cerita dengan Cu dulu....tapi masa tu Cu tak habis marah dengan abang Jimi lagi. Cu geram. Sebab dia mama sampai kena darah tinggi dan serangan jantung. Cakap dengan mama belum nak kahwin, tapi bila ayah hantar dia kerja di sana...tak sampai tiga bulan dengar dia dah menikah," cerita Noor Azizah sambil seronok meratah timun dan daun salad yang dicolek dengan sos cili buatan Cik Tipah.

            Cik Tipah yang tekun mendengar hanya memandang Noor Azizah yang sedang berselera itu. Berderap derup bunyi timun yang diratahnya itu.

            "Eh? Cik Tipah tak makan sama?" Baru Noor Azizah teringat hendak pelawa sedangkan nasinya sudah habis separuh pinggan.

            "Dah tadi...lepas maghrib. Cik Tipah ingat tak ada orang nak balik makan dah....tu yang Cik Tipah awal dah makan."

            "Hurm....Cu tadi kena hantar kawan sorang tu balik. Dia datang hari tu dengan teksi...kesian pulak dah malam-malam ni nak biarkan dia balik dengan teksi. Perempuan pulak tu..."

            "Cu nak tambah nasi ke?"

            "Supnya ajelah Cik Tipah," pinta Noor Azizah.

            Cik Tipah ke dapur dan kembali lagi dengan sup tambah untuk Noor Azizah.

            "Cik Tipah tengok isteri abang Jimi tu macam mana?"

            "Eh! Bagus orangnya Cu....pandai buat kerja, masak memasak semua ni. Yang Cik Tipah suka tu dia pandai melawak. Kalau dia bercerita siap dengan aksi sekali. Nak pecah perut Cik Tipah ketawa dengar dia bercerita. Tapi kan?...."

            Noor Azizah mengangkat wajahnya dari menghirup sup ayam memandang wajah Cik Tipah yang tadi bukan main tak cukup mulut bercakap tiba-tiba tersenyap pulak dia. "Tapi kenapa?"

            Cik Tipah teangguk-angguk mengingat. "Patutlah...dia orang ni macam sedang perang dinginlah Cik Tipah tengok. Puan tu asyik dengan anaknya aje...makan minum Jimi tu dia urus juga, tapi Cik Tipah tengok memang dia tak melayan. Pasal masa pagi tu....Jimi mintak makan dengan Cik Tipah sedangkan bininya ada di luar sana menyiram pokok. Haram dia tak menoleh semasa Jimi datang mencari anaknya."

            Gosip mereka terhenti bila terdengar kereta Tan Sri memasukki halaman.

            "Cu makanlah...biar Cik Tipah ke belakang."

            "Assalamualaikum..." Tan Sri yang nampak Honda City anaknya berparkir di garaj memberi salam. Anak daranya yang seorang ini nama aje jadi Tutor Kolej...tapi ke sana ke mari macam kerja dengan National Geographic. Yang lelaki pulak tak berapa nak aktif...kalau tak sibuk membaca, asyik menghadap PC atau komputer ribanya.

            "Waalaikumsalam," jawab Noor Azizah dari meja makan.

            "Ei? Baru nak makan? Lambatnya?"

            "Baru balik....ayah dah makan?"

            "Dah tadi dengan Jimi dekat kedai makan sebelah hospital tu...."

            "Sedap sangat ke sampai pergi makan dekat sana?"

            "Habis....itu aje yang dekat. Pergi tempat jauh-jauh karang, kalau si kecik tu terjaga tak ada orang sebelahnya, mau meraung pulak." Tan Sri yang bercerita itu terlupa bahawa anak perempuannya tak tahu apa-apa.

            "Anak abang Jimi masuk hospital? Kenapa ayah?"

            Tan Sri menarik kerusi di meja makan menghadapa anaknya. "Oh! Kamu tak tau cerita ye?"

            Noor Azizah menggelengkan kepala. Tangan meletakkan mangkuk sup di atas pinggan nasi yang telah kosong. Gelas yang airnya tinggal separuh itu dibawa ke mulut.

            "Tipah!" Tan Sri memanggil Cik Tipah yang ternampak kelibatnya ke hulu ke hilir di dalam dapur memasak itu.

            Cik Tipah bergegas datang. "Tuan nak makan ye?"

            "Tak payahlah....saya dah makan dengan Jimi tadi. Buatkan saya kopi aje."

            "Baik tuan!" Cik Tipah meninggalkan mereka dua beranak di meja makan. Tadi tu sengaja dia mundar mandir nak dekat-dekat sikit biar dengar cerita. Kalau tidak apa yang nak dibuatnya dalam dapur tu? Nak kata masak....Nasi Ayamnya tu pun masih bersisa lagi dalam periuk.

            "Najwa tu merindukan Najwa..." ujar Tan Sri bunyi orang bersajak pulak.

            Noor Azizah kerut dahi. "Ayah ni dah kenapa?"

            "Betullah...pandai abang kamu beri nama anaknya Najwa. Kalau kamu dengar mungkin sepadan dengan namanya Najmi. Tapi sekarang ini....anaknya dah merindui seorang yang juga bernama Najwa. Macam mana tu?" Tan Sri seperti memberi teka teki.

            "Najwa mana pulak tu? Orang yang menjaga dia di sana dulu ke?"

            "Tekalah!" Tan Sri mengangkat kening menyuruh anaknya meneka.

            "Kalau betul....bawak ajelah Najwa tu ke mari. Mungkin dia dah sangat mesra dengan Najwa ni dari emaknya sendiri?"

            "Abang Jimi dah bawak dah..."

            "Ya ayah? Habis tu....apa masalahnya sekarang?"

            "Abang Jimi kamu tu berat mulut....egois orangnya. Tak mau mengaku apa yang tertanam di dalam hatinya. Tak kan orang perempuan tu yang nak terkeseng-keseng mencari dia?"

           
            Noor Azizah bulat mata mendengar. Patutlah kata Cik Tipah isteri abang Jimi tu macam tidak melayannya...cemburulah tu. "Isy! Ayah ni....biaslah....mentang-mentang ayah pun lelaki, ayah nak menangkan abang Jimi pulak. Habis bini dia tu tak ada hati? Tak ada perasaan? Nak tengok aje suaminya dengan perempuan lain oleh kerana anaknya itu sangat sukakan the so-called Najwa?" Noor Azizah geram. Dia memang pantang kalau dengar orang lelaki bercadang nak pasang lebih dari satu. Tak pedulilah ayahnya ke, abang sendiri ke?

            "Eh! Awak ni...apasal ayah pulak yang kena marah ni?"

            "Dah tu...macam mudah aje Cu dengar ayah cakap pasal nak senangkan hati abang Jimi. Dah tak ada cara lain ke?"

            "Itu ajelah cara yang paling mudah." Tan Sri sengaja membakar hati anak gadisnya. "Kalau dia kahwin dengan Najwa tu, Najwa anaknya akan sihat dan senang hati. Mana Cu hendak?"

            "Ala ayah...tak payahlah sampai nak kahwin-kahwin apa bagai ni. Ambil aje Najwa tu tinggal sini jadi nanny si Najwa anaknya. Tak boleh ke macam tu aje?"

            "Hukum Islam tidak membenarkan orang yang bukan mahram tinggal se rumah tanpa ikatan yang sah." Tan Sri cepat meneguk kopinya dan berlalu pergi meninggalkan anak gadisnya yang masih terkulat-kulat memahami keadaan.

March 15, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 8

~ sambungan ~

SALAH siapa sebenarnya sekarang ini? Najmi yang menyandar di wad kanak-kanak itu mengkaji kesilapan yang berlaku. Adakah ini balasan bagi dosanya pada arwah mama yang terpaksa ditanggung oleh anaknya? Bagaimana jika sampai membawa maut? Baru 'eye for an eye' kata orang putih. Menangis dah tak berlagu.

            Airmatanya menitis jua mengenangkan si anak yang baru mahu melihat dunia telah diduga dengan pelbagai musibah. Dari perpisahan dengan ibu kandung hingga kehilangan kasih dan belai manja Nur Najwa. Demamnya masih belum mahu kebah. Doktor sendiri pun kelam kabut mencari punca dari permasalahan itu.

            "Dia merana Jimi...rindukan orang yang selalu membelainya. Rindukan kasih sayang. Dia budak, tidak pandai hendak meluahkan perasaannya. Apa yang dia tahu...manangis ajelah," terang Tan Sri semasa datang melawat cucunya.

            "Habis Jimi nak buat apa ayah? Tak kanlah setiap perempuan yang dia suka, Jimi nak kena jadikan isteri?"

            Tan Sri merenung wajah anak lelakinya. Geram pula dia mendengar jawapan yang tidak menggunakan otak itu. Mau aje disekeh kepalanya itu kalau ikutkan hati.  "Dah berapa ramai perempuan Najwa ni suka sejak kamu tinggalkan Christine tu?"

            Najmi angkat muka sama merenung wajah ayahnya yang tadi baru meninggikan suara.

            Tan Sri angkat kening bertanya.

            Najmi kemudian menggeleng.

            "Kalau tidak kamu call ibu kandungnya, kalau dia ada perasaan sayang pada anaknya ini, lambat laun tentu dia akan datang. Itu pun kalau sempatlah...."

            "Apa maksud ayah?"

            "Kamu tengok ajelah sendiri......besar mana anak kamu itu? Larat ke dia hendak menanggung beban yang begitu berat? Terpikul ke dia? Semua ini kerana sifat sombong dan ego orang tuanya sehingga menyusahkan anak yang baru hendak mengenal erti hidup. Tidak terfikir ke kamu Jimi? Dia tu amanah Allah untuk kamu. Kalau dah ibunya tidak faham tentang agama kita, kamu yang telah dididik dan dibesarkan di dalam agama Islam, tak kan tak tahu?"
            Marah benar Tan Sri petang itu. Lama sudah dia menyimpan sabar. Kini dia tidak boleh berdiam diri. Biarlah besar mana, tinggi mana dan pandai mana pun si Najmi, namun dia masih seorang ayah kepadanya.
            "Sedangkan lidah lagi tergigit, Jimi. Gaduh sikit-sikit tu biasalah....kalau salah seorang tak boleh beralah, memang inilah jadinya. Masa sayang dulu tak agak-agak. Sesuai ke tak sesuai ke...semua tak sempat dikaji. Main redah aje. Kalau tak melibatkan anak-anak, ayah tak kisah...pi lantak koranglah!"

            Najmi menerkam memeluk lutut ayahnya. Dia menangis mendudu. Takut dengan tafsiran ayahnya tentang si anak yang sedang tenat itu. Ayahnya tidak akan marah sebegitu kalau dia sendiri tidak rasa takut dengan telahan doktor padanya. "I'm sorry......I'm sorry....I'm sorry ayah....."

            "Tidak akan jadi miskin hanya dengan mengalah sedikit dan tidak akan jatuh papa hanya dengan memberikan sedikit ruang kebahagian untuk seseorang yang kita sayang..."

            "Ampunkan Jimi ayah......" tangis Najmi berlagu sambil mengangguk faham kata-kata ayahnya.

            Tan Sri sama sayu hati mendengar tangisan sendu Najmi. Dia jadi gamam. Tidak pernah dia mendengar Najmi menangis begitu. Semasa dia pulang menghadiri majlis pengkebumian mamanya Puan Sri Normah dulu pun dia tidak menangis. Sahaja aje wajahnya, macam orang tidak bersalah. Padahal orang keliling semua menyalahkan dia atas kematian mamanya itu.
            Rambut Najmi diusap perlahan. "What can I do for you Jimi?"

            Najmi menggeleng kepala.

            "Okay...you call Christine."

            Najmi masih menggeleng.

            "Kenapa?"

            "I don't think Najwa needs her."

            "No...you should. Just incase anything should happen to her, Christine still has to come."

            Najmi mendongak memandang wajah ayahnya dengan pernyataan itu. Dia terus bangun dengan menyapu lelehan air mata di pipi dengan belakang tangan. "Ayah! Is it that bad?"

            "It is Jimi...the doctor told me so."

         
           Najmi memegang kepalanya dengan dua tangan. Rasa nak melalak meraung di situ juga. Hell with you Christine! Jeritnya dalam hati.





           

March 14, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 8

~sambungan~


TAN SRI AZIZAN masuk ke pejabat pagi itu menggantikan anaknya Najmi. Kakitangan yang sibuk sok sak sok sek bergossip itu tadi semua balik ke tempat masing-masing menyambung kerja.

            "Mana Tina?"

            "Dia ikut bos, Tan Sri," cepat Mashita menjawab kerana tadi dia telah diamanahkan menjaga pejabat semasa ketiadaan bosnya.

            "Nur Najwa?"

            "Entah..." Mashita angkat bahu. "...hari ni memang kami semua tak nampak pun kelibat dia, Tan Sri."

            "Cuba call dia...tanya kenapa?"

            "Baik Tan Sri."

            Tan Sri Azizan terus melangkah masuk ke bilik pejabat dan menutup rapat daun pintu. Blind yang ditutup rapat itu habis ditarik naik semuanya. Dari bilik pejabat yang bercermin kaca itu jelas kelihatan keadaan di luar. Sekarang ini orang di dalam boleh nampak orang di luar dan orang di luar pun boleh nampak orang di dalam. Siapa yang berani hendak angkat muka?

            Mashita datang mengetuk pintu bilik.

            "Masuk!"

            Mashita memulas tombol dan menjengolkan kepala. "Tan Sri....Nur Najwa tak adalah...emak dia cakap dia dah letak jawatan. Semalam dia dah berangkat ke KK."

            "Berangkat ke KK?" Tan Sri merenung wajah Mashita.

            Mashita angguk. Dia pun tak bertanya lebih lanjut, KK di mana tu? Main ikut aje apa yang Mak Zah beritahu.

            "Najmi tak beritahu saya pun Najwa letak jawatan?" Tan Sri macam tercari-cari sesuatu di atas meja. Kemudian dia menggaru pelipis. Ini mesti ada yang tidak kena pada petang Sabtu lepas. Najmi pun bukan boleh percaya sangat. Angin satu badan!

            "Hurm...tak apalah...pergi buat kerja awak."

            "Baik Tan Sri."

            Tina pulang ke pejabat dihantar oleh Pak Hussin. Mashita yang terpandang cepat melambai ke arah Tina ingin tahu cerita tentang keadaan anak bos mereka. Memang tak sabar-sabar mak cik sorang tu kerana dah terbiasa bergossip...rasanya kalau yang tengah panas tu memang enak untuk didengar apatah lagi kalau belum ditapis dari mulut ke mulut.

            "Macam mana Tina?" Sempat Mashita melemparkan pertanyaan kerana dia tahu walaupun Tan Sri boleh nampak mereka di luar dengan jelas, tetapi dia tidak mungkin mendengar apa yang mereka bicarakan.

         
           Tina mengembangkan lima jari kanannya. Dia terus menuju ke bilik pejabat Tuan Pengurus yang kini dihuni oleh Tan Sri Azizan. Pintu bilik diketuk perlahan.

            "Masuk!"

            Tina terus menolak daun pintu apabila kebenaran diperolehi. "Assalamualaikum, Tan Sri."

            "Waalaikumsalam," jawab Tan Sri Azizan sambil mengangkat wajah dari kerjanya.

            "Encik Najmi suruh beritahu..." Tina menahan cungap dengan menekan dada dengan tangan kanannya. Dia kemudian berdehem beberapa kali membetulkan kerongkongnya yang terasa kering. "....dia kena tinggal di hospital menunggu anaknya."

            "Ooo..key..." Lambat Tan Sri Azizan hendak memahami cerita Tina. Mungkin dia memikir betapa seriusnya demam si cucu sehingga terpaksa ditahan di wad hospital. "Macam mana keadaan cucu saya tu?"

            "Demamnya teruk...dia asyik meracau aje Tan Sri," adu Tina lagi.

            Tan Sri menelek jam di lengan. Sudah masuk waktu makan tengahari, patutlah si Tina berdehem-dehem kering tekak hendak bercakap. "Awak ajak Mashita keluar lunch dulu sementara saya ada di pejabat ni," arah Tan Sri.

            "Terima kasih, Tan Sri," ucap Tina dengan senyum yang melebar ke telinga.

            Tina terus keluar mendapatkan Mashita. "Jom! Keluar lunch."

            "Mana?"

            Tina berpaling menjeling. "Mana lagi?"

            "Oo...okey." Ingat tadi Tan Sri nak belanja makan ke? Mashita segera bangun dan mencapai beg tangannya. Mereka berjalan beriringan menuju ke Restoran Sinaran Pagi, tempat makan yang digemari oleh pekerja dan kakitangan pejabat di sekitar kawasan itu.
            Masuk waktu tengahari, mereka sudah terpaksa berbaris untuk memilih lauk kegemaran mereka. Setelah mendapat apa yang mereka mahukan, mereka terpaksa pula mencari tempat duduk. Mujur sudah tidak ada ruang lagi untuk dibentangkan tikar, kalau tidak di situ pun sudah pasti ada yang sudah bersila menyuap nasi.





         

March 11, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 8

            NAJMI terpaksa membawa anaknya ke pejabat Isnin itu. Anak yang masih mengantuk itu dibaringkan ke sofa di dalam bilik pejabatnya. Selimut yang memang dibawa dari rumah itu ditarik ke paras dada.

            "Adik tidur dulu ye? Kejap lagi mummy datang."

            Anak itu memandang tepat ke wajah daddynya sambil menganggukkan kepala.

            Sudah hampir jam sepuluh pagi bila anaknya tersedar kembali dan minta untuk ke tandas, Najmi baru perasan Nur Najwa masih belum sampai. Siapa yang nak disuruh bawa ke tandas ni? Najmi menjengolkan kepala dari pintu bilik pejabatnya.

             "Tina! Masuk sini sekejap."

             Tina si penyambut tetamu yang menerima arahan cepat bangun dan membuka langkah ke bilik pejabat bosnya. "Yes boss," tanya Tina.

             "Tolong bawakan anak saya ke tandas?"

             "Saya bos?" Tina bertanya minta kepastian. Tapi dia memang perasan pun si Najwa setiausahanya masih belum masuk ke pejabat lagi sedangkan jam sudah mencecah ke angka sepuluh. Hisy! lemak betul mak cik tu mentang-mentang dia baik dengan bos.

           
             "Ada sesiapa lagi dekat sini ke?"

             "Right boss...jom adik!" Ajak Tina.

             Najmi meyelak sedikit lengan kemejanya menelek waktu. Hisy! Mana pergilah pulak perempuan ni? Tak kan merajuk sampai tak datang kerja kot? Semalam tu kebetulan aku pun tak kerja, bolehlah melayan kerenah si kecil ni. Lagipun di rumah tu ada Cik Tipah, rungut hati Najmi.
             Dari malam tadi anaknya sudah mula meracau minta mummynya. Pagi ini tadi pun badannya sudah mula panas. Najwa....Najwa....awak buat daddy susahlah....

            Tina datang lagi dengan si kecil Najwa di dukungan. Dia sedikit berlari cemas dan menolak pintu bilik bosnya.

            Najmi mengangkat wajah terkejut. "Kenapa?"

            "Bos...dia pengsanlah bos!" Suara Tina ketakutan. Keluar aje dari tandas tadi si kecil dah tergolek. Tina yang berkasut tumit tinggi itu cepat melemparkan kasutnya ke tepi dan mengendong anak kecil itu untk dibawa ke bapanya.

            "Pengsan? kenapa?" Najmi panik.

            Tina angkat bahu tanda tidak tahu,

            Najmi bangun dan meluru mendapatkan anaknya. "Najwa!" Najmi memanggil sambil menampar lembut pipi comel. "Najwa...don't do this to daddy, please?"

            Tina dah meleleh air mata takut campur sedih melihat kelam kabut bosnya itu.

            "Tina! Awak beritahu Mashita suruh dia jaga office, awak ikut saya bawak Najwa ke hospital."

            Tina yang menerima arahan cepat keluar mendapatkan Mashita. Dia kemudian berlari kembali sambil menjimbit kasutnya.

            "Hurry! Panggil Pak Hussin, cepat!"

            Kakitangan yang melihat kelam kabut Tina itu sama berbaris di pintu melihat apa yang telah berlaku. Mereka berpandangan diantara satu dengan yang lain sambil menggelengkan kepala tanda simpati melihat nasib si kecil anak bosnya. Namun apa yang berlaku di sebalik kejadian itu memang mereka tidak tahu.

March 9, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 7

~ sambungan ~

MAK ZAH yang berlenggang pulang dari jemputan kahwin itu mengetuk cermin kereta. "Kamu dah tak reti masuk rumah?"

            Terkumat kamit mulut emaknya hanya diperhati dari dalam kereta. Nur Najwa mengangguk-anggukkan kepala. Setelah keluar dari perut kereta, Nur Najwa cepat menekan remote mengunci Kelisanya. Begnya dijimbit mengekor langkah emaknya.

            "Dah sihat ke si kecik tu?" soal Mak Zah.

            Nur Najwa yang menunggu di belakang emaknya yang sedang membuka pintu rumah itu hanya membatu.

            Mak Zah geram. Orang tanya tak menjawab...payah sangat ke nak bukak mulut tu? "Kamu ada buat salah ke ni?"

            Nur Najwa mengiakan dalam hati. Memang! Hari ni bos sombong yang angin satu badan tu kena tengking dengan aku. Orang dah elok-elok duduk rumah dia ajak keluar, lepas tu tak nak jadi drebarlah pulak.

            "Wawa! Cuba cakap dengan emak, kamu dah buat apa dekat rumah Tan Sri tu?" Mak Zah berpaling bertanya anaknya. Dia sudah faham benar dengan perangai anaknya itu. Mungkin betul juga kata arwah emak Mak Zah dulu, anak nombor tiga ni memang kepala batu. Nak ikut cakap dia aje.........

            Mak Zah melabuhkan duduk sambil mengipas muka dengan hujung selendang.

            "Mana ada orang buat apa-apa?" Jawab Nur Najwa tidak mengaku.

            "Habis tu, cepat pulak kamu balik? Kata bos kamu hari tu nak suruh tunggu dua tiga hari?"

            Nur Najwa yang masih terpacak di mata tangga itu merenung wajah emaknya. "Emak! Wawa rasa nak berhenti kerja dekat situlah."

            "Nak berhenti kenapa pulak?" Mak Zah tidak melenting mendengar permintaan anaknya itu. Mungkin kerana jawatan setiausahanya kini telah disalah gunakan sehingga Nur Najwa terpaksa menjadi pengasuh kepada anak bosnya yang demam itu membuatkan Nur Najwa bosan.

            "Habis tu...kamu nak buat apa? Dah dapat kerja lain ke?" Soal Mak Zah lagi kerana bimbang juga kalau Nur Najwa tidak bekerja siapa yang hendak membantu dia membayar bil-bil di rumah itu?

         
           Melihat emaknya yang bersuara lembut bertanya, Nur Najwa memberanikan diri mendekati emaknya. Beg bajunya ditinggalkan di tepi tangga.

            "Lagipun kan mak..." Nur Najwa duduk di sebelah Mak Zah dan memeluk lengan wanita itu minta simpati. "...ada sorang Dato' ni asyik je kacau Wawa kat opis tu...."

            Belum sempat Nur Najwa habis bercerita, Mak Zah cepat memangkah. "Dato' mana pulak ni?"

            "Dato' Khairy tu...yang Wawa ada cerita dia beli rumah kedai tiga pintu nak dijadikan opis dia tu?" terang Nur Najwa mengingatkan.

            "Hah! Dia nak apa lagi asyik datang ke opis tu cari kamu?"

            "Dia ajak keluar makanlah...nak ajak tengok wayanglah. Wawa takut nanti mak datin bininya tu datang opis serang Wawa, macam mana?"

            "Yang kamu dah tau dia tu dah berbini, kamu pergi layan buat apa?"

            "Mana ada..."

            Mak Zah terdiam mengingat. Kalau anaknya suka dia tak kisah juga, tapi kalau anaknya sendiri mengadu tidak sukakan situasi itu, dia harus menerima keputusannya.
            "Ya lah...kalau itu yang terbaik untuk kamu Wa, emak tak kisah."

            Nur Najwa menarik senyum. Tetapi sebenarnya dia sudah ada rancangan lain. Dia tidak mahu tinggal dengan emak dan ayahnya buat sementara ini, takut ada yang datang mencarinya.
            "Mak! Kalau Wawa cakap emak jangan marah tau?"

            Mak Zah berpaling. "Apa?"

            "Wawa dah call Abang Ngah, Wawa nak ke KK rumah Abang Ngah sebulan dua ni, boleh?"

            "Amboi! Lamanya?"

            "Laaa...KK tu kan jauh mak. Mahal tambang nak ke sana tu. Pergi sehari dua buat apa? Buang duit aje."

            "Kamu nak ke sana cari apa? Sini pun boleh cari kerja Najwa," tegur Mak Zah.

            "Bukan pasal kerjalah mak...ni pasal Dato' tu. Wawa dah cakap macam-macam tapi dia tak reti bahasa. Kelmarin dia call bos cari Wawa...nasib baik Wawa dekat rumah bos jaga anak dia. Kalau Wawa ada dekat sini, nanti dia boleh cari. Biarlah Wawa hilang dua tiga bulan ni...bagi dia lupa, ye mak?"

            Mak Zah cepat merangkul bahu anaknya. "Ya lah....tapi jangan sampai tak ingat nak balik pulak. Penat emak bela dari kecik, dah besar semua nak lari duduk jauh-jauh," pesan Mak Zah.

            Nur Najwa angkat sebelah tangan. "Wawa janji dengan mak... Wawa mesti balik lepas tu."

            Mak Zah mengucup dahi anaknya. Najwa...Najwa....

            Najwa mengucap syukur dalam hati. Biarlah emak dia tidak tahu tentang masalah dia dengan anak Tan Sri itu. Tetapi alasan yang dia berikan tadi itu memang benar pun.





         

         

     

March 6, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 7

~ sambungan ~


SEPANJANG perjalanan, Nur Najwa yang memandu keluar dari rumah agam Tan Sri Azizan, meninggalkan Najmi dan anaknya merangka sendiri apa yang bakal berlaku untuk hari-hari berikutnya.

           Nur Najwa sendiri sudah merancang sesuatu untuk dirinya agar tidak lagi berhadapan dengan permintaan dari lelaki itu. Kalau dia masih tinggal dengan emak dan ayahnya, sudah pasti Najmi yang sudah pun mengetahui tempat tinggalnya akan datang mencari. Itu pun kalau dia perlulah....

          Sementelah dengan apa yang sudah terjadi itu, dia memang tidak betah hendak bertembung muka dengan majikannya di pejabat. Makanya dia pula setiausaha kepada lelaki itu. Eee...malu sangat dah ni.......

          Mana nak lari?

          Manakala Tan Sri yang mendapat idea itu cepat membawa cucunya ke bilik. Handset di saku dikeluarkan dan dia mencari nombor Nur Najwa. Bila terdengar panggilannya bersambung, dia cepat menghulurkan kepada cucunya. "Nah! Adik cakap sendiri dengan mummy."

          Nur Najwa yang baharu sahaja menarik brek tangan mendengar handsetnya yang menyanyi girang. "Orang tengah marah ni, dia menyanyi pulak," marahnya geram. Skrinnya dibelek mencari nama pemanggil.

          Tan Sri Azizan.

          Ada apa ni? Tadi orang tua ni masih di padang golf masa aku keluar dari rumah tu. Dia nak mintak pertolongan ke? Kenapa tak call anaknya aje? Pak Hussin ke?

          Nur Najwa menekan butang hijau. "Assalamualaikum Tan Sri."

          "Mum....mmmm..myyyy..." suara esakan sebelah sana talian membuatkan Nur Najwa menarik kembali sebelah kaki yang sudah melangkah keluar. Pintu Kelisanya kembali ditutup rapat.

          "Adik...kenapa sayang?" Air matanya sama bergenang mendengar esakan anak kecil itu. Suaranya sudah tidak kedengaran lagi. Hanya esak dan tangis sahaja.

          "Najwa!" Bunyi suara Tan Sri memanggilnya pula.



          "Tan Sri," jawab Nur Najwa sopan.

          "You have to come back here. Jangan pedulikan Najmi tu...awak kena ingat Najwa ni. Tak tersentuh ke hati awak melihat dia yang sudah menganggap awak sebagai mummynya? Dia baru saja baik dari demamnya...sekarang ni menangis sampai dah tak keluar suara."

          "Hantarlah dia ke rumah saya Tan Sri...saya boleh jaga dia di sini."

          "Eh! Mana boleh...ni anak orang. Dia masih ada ayahnya."

          "Saya malu dengan Encik Najmi tu Tan Sri...baru tadi saya marah dan tengking dia."

          Oo...kisahnya. Anak lelaki aku kena marah dengan secretary cum the nanny dia rupanya. Malulah tu? Jatuh saham....tercalar ego? "Kan saya dah cakap...pedulikan aje Najmi tu."

           "Tapi nanti kan saya kena tengok muka dia juga."

           "You know what's wrong with you two? You should get married." Tan Sri terus mematikan talian. Cerita dengan orang tua macam aku nak berbelit-belit. See the leglah....aku dah lama makan garam.

           Nur Najwa sedikit terkedu tidak memahami kata-kata Tan Sri tadi. Memang dia cakap direct. You should get married. Kahwin dengan siapa?

March 4, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 7

~ sambungan ~


NAJMI cepat mengesat airmatanya dengan bahu baju bila Rexton ayahnya memasukki perkarangan rumah. Airmata anaknya juga sama dilap sahaja dengan gaun yang dipakainya. Bimbang dilihat oleh orang tua itu, banyak pula tanyanya nanti.

            "Najwa nak ke mana tu? Ayah bagi high-beam pun dia tak perasan? Laju semacam," soal Tan Sri.

            "Balik," jawab Najmi sepatah. Sebak di dada masih ada. Bimbang terdengar kelainan bunyi pada suaranya.

            "Adik dah okey? Tak ada mummy tak apa ye?" tanya Tan Sri yang tidak tahu hujung pangkal cerita.

            Tiba-tiba anak itu menangis bila nama mummy disebut. "I want mummy, daddy....." dia mendudu menangis...lagi.

            "Let's shop for some toys, okay?" pujuk Najmi.

            "I want mummy. daddy..." dia terus menangis.

            Najmi hilang sabar. "Stop it Najwa! She's not your mummy." Najmi meletakkan anaknya ke bawah. Dia berjalan ke tepi kolam kecil sambil menggaru-garu kepala. Ikan-ikan kap Jepun yang berenang di dalamnya pun mungkin ketakutan melihat keadaan Najmi kala itu.

            Tan Sri kehairanan. Tadi macam tak kisah aje? Ni mesti ada benda yang tak kena berlaku antara Nur Najwa dengan anaknya Najmi.

            "Sayang Tok Ayah ajelah....daddy sakit kepala tu," pujuk Tan Sri sambil mengangkat cucunya yang teresak-esak menangis kesedihan dimarahi oleh daddy yang sedang buntu fikiran kerana sudah lama hidup berseorangan. Tidak pasal-pasal anaknya yang menjadi mangsa keadaan.

            "Adik nak mummy Tok Ayah..." pinta cucu dalam esak tangisnya yang memang belum mengerti akan masalah yang dihadapi oleh orang tuanya.

         
           "Okey....bagi Tok Ayah mandi dulu...lepas tu kita pergi cari mummy ye?" Pujuk Tan Sri dengan suara selembut mungkin.

            Anak itu mengelap air matanya dengan belakang tangan. Hatinya sudah terpujuk dengan janji Tok Ayah.

            "Adik pergi dekat daddy dulu."

            Anak itu cepat menggelengkan kepala. Takut. Hari ini sahaja sudah berapa kali daddynya meninggikan suara.

            Tan Sri pun macam mengerti apa yang sedang dilalui oleh anak dan cucunya. Inilah akibat tidak mendengar cakap orang tua. Kalau dia mengikut sahaja kehendak mamanya dahulu untuk menikah dengan anak Datin Rogayah itu pun apa salahnya? Saja........

            Sekarang ini susah dia, susah kita juga, bisik hati Tan Sri membaca takdir yang dilalui oleh anaknya itu. Kalau dia seorang, mungkin tidak terasa sedih sangat. Bila masuk bab yang melibatkan anak, kita sama tumpang tempiasnya.

            Tiba-tiba Tan Sri mendapat idea......

March 3, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 7

            "ADIK dah sihat kan?" Tanya Najmi.

            Anaknya mengangguk. Takut tadi masih bersisa. Entah masuk hantu apa agaknya daddy dia hari ini.

            "Duduk depan sini," arah Najmi sambil membukakan pintu kereta.

            Anak itu menggeleng.

            "Adik! Daddy bukan driver tau...ni yang semua nak duduk belakang apa hal?"

            "Excuse me?" Nur Najwa menyampuk. "Tadi dia tak nak ikut, encik sibuk nak bawak. Benda kecik macam ni pun nak jadikan masalah ke?" Berasap rasa telinga Nur Najwa mendengar ayat dari majikannya itu. Masakan aku nak duduk depan dengan anaknya? Ingat ni iklan INNOVA ke?

             "Ya lah...habis dia sibuk nak duduk di belakang dengan awak, ingat saya ni driver ke?"

             "You can sit with your daughter at the back, I don't mind driving the car, okay?" Nur Najwa pun dah naik berang dengan perangai Najmi. Hilang rasa takutnya dengan lelaki itu.

              Si kecil yang mendengar pertengkaran itu sudah mula ketakutan. Dia pernah menyaksikan pertengkaran diantara daddynya dengan Christine pada usia sekecil itu. Memang menakutkan bila dua orang dewasa bertengkar. Sebiji macam Nur Najwa memarahi daddynya tadi.....dalam bahasa Inggeris.

             "Mummy..." pujuk si kecil. "...don't scold my daddy please?" rayunya yang sudah mula menangis.

             "See...what have you done?" marah Najmi. "Come to daddy, sayang!"

             Si kecil menghulurkan tangan minta didukung. Sedih! Bila pertengkaran terjadi, Christine sering meninggalkan rumah berhari-hari. Daddynya yang tinggal akan terus bermurung sepanjang hari. Itu sebab, payah hendak melihat daddynya ketawa riang ria walaupun tanggungjawab terhadap anak seorang itu dipikulnya juga.

            Nur Najwa beristigfar dalam hati. "I'm sorry," ujarnya dan menapak masuk semula ke rumah. Air mata sama merembes laju selaju langkah yang diayun. Tidak tersangka celupar mulutnya memarahi majikannya itu membuatkan si kecil pula merayu.

         
            Nur Najwa keluar lagi dengan beg baju di tangan. "I'm leaving," katanya tanpa memandang ke kiri dan ke kanan lagi.

            Najmi memandang tanpa kata. Dua-dua pun sama keras kepala. Dua-dua pun pernah melalui pengalaman yang mengusik jiwa.

            Si kecil juga memandang.

            Deja Vu.

            Kejadian yang sama pernah berlaku dalam hidupnya hanya beberapa bulan yang lalu.

            Nur Najwa menghidupkan enjin Kelisanya yang sudah lama berpakrir di laman rumah agam itu. Dia langsung tidak mengangkat wajah memandang orang dua beranak yang terpacak macam tunggul kayu memerhati setiap langkahnya dari tadi. Dia malu dengan perangainya sendiri.

            "Mummy!" Si kecil mula memanggil apabila Kelisa itu mula bergerak meninggalkan perkarangan rumah dan menghilang di sebalik pagar bertembok batu itu.

            "She's not your mummy, sayang," jelas Najmi sambil memeluk sayang anaknya dan mengucup pipi si kecil. Airmatanya sama tumpah ke bumi mengenang nasib malang anaknya. Padah kerana menghampakan hati ibunya dahulu barangkali, maka Allah membalas perbuatannya itu kepada si anak pula agar dia merasai pedihnya hati. Entah siapalah yang bakal dipanggilnya mummy selepas ini.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...