October 10, 2011

Talking to the moon.......

Greetings to all..........


"Ma bangun!" suara Kakak sayup di cuping telinga.

Aku terkebil-kebil di atas katil mencerna keadaan. Dah siang ke? Rasanya baru je masuk tidur ni tadi.
Hati berbicara sendiri. Mata pula mengerling mencari jam di sisi katil. Memang banyak baktinya jam
digital SONY harta peninggalan suamiku itu.

"Woi! Baru 11.43 malam la...kenapa dah kejut?" ujarku pada si Kakak.

"Ma! Jom la...turun cepat..."

Apa halnya ni? Kucingku mati tersepit ke? Kena langgar ke? Gempa bumi ke? Semuanya bermain di
minda, bila dia tidak memberitahu apa sebenarnya yang berlaku. Gaya dah tak cukup tanah aje....

Aku cepat mencari selipar CJ7 dan melangkah menuruni tangga dengan mata yang masih kelabu t**k
anjing.

"Ada apa ni?" sambil mataku menyapu bahagian tingkat bawah. Dah gelap bahagian dining.
Mana Adik? Dia dah masuk tidur ke?

"Ma sini!" Kakak di luar pintu rumah memanggil.

Aku makin cemas sebab dia memanggil aku keluar waktu dah dekat tengah malam. Ni mesti kes kucing,
hati menelah. Namun, bila daun pintu ku selak lebih lebar, si Adik dan Kakak sama berbaring di depan
porch rumah dengan kamera menala ke langit.

"Ma kena baring sebab kali ni BULAN tu tegak atas kepala. Kalau tidak nanti kena sakit tengkuk,"
Kakak siap explain padaku kerana mungkin kalau aku sakit tengkuk esok paginya, dia juga yang susah.

"Ah! Tak kuasa nak tengok BULAN sampai baring-baring," jawab ku sambil terus mencari BULAN.

Ooo...memang betul la...BULAN  tu tegak atas kepala...tak macam biasa dia boleh dilihat dari bumbung
Hong Leong Bank tepi kawasan rumah ni. Aku mendongak.




SubhanAllah...santeknya bulan. Gambar di atas di rakam oleh Kakak dari porch depan rumah. Seketika...
kami sama menonton kehebatan kejadian Yang Maha Berkuasa itu dengan penuh minat. Berborak itu dan
ini...mengungkit kisah lalu. Kehidupan yang membawa kami hanya di dalam rumah sekarang ini membuat
kami tidak sempat menikmati keindahan bulan di waktu malam....apatah lagi menjejakkan kaki ke sana.
Kirim salam je la...

Untung la bagi mereka yang telah dapat menjejakkan kaki ke bulan tu, kan? Kena tabik spring
sama lu la......toing...toing...toing!

Aku? Tak apa la...setakat 'Talking To The Moon' dari bawah sini aje pun dah Alhamdulillah. Dapat
menumpang di bumi Allah dalam suasana yang aman dan damai berbanding emak semasa mudanya
yang hidup dalam ketakutan ketika Jepun mula masuk ke Tanah Melayu.

"Harap makan ubi kayu sampai naik bengkak badan," kata emak. "Anak-anak dara habis semua
menyorok takut ditangkap dek Jepun. Mana ada peluang nak melawa macam korang ni sekarang?"
cerita emak ketika melihat anak cucunya yang suatu ketika amat meminati lagu dan cerita Jepun.

Aku hargai pengalamannya. Emak juga siap menyanyi beberapa lagu Jepun yang sempat dipelajarinya
ketika Jepun menjajah Tanah Melayu. Rindu emak!

Aku berharap dan berdoa agar anak cucuku pula pandai menikmati kemewahan yang diberi Allah
untuk mereka. Jangan disebabkan nila setitik...rosak susu sebelanga.

"Oi! Dah la tu....masuk!" jeritku yang dah sakit-sakit lengan menggoreng mihun tempahan untuk 60
orang siang tadi.

Aku menapak mendaki tangga dengan rasa penuh bangga dapat memenuhi kemahuan anak muda
yang perlukan bantuan dari ku itu.

Junie Octovian:  Hidup yang pasti akan diteruskan walau pelbagai ujian yang datang.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...