January 13, 2013

Happy Birthday to dear YOU...

Greetings to all........

Hari ini tanggal 13 Januari 2013 bersamaan hari ulangtahun suamiku. Bila ku kenang kembali, entah macam mana aku boleh menikahi lelaki itu yang berbeza langsung perangainya denganku. Dia serius sepanjang waktu manakala aku banyak berkata-kata yang tidak ku pasti dia itu suka mendengarnya atau berbulu lubang telinga.



Bersama rumah yg dia tinggalkan...

Bila aku sedari dia tidak minat untuk berbual tanpa tajuk yang tertentu, maka aku catatkan di dalam diari segala pengalaman harianku. Setiap hari selepas tugasan harian, aku akan menekur di meja tulis di bilikku menzahirkan apa yang terkandung di benakku. Mungkin di situlah bermulanya bakat aku sebagai seorang penulis tetapi masih samar-samar lagi perjalanannya.


Melawat kebun miliknya seluas mata memandang...
Ketika itu masih belum ada Facebook, jadi kepada siapa harus aku bercerita? Sanak saudara dan adik beradik pula memang jauh-jauh tinggalnya. Anak-anak pula masih kecil kesemuanya. Dia pula walau pulang untuk makan tengahari, tetapi dia menggunakan waktu itu untuk benar-benar berehat. Dia yang diarak ke hulu ke hilir oleh supirnya pun pandai mengadu penat. Lama kelamaan, aku dan anak-anak sudah mengerti jadual yang terpahat. Namun, setiap sambutan harijadi anak-anaknya dia tetap ingat.

Telah hampir 7 tahun dia pergi meninggalkan aku dan anak-anaknya. Dia dijemput Ilahi di awal usia sewaktu anak-anak masih memerlukan belaian kasih sayangnya dan aku sendiri memerlukan bantuannya di dalam mendidik 4 orang anak yang sedang di alam persekolahan semuanya.


Tempat dia bersemadi...

Namun, perancangan Allah itu tiada siapa yang mampu membantah. Di dalam hati sering ku ingatkan akan kata-kata bahawa 'ada hikmah' di sebalik kejadian itu. Aku pujuk hatiku untuk meneruskan hidup membesarkan anak-anak hingga ke arah yang mereka mampu tuju.

Kini, ku cuba putar kembali pengalaman hidupku bersamanya. Jika saat aku menempa nama sebagai novelis ini dia masih lagi ada, bagaimanakah ceritanya? Atau mampukah aku melahirkan novel jika aku masih lagi menguruskan makan pakai dia yang agak cerewet orangnya itu? Wallahualam, hanya DIA yang Maha Berkuasa itu sahaja yang tahu apa yang dirancangkan untuk aku.

Di dalam keadaan terpaksa rela, aku gagahi hidup. Mujur dia itu adalah seseorang, jadi dia meninggalkan kami dengan segala kelengkapan dan bekalan. Kami yang ditinggalkan itulah pula kena pandai menyesuaikan diri dengan keadaan dan mengurus kehidupan yang kami mahukan.

Alhamdulillah...sehingga kini, dia itu tidak pernah kami lupakan. Setahun yang berlalu itu terasa singkat benar waktunya. Terasa baru semalam dia meninggalkan pesan yang bermacam-macam. Terasa baru petang semalam dia melambai pergi untuk pulang ke Sungai Petani tempat dia bertugas di akhir hayatnya.

Pemergiannya itu memberi aku ruang untuk meneruskan hasil tulisanku. Tiada lagi bebanan tanggungjawab melayan makan minumnya. Tiada lagi dia yang wajib aku pinta kebenaran untuk ke sana ke mari, seolah aku dibebaskan dari dibelengu olehnya...seolah aku dimerdekakan setelah dijajah begitu lama. Baru aku sedari hidayah yang telah Allah berikan selama ini. Baru aku sedari mengapa aku diberikan suami yang tidak begitu suka berperi...supaya aku tidak terasa sangat akan kehilangannya kerana telah terbiasa bersendiri walau ketika ada dia. Namun, rindu itu sesekali ada juga datang bertamu...hanya Allah sahaja yang tahu.

Semoga rohnya dicucuri rahmat dan dia di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah buat beliau.




Junie Octovian: "dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu, padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semua itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." ~ al-Baqarah ayat ke 216









No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...