Greetings to all......
Diam tak diam...sudah satu tahun berlalu sejak emak kembali ke rahmatullah pada 19hb Jun 2012. Namun memorinya tetap segar dalam ingatan. Kami adik beradik berkumpul, bercakap dan bermanja dengan emak di katil bilik bernombor 17 di wad Bunga Raya 10A, Hospital Baru Kluang yang sekarang ini sudah bertukar namanya ke Enche Puan Besar Kalthom, kalau aku tak silap.
Seakan waktu itu jam diputar kembali ke zaman kami masih di bawah ketiak emak. Hanya emak dan kami berenam beradik berbual mengimbau zaman kami membesar bersamanya.
Emak pula bukan main minta diurut sana sini di bahagian anggota badannya yang ketika itu sudah mula merasa kebas. Kini...itu semua sudah tinggal kenangan. Yang pergi tetap akan pergi, begitu mudah mulut mengungkapkan...namun aku melalui hari demi hari dengan ingatan di manakan ku cari ganti.
"I heard you are a novelist," soal Sister Mary yang menjaga lantai 10 wad Bunga Raya pada pagi giliran aku menjaga emak. Mungkin emak yang ramah itu yang memberitahu.
Aku angguk dan melemparkan senyum separuh masak. Tak selera kut...ketika itu kami semua sedang berdukacita kerana kami tahu emak akan pergi jua walau dia galak bercerita, macam orang sihat aje gayanya. Sebab itu cucu-cucunya gembira ria dapat peluang berjumpa dan berkumpul dengan saudara mara kerana tidak menyangka perkembangan yang berlaku kepada emak di sebaliknya.
"Will you write about this incidents in your next novel?" tanya Sister Mary beria-ia mahu kisah itu dibukukan.
"I'll try," sahutku dengan senyum yang sudah masak tetapi layu. Entah apa yang hendak ku tuliskan tentang pengalamanku menjaga emak di situ, aku pun tidak tahu.
Yang aku ingat, bilik bernombor 17 itu diserbu setiap kali masuk waktu melawat dengan buah tangan yang boleh dijadikan kenduri. Namun, si pesakitnya hanya diberi susu sahaja menerusi tiub.
Mujurlah setiap perjumpaan dengannya ada dirakamkan untuk dirujuk sebagai kenangan jika rindu itu datang bertandang.
Selepas enam bulan, Cinta Sambal Belacan berjaya dibukukan dengan sedikit insiden di hospital itu ku rakamkan. Nama Sister Mary ku garap sama memenuhi halaman muka surat 453 dan 454. Aku belum sempat meluangkan masa untuk menemuinya, namun dengan kuasa Tuhan, Sister Mary telah menelefon adikku mengucapkan terima kasih kerana namanya terbabit sama di dalam Cinta Sambal Belacan, novel kedua yang ku dedikasikan untuk emak...walau emak tidak ada lagi untuk melihat kejayaanku kali ini. Aku tetap bangga kerana emak sempat meraikan novel pertamaku Diintai Rindu.
Tanpa ayah kami yatim, tanpa ayah dan emak, kami yatim piatu dan akhirnya masing-masing membawa diri. Di musim cuti dan perayaan...kami tidak lagi berat hendak pulang ke Kluang. Adik beradikku punya keluarga yang hendak diuruskan...punya keluarga mertua yang hendak diutamakan. Aku yang sudah lama hidup bersendirian, akan merayakannya mengikut keadaan.
Pada 2hb Jun yang lalu, aku kembali ke daerah itu untuk kenduri arwah. Al-Fatihah buat semua yang telah meninggalkan kami...hanya kenangan itu yang tinggal kekal dan abadi di dalam sanubari. Pada hari ini pula...19hb Jun 2013, genaplah setahun emak pergi menemui Ilahi, semoga rohnya dicucuri rahmat dan damai dia di sana. Aamiin! Kami yang tinggal ini akan terus merindui kalian yang pernah hadir dalam hidup kami.
Junie Octovian: Al-Fatihah...
No comments:
Post a Comment