"ASTAGHAFIRULLAHAL’AZIM!!" Hajah Asmah usap
dada.
Haji Yusof yang sedang menonton Berita Perdana berpaling
memandang. "Ada apa?"
"Suhana ni dah mintak nak kahwin Bang Aji. Kerja pun
tak lagi."
"Dengan siapa?"
"Hafizuddin anak Pak Hussin Satay, ayah."
"Kenapa terburu-buru sangat? Kamu dah terlanjur
ke?"
"Apa?" Hajah Asmah naik hantu. Cepat sahaja dia
mahu menerkam anaknya.
"Mana ada?" Suhana mengundur. "Dia nak
kena sambung belajar luar negeri... tu yang dia ajak menikah aje. Tak payah
buat majlis besar-besaran. Duit belanja tu boleh buat tambang Ana untuk ke
sana."
"Hamboi!!" Hajah Asmah dah singsing lengan
bajunya. "Kalau tengah hangat bercinta ni... semua tak apa. Yang rugi emak
dengan ayah yang membela selama ni... dapat apa?"
"Semah!" Tegur Haji Yusof.
"Abang Aji tengoklah... kerja pun tak lagi dia dah
sibuk nak kahwin. Lepas tu ikut suami ke luar negeri... senangkan orang. Emak
sendiri tinggal buntang... makan hati. Huhuhu..." Hajah Asmah menapak
masuk ke bilik. Pintu dihempas, geram.
"Emak!" Panggil Suhana. Dia mengekor ke pintu.
"Ana mintak kebenaran emak, kan? Kalau emak tak setuju, tak apa."
"Biarkanlah dia Ana... terkejut agaknya. Esok,
eloklah tu." Pujuk Haji Yusof.
"Maafkan Ana ayah... Ana cuma sampaikan hajat
Hafiz."
"Kalau dia betul berhajat... suruh dia datang
sendiri jumpa kami."
Suhana pandang wajah ayahnya.
Haji Yusof angguk.
"Terima kasih ayah."
"ASSALAMUALAIKUM!"
"Waalaikumussalam," jawab Haji Yusof yang
sedang mengasah parang di pangkin bawah pokok mata kucing. "Hafiz?"
Hafiz angguk. Dia mendekati Haji Yusof dengan plastik
berisi satay. Bapak jual satay la katakan. Tangan dihulur untuk berjabat. Dia
meletakkan bungkusan di atas pangkin. "Abah kirim salam."
Matanya mengerling ke arah parang yang berkilat diasah.
Pergh! Ini kalau salah cakap... sekali libas jer putus halkum dan urat marih.
Hafiz teguk liur.
"Kenapa tak ajak dia sekali?"
"Abah tu waktu gini dah keluar meniaga, Pak Usop.
Dia suruh saya risik jer dulu... kalau dapat green light, baru abah dan emak
datang meminang."
"Nak risik apanya lagi... dah memang korang suka
sama suka, kan?"
"Bimbang juga... sebab Ana cakap Mak Semah tak
setuju dengan cadangan saya."
"Anak bongsu dia Pis... perempuan sorang pulak tu.
Teringin juga dia nak buat majlis."
Hafiz angguk. "Kalau macam tu... kami tunang jer la
dulu. Habis belajar nanti baru bincang pasal kahwin."
"Sanggup ke?"
"InsyaAllah."
"Mak Semah memang tak setuju," sampuk Hajah
Asmah dari belakang.
Hafiz tersentak. Dia urut dada. Kus semangat!
"Puas kami bela nak besarkan dia... tetiba
senang-senang nak ikut orang."
"Kalau tak setuju takpe la Mak Semah... Hafiz beri
cadangan aje."
"Mak Semah nak juga ada majlis... walau tak
besar-besaran. Sekurang-kurangnya anak bongsu Mak Semah berharga di mata orang.
Tak lah sampai orang menyangka yang bukan-bukan."
"Saya faham Mak Semah. Buat masa ni saya memang
takde simpanan yang banyak untuk memenuhi keinginan Mak Semah. InsyaAllah...
lepas tamat belajar, saya susul lagi." Ucap Hafiz lembut. "Nah! Ini
kiriman dari abah." Hafiz menghulur bungkusan.
"Satay?" Tanya Hajah Asmah.
Hafiz angguk.
"Ana!!" Panggil Hajah Asmah.
Suhana keluar dengan menatang dulang berisi cawan-cawan
dan teko kopi. Dia meletakannya di atas pangkin. Wajah Hafiz langsung tidak
dipandang.
"Ana," panggil Hafiz.
Suhana terhenti menapak.
"Ana tunggu sampai Hafiz balik eh?"
Tanpa berpaling... Suhana angguk. Insya-Allah, di dalam
hatinya berkata.
HAJAH Asmah
memerhati Suhana yang menyapu dedaun kering yang gugur di halaman. Rasa macam
tak berhenti dia bekerja sepanjang hari.
Berbual memang jarang-jarang... cuma bertanya itu dan ini
bila perlu sahaja. Hajah Asmah jadi susah hati. "Ana! Dah la tu... nanti
emak buat."
"Takpelah...
lagi sikit jer mak."
"Kamu tak reti-reti penat ke? Karang kalau sakit...
emak juga yang susah."
"Ana siapkan kerja dulu... pastu Ana rehatlah."
Suhana tak mampu nak tinggal diam. Wajah Hafiz asyik
berlegar-legar di ingatan. Padahal dia sendiri yang buat keputusan untuk tidak
meneruskan majlis pertunangan...
"Biar jer la macam ni."
"Kenapa?"
"Ana tak nak mengharap. Biar Tuhan yang
tentukan."
"Ana dah tak sayang Hafiz?"
"Bukan macam tu... "
"Habis tu?"
"Emak Ana itulah sorang dunia akhirat. Suami boleh
ditukar ganti..."
"Maksud Ana?"
"Hafiz fokuslah dengan pelajaran Hafiz tu dulu.
Kesian abah dan emak Hafiz yang meletak harapan tinggi pada Hafiz." Ucap
Suhana.
Macam emak dia juga... ingin mengecap hasil yang disemai.
Mana tak merajuk orang tua tu.
"Jodoh tu kan rahsia Allah? Kalau Dia dah tentukan
Ana akan jadi isteri Hafiz... kita akan disatukan juga akhirnya."
"Yakin dengan keputusan Ana ni?" Hafiz
bertanya.
Suhana angguk. "Kalau Hafiz rasa ada terjumpa calon
baru... beritahu Ana. Jangan buat Ana tertunggu-tunggu."
"Nanti Hafiz call..."
"Tak payah. Sampai masa nanti... Hafiz baliklah cari
Ana."
Hafiz renung wajah Suhana. Dia langsung tidak memahami
kehendak gadis itu. "Kenang daku dalam doamu?"
Suhana mengangkat wajah. "Always," jawabnya.
"Intan Suhana!!" Jerit Hajah Asmah bila anak
bongsunya itu tiba-tiba terjelepuk ke tanah.
"KENAPA dengan anak saya Tuan Doktor?" Tanya
Hajah Asmah dengan juraian airmata.
"Bagaimana boleh jadi macam tu?" Dr Zafril yang
merawat bertanya balik. Biasalah tu... bila pesakit tidak dapat berkata-kata...
doktor perlu mengumpul maklumat dari orang terdekat untuk membantu dalam
rawatan. Apatah lagi pesakitnya itu sedang koma.
"Dalam sebulan ni dia tak rehat... asyik buat kerja
aje. Tidur lambat... bangunnya cepat. Cakap pun kurang. Tadi tu dia tengah
menyapu... tiba-tiba tumbang jer..."
"Mak Aji tau apa puncanya?" Tanya Dr Zafril.
"Dia stress di tempat kerja ke... atau ada masalah peribadi seperti baru
putus cinta atau putus tunang?"
Hajah Asmah pandang wajah suaminya. Haji Yusof angguk
perlahan.
"Ada masalah peribadi doktor." Jawab Haji Yusof
yang kini memahami masalah sebenar kejadian itu.
Doktor Zafril angguk. Dia sudah bersedia untuk mendengar.
"Teman lelakinya ditawarkan menyambung pengajian di
Sydney. Mereka sepatutnya bertunang, tetapi anak saya pula menolak. Dia mahu
lelaki itu fokus pada pelajaran... dan berjanji untuk menunggu kepulangannya.
Semenjak dari hari itu, dia tidak banyak bercakap."
Dr Zafril angguk faham. "Kalau boleh dapatkan teman
lelakinya untuk datang, lebih bagus. Sementara itu, buat masa ini, dia akan
terus diberikan bantuan oksigen."
"Boleh ke dia pulih doktor?"
"InsyaAllah... berdoalah. Pak Aji dan Mak Aji boleh
duduk bercakap dengan dia. Dia dengar tu walau tidak memberikan respon."
"Berapa lama dia akan terus macam tu doktor?"
"Nanti
kita tengok imbasan MRI macam mana. Jika otaknya masih lagi berfungsi dan
menunjukkan ada aktiviti... bermakna beliau masih ada harapan untuk
sembuh."
Serta
merta Hajah Asmah meraung. "Ana.... jangan tinggalkan mak Ana!
Huhuhu..."
"KENAPA dengan adik mak?" Tanya Suhaimi yang
baru sampai setelah dikhabarkan tentang adiknya.
"Koma..." Haji Yusof tolong jawab.
Isterinya seolah tersampuk bisu sejak kejadian itu.
Airmatanya terus merembes bak empangan pecah dilanda bah.
"...petang kelmarin tengah menyapu tiba-tiba
rebah."
"Doktor dah check sakit apa?"
Haji Yusof angguk. "Tak sakit apa pun. Doktor syak
dia stress."
Suhaimi kerut kening. Peliknya. Stress kenapa? Sebab tak
dapat kerja? Suhaimi kerling emaknya yang tak henti menangis. Dia sudah dapat
mengagak adiknya stress sebab sering dileter oleh emak. Itu sebab emak rasa
bersalah.
Suhaimi mendekati emaknya. Bahu wanita itu dipeluk
sayang. "Emak, emak kena reda ye? Ini ujian Allah. Setiap yang berlaku itu
ada hikmah di sebaliknya."
"Emak yang salah,
Long. Emak pentingkan diri sendiri," ucap Hajah Asmah dalam sedu sedan.
"Emak dah buat apa kat adik?" Tanya Suhaimi
lembut. "Belum ada rezeki dia nak dapat kerja, mak. Emak tak boleh
leterkan dia selalu... boleh mendatangkan stress." Suhaimi cuba memahamkan
kepada emaknya.
"Stress tu boleh menyebabkan punca darah tinggi.
Bila darah tinggi... kemungkinan salur darah di kepalanya pecah. Itu yang dia
koma."
Hajah Asmah terus terhinggut-hinggut menangis. Memang
Intan Suhana selalu kena leter. Belajar tinggi-tinggi masih belum dapat kerja.
Dah tu sibuk nak kahwin. Macam mana nak simpan duit kalau takde kerja? Dapat
jauh di KL... Hajah Asmah pula tak suka.
Sengaja nak tinggal jauh-jauh dari emak, tuduhnya. Senang
hendak berjimba dan berfoya-foya. Itulah punca Intan Suhana tidak tinggal diam
di rumah itu untuk menutup mulut emaknya.
"Along kan dah ada kirim duit bulan-bulan untuk
belanja." Tambah Suhaimi. "Dian tu pun sampai dah anak dua masih
belum dapat-dapat kerja." Suhaimi merujuk kepada isterinya.
"Sekarang ni susah nak dapat kerja, mak. Orang-orang
lama pencen sampai usia 60. Terpaksalah yang muda-muda ni duduk menganggur. Di
kampung ni mana ada kerja yang sesuai dengan kelulusan dia. Emak pulak tak
lepaskan adik kerja di KL, kan?"
Hajah Asmah dah lembik lutut. Haji Yusof yang mendengar
penerangan dari si along menitiskan airmata. Macam tiada harapan untuk Intan
Suhana sembuh aje gayanya.
Kalau boleh diputar masa, mahu sahaja dia tampal mulut
isterinya dengan plaster setiap kali dia membebelkan Intan Suhana. Tidak sangka...
bebelan itu boleh mendatangkan kecelakaan.
"Adik tu mana pandai menjawab, mak. Dia main pendam
jer. Itu lagi bahaya dari yang pandai melawan." Ujar Suhaimi.
Hajah Asmah angguk laju. Memang betul. Dia pernah terasa
seolah bercakap dengan tiang gol.
"Dahlah..." kata Haji Yusof. "...mari kita
bacakan Yasin di sisinya."
DIAM tak
diam setahun sudah berlalu. Mengelitik rasa di hati Hafiz mahu menghubungi
Suhana. Bila diingatkan bahawa mereka sudah berjanji untuk saling
mempercayai... dipadamkan hasrat di hati.
Tapi semenjak kebelakangan ini... hatinya terasa libang
libu. Seolah ada sesuatu yang sedang atau ingin berlaku. Semalam... tiba-tiba
sahaja gelas yang dipegang terlepas dari tangan. Apalah yang dibuat Suhana di
sana tu. Sudah bekerjakah... sudah ada teman lelaki barukah... semua bermain di
fikirannya.
Tak kot... sebab Mak Semah tu garang. Tapi kalau yang
datang meminang tu orang yang berharta dan berpangkat, macam mana?
"Assalamualaikum mak." Hafiz yang tidak betah
berteka teki itu menelefon emaknya.
"Waalaikumussalam... Hafiz sihat?"
"Alhamdulillah. Mak tinggal sorang-sorang ye?"
"Haziq ada ni... baru balik sekolah. Abah dah pergi
meniaga."
"Hafiz nak baliklah cuti musim panas nanti."
"Baguslah," spontan jawab Puan Rokiah di
sebelah sana talian.
Hafiz dapat menangkap seolah ada yang tidak kena dengan
jawapan Puan Rokiah. "Kenapa mak?"
Lambat-lambat baru Puan Rokiah menjawab.
"Ana..." Berita yang diterima dari Hajah Asmah tidak dapat hendak
disembunyikan. Getaran suaranya sahaja sudah membimbangkan.
"Nak beritahu Hafiz?" Tanyanya di hospital
semalam semasa datang melawat.
"Kalau Ana boleh bercakap... tentu dia tak nak Hafiz
tau. Tapi doktor beritahu, mungkin Hafiz aje yang boleh selamatkan dia...
kembalikan dia ke dunia nyata." Jawab Haji Yusof.
Hajah Asmah sudah bengkak mata. Makan tak lalu... tidur
pun tak lena. Berita kematian itu seolah sudah kedengaran di cuping telinga.
Dia tidak sudah-sudah menyalahkan dirinya kerana menghalang Hafiz dari menikahi
Ana. Dia sedar dia terlalu mementingkan diri sendiri.
"Baik beritahu Hafiz," kata Pak Hussin.
"Kalau apa-apa terjadi... tentu Hafiz salahkan kita bila pulang
nanti."
"Boleh ke?" Tanya Haji Yusof.
"Ini soal hidup dan mati Ji. Apa nak berkira
sangat?"
"Kenapa dengan Ana mak?"
"Ana..."
"Kak Ana sakit nak mati, bang!" Jerit Haziq,
menyampuk.
Klik!
Tuuut! "Hafiz… hello!”
"ANA," panggil Hafiz perlahan di cuping
telinga. "Assalamualaikum Ana... ni Hafiz." Suaranya terpaksa
dibuat-buat gembira sedangkan kelopak mata sudah mula berkaca-kaca.
Lepas mendapat khabar dari adiknya Haziq, Hafiz terus ke
airport dan membeli tiket untuk pulang. Elok dia menjejakkan kaki di Tanah
Malaysia... dia disambut oleh Suhaimi.
"Kalau Ana sakit biasa-biasa jer tentu dia tak
benarkan kami beritahu Hafiz. Tapi Ana sejak jatuh di laman hari tu terus koma.
So... kami pakat-pakat untuk beritahu Hafiz jugak... atas nasihat doktor."
"Tak tau puncanya?" Tanya Hafiz.
"Kata doktor mungkin stress yang menyebabkan darah
tinggi."
"Teruknya stress?"
"Dia kan pendiam. Masalah semua simpan
sendiri." Kata Suhaimi semasa dalam perjalanan dari airport tadi.
"Bukak mata Ana... Hafiz nak bawak Ana ikut
Hafiz." Tapak tangan kirinya sudah mengelap air mata yang bercucuran. "Ana
cakap kalau Hafiz balik suruh cari Ana..." dia berhenti menahan sebak.
"...bukak mata... nak tengok cincin tak?" Sempat dia membelikan
sebentuk cincin di duty free shop sementara menunggu penerbangan pulang di
Sydney International Airport tadi.
Hafiz ditinggalkan di bilik itu untuk dia berbicara
dengan Ana. Mudah-mudahan roh Intan Suhana yang telah pergi jauh itu mahu
kembali.
Sejam kemudian, Suhaimi masuk. Dia meletakan tangan di
bahu Hafiz. "Any progress?"
Hafiz geleng.
"Try harder. It's been two weeks. Dia dah mengembara
jauh."
"Takpelah... Along bawak emak ayah balik berehat.
Hafiz tunggu Ana."
"Are you sure?"
Hafiz angguk lagi.
"Should anything happen... gimme a call."
"Sure do."
Ana masih belum menunjukan sebarang reaksi walaupun Hafiz
puas bercerita mengingatkan tentang kisah cinta mereka. Hafiz kemudian bangun
mencari tempat untuk berwuduk. Dia mahu melakukan solat sunat... mohon bantuan
dari Yang Maha Esa.
"MORNING Ana," ucap Hafiz
pada hari kedua dia menunggu Ana di hospital. "Jom kita jalan-jalan di
luar... cuaca baik hari ni." Kata Hafiz seolah Ana sihat seperti dulu. "Ana,
cepat bukak mata... Hafiz nak tunjuk sesuatu. Tentu Ana suka."
Tiba-tiba...
Jari jemari Ana bergerak-gerak... kelopak matanya juga
bergerak-gerak. Hafiz rasa nak melompat keseronokan. "Ana, bangun... dah
siang ni. Kita nak keluar cari baju pengantin untuk Ana."
Tangan Ana seperti terangkat-angkat... kelopak matanya
juga bergerak-gerak dengan laju seolah Ana sedang berlari untuk mendapatkan
Hafiz.
"Cepat Ana!" Panggilnya terus. Gembira bukan
kepalang melihat si gadis telah kembali dari pengembaraannya.
Hafiz keluar... dia menekan nombor henset Suhaimi untuk
memberitahu progress terkini.
"Biar betul? Okey-okey... Along on the way bawak
emak dan ayah. Dr Zafril baru call tadi nak jumpa."
Haji Yusof dan Hajah Asmah menarik senyum. Gembiranya
rasa di hati bila dikhabarkan tentang Ana yang sudah mula memberikan respon.
Mudah-mudahan sahaja Ana terus sedar dari lenanya yang panjang.
"Kita nikahkan mereka nanti Bang Aji. Saya dah tak
kisah kalau dia nak ikut Hafiz asalkan dia gembira."
Haji Yusof berpaling ke belakang memandang isterinya.
Menyesal barangkali dengan tindakannya menghalang mereka dahulu.
"Cepat sikit Long... tak sabar mak nak tengok Ana
bukak mata. Lama benar dah tak dengar suaranya."
Hajah Asmah menyesal tak sudah. Sepanjang malam dia berdoa
minta penyudah yang baik-baik untuk Ana. Semasa sihatnya... anak itu asyik
dileteri sepanjang masa.
Betul kata pepatah Melayu... bila jauh bau bunga...
Betul juga kata Suhaimi... bukan salah Ana. Dia dah
berusaha mencari kerja... sebaliknya Hajah Asmah yang memilih. Mahu tempat
kerja yang dekat-dekat. Anak perempuan yang seorang itu dikongkong bukan main
ketat.
Sampai di hospital nanti... Hajah Asmah sudah nekad mau
peluk Ana erat-erat. Dia mau ucap sayang pada anak itu berkali-kali sebelum
anak itu dilepaskan pergi untuk mengikut suami.
"Dr Zafril call tadi nak apa?" Tanya Haji
Yusof.
"Dia nak tunjuk imbasan MRI yang dibuat ke atas Ana
hari tu."
"Ayah harap keputusannya dapat mengembirakan kita
semua."
"Insya-Allah ayah... Along pun harap macam tu."
"AYAH dengan mak pergilah tengok Ana dulu... Along
jumpa Dr Zafril."
Haji Yusof memimpin isterinya ke bilik ICU. Pintu
diketuk. Hafiz yang membuka kelihatan lebar senyumnya.
"Ana dah gerak-gerakkan tangan dan matanya Pak
Usop." Ucap Hafiz yang teruja. "Mari tengok." Pasangan itu
diajak mendekati katil.
"Ana... ayah dan emak Ana datang. Cepat bukak mata.
Mereka dah beri persetujuan untuk Hafiz menikah dengan Ana. Nanti Ana dah boleh
ikut Hafiz ke Sydney."
Ana menunjukan pergerakannya sekali lagi. Kelopak matanya
bergerak-gerak tetapi tidak pula terbuka. Tangannya juga terangkat-angkat. Dari
semalam mesin pengimbas nadi tidak tentu arah bunyinya... seolah memberitahu
Ana tak jumpa jalan pulang.
Hajah Asmah tidak tertahan. Dia mendekati Ana dan memeluk
erat tubuh itu. Pipi Ana dikucup kiri dan kanan. Dia kemudian melabuhkan duduk.
Tangan Ana yang bergerak-gerak itu digenggam.
"Ana..." panggilnya. "...mak mintak maaf
banyak-banyak. Mak sayangkan Ana..." Hajah Asmah terasa tangannya
digenggam. Respon dari Ana membuatkan Hajah Asmah menangis mendudu. "Mak
sayang Ana...huhuhu..." ratapnya hiba. Tangan itu diangkat dan dikucup
sayang. "Mak sayang nak lepaskan Ana pada Hafiz. Entah bila mak boleh
dapat jumpa Ana lagi."
Masing-masing berpandangan diantara satu sama lain bila
ternampak ada air yang mengalir dari tubir mata Ana.
"Anak perempuan ni syurganya pada suami Ana... kalau
tiada kebenaran dari suami, macam mana Ana nak balik jenguk mak dan ayah?"
Ana yang sudah lama meninggalkan jasadnya memandang
wajah-wajah kesayangan dari jauh. Payah baginya untuk membuat pilihan. Mengikut
Hafiz bermakna harus berjauhan dari emak yang telah menjasadkan Intan Suhana.
Manakala lelaki yang bernama Hafiz itu pula telah memberikan kebahagiaan di
dalam hidup seorang Intan Suhana dengan mimpi-mimpi yang indah.
"Ana!" Panggil Hajah Asmah. "Hafiz balik
untuk Ana... bukaklah mata sayang."
"Ana!" Panggil Hafiz pula. "Hafiz janji
Ana boleh balik jumpa emak dan ayah jika Ana rindukan mereka."
Yelah... Hafiz tu bukan zalim sangat sampai tak beri
jumpa terus bila dah kahwin nanti. Cuma agak-agaklah sendiri... tambang dari
Sydney ke Malaysia ni... bukan macam KL nak balik Johor.
"Intan Suhana binti Yusof." Tiba-tiba Haji
Yusof memanggil nama penuh anak bongsunya. "Bangun sekarang! Ayah nak
nikahkan kamu dengan Hafiz."
Tiiiiiit !!
Graf di mesin pengimbas nadi tiada lagi zig zagnya. Dia
turun menjadi garis mendatar dengan bunyi yang nyaring.
Tiga kepala memandang ke arah mesin itu.
"Ana!!" Jerit Hafiz cepat menekan butang
kecemasan di hujung katil.
"HOW is she?" Tanya Suhaimi elok dia melabuhkan
duduk. Dia dipanggil oleh Dr Zafril untuk menerangkan tentang keputusan imbasan
MRI yang dilakukan.
Dr Zafril merenung seketika wajah Suhaimi. "I wonder
why a girl at her age being so stressed out." Ujar Dr Zafril sambil geleng
kepala. "Dari imbasan ini..." dia tunjukkan filem X-ray yang
digantung. "...mujur..." Dr Zafril tekan ayat itu. "...tiada
kebocoran dan pendarahan yang berlaku samada di kiri dan kanan bahagian
otak."
"Maksud doktor?"
"Dia terus koma sebab terjadinya radang pada lapisan
selaput otak. Insya-Allah jika tiada lagi tekanan... dia boleh pulih
sepenuhnya."
"Jika berlaku kebocoran atau pendarahan tu, macam
mana doc?"
"Jika kebocoran dan pendarahan berlaku di sebelah
kiri atau kanan bahagian otak... biasanya pesakit akan lumpuh..." Terang
Dr Zafril. "...dan mereka perlu menjalani pembedahan."
"Apa tanda-tandanya bila terjadi demikian doc?"
"Merasa sakit kepala... penglihatannya mulai kabur
dan mungkin dia kurang berkata-kata kerana saraf otak sudah tidak synchronize
dengan saraf-saraf lain."
"Sekarang ini bagaimana dengan adik saya?"
"Jangan bagi dia stress ajelah. Banyakkan berehat...
jangan fikir yang bukan-bukan." Dr Zafril cakap sebiji-sebiji untuk mudah
difahami. "Ajak dia berbual dan bercerita. Jangan biarkan dia memendam
rasa."
Suhaimi angguk faham.
"You know what STRESS means?"
Suhaimi terkebil-kebil mahu menjawab.
"It means SOMEONE
TRYING
to
REPAIR
EVERY
SITUATION
SOLO."
"Dr Zafril!! Your patient in ICU!" Terdengar
panggilan emergency di bilik menempatkan Intan Suhana.
"Ana!" Suhaimi memandang wajah Dr Zafril.
Dia serentak bangun. Kaki dipaksa melangkah walau seakan
tidak jejak ke tanah. Suhaimi yakin benar dengan penerangan Dr Zafril melalui
imbasan MRI yang ditunjukkan tadi. Insya-Allah adiknya akan sedar kembali.
Tetapi... siapa kita untuk menolak kemungkinan?
"HAFIZ nak buat Solat Hajat." Kata Hafiz yang
tadi berlari ke surau hospital... elok doktor mengarah kaum keluarga semua
keluar.
Bercucuran airmata Hajah Asmah melihat kesungguhan lelaki
itu mahu memiliki anaknya. Dia akan meredakan Intan Suhana mengikut lelaki itu
dengan penuh ikhlas seandainya Allah bermurah hati mengembalikan semula anak
bongsunya ke dunia ini. Sesungguhnya dia percaya lelaki penyayang seperti Hafiz
mampu menjaga Intan Suhana dengan baik.
Sementara itu... Dr Zafril dan misi-misi pembantunya
bertungkus lumus cuba menyelamatkan Intan Suhana. Alat defibrillator terpaksa
digunakan di waktu kecemasan untuk menyalurkan renjatan eletrik ke jantung...
agar ritmanya kembali normal.
Ya, Dr Zafril akan cuba membantu sedaya upaya. Kasihan...
Ana masih muda lagi untuk pergi begitu sahaja. Lagipun... sebagai seorang
pengamal perubatan... dia harus yakin dengan keputusan imbasan MRI yang
dilakukan.
Lesat lesut Haji Yusof menangis, usai solat sunatnya.
Sedih bukan kepalang ketika menyaksikan saat kematian di depan mata. Suhaimi di
sebelah... sudah tidak mampu bersuara. Tidak pernah dia melihat ayahnya
menangis begitu. Apa yang dia boleh buat... selain berdoa dan menerima sahaja
ketentuanNya.
Hafiz masih belum mahu mengangkat kepala dari sujud
akhirnya. Bersungguh-sungguh dia bermohon agar Ana dikembalikan kepadanya. Dia
berjanji akan menyayangi Ana sepenuh hati.
Terasa lama sungguh masa berlalu. Apa khabar agaknya Ana
yang sedang diberikan bantuan pernafasan itu?
Trrrrrr!!
Telefon pintar Suhaimi bergegar di dalam saku seluarnya.
Perlahan... dia menarik keluar. Haji Yusof di sebelah berpaling. Dia juga
teruja ingin tahu berita selanjutnya.
SETAHUN kemudian…
"Kalau ada Ana... ringan sikit kerja-kerja di rumah
ni." Rungut Hajah Asmah. "Ni semua saya nak kena buat bang."
Haji Yusof jeling. "Saya dah cakap, tak payah
susah-susah. Tak nak buat sudah... ada saya kisah?"
"Menyapu mengemop tu memang saya tak kuasa dah. Ini
yang hari-hari nak ke dapur memasak... dah malas tau?"
"Habis tu... saya nak beli lauk di warung Tijah
janda tu tak beri."
"Haa!!" Hajah Asmah kembangkan tangan kanannya.
"Tak payah!! Mula-mula tu beli lauk... lama-lama beli Tijahnya
sekali."
"Adoi!" Haji Yusof tepuk dahi. "Makin tua
makin kuat cemburunya."
"Yelah... dulu muda sama-sama susah senang. Dah tua
nak tinggalkan cari lain pulak?"
"Niat saya tu nak senangkan awak."
"Senang yang macam mana?"
"Senanglah... tinggal makan jer. Awak ingat saya tak
pandai sayang macam Hafiz?"
"Oo... lain kali cakap biar terang," jawab Hajah
Asmah malu.
"Siapa datang tu?" Tanya Haji Yusof
memanjangkan leher melihat kereta yang masuk ke laman rumah.
"Teksi airport tu bang..." kata Hajah Asmah.
"...Hafiz balik kot?"
Mereka berdua bangun menuju ke pintu.
"Makkk!!!" Jerit Ana, meluru mendapatkan
emaknya elok keluar dari perut kereta.
Mereka berpelukan... bertangisan dan beratapan. Rindu
yang bukan kepalang. Hajah Asmah sudah pandai menunjuk sayang. Mujur sahaja
Allah beri dia peluang.
Haji Yusof urut dada. Ingat kenapalah tadi. Dia angkat
kening pada Hafiz, bertanya tanpa suara.
Hafiz pun main panjang-panjang muncung mengarah kepada
pasangan emak dan anak yang sedang berdakapan. Erat dan ketat.
"Ana rindu mak."
"Mak lagi banyak rindu kat Ana. Ana sihat,
nak?"
"Alhamdulillah." Ana berpaling mencari Hafiz.
"Hafiz banyak bantu Ana, mak. Dia yang ajak balik... dia bimbang bila
tengok Ana dah renung-renung gambar mak."
"Telefon jer la. Balik ni banyak belanjanya."
"Mujur ada penerbangan tambang murah mak,"
sampuk Hafiz dari belakang.
"Kalau telefon dengar suara jer. Ana nak tengok...
nak jumpa mak."
Hajah Asmah tarik Ana dalam dakapan. Dia sambung menangis
lagi.
"Dah-dahlah tu... perut saya dah lapar ni. Kang
pergi makan kat warung Tijah janda, cemburu pulak." Ugut Haji Yusof.
Hajah Asmah jeling suaminya 90 darjah. "Jom Ana...
kita masak nasi tomato. Emak ada beli beras Basmathi Faiza."
TAMAT
No comments:
Post a Comment