November 28, 2017

Bila Kompang Dipalu - Fahmi & Maya



"AKU tetap tak setuju," jawab Rozie. "Kau lupa... kau tu perempuan ke?"
"Kenapa kalau perempuan?" Marah Maya.
"Eh, tak kuasalah aku nak terangkan. Seriau tau? Meremang bulu roma aku ni..." Rozie lurut bulu roma di lengannya.
Tadi, bukan main lagi dia mempertahankan haknya sebagai wanita waktu berebut tempat letak kereta di kawasan RnR Dengkil. Menonong dia masuk ke petak parkir yang kebetulan kosong bila dia sampai... tidak sedar ada seorang hamba Allah yang sedang menunggu untuk membuat reverse parking ke petak tersebut.
Tok! Tok! Tok! Cermin keretanya diketuk. Dia menoleh dengan senyum bangga.
"Hoi Cik Adik! Petak ni saya punya tau?"
Maya melangkah keluar. Dia memerhati jika petak itu ada tertulis nombor plate kereta si polan. "Takde tulis pun?" Jawabnya berani.
"Awak tak nampak saya sedang reverse untuk parking ke?"
"Hoi Cik Abang!" Panggil Maya. "Di tempat awam ni... pat pat nyer. Siapa cepat dia punya."
Pon! Pon! Kedengaran hon dibunyikan kerana kereta Cik Abang sedang mengempang laluan.
"Tu!" Maya tunjuk ke arah kereta yang sedang membuat perbarisan. "Kereta nak lalu... alihkan kereta awak. Huh!" Tambahnya lagi. "Tak gentleman langsung."
"Bukan sekarang ni perempuan semua mintak equal rights ke?" Jawab Cik Abang sambil menapak kembali ke keretanya. "Ada hati nak complaint tak gentleman pulak," bebelnya lagi.
"Mudah-mudahanlah aku tak jumpa dengan lelaki tu lagi," ucap Maya bila teringatkan kisah berebut tempat parkir tadi sambil melangkah ke biliknya dengan mengheret sebuah beg beroda.


"AWAK lagi?"
Maya renung wajah lelaki itu. "Apa?" Soalnya bercekak pinggang. Wajah diangkat tinggi. Cuba memberanikan diri.
"Suka sangat berebut dengan lelaki ke?"
"Mana ada berebut? Memang saya dah chop dulu."
"Nampak ni?" Tunjuk Cik Abang kepada beg-beg plastik yang sudah diletakkan di atas kerusi. Dia kini memegang sepinggan nasi campur di dalam foodcourt sebuah mall.
Maya yang memandang rasa bersalah. Tapi dia cuba tidak mahu mengaku. "Ala... duduk jer la. Kerusi ni kan ada empat buah?"
"Awak tak kisah?"
Maya angkat bahu. Aik? "Awak sorang ke?" Dia tanya. Kot-kot la ada awek atau bini ikut sama.
"Sorang la..." spontan Cik Abang jawab sambil meletakkan pinggannya. "...saya ni ada rupa suami orang ke?"
"Mana tau? Karang tetiba ada pulak sorang makcik yang perutnya..." Maya buat aksi perempuan mengandung. "...tak pasal-pasal awak kena pelangkung."
Cik Abang jeling. "See the leg la."
"Kihkihkih!!" Maya ketawa geli hati dengan ayat mengusiknya tadi. Dia masih tertiup-tiup mi sizzling yang berasap nipis.
Cik Abang di depannya sudah tidak pandang kiri kanan. Dia menyuap lapar. Sesekali dia mengerling Cik Adik yang tidak nampak luak makanannya. Masih tertiup-tiup. Maintain cun, kot?
"Uhuk uhuk!!" Cik Abang tersedak. Dia baru perasan terlupa beli air tadi.
Maya menghentikan suapan. Cik Abang diperhati. Tutup botol air mineralnya dibuka... dia menolak ke hadapan lelaki itu.
"Minum air ni," ujar Maya. Mata Cik Abang dilihat sudah merah dan berair.
Botol air mineral itu disambar dan diteguk airnya. Guk guk guk... habis sebotol. "Ahhh!" Cik Abang melepaskan nafas lega.
"Ganti!" Kata Maya.
Cik Abang angguk. Dia menarik dompetnya dengan tangan kiri dari poket seluar sebelah kiri dan menghulurkan kepada Cik Adik.
"Saya nak buat apa?"
"Duit ada dalam tu..." katanya sambil menarik sapu tangan pula dan mengelap wajahnya. "...sorry... lauk ni pedas gila." Dia tunjuk lauk lemak cili api.
"Awak nak air lagi?"
Cik Abang angguk.
Maya bangun. Dia buka dompet dan tarik not sepuluh ringgit. Dompetnya dikembalikan kepada Cik Abang. "Makan tak baca bismillah," sempat dia mengutuk sebelum berlalu pergi.


"TERIMA kasih kerana menyelamatkan saya," ucap Cik Abang sambil memandang Cik Adik yang sedang menyambung suapannya yang terbantut tadi. "Saya Fahmi."
Maya angguk dan lempar senyum secukup rasa. Mi sizzlingnya yang sudah suam-suam kuku itu mudah sahaja untuk dihabiskan. Dia masih belum menyahut.
Fahmi merenung Cik Adik yang menyepit mi dan mengangkat tinggi sebelum diisi ke dalam sudu. Beberapa potong cili jeruk disepit pula dan ditenggekkan ke atas mi tadi. Dia menyuap lagi. Kuah yang tak berapa nak ada itu dicedok dengan sudu... dan dia menghirupnya pula.
Fahmi memerhati sambil meneguk liur. Kalau beli itu tadi... tentu dia tidak tersedak kepedasan. Adoi la!! Ini semua si Nora punya pasal. Hatinya berbisik marah.
Hot plate berisi mi sizzling sudah licin dikerjakan. Maya meneguk air. "Alhamdulillah," ucapnya. Peket tisu dikeluarkan dari tote bag. Dia menarik sehelai dan mengelap mulut. "Saya Maya."
Fahmi senyum. "Ingat tak nak beritahu nama tadi."
"Tengah makan... mana boleh bercakap. Nanti tersedak macam awak pulak."
"Eh, saya mana ada bercakap?"
"Awak ada nak cakap sesuatu tadi tu, kan?" Wajah kusut Cik Abang direnung. "Awak ada masalah ye?"
Oo... yang cakap dia maintain cun tu ke? Fahmi mengagak sendiri. "Seriously... saya nak ucap terima kasih. Kalau saya duduk sorang-sorang tadi... entah siapa nak hulurkan air."
"Don't mention. Lagipun tempat penuh." Jawab Maya. "Cuti-cuti am ni pulak ada persembahan dari artis undangan... yang dah siap makan pun macam takmo balik."
Fahmi angguk.
"Baru putus tunang ke?" Maya tanya lagi.
Fahmi beliak mata, terkejut dengan tembakan tepat Maya. "Nampak obvious ke?"
Maya senyum. "Saya teka jer. Wajah kusut awak tu... dan barang-barang yang awak beli. Semuanya makanan. Tu!" Maya tunjuk dalam poket baju kemeja. Ada sebentuk cincin.
Fahmi angguk. Dia menyeluk poket dan mengeluarkan cincin tersebut. "Nah!" Dia hulur pada Maya.
"Nak buat apa?"
"Ambillah. Hadiah sebab selamatkan saya tadi."
"Kita tunang?" Tanya Maya tanpa sedar. Kebetulan dia pun baru putus cinta. Tengah mencari seseorang untuk menunjuk kepada Badri bahawa dia boleh mencari penggantinya.
"Sudi ke?"
"Why not?" Jawabnya spontan.
Fahmi senyum sampai telinga. "Alright!"
"Awak pandai masak?"
"Masak takde hal... google jer."
Maya angguk. Kasihan sungguh dilihat lelaki itu. Rupa ada... rajin memasak pula. Apa yang tak kena? "Nak saya jadi jurinya?" Ek eh! Tergatal mulut pula volunteer.
Fahmi angguk laju. "You really are my saviour gal." Ucap Fahmi gembira. Apatah lagi mommy nak datang hujung minggu tengok bakal menantu.


TING! Tong! Loceng pintu nombor 5 tingkat 5, Kondominium Sri Hijauan ditekan dari luar. Maya segera ke depan untuk membuka pintu.
"Maya?" Soal Puan Kalsom pelik. "Ini bukan rumah Fahmi ke?"
"Betul aunty... silalah masuk. Dia ada beritahu aunty nak datang... tapi tak tau pulak aunty ni mommy dia."
"Mommy!" Jerit Fahmi dari belakang. Dia datang beriringan dengan seorang perempuan muda. Maya terus dapat meneka siapakah gerangan si dia.
"Ini Nora," dia perkenalkan perempuan itu.
"Maya ni, siapa pulak dengan kamu?" Sergah Puan Kalsom.
"Oo... aunty. Saya ni cuma pembantu rumah part time aje." Jawab Maya membantu menjernihkan keadaan. Sempat 'cincin tunang' di jari dilurutkan dan dimasukkan ke dalam poket apron.
Fahmi renung wajah yang menjawab. Maya pura-pura tidak nampak. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa membaranya hati di dalam. Kalau ada air mendidih, mau aje dicelur lelaki ini.        
"Kenapa nak jadi pembantu?" Tanya Puan Kalsom yang sudah melangkah ke dalam.
"Simpan duit nak kahwin aunty... sekarang ni belanjanya mahal."
"Macam mana boleh jumpa dengan Fahmi?" Dia melabuhkan duduk di sofa.
"Kawan saya yang rekomen... saya terima aje. Tapi selalunya waktu Encik Fahmi tiada di rumah baru saya datang." Maya pandang Fahmi dengan aura bunuh. "Encik Fahmi... saya dah siap masak. Saya rasa dah boleh balik kot?"
"Aunty baru jer sampai... jom la kita makan sama-sama. Macam tak kenal pulak."
"Bukan macam tu aunty... saya tak nak mengganggu sesi perkenalan aunty dengan bakal menantu. Lain kali kita jumpa lagi... insyaAllah."
Maya ke belakang. Apron dibuka. Cincin dikeluarkan dan disimpan pula ke dalam begnya. Minda mencari akal apa yang bakal dilakukan seterusnya.
Fahmi mendekati. "I am sorry," bisiknya.
"Sorry naik lori la." Jawab Maya mahu melangkah pergi. "Awak hutang gaji saya hari ni sebagai pembantu rumah." Jari telunjuk dituding ke muka. "Cincin ni... sebagai cagarannya."
"Maya!" Panggil Fahmi mengekor ke muka pintu.
Maya lempar senyum pada tetamu. "Setakat hiding-hidang tu Cik Nora ni boleh buat kot?" Dia mendekati Puan Kalsom dan menghulur salam. "Kalau tidak... bila lagi aunty nak rasa layanan dari bakal menantu, kan?"
Puan Kalsom angguk. "See you again Maya... take care." Kata Puan Kalsom.


"MOMMY kenal dengan Maya tu?"
"Daddy selalu berurusan dengan dia untuk event syarikat, macam mana tak kenal?" Tegas Puan Kalsom berbicara. "Kamu aje yang buta hati... buta mata." Rimas dia dengan si Nora yang dibawa Fahmi tadi. Macam tak pernah buat kerja rumah aje gayanya. Pinggan pecahlah... air tumpahlah...
Akhirnya... dia sendiri malu. Dia keluar meninggalkan rumah sambil menangis. Dia ingat Fahmi nak kejarlah... nak pujuk... gitu? Kirim salam je la sebab Puan Kalsom memegang bahu Fahmi, menahannya tadi.
"Sebenarnya Fahmi suka dengan Maya tu, mommy. Itu sebab Fahmi dah beri dia kunci rumah dan suruh dia masak untuk sambut mommy..."
Puan Kalsom pandang pot pat pot pet mulut anaknya. "Habis tu?"
"           Si Nora tiba-tiba call cakap dia nak bunuh diri kalau Fahmi tak terima dia balik. Dia dah berdiri di balkoni apartmentnya tadi."
"Biarkan ajelah. Berani ke dia?"
"Mommy! This is serious. Dia suruh Fahmi janji untuk kahwin dengan dia baru dia nak turun."
"Kamu ingat ni filem Indonesia... Syurga yang tak dirindukan?" Puan Kalsom buat contoh terdekat. "Janji kahwin untuk selamatkan dia dari bunuh diri?"
Fahmi kerut kening. Cerita apa tu?
"Baguslah kan? Esok-esok dia akan terus ugut kamu untuk dapatkan sesuatu. Habis semua kesalahan yang dilakukan pada kamu luput begitu sahaja."
Trit! Trit!
Telefon pintar Fahmi berbunyi di atas meja kopi. Dua pasang mata merenung skrin.
Nora.
Mereka berpandangan.
"Pedulikan," kata Puan Kalsom.
"Kalau dia..."
"Dia tak kan buatlah..." ayat anaknya dipangkah. "...orang macam tu, dia takut mati tau?"
"Mommy..."
"Don't you dare 'mommy-mommy me' if you don't listen to me!" Marah Puan Kalsom. "Layan sangat pompuan yang tak empuk tu. Dia nak apa sebenarnya?" Menyinga Puan Kalsom dibuatnya. "Nak bertunang... dah diuruskan majlisnya dulu, kan?"
Fahmi terdiam kaku.
"Sekejap nak... sekejap tak nak. Miang sangat! Nanti mommy siat macam serunding daging tu nak?"
Fahmi angkat muka merenung mommynya. Biar betul!


BERBULAN lamanya Fahmi dan Maya tidak lagi bersua sejak peristiwa yang berlaku di Kondominium Sri Hijauan.
"Kau dah kenapa?" Tanya Rozie.
"Puan Kalsom mintak decorate untuk event di rumahnya."
"So?"
"Di rumahnya Rozie," Maya tekan ayat tu yang bermaksud ada kemungkinan akan terjumpa dengan Fahmi di situ.
"Ala... rumah family dia, kan? Dia tinggal di kondo. Mungkin kalau dia datang pun masa event tu nanti. Takde hal la..."
Maya masih terkebil-kebil memikir. Kalau boleh dia memang tidak mahu bertemu lagi dengan Cik Abang yang bajet bagus itu. Tapi Maya Iris Event Management ini periuk nasi dia dan beberapa orang lagi staff yang membantu. Adoi!!
Sudah direkomenkan satu syarikat lain kepada Puan Kalsom... tapi dia tolak.
"Awak jangan macam-macam Maya... aunty dah biasa berurusan dengan awak. Aunty tak nak orang lain."
"Tapi Jalur Gemilang tu saya kenal... dia pun bagus aunty."
"I said NO! I want you and you better be here," jawab Puan Kalsom garang. "Kalau pasal Fahmi tu... don't you worry. Banyak cekadak nanti... aunty siat-siat macam serunding daging."
"Aunty..."
"No more aunty-aunty... you better be here this afternoon to discuss about the event." Tegas arahan Puan Kalsom.
Memang dia begitu orangnya... cuma... semenjak dapat tahu dia itu mommy kepada Cik Abang bajet bagus... Maya cuba mengelak dari berurusan dengan beliau.
"Awak tau kan... saya tak suka orang yang lidah bercabang. Sekejap itu sekejap ini. Kalau betul-betul suka dengan Fahmi... biar aunty beritahu dia." Ucap Puan Kalsom lurus tegak macam kayu pembaris.
Maya tak berbunyi di sebelah sana talian. Takut disiat Puan Kalsom jadi serunding daging.
"Fahmi pun dah sewel sejak awak tinggalkan dia." Selamba badak Puan Kalsom bercakap. "Nora pun aunty dah warning siap-siap. Jika dia nak terjun dari jambatan di San Francisco pun aunty tak larang... sebab Fahmi tak kan berkahwin dengan dia."
Maya kecut perut. Pandai pulak dia agak yang Maya masih ada hati pada anaknya.
"Siapa dia tu nak ugut-ugut orang?" Tambah Puan Kalsom masih berang. "Mejistret, lawyer, Ketua Polis Negara?"
Puan Kalsom kalau bercakap sebiji macam Nyonya Mansor dalam filem 'Ibu Mertuaku'. Siapa berani nak sailang dia?
Omak ai! Kena hadap juga la ni...



"CIK Adik!"
Maya buat tak peduli. Dia sedang sibuk membuat pintu gerbang dengan belon-belon warna biru dan kuning atas kehendak Puan Kalsom di banglo kediamannya. Untuk majlis apa entah.
"Cik Maya, ada Cik Abang calling for you," kata Maria yang sedang tolong mengepam belon.
"Ah! It's been so long since I last saw you." Tegur Cik Abang. "How are you dear?"
"Never been better." Jawabnya bangga. Ingat kalau tak couple dengan dia business tak jalan ke? Piiirah!
"Can I have a word with you?"
"It's okay... awak boleh cakap di sini aje." Ucap Maya acuh tak acuh. "By the way... this is Maria, my assistant."
"Hai Maria... saya Fahmi." Dia tunduk hormat. "Boleh saya bercakap dengan Cik Maya kejap?"
"Cik Maya pergilah... I can handle this."
"Awak nak apa lagi dengan saya?" Bebel Maya yang menurut langkah Fahmi. "Nak suruh saya masak lagi? Duit upah hari tu pun belum dijelaskan, tau?"
"Duduk," arah Fahmi elok mereka sampai di tepi kolam renang.
"Eh, saya takde masa la nak duduk borak-borak..."
"Duduk!" Ton Fahmi sudah naik satu oktaf.
"Oo... pasal cincin tu ke? Saya ada bawak tiap-tiap hari. Just incase saya jumpa awak... memang saya nak pulangkan."
"Shhh!! Kalau awak tak pandai diam... saya kiss awak."
Gulp!! Maya pandang kiri kanan. Kot ada sesiapa yang dapat menyelamatkan dia saat itu.
"Tu!" Fahmi tunjuk ke arah mommynya yang sedang bercekak pinggang memerhati susun atur meja buffet. "Mommy yang suruh saya pujuk awak jadi menantu dia."
"Dengan awak NO. Tapi kalau dengan abang awak ke... YES."
Fahmi kerut wajah. "Abang yang mana? Saya ajelah Cik Abang yang masih bujang trang tang tang dalam rumah ni." Terang Fahmi. "Kalau Cik Abang yang tua tu.." dia tunjuk daddynya yang sedang berborak dengan beberapa orang kenalan. "...nak?"
"Takde abang ke?" Tanya Maya.
Fahmi geleng.
"Aiseymen... rugilah Cik Nora."
"Kenapa dengan Nora?"
"Saya sapu Cik Abang dia."
Fahmi sengih. "Awak terima saya?"
"Nah!" Maya pulang cincin. "Tak nak cincin Nora. Saya nak yang lebih besar." Kata Maya tak tau malu.
"Serious?"
Maya angguk. "Mommy cakap... kalau banyak songeh... nanti dia siat jadi serunding daging."
             "Hahaha...." Fahmi rasa nak gelak guling-guling. Nora pun mommy ugut macam tu. Gilalah!!

              Kompang dipalu.... pengantin baru... ahaks!


TAMAT








No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...