November 12, 2011

Di Sebalik Nama Abang Kus.......

Salam & Greetings to all.........


N3 pagi ni membawa anda kalian mengimbau kisah yang sudah bertahun lamanya. Diungkit kembali
kenangan ini kerana terpandang kucingku Didi membawa pulang seekor cencorot. Aku cepat-cepat
menutup pintu sliding. Didi terberhenti di depan memandang ku pelik. Barangkali dia nak menunjuk
padaku akan kepandaiannya menangkap tikus...tapi aku pula tidak memberi dia masuk ke rumah.

Aku memerhati dari dalam. Cencorot yang digonggong itu diletakkan ke bawah...namun si cencorot
cepat pula mahu melarikan diri. Nampak Didi sedikit marah dan cepat menerkam. Kemudian datang
pula adik beradiknya Sandy dan Sojin sama join berebut cencorot yang sekor itu.

Cencorot yg dibawa pulang oleh si Didi dgn bangganya.........

Teringat kisah anak kedua ku dengan tikus lamaaaaa dulu.............

Kisah ini berlaku semasa kami tinggal di South Devon Estate di Merlimau Melaka yang kemudiannya
ditukar nama kepada Ladang Selatan Baru yang bertempat di Jalan Besar Merlimau/Jasin dan akhirnya
kediaman tempat aku membesarkan anak kedua ini telah pun dirobohkan.

Adik/Angah/Fairouz dilahirkan di Hospital Daerah Kluang tapi telah dibawa balik ke kediaman kami 
apabila aku telah habis berpantang. Dia membesar dengan abang sulongnya yang pendiam dan hanya 
gemar membaca dan melukis. Manakala beliau ini pula ibarat ulat nangka, kata emak. Tak tahu diam langsung. Pot pat pot pet mulutnya berkicau bertanya itu dan ini dan kekadang tu sama sibuk di dapur 
mahu membantu ku yang sedang memasak.

Tapi satu hari...aku risau bila tidak melihatnya keluar masuk ke dapur. Suaranya juga tak kedengaran
seperti biasa. Kalau tak sibuk bercakap dia akan terjerit terlolong menyanyi lagu entah apa sahaja yang
melintas di mindanya.

Maka...ketika sedang memasak itu aku melangkah perlahan mengintai di ruang tamu yang TVnya dibuka
perlahan oleh si Abang yang sedang meniarap sambil melukis.

"Adik mana?" tanyaku perlahan sambil mencuit bahu si Abang.

Dia berpaling sambil mata melilau mencari adiknya kalau-kalau ada di sofa. Mataku sama mengikut
pandangan mata si Abang. Abang yang memang tak kuasa nak ambil tahu cuma angkat bahu.

Tak ada. Kat mana pulak budak sorang ni? Dia orang memang belum pandai membuka pintu besar
depan yang ku selak di bahagian atas. Tidur di bilik ke? Hatiku berkata sendiri dan terus menapak
ke bilik mencari.

Tak ada juga. Ai? Ke mana perginya?
"Abang duduk situ aje...mama nak cari Adik ni." Bimbang betul dengan anak sorang ni...dia pulak
rajin nak membantu si tukang kebun dan suka dengan kerja-kerja menyangkul. Mungkin tak dapat
keluar ikut pintu depan dia keluar ikut pintu dapur dan aku yang sibuk memasak tadi mungkin
sudah terlepas pandang.

"Saroja!" Aku memanggil si Tukang Kebun perempuan berbangsa India.

Saroja yang sedang terbongkok-bongkok mengaut daun kering di bawah pokok buah mentega itu
menoleh.

"Nampak anak saya yang kecik tak?" aku menanya dengan tangan masih memegang senduk kerana
tadi aku sedang menumis untuk masak asam pedas.

Saroja berdiri dan berpaling sambil menggelengkan kepala. Anak baru dua ketul pun tak boleh nak
jaga, mungkin begitu hatinya berkata. Sebab Saroja dah punya anak empat ketika itu, untuk tambah
pendapatan suaminya yang bekerja sebagai mandor di ladang itu, dia sama bekerja. Mujur dapat
jadi Tukang Kebun dengan aku yang tak banyak songeh. Asalkan engkau buat kerja engkau sudah.

Aku memusing keliling rumah mencari juga kecewa. "Ke mana pulak budak ni...kang papanya balik
banyak pulak soalan yang aku nak kena jawab." Aku membebel sendiri. Akhirnya aku menapak
kembali masuk ke rumah.

Rupanya dia di tepi pintu yang menala ke ruang makan...sedang meniarap menghadap ke arah lubang
kecil di penjuru almari. Alhamdulillah...aku menggosok dada. Tapi apa yang dipandang si Adik ni...
tekun betul.

Maka aku merapatinya dan bertanya. "Buat apa tu?"

Dia melekapkan telunjuk ke muncung sambil menunjuk ke arah lubang kecil itu.

Aku yang kurang mengerti sama duduk memandang lubang kecil itu tapi masih belum mengetahui apa
apa.

"Tikus tu cakap dengan Adik." katanya perlahan.

Aku sama meniarap nak memahami cerita. Mak ai! Terkejut beruk aku dibuatnya. Memang ada
muncung tikus yang misainya bergerak-gerak di lubang itu seolah sedang berkata sesuatu. Sebab itu
anakku menyangkakan tikus itu sedang bercakap dengannya. Padahal aku rasa tikus itu nak keluar
tapi dek kerana dia menunggu di luar lubang tu, maka si tikus tadi terpaksa bertahan di situ.

"Dia cakap apa?" aku pura-pura bertanya ingin tahu jawapan yang akan diberikan olehnya.

"Emak dia tak ada...dia lapar...dia nak makan.." jawab si Adik seolah memahami kehendak si tikus.

Aku pun memberitahu. "Mama dengar dia cakap suruh tepi...dia nak keluar la dik...dia nak cari emak
dia."

Si Adik memandangku pelik. Dia dah meniarap lama di situ tapi tak faham apa yang cuba diberitahu oleh
tikus. Manakala aku yang baru sahaja datang sudah memahaminya. Lalu dia pun bangun dan bergerak
ke tepi memberikan laluan kepada sang tikus untuk beredar dari situ. Mungkin dia dah tersesat masuk
tapi tak sangka ada manusia yang berminat nak berborak dengannya pula. Adoyai!

Kisah si Adik aku ceritakan pada papanya yang pulang untuk makan tengahari. Suamiku yang wajahnya
serius 24/7 tu macam tak ada perasaan mendengar ceritaku. Atau mungkin dia tak kuasa nak melayan
sebab sedang asyik dengan asam pedas ikan parang. Ye la...ikan tu kan banyak tulangnya...kang sibuk
nak bercerita...sibuk nak gelak guling-guling...tercekik kang terguling betul...siapa yang susah?

Habis aku ni kalau tak bercakap berborak dengan dia...siapa lagi? Bukan ada jiran tetangga yang boleh
aku dok menebeng bersembang sampai petang. Si Abang pulak menurun 99 peratus perangai bapaknya.
Si Adik ni pulak tak terlayan akan perangainya yang macam dah terlebih cas bateri. Tapi ada la sesekali
aku bersembang dengan Saroja...sebab itu aku tahu cerita mengapa dia bekerja menjadi Tukang Kebun
di situ.

Petang itu suamiku pulang ke rumah dengan panggilan baru untuk si Adik. "Abang Kus!"

Si Abang dan si Adik yang ku minta membantu aku mendirikan tiang untuk pokok-pokok orkid
serentak berpaling.

Dia menghulurkan 2 biji durian yang diminta oleh si Adik semasa ke Pasar Tani hari minggu lepas
sedangkan ketika itu dia pergi berdua dengan si Adik hanya dengan menunggang motosikal.

"Ada ke dia mintak beli durian?" komplen suamiku semasa pulang dari Pasar Tani hari minggu lepas.
"....mana nak diletakkan? Dah dia duduk depan kakinya dalam bakul. Tak kan I nak letak kat
belakang pulak? Berduri la punggung I nak sampai ke rumah."

Selepas kes nak makan durian itu...suamiku sering pulang ke Segamat hujung minggu membawa 
Abang dan Adik melihat sendiri pokok-pokok durian di kebun Tok Besarnya. (Bapa mertuaku 
itu besar dan tinggi orangnya, maka Abang...selaku cucu sulong menggelarnya Tok Besar).

Wakakaka...aku gelak guling-guling bila mengenang kembali cerita suamiku itu. Walau dia serius
bercerita namun aku memang tak dapat nak menahan tawa membayangkan durian yang diikat
di belakang motosikal.

Junie Octovian: Sampai hari ini Abang Long dan Angah tak kecoh pun nak makan durian selepas
                        dibawa dan dihadapkan dengan durian yang pelbagai nama oleh Tok Besarnya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...