November 5, 2011

Diintai Rindu.......

Greetings to all........


Suka aku mengingatkan akan peristiwa setahun yang lalu pada tarikh ini 5 November 2010...
manuscript ku diterima oleh pihak Buku Prima dan dicetak dijadikan novel. Lama sudah ku 
simpan hajat untuk melihat nama ku tertera di muka buku sebagaimana penulis-penulis yang 
lelainnya. Alhamdulillah.......akhirnya impian menjadi kenyataan.


Sempena menyambut Ulangtahun Diintai Rindu...aku berbesar hati untuk menulis kisah dari 
novel itu ke laman blog ini untuk tatapan bersama teman-teman yang mengatakan mereka masih 
belum berjumpa dengan novel tersebut di kedai-kedai buku yang berdekatan dengan kediaman 
mereka...khasnya teman-teman di selatan tanahair. 


Ok guys....this is for you...........








DIINTAI RINDU


Bab 1

SUASANA  sayu menyelubungi balai berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur
(KLIA), Sepang bila Ain Zuraidah memeluk erat Aidil Zaquan. Tersedu-sedan dia menangis untuk
melepaskan abangnya itu pergi. Cepat-cepat Tuan Haji Zainal menarik bahu anak perempuannya itu
dan memeluknya.

Datin Jamilah, Dato' Azmi Mansor dan Daniel Ariff yang turut sama berada di situ juga menitiskan air
mata mengenangkan nasib dua beradik yang baharu sahaja kehilangan ibu tercinta, Puan hajah Jasmin,
adik kepada Datin Jamilah kerana sakit buah pinggang.

"Along, jangan lupakan Adik," jerit Zuraidah ketika kelibat abangnya itu hampir hilang dari pandangan.

Tuan Haji Zainal tidak mampu bersuara, dia juga sebak dengan nasib yang menimpa dirinya tatkala dia
hampir bersara, isteri tersayang yang telah hidup selama 25 tahun dengannya itu pergi buat selama-
lamanya.

Aidil Zaquan yang sedang menuntut di tahun akhir pengajiannya dalam bidang architecture di sebuah
universiti di Perth, Australia itu dipanggil pulang untuk menghadiri majlis pengkebumian ibunya.

Tuan haji Zainal pula bercadang untuk pulang ke kampungnya di Simpang Renggam Johor, setelah
tamat tempoh perkhidmatannya nanti. Dia sudah mempunyai sebuah rumah di sana. Itu juga menjadi
salah satu sebab mengapa Zuraidah yang kini menuntut di sebuah universiti tempatan dalam bidang
perakaunan begitu hiba sekali kerana ditinggalkan pergi oleh abangnya pada petang itu. Pada siapa
dia akan mengadu? Dia yang selama ini menjadi anak manja keluarga Tuan Haji Zainal terpaksa
melalui hidupnya sendiri di usianya yang masih muda. Tiada lagi tempat untuk bermanja.

"Dah jangan sedih lagi, Mak long, Pak Long dan Daniel kan ada?" ujar Datin Jamilah memujuk anak
saudaranya itu sambil mereka berjalan menuju ke kereta.

"Biar Zu balik dengan kereta Danny, ma. Danny bawak dia jalan-jalan dulu." Daniel yang dari tadi
diam itu, cuba memberi perhatian.

Datin Jamilah mengangguk-angguk tanda setuju. Mungkin anak saudaranya itu akan reda sedikit kesedihannya bila dibawa berjalan-jalan. Zuraidah hanya mampu menurut bila Daniel menyambut
tangannya daripada Datin Jamilah. Dipimpin tangan sepupunya itu menuju ke kereta.

Daniel hanya tua lima bulan daripada Zuraidah itu tidak terus menyambung pelajarannya. Setelah
menamatkan tingkatan lima di sekolah teknik dulu, dia banyak menghadiri kursus-kursus untuk
membuka bengkelnya sendiri. Dato' Azmi hanya memberikan sokongan  dari segi wang ringgit
kepada anak lelaki bongsunya itu.

"Zu, kau kena tabah untuk meneruskan hidup ini. Semua itu sudah ditakdirkan. Kau pun nanti bila
dah kahwin akan tinggalkan kami jugak." Daniel sekadar memberi nasihat sebagai sepupu yang
prihatin.

Daniel memang rapat dengan Zuraidah kerana usia mereka sebaya. Mereka juga ke sekolah yang sama
sehingga tingkatan tiga. Mereka hanya terpisah bila Daniel memilih untuk meneruskan pelajarannya
ke sekolah teknik.

"Kau boleh cari aku bila-bila masa aje. Aku janji akan kadi abang kau sampai kau rasa kau tak
perlukan aku lagi," pesan Daniel sambil membukakan pintu kereta.

"Thanks Danny," ujar Zuraidah merenung sepupunya yang baik hati itu sebelum masuk ke dalam
kereta.

"Kita nak ke mana?" Daniel bertanya sebaik saja dia menghidupkan enjin kereta.

Zuraidah mengangkat bahu memandang Daniel.

"Ikut kau ajelah."

Mana nak dibawa orang berduka ni? Menonton? Tak sesuai. Bawak pergi jalan-jalan ajelah, getus
hati Daniel.


                                                                                                                           ~bersambung~


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...