"Mana ayah ni?"
Suara itu mengejutkan aku dari lamunan. Abang Mus yang gelisah ditinggalkan berdua-duaan denganku di dalam kereta itu tidak betah. Dia membuka pintu kereta dan melangkah keluar. Aku pandang sahaja kelibatnya yang sama masuk ke dalam pasarmini itu.
Aku kemudian memikir, kalau dia tidak menegurku kerana apa yang telah berlaku, bagaimana aku akan tinggal sebumbung dengannya setiap hari kalau begitu? Hendak sahaja aku tinggalkan kereta itu di situ tetapi kereta itu masih hidup enjinnya. Bagaimana kalau aku pergi tinggalkan sahaja? Kalau gerenti tak ada orang yang datang kebas tak apa juga. Buatnya ada orang datang dan bawa lari? Bukan kereta cikai-cikai pulak tu...
Akhirnya aku tunggu juga. Di dalam hatiku menyerahkan kepada takdir yang Maha Esa. Tetapi ada juga tercuit rasa menyesal kerana mengikut kehendak pak cik Taufik tadi. Kalau aku sendirian di rumah tadi tentu aku senang hati walau rumah usang itu masih seperti dulu, masih belum ada air dan api.
Tidak berapa lama kemudian aku nampak orang dua beranak itu keluar dengan menjimbit plastik barang yang agak banyak. Pak cik Taufik terpaksa membuka boot belakang untuk menyimpan barangan itu.
"Siti boleh masak untuk kita orang, kan?" tanya pak cik Taufik elok dia menurunkan brek tangannya.
"In sya Allah...tapi tak sehebat emak, kut?" jawabku merendah diri.
"Ayah ni asyik makan makanan dari kedai aje...teringin juga hendak makan makanan yang dimasak di rumah," ujar pak cik Taufik seakan meminta simpati.
Tiba-tiba...
Trit! Trit! telefon bimbit abang Mus mengeluarkan bunyi. Tersenget-senget badannya meraba henset yang di letak di dalam saku seluar jeannya. "Hello!"
"Waalaikumusalam tok umi..." jawabnya yang membuatkan pak cik Taufik sama menoleh memandang ke arah anaknya.
"Oo...ye ke? Okey...okey...kita orang on the way balik rumahlah ni...ayah singgah beli barang sikit."
"Kenapa?" tanya pak cik Taufik elok abang Mus mematikan talian.
"Tok umi dah sampai depan rumah," ucapnya perlahan.
Aku nampak pak cik Taufik mengerling aku dari cermin pandang belakang. Macam ada yang tak kena aje yang boleh dapat aku rasakan. Jantungku mula berdegup kencang. Hisy! Kalau tadi aku dah turun dan lari balik rumah, tentu aku selamat dari menghadap nenek yang dikatakan berkuasa dan kaya raya itu. Mahukah dia mengaku aku ini cucunya nanti? Di dalam hatiku membaca Ayat Kursi agar aku dijauhi dari segala mala petaka atau sekurang-kurangnya, janganlah sampai aku dihalau macam anjing kurap.
Wah! Hatiku kagum dengan rumah pak cik Taufik. Di lamannya menjalar sebuah kereta besar berwarna putih yang tidak ku tahu akan namanya. Deruan enjin dari kenderaan itu menyatakan bahawa pemiliknya masih ada di dalam menunggu tuan rumah pulang.
"Jom turun jumpa tok umi," ajak pak cik Taufik yang mendahului mendapatkan emaknya.
Aku di tepi kereta terpinga-pinga ibarat melukut di tepi gantang. Abang Mus pula aku lihat bukan main dipeluk dan dikucup oleh perempuan yang bersanggul besar yang dipanggil to umi olehnya itu.
"Siapa perempuan tu?" bertanya nenek vogue dari dalam samar-samar cahaya malam di laman rumah itu. Sudah tentu dia dapat membezakan aku sebagai seorang perempuan kerana aku memakai baju kurung dan bertudung.
"Masuklah dulu umi, kita cerita di dalam," arah pak cik Taufik.
Nenek vogue tadi berpimpin tangan dengan abang Mus masuk mendahului aku dan pak cik Taufik yang sibuk mengeluarkan barang yang dibelinya tadi.
"Itu nenek Siti juga...abang Mus panggil dia tok umi," jelas pak cik Taufik sambil menutup boot keretanya. "Jom!"
Aku mengekor langkah pak cik Taufik masuk ke dalam rumah dan terus sahaja menuju ke dapur untuk menyimpan barang-barang. Hatiku tidak bercadang untuk duduk sama nenek vogue itu di depan, jadi aku menyibukkan diri di dapur mencari cerek untuk menjerang air.
"Siti cari apa?" tanya pak cik Taufik yang perasan aku tercari-cari cerek untuk menjerang air.
"Mana cerek? Siti nak jerangkan air dulu," jawabku.
"Tak payah cerek...tu!" pak cik Taufik menunjukkan water filter jenama Coway di atas kaunter dapurnya. "Yang merah ni untuk air panas...yang biru ni untuk air sejuk." Pak cik Taufik memberitahu.
"Budak kampung manalah yang kamu ambil jadi pembantu rumah ni? Water filter pun tak tahu...macam mana dia nak tolong buat kerja rumah macam ni? Entah-entah peti sejuk tu diingatnya almari tempat menyimpan baju." Pedas sungguh sindiran suara yang datang dari arah ruang tamu itu.
"Maaf...rumah saya memang tak ada benda ni," cepat aku jawab sindirannya. Biar pak cik Taufik tidak susah-susah hendak backing aku. Aku pun bukan harap sangat hendak bernenekkan perempuan tua itu.
"Umi ni...bukan semua orang pakai benda ni..."
Belum habis cakap pak cik Taufik, nenek vogue itu sudah memangkahnya. "Alah! Dah abad ke 21 kut, tak kan benda tu pun tak tahu?" sampai naik tegang urat leher nenek vogue berhujah bangga.
Aku hilang sabar, aku tidak mahu orang mempersendakan kemiskinan hidupku. Aku tidak mampu berdepan dengan orang tua yang mulutnya celupar begitu. Sebelum apa-apa yang tidak diingini berlaku, baik aku tarik diri dahulu. "Maaf pak cik...saya tak boleh terima hinaan begini," jawabku terus mencapai beg baju dan mengatur langkah yang laju keluar dari rumah itu.
"Siti!" terdengar suara pak cik Taufik memanggil. Namun aku tekad tidak akan menoleh ke belakang lagi. "Siti...tunggulah dulu!" suara pak cik Taufik sudah sayup aku tinggalkan di belakang.
"Pedulikanlah Fik! Tak padan miskin, berlagak pulak tu." Suara nenek vogue itu masih mampu sampai ke pendengaranku.
Sengaja aku berjalan menyusur laluan rumah kedai kerana pada fikiranku, kalau pak cik Taufik mengekor dari belakang, dia tidak dapat temui aku. Aku memang mengelak dari bertemu dengannya sekarang ini. Rumahnya yang berdekatan dengan Taman Desa Indah itu agak jauh untuk ke pekan kecil kami kerana tadi semasa di dalam kereta aku asyik memerhati arah jalan menuju ke situ. Tak apalah...aku tawakal dan aku serahkan diriku pada Allah SWT. Mati itu pasti, kalau sudah ajalku pada malam ini, aku redha.
~bersambung~
No comments:
Post a Comment