December 2, 2012

Mentari di Ufuk Barat ~ part 8

"KENAPA EMAK cakap ayah Siti dah mati?" aku tanya pak cik Taufik semasa kami berada sama-sama di dalam kereta.

Akhirnya aku terpaksa beralah dan mengikut kemahuan pak cik Taufik. Sempatlah aku menjamu mereka dengan kuih bakar pandan Mak Melah dan Teh O sahaja. Mujur ada...kalau aku buat derk tak sibuk membeli gula dan teh...apa yang hendak ku hidangkan kepada tetamu yang datang meredah tanpa memberitahu?

"Panjang ceritanya Siti...ayah percaya emak ada sebab beritahu Siti macam tu."

"Kalau pak cik...."

"Ayah..." pak cik Taufik cepat membetulkan panggilanku padanya. "...inikan ayah Siti...kenapa masih nak panggil pak cik lagi?" wajah pak cik Taufik nampak serius menegurku.

Aku terus terdiam dari mahu meneruskan bicara. Kelu lidahku yang sudah terbiasa dengan panggilan pak cik itu mahu menukarnya. Aku nampak abang Mus memandangku dari cermin sisi kereta. Aku cepat melarikan anak mata kerana malu itu masih bersisa. Hisy! Mana hendakku letakkan muka?

Tiba-tiba pak cik Taufik mengambil jalan masuk ke kawasan rumah kedai. Dia memberhentikan keretanya elok di hadapan sebuah mini market. "Sekejap...ayah nak beli barang dapur sikit," katanya sambil keluar dan menutup kembali pintu kereta.

Aku yang ditinggalkan di dalam kereta bersama abang Mus tak senang hati dibuatnya. Gelisah semacam... begitu juga dengan abang Mus barangkali. Tetapi dia juga tidak mahu bertanya dan memulakan apa-apa bicara jadi aku pun buat tidak reti sahaja.

Di dalam kesepian itu, ingatanku menarik kepada cerita bagaimana aku dan abang Mus mula berkenalan.

"Siti Nasuha!" panggil temanku dari bilik yang sama di asrama puteri sekolah. Bila hujung minggu ada sahaja ayah dan ibu serta keluarga yang datang hendak bertemu dengan anak-anak mereka yang tinggal di asrama seperti aku. Tetapi aku memang tidak hairan dan tidak pernah menantikan kedatangan sesiapa kerana aku telah maklum dan telah ku beritahu pada emak supaya tidak perlu menyusahkan dirinya hendak melawat aku di asrama itu. Bukan aku malu...tetapi aku tahu emak tidak punya waktu kerana hari-hari akan sibuk di warung Mak Minah untuk mencari rezeki.

Aku menoleh mencari suara yang memanggil seperti dikejar oleh harimau jadian sahaja gayanya. Suara itu memang aku kenal tetapi belum pernah pula dia memanggilku sambil berlari sebegitu rupa. Aku yang duduk di tembok sambil menjuntaikan kaki itu segera melompat turun dan berdiri menghadap wajah yang tercungap-cungap itu. "Kenapa?"

Lama si Zeti menahan cungapannya...siap bercekak pinggang dan membongkokkan badan. Kemudian tangan kanannya menunjuk ke arah dari tempat dia datang tadi.

"Ada apa?" tanyaku tak sabar ingin tahu.

Zeti kemudian menegakkan badannya. Tangan kanan tadi masih menunjuk ke arah yang sama. "Ada...orang... nak...jumpa!" katanya masih tercungap-cungap.

"Siapa?" tanyaku lagi kerana aku memang tidak punya sesiapa yang akan datang di hujung minggu untuk menziarah menghantar makanan.

"Sheikh Muzaffar..."

Sheikh Muzaffar? Siapa tu? Adik beradik arwah ayah ke? Sedara mara arwah ayah ke? Tidak pernah pula aku pernah mendengar nama yang disebutkan oleh si Zeti ini.

"...dia ada tunggu dekat tempat parking depan sekolah," sambung Zeti lagi.

Aku bagai dipukau ingin tahu lalu menapak ke arah depan sekolah seperti yang diberitahu oleh Zeti tadi. Jantung mula berdegup kencang memikir ada apa dan mengapa. Ada kena mengena dengan emakkah? Biasanya bila ada kematian atau kenduri kahwin, baru saudara mara dari segenap pelosok datang bertemu dan berkumpul menggali kisah lama dan ikatan yang terjalin antara mereka. Itu sebab bila Zeti sebut nama Sheikh Muzaffar, aku rasa ngeri. Tak kan jemputan kahwin, kut? Masakan sampai diarah orang datang sehingga ke sekolah untuk memberitahu aku ada sedara yang nak kahwin? Ini mesti ada kena mengena dengan emak. Aku mempercepatkan lagi kerana tidak sabar-sabar ingin tahu.

Sampai di kawasan parkir, aku mencari kelibat yang ku kenali. Tiada. Tapi kata Zeti tadi nama orang yang berkenaan itu Sheikh Muzaffar. Memang haram aku tidak pernah dengar dan sudah tentu pula aku tidak akan kenal siapa gerangannya.

"Siti!" 

Satu suara memanggil dari sebuah kereta yang baru ditutup rapat pintunya. Aku menoleh ke arah suara itu. Aku renung wajah itu tanpa berkelip mata kerana rasa macam aku pernah tengok dia. Tetapi di mana ye? Lelaki itu mendekati aku kerana aku terpacak di situ tidak bergerak.

"Tak kenal ke?" tanya suara itu.

"Awak yang bagi saya barang kiriman dari pak cik Taufik tu ke?" aku tanya lelaki itu setelah aku ingat wajahnya yang menghulur beg kertas padaku di gerai penjual satay dulu.

"Awak tak baca surat saya ke?" soal lelaki yang berpakaian kemas itu. T-shirtnya molek dimasukkan ke dalam jean dan bertali pinggang. Rambutnya pendek dan bersisir rapi. Kasut sukan yang dipakai bukan dari kedai Bata...ada calit tiga tu tentu keluaran Adidas bukan Abibas seperti yang ada dijual di Pasar Malam. Kalau silap pandang memang macam Adidas. Dia menghulurkan plastik yang berisi macam...Pizza.

Aku yang memandang sudah meliur. Maklumlah...orang macam aku dengan emak ni, mana mampu nak pergi makan dekat situ? Lagipun di tempat kami Pizza Hut ni masih belum ada lagi. Kalau Dominos tu adalah. Ataupun kalau teringin sangat beli di Ucu Bakery...orang Melayu pertama yang buka kedai bakery di bandar kecil kami itu. Kata emak nama tuan punya tu Faredah, tetapi dia dikenali dengan panggilan ucu oleh orang yang rapat dengannya.

Emak kata kalau Mak Minah tak offer dia dulu kerja di warung, emak akan kerja dengan Ucu Bakery kerana Ucu Faredah tu ada offer emak kerja membantu di kedainya. Alahai! Kalau tidak tentu emak pandai buat kek dan pizza yang dijual sepotong RM1.20 itu.

"Ambillah!" suara itu memecahkan lamunanku yang belayar jauh ke kampung halaman.

"Banyaknya?" 

"Jom! Kita share...makan dengan saya, saya ada beli air kotak sekali dalam plastik ni."

Merah pipi aku bila dia ajak share. Rupanya dia nak makan dengan aku. Ingatkan dia beri aku sebungkus tu sekali. Malu pula rasanya. "Kat sanalah!" Aku tunjuk satu wakaf yang kosong. Kebetulan belum ramai ibu bapa yang datang pada hari Sabtu itu.

"Siti tak baca surat yang saya beri dulu tu kan?" bertanya lagi lelaki itu setelah kami melabuhkan duduk. Dia membuka plastik yang berisi sekotak pizza dan dua kotak air milo bersaiz besar.

Aku merenung wajah itu agak terkejut dengan pernyataannya. Ingatkan pak cik Taufik yang beri sempena aku dapat 8A dulu. Mana sangka dia yang nak beri aku surat. "Tapi kotak pen tu Siti sempat ambil."

"Kenapa?" dia tanya aku lagi sambil menghulur sepotong pizza kepadaku.

"Maaflah...Siti tak pernah terima surat dari orang yang Siti tak kenal. Siti tak sempat nak keluarkan dari dalam beg tu, emak dah buang."

"Patutlah..."

Aku pandang wajahnya. "Patut kenapa?"

"Patutlah Siti tak ada hantar surat beritahu ke asrama mana Siti dapat."

Aku tambah pening. Kenapa nak beritahu? "Habis sekarang ni, dari mana awak tahu saya ada di sini?"

"Ayah yang cakap."

"Pak cik Taufik tu ayah awak ke?"

Dia yang sedang sedap menikmati pizza itu hanya mengangguk.



~ bersambung ~




No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...