December 5, 2012

Mentari di Ufuk Barat ~ part 9

Ooo...pak cik Taufik tu ayah dia rupanya. Tapi... "nama arwah ayah Siti pun Taufik juga," aku beritahu dia.

"Ayah saya Sheikh Mohamed Taufik," dia pula memberitahu mungkin untuk membezakan.

Padahal nama penuh ayahku kalau ikut dalam Surat Beranak dan Kad Pengenalan pun Sheikh Mohamed Taufik juga. Cuma aku sengaja letak Siti Nasuha binti Taufik aje...segan nak letak Sheikh segala bagai tu kerana ayahku walau dari golongan bangsawan, nasibnya kurang baik. Lagipun, menurut kata emak ayahku sudah meninggal dunia lama dulu semasa aku kecil lagi? Jadi aku angguk mengiakan kata-katanya.

"Tak macam adik beradik pulak bunyinya," ujarku berseloroh.

"Ramai aje pasangan suami isteri yang mempunyai nama bapa yang sama, apa nak dihairankan?" menjawab lelaki itu tidak mau kalah.

Kemudian aku teringat mahu bertanya padanya tentang isi surat yang diberikan padaku bertahun yang lalu. "Awak tulis apa dalam surat dulu tu?"


Dia yang elok duduk bersila menikmati pizza yang dibelinya itu merenung wajahku dengan pertanyaan itu. "Saja..." katanya sambil menyedut milo di dalam kotak itu. "...nak berkenalan. Lama dah saya teman awak balik sekolah waktu petang dulu..."

Belum habis ceritanya, aku terus bertanya, "Mana pernah ada orang teman saya balik dari sekolah? Semua itu kawan-kawan saya, tapi bila lepas dari jambatan tu biasanya saya sorang ajelah."

Dia senyum. "Yang lepas dari jambatan tu lah...yang ikut dari belakang naik basikal tu?"

"Kenapa?" aku terus bertanya ingin tahu.

"Saya suka awak. Pertama kali saya ikut ayah beli kuih di warung yang berderet di perhentian bas itu, saya nampak awak. Ayah cakap karipap yang saya suka tu, emak awak yang buat. Sejak itu saya selalu ingin kenali awak lebih dekat. Rupanya awak masa tu baru Tingkatan Satu."

"Awak di sekolah yang sama dengan saya ke?"

Dia geleng sambil menyedut perlahan milonya. "Saya tinggal dengan nenek di KL...saya datang jenguk ayah masa cuti sekolah aje."

Aku pula angguk. "Terima kasih sebab beri saya hadiah pen tu," aku lempar senyum padanya.

Dia balas senyumku tanpa kata.

"Awak cari saya ni pasal surat tu ke?"

Dia pandang aku. "Yalah!" ucapnya serius. "Saya ada beri alamat saya di surat tu...lama saya tunggu berita dari awak."

"Maaflah...saya tak sempat membaca surat yang awak berikan." Tuturku lembut menutup kesilapan yang sudah bertahun lamanya itu.

"Apology accepted," sambutnya pula.

"Tapi...mana awak tahu saya bersekolah di sini?"

"Emak awak yang beritahu semasa saya ke warung tu dengan ayah untuk bersarapan pagi."

"Awak dah habis belajar ke?" soalku yang melihat dia macam orang tak ada urusan. Siap datang menjenguk aku di sini walhal kami tidak ada hubungan apa-apa pun.

"Summer holiday, saya ada lagi satu tahun di UK tu sebelum saya balik terus ke sini." Ceritanya padaku. "Siti tahun ni SPM kan?"

Aku angguk. Jauh di sudut hatiku merasa cemburu dengan kejayaannya. Pergi balik UK ke KL tu macam naik bas aje. Kalau aku, sudah tentu habis belajar esok baru dapat balik. "Tak mahal ke tambang dari UK ke KL ni...asyik pergi balik aje?" sempat aku sibuk bertanya.

"Nenek saya yang belikan tiket suruh balik. Rindu...kalau lama tak jumpa, katanya." Dia toleh aku sambil senyum segaris. "Saya rindu awak juga." Dia tenung aku dengan pernyataannya itu.

Aku pula senyum malu. Mana nak letak muka yang dah merah padam ni? Hisy! Pelik betul...aku terus saja suka padanya.

"Tahun depan saya habis belajar, awak pun dah habis SPM..." 

Aku pandang wajahnya yang terdiam. Jauh dia merenung...entah apa yang difikirkan. "Apa kena mengena dengan saya?" soalku pelik dengan ayatnya yang belum bernoktah itu.

"Kita tunang?"

"Huk...uhuk!" Tersembur air milo yang baru ku sedut itu. Pedih pangkal hidungku akibat tersedak sehingga mengalirkan air mata.

Automatik tangannya mengurut belakang badanku. "Tak baca bismillah ke?" 

Ada macam tu dia tanya? Aku terkejut beruk sebenarnya tadi...hujan tidak ribut pun tidak, tiba-tiba nak ajak bertunang. Gila ke apa? "Awak ni...sihat ke tidak? Awak salah orang agaknya," ujarku setelah kerongkong kembali reda.

Dia memandang aku pelik. "Salah orang? Awak ingat saya ni buta ke? Dah bertahun saya perhati awak dari jauh aje...sekarang ni baru saya rasa sesuai untuk berkata demikian. Tahun depan mungkin saya tak balik sehingga tarikh tamat belajar. Saya bimbang kalau awak dah dapat masuk U nanti, skopnya lebih besar dan saya takut saya terlambat langkah pula." Petah dia berkata sambil menjeling aku.

Aku terus tergamam memandang wajahnya.

"Setuju kan?" dia tanya aku untuk kepastian. Dia kemudian meraba poket seluarnya dan mengeluarkan sebentuk cincin belah rotan. "Ni!" Dia tunjuk pada aku. "....pakai, kalau setuju. Balik ni saya beritahu nenek dan ayah untuk masuk meminang sebelum saya balik ke UK bulan depan."

Biar betul mamat ni. Entah cincin siapa yang dicuri nak beri pada aku pula. Namun, dia masih menunggu aku menghulurkan jari manis untuk disarungkan cincin itu.

"Terima ajelah...saya ikhlas ni. Saya singgah di Poh Kong tadi lepas beli Pizza ni. Patutnya sarung cincin dulu tadi baru boleh makan untuk celebrate," ujarnya seakan mengarah aku dan sudah pasti bukan atas kerelaan.

Aku masih merenung wajahnya seakan dipukau sahaja.



~bersambung~

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...