February 7, 2013

Syukurku ke hadrat Allah...

Greetings to all........

Di N3 ini suka aku hendak mengingatkan kepada diri sendiri tentang tujuan aku membuka blog dahulu. Aku yang sekarang ini ditinggalkan sendirian kerana mengikut lumrah alam agak bosan bila tidak ada benda yang hendak ku buat selain menonton Astro sepanjang hari.

Jadi, anak-anak mengajar aku menggunakan PC dan membukakan akaun Facebook dan blog agar aku yang ditinggalkan tadi dapat melayari internet dan berhubung dengan mereka di maya. Sekarang ini lebih meriah kerana kami boleh berskype juga untuk melihat mereka di seberang talian. Mereka mahu aku tuliskan setiap pengalaman aku selama hidup ini agar mereka dan cucu-cucu nanti dapat membaca kisahku jika kami tidak sempat berkumpul bersama suatu hari nanti.

Semasa muda dahulu, waktu mata masih terang...aku sibuk dengan menjahit, menyulam dan mengait. Tidak ada ruang untuk aku merasakan bosan, malah terasa cepat benar masa berlalu. Semenjak aku galak menulis ini, hobi itu tidak ku lakukan lagi. Hendak ku pass kepada anak-anak, nampak gaya mereka tidak berminat pula, memandangkan di zaman yang mewah ini semuanya boleh diperolehi dengan hanya menggunakan hujung jari sahaja.

Berbual pun sudah kurang kerana masing-masing kepenatan seharian dengan urusan. Di rumah pula, masing-masing sibuk dengan laptop, iPad dan terkini dengan smartphone yang boleh berFacebook dari situ sahaja. Maka, masing-masing itu tidaklah berbual diantara satu dengan yang lainnya kerana dek asyik merenung henset di tangan.

Tidak seperti zaman aku dahulu, pantang nampak muka ayah dan emak, semua habis nak diadu. Bila buka cerita di meja sarapan, kalau tidak ditegur, harus berlarutan sampai masuk makan tengahari pula dan begitulah seterusnya. Hampir-hampir kami terlupa waktu tidur kerana jam 2.00 pagi, kami masih mengelitik lagi ketawa dan berborak entah apa. Aku rindu waktu itu...... *&gt;:D< big hug

Suasana persekitaran menyedarkan aku bahawa hakikat sebenarnya memang bertepatanlah aku dengan dunia penulisanku yang memerlukan waktu sendirian yang panjang dalam keadaan sunyi sepi untuk mengalirkan ideaku itu.

Setelah kelahiran CINTA SAMBAL BELACAN, dapatlah aku berehat sebentar dengan mengisi blog ini yang sudah lama terbiar sepi yang hanya ku updatekan dengan kegiatan yang ku lakukan sepanjang mempromosi novel baru itu. Aku tidak bimbang, kerana manuskrip ketiga telah ku serahkan kepada mereka yang bertanggungjawab. RAHSIA SEMALAM, mungkin akan ditukar tajuknya juga jika pihak editor merasakan tajuk yang kuberikan itu tidak memenuhi kehendak mereka.

Di RAHSIA SEMALAM, aku cuba masuk ke genre thriller yang tidak begitu keras kerana ingin melihat bagaimana penerimaan pihak editor dengan karya thrillerku ini.  *:-O surprise    Jika ada sambutan dari pembaca-pembaca budiman yang mengikuti hasil karya JUNIE OCTOVIAN, akan aku cuba ke genre thriller ini lagi. Hehehe....

Hatiku tambah berbunga-bunga bila Editor kanan kami di Buku Prima mengeluarkan kenyataan bahawa CINTA SAMBAL BELACAN kini masuk percetakan kedua. Alhamdulillah...baru saja diterbitkan dan dijual di Karnival pagi itu 2hb Februari, sudah mula dicetak lagi? Bak kata pepatah Melayu, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu? Sesungguhnya, segala yang baik itu datangnya dari Allah dan dengan izinnya juga aku dapat melahirkan CINTA SAMBAL BELACAN.

Semoga kalian yang telah mendapatkan novel ini berpuas hati dengan kisah cinta kekeluargaan yang cuba aku sampaikan. Sekian, salam sayang buat semua....





Junie Octovian: "Dan Allah menentukan siapa yang dikehendaki-Nya untuk diberikan rahmat-Nya" (Ali Imran:74)




No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...