June 29, 2015

Banglo Tuan Abbot Part 3

Bab 3

"TERIMA kasih Mid," ujar Wak Ismin setelah turun dari motosikal. Koperal Hamid hanya angkat tangan dan terus beredar dari situ.

Yatinah dan anak-anaknya yang menunggu ingin tahu cerita itu meluru ke muka pintu apabial terdengar suara Wak Ismin yang sudah pulang.

"Bagi abah solat dulu," beritahu Wak Ismin yang sudah tahu benar apa yang dimahukan oleh anak-anak dan isterinya. Maklumlah mereka semua tinggal di dalam kampung yang dikelilingi oleh kebun sawit, pengetahuan dengan dunia luar itu hanya melalui peti televisyen sahaja. Nak langgan Astro nanti puas membayar duit bulanannya. Anaknya bukan ada yang sudah kerja untuk membantu.

Sekarang ini... Yatinah bekerja di kantin kilang memproses sawit. Gajinya tidaklah lumayan macam bekerja di banglo Tuan Abbot dulu. Begitu juga dengan Wak Ismin, selepas berhenti menjadi driver peribadi Tuan Abbot, Wak Ismin bekerja membawa tractor mengangkut buah-buah sawit pula. Alhamdulillah... Wak Ismin percaya, rezeki itu milik Allah... di mana-mana sahaja pun ada jika kita rajin berusaha.

"Siapkan nasi," arah Yatinah. "...nanti waktu makan, boleh suruh abah cerita."


SEMENTARA di banglo tadi...

"Rasyid!" jerit Tuan Haji Abdullah yang terpandang Aleeya menghala ke sungai di belakang rumah. "Aleeya nak ke sungai tu... pergi kejar!"

Puan Hajah Halimah mati langkahnya di mata tangga. Dia berpaling memandang ke arah yang disebut oleh suaminya. Nak ke sungai? Di dalam hatinya bertanya... dia keluar ikut pintu mana?

Carlos Rasyid, tanpa membuang masa terus mengejar isterinya yang berjalan sendirian di dalam suasana yang sudah mulai gelap itu. "Aleeya!" jeritnya. "Where are you going?"

Aleeya langsung tidak menjawab dan tidak menoleh... dia terus sahaja berjalan seolah mengikut arahan seseorang. Padahal dia baru pertama kali ke situ... mana dia tahu ada sungai di sebelah belakang banglo itu?

Carlos Rasyid dapat memegang lengan isterinya tetapi Aleeya pula menepis kuat. "Hey! It's me," tukas lelaki itu hairan benar dia dengan kelakuan isterinya. "Come! Let's go home," ajaknya sambil menarik lengan si isteri.

Namun Aleeya cepat merentap tangannya dari pegangan suaminya. Dia mencerlungkan mata merenung wajah si suami. Tanpa kata... dia terus mahu meneruskan langkahnya ke tepi sungai yang hanya beberapa meter sahaja jauhnya dari banglo itu.

"You nak cari apa at this hour?" tegur Carlos Rasyid lagi. Pegangan lengan isterinya itu semakin diketatkan.

"Huh!!" Aleeya menderam marah. Dia cuba merentap lengannya lagi minta dilepaskan.

"Ayah!" jerit Carlos Rasyid yang terpandang Tuan Haji Abdullah yang sudah datang mendekatinya.

Kelihatan Tuan Haji Abdullah sedang terkumat kamit mulutnya membaca sesuatu dan cepat pula meniup ke ubun-ubun Aleeya.

Aleeya yang bertubuh kecil itu serta merta meronta dan menjerit. Terpaksa Tuan Haji Abdullah dan Carlos Rasyid sama berhempas pulas menyedarkan wanita itu yang seakan telah dirasuk.

"Cuba call balik Wak Ismin tu?" arah Tuan Haji Abdullah kepada menantunya.

Wak Ismin yang baru sahaja mahu masuk ke bilik mandi itu di panggil.

"Wak! Boleh datang ke banglo ni tak? Something happens..." jelas Carlos Rasyid.

"Something happens?" Wak Ismin mengulang kata sambil menggaru kepala. Selama dia jadi pemandu Tuan Abbot, dia pun sudah pandai speaking London. Dia faham benar apa yang diucap oleh Carlos Abbot tadi.

"Ada apa bang?" tanya Yatinah.

"Saya solat di banglo ajelah. Ada sesuatu terjadi di situ," jawab Wak Ismin langsung menyarung kembali seluar. Dia cepat mencapai kunci kereta Proton Saganya dan menapak keluar.

"Ada apa?" Yatinah masih ingin tahu apa yang telah terjadi.

"Nanti balik kang saya beritahu," sahutnya yang sudah mula menghidupkan enjin kereta.



********************************************************************************



PUAN Hajah Halimah yang diminta menunggu di pintu hadapan itu berjurai air mata ketakutan. Bimbang sesuatu yang berlaku kepada anak perempuannya yang bunting sulong itu. Dia melambai-lambai ke arah kereta Wak Ismin yang meluncur laju masuk ke pekarangan banglo itu.

"Wak! Mereka di laman belakang," ujar Puan Hajah Halimah menunjuk ke arah belakang rumah. Tidak sempat-sempat menunggu Wak Ismin mematikan enjin keretanya.

Wak Ismin berlari masuk ke dalam dan memetik lampu sorot yang menghala ke laman belakang kerana hari sudah mulai gelap. Dia kemudian berlari mendapatkan Tuan haji Abdullah dan menantunya Carlos Rasyid yang sedang berusaha untuk mententeramkan Aleeya dari mahu menuju ke sungai.

"Kenapa ni Tuan Haji?" tanya Wak Ismin yang datang mendekati.

"Entahlah Wak... tiba-tiba aje dia nak ke sungai tu. Pelik saya sebab dia jadi sangat bertenaga ni," jawab Tuan Haji Abdullah yang pertama kali mengalami situasi itu walaupun dia pernah mendengarnya.

Wak Ismin sama terkumat kamit membaca sesuatu sambil telapak tangan kanannya dilekapkan keras menutupi ubun-ubun Aleeya. "Fuh!!" Wak Ismin kemudian menghembus ke atas kepala Aleeya. Aleeya kemudian terus longlai seakan belon yang habis anginnya. "Bawak masuk ke rumahlah..." arah Wak Ismin.

Carlos Rasyid cepat mendukung isterinya untuk dibawa masuk ke dalam rumah.

"Dia ada tegur apa-apa ke tadi?" tanya Wak Ismin kepada Tuan haji Abdullah yang jalan beriringan dengannya.

Tuan Haji Abdullah berpaling memandang. "Tegur?"

"Rumah lama tak berorang Tuan Haji... biasalah... lupa nak beri salam agaknya?"

"Tak tau pulak saya... dia yang masuk ke dalam tadi. Puas emaknya dan Rasyid mencari tapi tak jumpa. Mujur saya nampak dia mengarah ke sana," jawab Tuan Haji Abdullah.

"Lemah semangat anak Tuan Haji tu," tegur Wak Ismin.

"Dia sedang mengandung sulong... itu yang saya bimbangkan," jawab Tuan Haji Abdullah. "Keras barangkali rumah ini untuknya."

Wak Ismin terus teringat sumpahan yang dilafazkan oleh Mem Nabila semasa nazaknya.

"Tidak kubenarkan perempuan lain tinggal di sini selepas aku," katanya dengan suara yang tersekat-sekat sebelum dia mati dengan mata yang terbuka dan lehernya yang terkulai di mata tangga terakhir.




Wak Ismin sedang mencuci Mercedes 280se Tuan Abbot sewaktu kejadian... selepas membawa Tuan Abbot pulang dari mesyuarat di Kuala Lumpur.

"Whose shoes is this?" tanya Tuan Abbot kepadanya.

"No idea Sir," jawabnya sambil menggelengkan kepala.

Lima belas minit kemudian, terdengar bunyi satu das tembakan dari senapang patah Tuan Abbot. Wak Ismin faham benar kerana dia biasa mengikut lelaki itu menembak babi hutan yang mengganggu anak-anak sawit. Tetapi tembakan yang didengar itu berlaku di dalam rumah, apa yang ditembak oleh Tuan Abbot di dalam rumahnya?




                                           -bersambung-



June 23, 2015

Banglo Tuan Abbot

Bab 2


“BESARNYA rumah ni,” tegur Tuan Haji Abdullah yang masih berpeluk tubuh memandang banglo itu dari luar. Anak perempuannya Aleeya yang belajar jauh di UK itu bertemu jodoh dengan Carlos Rasyid Abbot di sana.

Semasa Tuan Haji Abdullah bersama isterinya ke sana waktu majlis konvokesyen, Aleeya memperkenalkan Carlos Rasyid Abbot kepada mereka dan mereka diberitahu bahawa lelaki itu sebenarnya mempunyai nenek yang berasal dari Malaysia.

“Tuan Haji akan tinggal dengan mereka di sini ke?” tanya Koperal Hamid yang hanya menunggu di luar sementara Wak Ismin sama masuk menunjukkan keadaan di dalam rumah tersebut.

“Taklah… seminggu ni aje. Saya ada anak yang masih belum kahwin. Saja nak tengok tempat,” ujar Tuan Haji Abdullah, ramah.

“Berani ke anak Tuan Haji tu nak tinggal di sini berdua aje?” soal Koperal Hamid lagi.

“Alah! Dia bukannya duduk di rumah sepanjang masa. Kebetulan dia dapat mengajar di UniSel… sebab itu Rasyid ajak tinggal di rumah pusaka datuknya ni… tak payah nak menyewa.”

Koperal Hamid angguk.

“Ayah! Jomlah masuk,” ajak Aleeya yang menyeringai sampai telinga seronok dapat tinggal di rumah yang besar.

“Takpe! Ayah nak borak dengan pakcik ni dulu,” sahut Tuan Haji Abdullah. “Masuk pun bukan dapat minum-minum teh,” sambungnya lagi dengan suara yang diperlahankan.

Koperal Hamid senyum. “Kalau nak pekena teh, sambil sembang-sembang, jomlah ke rumah saya,” ajaknya.

“Oo… tak payah susah-susah,” ujar Tuan Haji Abdullah. “Saya saja nak berbual dengan Encik Hamid tentang banglo yang ditinggalkan ini.”

“Tentang apa Tuan Haji?” soal Koperal Hamid, cuak.

“Dah berapa lama banglo ni dibiarkan kosong?”

“Lama sangat dah Tuan Haji… semenjak Tuan Abbot ditangkap atas tuduhan membunuh…” Koperal Hamid cepat tutup mulut. Hadoi!! Koperal Hamid rasa nak ketuk kepala sendiri kerana terlalu ramah pula sehingga terlepas cakap.

“Membunuh?” tanya Tuan Haji Abdullah beliak mata.

“Hmm…” Koperal Hamid sedikit mengeluh. “… tapi memang salah orang tu, dia yang pecah masuk ke dalam banglo ni,” ujar Koperal Hamid yang tahu cerita atas cerita kerana waktu kejadian, dia masih belum bertugas di Ladang  Abbot ini lagi.

Tuan Haji Abdullah angguk. Dia pun faham juga kerana tadi semasa Starex memanjat bukit naik ke situ, dia ada nampak papan tanda yang bertulis; Trespassers Will Be Prosecuted. Betullah tindakan yang dilakukan oleh Tuan Abbot itu, sangka Tuan Haji Abdullah dalam hati.

“Kata menantu saya tu, emaknya memang orang sini.”

“Betul!” jawab Koperal Hamid. “Anak Imam Taib yang mengIslamkan Tuan Abbot itu sendiri.”

“Oo… maknanya Tuan Abbot tu dah masuk Islam?” Tuan Haji Abdullah terasa lega kerana asal usul anak menantunya itu dari yang beragama Islam. Apatah lagi tadi Koperal Hamid ada mengatakan bahawa emak kepada menantunya itu adalah anak seorang Imam.

Koperal Hamid angguk sambil berjalan mengikut langkah Tuan Haji Abdullah yang menapak mengelilingi banglo itu.

“Kalau dah lama sangat tak berorang, saya rasa lebih baik dibuat pembersihan dulu,” kata Tuan Haji Abdullah.

“Wak Ismin tu ada juga datang sesekali membersihkan banglo ni Tuan Haji,” jawab Koperal Hamid yang salah pengertian.

Tuan Haji Abdullah senyum. Dia tahu, Koperal Hamid tidak mengerti akan maksudnya. 

“Kami tak boleh bermalam di banglo ni, malam ini. Kena bersihkan dulu, buat majlis kenduri dan bacaan Yasin. Wak Ismin tu boleh uruskan ke?”

“Dia tu memang amanah orangnya Tuan Haji, saya percaya dia dapat menjalankan kehendak Tuan Haji itu.”

Tuan Haji Abdullah angguk. Dari waktu sampai tadi lagi dia sudah rasa tidak enak hati melihat banglo itu. Semasa menunggu Koperal Hamid dan Wak Ismin sampai untuk membawa kunci tadi pun dia sudah terpandang seolah ada satu lembaga yang memerhati kedatangan mereka di sebalik tingkap atas banglo itu. Namun, dia hanya mendiamkan diri sahaja kerana tiada sesiapa diantara mereka berempat, yang bersuara tentang hal itu. Kemungkinan hanya dia seorang sahaja yang nampak.

******************************************************************************************

CARLOS Rasyid Abbot, isterinya Aleeya dan ibu mentuanya Puan Hajah Halimah sama memanjat tangga untuk naik ke tingkat atas.

“Amboi! Berpusing anak tangganya Liya,” ucap Puan Hajah Halimah yang rasa sakit kepala lutut untuk sampai ke atas.
          
“Dah macam rumah dalam filem Hindustan aje, kan mak?” sahut Aleeya sambil memimpin tangan emaknya.
          
Sampai di atas, mereka bertiga sama memandang ke kiri dan ke kanan.
          
“Leeya nak ke kanan, mungkin master bedroomnya di sebelah sana.”
          
Manakala Puan Hajah Halimah terus sahaja ke bilik di bahagian tengah. Sementara Carlos Rasyid pula menapak ke lorong menghala ke kiri.
          
“Wah! Besarnya bilik tidur ni,” gumam Aleeya yang ke situ sendirian. Katil yang diguna juga bersaiz king. Almari yang dibina terus di dinding berwarna putih itu memberikan suasana terang walau matahari di luar sudah mula condong ke barat dan meninggalkan biasan cahaya berwarna keemasan.
          
Dia menepuk-nepuk tilam sebelum melemparkan badannya. Adoi! Sedapnya kalau dapat melelapkan mata barang seketika, hatinya berkata.
          
Puan Hajah Halimah yang memilih untuk ke bilik bahagian tengah memulas tombol pintu dan membukanya lebar. Ada dua buah katil bujang di dalam bilik itu dan almari solek di letak di tengah-tengah. Sepertimana bilik tidur utama, bilik tengah tu juga telah dibina siap dengan almari pakaian tetapi berwarna ungu dan merah jambu. Tentu untuk bilik tidur anak perempuan mereka, bisik hati Puan Hajah Halimah.          

Tingkap bilik dibuka untuk melihat pemandangan yang menghala ke sungai di belakang banglo itu. Pemandangan dari banglo yang terletak di atas bukit itu memang cantik. Pokok-pokok kelapa sawit yang menghijau di kaki bukit menyejukkan mata yang memandang. Ada beberapa buah kerusi malas ditempatkan di tepi sungai yang betul-betul terletak bersempadan dengan kawasan banglo itu. Memang sangat cantik sekali dengan landskap yang dibina untuk tempat mereka beristirehat.
          
Kelibat suaminya yang berjalan dengan Koperal Hamid mengelilingi banglo itu dapat dilihat dengan jelas. Tetapi, siapakah di belakang mereka itu yang kelibatnya agak tidak berapa jelas? Wak Isminkah?

Puan Hajah Halimah menggosok matanya kerana kelibat itu sedikit kabur di bawah cahaya remang senja. Dia kemudian mengelip-ngelipkan mata untuk melihat sekali lagi kelibat yang dilihat tadi. Namun, kelibat itu sudah tidak kelihatan lagi. Puan Hajah Halimah tidak ambil pusing… dia terus menutup tingkap itu apabila terdengar suara azan yang sayup berkumandang dari surau entah sebelah mana.

Dia menapak keluar dari bilik itu dan menutup rapat daun pintu. “Aleeya!” panggilnya kerana keadaan di luar itu terasa sepi sekali. Dia memandang ke arah bilik yang diambil oleh anak menantunya tadi. Tetapi hatinya kuat untuk mencari Aleeya di bilik utama.

“Aleeya!” panggilnya lagi.

Mereka semua sudah turun barangkali, begitu desis hati Puan Hajah Halimah. Dia kemudian terus menuruni tangga ke tingkat bawah. Kelihatan Wak Ismin sudah mula memetik suis lampu kerana hari sudah mulai gelap.

“Puan kalau nak solat, ada bilik di bawah ni… saya dah bersihkan.”

“Aleeya mana?” tanya Puan Hajah Halimah.

“Eh, dia tadi kan naik ke atas dengan Puan dan suaminya?”

“Hmm… takpelah,” ujar Puan Hajah Halimah sambil tersenyum sendiri. Mungkin anaknya itu mahu bersendirian bersama suaminya barangkali, fikir Puan Hajah Halimah di dalam hati.

“Saya dan Koperal Hamid nak minta diri dulu, kalau ada apa-apa yang Puan perlukan nanti, telefon aje saya atau Koperal Hamid tu,” ujar Wak Ismin yang sudah menuju ke pintu utama.

Tuan Haji Abdullah dilihat sedang bersalaman dengan Koperal Hamid apabila Puan Hajah Halimah sama ke muka pintu melihat Wak Ismin yang sudah mahu pulang itu.

“Kita nak bermalam di sini ke bang?” tanya Puan Hajah Halimah.

“Tak payahlah,” ujar Tuan Haji Abdullah. Hatinya tidak berasa enak dengan keadaan rumah itu yang tidak berpenghuni sudah begitu lama. Apatah lagi anak perempuannya itu sedang bunting sulong. “Panggil Aleeya dan Rasyid… kita balik dulu. Tadi saya dah tinggalkan pesan pada Koperal hamid, mintak dia bersihkan dulu rumah ni. Kita pasang pagar dulu sebelum masuk.”

Puan Hajah Halimah berkerut dahi cuba memahami maksud ‘pasang pagar’ itu. Matanya memerhati keliling. “Bukankah dah siap berpagar ni bang… nak pasang pagar yang bagaimana pula?” soalnya pelik. Masakan suaminya mahu memasang pagar serupa di Penjara Pudu pula?

“Ini pagar lain,” jawab Tuan Haji Abdullah, pendek.

“Aleeya mana mak?” bertanya Carlos Rasyid yang sama terjengol di muka pintu utama.

“Eh, bukan dengan kamu ke?” tanya Puan Hajah Halimah yang mati-mati menyangka pasangan anak dan menantunya tadi sedang berdua-duaan. “Di bilik utama tadi, dah cari?”

“Saya dah cari dalam semua bilik di atas, takde pulak.”

“Aleeya!” Puan Hajah Halimah terus berteriak memanggil nama anaknya sambil berpaling masuk dan menapak menuju ke tangga.

Tuan Haji Abdullah dan menantunya Carlos Rasyid, sama mengikut.





                                                    -bersambung-




June 21, 2015

Karya Genre Seram...

Hi peeps!

Maaf... lama aku menenggelamkan diri atas urusan duniawi. Suka aku kongsikan satu baris ayat buat penyejuk hati...

"Kehidupan kita tidak semudah yang dirancang kerana Allah juga merancang."

Perjalanan hidup terus berubah-ubah dari satu masa ke masa yang lain. Pejam celik, pejam celik, anak yang menyambung pengajian di Brisbane Australia telahpun selamat kembali dan meneruskan tugasnya di Pusat Pengajian Tinggi, di selatan tanahair.

Kini... anak-anak sudah ada kehidupan mereka sendiri. Si Bongsu juga sudah tamat belajar dan sedang menjalani internship di Firma Guaman yang berdekatan dengan rumah. Alhamdulillah... sesungguhnya Allah itu Maha Kaya dan Maha Penyayang.

Anak sulong terus meniti kejayaan dengan kenaikan pangkat yang ditawarkan. Aku... sebagai ibu hanya mampu mengiringi perjalanan hidup mereka dengan doa. Sepertimana kata arwah Bonda... "jika mereka senang, kita pun tumpang senang sama."

Senang di dalam istilah yang dimaksudkan itu bukan sibuk mahu menumpang wang ringgit mereka... tetapi kita jadi senang kerana tidak perlu mendengar keluhan dan kepayahan hidup yang mereka lalui.


Di dalam kesibukan memantau perjalanan hidup anak-anak, kerja-kerja penulisan tetap aku teruskan walaupun di dalam keadaan yang perlahan.

Kini... aku sedang cuba beralih ke genre seram berikutan penerimaan dari pembaca yang sudah mulai menyukai novel gaya tersebut.

Maka itu... di N3 kali ini... kupaparkan Bab 1 dari karya seram yang masih di dalam percubaan untuk meneruskan misi menyiapkan. Mudah-mudahan... ada idea yang melimpah ruah untuk menamatkan cerita ini. Insya-Allah.






BANGLO TUAN ABBOT


BAB 1     

Banglo yang tersergam indah di atas bukit itu dapat dilihat dari rumah kampung separa simen milik Wak Ismin dan isterinya Yatinah. Pasangan itu dan empat orang anak mereka, perempuan kesemuanya sedang duduk di atas pangkin di bawah pohon sena yang tumbuh rendang.

"Betul ke anak Tuan Abbot nak tinggal di banglo tu abah?" anak sulong pasangan itu membuka bicara.

Wak Ismin menoleh memandang wajah anaknya yang sedang enak mencolek jambu air dengan kicap yang dicampur dengan sedikit gula dan beberapa biji cili padi. Fuh!! Menitis air hidung dan air mata dek enaknya kudap-kudapan mereka petang itu.

"Mana along dengar cerita?" tanya Wak Ismin pula kerana dia memang amanah orangnya. Belum lagi dia membuka mulut tentang berita itu walau kepada isteri dan anak-anaknya.

"Ada orang tanya along semasa along singgah di kedai runcit untuk beli kicap tadi."

"Baguslah," jawab Wak Ismin. "Dah lama banglo tu ditinggalkan tak berorang," tambahnya lagi sambil sedikit mendongak memandang ke arah banglo di atas bukit itu.

Banglo yang berciri Inggeris itu memang dimiliki oleh lelaki berbangsa Inggeris yang telah lama berkhidmat memberi nasihat kepada empunya kebun dan ladang sawit mahupun getah di Tanah Melayu ini.

Beliau telah diselamatkan oleh Imam Surau berdekatan sewaktu penjajahan Tentera Jepun. Oleh kerana amat terhutang budi, beliau telah memeluk agama Islam dan mengahwini anak gadis Imam Surau tersebut. Nabila ketika itu baru sahaja tamat sekolahnya.

Semenjak itu, dia tidak bercadang untuk pulang ke negara asalnya. Malah telah membina sebuah banglo di atas bukit  di dalam kebun sawit miliknya.

Ketika itulah, Wak Ismin sama sibuk memohon jawatan sebagai pemandu peribadi Tuan Abbot. Nasibnya baik, apabila Tuan Abbot bersetuju untuk memilih beliau diantara berpuluh yang memohon jawatan itu.

"Mak pulak macam mana boleh jadi pembantu banglo tu?" soal anak kedua Wak Ismin apabila riwayat banglo itu diungkit kembali.

"Abah kamulah..." sampuk Yatinah pula. "...itupun lepas korang empat beradik dah besar dan sudah bersekolah kesemuanya... baru mak bersedia untuk bekerja di situ."

"Senang... pagi datang sama-sama dan petang pun abah dan mak boleh balik sama-sama," tambah Wak Ismin menyambung cerita isterinya. "Lagipun... kerjarumah ni tak payah berpanas bawah matahari... daripada emak kamu ikut kawan-kawannya bekerja di ladang tu."

Empat kepala anak Wak Ismin serentak mengangguk.

"Kenapa kita orang tak pernah nampak anak Tuan Abbot tu abah?"

"Dari kecil anaknya itu sudah dihantar bersekolah di England," cerita Wak Ismin yang masih ingat kerana dia terlibat menghantar anak Tuan Abbot ke airport. "Anak sorang... tentu dia nak yang terbaik untuk anaknya."

"Tu la silapnya..." sahut si along. "...kalau ada anaknya sama tinggal dengan mereka, tentu Mem Nabila tu tak berani buat perangai, kan?"

Semua mata kini memandang si sulong dengan pernyataannya.

"Kenapa?" tanya si sulong pelik. Masakan adik beradik dia tidak tahu tentang kisah Mem Nabila yang punya skandal dengan pembantu Tuan Abbot itu?

Imam Taib sendiri sangat malu, tidak tahu di mana hendak disorokkan muka akibat dari tingkah dan kelakuan si anak yang tiba-tiba berubah menjadi sangat memalukan itu. Apa yang mahu dijawab jika Tuan Abbot itu sendiri datang mengadu kepadanya? Sudah dibekalkan dengan ilmu dunia dan akhirat, tetapi apabila dilambakkan dengan kemewahan, jadi lupa daratan pula.

"Alah!" marah Yatinah. "Bukan kerana anaknya tak tinggal dengan dia. Sah-sah pembantu Tuan Abbot itu bekas kekasihnya semasa sama-sama di sekolah dulu," jelas Yatinah yang usianya sebaya dengan Nabila, isteri Tuan Abbot.

Mereka bersekolah di daerah yang sama. Meor Azman, kekasih Nabila itu juga sangat dikenalinya. Tetapi lelaki itu tidak disenangi oleh Imam Taib kerana perangai gila-gila bahasanya.

Semua mata kini berpaling memandang Yatinah. Yatinah pula macam tidak kisah sahaja... mungkin kerana anak-anaknya sudah besar. Lebih baik anak-anaknya itu mendengar cerita dari mulutnya sendiri daripada dapat tahu dari mulut orang lain yang berkemungkinan hanya tahu menokok tambah cerita.

"Kalau dah ada kekasih hati, kenapa Mem Nabila tu sudi menerima lamaran Tuan Abbot?" tanya si anak ketiga.

"Habis tu...kekasih hati dia waktu itu belum ada kerja... masih menyambung pelajaran lagi," sampuk Wak Ismin yang lebih tahu cerita. Maklumlah... dia kan orang lama?  

"Kalau hidup dengan Tuan Abbot tu dah tentu dia nampak jalan yang terang, masa depan yang terjamin," sambung Yatinah pula. "Hidup atas dasar cinta ni... mampu sampai ke mana?" soal Yatinah kepada anak-anaknya.

"Ooo... itulah agaknya Meor Azman datang mintak kerja jadi pembantu Tuan Abbot tu, sebab senang nak berjumpa kebali kekasih hati dia, kan?" sambung si along mengerti dengan jalan cerita yang berlaku.

"Handsome ke mak... Meor Azman tu?" tanya si angah.

"Orang muda... handsomelah kalau nak dibandingkan dengan Tuan Abbot yang sudah sangat berusia tu."

"Kahwin kerana hartalah maknanya tu..." sahut si bongsu pula,

"Hisy!!" marah Yatinah sambil menepuk paha si bongsu. "Awak kecil lagi... jangan nak menyampuk cerita orang tua.

"Kenapa anaknya tiba-tiba nak tinggal di banglo tu?" tanya along... kerana selama dia membesar di situ belum pernah dia terpandang anak tunggal Tuan Abbot yang dikatakan sangat handsome orangnya. Hanya abah dan emaknya sahajalah yang pernah bertemu dengan lelaki itu semasa Mem Nabila meninggal. Itupun dia balik setelah jenazah selamat dikebumikan.

"Anak dia ni, katanya kahwin dengan orang Melayu juga," beritahu Wak Ismin lagi. "Dapat mengajar di UniSel tu... senanglah... rumah dah ada... tinggal dibaiki sikit-sikit aje."

Minggu lepas, dia dan Yatinah ada ke banglo itu membawa anak bongsu mereka untuk membersihkannya setelah mendapat panggilan telefon daripada peguam Tuan Abbot. Belum sempat dia habis memotong rumput di kawasan laman depan banglo itu, Yatinah sudah terjerit-jerit mengajaknya balik.

Menurut Yatinah, semasa dia sedang mengemop lantai, anak bongsunya itu elok menggumam bercakap dengan seseorang di tengah mata tangga.

"Adik cakap dengan siapa?" tanya Yatinah apabila dilihat tiada orang lain selain mereka berdua di dalam banglo itu.

"Makcik ni..." jawab anaknya sambil telunjuknya menunjuk ke seseorang di sebelah. "...ajak adik masuk ke biliknya," sambung si bongsu lagi.

"Tak payah!!" jerit Yatinah sambil melempar batang mop ke tepi. Dia berlari memanjat anak tangga dan mendukung anaknya keluar dari banglo itu. Yatinah kemudian terjerit-jerit memanggil suaminya di laman kerana mesin rumput itu agak bising bunyinya.

Semenjak dari hari itu, Yatinah tidak berani lagi mengikut suaminya ke banglo itu. Wak Ismin juga berpesan agar tidak dihebohkan kisah yang diketahui oleh isterinya itu.

Pon! Pon! Koperal Hamid membunyikan hon motosikalnya... mengejutkan enam beranak yang bersila di atas pangkin bawah pohon sena.

"Min!" panggil Koperal Hamid, Polis Bantuan Ladang Abbot.
Wak Ismin melunjurkan kaki turun dari pangkin sambil menyarung selipar jepun. "Ada apa Mid?"

"Anak Tuan Abbot tu dah sampai... dia nak kunci rumah," jerit Koperal Hamid yang masih bertopi keledar. Enjin motosikal juga tidak dimatikan.

"Sekejap... aku pergi ambil," jawab Wak Ismin sambil melangkah masuk ke dalam rumahnya.

"Dia datang sorang ke?" tanya Yatinah sama teruja ingin tahu.

"Berempat tadi saya nampak, kak," jawab Koperal Hamid.

"Aku ikut Mid," tiba-tiba Wak Ismin keluar dengan topi keledar di tangan.

"Jomlah!" ajak Koperal Hamid.

"Abah! Nak ikut," jerit si bongsu yang pantang melihat abahnya bergerak.

"Tak usah," tegur Yatinah memgang lengan si bongsu yang sudah mahu turun dari pangkin itu.


*****************************************************************************

JALAN masuk ke banglo itu agak curam menyebabkan motosikal Koperal Hamid sedikit semput.  

"Dahlah Mid, turunkan aku di sini aje," pinta Wak Ismin yang tidak sabar melihat motosikal Koperal Hamid itu tersenggut-senggut memanjat bukit. 

"Alah! Dah nak sampai pun," ujar Koperal Hamid yang sangat percaya akan kemampuan motosikalnya membawa dia dan Wak Ismin sampai ke depan pintu banglo Tuan Abbot.

Bunyi enjin motosikal Koperal Hamid yang semput mendaki bukit itu menarik perhatian dua orang lelaki yang terpacak berpeluk tubuh menanti di depan banglo. Dua orang perempuan lagi dilihat sedang membelek bunga kertas yang berwarna-warni dan tumbuh subur pula walau tiada siapa yang datang untuk menyiramnya.

"Assalamualaikum!" tegur Wak Ismin yang baru turun dari motosikal sambil menarik topi keledar yang menutupi kepala.

"Waalaikumussalam," serentak mereka menjawab perlahan.

Wak Ismin terus mendapatkan dua orang lelaki di situ dan menghulur salam. Seorang muda dan seorang lagi sudah berusia. Tetapi Wak Ismin sudah dapat mengagak bahawa yang muda itulah anak kepada Tuan Abbot kerana wajahnya mirip lelaki Inggeris.

"Saya Ismin," dia memperkenalkan diri. "...yang diberi kepercayaan oleh Tuan Abbot sejak dulu untuk menjaga banglo ini sehingga ada yang datang mahu mendiaminya."

Mereka yang mendengar penerangan percuma itu hanya mengangguk-angguk. Wak Ismin cepat pula mengatur langkah untuk membuka pintu utama, tidak mahu waris kepada rumah pusaka itu jemu menunggu.

"Jemputlah!" ajak Wak Ismin pula setelah membuka lebar daun pintu.


                                                                         -bersambung-
     
        

     
    



January 28, 2015

TOLONG TEPI SIKIT!

Bab 2

NATASYA di premis Cool Blog kepunyaan Aleeya, temannya. Dia dipanggil untuk membantu kerana pada hari minggu itu ramai benar orang yang datang berkunjung ke supermarket. Tidak menang tangan si Aleeya dibuatnya. Kebetulan pembantunya demam pula pada hari itu, maka Natasya menjadi mangsa untuk dijadikan pembantunya. Natasya pun memang sudah pandai membuatnya kerana sesekali dia ke premis itu, dia akan sibuk membantu Aleeya.



           
“Saya nak lime blog,” kata suara yang memakai spek hitam.
            
Natasya mengerling lelaki itu sambil tangannya ligat membuat kerja. Rasa macam pernah jumpa, tapi di mana ye? Setelah siap, dia menghulurkan kepada lelaki itu, “Dua ringgit sembilan puluh sen.”
            
Lelaki itu mengambil lime blognya sambil menonggengkan bekas. “Eh? Mana bubblenya?”
            
“Tadi encik tak cakap pun nak letak bubble?”
            
“Tapi saya nak yang ada bubble.
            
“Lain kali kalau cakap biar terang,” ujar Natasya mengajuk Tan Sri P. Ramlee dalam filem Ali Baba Bujang Lapok.
            
Lelaki berspek hitam itu melayangkan senyum tidak bersalah. Terpaksa Natasya membuat yang baru… nak buat macam mana? Kalau berniaga ni… customers always right!
            
“Here!!” hulur Natasya sedikit garang. “Three ringgit fifty cents.”
            
Lelaki itu menghulurkan wang kertas Rm5. Natasya pula memulangkan baki Rm1.50 kepadanya. 

Thanks,” ucap lelaki itu.
           
Yeah! Suck your balls,” balasnya.
            
Aleeya yang mendengar cepat melibas lengan Natasya dengan kain pengelap. “Mind your language,” tegurnya.
            
Natasya hanya melemparkan senyum sambil mengerling lelaki itu pergi. Di tangan lelaki itu ada beberapa beg kertas dari premis berjenama yang menjual pakaian lelaki. Bukan main lagi, hatinya berkata… shopping baju rayalah tu.
            
Ayat yang diucap oleh Natasya tadi rasa menyucuk ke jantung hati Benjamin Kareem. Perempuan ni… bahasa tak agak-agak ye? Getusnya dalam hati. Ayat makan dalam tu… ganas betul! Tetapi hatinya macam sudah tersuka dengan perempuan yang mulutnya macam murai tercabut ekor itu. Esok datang lagi, kita kacau perempuan ni, getus Benjamin Kareem.


PUAN Nabila menghantar whatsApp kepada Natasya tengahari itu.
            
          Emak masak escargot untuk Dato’… tentu dia suka.
            
Natasya kerut dahi membaca whatsApp dari emaknya. Semenjak ayah belikan telefon pintar ni, bukan main lagi. WhatsApp, Line dan Instagram semua emak dah install. Tapi… Escargot?
            
          Emak tahu ke escargot tu apa? Balas Natasya.
           
        Emak dapat idea dari channel AFC tadi… Daniel Bouloud ajar masak escargot. Katanya itu makanan kegemaran orang Perancis. Tentu Datin Layla sama suka dengan masakan mak.       
            
Natasya tepuk dahi. Hadoi!! Masakan emak pergi kutip siput tu, kut? Dia yang curiga cepat membalas whatsApp.
            
          Bagi gambar escargot tu?
            
Lima minit kemudian, Puan Nabila sudah menghantar gambar lauk yang dimaksudkan berserta dengan mesejnya sekali.
            
          Tapi emak dah fusionkan, Hehehe  *:D big grin
            
Natasya melepaskan nafas lega.



            
Eleh!! Ingatkan siput Cadbury yang di pangkal-pangkal rumpun pandan di tepi rumahnya… hisy! Dia merenung gambar kiriman emaknya itu sambil ketawa di dalam hati. Wah! Emak pun dah pandai belajar food photography… siap berhias bagai gaya orang yang empunya blog masakan pula. Ini mesti emak selalu skodeng blog Mat Gebu – Dapur Tanpa Sempadan. Hehehe…

***********************************************************************************            
“OOPS! Tolong tepi sikit,” ujar Benjamin Kareem sambil sedikit membongkok dengan tangan kanan yang dijulurkan ke depan. Seriau betul dia bila bertembung lagi dengan perempuan yang memakai kasut tumit tinggi itu. Dia mengerling sedikit ke kaki perempuan itu… dan pada hari ini, stilettonya berwarna merah pula.
            
Natasya yang melihat kelakuan lelaki itu seakan mahu gelak tergolek dibuatnya. Bimbang diinjak lagi kasutnya, kut? Kus semangat! Natasya mengurut dada. Mujur dia tidak disergah oleh lelaki itu kerana insiden yang berlaku hampir sebulan yang lalu.
            
“Lelaki tu ada urusan apa dengan Rimau Kayu ni?” soal Natasya.
            
Niena si penyambut tetamu hanya angkat bahu. Dia sibuk mengasingkan surat-surat yang baru sampai tengahari itu bila Natasya datang untuk bertanyakan tentang kad raya dari teman lelakinya yang masih berada di luar negeri kerana melanjutkan pelajaran.
           
“Di Eindhoven tu ada jual kad raya ke?” tanya Natasya semasa mereka berskype usai bersahur pagi tadi.
            
“Memanglah tak ada,” jawab Luqman Hakim di sebelah sana benua. “Tapi I take the inisiative to make one for my dearest, tau?”
           
“Yalah tu!”
            
Infact… awal Ramadan lagi I dah pos. You checklah nanti.”
           
“You pakai alamat mana?”
            
“Your office.”
            
Sebab itulah, tengahari itu Natasya cepat ke kaunter penyambut tetamu bertanyakan kad raya dari Eindhoven itu. Dia begitu teruja ingin melihat kad yang dikirim oleh Luqman Hakim.
            
“Cik Natasya!!” jerit Niena sambil menghulurkan kad yang dinanti itu. “Taa daa!!”
            
Natasya cepat memanjangkan tangan dengan senyum yang sudah melebar ke telinga. Namun apabila dia berpusing, sikunya menghentak dada seseorang di sebelah.
            
“Aww!!” suara itu sekali lagi menjerit kesakitan.
            
Erk?! Natasya berpaling. Mamat ni lagi, hatinya berkata. Lelaki itu terbongkok-bongkok menahan kesakitan. “Encik okey ke?” tanya Natasya yang mendekati lelaki itu.
            
“Tolong tepi sikit, boleh tak?” kata lelaki itu tanpa mengangkat wajahnya. Senak dada kut? Lagi-lagi di bulan puasa ni. Elak dipijak kaki, kena hentak dengan siku pula. Hisy!


***********************************************************************************

“AWAK!” panggil Benjamin Kareem elok dia sampai di premis Cool Blog di dalam Supermarket itu. Puas dia tertinjau-tinjau mencari kelibat si Mulut Laser tu tetapi tidak kelihatan. Sebab itu dia datang mendekati untuk bertanya. Bukan dia minat sangat pun dengan Cool Blog tu, tapi sengaja hendak mengacau perempuan yang tidak diketahui siapa namanya itu.
            
Dia nampak comel dengan cap yang dipakai terbalik dan bercermin mata gaya old school. Relaks aje dia kerja di premis itu. Kalau sesetengah perempuan yang punya body dan rupa paras yang menawan, sudah tentu mereka apply jadi model atau artis.
            
“Yes! Your order, sir?” tanya Aleeya yang tadi dipanggil macam gaya nak berebut ke mana entah.
            
“Err.. mana budak perempuan yang lagi sorang tu?”
           
“Siapa?” soal Aleeya. “Kami memang berdua aje di sini encik.”
            
“Ada… yang pakai cap dan cermin mata tu.”
            
Aleeya segera teringatkan Natasya yang dipanggil untuk membantunya diwaktu kecemasan. “Dia sambilan aje encik. Kenapa?” tanya Aleeya ingin tahu.
            
Benjamin Kareem menggaru-garu dagunya. Alamak! Mana nak cari ni? Masakan dia nak mintak alamat dan nombor telefonnya? Boleh ke?
            
“Tak apalah… terima kasih,” ucapnya sambil berlalu pergi. Kecewa juga di dalam hati bila perempuan yang diminati tak dapat ditemui. Tapi tak apa… Supermarket ini pun bukan jauh sangat dari rumahnya. Tiap-tiap hari pun dia boleh datang singgah buat spot-check untuk melihat jika Minah Laser itu ada datang membantu di premis Cool Blog itu.
           
Eh? Dia ke tu? Ucap Benjamin Kareem dalam hati bila kelibat Minah Laser itu seakan baru keluar dari gate rumahnya. Gadis itu dilihat mengenakan topi keledar dan terus menghidupkan enjin skuter dan menderu pergi.
           
Tanpa membuang masa, Benjamin Kareem cepat menekan remote pintu pagar. Pagar itu kemudian terbuka lebih lebar untuk meloloskan Fairladynya masuk. Enjin dimatikan dan dia segera masuk ke dalam rumah mencari mummynya.
            
Mummy! Siapa perempuan yang datang dengan skuter tu?”
            
Datin Layla meletakkan mangkuk tingkat yang berisi itu di atas meja makan di ruang tamu. “Dia hantar lauk daddy,” katanya, perlahan. “It seems that he doesn’t like my cooking anymore,” ucapnya, lirih.
            
Benjamin Kareem memeluk Datin Layla dari belakang. “No mummy…” pujuk Benjamin Kareem. “He only misses his mom’s cooking during Ramadan.”
            
“Mummy tried… tapi Malay cooking is a bit hard, you know?”
            
Benjamin Kareem angguk. Kemudian dia teringat dengan Minah Laser yang datang ke rumahnya tadi. “Is that girl cook for him?” tanya Benjamin Kareem. Yalah… kalau perempuan muda macam si Minah Laser tu boleh masak sambal tumis udang macam tu punya sedap… memang boleh ambil jadi calon isteri, kan?
            
I think so,” jawab Datin Layla, masih dalam nada kecewa. Mau tak sedih? Perempuan muda tu? Kalau sampai hujung Ramadan ni… harus suaminya terus ambil jadi isteri kedua, siapa tahu?

            

~ bersambung



January 27, 2015

TOLONG TEPI SIKIT!

Hi peeps!

Berikut adalah tajuk bagi manuskrip terbaru yang suka ku kongsikan di blog ini agar dapat sama-sama kita baca...


TOLONG TEPI SIKIT!
Bab 1

            NATASYA rebut-rebut mahu melangkah keluar sebaik pintu lif terbuka di tingkat 3. Dia sudah terlambat untuk masuk ke bilik mesyuarat pagi itu dan kebetulan itulah kali pertama sejak masuk bertugas di Rimau Kayu Enterprise dia dipanggil untuk membentangkan laporan kewangan syarikat yang dipunyai oleh Dato’ Khalid and sons.
            
“Tolong tepi sikit! Tolong tepi sikit!” lembut suaranya meminta laluan. Namun malang tidak berbau… stiletto birunya telah terinjak kasut seorang lelaki yang berspek mata hitam yang sama mahu berebut keluar dengannya. 

Apalagi....

"Aww!!" jerit lelaki itu sambil terlompat-lompat keluar dengan sebelah kaki macam orang main teng-teng.





Natasya berpaling. “Maaf encik,” ujarnya yang hanya mengerling lelaki itu.
            
Alamak! Aku ke yang buta? Soalnya dalam hati kerana lelaki yang berspek mata hitam itu seakan orang buta. Tetapi… tidak pula memegang tongkat? Wah! Berlagaklah tu…
            
Apabila matanya tertancap ke arah kasut lelaki itu, dia merasa tidak bersalah pula. Siapa suruh dia pakai kasut yang panjang macam muncung buaya senyulong tu? Eleh! Entah-entah acah aje tu, bisik hatinya sambil terus berlalu pergi meninggalkan lelaki itu yang masih terbongkok-bongkok di tepi dinding menahan kesakitan.




           
KURANG asam punya perempuan, gumam Benjamin Kareem anak Dato’ Khalid yang sama dipanggil masuk ke bilik mesyuarat pagi itu untuk diperkenalkan kepada kakitangan syarikat. Awal pagi bapanya telah mengingatkan tentang hal itu agar dia dapat sama datang sekereta dengan beliau. Tetapi Benjamin tidak mahu dia terus dikenali sebagai anak Dato’ Khalid pula.
            
“Nanti Benji datang sendiri daddy.”
            
Dato’ Khalid hanya mengangguk. Kalau datang sekali sekereta kan senang, gumam Dato’ Khalid. Jimat sikit belanja. Anak-anak ni memanglah…
            
Akhirnya anak yang ditunggu akan kehadirannya di bilik mesyuarat pagi itu tidak juga muncul.

Dato’ Khalid terus menelefon ke rumah dan isterinya mengangkat.
            
He met with an accident, dear.”
            
What?”
            
No… don’t worry. Just a minor injury.”
            
Hadoi! Anak Dato’ Khalid seorang ni manja gila kut dengan mummy dia. Selepas insiden terpijak kasutnya di Rimau Kayu Enterprise tadi, dia terus menelefon mummynya. Tak pasal-pasal Datin Layla kena mintak tolong Pak Malek bawanya ke pejabat untuk membawa pulang kereta anaknya itu. Kalau naik sekereta dengan daddynya tadi, kan senang?
            
Walaupun stiletto biru wanita itu terinjak kasutnya, namun tersiat juga kulit jari kelingking kaki kanannya itu. Adoi mak sakitnya! Benjamin meraung dalam hati bila Datin Layla merawat lukanya itu.
            
“Kenapa sampai boleh jadi macam ni?” tanya Datin Layla.
            
“Tumit kasut dia halus macam ni,” ajuk Benjamin sambil menunjukkan jari kelingking tangan kanannya pula.




           
You should let ladies first, remember?”
            
“Benji kan dah lambat… nanti daddy tegur depan orang lagi malu.” Sebab itu lebih baik dia tidak menjengahkan muka langsung daripada dia datang terdengkot-dengkot masuk ke bilik mesyuarat itu tadi.
            
Dato’ Khalid itu pula tegas orangnya. Jika di pejabat, anak pun dia balun sama rata sahaja.
           
“Dia orang kena faham… bukan senang nak maju di dalam perniagaan ini jika kerja sambil lewa sahaja,” tegur Dato’ Khalid satu hari bila isterinya cuba backing anak kesayangannya itu.
            
Benjamin Kareem tidak mahu bekerja dengan syarikat bapanya itu, tetapi Dato’ Khalid berkeras agar anak lelaki yang seorang itu belajar sedikit demi sedikit sementara dia masih ada. Masakan mahu diharap kakaknya yang mengambil bidang kulinari pula?


“MANA nak cari bubur kacang durian waktu puasa-puasa ni?” bebel Pak Malek driver Dato’ Khalid tengahari itu.



            
Natasya yang terdengar bertanya. “Siapa yang mengidam Pak Malek?” Manalah tau… kut-kut Datin Layla isteri Dato’ Khalid tu yang teringin. Kalau dah pembawa budak ni memang tak hairanlah… daripada benci boleh jadi sayang. Hehehe…
            
“Datin Layla minta carikan untuk Dato’ tu aje. Bukan nak banyak… itu yang leceh,” ucap Pak Malek sambil berjalan mundar mandir.
            
“Alah! Tak payah risau. Petang nanti singgah rumah saya. Kebetulan ayah saya pun minta dimasakkan bubur kacang durian untuk iftar nanti.” Pelawa Natasya yang kasihan melihat Pak Malek gaya menanggung masalah besar sahaja.
           
Jinjja?” soal Pak Malek dalam bahasa Korea, tanpa sedar.
            
Natasya yang mendengar bulat mata memandang. Tak padan orang tua ni… mesti dia layan channel 391 juga ni.
            
Ne,” Natasya juga balas dalam bahasa Korea siap dengan lenggoknya.
            
Mereka berdua kemudian sama-sama pecah ketawa di situ. Mujur tidak sampai terguling-guling.

“KENAPA yang kelam kabut sangat ni Tasya?” tanya Puan Nabila, pelik melihat anak gadisnya yang pulang petang itu terus ke dapur membuka periuk.
           
“Ahhh!” Natasya urut dada. Mujur emaknya sudah siap memasak bubur kacang yang dicampur dengan durian seperti mana yang diidamkan oleh majikannya itu.
            
Puan Nabila yang sama mengekor ke dapur angkat sebelah bibir mengejek. Gaya budak baru belajar berpuasa pula, cemuhnya dalam hati.
           
“Emak! Mana bekas tapau yang kita beli taufufah selalu tu?” soal Natasya sambil membuka pintu kabinet. Dia tahu emaknya memang tidak pernah buang bekas-bekas plastik itu. “Tasya nak beri sikit dekat Dato’ bubur kacang durian ni.”
            
Puan Nabila yang mendengar rasa teruja pula. “Eh! Kalau nak beri Dato’… masukkanlah dalam Tupperware. Malulah emak beri dalam ‘tipuware’ tu.”
            
“Tupperware tu mahal mak… kalau dia tak pulang bekasnya, macam mana?” Natasya berpaling memandang emaknya sambil mengangkat-angkat keningnya bertanya. “Kalau tipuware ni dia nak buang pun tak kisah.”



           
“Ha… yelah,” ucap Puan Nabila sambil membongkok mengambil tipuware yang dimaksudkan di kabinet sebelah bawah.
            
Puan Nabila hanya memerhati anak gadisnya mengisi bubur kacang durian ke dalam bekas. Nampak macam sikit sangat pulak. “Sikit sangatlah Sya..”
           
 “Dato’ tu sorang aje yang makanlah mak. Bini dia orang putih… mana pandai makan durian ni. Itu sebab tadi Datin tu suruh Pak Malek carikan di mana-mana Bazar Ramadan yang ada jual.” Cerita Natasya tentang apa yang diberitahu oleh Pak Malek kepadanya.
            
“Kesian ye kalau tekak Melayu tapi dapat bini orang putih,” tegur Puan Nabila. “Habis tu kalau dia teringin makan masak lemak cili api dan asam pedas semua tu macam mana?”
            
“Cari kat kedailah kut?”
           
“Sekali dua memanglah sanggup… kalau hari-hari tu rasanya menyesal juga.” Puan Nabila cuba meneka. Lainlah kalau mereka dapat pembantu rumah dari makcik-makcik warga Malaysia sendiri. Boleh juga diharap untuk masak Malaysian cuisine. Kalau pembantunya dari warga negara seberang, macam mana?


“APA yang dalam bekas plastik tu daddy?” tanya Benjamin Kareem sewaktu berbuka puasa petang itu. Berselera sungguh dilihat daddynya menyudu… sedangkan waktu itu mereka disaji dengan fush and chips.
            
Dato’ Khalid dah naik muak dengan hidangan barat itu. Tetapi nak buat macam mana? Mujur isteri orang putihnya itu mahu juga ke dapur… kalau dibuatnya derk aje bagaimana?
           
You don’t want to know,” kata Dato’ Khalid yang tahu benar anak-anaknya juga sama mengikut selera ibu mereka yang tidak langsung mahu menyentuh durian. Heaven! Bisik hati Dato’ Khalid bila bubur kacang durian itu dapat dihabiskan.  
            
Selama ini emaknya dibawa tinggal dengannya untuk mengajar isterinya memasak masakan  Melayu. Tetapi menurut isterinya, masakan Melayu ini payah benar. Banyak ramuan dan bahan yang diperlukan.

“Mungkin dia sama tidak ada tekak dengan selera Melayu, sebab itu dia tidak menaruh minat untuk belajar,” kata arwah emak Dato’ Khalid.
            
Jadi Dato’ Khalid terpaksalah menerima hakikat sebenar dengan hati terbuka bila emaknya pergi meninggalkan dia buat selama-lamanya.
           
Ah! I miss my mom.” Tiba-tiba Dato’ Khalid bersuara sambil menolak pinggannya ke tepi.
Makanan di pinggan hanya luak sedikit sahaja. Dia menolak kerusi ke belakang dan terus meninggalkan meja makan.
             
“Honey! Where are you going?” tanya Datin Layla yang nampak lain sungguh perangai suaminya menjelang Ramadan ini.  
            
Yalah… hari biasa boleh juga ke kedai makan cari nasi campur… tetapi bila sampai Ramadan, makan dan minumnya semua di rumah. Lambat-lambat nanti tidak sempat pula hendak berterawih.
            
“I nak ke surau,” sahut Dato’ Khalid.
           
Dia mahu berterawih di surau dan kemungkinan di sana nanti ada jamuan moreh, dapatlah dia sama tumpang sekaki dengan makanan Melayu asli. Apatah lagi mereka di surau itu suka berjamu nasi ambeng. Senang… makan dalam talam ramai-ramai. Tak perlu basuh banyak pinggan mangkuk.
           
Sayu betul hatinya bila mengingatkan layanan dari emaknya tentang makanan kegemarannya selama mereka tinggal bersama. Sekarang ini, siapa yang mahu masakkan dia lemak cili api babat campur rebung, kalau dia teringin? Sambal kicap cili api untuk dicolet dengan tempe dan tahu goreng yang dibuat oleh pembantu rumahnya juga kurang enak. Mana tak sedih hatinya mengenangkan nasib diri bila dapat isteri yang tidak pandai masak makanan Melayu Asli? Tolonglah…





“CIK Natasya!” panggil Pak Malek bila kelibat wanita itu melintas ke meja penyambut tetamu.
            
Natasya menoleh. Oo… Pak Malek! “Kenapa? Ada yang mengidam lagi hari ni?”
            
“Dato’ mintak bekalkan dia lauk-lauk sepanjang Ramadan ini. Hanya untuk dia.”
            
“Dia nak lauk yang macam mana?” soal Natasya. Yalah… kena tahu juga selera Dato’ ni macam mana?
            
“Dia cakap dia orang Melayu… dia nak makan lauk-lauk yang biasa orang Melayu masak…”
            
Ayat Pak Malek yang belum tamat itu dipancung. “Isteri dia ke mana?”
            
“Isteri dia kan orang putih…” Pak Malek cuba menerangkan sebagaimana Dato’ menerangkan kepadanya pagi tadi. “…dia tak pandai masak lauk-lauk Melayu yang remeh kerjanya.”
            
“Habis tu, sebelum ni macam mana?”
            
“Sebelum ni emak dia yang masak. Orang tua tu kan dah meninggal, rindu kut masakan emak dia.” Tutur Pak Malek mohon simpati.
            
“Kenapa Pak Malek tak suruh isteri Pak Malek aje?”
           
 “Isteri saya jaga cucu 3 orang… mana nak sempat masak yang sedap-sedap untuk Dato’?”
            
“Okeylah… nanti saya call mak saya suruh dia masakkan.” Natasya menyetujui rancangan untuk membekalkan makanan kepada Dato’ Khalid setiap petang dalam bulan Ramadan ini. Dia tahu emaknya bukan ada buat kerja lain. Sekurang-kurangnya emaknya dapat juga duit poket untuk hariraya nanti. 

“Tapi untuk bulan Ramadan ni aje, kan?” tanya Natasya minta kepastian.
            
Pak Malek angguk senang sambil menegakkan ibu jari.
             

HAH! Amekau…
            
Mangkuk tingkat sudah tersedia di atas meja kopi elok Natasya sampai rumah petang itu. Dia sama melayangkan senyum sampai telinga bila emaknya menyetujui rancangan untuk membekalkan makanan kepada Dato’ Khalid.



“Lauk apa hari ni mak!” jerit Natasya mencari kelibat emaknya di dapur.
            
“Lemak labu campur pucuk manis… sambal udang dan ikan kering bulu ayam,” sahut Puan Nabila yang sedang membersihkan dapur.
           
 “Tasya nampak ada 4 tingkat tu… satu lagi isi apa?”



            
Dessert la…” jawab Puan Nabila lagi. “Hari ni mak buat bubur pulut hitam.”
           
 Wah! Ngences ni…


USAI terawih, Dato’ Khalid bersalaman dan minta diri untuk pulang. Tak perlu dia tunggu untuk sama-sama moreh dengan jemaah surau kerana bekalan makanannya di rumah tadi belum diusik. Masuk waktu tadi dia hanya menjamah bubur pulut hitam sahaja.
            
“Bik! Bubuh nasi… saya lapar ni…” teriak Dato’ Khalid elok dia menutup pintu utama.
            
“Baik Dato’…” jawab Bibik Yanti yang sedang mengemas dapur.
            
Dato’ Khalid terus ke dapur sambil menyingsing lengan baju melayunya dan mencuci tangan. Dia kemudian ke ruang makan dan menarik kerusi. Mangkuk tingkat yang tidak berusik di tengah meja itu di tarik ke depannya. Satu-satu mangkuk yang disusun bertingkat itu diturunkan.
            
“Dato’ mau air dingin ya?” tanya Bibik Yanti yang datang meletakkan sepinggan nasi.
            
Dato’ Khalid hanya mengangguk. Dua tangan ditadah membaca doa makan. Dia kemudian menyuap lapar. Pandai emak Natasya ni masak, puji Dato’ Khalid dalam hati. Selera benar dia dengan lauk yang digandingkan.

Tiba-tiba…
           
 “Daddy! Benji nak sikit sambal tumis udang tu?” Tadi dia sudah periksa isi di dalam setiap mangkuk tingkat itu. Dia sama terliur apabila melihat sambal tumis udang. Tetapi ditegur oleh mummynya kerana itu lauk untuk daddy. Tetapi baki bubur pulut hitam yang dimakan oleh daddynya sewaktu berbuka itu telah dibedalnya hingga licin. Hehehe…


            
Sebelum ke surau, Dato’ Khalid sudah menitip pesan kepada Bibik Yanti untuk menanak nasi untuknya.
            
“Nanti balik dari terawih saya nak makan,” begitu pesan Dato’ Khalid. Sebab itu balik dari surau dia terus ke dapur mencari Bibik Yanti. Manalah tahu jika dia terlupa pula menanak nasi?
            
Dato’ Khalid mengangkat wajah. Tak kenyang lagi makan dengan mummy dia tadi ke? Bukan main menghadap lamb chop tak pandang kiri kanan dua beranak itu tadi. Namun, Dato’ Khalid hanya mengangguk.
            
“Bik!! Saya nak nasi juga…” jerit Benjamin yang nampak kelibat Bibik Yanti di dapur.
            
Mummy mana?” tanya Dato’ Khalid yang sedang meratah ikan kering bulu ayam. Ikan kering yang disalut tepung itu tidak pula masin rasanya.
            
“Dah tidur, kut?” agak Benjamin. Memang dia tahu mummynya itu sangat mementingkan kecantikan. Tidurnya kena cukup… makan pun kena ikut masa. “Daddy rindu nenek ye?” tanya Benjamin. Dia pun hairan sejak semalam daddynya minta bubur kacang durian. Walaupun daddy tahu mummy tak makan durian.
            
Daddy ni orang Melayu… sesekali makan French cuisine tu bolehlah. Tapi bila puasa ni tekak tak masuk pulak.” Adu Dato’ Khalid. “Macam lembu yang makan rumput tu… mana sedap? Mummy tu lainlah… memang tekak orang French.”
            
Benjamin yang sedang mengupas kulit udang itu mengerling daddynya. Dulu nak kahwin tak menyempat, ejek Benjamin dalam hati. Bila nenek dah tak ada ni baru sedar diri ye? 


~bersambung



LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...