December 19, 2011

Bunga Bakawali....

Hi peeps!

Hari ini aku nak kongsi cerita lama yang pernah ku alami tapi kebenarannya hanya Allah sahaja
yang Maha Mengetahui.

Aku sedang menanam pokok bunga bakawali ke tanah di laman depan rumah...yang terpecah
pasunya akibat ribut kencang pada satu hari. Mungkin juga kerana pasu itu sudah tidak dapat
menahan berat pokok dengan kuntuman bunga-bunga yang memenuhi dahan. Sayang pula kalau
nanti ia mati kekeringan sementara hendak digantikan dengan pasu yang baru.

Bunganya yg kembang di waktu tengah malam.....

Seorang Polis Bantuan masuk ke pekarangan rumahku dengan menaiki motosikal telah berhenti
memandang aku yang sedang terbongkok-bongkok...tertonggeng-tonggeng membuat kerja. Bila
aku mengangkat wajah...dia lalu bertanya.

"Tuan ada?"

"Dalam," jawabku pendek. "...ada apa?" aku bertanya bila aku lihat dia masih bertenggek di atas
motosikalnya memerhati kerjaku.

"Saya tunggu...ini hari driver tak ada mari...saya juga ganti," beritahunya dalam pelat India sambil
kepalanya digoyang-goyangkan mengikut rentak cerita.

Aku pun jadi sama terikut pula.

"Ini pokok banyak baik, mem.." dia mula membuka cerita.

Aku angguk....aku suka sebab ia rajin berbunga dan mengeluarkan satu bau yang sangat wangi.
Cuba klik sini untuk mengetahui kisah benar pokok ini.

"Malam...itu bunga kembang...mem tunggu...ada asap keluar...nanti apa mau semua boleh mintak,"
sambung Polis Bantuan yang berbangsa India tersebut. "...saya tak ada tipu cakap...tengok!" dia menunjukkan dahinya yang bercalit tiga garis putih macam pangkat sarjan.

Kuntuman semasa hari siang..........

Tapi suami aku cakap dia tu cuma berpangkat koperal aje.

"Saya semayang punya orang...cakap tak bleh tipu. Dulu saya pun ada mintak...mau jadi kaya..."
Dia kemudian terdiam....lama.

Aku memandang merenungnya kerana cerita separuh jalan itu.

"Saya sudah jadi kaya...saya angkat nombor sudah menang first prize....tapi anak laki-laki sudah
mati jatuh lombong."

Matanya memerah menahan sedih mengingat kenangan lalunya. "Bini sudah jadi gila...hari-hari
mau pergi sana lombong cari itu anak. Saya anak itu juga satu orang...." dia diam lagi.

Oo...kira 'give and take' la ni...hatiku berbisik sendiri.

"Apa guna kaya? Anak...bini...semua tak ada?"

Aku dengar dia hidup sebatang kara di kuarters ladang dan bekerja sebagai Ketua Polis Bantuan.
Kesiannya......

Aku angguk-angguk kepala mengiyakan ceritanya. Mungkin sebab itu sekarang ini dia menjadi
orang alim dalam agama Hindu yang dianutinya. Kepercayaan dia begitu...kita tiada hak untuk
melarangnya.

"Nanti malam cuba mem...pukul 12..." pesannya lagi setelah dia nampak kelibat suamiku yang
sudah duduk menyarung kasut.

Aku hanya melemparkan senyuman. Ye la tu.....macam aku ni berani sangat.

Selepas mereka bergerak pergi meninggalkan aku di situ....memandang ke arah kuntuman bunga
yang banyak itu....mahukah aku menunggu pada waktu tengahmalam nanti untuk mengetahui akan
kebenaran cerita tadi?

Arwah ayah pernah menceritakan kisah yang sama padaku....kisah puteri bunga bakawali ini dan
ada filem yang menayangkan kisah ini juga lama dahulu. Aku berfikir kembali selepas itu...
memang lelaki India tadi sangat berani orangnya kerana mahu mencuba.

Kemuadian aku terbawa dek cerita tentang seorang kenalan ayah yang pulang malam dan telah
terlanggar jirat China........


                                                                                    ~ bersambung ~

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...