December 22, 2011

Opera China...

Greetings to all........

N3 hari ini ku bawa kalian mengimbau era zaman kanak-kanakku se waktu kemajuan belum
pesat berkembang. Waktu itu tiada kemudahan yang diberikan seperti membeli peti televisyen
secara ansuran...komputer dan internet ni jauh sekali kedengaran.

Di sekitar tempat tinggal kami pada ketika itu pula majoriti penduduknya adalah kaum China...
maka kami terbawa-bawa dengan tayangan percuma operanya yang akan diadakan setiap kali
menyambut 'sembahyang hantu' ~ kata kawan-kawan China aku la.


Bertahun kami berjiran bersama...sampai abang sulongku sudah fasih berbahasa China...tidak
kira apa dialek mereka sekali pun...semua Abang boleh ikut. Cuma Abang tidak pandai membaca
dan menulis gaya mereka sahaja. Abang Ngah ku cuma tahu cakap sikit-sikit aje tapi dia faham
apa yang mereka cakapkan. Akak ku....faham sikit-sikit....cakap langsung tak tahu...manakala aku
pula...yang tahu sikit-sikit itu ku campur adukkan. Membuatkan mereka yang arif dalam bahasa
itu gelak tergolek jadinya. Macam loghat Terengganu yang dicampur dengan loghat Kelantan
la lebih kurang. Hanya orang Terengganu jati sahaja yang tahu bahawa loghat itu loghat mereka.
Jika mereka mendengar kita yang kurang arif ini bercakap...sudah tentu mereka akan gelak
tergolek kan?

Tapi kawan-kawan bangsa China ku ini memang baik-baik belaka. Mereka lepak di anjung rumah
ku waktu petang...sama-sama berborak dalam bahasa itik dan ayam. Yang hairan itu, kami boleh
faham pula. Ketika itu yang aku ingat...cuma aku seorang sahaja perempuan. Bila Abang dan Ngah
sibuk bermain layang-layang, aku pun sama sibuk juga.



Ada sekali tu...Abang dan Ngah berlari pulang. Aku sama mengikut dari belakang. Aku lihat
Abang menumbuk kaca menggunakan batu lesung emak.* lupa pulak....ke mana emak dan uda
waktu itu * Kemudian Abang mengambil sedikit tepung ubi dari bekas simpanan emak dan
dengan bantuan Ngah mereka membancuh kanji. Kanji itu dicampurkan pula dengan serbuk kaca
tadi dan dilurutkan pada tali layang-layang yang direntangkan pada tiang ampaian emak.


Sementara menunggu tali tadi kering....Abang masuk ke dapur mencari nasi di periuk. Kuali diambil
dari gantungan dan ditenggekkan di atas dapur. Abang menghidupkan api dapur minyak tanah
dan meletakkan sedikit minyak lebihan minyak goreng ikan semalam ke dalam kuali. Nasi
semangkuk tadi diramas-ramas dan dicurah ke dalam kuali apabila kelihatan minyaknya sudah cukup
panas. Entah apa yang Abang masukkan lagi sebagai perencahnya...aku tak ambil tahu sangat...yang
pasti selepas itu kami bertiga beradik tersandar kekenyangan.

Kemudian Abang dan Ngah menyambung aktiviti mereka dengan memasang tali pada layang-layang
satu yang dikongsi berdua itu. Aku mengikut sahaja apabila mereka berdua mula berjalan menuju
ke sebuah kawasan lapang yang sudah dipenuhi dengan kanak-kanak yang masing-masing sudah
mendahului kami menaikkan layang-layang mereka. Ngah cepat memegang layang-layang itu dan
berlari membawanya ke tengah padang sementara Abang pula melepaskan tali perlahan-lahan dari
gelungan bekas tin susu yang telah dibuang kertas pembalutnya. Pergh! Hebat....dengan sekali
percubaan sahaja layang-layang Abang dan Ngah telah terbang tinggi.


Kelihatan bersepah-sepah layang-layang di dada langit...bermacam bentuk dan rupa serta berbagai
warna. Memang cantik. Aku sama menunggu di situ memerhati sesekali membaca gerak Abang
menarik dan melepaskan tali. Abang dan Ngah kelihatan sangat gembira dengan percubaan mereka.

Namun apa yang masih ku musykilkan....apa kena mengena melurutkan bancuhan kaca dan kanji ke
tali layang-layang itu masih belum ku tanyakan. Sebentar kemudian ku lihat...layang-layang yang
mendekati layang-layang Abang telah terputus talinya dan melayang ringan tanpa arah. Seorang anak
China kenalan Abang telah menjerit dengan memaki hamun dalam bahasanya. Abang dan Ngah hanya
senyum memandang. Kawan China Abang yang terputus tali layang-layang tadi datang lagi
dengan membawa beberapa bungkusan yang macam amat ku kenali dan menyerahkan kepada Abang.

Malam itu kami berdedai meraikan kemenangan ke pentas kayu yang berupa panggung terletak dalam
100 meter jauhnya di seberang sungai berhadapan dengan Tokong Besar untuk menonton Opera
China dengan bekalan kuaci hitam cap helang.

Apa yang hendak ku sampaikan di sini adalah mengenai perbezaan aktiviti yang dijalankan oleh kami
dengan anak-anak zaman sekarang. Kebebasan kami tidak terbatas. Tidak ada kes penculikan dan
lain kes jenayah melampau kerana pemikiran orang dahulu yang boleh diibaratkan masih kuno itu
tidak pula melampaui batas berbanding sekarang yang telah tersangat maju sehingga jenayah yang
dirancang itu tidak terlintas di fikiran kita boleh berlaku.

Kisah ini ku bangkitkan apabila melihat anak-anak jiran yang hanya dapat bermain di dalam kawasan
perkarangan rumah seluas sekangkang kera yang harus dikongsi bersama tiga beradik di musim cuti
sekolah ini. Kasihannya mereka...sekurang-kurangnya anak-anak aku dahulu dapat bergerak bebas
di kawasan kediaman kami semasa bapa mereka masih bertugas dengan syarikat perladangan...
walaupun tinggal jauh terpinggir dari masyarakat.

Tidak banyak beza dengan masyarakat di kawasan taman perumahan ini kerana rata-rata ibu dan
bapa mereka bekerja dan mereka tinggal dengan pembantu rumah yang sudah pasti tidak akan
membenarkan anak majikan mereka merayau sesuka hati. Mereka juga tidak ramai kenalan
selain di sekolah dan saudara mara terdekat sahaja.

Anak-anak lelaki ku banyak berpesan ketika meninggalkan aku sendirian di rumah di sini setelah
pemergian bapanya.............

"Kalau ada orang tekan loceng tu....mama tengok dulu siapa...jangan terus nak bukak aje."

Mereka tahu aku ramah orangnya...tak kira bangsa...habis semua ku tegur. Tapi di sini orang
ambil kesempatan pula.

Aku tahu kalian semua faham apa yang cuba hendak ku sampaikan di sini. Jika ku teruskan akan
memakan masa dan ruang. Maka dengan yang demikian....'lu fikir la sendiri'!

Junie Octovian: We make our FORTUNES and we call them FATE.....by Earl of Beaconsfield.



No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...