December 15, 2011

Harimau Jadian (ii)......

Hi peeps!

N3 ni sambungan daripada kisah yang tergendala kerana telah ku berikan laluan untuk segment
Wordless Wednesday dengan model tetap Cik Hana Sofya Firdaous.

Okeh...tanpa membuang banyak masa...kita sambung kisahnya.............

Selepas adik ayah dan keluarganya pulang malam itu, aku terpaksa menyambung kerja sekolah yang terbengkalai. Hari sudah agak lewat, masing-masing sudah masuk bilik mencari bantal. Namun aku
harus menyiapkan tugasan yang akan dihantar pada keesokan pagi di sekolah.

"Nanti nak tidur jangan lupa tutup lampu-lampu," pesan ayah sebelum dia masuk ke biliknya.

Aku yang masih tekun menghadap kerja sekolah itu hanya mengangguk. Seketika hanya kedengaran
bunyi kesak kesik kertas buku latihan yang ku selak. Penat menekur, aku menyandar merehatkan
tulang belakang. Kerusi tempat duduk ku rapatkan ke dinding untuk mengelak diri dari tabiat duduk
sambil menjongketkan kerusi.

Tiba-tiba aku terdengar seperti bunyi cakaran sepanjang papan dinding yang dibina melintang itu
rapat di telingaku.



Siapa pulak yang nak bergurau tak kena masa ni? Aku bermonolog sendiri kerana sangkaku si Zainal
anak Mak Mah tu yang empunya kerja kerana dia
memang rajin pulang jauh malam cuba menakutkan aku. Namun aku tak ambil peduli...biarkan!

Kemudian aku terfikir sendiri....kenapa si Zainal ni
beria-ia nak menakutkan aku dengan mencakar
dinding? Macam tak masuk akal aje sebab rumah
kampung yang bertiang itu sudah separas pinggang,
ditambah dengan ketinggian tempat dia mencakar itu separas bahu aku ketika sedang duduk. Kalau
benar pun tentu dia akan mencakar gaya menegak sahaja....mengapa harus bersusah-susah mengikut
gaya melintang? Lagipun mana dia tahu aku ada di
situ sedang membuat kerja sekolah?

Penat berfikir, aku menyambung kerjaku lagi tapi aku
sudah mengalihkan kerusi ke tengah pula. Kini,
bunyi cakaran itu di lantai pula. Bermakna si pelaku merangkak masuk ke bawah rumah sambil
berbaring terlentang dan mencakar papan lantai rumah. Kenapa dia harus bersusah payah melakukan
kerja yang tidak berfaedah itu?

Hendak aje aku curahkan air panas menerusi lubang-lubang lantai itu, tapi bimbang kalau betul si Zainal
anak Mak Mah itu karang mau sopak badannya. Aku yang memang tidak menyangka yang bukan-
bukan itu masih tidak mempedulikan keadaan. Daripada bersila di atas kerusi tadi, aku bersila terus
di atas meja. Hah...ambik kau!

Setelah tidak dipedulikan....kini ia beralih ke pintu besar depan rumah. Ia langsung tidak mengetuk
malah terus menggegar pintu besar itu. Aku hanya duduk memerhati. Pintu yang digegar kuat itu seakan
mahu rebah dibuatnya.



Yang menghairankan itu, mengapa emak dan ayah tidak langsung tersedar akan kejadian yang berlaku?

Mengapa hanya aku seorang sahaja yang mengalami kejadian itu. Aku mula merasa takut kerana pada hemahku kali ini memang bukan si Zainal anak Mak Mah. Tidak takutkah dia pada emak dan ayahku jika mereka tersedar dari tidurnya?

Dari cara pintu itu digegar juga menolak sangkaan aku bahawa si pelakunya anak Mak Mah. Aku membayangkan sesorang yang bertubuh sasa dan gagah. Siapakah? Tanpa membuang masa, aku cepat mematikan lampu dan menapak lekas masuk ke bilik. Kerja-kerja sekolah, ku biarkan setelah merasa ketakutan. Aku menarik selimut menutupi seluruh badan. Mataku terus terpejam dalam kegelapan malam.

Pengalaman malam itu aku simpan sendiri kerana tiada seorang pun yang membuka cerita tentang
kejadian itu pada keesokan harinya di meja sarapan. Emak pun nampak relaks aje tidak bertanya
apa-apa.

Namun...sewaktu minum petang, emak dan ayah rancak bercerita tentang seorang nenek
yang hilang dari rumah anaknya. Anaknya memberitahu bahawa emaknya ada memakai ilmu dan dia
sedang berusaha untuk mencari orang yang pandai untuk membuangnya kerana bimbang emaknya
akan mengalami keadaan yang susah apabila hendak menghembuskan nafas terakhirnya.

Cerita ayah, anaknya tidak mahu menerima ilmu yang mahu diturunkan oleh si ibu. Itu sebab ibunya
tidak betah dikurung di rumah.

Aku di ruang tengah rumah hanya memasang telinga sambil membuat kerja sekolah sementara hari
cerah. Aku sudah serik menangguhkan kerja dan terpaksa membuat kerja sendirian di waktu tengah
malam setelah mengalami kejadian yang pelik benar pada pendapatku. Namun aku masih belum mahu
bercerita dengan sesiapa.

Kalau dari cerita ayah mengenai orang yang dimaksudkan itu, bukanlah besar sangat. Nenek yang
dimaksudkan itu bertubuh kecil sahaja tetapi sedikit bongkok bila berjalan.

Kisah nenek itu terkubur begitu sahaja setelah berpuluh tahun lamanya. Tiada siapa yang tahu...tidak juga ayah sehingga dia menutup mata. Kisah ini hanya ku bangkitkan setelah menonton filem 'Waris Jari Hantu'. Aku terasa kisah itu bertepatan dengan apa yang ku alami ketika itu.

Ah! Aku mengurut dada mengucap syukur kerana terselamat dari menjadi mangsa. Dia ada cadangan nak 'pass'  pada aku ke? Isy! Nauzubillah.




Junie Octovian: "Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadat kepada Ku.
Aku tidak menghendaki rezeki sedikit pun dari mereka dan Aku tidak menghendaki agar memberi 
makan kepada Ku." (Surah az-Zarriyat ~ ayat 56-57)

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...