September 27, 2012

Hibernasi..

Greetings to all......

Tak ada apa yang menarik hendak dikongsikan bersama dalam minggu ini kerana kami terpaksa berperap di dalam rumah sahaja akibat sudah sampai musim hujan.

Aku masih dengan tugas menulis selagi idea untuk menulis cerita itu ada. Adik sibuk dengan assignment yang perlu dihantar pada Jumaat nanti. Sepatutnya minggu ini sudah masuk 'study week' kerana peperiksaan semesternya akan berlangsung pada minggu hadapan.

Kakak dah puas enjoy di Korea, jadi hatinya sudah senang kerana dapat juga akhirnya dia melancong ke sana bersama teman-teman seangkatan.



Kakak di Seoul Korea........

Cuma si Adik lagi yang belum hendak ke mana-mana kerana masih sibuk menumpukan perhatian pada pelajarannya.

"Law ni banyak nak kena bacalah ma," rungut si Adik.

"Baca ajelah..siapa yang nak marah? Bukan ada adik kecik yang nak kena jaga pun. (Anak saudara yang sorang tu pun datang sekali tak sekala...yang sorang lagi dah tentu payah nak jumpa) Adik nak tukar course ke?" Aku tanya dia yang muka macam berarak mendung kelabu itu.


Hana

"Buat apa? Membazir masa aje," jawabnya sambil berguling-guling depan TV dengan buku Legal System, Law of Contract dan Principal of Account memenuhi ambal seluas 6' x 8' yang berwarna merah itu.

"Tau tak pe..." kataku padanya yang dulu tu memang tidak minat membaca. Kerja-kerja penulisan ku pun dia tidak peduli hendak membacanya. Sedangkan anak-anak saudaraku yang datang bercuti ke mari sibuk mahu membaca di kala masih lagi percuma selagi belum dicetak untuk dijadikan novel.

"Lepas exam ni...pergilah bercuti ke USS ke...Legoland ke..." ku pelawa dia.

"Adik nak pergi Jepun la....."



Oh my....banyak-banyak tempat di Malaysia yang belum dijelajahi, dia pilih untuk ke Jepun? Rupanya dia tersampuk dek rancangan Zizan Raja Lawak yang ke Jepun baru-baru ini. Ish...ish...ish....



Maryam & the grandmas.....
Teringat arwah emak...pantang betul bila ada cucu-cucunya sukakan negara yang pernah menjajah Tanah Melayu semasa usia remajanya. Tidak seperti cucu-cucunya yang bebas ke sana ke mari di dalam negara Malaysia yang sudah aman ini. Emak tidak berpeluang merasai kebebasan itu kerana masih dicengkam dengan adat resam orang dulu-dulu yang tidak membenarkan anak gadis keluar bersekolah. Kesian emak tidak dapat merasai kesenangan dan kemudahan seperti yang diperolehi anak cucu yang ditinggalkan. Semoga emak mendapat tempias dari kebaikan yang dilakukan oleh anak cucunya di di dunia ini. Aamiin!



Junie Octovian: Jauh berjalan, luas pemandangan dan bertambah ilmu pengetahuan.





September 23, 2012

Diam-diam ubi...

Greetings to all.....

Lama tak bersiaran kerana musim perayaan ini memerlukan sedikit pengorbanan tenaga dan masa untuk melayan tetamu yang datang dan juga tidak ketinggalan menghadirkan diri ke majlis jemputan perkahwinan.

Kini masa sudah kembali seperti sediakala. Aku ditinggalkan sendirian kerana begitulah lumrah alam. Dalam pada itu aku sempat menyiapkan dua buah novel yang tertangguh sejak tahun 2010 sekali gus. Terpulanglah kepada editor itu nanti bagaimana penerimaannya.





Baby Maryam akan kembali ke Brisbane tidak lama lagi. Aku sempatlah membelanya beberapa hari semasa dalam pantang. Dia banyak dijaga oleh ninda sebelah ibunya di Cheras. Nama aje tinggal sama dalam Selangor, tapi nak berulang alik jauh juga. Jadi aku tidaklah dapat berulit sangat dengan dia macam dengan Hana dulu. Mudah-mudahan dia akan terus sihat sejahtera walau telah bertukar cuaca nanti.



Entah bila dapat berjumpa lagi dengannya. Semasa ziarah dia dalam bulan Syawal tu, badannya sudah mula berisi. Pipinya macam diisi dengan telur. Kepala yang dicukur botak dulu, sudah mula menghitam. Masih kenalkah lagi dia dengan ku nanti?


Jika ada tambang murah dari perkhidmatan Air-Asia, insya-Allah, perkara itu boleh dirundingkan cuma masa sahaja yang bakal menentukan.


Kini masa untuk memantapkan kesihatan yang sudah lama berperam di dalam rumah. Aku mulai dengan berjalan mengelilingi tasik di Western Park beberapa pagi dahulu dan ditambah pusingan itu sedikit jauh dan semakin jauh lagi. Entah mengapa tidak terasa penat pula walau peluh sudah membasahi baju.


Kadang-kadang rasa beruntung bila cuaca redup terus seharian dan kadang-kadang pula tidak berpeluang untuk keluar pagi malah sehingga ke petang juga kerana hujan yang rajin turun membasahi bumi Setia Alam ini.

Semalam Angah Whatsapp aku, "Apa cerita hari ni?"

"X de apa pun. Sini dah mula hujan.....melengkar tengok TV aje la...."
Kebetulan Astro baik hati, kami dapat menonton semua channel free sepanjang hari. Pada hari Sabtu yang kebetulan hujan itu, aku menghadap satu-satu channel yang menayangkan movie yang menarik.

Kemudian angah balas, "Sama la tgk TV jer ni.
                                       Esok pukul 8 nak cycling tepi Brisbane river."

"Ok la tu...mama pun nak ronda sampai keliling Tesco...jauh sikit."

"Kalau x de laluan pedestrian  x yah pergi, Malaysia bahaya sikit tepi jalan tu."

"Ada la...yg bersimen tepi2 jln tu. Mudah2an tak hujan esok."

Yang sulong pulak kalau bertelefon sibuk menanya, "Ada exercise hari ni?"

Ececeh! Macam dia di Seri Hijauan itu pun rajin sangat nak berexercise. Padahal ada je swimming pool disediakan kalau nak berkuak lentang atau nak jadi badak berendam. Ada juga tennis court untuk melompat melenting dan melibas untuk melepaskan geram.  Hisy! Saja nak bina badan....



...by Brisbane River...


Angah dah hantar gambar berbasikal di tepian Sungai Brisbane. Untung la!
Aik? mana angahnya? tinggal basikal aje?

....manakala aku hanya mampu mengelilingi Tesco sahaja....kihkihkih




...Tesco Setia Alam...


Tak apalah...yang penting exercise ikut stamina. Budak muda pergilah cycling ke...mountain climbing ke... asalkan ada usaha untuk keluar beriadah pada pagi yang bercuaca cerah. Pepatah ada mengatakan 'Cegah Sebelum Parah'....kalau kita dah cuba cegah pun...nak terkena juga, itu takdir namanya. Wallahualam.

Junie Octovian: You must remain focused on your journey to success!

                                      


September 3, 2012

Riang Ria Raya...

Hi peeps!

Sepatutnya ada N3 sambungan untuk Salam Lebaran 1433 Hijrah...tapi aku masukkan N3 lain. Semalam ku tonton Ke manakah Hilangnya Juwita, kebetulan nama dan ejaan itu serupa benar dengan nama Uda dan sementara kisah itu masih berlegar di ruang minda, ku catatkan terus dan dijadikan N3. Kalau Uda senang nanti, bacalah.......

Ku sambung terus kisah raya setelah pulang ke kediaman masing-masing. 

"Ek...eh...kita tak ada gambar keluargalah..."

Baru perasan dah cukup korum ni, tak bergambar pulak.

Nah amekaw!

Cepat si Angah menyiapkan kaki tripod di seberang jalan. Nak bergambar dalam rumah tak cukup cahaya, nanti ada yang tak jelas rupa.

"Tutup gate, tutup gate," jerit si Angah dari seberang jalan.

Ingatkan hendak ke mana atau mungkin hendak bergambar di studio kedai gambar tu, rupa-rupanya dia dah siap set baik punyer!

"Ada lima saat selepas lampu merah tu, buatlah gaya apa pun...." beritahu Angah. Sempat dia bergaya macam-macam dah rupa "Oppa Gangnam Style". Kalau suruh menari di situ dan dirakam tentu dia mahu. Bukan reti malu dia sorang tu. [gambar-gambar tersebut tidak ku selitkan di N3 ini]


Bersama si kecil Maryam...

Gambar ini dirakam pada hari Sabtu, 25 Ogos dan Angah terbang pulang ke Brisbane pada hari Ahad 26 Ogos. Entah tahun bila baru dapat berjumpa lagi...harapkan skype je la....


Bersama penghuni tetap Impian 4....


Keluarga asal....


Keluarga yang sudah berkembang maju....hehehe


& Tuan tanah....


Jika panjang umur, dapat kita bertemu lagi di Ramadhan dan Syawal tahun hadapan. Maaf jika ada membuat kesilapan, tutur kata yang kurang menyenangkan.

Tidak lupa aku ingin mengucapkan Salam Selamat Hariraya kepada pengunjung blog ini, kepada yang sudi membaca kisah perjalanan hidupku di dalam membesarkan anak-anak, mengharung kehidupan sehingga saat ini entah berapa negeri telah ku jelajahi. Ternyata, orang yang dikenali, jiran tetangga semuanya baik-baik belaka.

Junie Octovian: Allah says: Just remember me, I'll give you everything.


September 2, 2012

Zaman muda...

Hi peeps!

Lama betul tidak bersiaran. Aku sebenarnya ada aje berita untuk dikongsi, tapi tak berkesempatan untuk meng'update'nya. Semasa berada di Kluang dulu, payah pula nak dapat line internetnya. Mungkin disuruh bercuti sakan, barangkali.

Tetapi malam ini tiba-tiba aku teingatkan kisah aku dan Uda semasa sama-sama remaja dahulu. Walau usia aku dan Uda berjarak 4 tahun lamanya, namun kami sempat membesar bersama, berkongsi cerita remaja dan mengadu apa sahaja.

Kisah ini terungkit bila ku baca blog Liesa Azemi, anak saudaraku, anak kepada adik perempuanku yang usianya berjarak 8 tahun denganku. Gilalah...hampir aku menjadi anak bongsu masa tu. LOL!

Menurut Liesa, keluarga kami ada genetik suka bergurau, ketawa tahap gaban sampai boleh menggegarkan bangunan mengalahkan gerak gempa yang berukuran 8.0 di skala Richter. Lepas itu berlakulah tsunami bila kisah yang terungkit itu kisah orang yang sudah tiada. Masing-masing merembeskan air mata, jika ditadah mau bertempayan banyaknya.

Emak marah betul satu malam itu...dia yang terpisah hanya di bilik sebelah terdengar gelak sakan aku dan Uda yang tidak dapat hendak disimpan di dada. Tersembur gelak itu keluar memecah keheningan malam yang membuatkan tidur lena Emak terganggu. Hati bagai dicolek-colek entah mengapa. Padahal hanya cerita biasa-biasa sahaja asalnya...terus jadi merepek meraban bermula dari KALAU.

Petang itu....


versi gelak guling-guling


Aku yang pulang dari sekolah sesi petang terkejut melihat Uda berbaring di bilik dengan shower cap dibungkus di mukanya. Sepatutnya shower cap itu diguna untuk membungkus rambut ketika mandi.

"Kenapa Uda?" tanyaku ingin tahu.

"Nak kecikkan muka," jawab Uda sambil menyelak sedikit shower cap yang menutup di bahagian mulutnya.

Masa itu belum terasa gelihati lagi malah terasa sangat pelik pula. Ada ke nak kecikkan muka? Bukan badan ke yang harus dikecikkan?

Uda yang mula meningkat usia remaja ketika itu mencuba pelbagai cara untuk mengecilkan badannya yang berisi. Muka pula tembam macam ada buah tomato di kiri dan kanan pipi. Kalau masa baby memang akan dipandang comel, tetapi di usia meningkat remaja ni, habis jadi usikan pula.

"Betul ke shower cap tu boleh mengecilkan muka?" 

"Ni kan macam dalam sauna....tentulah berkesan."

Lepas itu Uda asyik bertanya kalau-kalau pipinya sudah nampak slim sikit. Aku hanya mengiakan sahaja. Jika cara yang digunakan Uda itu berkesan, bermakna boleh juga digunakan di bahagian-bahagian mana badan, kan?

Malam itu sebelum tidur, tajuk utama perbualan masih berkisar tentang cara Uda mengecilkan muka.

Kalau nak kecikkan paha harus dibungkus kedua-dua paha, jika tidak nanti besar sebelah. Begitu juga bahagian badan yang berpasangan, harus dilakukan kedua-duanya sekali. Bermula dari situlah hati kami bagai dicolek-colek untuk ketawa terus. Membayangkan bahagian-bahagian yang tidak sepatutnya dibungkus. Isy!!

Sedar-sedar esok paginya sewaktu Emak mengejut Uda untuk bangun ke sekolah, katil kami telah runtuh di bahagian hujung kepala. Bermakna sepanjang malam itu kami tidur menonggeng ke bawah tanpa sedar dek penat ketawa sepanjang malam.

Patutlah Emak marah sangat....ada sahaja yang hendak dijadikan cerita.

Selepas Uda mendirikan rumahtangga, aku tinggal sendirian di bilik itu. Tidak ada lagi gelak sakan, tiada kawan untuk berbual sehingga larut malam.

Sehingga hari ini, masa bahagia itu sudah tidak terjumpa lagi. Uda pula jika pulang hanya cecah-cecah punggung sahaja bak kata Emak, macam sibu-sibu basuh berak.

Kenangan itu aku abadikan di blog ini untuk tatapan. Semoga kalian yang membaca dapat mengambil inisiatif untuk mengeratkan silaturahim diantara keluarga selagi hayat masih ada. Wallahualam.

Junie Octovian: Setiap kali kita berbuat baik pada saudara mara, roh ayah dan mak kita dirahmati. Bersyukur apabila dapat menyambung silaturrahim. ~ pesan Prof Dr. Muhaya ~





September 1, 2012

The New Edition...

As-salam to all.........

The title sounds like I'm having a new car for Hariraya, aite? Hehehe..
Bukanlah...aku sebenarnya telah dianugerahkan dengan seorang lagi cucu perempuan yang lahir tanggal 1Ramadhan bersamaan 21 Julai, 2012.

Maryam Mohd Fairouz


Cucu kini berada di rumah nenek sebelah mummynya di Cheras sehingga habis waktu berpantang sebelum pulang ke Brisbane Australia.

Aku?

Sempatlah menjaga untuk beberapa hari kerana sibuk dengan urusan menyiapkan tempahan biskut raya dan telah berjanji untuk pulang beraya di Johor tahun ini.
Jika tidak berjanji harus juga aku berhariraya di sini sahaja memandangkan pada tahun ini dua orang anak lelaki yang sudah berumahtangga itu kebetulan beraya bersama.

Berlalulah sudah Ramadhan...sebulan berpuasa. Syawal juga sudah mula hendak mengundurkan diri. Lihatlah betapa cepatnya masa berlalu. Anak-anak sudah kembali ke tempat masing-masing dan pagi ini aku menekur di meja makan merenung masa depan. Terasa-rasa macam hendak mengadu, bertelefon dengan Emak macam selalu....tetapi apakan daya....Emak sudah pergi buat selamanya. Hendak ku ceritakan pada Emak bahawa kami adik beradik telah menunaikan janji pulang sehari lebih awal dan menziarah pusara Emak beramai-ramai.

Hendak ku tunjukkan padanya cicit yang dinanti, bagaimanakah rupanya, siapakah namanya?

Emak memang suka dengan sambutan Hariraya. Dia suka melihat anak-anakku yang bertungkus lumus membersihkan rumah dan laman setiap kali menyambut kedatangan Syawal. Aku yang sibuk dengan tempahan biskut raya itu juga sambil-sambil menjahit langsir dan sekali gus memanjat dan memasangnya terus.


Kerjasama dari Abg Long & Angah ini sudah bermula sejak mereka kecil lagi...

Angah yang bercuti sebulan telah pun pulang ke Australia untuk meneruskan pengajiannya. Hari ini si Kakak pula akan ke Seoul Korea. Dari malam tadi sibuk mengemas kain baju dan barang-barang keperluannya.

"Bawaklah Maggie tu, kalau malam-malam lapar rendam je dengan air panas," arahku.

"Kalau bawak Maggie, kena bawak mangkuklah. Kalau tak nak rendam dekat mana?" katanya pula.

"Sachet 3 in 1 tu pun bawak...jajan-jajan hamper tu isi je dalam beg. Mesti lapar je kalau dah tak puasa ni," tambahku mengingatkan.

Risau juga mengingatkan si Kakak yang belum pernah bergerak sendiri. Selalunya kami akan pergi sekeluarga, bimbang kelam kabut nanti dia tertinggal barang itu dan ini.


Kakak bersama grup peminat K-Pop... di Seoul Garden, One Utama........


Kakak bersama Zaki dari 8TV....

Di Putrajaya menonton persembahan Super Junior....

Kakak peminat K-pop nombor satu. Setiap ada sahaja kumpulan Super Junior tu datang ke Malaysia, berusaha dia bercuti untuk menonton persembahan mereka.

"Jangan fanatik sangat kak," aku mengingatkan. "Kita berhabis duit, dia orang kaya-raya," aku mengingatkan.

Sampai juga hajatnya hendak ke Korea. Aku sama menghantarnya ke LCCT untuk penerbangan jam 1.00 pagi 1 September 2012. Berbagai-bagai perkara aku ingatkan padanya.

"Kamera, henset semua jaga baik-baik kak, kalau hilang tu macam mana nak berhubung?"

Dulu akak pernah hilang kamera semasa kami bercuti ke Penang. Puas bergambar, akhirnya tiada kenangan yang dapat ditatap.

Semoga akak gembira  dan berpuas hati dengan percutiannya kali ini sempena menyambut ulangtahunnya pada 29 Ogos yang lalu. Dalam kesibukan berhariraya, ulangtahunnya tidak sempat hendak dirai. Harap kakak mengerti.

Junie Octovian: Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri...untuk jawapannya..."Lu pikirlah sendiri!"


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...