September 2, 2012

Zaman muda...

Hi peeps!

Lama betul tidak bersiaran. Aku sebenarnya ada aje berita untuk dikongsi, tapi tak berkesempatan untuk meng'update'nya. Semasa berada di Kluang dulu, payah pula nak dapat line internetnya. Mungkin disuruh bercuti sakan, barangkali.

Tetapi malam ini tiba-tiba aku teingatkan kisah aku dan Uda semasa sama-sama remaja dahulu. Walau usia aku dan Uda berjarak 4 tahun lamanya, namun kami sempat membesar bersama, berkongsi cerita remaja dan mengadu apa sahaja.

Kisah ini terungkit bila ku baca blog Liesa Azemi, anak saudaraku, anak kepada adik perempuanku yang usianya berjarak 8 tahun denganku. Gilalah...hampir aku menjadi anak bongsu masa tu. LOL!

Menurut Liesa, keluarga kami ada genetik suka bergurau, ketawa tahap gaban sampai boleh menggegarkan bangunan mengalahkan gerak gempa yang berukuran 8.0 di skala Richter. Lepas itu berlakulah tsunami bila kisah yang terungkit itu kisah orang yang sudah tiada. Masing-masing merembeskan air mata, jika ditadah mau bertempayan banyaknya.

Emak marah betul satu malam itu...dia yang terpisah hanya di bilik sebelah terdengar gelak sakan aku dan Uda yang tidak dapat hendak disimpan di dada. Tersembur gelak itu keluar memecah keheningan malam yang membuatkan tidur lena Emak terganggu. Hati bagai dicolek-colek entah mengapa. Padahal hanya cerita biasa-biasa sahaja asalnya...terus jadi merepek meraban bermula dari KALAU.

Petang itu....


versi gelak guling-guling


Aku yang pulang dari sekolah sesi petang terkejut melihat Uda berbaring di bilik dengan shower cap dibungkus di mukanya. Sepatutnya shower cap itu diguna untuk membungkus rambut ketika mandi.

"Kenapa Uda?" tanyaku ingin tahu.

"Nak kecikkan muka," jawab Uda sambil menyelak sedikit shower cap yang menutup di bahagian mulutnya.

Masa itu belum terasa gelihati lagi malah terasa sangat pelik pula. Ada ke nak kecikkan muka? Bukan badan ke yang harus dikecikkan?

Uda yang mula meningkat usia remaja ketika itu mencuba pelbagai cara untuk mengecilkan badannya yang berisi. Muka pula tembam macam ada buah tomato di kiri dan kanan pipi. Kalau masa baby memang akan dipandang comel, tetapi di usia meningkat remaja ni, habis jadi usikan pula.

"Betul ke shower cap tu boleh mengecilkan muka?" 

"Ni kan macam dalam sauna....tentulah berkesan."

Lepas itu Uda asyik bertanya kalau-kalau pipinya sudah nampak slim sikit. Aku hanya mengiakan sahaja. Jika cara yang digunakan Uda itu berkesan, bermakna boleh juga digunakan di bahagian-bahagian mana badan, kan?

Malam itu sebelum tidur, tajuk utama perbualan masih berkisar tentang cara Uda mengecilkan muka.

Kalau nak kecikkan paha harus dibungkus kedua-dua paha, jika tidak nanti besar sebelah. Begitu juga bahagian badan yang berpasangan, harus dilakukan kedua-duanya sekali. Bermula dari situlah hati kami bagai dicolek-colek untuk ketawa terus. Membayangkan bahagian-bahagian yang tidak sepatutnya dibungkus. Isy!!

Sedar-sedar esok paginya sewaktu Emak mengejut Uda untuk bangun ke sekolah, katil kami telah runtuh di bahagian hujung kepala. Bermakna sepanjang malam itu kami tidur menonggeng ke bawah tanpa sedar dek penat ketawa sepanjang malam.

Patutlah Emak marah sangat....ada sahaja yang hendak dijadikan cerita.

Selepas Uda mendirikan rumahtangga, aku tinggal sendirian di bilik itu. Tidak ada lagi gelak sakan, tiada kawan untuk berbual sehingga larut malam.

Sehingga hari ini, masa bahagia itu sudah tidak terjumpa lagi. Uda pula jika pulang hanya cecah-cecah punggung sahaja bak kata Emak, macam sibu-sibu basuh berak.

Kenangan itu aku abadikan di blog ini untuk tatapan. Semoga kalian yang membaca dapat mengambil inisiatif untuk mengeratkan silaturahim diantara keluarga selagi hayat masih ada. Wallahualam.

Junie Octovian: Setiap kali kita berbuat baik pada saudara mara, roh ayah dan mak kita dirahmati. Bersyukur apabila dapat menyambung silaturrahim. ~ pesan Prof Dr. Muhaya ~





No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...