October 31, 2012

Betul ke UFO tu?


Aku melalui kilang Guocera untuk pulang ke rumah malam itu, bila tiba-tiba di kegelapan malam itu aku nampak objek yang menyerupai piring terbang. Objek itu berputar laju di tempatnya macam globe tapi leper. Yeay! aku nampak piring terbang! Aku bersorak dalam hati. Objek itu seperti menyuluh dan menunggu menerangi jalan malam gelapku  itu. Cuma seminit....aku memang pasti cuma seminit sahaja dia di situ dan kemudian dia terus bergerak laju meninggalkan aku terpinga-pinga di dalam kereta mencari kelibatnya.

Mulut aku bagai dikunci tidak bercerita dengan sesiapa tentang kejadian itu. Siapa nak percaya kalau aku cakap aku pernah nampak UFO kan? Aku simpan sorang-sorang kenangan itu sehingga aku bertemu lagi dengan objek itu beberapa tahun kemudian dalam perjalanan pulang ke rumah dari bandar Taiping ke Bagan Serai. Di kesunyian malam itu tiada siapa yang hendak ku kongsikan cerita dan tiada pula kereta yang berhenti di tepi jalan beramai-ramai mahu menyaksikannya...kerana di dada jalan ketika itu cuma aku sahaja yang membawa kereta bak orang putus cinta, lembabnya tahap kura-kura akibat dek jalan yang gelap gelita.

Jika ada kemalangan, haruslah jalan yang sunyi tadi tiba-tiba menjadi sesak pula bak kata Harith Iskandar dalam siri 'Lawak ke Der'nya di Istana Budaya. Masing-masing ingin tahu siapa yang terlibat dan bagaimana kejadian itu boleh berlaku. Semua orang mahu jadi CSI, kata Harith mengajuk sikap rakyat Malaysia yang prihatin itu.

Walau apapun, aku simpan itu sebagai kenangan terindah yang pernah Allah tunjukkan padaku. Biarlah apa orang akan kata selepas ini, namun aku bukannya buta dan bodoh sangat untuk tidak mengenali apa yang ku lihat ketika itu.

Semalam kami ke Setia City Mall dengan harapan mahu menonton SINISTER kerana 007 - SKYFALL itu hanya akan ditayangkan pada tanggal 1 November. Di dalam perjalanan ke sana, hujan turun dengan lebatnya, mujur mataku masih awas lagi memandu di dalam cuaca begitu. Alhamdulillah!

"Ma ingat tak masa kita di Layang-Layang dulu, Land Rover kita sangkut dalam lumpur semasa hujan lebat?" si Kakak bertanya mengingatkan insiden yang berlaku lama dulu semasa aku mahu menghantar dia dan Angah yang bersekolah sebelah petang.

"Oo...kisah yang tu ke?" Entah! Tak tahu nak cerita dengan orang bagaimana sebab ianya berlaku cepat sangat dan yang membantu aku menarik Land Rover itu dari dalam lumpur pun aku tak dapat melihat wajahnya. Mereka datang seolah satu angkatan yang besar dan gagah sahaja gamaknya. Lepas membantu mereka hilang begitu sahaja dari pandangan. Mahukah orang percaya dengan ceritaku itu?

"Anggap ajelah Allah datangkan Malaikat untuk membantu kita," jawabku mematikan cerita. Memang aku tak pernah ceritakan kisah itu walau dengan suamiku yang waktu itu dia out-station ke Melaka. 

Tidak ada gambaran yang serupa hendak dibuat contoh dan tidak juga tahu hendak diceritakan bagaimana. Pelik tetapi benar. Hanya Allah sahaja yang tahu apa yang cuba DIA sampaikan padaku.

Sampai di City Mall, Adik tidak mahu menonton, dia masih mahu menunggu SKYFALL, jadi kami ronda-ronda masuk MPH. Seperti biasa kalau di situ, aku ke bahagian novel Melayu...siapa lagi yang melariskan novel Melayu kalau bukan orang Melayu itu sendiri, kan? Nampak gaya novel tulisanku tiada di pasaran MPH Setia City Mall. Tak apalah...nak buat macam mana, dah bukan rezeki. Anakku sendiri pun tak minat nak baca novel Melayu macam mana aku nak suruh orang lain berbuat begitu?

"Tengok!" Aku tunjuk pada Kakak sebuah novel Inggeris yang tertulis di muka depan jualan terhasil sebanyak 11 juta naskah worldwide. "Kaya gila omputih ni. Kalaulah penulis novel di Malaysia ni dapat sambutan satu dunia macam tu kan bagus?" 

Sudahlah di Malaysia ni orangnya tidak minat membaca, yang sama Melayu pun kutuk bagai nak rak novel Melayu. Kliselah katanya...itulah...inilah... cer tengok sini.?!!

Sedih betul baca blog budak ni yang mengutuk habis-habisan penulis novel Melayu. Tak apalah dia tak nak baca, tak nak beli....tak payahlah nak kutuk-kutuk, kan? Kalau emak dia yang jadi salah sorang dari novelis tu macam mana?

Tahukah dia bahawa si penulis itu tadi direject manuskripnya beberapa kali sebelum diterima mengikut piawaian yang ditetapkan? Tahukah dia terma dan syarat yang diperlukan?

Tapi tak apalah...dah begitu cara dia berfikir dan begitu juga kehendaknya. Haruslah dia menulis menghasilkan sebagaimana yang diingininya. Tunjukkan pada kami penulis novel Melayu ini bahawa anda mampu menulis lebih baik dari kami. Aku hendak juga membaca kelainan pada hasil tulisannya nanti.

Tapi aku rasa dia baca jugalah beberapa novel cinta yang akhirnya memberikan dia kesimpulan untuk menyatakan pendapatnya. Hehehe...

Junie Octovian: Hanya kerana setitik nila, rosak susu sebelanga!





October 22, 2012

Hari lahir!

Aku mengucap syukur pagi ini apabila ku buka mata dan menyedari aku masih ada di dunia nyata untuk meraikan hari kelahiranku pada hari ini tanggal 22 haribulan Oktober........

Uda dah call semalam, "...esok kan?" soal Uda yang memang belum pernah lupa dengan tarikh lahir adiknya ini.

Hatiku tercuit rasa sedih, namun kesedihan itu ku letakkan ke tepi dulu kerana mahu berborak bertanya khabar dia yang jarang ku temui itu.

"....Uda wish dulu...esok takut sibuk-sibuk lupa pulak," tambah Uda lagi. Kedengaran riuh rendah suara latar yang masuk sama ke corong hensetku itu.

Anak sulongku pula entah dah berapa kali asyik belanja makan dalam bulan ini. Tarikh yang jatuh pada hari Isnin itu tidak memungkinkan kami meraikan pada tepat masanya.

"Tak apa..." kataku padanya. "...asalkan masih ada dalam ingatan, cukuplah!"

Angah yang berada di seberang lautan, sudah pun mengirim kad ucapan.........


Terima kasih Angah, Huda dan cucunda Maryam......


Sudah dua kali aku dapat kad ucapan kiriman dari mereka yang bermakna sudah dua tahun Angah dan keluarganya berada di sana. Tetapi rasa dekat di hati kerana kemudahan yang tersedia sekarang ini seperti ber Whatsapp dan ber skype jika rindu itu datang bertamu, jika ada hal yang hendak diberitahu dan di kala hendak melihat Maryam buka matanya untuk melihat aku yang merindu....walau dia masih lagi belum tahu apa yang sedang berlaku.






Hari lahir ini membangkitkan nostalgiaku. Aku bernasib baik kerana emak juga sering meraikannya dengan Bubur Putih Bubur Merah lambang rasa syukur kami ketika itu. Aku pula sering memasak masakan kegemaran anak-anakku jika sampai tarikh hari lahir mereka. Abang Long suka Laksa Johor, Angah suka Chicken Chop, Kakak suka apa sahaja yang berasaskan ayam dan Adik suka Nasi Beriani. Untuk keknya pula keempat-empat mereka gemarkan Moist Chocolate Cake....hurmmm...patutlah!

Di kesempatan ini suka ku rakamkan ucapan ribuan terima kasih untuk kalian yang masih mengingati hari ulangtahun kelahiranku. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa besar maknanya ingatan kalian itu terhadapku.
Semoga balasan dari Allah itu segalanya yang baik-baik belaka. Aamiin!

Junie Octovian: Being deeply loved by someone gives you strength, while loving someone deeply gives you courage ~ Lao-tzu




October 17, 2012

Rindu Itu Indah....


"Kau tulislah kisah masa jaman kita sekolah dulu," ujar si Mamat padaku.

Apa kisah zaman sekolah aku dengan dia? Aku bukan campur sangat dengan mereka pun. Kenal gitu-gitu aje kerana laluan ke sekolah kami tidak sama. Selalu yang bersaing dengan aku dari rumah, Che Em, R. Fauziah dan budak lelaki sorang tu yang memaksakan dirinya meninggalkan basikal di rumahku kerana hendak bersaing berjalan kaki ke sekolah.

Tapi waktu balik kekadang dia balik dulu sebab aku ada mesyuarat badan pengawas. Tapi Wong Hoi Sim, anak tokeh kedai tayar depan Balai Bomba tu memang setia menunggu menemani perjalanan pulangku. Entah di mana dia sekarang?

Dari sekolah untuk melepasi Setesen Keretapi itu agak sunyi sikit waktu tengahari. Ada sebuah gudang tempat penyimpanan barang di situ. Kadang-kadang aku berfikir yang bukan-bukan bila lalu di situ sendirian. 

Lama aku fikirkan, memang tak ada yang menarik. Pergi sekolah, balik sekolah, itu aje. Cuma aku aktif di sekolah, memegang segala pangkat dalam persatuan.


Kawan karib aku dari Tingkatan Satu, cuma Anne Kay sorang.... ke hulu hilir dengan dia. Bila naik Tingkatan Empat, entah macam mana aku baik dengan Amy pula. Entah bila bertukar kawan pun aku tak berapa nak ingat. Tapi Anne Kay tak kisah sebab dia masa tu ada teman baru yang baru masuk berpindah ke sekolah kami dan di tempatkan di kelas yang sama dan kebetulan pula dalam kelas itu duduk bersebelahan dia.


Aku masih ingat budak berspec mata gaya old skool itu. IQ dia tinggi sikit dari kami semua dalam kelas sebab setiap kali ujian, dia akan berada di tempat teratas.

Abd. Rahman Isa cakap, "...tulislah kisah aku kena bantai kerana sekodeng tandas perempuan."

Ada ke kisah tu? Kenapa aku macam tak pernah dengar pun? Padahal aku kan pengawas sekolah?

"Tuan Sheikh tu salah orang...bukan aku, ada budak lain yang namanya Rahman juga." Rahman gelak-gelak telefon aku beritahu.

Selepas kejadian itu Rahman telah bertukar ke sekolah lain, jadi aku memang tidak lagi berjumpa dengan dia sehingga tamat sekolah.


Kesian Rahman...jadi orang juga dia akhirnya. Walau sekarang kami sudah dapat berhubung semula, tapi masing-masing bertaburan di serata tempat. Rahman kini bertugas dengan Kastam DiRaja Malaysia yang bertempat di Tanjung Pelepas, Johor. Facebook inilah yang telah menyatukan kami kembali mengenang kisah lalu selepas sama-sama meninggalkan sekolah.

Entah mengapa, sepanjang hidup aku membina keluarga serata pelosok tanahair, aku tidak bertemu dengan salah seorang pun dari teman sama sekolah. Tidak seperti suamiku....sana sini ada kawan dia. Ooo...patut la... dia kan dulu ahli sukan mewakili Maktab Sultan Abu Bakar di JB tu hingga ke peringkat MSSM? Dia jaguh lompat jauh...entah ada lagi ke tidak rekodnya tidak pernah aku periksa.

"Rindu Itu Indah," kata Mamat memberi nama tajuk novel yang disuruh aku tulis selepas pertemuan kami yang pertama di kaki Gunung Lambak bertempat di daerah Kluang, tempat kami membesar dan belajar mengenali erti hidup sebenar.

"I'll see about that," aku jawab memberikan dia sedikit kepercayaan. Bukan senang sebenarnya hendak menulis cerita untuk dijadikan sebuah novel. Aku harus ada idea yang lancar mengikut syarat-syarat dan terma yang telah ditetapkan oleh penerbit. Kalau sehari aku pastikan aku dapat menulis satu muka surat, sudah tentu ia akan makan masa lebih setahun untuk menyudahkan sebuah cerita. Itu pun kalau lancar perjalanannya kerana mereka mahukan 500-600 muka surat untuk menghasilkan sebuah novel. Makanya aku ini menulis sambil-sambil buat kerja...bila cuti perayaan, aku cuti juga. Bila anak-anak ajak berjalan, aku ikut juga.



"Gilalah! Kita nak tulis 360 patah perkataan pun sampai nak luruh rambut," kata sorang dari anakku.

Aku banyak idea dan aku banyak aje cerita yang hendak disampaikan....cuma aku tidak tahu sama ada sempat atau tidak, masihkah ada lagi masa yang panjang untukku zahirkan ke dalam bentuk hitam putih sebagai bacaan anak cucu?

Apakah yang akan aku tulis untuk dijadikan permulaan cerita untuk mengingatkan aku kepada kisah zaman persekolahan kami di sebuah daerah yang bernama Kluang di dalam negeri Johor itu agar dapat ku kongsikan bersama teman-teman yang amat menyokong usaha aku di bidang penulisan ini?

Harapanku agar Allah permudahkan segala yang aku lakukan....semoga dilimpahi idea untuk ku bukukan sebagai sejarah di dalam era kami. Aamiin!

Junie Octovian: Life is like an ocean, it can be calm and still or rough and rigid. But in the end it's always beautiful ~ from Best Quotes.




Tok Esah...

Kami gelak guling-guling setiap kali bertemu. Kisah kami hanya berkisar dengan Tok Esah yang disegani ramai di kampung itu, pada masa itu. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Aamiin!

"Ingat tak masa kita tengah tangkap ikan dekat parit depan rumah?" Din yang seronok bercerita sambil bersila di atas lantai itu menanya aku.

Masakan aku boleh lupa? Dia yang suruh aku berdiri menahan dengan pongkis di hujung sana dan dia menggodak parit itu dari hujung sini untuk menangkap ikan pelaga. Hisy!

Kami buka kisah semasa tinggal berjiran di Jalan Anggerik dulu. Seronok tahap tak hengat! Tapi Din telah berhijrah ke Selangor entah belah mana masa tu aku tak ambil peduli selepas kami sama-sama habis mendudukki perperiksaan PMR.

Aku jumpa Din lagi secara kebetulan sahaja waktu aku mengikut suamiku membuat check-up tahunannya di Tung Shin Hospital. Dia masih belum berkahwin waktu itu dan bekerja di Public Bank Berhad.

Suasana di Jalan Anggerik itu juga sudah berubah rupa. Tiada lagi pekik anak-anak nakal macam dulu. Rumah-rumah kampung lama juga sudah dirobohkan oleh anak cucu dan diganti dengan rumah batu yang baru. Kebanyakan pasangan tua dahulu semuanya sudah tiada lagi.

"Hadoi!" Din berhenti gelak. "Tengah sedap-sedap, boleh dia balik, mau tak lari lintang pukang dibuatnya." 

"Aku sampai hilang cincin tau, terjun pokok jambu batu yang isinya berwarna merah tu," aku tambah garam dengan cerita yang Din mulakan.



Itu kes mencuri jambu batu yang betul-betul tumbuh di sempadan rumah aku dan rumah dia. Din tu cucu Tok Esah, seorang bidan yang terkenal di daerah itu. Tok Esah itu pula gemar mengunyah sireh dan ada segumpal tembakau yang digentel sebesar guli diselitkan di celah bibir kiri sebelah atas. Nampak bibirnya macam bengkak kalau tembakau itu diselitkan ke situ. Muahaha....lawaknya!

Aku pun macam budak jantan memanjat pokok sampai ke hujung dahan. Mujur badan ku kecil sahaja masa tu, kalau sekarang tentu sudah berguling jatuh ke tanah macam nangka busuk dihempap pula dengan batang pokok jambu yang terbelah dua dek tidak mampu menampung berat aku sekarang ini.

"Tapi part dia dera aku pukul telur satu pasu untuk buat kuih bahulu tu memang zalim la..." ujar Din sambil mengajukkan pasu besar pemeluk dengan dua tangannya.

"Kenapa budak-budak semua takut dengan Tok Esah waktu tu ek?" aku tanya dia. 

"Sebab masa tu kita kecik lagi kut? Kita nampak dia sangat besar," jawab Din kepada soalan ku tadi.

Rupanya isteri Din itu adik kepada Fuzi, isteri kepada teman suamiku. Kami pernah tinggal di Perak sama-sama. Aku di Bagan Serai manakala dia pula di Parit Buntar. Jadi tidak secara langsung anak-anak kami juga menjadi kawan baik dan terus berkawan walau ke mana sahaja kami berpindah selepas itu.
.
Banyak sejarah aku dengan Din untuk dikongsikan. Mungkin sebab kami seusia agaknya. Masa tu kami berkawan macam tak kenal antara lelaki dan perempuan....main redah semacam aje. Din pun kalau sebat bola masa main ala-ala permainan kriket tu tak hengat orang langsung. Aku pun sama, tak padan perempuan......

Sekarang ini bila ingat balik jadi kelakar pula.

Aku jumpa Din lagi semasa dia mengundang aku ke majlis perkahwinan anak perempuannya yang dilangsungkan di Kelab Golf Perkhidmatan Awam, Mont Kiara. Gila betul si Din tu....anak dia yang kahwin, dia yang enjoy bagai nak rak. Aku tengok dia naik ke atas pentas sama menyanyi dan menari dengan kumpulan penghibur entah apekenama yang dijemputnya itu. Loghat bapak budak ni sorang......

"Itulah Pak Din, cucu Tok Esah yang mama selalu cerita," 
aku beritahu anak sulongku yang sama ikut menemankan 
aku ke majlis itu.


Mujur jumpa teman lamanya Ariff Mukhlis, anak Fuzi sama di situ...jika tidak dia tentu bosan juga bila aku sudah berjumpa dengan teman lama dan bercerita entah apa-apa tanpa henti. Sampai terlupa belum makan lagi. Yalah....sibuk bercerita, makanan sedap yang dihidang pun tidak hairan jadinya.

"Kalau zaman sekarang ni, tentu Tok Esah tu kaya dengan kerjanya sebagai bidan sahaja," ceritaku lagi mengingatkan zaman itu semasa di dalam perjalanan pulang.

Cerita itu ku ungkit bila teringat anakku tadi harus membayar ribuan ringgit untuk kos isterinya yang melahirkan anak di poliklinik SALAM. Walaupun hanya tumpang melahirkan sahaja tanpa melalui apa-apa komplikasi.

Rasanya kalau Tok Esah itu dibayar sebegitu untuk menyambut kelahiran seorang bayi masa dulu, harus dia sudah berjaya membeli sebuah Mercedes dan menjadi seorang bidan yang kaya. Tidak perlu nak bayar income-tax, tak perlu bayar pekerja dan pembantu segala bagai. Biasanya sesiapa yang memerlukan perkhidmatannya akan datang menjemput dia di rumah dan akan menghantar dia pulang selesai tugasnya.

Bayangkan Tok Esah itu macam Betty White dalam Hot In Cleveland. Bayangkan dia bersunglasses hitam jenama Chanel dan bawak Mercedes 200C dengan sport rim 17 inci, pasang skirting jejak ke bumi. Tukar enjin rempit yang bunyinya membelah bumi....fuyoh! Ganasnya. Kini kisah itu hanya tinggal kenangan sahaja.

Kami sama-sama sudah jadi yatim piatu, tidak berayah dan beribu. Hanya kenangan itu sahaja yang ada untuk dijadikan tajuk perbualan setiap kali pertemuan. Cuma ikatan persaudaraan kami tambah erat kerana abang sulongku berkahwin dengan kakak sulongnya. Pasangan Abang Long dan Kak Long yang abadi sehingga saat ini yang membolehkan kami bertemu lagi sepanjang usia kami. Insya-Allah!


Junie Octovian: Death ends a life, not a relationship.




October 15, 2012

Ku Telan Kerinduan Itu....

Aku belek satu-satu gambar yang ku gantung di dinding. Sengaja laluan itu ku jadikan macam galeri pameran lukisan ala-ala Leonardo Da Vinci. Tetapi gambar orang-orang tersayang yang aku framekan.....hehehe


Bila aku kerinduan, di situlah aku pergi menghadap orang yang dulunya baby sekarang dah jadi bapak orang semuanya. Yang dulu ada sekarang dah pergi buat selama-lamanya.

Ku toleh kiri dan ku toleh kanan, tiada lagi wajah itu hendak melawan aku bercakap. Tapi aku terasa dia ada merenung aku dengan senyumnya. Uwarghhhh!! Aku sedih....


Dulu semasa hayatnya aku ambil mudah. Nak bertelefon bertanya khabar pun payah. Selalu aku top-up lima puluh hengget, sempat hi-hi aje....dia yang banyak bercakap bercerita ini dan itu....entah siapa-siapa jiran dan temannya di sana yang aku tidak tahu, habis hendak dikongsi cerita denganku. Akhirnya talian putus begitu sahaja tak sempat nak ucap bye-bye pun.


Semenjak itu aku call sebulan sekali, lebihnya aku tanya khabar melalui sms dengan adik aku. Dia ok ke? Sihat ke? Kirim salam dia tau? Tiap kali macam tu aje...sehingga aku dapat kumpul kredit untuk berbual panjang lagi dengannya.

Kemudian Allah permudahkan bila anak aku dapat kerja di daerah tempat tinggalnya. Jadi setiap kali anakku balik mengunjungi aku, dia akan dibawa sama. Tidak secara langsung aku dapat bertemu dia lebih kerap. Ajak tinggal bersama dia tidak mahu. Tinggal lama sikit dia dah gelisah. Macam ada bela ayam, kambing dan lembu pula. Bila anak aku balik hari minggu, dia pun ikut balik juga. Tapi aku cuba memahami keinginan dan keengganannya. Dia suka aje mengikut jika dipelawa tetapi dia tidak suka lama-lama. Mungkin dia pun pandai nak ambil hati kami juga.

Aku bawa dia balik ke Shah Alam satu ketika, kami convoy dua kereta. Anak lelaki aku dua beradik naik Nissan Skyline....mereka janji bawak slow-slow dengan mengikut aku dari belakang. Sambil memandu aku perhati juga jika mereka ada di belakangku seperti yang dijanjikan.

"Mana budak dua beradik tu?" sesekejap dia bertanya. Mungkin anak lelakiku dua beradik itu semasa sekolah dulu aku tinggalkan dengan dia.





Aku kerling cermin pandang belakang, lampu kereta tu aku kenal sangat, jadi aku pun jawab, "...ada dekat belakang tu!"

Nampak dia senang hati dan dia menyandar lagi. Sampai sahaja di depan bangunan Campus MSU, aku terdengar enjin kereta yang menderum bunyinya di lorong kanan yang pecut macam nak terbang. Dia yang terdengar memanjangkan sedikit leher, tetapi kereta itu sudah berdesup hilang dari pandangan.

"Anak sapalah tu...merempit aje kerjanya. Nasib baik budak berdua tu tak macam tu...hisy!" Dia merengus sambil menyandar kembali. Mungkin tadi dia sudah terlelap tetapi diganggu dengan bunyi yang bagai nak pecah jalan raya itu dibuat dek kereta yang melepasi kami tadi.

Mulanya aku tak perasan itu kereta dia orang kerana warna pun hitam....tapi aku lihat lampu belakangnya menyerupai lampu kereta mereka. Maka aku kerling lagi cermin pandang belakang, ternyata tiada lagi kelibat mereka. Ooo...baru aku tahu mereka tunggu untuk melepasi kamera speedtrap terakhir yang dipasang di kawasan itu rupanya. Anak sapa la tu! Bila dapat tahu, aku pun jadi sama subahat tidak memberitahu. Isy!

"Kenapa?" aku tanya yang memandu bila sampai depan pintu rumah.

"Saja gian...nak test power." Boleh macam tu dijawabnya?

Tapi aku bangga anak-anak aku pandai melayan kerenah dia. Bertanya mahu makan apa, hendak ke mana...beria mereka mengangkut dia sama. Kami sering bawa dia menjelajah ke shopping center kerana dia tidak berpeluang ke tempat-tempat tersebut sebelum ini. Tetapi ternyata di usianya itu, dia sudah tidak larat lagi. Maka ku bawa dia keluar pusing-pusing melihat lampu neon di kotaraya pada waktu malam...dia suka.


"SubhanAllah....cantiknya," kata dia yang sudah lama tidak dibawa keluar waktu malam.

Setelah dia pergi, dengan semangat aku sekali dia bawa. Aku kini hanya melepak di rumah sahaja menulis dan menulis untuk meninggalkan cerita kepada anak cucu tentang kisah pengalaman hidupku untuk mereka baca. Senyuman dia di sofa yang menjengah mencari kelibatku di meja makan sedang menulis masih jelas terbayang di ruang mata. Kekekan geli hati dia menonton filem-filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, masih terngiang di lubang telinga. Dia sudah hilang di dunia nyata, namun kenangan bersamanya ada di mana-mana. Terpaksa ku telan kerinduan itu sebagai ubat penghapus duka kerana aku sudah tidak punya teman untuk berbicara yang memahami jiwa dan sebagai orang yang melahirkan aku ke dunia.

Junie Octovian: Aku rindu dia.......




October 14, 2012

Ku Petik Kenangan...

Aku menjengah tingkap bercermin naco yang ku buka bahagian atas sahaja. Barisan kereta di depan rumah itu ku tenung satu-satu. Waktu itu jam menunjukkan pukul 3.00 pagi. Mata tidak dapat ku lelapkan langsung semenjak berita kematian itu sampai ke lubang telinga.



"Nak buat apa entah kereta banyak-banyak?" Suara marah mertuaku entah dibebelkan dengan siapa. Yang pasti bukan berdepan denganku.

Dalam hati ku berkata, "Kalau nak ambil jelah mana satu." Tapi tak kuasa hendak menyatakannya di kala hati dipagut sayu.

Dia tinggalkan aku dengan sebuah kereta baru dan sepasang kain untuk dibuat baju raya tahun itu. Meleleh-leleh air mataku mengenangkan dia yang masih tahu kaler kegemaranku. Sepasang kain lace kaler hijau!



"dan boleh jadi kamu benci pada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semua itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." Al-Baqarah, ayat 216

Ku tanam dalam-dalam ayat itu di lubuk hati,  ku perah mindaku agar ia mengerti. Degil betul! Aku bentak diriku sendiri. Aku hafal ayat itu berkali-kali untuk memahami maksudnya. Kenapa yang aku benci itu baik untuk aku dan yang aku suka itu jadi buruk bagiku? Kenapa dia harus pergi dahulu meninggalkan aku dengan urusan duniawinya yang belum bertitik noktah? Sampai hati dia!

Peliknya, aku tidak menitiskan air mata langsung mendengar berita itu semalam. Harapan untuk bertemu dia lagi itu masih ada. Segar di ruang mata susuk tubuhnya yang bertolak pulang petang itu...tak nampak macam orang sakit pun?

Hembusan angin sejuk tiba-tiba menyapa cuping telinga. Teringat dia suka lagu nyanyian Broery Marantika, Berhembus Angin Malam. Muak aku dengar setiap kali ada majlis, dia akan menyanyikan lagu itu. Berlainan sungguh dengan selera aku yang gemarkan lagu-lagu rancak yang dapat membuatkan hatiku sentiasa gembira dan ceria.



Kalau dalam kereta bersamanya juga, kami kerap bertelagah pasal memilih lagu. Dia nak CD lagu yang mendayu, manakala aku mahukan lagu yang dapat menggerak-gerakan kaki dan tanganku. Hisy! Akhirnya kami dengar lagu dari radio aje. Jadi dua-dua pun diam.

Kalau menonton TV di rumah pun macam tu juga, dia asyik nak buka AXN channel sukan. Golflah, tennislah...
Kalau tidak pun asyik tengok berita Al-Jazeera, BBC...entah apa-apa lagilah. Bosan!



Aku sukakan CSI, Criminal Minds, Without A Trace dan yang seangkatan dengannya. Tapi dia tahu aku suka watak Horatio Caine dalam siri CSI Miami tu. Wall paper lap-top aku pun aku letak gambar Horatio.
Eleh!

Selera makan kami pun berlainan sungguh, bak langit dengan bumi. Ada ke breakfast dia minta nasi? Dah macam orang Korea pula. Macam nak pergi kerja menyangkul pun ada. Lepas tu lauk dia kena pedas-pedas yang boleh berasap telinga. Tapi aku layan jelah...



Aku pula bukan jenis yang suka merayap bershopping bila tak ada kerja. Jadi dia tak bimbang bila meninggalkan aku. Hendak ke mana harus beritahu, nanti dia yang bawa. Hendak beli apa senaraikan aje dan lekatkan di pintu peti sejuk. Kalau tak cakap kuantiti yang diperlukan....amekaw! berkarung-karung dia bawa balik....boleh buka kedai runcit. Tapi aku suka sebab rumah kami ada stor tempat menyimpan barang makanan. Macam Chef At Home pula rasanya. Mau masak apa sahaja, redah dalam stor tu...



Bila dia keluar main golf hujung minggu, aku yang ditinggalkan di rumah itu bertukar hobi menjahit pula. Semua benda nak ku jahit sendiri. Sarung kusyen, sulam, mengait segala bagai aku nak buat. Jadi dia belikan aku mesin jahit keluaran terkini yang aku pun tak tahu hendak menggunakannya sehingga terpaksa memanggil penjual itu datang ke rumah mengajar aku bagaimana hendak mengendalikannya. Ye lah...mesin jahit rumah emak aku yang jenama Singer tu senang aje...godak-godak dengan kaki. Yang dibelikan aku ni pakai letrik...




Aku nampak dia bangga kerana apa yang dibelikan nampak berhasil bila langsir rumah kami, aku jahit sendiri. Sejak itu aku sering ajak dia ke kedai kain. Dia pula naik muak melayan aku. Pantang dengar dia ada pertandingan golf di sebelah Melaka atau Muar, harus aku mengekor kerana nak singgah Tangkak...hehehe

Aku kena buat macam tu sebab dia tidak suka diganggu waktu dia bercuti...penat kerja barangkali. Bila aku ada hobi sendiri, aku dah tak ganggu dia. Berhari-hari aku tekun menjahit dan menyulam. Rancangan TV yang ditonton pun tak sama selera...nak buat macam mana? Duduklah dia sorang-sorang menghadapnya. Tapi aku akan pastikan ada seteko kopi dan cekodok bilis kegemarannya. Aku tak duduk di situ sama-sama sebab dia tak suka berbicara waktu menonton. Dia jenis yang tekun habisan. Kalau kodok lalu pakai skirt pun dia tak perasan. Cis!



"Banyak lagi ke?" tanya dia yang lalu lalang keluar ke dalam melihat aku masih tercongok menerap kuih sejak pagi.

"Banyak jugalah...oven tu kecik," aku mengadu. Aku suka sebenarnya kerja-kerja begitu, jadi aku tak perasan masa yang berlalu. 



Tengahari itu dia pulang dengan oven yang besar jenama Zanussi. "Nah! Ni paling besar," dia meletakkan oven di atas kaunter dapur.

"Wah! Bestnya..." aku terkinja kegirangan sambil peluk dia tanpa sedar dan ucap "Thank you!" 



Aku cadang raya nanti nak sedondon kaler purple, jadi aku dah belikan sepasang kain untuk dijadikan baju Melayu dia. Tunggu dia balik nanti baru nak ajak dia ke kedai buat ukuran baru. Dia macam dah susut sikit sejak pindah kerja tempat baru.

"Tak makan ke?" aku usik dia.

"Diet...kerja banyak, tak sempat nak ke padang golf lagi," ujarnya.



"Tukar main badminton pulaklah," aku beri cadangan.

"Badan dah berat ni, lompat-lompat cepat penatlah." Satu lagi alasan dari dia.

Tetapi....

Hujung minggu itu hajat aku tak sampai bila dapat berita itu....Innalillahiwainnailaihirojiun! Dia tinggalkan aku buat selama-lamanya. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman....Aamiin!


Junie Octovian: "Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya." Al-Baqarah, ayat 286








LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...