October 22, 2012

Hari lahir!

Aku mengucap syukur pagi ini apabila ku buka mata dan menyedari aku masih ada di dunia nyata untuk meraikan hari kelahiranku pada hari ini tanggal 22 haribulan Oktober........

Uda dah call semalam, "...esok kan?" soal Uda yang memang belum pernah lupa dengan tarikh lahir adiknya ini.

Hatiku tercuit rasa sedih, namun kesedihan itu ku letakkan ke tepi dulu kerana mahu berborak bertanya khabar dia yang jarang ku temui itu.

"....Uda wish dulu...esok takut sibuk-sibuk lupa pulak," tambah Uda lagi. Kedengaran riuh rendah suara latar yang masuk sama ke corong hensetku itu.

Anak sulongku pula entah dah berapa kali asyik belanja makan dalam bulan ini. Tarikh yang jatuh pada hari Isnin itu tidak memungkinkan kami meraikan pada tepat masanya.

"Tak apa..." kataku padanya. "...asalkan masih ada dalam ingatan, cukuplah!"

Angah yang berada di seberang lautan, sudah pun mengirim kad ucapan.........


Terima kasih Angah, Huda dan cucunda Maryam......


Sudah dua kali aku dapat kad ucapan kiriman dari mereka yang bermakna sudah dua tahun Angah dan keluarganya berada di sana. Tetapi rasa dekat di hati kerana kemudahan yang tersedia sekarang ini seperti ber Whatsapp dan ber skype jika rindu itu datang bertamu, jika ada hal yang hendak diberitahu dan di kala hendak melihat Maryam buka matanya untuk melihat aku yang merindu....walau dia masih lagi belum tahu apa yang sedang berlaku.






Hari lahir ini membangkitkan nostalgiaku. Aku bernasib baik kerana emak juga sering meraikannya dengan Bubur Putih Bubur Merah lambang rasa syukur kami ketika itu. Aku pula sering memasak masakan kegemaran anak-anakku jika sampai tarikh hari lahir mereka. Abang Long suka Laksa Johor, Angah suka Chicken Chop, Kakak suka apa sahaja yang berasaskan ayam dan Adik suka Nasi Beriani. Untuk keknya pula keempat-empat mereka gemarkan Moist Chocolate Cake....hurmmm...patutlah!

Di kesempatan ini suka ku rakamkan ucapan ribuan terima kasih untuk kalian yang masih mengingati hari ulangtahun kelahiranku. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa besar maknanya ingatan kalian itu terhadapku.
Semoga balasan dari Allah itu segalanya yang baik-baik belaka. Aamiin!

Junie Octovian: Being deeply loved by someone gives you strength, while loving someone deeply gives you courage ~ Lao-tzu




No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...