Kami gelak guling-guling setiap kali bertemu. Kisah kami hanya berkisar dengan Tok Esah yang disegani ramai di kampung itu, pada masa itu. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Aamiin!
"Ingat tak masa kita tengah tangkap ikan dekat parit depan rumah?" Din yang seronok bercerita sambil bersila di atas lantai itu menanya aku.
Masakan aku boleh lupa? Dia yang suruh aku berdiri menahan dengan pongkis di hujung sana dan dia menggodak parit itu dari hujung sini untuk menangkap ikan pelaga. Hisy!
Kami buka kisah semasa tinggal berjiran di Jalan Anggerik dulu. Seronok tahap tak hengat! Tapi Din telah berhijrah ke Selangor entah belah mana masa tu aku tak ambil peduli selepas kami sama-sama habis mendudukki perperiksaan PMR.
Aku jumpa Din lagi secara kebetulan sahaja waktu aku mengikut suamiku membuat check-up tahunannya di Tung Shin Hospital. Dia masih belum berkahwin waktu itu dan bekerja di Public Bank Berhad.
Suasana di Jalan Anggerik itu juga sudah berubah rupa. Tiada lagi pekik anak-anak nakal macam dulu. Rumah-rumah kampung lama juga sudah dirobohkan oleh anak cucu dan diganti dengan rumah batu yang baru. Kebanyakan pasangan tua dahulu semuanya sudah tiada lagi.
"Hadoi!" Din berhenti gelak. "Tengah sedap-sedap, boleh dia balik, mau tak lari lintang pukang dibuatnya."
"Aku sampai hilang cincin tau, terjun pokok jambu batu yang isinya berwarna merah tu," aku tambah garam dengan cerita yang Din mulakan.
Itu kes mencuri jambu batu yang betul-betul tumbuh di sempadan rumah aku dan rumah dia. Din tu cucu Tok Esah, seorang bidan yang terkenal di daerah itu. Tok Esah itu pula gemar mengunyah sireh dan ada segumpal tembakau yang digentel sebesar guli diselitkan di celah bibir kiri sebelah atas. Nampak bibirnya macam bengkak kalau tembakau itu diselitkan ke situ. Muahaha....lawaknya!
Aku pun macam budak jantan memanjat pokok sampai ke hujung dahan. Mujur badan ku kecil sahaja masa tu, kalau sekarang tentu sudah berguling jatuh ke tanah macam nangka busuk dihempap pula dengan batang pokok jambu yang terbelah dua dek tidak mampu menampung berat aku sekarang ini.
"Tapi part dia dera aku pukul telur satu pasu untuk buat kuih bahulu tu memang zalim la..." ujar Din sambil mengajukkan pasu besar pemeluk dengan dua tangannya.
"Kenapa budak-budak semua takut dengan Tok Esah waktu tu ek?" aku tanya dia.
"Sebab masa tu kita kecik lagi kut? Kita nampak dia sangat besar," jawab Din kepada soalan ku tadi.
Rupanya isteri Din itu adik kepada Fuzi, isteri kepada teman suamiku. Kami pernah tinggal di Perak sama-sama. Aku di Bagan Serai manakala dia pula di Parit Buntar. Jadi tidak secara langsung anak-anak kami juga menjadi kawan baik dan terus berkawan walau ke mana sahaja kami berpindah selepas itu.
.
Banyak sejarah aku dengan Din untuk dikongsikan. Mungkin sebab kami seusia agaknya. Masa tu kami berkawan macam tak kenal antara lelaki dan perempuan....main redah semacam aje. Din pun kalau sebat bola masa main ala-ala permainan kriket tu tak hengat orang langsung. Aku pun sama, tak padan perempuan......
Sekarang ini bila ingat balik jadi kelakar pula.
Aku jumpa Din lagi semasa dia mengundang aku ke majlis perkahwinan anak perempuannya yang dilangsungkan di Kelab Golf Perkhidmatan Awam, Mont Kiara. Gila betul si Din tu....anak dia yang kahwin, dia yang enjoy bagai nak rak. Aku tengok dia naik ke atas pentas sama menyanyi dan menari dengan kumpulan penghibur entah apekenama yang dijemputnya itu. Loghat bapak budak ni sorang......
"Itulah Pak Din, cucu Tok Esah yang mama selalu cerita,"
aku beritahu anak sulongku yang sama ikut menemankan
aku ke majlis itu.
Mujur jumpa teman lamanya Ariff Mukhlis, anak Fuzi sama di situ...jika tidak dia tentu bosan juga bila aku sudah berjumpa dengan teman lama dan bercerita entah apa-apa tanpa henti. Sampai terlupa belum makan lagi. Yalah....sibuk bercerita, makanan sedap yang dihidang pun tidak hairan jadinya.
"Kalau zaman sekarang ni, tentu Tok Esah tu kaya dengan kerjanya sebagai bidan sahaja," ceritaku lagi mengingatkan zaman itu semasa di dalam perjalanan pulang.
Cerita itu ku ungkit bila teringat anakku tadi harus membayar ribuan ringgit untuk kos isterinya yang melahirkan anak di poliklinik SALAM. Walaupun hanya tumpang melahirkan sahaja tanpa melalui apa-apa komplikasi.
Rasanya kalau Tok Esah itu dibayar sebegitu untuk menyambut kelahiran seorang bayi masa dulu, harus dia sudah berjaya membeli sebuah Mercedes dan menjadi seorang bidan yang kaya. Tidak perlu nak bayar income-tax, tak perlu bayar pekerja dan pembantu segala bagai. Biasanya sesiapa yang memerlukan perkhidmatannya akan datang menjemput dia di rumah dan akan menghantar dia pulang selesai tugasnya.
Bayangkan Tok Esah itu macam Betty White dalam Hot In Cleveland. Bayangkan dia bersunglasses hitam jenama Chanel dan bawak Mercedes 200C dengan sport rim 17 inci, pasang skirting jejak ke bumi. Tukar enjin rempit yang bunyinya membelah bumi....fuyoh! Ganasnya. Kini kisah itu hanya tinggal kenangan sahaja.
Kami sama-sama sudah jadi yatim piatu, tidak berayah dan beribu. Hanya kenangan itu sahaja yang ada untuk dijadikan tajuk perbualan setiap kali pertemuan. Cuma ikatan persaudaraan kami tambah erat kerana abang sulongku berkahwin dengan kakak sulongnya. Pasangan Abang Long dan Kak Long yang abadi sehingga saat ini yang membolehkan kami bertemu lagi sepanjang usia kami. Insya-Allah!
Junie Octovian: Death ends a life, not a relationship.
No comments:
Post a Comment