"Nak buat apa entah kereta banyak-banyak?" Suara marah mertuaku entah dibebelkan dengan siapa. Yang pasti bukan berdepan denganku.
Dalam hati ku berkata, "Kalau nak ambil jelah mana satu." Tapi tak kuasa hendak menyatakannya di kala hati dipagut sayu.
Dia tinggalkan aku dengan sebuah kereta baru dan sepasang kain untuk dibuat baju raya tahun itu. Meleleh-leleh air mataku mengenangkan dia yang masih tahu kaler kegemaranku. Sepasang kain lace kaler hijau!
"dan boleh jadi kamu benci pada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semua itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." Al-Baqarah, ayat 216
Ku tanam dalam-dalam ayat itu di lubuk hati, ku perah mindaku agar ia mengerti. Degil betul! Aku bentak diriku sendiri. Aku hafal ayat itu berkali-kali untuk memahami maksudnya. Kenapa yang aku benci itu baik untuk aku dan yang aku suka itu jadi buruk bagiku? Kenapa dia harus pergi dahulu meninggalkan aku dengan urusan duniawinya yang belum bertitik noktah? Sampai hati dia!
Peliknya, aku tidak menitiskan air mata langsung mendengar berita itu semalam. Harapan untuk bertemu dia lagi itu masih ada. Segar di ruang mata susuk tubuhnya yang bertolak pulang petang itu...tak nampak macam orang sakit pun?
Hembusan angin sejuk tiba-tiba menyapa cuping telinga. Teringat dia suka lagu nyanyian Broery Marantika, Berhembus Angin Malam. Muak aku dengar setiap kali ada majlis, dia akan menyanyikan lagu itu. Berlainan sungguh dengan selera aku yang gemarkan lagu-lagu rancak yang dapat membuatkan hatiku sentiasa gembira dan ceria.
Kalau dalam kereta bersamanya juga, kami kerap bertelagah pasal memilih lagu. Dia nak CD lagu yang mendayu, manakala aku mahukan lagu yang dapat menggerak-gerakan kaki dan tanganku. Hisy! Akhirnya kami dengar lagu dari radio aje. Jadi dua-dua pun diam.
Kalau menonton TV di rumah pun macam tu juga, dia asyik nak buka AXN channel sukan. Golflah, tennislah...
Kalau tidak pun asyik tengok berita Al-Jazeera, BBC...entah apa-apa lagilah. Bosan!
Aku sukakan CSI, Criminal Minds, Without A Trace dan yang seangkatan dengannya. Tapi dia tahu aku suka watak Horatio Caine dalam siri CSI Miami tu. Wall paper lap-top aku pun aku letak gambar Horatio.
Eleh!
Selera makan kami pun berlainan sungguh, bak langit dengan bumi. Ada ke breakfast dia minta nasi? Dah macam orang Korea pula. Macam nak pergi kerja menyangkul pun ada. Lepas tu lauk dia kena pedas-pedas yang boleh berasap telinga. Tapi aku layan jelah...
Aku pula bukan jenis yang suka merayap bershopping bila tak ada kerja. Jadi dia tak bimbang bila meninggalkan aku. Hendak ke mana harus beritahu, nanti dia yang bawa. Hendak beli apa senaraikan aje dan lekatkan di pintu peti sejuk. Kalau tak cakap kuantiti yang diperlukan....amekaw! berkarung-karung dia bawa balik....boleh buka kedai runcit. Tapi aku suka sebab rumah kami ada stor tempat menyimpan barang makanan. Macam Chef At Home pula rasanya. Mau masak apa sahaja, redah dalam stor tu...
Bila dia keluar main golf hujung minggu, aku yang ditinggalkan di rumah itu bertukar hobi menjahit pula. Semua benda nak ku jahit sendiri. Sarung kusyen, sulam, mengait segala bagai aku nak buat. Jadi dia belikan aku mesin jahit keluaran terkini yang aku pun tak tahu hendak menggunakannya sehingga terpaksa memanggil penjual itu datang ke rumah mengajar aku bagaimana hendak mengendalikannya. Ye lah...mesin jahit rumah emak aku yang jenama Singer tu senang aje...godak-godak dengan kaki. Yang dibelikan aku ni pakai letrik...
Aku nampak dia bangga kerana apa yang dibelikan nampak berhasil bila langsir rumah kami, aku jahit sendiri. Sejak itu aku sering ajak dia ke kedai kain. Dia pula naik muak melayan aku. Pantang dengar dia ada pertandingan golf di sebelah Melaka atau Muar, harus aku mengekor kerana nak singgah Tangkak...hehehe
Aku kena buat macam tu sebab dia tidak suka diganggu waktu dia bercuti...penat kerja barangkali. Bila aku ada hobi sendiri, aku dah tak ganggu dia. Berhari-hari aku tekun menjahit dan menyulam. Rancangan TV yang ditonton pun tak sama selera...nak buat macam mana? Duduklah dia sorang-sorang menghadapnya. Tapi aku akan pastikan ada seteko kopi dan cekodok bilis kegemarannya. Aku tak duduk di situ sama-sama sebab dia tak suka berbicara waktu menonton. Dia jenis yang tekun habisan. Kalau kodok lalu pakai skirt pun dia tak perasan. Cis!
"Banyak lagi ke?" tanya dia yang lalu lalang keluar ke dalam melihat aku masih tercongok menerap kuih sejak pagi.
"Banyak jugalah...oven tu kecik," aku mengadu. Aku suka sebenarnya kerja-kerja begitu, jadi aku tak perasan masa yang berlalu.
Tengahari itu dia pulang dengan oven yang besar jenama Zanussi. "Nah! Ni paling besar," dia meletakkan oven di atas kaunter dapur.
"Wah! Bestnya..." aku terkinja kegirangan sambil peluk dia tanpa sedar dan ucap "Thank you!"
Aku cadang raya nanti nak sedondon kaler purple, jadi aku dah belikan sepasang kain untuk dijadikan baju Melayu dia. Tunggu dia balik nanti baru nak ajak dia ke kedai buat ukuran baru. Dia macam dah susut sikit sejak pindah kerja tempat baru.
"Tak makan ke?" aku usik dia.
"Diet...kerja banyak, tak sempat nak ke padang golf lagi," ujarnya.
"Tukar main badminton pulaklah," aku beri cadangan.
"Badan dah berat ni, lompat-lompat cepat penatlah." Satu lagi alasan dari dia.
Tetapi....
Hujung minggu itu hajat aku tak sampai bila dapat berita itu....Innalillahiwainnailaihirojiun! Dia tinggalkan aku buat selama-lamanya. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman....Aamiin!
Junie Octovian: "Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya." Al-Baqarah, ayat 286
No comments:
Post a Comment