October 31, 2012

Betul ke UFO tu?


Aku melalui kilang Guocera untuk pulang ke rumah malam itu, bila tiba-tiba di kegelapan malam itu aku nampak objek yang menyerupai piring terbang. Objek itu berputar laju di tempatnya macam globe tapi leper. Yeay! aku nampak piring terbang! Aku bersorak dalam hati. Objek itu seperti menyuluh dan menunggu menerangi jalan malam gelapku  itu. Cuma seminit....aku memang pasti cuma seminit sahaja dia di situ dan kemudian dia terus bergerak laju meninggalkan aku terpinga-pinga di dalam kereta mencari kelibatnya.

Mulut aku bagai dikunci tidak bercerita dengan sesiapa tentang kejadian itu. Siapa nak percaya kalau aku cakap aku pernah nampak UFO kan? Aku simpan sorang-sorang kenangan itu sehingga aku bertemu lagi dengan objek itu beberapa tahun kemudian dalam perjalanan pulang ke rumah dari bandar Taiping ke Bagan Serai. Di kesunyian malam itu tiada siapa yang hendak ku kongsikan cerita dan tiada pula kereta yang berhenti di tepi jalan beramai-ramai mahu menyaksikannya...kerana di dada jalan ketika itu cuma aku sahaja yang membawa kereta bak orang putus cinta, lembabnya tahap kura-kura akibat dek jalan yang gelap gelita.

Jika ada kemalangan, haruslah jalan yang sunyi tadi tiba-tiba menjadi sesak pula bak kata Harith Iskandar dalam siri 'Lawak ke Der'nya di Istana Budaya. Masing-masing ingin tahu siapa yang terlibat dan bagaimana kejadian itu boleh berlaku. Semua orang mahu jadi CSI, kata Harith mengajuk sikap rakyat Malaysia yang prihatin itu.

Walau apapun, aku simpan itu sebagai kenangan terindah yang pernah Allah tunjukkan padaku. Biarlah apa orang akan kata selepas ini, namun aku bukannya buta dan bodoh sangat untuk tidak mengenali apa yang ku lihat ketika itu.

Semalam kami ke Setia City Mall dengan harapan mahu menonton SINISTER kerana 007 - SKYFALL itu hanya akan ditayangkan pada tanggal 1 November. Di dalam perjalanan ke sana, hujan turun dengan lebatnya, mujur mataku masih awas lagi memandu di dalam cuaca begitu. Alhamdulillah!

"Ma ingat tak masa kita di Layang-Layang dulu, Land Rover kita sangkut dalam lumpur semasa hujan lebat?" si Kakak bertanya mengingatkan insiden yang berlaku lama dulu semasa aku mahu menghantar dia dan Angah yang bersekolah sebelah petang.

"Oo...kisah yang tu ke?" Entah! Tak tahu nak cerita dengan orang bagaimana sebab ianya berlaku cepat sangat dan yang membantu aku menarik Land Rover itu dari dalam lumpur pun aku tak dapat melihat wajahnya. Mereka datang seolah satu angkatan yang besar dan gagah sahaja gamaknya. Lepas membantu mereka hilang begitu sahaja dari pandangan. Mahukah orang percaya dengan ceritaku itu?

"Anggap ajelah Allah datangkan Malaikat untuk membantu kita," jawabku mematikan cerita. Memang aku tak pernah ceritakan kisah itu walau dengan suamiku yang waktu itu dia out-station ke Melaka. 

Tidak ada gambaran yang serupa hendak dibuat contoh dan tidak juga tahu hendak diceritakan bagaimana. Pelik tetapi benar. Hanya Allah sahaja yang tahu apa yang cuba DIA sampaikan padaku.

Sampai di City Mall, Adik tidak mahu menonton, dia masih mahu menunggu SKYFALL, jadi kami ronda-ronda masuk MPH. Seperti biasa kalau di situ, aku ke bahagian novel Melayu...siapa lagi yang melariskan novel Melayu kalau bukan orang Melayu itu sendiri, kan? Nampak gaya novel tulisanku tiada di pasaran MPH Setia City Mall. Tak apalah...nak buat macam mana, dah bukan rezeki. Anakku sendiri pun tak minat nak baca novel Melayu macam mana aku nak suruh orang lain berbuat begitu?

"Tengok!" Aku tunjuk pada Kakak sebuah novel Inggeris yang tertulis di muka depan jualan terhasil sebanyak 11 juta naskah worldwide. "Kaya gila omputih ni. Kalaulah penulis novel di Malaysia ni dapat sambutan satu dunia macam tu kan bagus?" 

Sudahlah di Malaysia ni orangnya tidak minat membaca, yang sama Melayu pun kutuk bagai nak rak novel Melayu. Kliselah katanya...itulah...inilah... cer tengok sini.?!!

Sedih betul baca blog budak ni yang mengutuk habis-habisan penulis novel Melayu. Tak apalah dia tak nak baca, tak nak beli....tak payahlah nak kutuk-kutuk, kan? Kalau emak dia yang jadi salah sorang dari novelis tu macam mana?

Tahukah dia bahawa si penulis itu tadi direject manuskripnya beberapa kali sebelum diterima mengikut piawaian yang ditetapkan? Tahukah dia terma dan syarat yang diperlukan?

Tapi tak apalah...dah begitu cara dia berfikir dan begitu juga kehendaknya. Haruslah dia menulis menghasilkan sebagaimana yang diingininya. Tunjukkan pada kami penulis novel Melayu ini bahawa anda mampu menulis lebih baik dari kami. Aku hendak juga membaca kelainan pada hasil tulisannya nanti.

Tapi aku rasa dia baca jugalah beberapa novel cinta yang akhirnya memberikan dia kesimpulan untuk menyatakan pendapatnya. Hehehe...

Junie Octovian: Hanya kerana setitik nila, rosak susu sebelanga!





No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...