Aku belek satu-satu gambar yang ku gantung di dinding. Sengaja laluan itu ku jadikan macam galeri pameran lukisan ala-ala Leonardo Da Vinci. Tetapi gambar orang-orang tersayang yang aku framekan.....hehehe
Bila aku kerinduan, di situlah aku pergi menghadap orang yang dulunya baby sekarang dah jadi bapak orang semuanya. Yang dulu ada sekarang dah pergi buat selama-lamanya.
Ku toleh kiri dan ku toleh kanan, tiada lagi wajah itu hendak melawan aku bercakap. Tapi aku terasa dia ada merenung aku dengan senyumnya. Uwarghhhh!! Aku sedih....
Dulu semasa hayatnya aku ambil mudah. Nak bertelefon bertanya khabar pun payah. Selalu aku top-up lima puluh hengget, sempat hi-hi aje....dia yang banyak bercakap bercerita ini dan itu....entah siapa-siapa jiran dan temannya di sana yang aku tidak tahu, habis hendak dikongsi cerita denganku. Akhirnya talian putus begitu sahaja tak sempat nak ucap bye-bye pun.
Semenjak itu aku call sebulan sekali, lebihnya aku tanya khabar melalui sms dengan adik aku. Dia ok ke? Sihat ke? Kirim salam dia tau? Tiap kali macam tu aje...sehingga aku dapat kumpul kredit untuk berbual panjang lagi dengannya.
Kemudian Allah permudahkan bila anak aku dapat kerja di daerah tempat tinggalnya. Jadi setiap kali anakku balik mengunjungi aku, dia akan dibawa sama. Tidak secara langsung aku dapat bertemu dia lebih kerap. Ajak tinggal bersama dia tidak mahu. Tinggal lama sikit dia dah gelisah. Macam ada bela ayam, kambing dan lembu pula. Bila anak aku balik hari minggu, dia pun ikut balik juga. Tapi aku cuba memahami keinginan dan keengganannya. Dia suka aje mengikut jika dipelawa tetapi dia tidak suka lama-lama. Mungkin dia pun pandai nak ambil hati kami juga.
Aku bawa dia balik ke Shah Alam satu ketika, kami convoy dua kereta. Anak lelaki aku dua beradik naik Nissan Skyline....mereka janji bawak slow-slow dengan mengikut aku dari belakang. Sambil memandu aku perhati juga jika mereka ada di belakangku seperti yang dijanjikan.
"Mana budak dua beradik tu?" sesekejap dia bertanya. Mungkin anak lelakiku dua beradik itu semasa sekolah dulu aku tinggalkan dengan dia.
Aku kerling cermin pandang belakang, lampu kereta tu aku kenal sangat, jadi aku pun jawab, "...ada dekat belakang tu!"
Nampak dia senang hati dan dia menyandar lagi. Sampai sahaja di depan bangunan Campus MSU, aku terdengar enjin kereta yang menderum bunyinya di lorong kanan yang pecut macam nak terbang. Dia yang terdengar memanjangkan sedikit leher, tetapi kereta itu sudah berdesup hilang dari pandangan.
"Anak sapalah tu...merempit aje kerjanya. Nasib baik budak berdua tu tak macam tu...hisy!" Dia merengus sambil menyandar kembali. Mungkin tadi dia sudah terlelap tetapi diganggu dengan bunyi yang bagai nak pecah jalan raya itu dibuat dek kereta yang melepasi kami tadi.
Mulanya aku tak perasan itu kereta dia orang kerana warna pun hitam....tapi aku lihat lampu belakangnya menyerupai lampu kereta mereka. Maka aku kerling lagi cermin pandang belakang, ternyata tiada lagi kelibat mereka. Ooo...baru aku tahu mereka tunggu untuk melepasi kamera speedtrap terakhir yang dipasang di kawasan itu rupanya. Anak sapa la tu! Bila dapat tahu, aku pun jadi sama subahat tidak memberitahu. Isy!
"Kenapa?" aku tanya yang memandu bila sampai depan pintu rumah.
"Saja gian...nak test power." Boleh macam tu dijawabnya?
Tapi aku bangga anak-anak aku pandai melayan kerenah dia. Bertanya mahu makan apa, hendak ke mana...beria mereka mengangkut dia sama. Kami sering bawa dia menjelajah ke shopping center kerana dia tidak berpeluang ke tempat-tempat tersebut sebelum ini. Tetapi ternyata di usianya itu, dia sudah tidak larat lagi. Maka ku bawa dia keluar pusing-pusing melihat lampu neon di kotaraya pada waktu malam...dia suka.
"SubhanAllah....cantiknya," kata dia yang sudah lama tidak dibawa keluar waktu malam.
Setelah dia pergi, dengan semangat aku sekali dia bawa. Aku kini hanya melepak di rumah sahaja menulis dan menulis untuk meninggalkan cerita kepada anak cucu tentang kisah pengalaman hidupku untuk mereka baca. Senyuman dia di sofa yang menjengah mencari kelibatku di meja makan sedang menulis masih jelas terbayang di ruang mata. Kekekan geli hati dia menonton filem-filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, masih terngiang di lubang telinga. Dia sudah hilang di dunia nyata, namun kenangan bersamanya ada di mana-mana. Terpaksa ku telan kerinduan itu sebagai ubat penghapus duka kerana aku sudah tidak punya teman untuk berbicara yang memahami jiwa dan sebagai orang yang melahirkan aku ke dunia.
Junie Octovian: Aku rindu dia.......
No comments:
Post a Comment