May 17, 2014

Kucing Kontot Jiran Sebelah - part 2


Bab 2
          
“KAK Ita! Jom kita pergi pasar malam?” ajak Azlina adik kepada Azlita. “Ina nak beli ayam goreng Uncle Boblah,” pujuk Azlina lagi.
             
“Tunggu lepas maghrib, Kak Ita nak tengok Tales Of The Two Sisters dulu,” jawab Azlita yang sedang menyiram pokok-pokok bunga di dalam pasu yang dibariskan di tepi tembok rumahnya itu. Tiba-tiba Azlita terjerit bila dia terjirus si ekor kontot yang sedang nyenyak tidur di dalam pasu yang ditanam dengan serai. Kucing itu juga sama terkejut dan melompat ke arahnya.
           
 “Makkk!!”




            
Masing-masing yang berada di dalam rumah keluar bila mendengar jeritan Azlita.  
            
“Kenapa?” tanya Puan Suhana.
           
Tiga kepala yang berceratuk di muka pintu memandang Azlita sedang memeluk Toby, kucing jiran sebelah yang sudah basah lencun bulunya. Azlita yang merasa bersalah itu cepat menutup paip air dan masuk mencari tuala bagi mengelap si Toby.
            
“Kenapa Ita?” tanya Encik Talib yang sama pelik memandang anaknya itu.
           
“Salah dia... yang pergi tidur dalam pasu serai tu buat apa? Mana Ita nampak? Ita jirus ajelah,” jelas Azlita yang tidak mahu disalahkan jika apa-apa terjadi dengan kucing mamat rumah sebelah itu.
            
“Ayo tak tau...” Azlina menakutkan kakaknya.
           
“Ina jangan nak takutkan Kak Ita, eh? Pergi ambilkan hair dryer kat bilik Kak Ita tu,” arah Azlita sambil mengelap si Toby. Bulunya yang lebat dan panjang itu mengambil masa untuk dikeringkan jika tidak dengan bantuan hair dryer.
           
“Mana boleh?” sahut Azlina. “Karang dengar bunyi hair dryer tu lagilah dia takut.”

“Ambil ajelah... Kak Ita pegang dia, Ina tolong keringkan,” arah Azlita lagi. “Cepatlah!” Jerit Azlita bimbang si mamat sebelah tu balik kerana hari itu sudah hari Sabtu. Biasanya mamat tu balik dua minggu sekali, Azlita sudah baca jadualnya.
           
“Yalah!” jawab Azlina mengatur langkah memanjat tangga.

Vroom...vroom!

Sebentar kemudian sudah kedengaran bunyi motorsikal berkuasa tinggi mamat sebelah anak Encik Johari itu. Azlita sedang menonton drama Korea kegemarannya petang itu dengan Toby di ribaan. Tidak seperti yang disangka, si Toby langsung tidak mengelupur ketika dikeringkan bulunya tadi.
Menurut di dalam satu blog yang dibacanya, kucing jenis ini hendaklah disapu dengan bedak setelah dikeringkan bulunya. Habis bedak Avon Puan Suhana diguna agar si Toby berbau wangi. Mungkin setelah dapat mandi percuma dan dibelai oleh Azlita, si Toby terus terlena.

“Toby!!” terdengar suara mamat sebelah itu menjerit memanggil kucingnya elok dia menghentikan motorsikal dan mematikan enjinnya.

Toby yang sedang tidur beriba dengan Azlita itu menegakkan telinganya. Mungkin suara
yang memanggil itu sudah amat dikenali.





“Toby!” jeritnya lagi sambil menepuk-nepuk paha agar si Toby datang kepadanya.

“Meow...meow!”

Toby terus meloncat turun dari ribaan Azlita dan berlari ke arah suara yang memanggil.

“Ei?”

Nazrin pelik kerana kucing kesayangannya itu datang dari rumah sebelah.

“Dari mana ni?” tanya Nazrin terus memeluk dan mencium Toby. “Mak ai! Wanginya? Dah tukar jantina ke?”

Suara Nazrin sangat jelas kedengaran. Azlita yang mendengar jadi geram. Alangkah bagusnya jika dibiarkan sahaja si Toby basah lencun tadi? Biar dia yang urus kucingnya itu. Banyak songeh pulak... bau wangi pun tak boleh, getus Azlita yang tidak fokus kepada drama Korea yang ditontonnya petang itu.
         
Adiknya Azlina mengerling Azlita dengan pernyataan mamat rumah sebelah. Azlina yang peramah tak bertempat itu tiba-tiba terus keluar.

“Kak Ita dah mandikan dia!” jerit Azlina menaikkan saham kakaknya.
            
Nazrin menjenguk dari sebelah sana tembok yang menjadi sempadan rumah mereka.

“Patutlah wangi,” sahut Nazrin sambil memberikan senyum segaris.

“Kirim salam Kak Ita, cakap terima kasih banyak-banyak tolong jagakan kucing abang ye?”
            
“InsyaAllah bang, Ina terima kasih abang yang banyak itu bagi pihak Kak Ita,” ujar Minah Kepoh adik Azlita.
            
Encik Talib, Puan Suhana sama mendengar. Alah! Rumah sebelah aje pun...kalau terkentut pun mungkin boleh dengar. Mereka sama menarik senyum bila Azlita memandang ke arah mereka yang sedang duduk menyandar di sofa menunggu masuknya waktu maghrib itu.
           
Azlita yang bersila di ambal itu melemparkan kusyen kecil yang dipeluknya. Dia bangun sambil menghentakkan kaki dan naik ke bilik.
            
“Benci!” rengusnya.
           
Encik Talib dan Puan Suhana berpandangan sambil mengangkat kening dan bahu.


“KAK Ita! Jadi tak nak ke pasar malam ni... dah pukul 8. Karang dia orang dah nak bungkus!” jerit Azlina dari bawah. Kakaknya yang merajuk diusik tadi masih belum mahu turun lagi.
           
“Ina pergilah dengan mamat sebelah tu!” jerit Azlita pula.
          
Aik? Nazrin yang sedang bertenggek di atas motosikalnya itu mendengar jeritan Azlita. Matanya buntang. Pergi dengan mamat sebelah? Hatinya mengulang kata-kata Azlita. Apa salahnya... aku no hal.
          
“Ina!” jerit Nazrin yang menjengolkan kepalanya dari tembok sebelah.
            
Azlina yang sudah bersiap itu cepat sahaja keluar mencari suara yang memanggil. 

“Saya!”
            
“Jomlah! Abang teman ke pasar malam. Tapi jalan kaki ajelah... dekat aje kan?”
           
 Azlita di tingkat atas terkejut. Eh? Rajinnya dia nak teman adik aku? Apa hal pulak?
            
“Boleh tak ayah, Ina pergi dengan Abang Naz?” tanya Azlina.
           
 “Okay, take care and behave,” pesan Encik Talib.

 Yes! Jerit Azlina dalam hati. Seronok pula rasanya bila ada abang yang bermurah hati hendak menemankan dia ke pasar malam. Hendak harapkan kakak yang seorang itu, banyak pula anginnya.
            
“Kak Ita! Tak apalah kalau tak nak... Ina ikut Abang Naz, dia nak temankan!”
            
Sengaja Azlina menjerit dari bawah memberitahu agar kakaknya cemburu. Azlita macam tidak percaya pula dengan apa yang didengarnya. Maka dia mengintai dari sebalik langsir yang sudah menutup jendela di biliknya yang menghadap ke jalan raya depan rumah. Isy... adik aku ni, biar betul!


~ bersambung




No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...