May 12, 2014

Rindu Itu Indah...

Hurm...*:-? thinking.

MAJLIS perjumpaan yang bakal diadakan dengan teman-teman lama sekolah membuatkan aku duduk termenung malam itu menghadap langit bintang beribu. Susah hendak mendapat peluang menyaksikan malam sebegitu di usia sekarang ini apatah lagi bagi aku seorang perempuan yang sudah hidup setengah abad lamanya. 



Apa pula disangka jiran tetangga apabila melihat makcik tua bersendirian di luar rumah di kala malam sedangkan orang yang seusia pantang nampak bumi Allah ini gelap, masing-masing hendak menunggu TV pun sudah tidak larat.
Tetapi malam itu entah mengapa terasa berbahang di dalam rumah, maka kubuka pintu dan menapak ke laman. Kerusi batu yang sudah mula terasa basah dek embun yang sudah mula turun itu, kusapu sahaja dengan telapak tangan. Aku melabuhkan duduk.
“Jun, ko ikut aku ajelah,” bilang si Habsah di telefon ketika dia menghubungi aku bertanya tentang Majlis Perjumpaan yang aku anjurkan itu. Haizz! Ada hati hendak menganjurkan majlis... berangan masa di sekolah dulu ke?
Masa di sekolah dulu aku Setiausaha Perbama (Persatuan Bahasa Malaysia).... terbawa-bawa sampai sekarang tanpa ada lantikan rasmi dari teman-teman. Teman-teman lama yang baru ditemui semula itu pun pakat-pakat setuju seolah sebulat suara melantik aku semula.
“Tak apa ke?”
“No hal... aku dengan hubby aje,” sambung Habsah lagi.
         Baiknya hati dia hendak menumpangkan aku. Jauh tu! Tak sangka dia teman yang bau-bau bacang sahaja semasa di sekolah dulu menjadi rapat pula dengan ku sekarang sejak kami ditemukan kembali menerusi laman sosial Facebook.
“Thanks Chah... apa-apa nanti aku rogerlah,” ujar ku menutup malu.
Aku kalau boleh malas nak menyusahkan sesiapa kerana sepanjang hidupku memang aku biasa bergerak sendiri.
“Alright,” jawabnya ikhlas.
Salikin meninggalkan mesej padaku mengatakan dia tidak dapat menumpangkan aku kerana keretanya penuh. Aku faham kerana dia akan turun sekeluarga dan menyinggah di rumah keluarga mentua pula.
Zainah pakat ajak tumpang kereta Yati kerana Yati masih solo hingga sekarang ini. Jadi kami boleh kongsi duit tol dan minyak dengannya. Aku mengiakan sahaja kerana aku bimbang untuk menyusahkan Yati yang tinggal di PJ sedangkan aku di Setia Alam. Sebab itu bila Habsah pelawa, hatiku berbunga ceria... ada peluang dapat pergi kerana Habsah di sekitar USJ dan aku boleh bergerak dari rumah anak sulongku di Seri Hijauan berdekatan dengan rumah tol USJ itu. Aku sudah membayangkan bagaimana hendak menumpang Habsah nanti tanpa menyusahkan dia yang terpaksa terhendap-hendap mencari rumahku pula.
Aku senyum sendiri, teringat semasa sibuk berjanjitemu dengan Habsah, Zainah dan Yati untuk ke majlis Hi-Tea Fashion Show di Zebra Square yang menampilkan himpunan pakaian tradisional Salikin Sidek.
Aku tidak berapa rapat dengan the boys semasa di sekolah dulu. Tetapi nama Salikin itu senang diingat. Semasa aku meronda SACC Mall di pusat bandar Shah Alam, aku ada terpandang namanya yang gah tertulis di cermin lot kedai di tingkat 3. Aku serta merta beritahu anak-anakku...



“Kawan sekolah mama dulu ada nama Salikin Sidek.”

“Cuba intai... ada tak tuan punya butik ni kat dalam?” soal anak sulongku.

Ku panjangkan leher mengintai dari sebalik cermin kedai... tidak kelihatan pun Salikin Sidek yang ku kenal itu.
“Ada ma?” tanya anakku lagi.
“Tak ada pun?”
“Dah lama tak jumpa, agaknya rupa dah lain kut? Itu sebab mama tak kenal,” jelas anakku lagi.
“Mungkin juga... dia tu dulu kecik aje,” terangku sambil membayangkan wajah Salikin yang ku kenal semasa di sekolah dulu dengan pertambahan usia selepas itu.
Hehehe.... aku gelak sendiri bila teringat semasa perjumpaan di Zebra Square. Boleh dia tinggi dari aku? Makan apa agaknya sampai boleh membesar begitu? Lebih kurang Yati jugalah...
Lagipun memang tidak terlintas di fikiranku Salikin Sidek itu boleh menceburkan diri di dalam dunia fesyen dan menjadi terkenal sekarang ini.
Seronok dapat berjumpa mereka yang tidak berapa kerat itu. Aku dan Habsah datang dengan teksi sahaja. Kami terpaksa menolak pelawaan Zainah untuk sambung melepak kerana aku dan Habsah harus ke KL Sentral untuk pulang dengan komuter. Dari Zebra Square kami menapak keluar ke tempat menunggu teksi. Pengalaman berjalan berdedai macam itik pulang petang itu membangkitkan nostalgia zaman sekolah. Begitu jugalah kami masa zaman sekolah dulu bila loceng terakhir pada hari itu berbunyi. Berbaris-baris pelajar lelaki dan perempuan keluar dari bilik kelas masing-masing kerana mahu cepat pulang. 


Mifa... fashion show yg berlangsung di Zebra Square...

Sebuah emporium empat tingkat berhadapan dengan Balai Bomba yang baharu sahaja dibuka telah menarik ramai perhatian masyarakat setempat termasuklah pelajar-pelajar sekolah yang sempat melencong sebelum pulang ke rumah. Tapi aku selalu tidak sempat untuk ikut meronggeng dengan teman-teman kerana harus pulang terus ke rumah. Sebelah petang nanti aku akan ke sekolah lagi atas urusan dan tanggungjawab yang diamanahkan kerana memegang beberapa jawatan di dalam persatuan. Jadi aku harus balik dulu untuk mengambil hati emak, membantu sedikit kerja-kerja rumah yang perlu.
Aku merupakan anak perempuan yang besar, yang tinggal di rumah itu bersama emak, ayah dan dua orang lagi adik yang masih bersekolah rendah. Kalau mereka tidak ada, akulah yang menjadi anak bongsu emak dan ayahku. Ada hati pula hehehe...
Lama sudah aku fikirkan... membandingkan waktu zaman sekolah dulu dengan waktu aku sekarang ini. Mungkin kerana dulu, aku cuma ada urusan sekolah sahaja tanpa memikirkan masalah rumahtangga. Manakala sekarang ini banyak yang hendak aku uruskan untuk meninggalkan anak di rumah walau mereka sudah besar kesemuanya. Bukan boleh main redah aje? Bukan mereka tu anak kucing, boleh bajet letak makanan untuk dua tiga hari dan ditinggal pergi? Mujur aku tinggal di rumah teres yang berkongsi dinding batu dengan jiran sebelah kanan dan kiri. Pintu dan tingkap pun cuma ada di sebelah depan dan belakang aje. Kira selamat sikitlah...
Adoi! Susah rupanya hendak bergerak sekarang ini berbanding masa zaman sekolah dulu. Faktor usia mungkin menjadi sebabnya... tak sesuai sangat kalau makcik-makcik melepak gaya orang muda kan?
Sepanjang zaman sekolahku... aku menapak dari rumah ke sekolah tanpa mengenal erti penat. Serius!
Aku dan teman-teman seperjalanan dari Kampung Melayu sudah dapat mengagak berapa lama masa yang kami ambil untuk ke sekolah. Kami harus melalui jambatan yang merentasi Sungai Mengkibol yang terkenal di daerah itu suatu ketika dulu. 
Kami juga mengambil jalan singkat dengan merentasi Kluang Railway Station. Nama itu sekarang ini telah popular sehingga terdapat franchise-franchisenya di bandar-bandar besar kerana kopi Cap TVnya yang dikatakan enak dimakan dengan nasi lemak dan roti bakar. Hehehe...




“MAMA!” Jeritan si adik dari dalam menyentak lamuan ku yang jauh dibawa masa lampau.
Kalau sahaja dapat kuputar kembali masa itu, sudah tentu aku akan lebih menghargai saat-saat indah bersama teman-teman sekolah.
 “Kat luar!” aku sama menjerit menjawab panggilan.
 Adik muncul di pintu, “Mama buat apa kat luar malam-malam ni?”
 “Nak tunggu shooting star to make a wish,” jawabku selamba.
 Memanglah... di laman social Facebook sudah ramai yang berkongsi cerita tentang ramalan terbitnya bintang beribu pada malam 22/23 April 2013. Bagai nak rak aku menunggu, namun malam itu pula entah mengapa sang hujan sudah memberikan isyarat agar sang awan cepat menutup sang bulan yang terjengah-jengah mahu memantulkan cahayanya.
   “Nak wish dapat jumpa kengkawan mama tu ke?”
   “Haah...”
   “Jadi ke nak balik Kluang nanti?”
   “Insya Allah, tadi Auntie Habsah cakap boleh tumpang dengan dia.”
   “Mama balik lama ke?”
  “Eh? Kalau tumpang kawan, dia balik, mama pun baliklah... paling lama pun dua hari sebab majlis perjumpaan tu sebelah petang. Tak kan nak terus balik,” terangku pada si anak yang kebelakangan ini kerap kena tinggal.
   Tapi tak apalah... dia pun dah besar. Mungkin juga itu hidayah dari Allah sebagai persiapan untuk dia jika satu hari nanti, dia akan ku tinggalkan terus buat selamanya.
    Wajahnya menampakkan kekecewaan kerana kali ini dia tidak lagi dapat mengikutku ke hulu dan ke hilir seperti dulu.
     “Alarm pasang kalau kena kelas pagi,” pesanku mengingatkan.
     Masa aku ada lainlah, aku yang jadi alarm clock dia orang mengejut setiap kali kelas pagi dan untuk kakaknya yang masuk ofis jam 8 itu.
      Bukan tak tahu mereka tu liat bangun pagi, tapi masih nak melahu depan PC melayan FB. Si Yahudi, Mark Elliot Zuckerberg tu lainlah, dia dah kaya raya... awak tu yang nak masuk kerja pukul 8 pagi esok, kalau terlambat nanti, tak kena buang kerja tu memang dikira bernasib baik sangatlah.
     Tetapi itulah... kita nak tentang, nak boikot habis-habisan apa saja yang membabitkan dengan yahudi ini payah juga. Rasanya kalau makanan segera dari McDonalds tu memang dah sempat jadi darah daging. Starbuck itu pula, premisnya depan rumah aku aje. Minumannya memang tiada tolok bandingnya. Puas aku godak sendiri di dapur tu masih belum pernah lagi dapat rasa yang sama. Entah menatang apa yang dicampur ke dalam air keluaran dari Starbuck itu agaknya ye? Macam Facebook ini juga... kalaulah tiba-tiba ditutup, sudah tentu ada yang terjun masuk lombong.
     Aku dan teman-teman pun berjumpa dengan ihsan dari Facebook ini juga. Sudah berapa lama kami terpisah dan kini ditemukan kembali menerusi laman ini.
    “Hebatlah kepala otak Mark Zuckerberg tu,” ujarku sambil merenung mencari bintang yang dikatakan akan kelihatan bertaburan di dada langit.
      Adik berpaling memandang wajahku yang tiba-tiba memuji si bangsa Yahudi itu.
     “Emak dia beri makan apa agaknya sampai dia mampu mencipta Facebook ni. Muda lagi dah jadi billionaire. Belajar di Harvard tu bukannya tamat pun...” sambungku yang masih memikir betapa tinggi IQ lelaki itu dan sudah tentu banyak jasa si insan dari keturunan Yahudi ini kepada rakyat seluruh dunia.
    “Orang Melayu ni banyak makan belacan agaknya. Cuba kita kaji bahan yang digunakan untuk membuat belacan.”
      Aku toleh memandang wajah Adik untuk feedback darinya. Tetapi dia buat muka toya pula.
   “Udang geragau itu digaul dengan garam, dijemur, dikisar, dimampatkan dan diperam berminggu-minggu sebelum menjadi belacan yang bermutu tinggi untuk dijual.”
      Aku syok sendiri bercerita mengenai proses membuat belacan.
    “Itu sebab otak kita pun macam belacan aje,” omelku lagi cuba mengerti apa yang terjadi kepada setiap keturunan Nabi Allah Adam yang berbeza-beza kejadiannya, padahal dari keturunan yang sama.
    Tetapi memang sudah termaktub sejak awal lagi Qabil yang diperintahkan agar menikahi kembar Habil, tidak menyetujui perintah Allah kerana mahukan kembarnya sendiri yang dikatakan lebih cantik paras dan rupa. Dari situ sudah nampak betapa manusia ini memandang kepada kecantikan dan tidak secara langsung zuriat yang dilahirkan juga diantara yang cantik-cantik belaka. Manakala yang buruk rupa paras itu terpaksa menerima yang seganding dengan mereka pula.
   “Kenapa mama tiba-tiba sibuk pasal Mark Zuckerberg pulak ni?” bertanya si Adik pelik.
  “Saja... membaca anugerah Allah kepada setiap hambanya,” jawabku masih membayangkan jika Facebook ini sudah ada semasa zaman aku bersekolah dahulu... bagaimana agaknya?
  “Untung kita ni dilahirkan di sebuah negara yang aman. Cuba tengok Somalia tu, sibuk dengan krisis ekonomi... rakyatnya kebuluran. Rohingya pula sibuk dengan krisis keganasan kaum dan agama. Palestin pulak tak sudah-sudah dengan Israel berebutkan Baitulmuqaddis.”
  “Alah... Palestin tu, sejak tahun 1948 lagi asyik kena attack dengan Israel, kenapa masih tidak bersedia?” celah si Adik yang sama sibuk membaca kisah rakyat Palestin semenjak negara itu dihentam lagi dengan Israel.
  Aku pun tahulah sikit-sikit kisah Palestin tu. Hendak berdebat sangat karang bimbang salah maklumat, mahu kena tangkap dengan pihak yang berkuasa pula. Lagipun aku bukan sibuk nak pancing undi untuk pilihanraya?
  “Itulah... kita ni kena selalu bersyukur dengan apa yang kita ada. Tengok atok tu hidup semasa zaman pemerintahan Jepun, macam mana?”
  Aku tanya dia balik bila terkenang kembali kisah emak dan ayah ketika usia remaja mereka. Banyak emak ceritakan pada aku akan kesusahan di waktu itu. Kira aku ni bernasib baik sangat kerana hidup di zaman selepas merdeka. Bersyukur sangat kerana dapat ke sekolah, dapat pakai kereta mewah dan mampu bina sebuah rumah.
Namun rakyat di negara sendiri masih belum mahu bersyukur dengan apa yang diperolehi.
“Orang Malaysia ni kalau boleh makan pun mahu disuapkan,” kataku menambah cerita pada malam itu sementara menunggu keluarnya bintang beribu sebagaimana yang telah dicanangkan.
“Sekolah semua nak free... bantuan itu, bantuan ini. Bising kereta di Malaysia ni mahal, tetapi jalanraya tu penuh aje dengan kereta... siap sesak lagi tiap-tiap hari.”
Aku termenung sekejap teringatkan sudah lama aku tidak menjejakkan kaki pulang ke kampung halaman kerana tidak larat hendak meredah kesesakan lalu lintas. Nama aje menggunakan laluan lebuhraya, tetapi masih sahaja bergerak mengalahkan kura-kura. Nak salahkan siapa tu?
“Yang muda-mudanya malas bekerja, lebih suka melepak, merempit dan kalau kehabisan duit, ragut ajelah beg sesiapa yang punya. Kalau tidak pun redah masuk rumah orang yang penghuninya siang keluar mencari rezeki untuk membayar segala keperluan dan bil pada hujung bulan. Bila ramai kemasukan orang luar yang negara mereka di tahap kebuluran, pandai pula mereka marahkan kerajaan.”
Yang aku menungkan ni tentang nasib anak dan cucu aku pula. Bagaimana nasib mereka... masih aman lagikah dunia ketika itu kerana segala yang ku pelajari tentang tanda-tanda kiamat kecil itu sudah terbukti semuanya. Pembuangan bayi hasil dari perbuatan zina yang bermaharajalela, gempa bumi yang kerap berlaku dan orang yang hina mendapat kedudukan yang terhormat adalah diantara tanda-tanda yang termaktub di dalam himpunan hadis-hadis yang sahih mengenai tanda-tanda hari kiamat itu sudah dekat. Adoi! Meremang bulu romaku mengingatkan saat itu.
“Adik masuk dululah...  mama ni menakutkan aje,” kata si Adik sambil menyapu punggungnya dan menapak masuk ke dalam rumah.
Aku hanya menjuihkan bibir memandang langkahnya yang laju seolah-olah sudah diburu oleh Dajjal yang bermata satu. Hehehe...


Junie Octovian: "Barangsiapa bertaqwa kepada ALLAH... nescaya DIA menjadikan baginya jalan keluar."




No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...