May 19, 2014

Kucing Kontot Jiran Sebelah - part 3

“KENAPA Kak Ita tak nak ikut?”

“Kak Ita tu memang banyak anginnya. Nasib baik ada Abang Naz, boleh temankan. Kalau abang jadi abang Ina kan best?” ujar Azlina dengan senyum yang masih belum mahu padam.

“Boleh aje... apa ada hal? Tapi abang memang tak selalu ada kat sini. Balik hujung-hujung minggu aje.”



“Abang kerja apa?” soal Azlina ramah.
            
“Kerja bela binatang,” sahut Nazrin.

“Bela binatang? Kerja dekat Zoo Negara ke?” tanya Azlina lagi. Macam best aje... patutlah dia sayang sangat dengan kucingnya itu.

“Lebih kuranglah... tapi zoo yang kecil aje,” jawab Nazrin entah kenapa dia memang malas hendak memberitahu pekerjaannya yang sebenar.    

Azlina kurang mengerti maksud zoo kecil itu tetapi dia tidak tahu bagaimana mahu bertanya lagi. “Ooo... tentu abang sangat sayangkan binatang, kan?”

“Terutama kucing,” sahut Nazrin pantas.

“Si Toby tu pun abang dapat dari tempat kerja abang. Masa kecil dulu comot aje... kesian betul. Ibunya sendiri pun tak mahu menyusukan dia. Abang bawak balik, abang bela dia sampai sekarang ni,” cerita Nazrin bangga.
            
“E... eh! Kalau dengan anak sendiri macam mana agaknya ye?” soal Azlina seronok pula dengar ada lelaki yang sangat menyayangi binatang.

Biasanya yang dia nampak tu, main sepak-sepak ke tepi aje kalau ada anak-anak kucing yang bersepah di warung atau di kaki-kaki lima ni. Lelaki yang seorang ini pula rajin sangat nak pungut dan dibela. Hisy!

Nazrin berpaling memandang wajah yang bertanya. “Ina tak suka kucing?”

Kini Azlina pula berpaling memandang wajah Nazrin. Dia menggeleng. “Ina gelilah... tapi Kak Ita suka,” jawabnya tidak sudah-sudah menaikkan saham Azlita.

Nazrin angguk. “Sebab itu dia tolong mandikan kucing abang, kan?”

Azlina angguk dengan senyum nipis segaris. Namun di dalam hatinya mengelekek mengingatkan peristiwa si Toby yang disiram dengan air sewaktu Azlita menyiram pokok-pokok bunga di dalam pasu kepunyaan emaknya itu. Kelam kabut kakaknya mengeringkan si Toby bimbang si mamat tuan punya kucing itu pulang.

“Ina nak cari ayam Uncle Bob,” beritahu Azlina tentang mengapa dia beria-ia mahu ke pasar malam, malam itu.

“Emak abang kirim beli bawang merahlah... Ina pandai pilih tak?”

“Ala... apa abang tak cakap dari rumah tadi? Boleh ajak Kak Ita. Kak Ita memang pandai beli barang dapur ni,” ujar Azlina pula.

Memang kakaknya Azlita yang sering membeli barang keperluan dapur kerana emaknya orang yang bekerja. Masakan dia hendak menunggu emaknya balik dari pejabat untuk membeli bawang atau halia jika sudah kehabisan?

“Akak Ina tu muka dia ketat ajelah... takut abang nak tegur,” ujar Nazrin.

“Dia memang macam itulah bang,” sahut Azlina. “Emak cakap sebab emak tak ada anak lelaki agaknya.”

“Habis tu apa... emak abang tak ada anak perempuan, abang ni lembut ke?”

Mula dulu apabila dia diberitahu oleh emaknya, jiran rumah sebelah ada anak dara dua orang, bukan main sukanya dia. Tak sabar-sabar dia hendak melihat tempat baharu itu, manalah tahu kalau jodohnya ada di situ? Tetapi apabila melihat wajah cemberut Azlita, dia rasa kecewa dan putus harapan pula. Walau pun dia tidak suka dengan perempuan yang gedik-gedik, peramah tak tentu hala, tetapi kena yang terlalu jual mahal macam Azlita itu, dia menyampah juga.

Namun, jasa baik Azlita hendak memandikan si Toby kucing kesayangannya itu membuatkan hatinya menyimpan beberapa persen harapan. Dia berharap satu hari nanti dia dapat menyapa Azlita untuk mengucapkan terima kasih.

“E... eh! Ada tudung Ombak Rindulah... kalau Kak Ita ada, tentu dia suka!” jerit Azlina ternampak tudung keluaran terkini yang diminati oleh kakaknya ada tergayut-gayut di salah satu gerai di Pasar Malam itu.






Nazrin yang tidak mengerti apa yang dijeritkan oleh Azlina itu sama berhenti di depan gerai yang menjual pelbagai jenis tudung. Tadi dia mendengar Azlina menjerit Ombak Rindu... setahu dia ombak rindu itu nama sebuah novel tulisan Fauziah Ashaari yang telah diadaptasi ke filem. Di mana novelnya? Di situ dia nampak hanya ada tudung sahaja.

“Abang nak yang mana bang?” tanya empunya gerai.

Azlina sudah masuk ke dalam untuk membelek. Nazrin yang terpacak di depan itu terus sahaja menjawab tanpa sedar.

“Ombak rindu.”

“Ombak rindu yang baris sini bang,” ucap empunya gerai itu lembut menunjukkan ke arah barisan tudung yang diberikan nama Ombak Rindu bersempena novel itu barangkali.

Nazrin yang terpinga-pinga itu terus sahaja memilih warna merah jambu kerana dia selalu perasan Azlita suka memakai tudung berwarna itu. Tuan empunya gerai menurunkan warna yang dipilih oleh Nazrin. Tetapi apabila disuakan kepadanya, tudung itu sebenarnya ada berlapis dengan warna yang lain pula.

“Eh? Ada macam-macam warna ke?” tanya Nazrin.

“Itu sebab namanya Ombak Rindu bang,” kata empunya gerai.

“Bukan botingkek-tingkek ke?”

Tuan empunya gerai itu senyum sumbing. Sedap juga kut kalau diberi nama tudung botingkek-tingkek bersempena nama lagu dari kumpulan Waris itu?

“Berapa harganya ni?”

“Sembilan puluh lima aje, bang.”

Nazrin jatuh rahang. Gila mahal. “Kain apa korang guna ni?” soalnya pelik sambil membelek dan menggesel-geselkan jarinya untuk merasakan kain tudung yang mahal itu.

“Ini dari kain georgette bang,” sahut tuan punya gerai. Dia pun faham juga... lelaki ni bukan tahu tentang jenis kain. Jadi, dia sebagai penjual harus menerangkan kepada pembeli. “...lembut dan sejuk aje,” tambah si penjual lagi.

“Tak boleh kurang ke?” soal Nazrin cuba menawar.

“Ala bang... saya bukan ambil untung sangat,” sahut si empunya gerai.

Nazrin mencebikkan bibir. Mahal gila... kalau gaji tak berapa sen ni, memang nganga ajelah. 

“Bolehlah,” ucap Nazrin bersetuju untuk membelikan Azlita sebagai tanda terima kasih membela Toby semasa ketiadaannya.



 ~ bersambung



No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...