AKU
MASIH menghadap PC menulis walau hari sudah jauh malam. Bila idea itu datang
mencurah, akan ku tuliskan tidak kira pukul berapa. Sambil-sambil itu aku
jengah laman Facebook akibat ghairah baru bertemu teman lama.
Temanku Zaharah yang tinggal di Melaka, telah memuatnaik gambar-gambar yang diambil ketika mereka di persidangan pertama dahulu tanpa kehadiranku. Amboi! Sungguh riang ria mereka kala itu yang terpancar dari wajah masing-masing.
“Aku tak dapat nak join tau?” Teringat aku kata begitu di laman Facebook. “Korang enjoylah...aku join lain kali je.”
Mereka buat persidangan di Jalan Dato’ Ibrahim Majid. Sharifah Rohaya selaku tuan rumahnya telah bersiap sedia dengan hidangan yang memenuhi meja untuk menjamu tetamunya yang telah lebih 30 tahun tidak berjumpa.
Selepas jamuan, sebelah malam pula mereka dijemput ke kediaman Dato’ Sharifah Azizah. Jadi kepada sesiapa yang masih belum pulang dan masih bermalam di situ, sangat beruntunglah. Sharifah Azizah itu pula, adalah teman tidur sebantal makan sepinggan denganku semasa kami sama-sama di sekolah dulu. Walau dia anak ADUN kawasan tempat tinggal kami itu, namun dia seorang yang tidak memandang darjat. Sejak sekolah dia memang pandai berhujah... menurun bapanya barangkali sebab lepas sekolah aku dengar dia memang terus bergiat di dalam bidang politik.
Aku pula, pada tarikh mereka mengadakan persidangan pertama itu telah berangkat ke Australia melihat anakku yang dihantar untuk melanjutkan pelajarannya di sana. Sebelum ini anak-anak sibuk bercerita kisah mereka yang makan angin ke luar negeri dengan adanya tawaran penerbangan tambang murah dari pihak Air-Asia. Jika tidak, mahu meleleh air liur ajelah... nak harap tambang dengan MAS? Tunggu matahari terbit dari sebelah barat pun belum tentu dapat yang murah.
Beruntunglah mereka yang bekerja dengan kerajaan yang selalu ditaja ke hulu dan ke hilir keluar
negara menggunakan perkhidmatan MAS. Tetapi aku tetap bersyukur dengan rezeki yang aku dan
anak-anak perolehi. Kalau senang dia, senang kita juga, begitu aku selalu kata. Jadi bila anakku sibuk
minta aku ke tempat tinggalnya di Brisbane, yang terletak di dalam daerah Queensland di tanah besar
Australia itu, aku menurut sahaja.
Tidak secara langsung menambah pengalamanku yang bergerak sendiri ke benua itu.
“Mama berani ke pergi sendiri?” tanya salah seorang dari anak-anakku.
“Kan Angah dah cakap dia akan tunggu di airport? Kalau dia sampai lambat, mamalah yang kena tunggu dia,” sahutku tanpa rasa takut langsung.
Entah bagaimana keadaan di rantau orang itu belum lagi dapat ku gambarkan. Tetapi akan ku tuliskan segala yang kutemui sepanjang perjalanan itu dan akan ku bukukan untuk bacaan anak cucu. Begitu sekali semangat yang kutiup di dalam diriku ketika usia sudah mula condong ke ufuk barat.
Emak aku bising juga bila kuberitahu tentang hasratku yang akan ke sana sendirian.
“Nanti kena jual.”
Itu kata yang terpacul dari mulut emak pertama kali bila ku sampaikan berita padanya.
“Insya Allah tak lah mak... dekat sana nanti Angah tunggu di airport,” aku tenangkan hatinya.
Macam aku ni budak yang baru nak naik darjah satu aje dibuatnya. Terlupa pula dia bahawa anaknya ini dulu dihantar ke sekolah untuk belajar menulis dan membaca. Kalau tambangnya murah-murah, memang aku bawak dia sama. Biar dia merasa menjejakkan kaki ke negara orang.
Mekah tu lainlah... memang wajib bagi mereka yang berkemampuan dan alhamdulillah... emak sudahpun menunaikan rukun Islamnya yang kelima itu. Kesian emak... selama usianya asyik bertungkus lumus di dapur sahaja untuk menyediakan juadah keluarga dari pagi petang siang dan malam. Memang kami bukan berasal dari keluarga yang senang yang makan dihidang di hujung lutut.
Adik bongsuku Lela yang tinggal menemani dia di rumah pusaka itu selalu dimarah jika kerja tidak mengikut kehendak dan caranya. Menyidai kain baju ada susunannya, menyusun pinggan mangkuk di tempat pengering ada gayanya, mujur Lela tu mau menurun kepakaran memasaknya... jika tidak harus dah lari bawa tikar bantal ke rumah mentuanya pula. Aduhai, emak...emak!
...me & my beloved EMAK... |
Membesar dengan emak memang puas kena leter... sebab itu kami anak-anak perempuannya semua pandai ke dapur. Jika tidak mahu dengar ceramahnya, eloklah buat kerja tanpa bersuruh dan membantah. Semasa aku masih tinggal di bawah ketiaknya dulu, aku memang terkenal dengan kaki bodek...biarlah adik beradik menjeling menyampah, yang penting mood emak baik sepanjang hari. Biarlah aku penat sedikit mengambil alih kesemua kerja-kerja rumah itu asalkan emak senyum bahagia.
Emak juga sama membanting tulang membantu pendapatan ayah untuk menyara kami anak-anaknya. Emak tidak mahu kami jadi macam dia yang tidak berpeluang ke sekolah apatah lagi belajar tinggi seperti cucu-cucunya yang mampu menjejakkan kaki hingga ke universiti... yang berkelulusan lawyer, engineer, doktor dan pensyarah di Institut Pengajian Tinggi. Dia tumpang senyum dan gembira bila setiap kali majlis konvokesyen, dia akan dibawa sama untuk meraikannya.
“Lama ke?” tanya emak.
Mungkin dia risau juga kerana aku ada meninggalkan anak perempuan dua orang yang masih belum berkeluarga.
“Kalau ikut visa tu boleh tinggal selama 3 bulan. Tapi tengoklah macam mana keadaan,” jawabku pula.
“...tapi emak jangan risaulah...kita orang raya dengan emak tahun ni
nanti. Emak jaga diri, tak payah nak buat kerja macam orang muda. Lela dan
anak-anak dia kan ada?” tambahku lagi memberi pesan padanya yang sangat cerewet
itu.
Aku jeling jam dinding yang sudah menunjukkan hampir jam 2.00 pagi. Aku mengeliatkan badan membetulkan tulang belakang. Ah! Kena tidur ni... nanti dapat hipotensi susah. Sudahlah aku ni tidak pernah lagi pergi beriadah seperti mula-mula tinggal di sini dulu. Entah mengapa, malas betul hendak keluar dari rumah... macam tak cukup masa sahaja.
Aku menekan butang log-out pada PC... gambar-gambar teman yang kulayari di Facebook tadi sempat aku comment. Tidak sabar rasanya hendak berjumpa dengan mereka. Sebelum memejamkan mata di atas katil malam itu, aku memikir pula, apa hikmah Allah menemukan kami di usia sekarang ini? Jika semasa lepas-lepas sekolah dulu harus kami dapat melakukan sesuatu. Atau mungkin selepas usia pencen, kami dapat membentuk satu pertubuhan, kesatuan atau kelab? Hehehe... lawak pula rasanya. Aku mula mencari-cari nama yang cantik, yang sesuai untuk kelab atau persatuan kami semua nanti. Entah bila aku terlalai, aku pun tidak tahu...
Junie Octovian: Kisah ini telah ku coretkan lama dulu sebelum EMAK pergi dijemput ILAHI. Hari ini sempena HARI IBU... ku rakamkan kenangan indah itu kerana rinduku padanya
No comments:
Post a Comment