May 15, 2014

Rindu Itu Indah - part 3



SELEPAS Emak pergi menemui ILAHI, aku menulis sebuah cerpen yang ku tujukan khas buat EMAK ke majalah REMAJA untuk slot HARI IBU bulan mei 2013. Alhamdulillah... Cerpen tersebut diterima tetapi diterbitkan pada bulan Julai 2013.


Di bawah ini ku kongsikan dengan kalian... semoga yang membaca akan lebih menghargai jasa soerang ibu dan menyayangi mereka sementara masih ada hayatnya.

Emak Oh Emak!

               
AKU dikejutkan oleh emak pagi itu untuk solat subuh. Jam di sisi, ku kerling dengan mata yang 
masih kuyu mamai kerana tidur sedikit lewat semalam daripada biasa.

“Enam suku?”

Aku terus melompat turun dari katil dan masuk ke bilik air. Gilalah. Ini yang aku tidak suka kalau 
berjaga hingga lewat malam, akibatnya aku memang tidak sempat hendak mandi dulu sebelum
menunaikan solat subuh pagi itu.
          
Usai solat baru aku sambung masuk ke bilik air untuk mandi. Rambutku yang panjang mengurai mengalahkan Rapunzel itu tidak memungkinkan aku mandi kerbau. Apatah lagi di cuaca yang 
panas sekarang ini, hari-hari aku harus mencuci rambut untuk mengelak dari mendapat sakit kepala. 
        
Sambil aku berkira-kira memikir sarapan apa yang hendak dimasak pagi itu, aku tiba-tiba teringat pagi tadi aku dikejut bangunkan oleh emak. Serius! Memang emak yang datang menarik ibu jari kakiku.
         
“Bangun! Tak subuh ke?”
         
Begitu suara emak jelas kedengaran di dalam bilik yang kelam suram itu. Pelik! Sebiji aku nampak kelibat emak macam biasa. Emak rindu agaknya, hatiku berbisik. Baru saja minggu lepas aku pulang menjengoknya. Kenapa?
         
Setelah bersiap untuk keluar dari rumah, tiba-tiba telefon rumahku berdering. Nak angkat ke tak nak? Dalam hatiku mengira. Angkat ajelah, siapa tahu ada berita gembira?
         
“Andak!” tanpa salam adik bongsuku yang tinggal dengan emak bersuara sayu.
          
“Kenapa?” tanyaku sedikit meninggikan suara kerana dia di sebelah sana talian payah pula hendak memberitahu apa ceritanya.

Namun, di dalam hatiku sudah seakan tahu apa yang sedang berlaku dan apa berita yang mungkin sampai ke gegendang telingaku pagi itu beriring dengan nada dari suara adikku tadi.
         
“Emak dah tak boleh bergerak,” ujarnya dengan suara yang masih tersekat-sekat.
          
“Dekat mana ni?” soalku.
          
“Dalam ambulans... on the way ke hospital.”
          
“Okey!” jawabku terus mematikan talian.
          
Hidup lawannya mati. Aku ulang ayat itu berkali-kali agar aku dapat menerima takdir Ilahi. Walau aku cuba relaks menerima berita itu tadi, namun jantungku berdegup kencang. Entah tempo apa yang dimainkan aku sudah hilang perkiraan. Emak yang masuk usia 80-an itu ku ragukan. Emak memang tidak pernah sakit. Kalau setakat demam dan batuk, biasalah.
           
“Emak ni kalau sakit, terus bawak maut agaknya,” kata emak dulu semasa kami selalu bertanya khabar tentang kesihatannya.

Teringat akan kata-katanya itu membuatkan aku terus bergegas masuk ke bilik. Beg baju yang dibawa semasa pulang menjengok emak minggu lepas yang masih belum bersimpan itu ku capai dan ku sumbatkan ke dalamnya dengan beberapa pasang lagi baju kurung. Laci bawah ditarik untuk mencari tudung yang bersesuaian dengan baju yang ku pilih. Sempat lagi tu!

Tiba-tiba sahaja aku jadi sayu hati. Baru minggu lepas aku balik melihatnya, dia kelihatan sihat sahaja dan kami sempat bergelak ketawa mengungkit cerita lama.

“Ngah kamu tu dulu masa zaman dia sekolah, bukan boleh bajunya diletak kanji. Habis direndamnya balik.”

Emak buka cerita ketika melihat adik bongsuku menggosok pakaian sekolah anaknya. Aku dan dua adik perempuanku memang agak rapat. Setiap kali aku pulang menziarah emak, aku akan khabarkan kepada Uteh agar dia sama dapat berkumpul denganku di situ. Malam itu kami bertiga beradik perempuan gelak guling-guling mendengar kisah lama dari emak.

“Balik sekolah, campak beg, tukar baju dah keluar pergi main. Dulu bukan ada komputer game semua ni. Itulah kat luar rumah... kalau tak main layang-layang , dia pergi main guli. Kalau tidak, pergi cari tepi parit, dia sibuk menangkap ikan keli.” Tambah emak lagi.

Seronok benar emak bercerita tentang anak keduanya itu yang meninggalkan banyak kenangan.  Kami jarang bertemu dengannya kerana Ngah masuk ke sekolah berasrama penuh dan seterusnya ke universiti. Ayah tak ada kereta nak jengah Ngah di asrama, jadi kami hanya bertemu Ngah pada cuti semesternya sahaja. Setiap kali  Ngah beritahu dia hendak pulang bercuti, beria-ia emak akan memasak lauk kegemaran Ngah. Macam emak si Tanggang pun ada. Mungkin emak asyik bercerita tentang Ngah waktu itu kerana emak rindukannya.

“Ngah ada telefon kamu?”

Emak tanya aku satu hari semasa aku bawa dia tinggal denganku.

“Tak ada mak... dia keluar negeri agaknya,” jawabku memujuk hati emak.

“Dulu dia rajin tulis surat pada emak. Dia tahu emak tak pandai baca tulisan rumi, dia tulis dalam tulisan jawi,” tutur emak yang duduk bersila di atas sofa menghadap TV yang menayangkan filem Pendekar Bujang Lapok pagi itu.

Emak memang suka dapat surat kerana dia tidak berahi dengan telefon bimbit yang dibekalkan oleh adikku yang menjadi guru di Simpang Renggam itu. Uteh juga merupakan anak kebanggaan emak kerana mengikut kehendak emak yang inginkan anak perempuannya menjadi guru. Walau Uteh mengajar di daerah berlainan, namun Uteh mampu menjengok emak lebih kerap.

“Emak ni... orang dah bekalkan handphone tu, call ajelah kalau rindu,” tegur Uteh bila emak mengadu padanya.

“Emak manalah pandai nak SMS tu? Kalau bercakap lama-lama, panas telinga emak jadinya.”

Macam-macam saja alasan emak. Aku mengerti sebab itu aku selalu mengirimkan dia kad, tidak kira perayaan apapun. Mungkin kalau surat dan kad yang dikirimkan itu, dia boleh selalu menatapnya barangkali. Sebab itu dia tidak hairan dengan telefon bimbit yang Uteh bekalkan itu.

Semasa aku tinggal sekejap di Kuching Sarawak, kad perayaan Gawai Dayak pun ku kirimkan juga sebagai tanda ingatanku padanya. Kalau kad raya, aku kirim yang besar setebang dan bila dibuka, siap keluar  lagu raya. Emak suka yang itu, dia akan senyum sepanjang masa.

Pada perayaan Hari Ibu pula aku kirimkan sejumlah wang kepada abang sulongku untuk dibelikan sebiji kek. Bukan nak kata abangku tak mampu, cuma ingatan abang tak sampai ke situ.

“Nanti abang belikan sebiji kek, tulis atasnya Happy Mother’s Day. Hantar ke rumah mak, tau?”
Sengaja aku lakukan sedemikian untuk memperlihatkan kepada emak bahawa abang masih ingat dan sayang padanya. Tidak secara langsung, dengan amanah dariku itu, abang terpaksa ke rumah emak pada hari tersebut. Kebetulan pula abang sulongku tinggal satu daerah dengan emak.

“Abang kamu yang dekat tu pun, susah sangat nak jengok emak,” adu emak padaku.

Entah mengapa abang memang macam tak rapat dengan emak. Sejak dia mendirikan rumahtangga, tidak pernah dia tinggal bermalam di rumah emak. Datang macam sibu-sibu basuh berak, kata emak. Belum panas punggung, dah nak balik.

“Uda kamu tu dah eloklah sikit sekarang ni, dah selalu balik walaupun sekejap,” cerita emak tentang kakakku.

“Alhamdulillah,” sahutku yang melayan dia berbual mencurahkan perasaannya.

Aku faham sangat perasaan emak yang sudah lama ditinggalkan oleh ayah. Seperti aku juga, bila suamiku pergi mendahului aku dijemput Ilahi. Terasa kosong benar hari-hari yang ku lalui. Walau suamiku dulu pun bukan seorang yang peramah orangnya. Jadi aku dengan emak mungkin saling memahami perasaan masing-masing.

“Tak apalah mak... apa yang dia lakukan itu semuanya nanti untuk emak juga,” pujukku pada emak yang sensitif sungguh hatinya sekarang ini.

Uda memang patuh dengan perintah suaminya, sehingga waktu ayah dikhabarkan meninggal dunia, Uda tidak pulang untuk menatap wajah ayah buat kali terakhir. Emak sedih sebab Uda adalah anak kesayangan ayah. Berulang kali emak cakap benda yang sama sampai aku sendiri rasa cemburu mendengarnya.

“Nasib baik Uteh tu dengar cakap emak pilih jadi guru. Sekarang ni siapa yang senang?” luah emak satu persatu pada kali terakhir dia tinggal bersamaku.

Kasihan emak. Dia tidak betah tinggal dengan anak-anaknya di bandar. Kalau mengikut pun paling lama sebulan sahaja dia boleh bertahan. Lepas dari itu mesti dia sudah gelisah minta dihantarkan pulang semula ke rumahnya. Bukan ada bela ayam itik pun? Tetapi emak ada aktivitinya sendiri, dia ada kawan kumpulannya yang akan ke surau untuk berjemaah dan menghadiri kuliah agama. Namun sebenarnya, emak lebih selesa di rumahnya sendiri.

Aku sempat bawa emak ke gedung membeli belah semasa dia mengikut aku pulang. Aku mahu  dia merasai apa yang diceritakan oleh orang selama ini. Aku bawa dia menikmati keindahan malam dengan lampu neon yang berwarna warni.

“Tinggal sama dalam Selangor pun susah sangat nak jumpa,” tegur emak yang bertanyakan tentang anak saudaranya yang tinggal di Ampang yang pernah dibela semasa kecil dahulu.

Sampai tertidur-tidur emak di tempat duduk belakang, semasa perjalanan pulang dari Ampang ke Shah Alam sahaja. Aku ikutkan keinginannya dan biar dia tahu masalah yang dihadapi oleh kami yang tinggal di kota ini. Kena pula kami ke sana pada hari Sabtu... memang masaklah.

“Tak adalah jauh sangat mak, cuma di sini jalanrayanya asyik sesak aje. Tak dapat nak pandu laju-laju,” ujarku menerangkan kepada emak tentang kesesakan yang sering berlaku di daerah tempat tinggalku pula.

“Kalau bulan puasa ni kena siap-siap bawak bekal untuk berbuka,” emak pula sempat mengingatkan ketika kami tersangkut di persimpangan dari Sunway ke USJ pada suatu petang. Azan Maghrib berkumandang didengar dari dalam kereta yang tidak bergerak itu.

“Tak bergerak pun kereta, bila yang boleh sampai ke rumah ni?” leter emak.

Itulah hidayah yang Allah beri padaku bila aku diduga untuk hidup sendiri barangkali. Dapat melayan emak tanpa perlu izin suami. Aku bawa emak ke mana sahaja aku pergi. Walau dia tidak lagi larat hendak ke hulu dan ke hilir mengikut langkah kami. Aku mahu dia melihat sendiri dan merasai pembangunan negara yang dahulunya dia sama memperjuangkan akan kemerdekaannya.

Namun di usianya itu, tiada apa-apa lagi yang dapat menarik perhatiannya. Dia hanya bersyukur kerana anak dan cucu hidup bahagia dan berjaya. Dia masih merindukan rumah dan kampung halamannya. Waktu hendak balik, aku sayu hati hendak meninggalkannya. Aku peluk dia erat, ku cium emak bertalu-talu.

“Idah sayang emak,” bisikku padanya.

“Emak sayang semua anak-anak emak,” jawabnya.

Aku masih ingat lagi kata-kata itu sebelum aku bergerak meninggalkan dia di pintu pagar rumahnya. Dia melambai sehingga hilang kelibat keretaku dari pandangan yang sempat aku kerling dari cermin pandang belakang. Sayu dan menusuk jiwa.

Sepanjang perjalanan,  mindaku terus memutar kenangan hidup selama aku membesar bersama emak. Aku buat kajian sendiri mengapa anak-anak emak liat hendak menjengok emak? Mungkin sebab dia tegas orangnya, kalau dia dah cakap tak boleh atau jangan, memang tak boleh bantah langsung. Emak pula, kalau menegur tak main berkias-kias. Mulutnya memang laser dan cakap main redah sahaja. Entah mengapa aku memang takut dengan emak walau emak tidak sebesar mana dan hanya orang biasa-biasa sahaja.

Dia juga seorang yang perfectionist... kalau kerja harus mengikut caranya. Menyusun atur pinggan mangkuk di rak pengering ada gayanya. Menyidai kain baju di ampaian harus kena barisnya. Ya ampun! Mana menantu perempuan emak hendak sebulu dengannya? Sebab itu aku perasan kakak iparku memang tidak pernah tinggal lama-lama dengan emak. Panas punggung mereka dengan cara emak itu.

Orang lain tidak suka, aku tidak peduli. Jahat dan buruk macam mana pun, dia adalah emak yang menjasadkan aku...yang memelihara aku sedari kecil sehingga mampu berdiri di atas dua kaki sendiri. 

Aku cuba fahami hati dan perasaan emak yang banyak bercerita tentang kisah hidupnya yang dilahirkan di zaman sebelum merdeka. Perit dan azab katanya. Mungkin sebab itu juga dia marah sungguh dengan anak-anaknya yang tidak tahu menghargai erti kemudahan dan kesenangan yang diperolehi.

“Engkau orang ni semua kena banyak-banyak bersyukur dengan apa yang ada. Suasana yang aman, makan dan minum pun senang... kerja ajalah rajin-rajin,” tutur emak mengingatkan kami anak-anaknya yang berjaya menjadi orang semuanya.

Alhamdulillah, hati kecilku menyambut. Memang anak-anak emak baik lelaki mahupun perempuan, tiada yang menjadi kutu tepi jalan, tiada yang terlibat dalam kegiatan merempit dan mengambil dadah... nauzubillah.

“Bila ambil tenaga dari luar, jadi bahan kemarahan. Sedangkan anak bumi sendiri tidak mahu kerja yang berat sikit. Kalau boleh makan pun hendak disuapkan,” leter emak pada kami. “Kalau nak gaji besar, belajarlah pandai-pandai,” pesannya lagi.

Emak memang seorang yang kuat membebel. Ada sahaja yang tidak kena pada pandangan matanya... seolah masih ada benda yang buat dia rasa tidak berpuas hati. Bebelan emak sudah bagaikan lagu di telinga kami. Anak-anak yang sudah besar panjang semuanya itu sudah pasti tidak suka apatah lagi jika melibatkan ahli keluarga mereka.

Pada hari emak dilaporkan jatuh sakit, bilik wad yang menempatkan emak itu diserbu seolah ada jualan murah pula. Setiap waktu melawat, katil emak dikelilingi oleh teman-temannya. Emak memang dikenali di kalangan jiran tetangga sebagai seorang yang ringan tulang dan murah hati. Apatah lagi dia adalah seorang guru yang mengajar anak-anak di situ mengaji Al-Quran.

Emak sempat melemparkan senyum bangga tengahari itu semasa di wad hospital kerana semua anak-anak yang dirindukannya ada mengelilingi dia. Emak kelihatan sangat uzur tetapi ingatannya masih tajam.

“Sembahyang jangan lupa, itu tiang agama,” pesan emak terakhir kali sebelum dia menutup mata dan terus tidak lagi bersuara.

Doktor dan jururawat bergegas mendapatkan emak yang sudah terdiam itu. Padahal selama beberapa hari dia terlantar di katil wad itu, dia ramah menegur mereka. Aku yang menunggu emak pada pagi Jumaat itu diarahkan keluar kerana mereka mahu lakukan pemeriksaan ke atasnya.

Automatik airmataku merembes keluar tanpa malu di hadapan doktor dan para jururawat yang berada di bilik itu. Aku menapak keluar dan terus menelefon adik beradikku tentang perubahan yang baru berlaku.

Emak membuka matanya buat kali terakhir. Seorang demi seorang anak-anak yang mengelilinginya direnung tanpa kata. Aku yang berada di bahagian hujung kepala memeluknya dan membisikkan kalimah syahadah ke telinga kanannya sebelum dia menutup kembali mata dan menghembuskan nafas terakhir. Innalillahi wainna ilaihirajiun.

Begitu kehendak Allah... emak pergi jua akhirnya setelah meninggalkan bermacam-macam pesanan dan berpuas hati melihat anak-anaknya semua ada di sisi.

“Emak sayang semua anak-anak emak.”

Aku seakan terdengar bisikan suaranya di telingaku. Aku renung wajah emak yang sudah kaku. Ternyata aku sudah tiada lagi tempat untuk mengadu. Mungkinkah yang mengejutkan aku untuk bangun solat subuh pagi itu merupakan roh emak yang sudah hendak pergi meninggalkan aku?


TAMAT


Junie Octovian: 








No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...