Bab 1
JIRAN yang baru pindah masuk ke rumah sebelah itu memekak betul. Sebelum ni bukan main aman damai aje... boleh tidur sampai tengahari kalau waktu tak ada kelas sebelah pagi. Bukannya ramai sangat keluarganya... tetapi bunyi enjin motor anak bujangnya yang seorang itu yang menyakitkan hati. Itulah... dulu semasa rumah itu terbiar kosong, masing-masing sibuk berdoa agar yang duduk situ nanti biarlah dari kalangan keluarga orang Melayu pula. Habis sederet rumah teres dua tingkat itu dihuni oleh keluarga bukan Melayu. Kalau dapat yang berbangsa Melayu, bolehlah bertegur sapa.
Yalah... bangsa Melayu kita kebanyakannya dari golongan sederhana sahaja dan kebanyakannya pula hanya mampu memiliki rumah murah atau kos sederhana. Siapa yang sanggup hendak membayar beribu sebulan untuk harga sebuah rumah? Makanya, kalau buat pinjaman pula hampir sepanjang usia bekerja, masih terikat lagi dengan bayaran bulanan harga rumah. Hisy!
Namun, sebagai rakyat Malaysia, kita harus bersyukur dengan segala kemudahan dan pinjaman yang diberikan oleh pihak-pihak tertentu. Kepada sesiapa yang sudah pernah merantau keluar negara, mereka tentu dapat membandingkan apa kebaikan yang ada di negara sendiri, bak kata pepatah, hujan emas di negeri orang... hujan batu di negeri sendiri.
Jadi, Encik Talib yang sudah biasa merantau bekerja dari satu daerah ke satu daerah seumpama masyarakat dari kaum nomad itu, memilih untuk terus bermastautin di daerah yang terpilih itu akhirnya. Apatah lagi, dua orang anak perempuannya itu masih lagi belajar, Encik Talib merasakan daerah itulah yang masih lagi murah hartanahnya berbanding di dalam kota metropolitan itu sendiri. Namun, apa yang hendak dirisaukan sekarang ini? Semua kemudahan pengangkutan ada disediakan oleh pihak kerajaan untuk kemudahan rakyatnya.
Bila Tahun Baru Cina, ambik kau... macam berada dekat medan perang bunyinya. Bila musim perayaan Thaipusam pun macam tu juga... habis jalan ditutup untuk memberikan laluan kepada kumpulan perarakan mereka yang beragama Hindu itu. Manakala sampai masa sambutan Hariraya, senyap sunyi macam lepas dilanggar garuda. Ke mana semua orang Melayunya?
Encik Talib yang tinggal sekeluarga dengan dua orang anak daranya itu berharap sungguh-sungguh agar dapat berjiran dengan orang Melayu. Bukan tak ada langsung, boleh dikira sangat entah berapa kerat sahaja. Kena pula masing-masing bekerja, memang tidak berpeluang langsung hendak berkenal mesra. Masa mereka memilih untuk membeli rumah di kawasan itu, mana sangka tidak ramai orang Melayunya? Sudah hampir lima tahun mereka sekeluarga tinggal di situ, masih belum lagi kenal rapat dengan jiran tetangga. Main lambai-lambai hai-hai bai-bai macam lagu Ezlynn aje. Itupun dari dalam kereta bila kebetulan lintas lalu depan rumah itu nampak mereka berada di luar.
Alhamdulillah, mereka merasa seronok sakan bila dapat tahu rumah sebelah itu bakal dihuni oleh keluarga Melayu. Tetapi tidak disangka pula anak bujangnya ada mempunyai motosikal berkuasa tinggi yang bunyinya boleh membelah bumi. Ya ampun! Encik Talib sekeluarga berpandangan diantara satu dengan yang lain apabila bunyi enjin motosikal berkuasa tinggi itu kedengaran hampir di rumah mereka setiap hujung minggu.
“Aku nak studylah!” jerit anak perempuan Encik Talib yang sulong.
Puan Suhana menelek jam di dinding atas TV. Sudah hampir jam 1.00 pagi. Kebetulan esoknya hari minggu, maka Puan Suhana ralit mengait sambil meneman anak sulongnya itu mengulangkaji untuk peperiksaan semesternya.
“Isy! Kakak ni, pedulikan ajelah,” kata Puan Suhana menegur anak daranya yang bersuara sedikit lantang itu.
“Tak kan tengah malam buta dah nak gerak pergi kerja kut?” jawab Azlita marah. Bukan jauh sangat KL tu?
Apa yang dia tidak tahu sebenarnya, si mamat anak pakcik sebelah rumah itu memang geram dengan mulut celopar anak dara Encik Talib itu. Hari pertama elok dia baru sampai mencari nombor rumah keluarganya yang baru berpindah masuk ke situ, minah sebelah rumah itu sedang menghambat kucing kesayangannya yang berekor kontot serupa arnab. Hisy! Rasa nak dibaginya pelempang minah yang mulutnya macam murai tercabut ekor itu.
Nazrin memang sudah tahu si Toby kucing kesayangannya itu sangat mengada-ngada. Sudah berbuih mulut Puan Zaiton dan Encik Johari meleterkan anaknya agar dijual sahaja Toby dari kucing baka Maine Coon itu. Menyusahkan betul. Banyak betul belanja yang harus dikeluarkan untuk membela kucing seekor itu. Pasir tempat beraknya sahaja berharga RM14.00 sekilogram yang ada bauan lavender. Itu sebab jika pasirnya kehabisan, ia mulalah mencari tempat yang selesa. Pagi Toby dihambat oleh minah rumah sebelahnya itu, Toby dikatakan melepaskan hajatnya di atas tilam bilik tidurnya.
Muahahaha... Nazrin ketawa di dalam hati. Padan muka dia!
“Mama!” jerit Nazrin pagi itu bila dia mencari pasir untuk Toby tidak ditemui. Barang rumahnya masih belum siap berkemas lagi... mana nak jumpa?
“Mama kat atas!” sahut Puan Zaiton yang sedang memanjat kerusi memasang langsir.
“
Mana pasir si Toby ni, dia dah mengais-ngais ni ma!” jerit Nazrin lagi.
Mana pasir si Toby ni, dia dah mengais-ngais ni ma!” jerit Nazrin lagi.
“Dah habislah Naz... ayah cakap dia tak jumpa pet shop lagi!”
Nazrin jadi tidak tentu arah, dia cepat memasang gelang leher si Toby dan dibawa keluar ke taman yang terletak kira-kira 50 meter jauhnya di hadapan rumah.
Azlita sedang menjemur pakaian ketika pintu pagar rumah bernombor 13 itu terbuka. Dia hanya menjeling kelibat Nazrin yang membawa kucing ekor kontotnya itu keluar ke taman.
Eleh! Berangan nak bela anjinglah tu. Kucing pun nak diikatnya dengan tali, getus Azlita dalam hati.
“Amoi! Tak sekolah ka ini hari?”
Tiba-tiba Encik Chan dari rumah sebelah nombor 9 menegur dalam pelat Cinanya. Entah macam mana mereka boleh dapat jiran yang berbangsa Cina tetapi sangat peramah pula orangnya.
“Hari minggulah Mr. Chan,” jawab Azlita.
Apalah apek ni, macam tak ada idea. Tanyalah dah breakfast ke belum? Ada ke tanya tak pergi sekolah?
Seminggu itu, mamat sebelah menghilangkan diri. Macam jauh sangat KL dengan Setia Alam ni, desis Azlita dalam hati. Bukan apa, kalau mamat sebelah tu tak ada, si kucing ekor kontotnya itu ambil kesempatan untuk bermastautin di rumahnya pula. Hisy! Siapa yang hendak melayan ia ke taman di seberang jalan tu untuk melepaskan hajatnya? Siapa pula yang hendak bermurah hati membelikan pasir untuk keperluan kucing ekor kontotnya itu?
Emaknya pula sudah terjerit-jerit kerana si kontot itu sibuk mengais-ngais di atas sofa. Mujur pula Puan Suhana terpandang waktu itu jadi Azlita sempat melemparnya keluar rumah. Namun kucing yang kontot ekornya itu semakin sayang pula dengan Azlita yang sikapnya agak kasar dan garang itu. Semakin dihalau, semakin ia datang mendekati. Pantang Azlita duduk di sofa menonton TV, menyodok-yodok kepala si kontot mohon menumpang duduk di ribaannya... paling tidak pun dapat di tepi untuk menumpang panas badan Azlita pun jadilah. Eeee... tak kuasa! Bisik hati Azlita.
“Toby! Toby!” terdengar suara Puan Zaiton dari rumah sebelah memanggil kucing anak kesayangannya itu. “Dah beberapa hari ia tak balik rumahlah bang, risau saya. Kalau Naz tau kucingnya hilang, tentu dia mengamuk,” omel Puan Zaiton lagi.
“Tempat baru ni, sesat agaknya,” sahut Encik Johari pula.
“Esok petang Naz balik, nak cakap apa?” soal Puan Zaiton pula. Tidak senang hatinya bila Toby tidak ditemui.
“Nanti kita buat flyer suruh guard tu tampal dekat pondok postnya. Sesiapa yang terjumpa suruh dia orang call kita,” arah Encik Johari.
“Saya dah cakap dari hari tu sebelum pindah... jualkan aje. Kalau tidak beri pada mak su dia di kampung tu, kan senang?”
“Ala...dah nak hilang, nak buat macam mana? Mudah-mudahan orang yang jumpa dengan Toby tu, orang yang baik-baik,” ucap Encik Johari memujuk isterinya.
“Nazrin pun nak bela sangat tapi bukan dia ada di sini untuk menjaganya,” bebel Puan Zaiton lagi.
“Kalau Toby tu tak balik, macam mana makanannya di dalam bekas ni boleh luak pulak?” tanya Encik Johari.
Puan Zaiton cepat mendekati suaminya.
“Ada kucing lain yang masuk ke dapur kita ke?” tanya Puan Zaiton bimbang kerana bekas makanan Toby itu diletakkan di sebelah pintu dapur berdekatan dengan bilik air bagi memudahkan Toby mencari air untuk diminum dari dalam bekas yang tersedia di dalam bilik air itu.
“Kucing lain mana pulak?”
“Habis tu... siapa pulak yang hendak makan makanan Toby ni?”
“Tikus agaknya,” teka Encik Johari pula.
“Wah! Macam tu lebih baik bela Toby dari bela tikus,” ujar Puan Zaiton terasa perlu pula kucing ekor kontot itu.
~ bersambung
No comments:
Post a Comment