Budi yang ku tabur pada tanah depan rumah yang seluas hanya sekangkang kera itu tidak sangka dapat menghasilkan sesuatu yang baik. Hanya dengan sebatang pokok cili merah, serumpun serai, dua biji nenas yang diambil jambulnya ketika sibuk membuat jem nenas untuk di buat tart musim raya tahun entah bila dan timun ke peria ke aku pun tak tahu lagi ni kerana baru keluar bunga aje.
Setakat aku, akak dan adik, memang tak payah nak ke pasar pun. InsyaAllah akan ku hasilkan menu dari tuaian itu nanti dan ku masukkan ke blog ini untuk tatapan followers. Nenas, cili merah dan serai boleh menghasilkan 'pajeri nenas' dan timun serta cili merah itu pula dapat menghasilkan 'acar timun'. Sudah tentu la kena ada ramuan lain juga, aisehmen! Paling malas pun cili merah tu jadikan sambal belacan aje dan makan dengan 'nasi lelapan'. Pergh! Mesti kekenyangan sampai lupa nak jemput adik balik dari kelasnya.
Memang sejak dulu aku suka bercucuk tanam. Pantang ada tanah lapang sikit, jumpa cangkul, semua jadi. Dalam adik beradik tu, cuma aku dan Ngah sahaja yang berminat menyangkul ni. Dalam anak-anak yang empat ni pulak cuma sorang aje yang menurun. Minat ni memang tak boleh nak dipaksa...aku dah faham sangat-sangat. Kalau nak menyiramnya pun sampai nak kena mintak tolong, aku memang lebih rela buat sendiri. Kalau pokok tu mati pun aku tak boleh nak marahkan sesiapa. Tak sakit hati. Ngah pun akui akan kata-kata ku ini ketika kami bersembang bercerita tentang minat kami yang sama. Nostalgia pulak jadinya.
Musim-musim hujan ni teringatkan masa di kampung dulu, sibuk mencabut ubi kayu hasil tanaman sendiri, nak dijadikan ubi rebus, makan dengan sambal tumis ikan bilis atau ikan masin. Mak ai! Meliur dah ni. Buat kopi panas dengan serbuk kopi cap televisyen yang famous di Kluang tu. Selalunya aku dengan Jude la...berborak tak ingat dunia...anak-anak melongo tumpang mendengar cerita entah apa-apa. Kalau berjumpa tu tak cukup mulut rasanya....dari matahari tenggelam dah nak timbul semula...sampai kak Misah rumah belah depan tu salah sangka.
Dari ubi kayu sahaja dapat menghasilkan pelbagai benda. Bukan sahaja untuk direbus, boleh buat kerepek juga, getuk ubi, bingka ubi, lepat ubi, tapai ubi dan sebagainya. Bukan payah pun nak tanam ubi kayu ni. Cacak aje la batang ubi tu dalam tanah tapi jangan menyongsang pulak. Aku pernah menghasilkan 'sup ubi kayu'. Simple sahaja resepinya: Ikan bilis ditumbuk bersama dengan bawang putih, ditumis dengan hirisan bawang merah sampai kuning dan naik bau. Masukkan beberapa tongkol ubi kayu yang telah dibersihkan terlebih dahulu dan masukkan air secukupnya. Biarkan sehingga ubi kayu itu empuk. Taburkan garam secukup rasa. Akhir sekali masukkan cili merah yang di belah empat untuk mendapatkan sedikit rasa pedas. Cuba la!
Budi ku pada hasil masakan. Aku suka memasak. Suami dan anak-anak pula suka menghabiskannya. Lepas ni tak tau siapa diantara dua anak perempuan ku ini yang berminat untuk menghasilkan menu masakan ku? Lebih bahagia jika menu itu terhasil dari sayuran yang ditanam sendiri. Tak kira la kalau hanya dengan menanam pandan yang boleh menghasilkan segala macam kuih muih, especially 'pengat pisang'. Makanan petang kegemaran Emak dan Ngah. Wah! Nostalgia lagi....
Pandan yang Emak tanam di belakang rumah Simpang Renggam tu dah boleh dibuat berniaga cendol. Lebat sungguh! Itu la untungnya berbudi pada tanah.....
No comments:
Post a Comment