December 29, 2010

Tuhan sahaja yang tahu...

     Kita bawa kisah lain minggu ni kerana kisah dengan Micheal tu dah tersangkut di situ sahaja. Sesekali memang dia ada call, tapi dah aku yang cakap kena 'go with the flow' maka tak ada la cerita yang menarik nak dikongsikan bersama.

     Kisah aku dan Latifah bermula begini..........................................


     Kami merupakan kumpulan pertama yang dihantar ke Kalimantan Barat untuk projek membuka perkebunan baharu di daerah yang bernama Sanggau. Suamiku dan the colleaques sudah pun bertempat di sana. Manakala kami, ahli keluarga 'the pioneer' mengikut kemudian kerana masalah anak yang masih bersekolah, yang sedang dan akan menduduki peperiksaan dan isteri yang bekerja.
     Kami ditempatkan di bandar Kuching, Sarawak. Keluarga ku pula sedikit bernasib baik kerana suamiku berjaya mendapatkan sebuah rumah betul-betul di tengah bandar. Anak-anak boleh ke sekolah dengan hanya berjalan kaki sahaja. Bahagia...itu sahajalah yang boleh diungkapkan ketika itu. Aku memang tidak ada masalah untuk tinggal di mana-mana pun. Pada pendapat aku, di mana-mana pun kehidupan tu sama sahaja kerana kita yang mengemudikan cara hidup kita itu.
     Setiap hujung minggu, untuk melepaskan bebanan kerja, kami akan mengadakan perjumpaan di tempat-tempat tertentu. Para suami di satu meja masih dengan cerita-cerita dan masalah-masalah berkenaan dengan projek yang mereka kendalikann itu. Manakala para isteri pula di satu meja lain. Biasalah orang-orang perempuan ni, kisahnya berkisar tentang shopping yang tidak berkesudahan apatah lagi kami yang biasanya tinggal di dalam kawasan perladangan tiba-tiba terdampar di tengah bandar.
     Hamsiah, isteri bos besar kami tu, lebih berminat bercerita tentang kemajuan anak-anak. Dia yang tiba lebih awal dari kami semua, akan memberitahu di manakah tempat yang baik untuk kelas tiusyen, kelas muzik, kelas melukis dan sebagainya.
     Norisah, antara yang termuda diantara kami semua, masih belum dikurniakan anak. Maka, dia lebih gemar bercerita tentang resepi-resepi terbarunya. Dia rajin memasak. Segala masakan yang dicuba akan dibawa ke rumahku untuk dirasa.
     Weekdays....kami tinggal dengan anak-anak. Suami masing-masing sudah menyeberang menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan oleh pihak majikan. Oleh kerana sudah begitu kehendak alam, maka kami berjanji untuk saling mempercayai diantara satu sama lain.
     Siapa sangka hujan akan turun ditengah hari? Walau dipupuk dan dibelai dengan rasa kasih dan sayang, kalau dia mahu terjadi, tiada siapa yang dapat menghalang. Terasa segala pengorbanan yang dilakukan selama ini tidak ada gunanya bila timbul orang ketiga. Cepat dia mengubah selera. Tiada kuasa ku untuk menghalang dia. Malah dikatakan berdosa kerana menahan keinginannya pula.
     Kisah suamiku mengadakan hubungan dengan pembantu peribadinya itu telah ku dengari. Oleh kerana percaya pada sumpah dan janjinya itu, aku pekakan telinga. Apabila ku tanya sendiri padanya, memang separuh mati dia tidak mengaku. Kalau tak ada angin, masakan pokok boleh bergoyang?
     'You tak percayakan I ke? Suka betul dengar cakap orang...mereka memang tak suka tengok orang senang.' Jawab suamiku masih mahu menegakkan benang yang basah.
     'Kalau mereka tak nampak, tak kan pulak mereka nak bercerita. Kami di sini tolong menolong antara satu sama lain...kalau mereka ada masalah, I akan tolong. Mungkin mereka suruh I ni alert aje...I ni kan terlalu percaya pada suami?'
     'You buat hal you sendiri, jaga anak tu baik-baik. Tak payah nak ikut orang bergosip. Banyak buruk dari baiknya.' Pesan suamiku.
     'Ai ai sir!' aku angkat tangan buat tabik hormat. Bagi reda sikit suasana yang dah sedikit tegang. Tapi di hati hanya Tuhan sahaja yang tahu. Aku sentiasa menitipkan doa untuk keluarga ku apatah lagi terkontang kanting sendirian di tempat orang. Pada siapa nak ku adukan kalau benar perkara itu berlaku?
     Telah dilakukan sedaya upaya untuk beroleh ketenangan, namun dugaan yang datang itu amat menyakitkan. Hati ku memang tidak merasa tenang sejak berita itu tersebar. Benarlah seperti kata pepatah, makan tak kenyang tidur pun tak lena. Di minda asyik bergelumang dengan gosip itu sahaja selagi belum disahihkan akan kebenarannya oleh tuan empunya diri.
     Apabila tidak dapat melelapkan mata, aku akan bangun melakukan solat agar dijauhkan dari gangguan syaitan. Berjuraian airmataku turun membasahi pipi ketika aku menadah tangan memohon doa pada Yang Maha Mengetahui. Bila badai melanda, tak makan pun aku sudah terasa kenyang. Masaklah daging gajah ke...semuanya tak terasa sedap langsung.
     'You ni sakit ke?' tanya suamiku ketika dia pulang ke rumah hujung minggu itu.
     Susut badan ku sangat ketara. Ketika orang sedang lahap menyuap nasi, aku hanya terkuis-kuis untuk menghabiskan sesenduk di pinggan ku.
     'Mana ada, sihat aje. Cuma penat agaknya. Anak-anak dah mula banyak aktiviti...dah tak banyak masa rehat. Masak pun cincai-cincai aje.' terang ku pada suami yang buat-buat bodoh. Kalau dia tak buat hal, tak adalah sampai aku nak sakit kepala memikirkan tentang skandal dia tu?
     'You ni sombong. Bila I offer pakai pembantu, you tak mau. Sekarang baru nak mengaku penat. Nanti kalau dah sakit siapa yang nak menguruskan anak-anak?' suaranya macam orang yang ambil berat.
     'Nanti I carikan sorang. Kali ini tak ada alasan lagi. Biar dia yang buat kerja-kerja rumah. You urus anak-anak sekolah aje. I bukan sentiasa ada dekat sini untuk menolong you.' Bertanggungjawab betul bunyinya.
     Aku hanya mendiamkan diri. Jauh di sudut hati memikirkan, siapakah pembantu rumah yang dimaksudkan? Adakah suamiku akan pulang membawa pembantu peribadinya itu untuk membantu aku di rumah ini? Berkecamok isi perut ku...berdegup laju injap jantung ku.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...