Jam 6.00 petang itu Lela pulang dengan suaminya Zahar meninggalkan aku, Ngah, Jude dan keluarganya menanti ambulan untuk membawa Emak pulang.
Aku yang sudah lama meninggalkan bandar Kluang itu, agak bodoh untuk membaca jalan menghala masuk ke taman perumahan Emak kerana di kelilinginya telah dipenuhi dengan taman perumahan lain yang bagai cendawan tumbuh.
Maka Jude dengan sukarelanya telah menawar diri untuk meneman Emak di dalam ambulan itu, manakala aku dan Ngah menumpang Stream Azemi.
Emak ditempatkan di ruang tamu untuk memudahkan jiran tetangga yang tidak putus datang melawat dan membacakan Yasin untuknya. Baru kami perasan semasa di hospital, kami tidak perlu menyediakan minuman untuk para tamu. Sebaik sampai di rumah, tidak berhenti kami menjerang air.
Ngah tidak senang hati, dia keluar masuk, keluar masuk kerana yang datang itu rata-rata orang perempuan kesemuanya.
"Patut kena letak waktu melawat la," kata Ngah.
Aku dan Lela senyum sumbing. Tak kanlah kami nak letak waktu melawat di rumah ni...tak sesuai langsung.
Bermulalah rutin harian kami di rumah untuk menjaga Emak. Pagi, selepas mengejakan solat subuh, Ngah membacakan Yasin di sisinya. Kami yang perempuan pula mula menukar lampin pakai buang Emak, membersih dan mengelap tubuhnya. Menyapu bedak Cuticura kesukaannya yang dapat dibeli di kedai ubat, di daerah Simpang Renggam.
Lama sudah Emak inginkan bedak itu...tetapi tidak ada dijual di supermarket pula. Puas Jude mencarinya di serata kedai dan akhirnya terjumpa di Simpang Renggam pula. Wangi sungguh bedak tu....serius!
Lela dan Zahar keluar ke Pusat Kesihatan berdekatan untuk temujanji Emak mengganti tiubnya minggu itu dan sekali mengambil ubat yang Emak perlukan untuk selama 2 minggu. Tadi Lela cakap lampin yang Jude beli bersaiz M itu tidak muat lagi untuk Emak. Nampak Emak mcam dah gemuk sikit kerana mungkin asyik diberi susu sejak dia jatuh sakit.
Kami berkeliling menghadap Emak setiap kali selepas menukar lampinnya atau selepas memberi susu dan kami sibuk bercakap kerana kami tahu Emak mendengar.
"Comel Emak kan....macam baby je," tegur ku tengahari itu yang melihat Emak tidur dengan nyenyaknya.
Aku pegang dagu Emak yang kelihatan berlapis, aku usap lengan Emak yang kelihatan sedikit tembam. Kami asyik mencium Emak kerana baunya yang wangi itu.
"Kena pasang air-cond la dekat sini," kata Ngah kerana cuaca yang agak panas ketika itu. Lagipun selama Emak jatuh sakit dia berada di dalam wad yang berhawa dingin....nyaman udaranya.
Aku nampak Ngah merenung Emak yang kelihatan lain sedikit tengahari Selasa itu.
"Nak bawak Emak ke hospital balik ke?" tanya Ngah yang bimbang Emak tidak dapat bantuan peralatan secukupnya di rumah.
"Tak payahlah Ngah," jawab ku perlahan kerana aku kesian melihat Emak yang diusung ke sana ke mari dalam keadaan dia yang tidak dapat memberikan kerjasama.
"Tak apa ke?" tanya Ngah prihatin.
Aku angguk perlahan sambil mata tegak memandang wajah Emak yang tidak lagi senget ke kanan. Emak seakan sudah pulih dan boleh berbaring tegak kala itu.
Petang itu pula Kumpulan Bina Insan yang diketuai oleh Ustazah Natrah telah membatalkan kelas mereka yang bertempat di surau dan kesemua mereka terus datang berkumpul di rumah Emak untuk membacakan Yasin. Aku di dapur menggoreng mihun dan Eira tolong membancuh sebalang air untuk para tamu. Lela kini menggantikan Emak menjadi orang kuat di kawasan perumahan itu.
Jude hantar mesej, dia demam dan tidak dapat datang petang itu menjengok Emak. Uda sama menghantar mesej, mendoakan Emak dari jauh kerana menjaga suaminya yang sama kurang sihat. Abang pula kini berulang alik ke hospital di Batu Pahat kerana pemeriksaan cataract matanya yang baru dibedah.
"Emak dah sakit, abang pun sakit, engkau kena cari duit untuk tukar nama rumah Emak ni Lela," pesan Ngah dalam kereta semasa pulang dari hospital dalam rutin menjaga Emak satu malam itu.
Lela yang mendengar terdiam. Maklumlah yang bersuara itukan pangkat abang? Manakala dia merupakan adik bongsu pula.
"Dengar tak? Kalau tidak nanti, anak cucu engkau susah..." tambah Ngah lagi. Ngah sedikit garang dan tegas semenjak Emak sakit kali ini.
Kami adik beradik sudah pakat-pakat untuk memberikan rumah Emak itu kepada Lela kerana selama hidup Emak, Lela yang menjaganya dengan baik. Sakit pening Emak dia yang mengurusnya sehingga pagi Emak jatuh sakit itu pun dialah yang memanggil ambulan untuk membawa Emak terus ke hospital.
"Dengar," jawab Lela perlahan.
Lepas maghrib Selasa 19 haribulan Jun, Najib anak Mak Endon, teman baik Emak depan rumah, Enal anak Mak Mah Pak Yahya yang dulu pernah berjiran dengan kami di Jalan Anggerik, datang melawat Emak.
Ketika itu ku lihat perut Emak berombak kencang. Kipaskah yang menyebabkan nampak macam kencang betul nafas Emak di bahagian perut kanannya.
Aku dekati Emak dan ku lekapkan telapak tangan di perutnya. "Kenapa mak?" tanyaku walau aku tahu Emak tidak boleh menjawab memberitahu.
Aku baru bercadang mahu pulang menumpang Ngah sampai Nilai. Jika anak-anak hendak menjemputku dari Setia Alam tu dah tak jauh sangat. Jadi malam itu kami mengajar Eija pula cara-cara menyusukan Emak menerusi tiub itu.
"Kau boleh jaga Emak, Lela?" tanya Ngah minta kepastian. Kesian juga melihat Lela hendak mengurus anak yang ramai sambil menjaga Emak pula.
Aku juga harus pulang kerana meninggalkan anak dara dua orang di rumah itu sendiri. Manakala Ngah akan mengikuti kumpulan tablighnya ke Beufort, Sabah.
"Boleh, tak de hal....anak kita ramai," kata Lela pula.
Memang tak nampak susah mana pun. Cuma Emak tidak memberi kerjasama semasa hendak menyalin lampinnya sahaja menjadikan kerja itu sedikit payah.
"Mana sate Nal," tanya Ngah berseloroh kerana dulu arwah bapanya seorang penjual sate.
"Mana ada," kata Enal malu. "Jom andak..." Enal mengajak aku keluar mencari sate.
"Tak payah la Nal....saja je mengusik," kataku.
Namun Enal minta diri untuk keluar dan kami hanya membiarkan kerana sibuk hendak menyalin lampin Emak dan memberinya minum susu untuk sesi jam 10 malam itu.
Enal datang lagi dengan bungkusan sate. Ngah yang sudah mula merebahkan badannya bangun dan menyarung kembali baju untuk menjamah sate.
Aku, Eira, Enal dan Najib menghadap Emak sambil mengusap lengannya. Kini ku lihat nafas Emak sudah naik ke dada pula. Ku lekapkan telapak tangan di dada kanan Emak sepanjang masa. Aku renung wajah Emak, ingin sangat aku tahu apa yang Emak sedang lalui saat itu. Kini nafasnya sudah naik ke dahi, aku nampak dengan jelas dan nyata. Mungkinkah? Aku raba kaki dan tangan Emak, ternyata masih panas. Tiba-tiba Emak membuka mata.
"E...eh...Emak dah bukak matalah," kata Eira gembira.
"Nal...dok kat sini. Kau cakaplah dengan Emak...dia boleh mendengar," arahku kerana aku lambat memberitahunya mengenai keadaan Emak. Semasa dia datang ke hospital pertama kalinya, Emak sudah tidak boleh bercakap lagi.
"Andak pergilah jamah sate tu," pelawanya pula.
Aku bangun ke meja makan, tangan mencari sate ayam kerana gigi geraham atas sebelah kiriku sudah mula mengalami gegaran. Silap makan karang, mahu aku yang berangkat ke hospital pula. Sambil mata sesekali mengerling ke arah Emak ingin melihat perkembangan Emak yang sudah mula membuka mata.
"Andak!" panggil Najib bila mata Emak mula naik ke atas.
Ku tinggalkan sate di pinggan dan terus meluru mendapatkan Emak. Ngah di hujung kaki sudah melafazkan zikrullah. Ku tutup telinga kiri Emak dan ku bisikkan kalimah syahadah di cuping telinga kanannya....dan Emak akhirnya menutup rapat mata dan menghembuskan nafas terakhir pada jam 10.45 malam itu. Air susu terakhirnya serta merta mengalir keluar dari bibirnya yang tertutup rapat.
"Lela, lap air susu tu," arahku pada Lela yang menarik sekotak tisu mengelap 200 ml susu Ensure yang baru diberi jam 10 malam tadi.
Berakhirlah sudah riwayat Emak malam itu. Aku dapat rasakan hembusan nafas terakhirnya rapat di mukaku kerana aku yang berada di hujung kepalanya membisikkan kalimah syahadah itu. Benarkah Emak sudah tiada? Aku lekapkan telinga ke dada kiri Emak. Aku lekapkan telunjuk di hidungnya untuk merasakan hembusan nafasnya....ternyata Emak sudah tiada. Aku lihat Ngah, aku lihat Lela.
"Andak tukar bajulah," ujarku sambil bangun menuju ke bilik mengelak rasa sedih yang bukan kepalang.
Serta merta Lela menelefon ambulan untuk minta pengesahan dari mereka yang bertauliah. Petugas yang datang menggunakan alat mengesan nadi, tidak cukup pasti, dia mengeluarkan steteskop pula. Bersaksikan Enal dan Najib malam itu, Emak disahkan sudah pergi buat selama-lamanya.
"Waris, tolong buat lapuran di Balai Polis terdekat," pesan petugas itu dan Ngah merupakan anak lelaki Emak yang ada sama menghadap pemergian Emak malam itu. Ngah adalah anak lelaki Emak yang sangat bertanggungjawab dalam menjaga keperluan Emak sejak dari dulu.
Ngah anak kebanggaan Emak kerana berjaya menjejakkan kaki ke universiti. Semenjak itu Ngah tidak pernah lupa menghantar wang belanja untuk Emak walau di mana pun dia berada. Nama Ngah sentiasa di bibir Emak kerana Ngah merupakan anak soleh Emak.
Cuma Ngah mungkin merasa sedikit kecewa tidak dapat memenuhi keinginan Emak untuk dibawa berjalan menziarahi adik dan saudara-mara di hujung usianya itu. Ketika Ngah kembali untuk menumpang manja dengan Emak, Emak pula pergi meninggalkannya. Kesedihan itu hanya Ngah dan Allah sahaja yang tahu.
Walau kami redha dengan pemergian Emak, namun airmata sedih itu mengalir juga mengenang episod-episod hidup yang dilalui bersama Emak sepanjang 83 tahun usianya. Susah, senang, suka dan duka bersama Emak menempuhi cabaran hidup di dunia di dalam membesarkan kami enam orang anaknya.
Semoga roh Emak dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Amin!
~ Tamat~