Kisah hari ini ekoran paparan blog ku semalam yang bertajuk 'Ditelan Waktu'. Walau aku tahu, blog ku itu cuma ada segelintir manusia sahaja yang datang menjengok, namun aku gagahi jua menulis ibarat menyimpan jurnal.
Blog ku ini juga adalah hasil permintaan anak-anak yang mahukan aku menulis apa sahaja yang terlintas di minda hasil dari pengalaman hidupku yang sudah begitu lama. Mereka yang tidak lagi tinggal di bawah ketiak ku, akan membuka blog ini seolah membaca jurnalku. Dengan yang demikian, mereka akan tahu apa perkembangan yang berlaku dengan aku di sini.
"Andak update la blog...nanti Uda baca," teringat Uda memberitahu sebelum kami berpisah kali terakhir di rumah Emak.
Uda tidak ada FB dan tidak ada blog. Kata Uda, suaminya tidak membenarkan dia berbuat begitu kerana tidak mahu Uda terleka. Suaminya yang baharu sahaja menjalani pembedahan jantung itu mahukan perhatian sepenuhnya dari Uda. Tetapi Uda akan cuba membaca apabila ada waktu. Kesian Uda!
Aku juga tidaklah mengharapkan sumbangan trafik yang banyak...sekadar menulis meluahkan isi hati dan sesekali berkongsi pengalaman di dalam hidup ini. Aku juga bukan blogger tegar yang akan menghadap PC sepanjang hari berblogwalking. Jadi aku tidak kisah jika ada atau tidak sesiapa yang sudi mengintai blogku ini.
Tetapi aku tidak sangka pula, teman lama sekolah ku, Nur AlHuda, yang pernah sama kelas dengan ku semasa di tingkatan 4 & 5 dulu, sudi singgah membaca dan langsung menghantar mesej berhubung dengan tajuk blogku semalam dan berkongsi pengalaman yang pernah dilaluinya.
Walaupun Nur AlHuda menghantar melalui private message, namun aku suka untuk berkongsi di sini demi kepentingan bersama.............
Assalam June,
Just read your blog, feel like sharing my experience..
My experience from KL to LA, almost 33 hours including transit di Taipei. Dari KLIA Sunday 1pm, sampai LA Sunday 5pm, passing GMT, tu yang cam cepat je. Mrs Liew ajar geog kat sesk dulu kan selalu bg formula, ke timur – untung – campur. Ke barat – rugi – tolak .
About solat, ia wajib walau di mana kita dan dlm keadaan apa pun.
Tempat solat, kalau business class no problem, luas. Kalau economy class, boleh tumpang tempat rehat crew, no problem, they are good people.
Kalau MAS, ada tunjuk arah qiblat tp kalau airline lain tak pasti. Kena lihat matahari. Kalau tak pasti juga, arah kapalterbang itulah kita arahkan solat kita. Allah Maha Mengetahui hakikat hati. Wkt solat, kita intai kat tingkap. Kalau matahari dah condong, masuk wkt zuhur, maka jama' lah dgn asar. Kalau matahari terbenam, dah masuk maghrib, maka jama' lah dgn isya'. Waktu subuh, nampak fajar.
AllahuA'lam. Just share my experience, hope it helps.
Kepada Nur AlHuda, terima kasih yang tidak terhingga kerana berkongsi ilmu yang sangat bermanafaat ini bersama. Semoga pahalanya berpanjangan hingga selama mana diguna dan dipraktikkan oleh sesiapa sahaja.
Aku selak album lama semasa zaman persekolahan kami, hendak ku paparkan wajahnya, namun gambar-gambar sekolah kami waktu itu masih bergaun dan masih belum pandai menutup aurat. Maka niat ku itu terpaksa ku abaikan sahaja. Namun Allah maha mengetahui dan Allah sahajalah yang akan membalas jasa baiknya itu.
Aku yang sekejap ditelan waktu, kini tersedar diri dan mengarah minda untuk terus bekerja, menempuh masa depan dengan tanggungjawab di dunia dan akhirat, yang wajib dilalui selagi hayat masih ada. Emak juga tentu suka jika aku dapat menghasilkan beberapa buah novel lagi kerana semasa novel pertamaku terhasil, Emak senyum membelek, walau dia tidak pandai membaca tulisan Rumi. Emak kelihatan bangga dan aku dekatinya lalu memberitahu.......
"Inilah yang dikatakan 'mati meninggalkan nama' mak," sambil menunjukkan namaku yang terpapar di depan kulit buku.
"Tak sia-sia Emak hantar ke sekolah dulu," Emak sama mahu dia dipuji kerana mengizinkan anak perempuannya keluar menimba ilmu. "Tidak seperti zaman Emak dahulu, perempuan dilarang keras bersekolah bimbang pandai buat 'surat layang'." Begitu Emak memberitahu.
Semoga Emak mendapat segala pahala kebaikan yang ku lakukan hasil dari kepercayaannya terhadap aku dan adik beradik yang lain kerana menghantar kami bersekolah sehingga mampu menulis dan membaca, sehingga menjadi anak-anaknya yang berjaya. Amin!
Junie Octovian: Dikesempatan ini, ku ucapkan salam Ramadan al-Mubarak kepada pembaca blog ini...
semoga ibadah puasa kalian diterima dan diberkati Allah. Amin!
No comments:
Post a Comment