July 11, 2012

Emak (iv)

Doktor yang merawat Emak, memanggil aku masuk lima minit kemudiannya. Doktor lelaki muda yang berbangsa India tetapi cerah kulitnya itu memberitahu dalam bahasa Inggeris tentang perkembangan Emak.

"Just take good care of her and give her all the love you can. You may call your siblings to be by her sides now," celah doktor itu yang sudah kenal sangat dengan kami adik beradik berenam yang Emak selalu sebut semasa dia masih mampu berkata-kata. Doktor itu kemudian berlalu pergi meninggalkan aku yang masih terkedu dengan air mata yang sudah beranak sungai.


Cucu Emak yg terakhir menemuinya masih segar dan boleh berkata-kata.....

Ngah, Lela dan Zahar datang tidak lama kemudian dan masing-masing mengelilingi Emak dengan membacakan surah Yasin. Lela yang kuat semangatnya itu kali ini membaca dengan suara yang tenggelam timbul, tersekat-sekat di satu ketika. 

Jude yang sedang mengajar kala itu mengirim SMS memberitahu dia akan cuba datang terus dari sekolahnya. Manakala Uda pula memberitahu dia akan cuba datang bila anak-anaknya sudah pulang dari kerja petang nanti.

Kawan-kawan dan jiran tetangga Emak sepertibiasa memenuhi bilik nombor 17 itu apabila mendapat khabar baru tentang Emak.

Dua tiga hari lepas, mereka bukan main berseloroh dan melawak di situ tapi kali ini masing-masing tersenyap bagai tersampuk bisu pula.

" Try to limit your guests," beritahu Sister Mary yang pening kepala melihat wad Bunga Raya 10A itu seakan ada jualan murah pula.

"It can't be help Sister," jawabku. "This is a matter of life and death, she's loved by everybody who knows her..." tegasku memahamkan Sister Mary.

"Okay then....but make it tidy," pesannya kerana yang datang masing-masing membawa bungkusan yang tidak langsung dapat dijamah oleh pesakit. Sudah tentu yang sihat walafiat yang berpesta di dalam bilik nombor 17 itu, mungkin bisik hatinya berkata begitu

"Sure Sister...I'll make sure the room is kept tidy," aku memberi jaminan kepadanya. Ala....bukannya kita nak berumahtangga di situ pun? Kecoh betul....atau mungkin dia memang tidak pernah mengalami insiden sebegitu sepanjang dia bertugas di hospital?

Ahh!! Doktor Chantek datang lagi petang itu untuk rutin hariannya.

"Atok!" Kali ini dia memanggil Atok tidak seperti hari-hari yang lalu dia memanggil dengan nama mak cik Nong. "Macam mana? Dah boleh gerakkan tangan?" tanyanya ramah.

Aku yang berdiri terpacak menghadap Doktor Chantek sejak dia masuk tadi memberitahu, "Emak dah tak bercakap doc."

"Atok!" panggilnya lagi seolah tidak percaya kerana baru semalam Emak elok mengikut arahan senaman yang diajar olehnya.

Sister Mary yang bergegas masuk kemudiannya memberitahu.

Nampak Dr. Aqilah kecewa. Dia merenung wajah Emak yang seolah bayi tidur dengan nyenyaknya. "Tak apalah....kalau perlukan bantuan saya, cari saya di bilik Fisioterapi nanti ye?"

"Thanks doc," ujarku sama hampa. Bermakna aku tidak lagi dapat melihat wajah Dr. Aqilah yang cantik dan ramah orangnya itu.

Sehinggalah pagi Isnin, doktor lelaki muda berbangsa India yang merawat Emak itu datang lagi dan memberitahuku bahawa Emak dibenarkan pulang. Segala wayar-wayar yang menyaluti tubuh Emak kecuali tiub untuk saluran makanannya sahaja yang masih ditinggalkan kerana Emak perlu diberikan susu.

"Akak faham tak apa maksud doktor tadi tu?" tanya Jururawat Noriyah.

Aku angguk. Katanya tadi, pendarahan yang berlaku itu sudah merebak dan doktor-doktor telah berbincang tiada apa yang dapat mereka bantu lagi kerana usia Emak yang telah lanjut dan Emak pula ada mengalami masalah jantung. Jika dilakukan pembedahan, sudah pasti mereka melalui risiko yang tinggi. Aku faham dan mengerti sangat dan ketika itu aku redha dengan ketentuan Ilahi. Itu semua hendak dijadikan sebab kematian, fikirku positif.

Aku bukan tidak beriman hendak melalak meraung di situ. Aku juga sedar Emak sudah puas menjalani usianya. Ingatannya masih tajam kerana mungkin semasa hayatnya dia mengajar mengaji Al-Quran dan sepanjang bulan puasa juga dia akan menghabiskan satu juzuk Al-Quran setiap hari. Cuma mungkin sepanjang dia di katil wad hospital itu dia sentiasa bercakap untuk meninggalkan pesan kepada anak-anaknya terutama Lela, adik bongsuku yang mempunyai anak sebelas. Emak bimbang Lela tidak mampu menyekolahkan anak-anak yang ramai itu, Emak bimbang anak-anak Lela tidak akan menjadi orang.

"Senang engkau Lela, kalau sorang masak, sorang berkemas dan sorang lagi membasuh," kata Emak yang terbaring ketika itu dengan mata yang terpejam.

Ketika itu Emak memang sudah tidak nampak lagi. Pendarahan yang berlaku di otak sebelah kanannya menutup saraf bahagian mata sekaligus ke kerongkong yang menyebabkan Emak tidak mampu menelan dengan sendirinya. Kata-kata Emak hari itu ditujukan kepada tiga orang anak dara Lela yang sama besar ketiganya. Fareeza, Fadzleena dan Fazeera.

"Kalau dah berjaya nanti, adik-adik tu jangan dilupakan," pesan Emak lagi.

Aku yang sama berada di hujung katil melihat mereka bertiga beradik itu menghamburkan air mata.


Ini adik beradik Lela...bukan anak dara yg bertiga itu....

Emak doakan aje mereka semua tu jadi anak-anak yang baik," sahutku perlahan

"Ya la....doa aje mana cukup kalau tak disertakan dengan usaha?" jawab Emak pula dalam dia tidak membuka mata itu.

"Sembahyang tu penting...itukan tiang agama?" pesan Emak lagi. "Baca doa Haikal tu...ada dalam buku Yasin mak dalam beg," pesan Emak lagi.

Kami yang mengelilingi Emak tidak dapat berkata-kata lagi. Namun Emak yang meninggalkan pesan itu sempoi betul.

"Pukul berapa ambulan nak datang?" tanya Lela mengejutkan aku dari lamunan yang panjang mengenang detik Emak boleh berkata-kata.

"Entah!" jawabku bersahaja kerana selagi ambulan belum datang, Emak masih belum dapat dibawa pulang. "Bukan ambulan banyak ke kat bawah tu?" aku menunjuk kepada beberapa buah ambulan di bawah sana yang dapat dilihat dari tingkat 10 bangunan hospital itu.

"Itu ambulan rosak la andak..." kata Lela memberitahu. "....tengok! Itu kan bengkel dia?"

"Oo ye ke...."

" Kita dah kemas rumah dengan Ngah tadi, kerusi meja semua dah letak luar. Ngah cakap rumah Emak tu biarkan lapang, senang jiran tetangganya nak datang melawat," beritahu Lela cuba menghiburkan suasana yang dua tiga hari lepas macam ada pesta. Sepanjang hari Isnin ini pula, suasananya tenang betul. Sunyi.

Jude dan keluarganya datang kemudian, kali ini tanpa bekalan makanan. Dia juga sama bersedih dengan apa yang bakal kami lalui selepas ini.............


~bersambung~


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...