July 8, 2012

Emak...

"Andak..." 


Aku dikejutkan dengan sedu sedan Uda melalui panggilan telefon pagi itu tanggal 10 haribulan Jun 2012 jam lebih kurang 7.30 pagi waktu aku sama bersiap untuk menghantar kakak ke pejabat.

"...emak kita dah tak boleh bangun...." sambung Uda yang bukan jenis Ning Yatimah orangnya. Biasa tu kalau ada berita yang menyedihkan atau apa-apa sahaja musibah berlaku di kalangan keluarga terdekat, aku merupakan orang yang pertama tersekat kerongkong. Beria-ia aku menangis sebelum dapat memberitahu apa sebenarnya yang telah berlaku.

"Uda dekat mana?" 


"Dekat rumah lagi...ni dah nak gerak ke sana.." jawab Uda yang tinggal di Taman Daya, Johor Bahru.

"Ada apa ma?" tanya si Kakak yang melihat ku cemas sekali pagi itu.

Aku abaikan pertanyaan si Kakak langsung mencari nombor Ngah. Seperti yang aku cakap tadi, aku jenis yang buruk perangainya. Bila terdengar suara Ngah sahaja, aku sudah mula melalak...jadi apa yang ku ucapkan di telefon itu tidak jelas pada pendengaran Ngah. Tapi aku dengar Ngah menyahut, "Okey.." dan kemudian mematikan talian.

Setiap kali menerima berita sedih...di fikiran ku membayangkan akan kematian kerana kami adik beradik berenam ini adalah di kalangan yang sudah menuju ke usia senja...apatah lagi Emak yang sudah tentunya sedang menunggu panggilan Ilahi.

Mujur pula sekarang ini Ngah senang dihubungi kerana telah kembali tinggal di rumahnya di Nilai Impian. Selama ini Ngah sering keluar dengan kumpulan tablighnya jauh ke luar negeri. Nampak gaya Ngah pula yang lebih dekat sikit jika hendak pulang ke rumah Emak.




Tanpa bersuara...aku terus mengemas beberapa pasang baju kurung dan dimasukkan ke dalam beg baju yang masih belum bersimpan sejak pulang dari kenduri yang baru sahaja berlangsung di rumah Emak minggu lepas. Hatiku terasa sudah sampai di Kluang ketika itu sedangkan jasadku masih berlegar di dalam rumah ke hulu dan ke hilir meninggalkan pesan pada Adik yang bakal lama ku tinggalkan.

Jauh di lubuk hati, aku seakan tahu....kali ini Emak akan pergi meninggalkan kami adik beradik berenam ini untuk selama-lamanya.

Aku tidak banyak berkata-kata bila Iwan, anak Ngah datang menjemput pagi itu malah bertambah kuat gegaran jantungku melihat Iwan datang dengan berkemeja hitam siap bersongkok. Iwan yang melihat keruh wajahku juga tidak berkata apa-apa. Kami seolah tahu sama tahu akan perasaan masing-masing dan selepas meninggalkan pesan kepada si Adik yang akan ke kelas pagi itu, kami terus bergerak menuju ke Selatan tanahair.

Jalanraya pagi itu seolah membuka laluan untuk kami kerana ku lihat Iwan hanya menggunakan lorong kanan sepanjang pemanduannya pagi itu.  Ida, isterinya dan Zayd, anaknya juga tidak banyak berkata-kata. Aku di belakang melemparkan pandangan jauh mengenang kembali saat akhir aku memeluk Emak membisikkan janji akan berhariraya bersamanya tahun ini.

"Okey..." teringat Emak suka menjawab begitu.

Kringgggg!!

Telefon bimbit ku capai di dalam beg tangan di sisi.

"Dah sampai mana?" tanya anak sulongku Firdaous di talian.

Aku lihat di luar, kebetulan kami baru melepasi Kolej Islam Sains di Nilai. "Nilai..." jawabku memberitahu.

"Mak ai...cepatnya?" tanya Firdaous tanpa aku mengiakan. "...nanti ada apa-apa perkembangan, mama miss call aje...abang Long call balik," tambahnya lagi yang mengerti akan kesedihan yang sedang aku lalui.

Telefon bimbitku berbunyi lagi, cepat ku capai dan ku lekap ke telinga.

"Dah sampai mana?" suara Ngah di talian bertanya.

Aku kerling keluar cermin, nampak bangunan berceratuk di sebelah kiri jalan. "Ayer Keroh," jawabku memberitahu kerana ketika itu kami sedang melepasi A'Famosa di Ayer Keroh, Melaka.

"Nanti kalau sampai terus ke hospital tau?" Ngah mengarah.

"Okey," jawabku pendek.

Kami sampai di Kluang lebih awal dari perjalanan di hari-hari biasa kerana kali ini perjalanan kami terus sahaja tanpa menyinggah ke R & R. Kami merupakan orang terakhir yang sampai waktu itu, manakala yang lelainnya dikatakan sudahpun berada bersama Emak di Wad Bunga Raya 10A.


~ bersambung ~

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...